Intro | Diri | Keluarga | J U R N A L J A L A N H I D U P | Cerpen Akhi Masrawi | Puisi Online | Cerpen Online | Dialog Islam - Kristian | Kata-kata Pujangga | Anjung Tamu v. de | Galeri | Nostalgia | Sinai | Catatan Terbaik 2002 | Sukatan Fiqh Islami | Penghargaan

 

----------------------

Cerpen Akhi Masrawi:


1. Seorang Ayah Sebuah Harapan
2. Ana
3. Lagenda Gadis Kedai Bunga
4. Warkah Buat Puteriku
5. Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah
6. Masihkah Ada Sinar
7. Kerikil Cinta Humaira
8. Nostalgia 797
9. Tahanan
10. Hingga Titisan Terakhir
11. Di Dalam Dewan Besar Itu
12. Cinta Sufiah
13. Warkah Terakhir Dari Ramallah

Untuk membaca cerpen-cerpen yang lain sila klik!

----------------------

Puisi Online

Puisi pendek

Kawan
walau tuturmu
mengguris hatiku
aku hanya tunduk
melepas kecewa
kerana aku sedar
aku bukan
seorang pendendam

Akhi Masrawi
Ogos 2002

Sila klik untuk baca puisi!

----------------------

 

Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - JURNAL JALAN HIDUP 2002

- Rencana: Serangan Ekonomi Sebahagian Jihad
- Cetusan:OIC Atau Oh I See?
- Laporan: Pound Mesir Dalam Bahaya!
- Luahan: Apa Ada Pada Sebuah Mesyuarat?
- Reaksi: Orientalis dan Skil Menyesatkan Umat Islam
- Komentar: Mangga & Hukum Ekonomi
- Laporan: Pembentangan   Kertas Kerja Muzik Menurut Kaca mata Islam
- Pendapat: Cara mendorong seseorang lebih berjaya
- Nostalgia: Dia menulis kejayaannya di atas kertas kecil!
- Luahan: Impian sebagai penulis prolifik
- Reaksi: WTC: Ulang tahun pertama serangan ke atasnya!
- Cetusan: Hang Tuah sebuah lagenda?
- Luahan: Antara saya dan aku?
- Pendapat: Teori andaian kehidupan
- Luahan: Duit: melupakan kita!
- Rencana: Era Ulamak dan Gagasan Negara Islam
- Rencana: Sanggah Evolusi bertunjang Materialis!
- Luahan: Bagaimana menjadi seorang mahir?
- Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 1
- Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 2
- Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 3
- Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 4
- Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 5
- Rencana: Sanggahan Terhadap Metod Sisters in Islam
- Luahan: Berkomunikasi dengan berkesan!
- Komentar: Jadilah insan pemurah
- Pendapat: Kita Punya Tanggungjawab Yang Besar
- Reaksi: Setiap Manusia Punya Impian

"akan datang catatan terbaik 2003"
 

----------------------

iklan:

Inilah wajah MONOGRAF Andalus II dengan harga pasaran LE 20 (klik imej)

----------------------

Kemusykilan permasalahan faraidh/mirath/pusaka boleh bertanya soalan kepada tok guru Faraidh online anda (Aljoofre) dengan menghantar emel kepada beliau di alamat [email protected] dan jawapan akan dibalas dengan kadar yang segera insyaAllah.

----------------------

"Saya menerima sebarang bentuk sumbangan sama ada zakat, biasiswa, dermasiswa dan sedekah atau derma fi sabilillah yang boleh disalurkan kepada saya untuk menampung kos pembelian kitab-kitab rujukan. boleh masukkan sumbangan tersebut ke dalam akaun Al-Wadiah di mana-mana cawangan (HSBC) Hong Kong Bank Bhd. atas nama: Ahmad Tarmizi Bin Ismail dan No. akaun: 031 019797 011 No. Pasport: A 9844679.  Sila emelkan kepada saya!"

----------------------

Ini Versi 2.1

 

PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P
bukan sebuah ratapan, bukan secebis ilusi, bukan secangkir resah... tetapi secalit lakaran kisah hidup di lembah kontang ini, buat peneguh diri merealisasikan sebening impian yang dititipkan demi mendepani masa-masa mendatang ... - hanya di
http://akhimasrawi.cjb.net

 "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, hendaklah kamu selidiki kalau-kalau kamu memusibahkan sesuatu kaum tanpa pengetahuan lalu kamu menyesali atas perbuatmu." (Al-Hujurat: 6)

----------------------------------------------------------------------------

Update terakhir pada catatan paling awal

Tarikh pada catatan tidak mempengaruhi bila catatan ini dimasukkan!

27 September 2003 | Sabtu | 14.21 pm

Catatan 248

+ Jam sudah berubah mulai semalam (kelmarin bagi sesetegah dailek di tanahair). Waktu berpatah ke belakang satu jam. Bagi orang kita yang sudah beberapa tahun di Mesir, mungkin sudah biasa. Namun bagi pelajar baru perlu berhati-hati. Ini juga bermakna masuknya fasa syita' (musim sejuk). Musim sejuk akan mengingatkan pada leha, kalthum, dan sakinah. Bukan...bukan! ketiga-tiga tu bukan awek saya. Jangan salah sangka. Betul! wak... saya tak tipu. Kalau saya ada awek pun tak kanlah sampai tiga!

+ Leha tu sebenarnya lihaf, sejenis selimut tebal yang hanya digunakan waktu musim syita' juga dikenali dengan namanya yang masyhur seperti Saratoga dan Santamora. Oh ya, rasanya mujarab untuk kebahkan demam. Kalthum juga bukan seorang gadis. Kalthum ialah seluar nipis sendat. Bentuknya lebih kurang seluar track-suit. Begitu juga sakinah yang nama sebenarnya dalam bahasa Arab ialah sakhonah (pemanas air). Rujuk gambar.

"Tidur dengan leha,
mandi dengan sakinah,
berjalan2 dengan kalsom"

ihsan dari arkib laman wanzu.

+ Nampaknya tahun ni ramai pelajar baru yang akan datang ke Republik Arab Mesir setelah dua tahun agak gersang. Tapi taklah gersang teruk sebab ditampung oleh pelajar-pelajar mu'adalah (cawangan yang diiktiraf oleh Al-Azhar atau cawangan Al-Azhar seperti Insaniah, Madiwa, Kusza, Al-Radzi, KIAS, Kisdar, Kidu dll.) yang datang menyambung tahun 3 dan 4. Pelajar yang datang dengan tiket STAM yang saya maksudkan sangat kecil bilangannya dalam dua tahun sebelum ini.

+ Bila bercakap pasal STAM seolah-olah mengungkit pasal isu 'hilang-nilai-mu'adalah-STA' yang sebelum itu bertahun-tahun dianggap 'laku' oleh pihak pentadbiran Al azhar. Hanya sijil STAM sahaja yang disarankan oleh kerajaan Malaysia pimpinan Dr Mahathir (suatu hari nanti kerajaan berubah) sebagai penerimaan masuk ke Al azhar. Setahun selepas itu, kerajaan yang sama menghentikan pula bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah menampakkan survival mereka untuk menghapuskan ulamak dan pengajian Islam sehingga peringkat akar umbi.

+ Saya secara peribadi tidak menolak perlaksanaan STAM sebagai satu agenda yang baik. Bayangkanlah jika tiada penapisan yang sewajarnya, bukan cuma yang hendak belajar datang ke Mesir malah yang hendak merapu pun turut boleh datang. Nampaknya tahun ini ramai pula yang akan datang ke Mesir melalui STAM. Apa pula tindakan kerajaan selepas ini?

+ Di bawah ini ada artikel saya pasal dua bengkel penulisan (cerpen dan artikel) KELAP di mana saya terlibat secara langsung. Rasanya tak perlu dihantar ke mana-mana penerbitan bercetak di sini sama ada WARTA, suara kampus mahupun buletin. Biarlah cuma menghiasi laman peribadi.

Catatan 247 (offline)

ANTARA DUA BENGKEL: Adakah akan lahir penulis?

Oleh: Akhi Masrawi

USAI mengendali Bengkel Penulisan Artikel Kem Latihan Penulisan, (KELAP) di bawah anjurang BPP PMRAM dan UPP Hewi PMRAM saya menerima e-mel daripada salah seorang peserta bengkel penulisan cerpen yang diadakan April 2003 yang lalu. Isi e-mel itu saya teliti satu persatu. Memahami ujaran yang dimaksudkan melalui aksara yang disusun kemas menyatakan persepsinya terhadap saya dan penulisannya.

Mungkin terlalu awal untuk melatah bangga lantaran usia saya yang masih terlalu muda dalam dunia penulisan (lebih-lebih lagi sebagai pendamping atau pengendali bengkel penulisan). Biasanya pendamping cerpenis muda atau calon cerpenis adalah dari kalangan penulis yang boleh dianggap mapan dan mempunyai populariti tersendiri. Suka saya mengambil satu contoh, Bengkel KEPEZI (Kelap Penulis Zaharah Nawawi) menemukan para peserta dengan beberapa pendamping yang jauh berpengalaman seperti Zaharah Nawawi dan Siti Aminah Mokhtar. Malah Zaid Akhtar dan Mohd Nazmi Yaakub sebagai contoh terdekat penulis yang pernah belajar di Timur Tengah juga ditangani oleh pendamping KEPEZI. Oleh sebab tiada yang lebih layak, Nazmi Yaakub melibatkan saya, Almarjan Yusoff dan Masrati Muhamad sebagai pendamping bengkel cerpen KELAP yang dihadiri 12 peserta itu.

Lantaran itu saya rasa perlu diujarkan falsafah saya dalam perjuangan pena. Pada saya peserta bengkel adalah mereka yang perlu lahir sebagai penulis. Jika tidak mengapa melangkah ke medan bengkel? Meski dalam masa yang sama, saya bersependapat dengan Nazmi Yaakub bahawa penulis tidak semestinya lahir menerusi bengkel tetapi secara peribadi saya menganggap mereka yang menjengah ke medan bengkel adalah mereka yang sememangnya mahu lahir sebagai penulis.

Saya kemukakan satu analogi mudah, seorang teruna tidak akan menghantar rombongan meminang ke rumah dara jika tujuannya hanya untuk suka-suka. Begitulah halnya dengan penyertaan peserta. Barangkali saya silap. Ada yang hadir ke bengkel hanya sekadar suka-suka dan mahu mengisi masa lapang. Nampaknya golongan ini tidak ubah seperti teruna yang menghantar rombongan meminang tetapi tidak mahu berkahwin. Apalah pula perasaan si dara dalam hal tersebut?

Falsafah perjuangan pena saya itu dikuatkan lagi dengan satu lagi falsafah yang mungkin agak ganjil pada pengamatan penulis lain. Bagi saya, saya mahu melahirkan seramai mungkin penulis. Tidak kiralah sama ada dalam genre kretif mahupun non-kreatif apabila saya diberi peluang melatih dan membimbing mereka.

Jika 12 calon penulis yang hadir ke bengkel cerpen awal April lalu diberikan perhatian lebih oleh para pendamping (atau calon-calon itu yang sering meminta bantuan para pendamping) tentunya mereka tidak akan merasa tersisih, pesimis dan terus senyap.

Empat peserta menjadi 'dampingan' saya. Seorang teruna dan tiga lagi dara. Sebenarnya jauh di hati saya untuk meletakkan taraf penulisan mereka di tahap mana. Ini kerana pemerhatian singkat saya itu, satu konklusi dapat dibuat bahawa kesemua mereka mempunyai bakat dan kebolehan. Hanya tiga peserta di bawah saya sahaja yang cerpen mereka dibedah pada hari tersebut. Seorang peserta yang keciciran menghantar naskah cerpen pada waktu yang ditetapkan, terpaksa berpuas hati cerpennya tidak dibedah pada hari tersebut tetapi disemak dan di'tembak' selepas itu.

Ada satu rahsia yang sehingga kini saya simpan mengenai peserta keempat itu. Cerpennya yang berjudul "Curi Tulang" saya sarankan kepada ketua editor Suara Kampus Edisi Iskandariah (SKEI) untuk diterbitkan di dalam SKEI edisi 18 (selepas dibetulkan) setelah sebelum itu SKEI menerbitkan sebuah cerpen karya Nur Kenari berjudul "Nur Hidayah" di mana saya diberikan kepercayaan menyemak dan mengedit oleh ketua editor SKEI.

Saudara serahim penulis "Curi Tulang" yang juga mengikuti bengkel cerpen KELAP tersebut yang mempertaruhkan cerpennya berjudul "Semalam Menjadi Esok" yang didamping Almarjan Yusoff juga adalah antara yang mempunyai bakat dalam penulisan cerpen. Nampaknya saya terpaksa menukilkan mafhum kata-kata ketua pendamping, Nazmi Yaakub bahawa "bengkel adalah medan untuk mencari seberapa banyak kesalahan peserta oleh pendamping dan bagi peserta pula perlu bersedia 'memakai baju besi' untuk di'tembak'. Malah Nazmi sendiri seawal berbengkel berpesan kepada para peserta perkara yang sama sebelum cerpen mereka dibedah.

Saya kira semua peserta ketika itu sudahpun 'memakai baju besi' mereka dan bersedia untuk di'tembak'. Walaupun saya kurang bersetuju dengan cara Nazmi mengendalikan bengkel, tetapi saya terpaksa akur dengan tradisi tersebut kerana tidak berpengalaman mengikuti bengkel sepertinya.

Secara jujur saya tidak mampu memastikan adakah 'peluru' saya mengenai peserta. Sehinggalah apabila usai berbengkel dan menjalani kehidupan seperti biasa selaku seorang mahasiswa cerpen yang saya hantar ke Suara Kampus Edisi Kelantan (SKEK bil. 29) diterbitkan. Cerpen berjudul "Di Dalam Dewan Besar Itu" boleh saya sifatkan sebagai bukanlah sebuah cerpen terbaik yang pernah saya hasilkan. Berkisar persepsi dan luahan saya selaku seorang mahasiswa terhadap alam kampus yang menampilkan bentuk kepelbagaian tarbiyah di Lembah Nil. Plot yang dikisar kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah skrip pentomen yang saya tulis dan gubah bersama seorang teman untuk Majlis Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa Cemerlang (MKAMC 2002). Bayangkanlah cerpen yang saya hantar kepada editor SKEK pada September 2002 hanya diterbitkan pada April 2003!

Ternyata nampaknya sayalah pula yang perlu menyarung 'baju besi' untuk ditembak oleh calon penulis lain lantaran semasa berbengkel sabagai pendamping saya akui agak keterlaluan menembak para peserta. Komentar yang saya utarakan barangkali ada yang tidak boleh diterima oleh peserta. Telahan saya betul apabila saya menerima satu e-mel dari seorang calon penulis yang mengkritik dengan telus tetapi berbaur emosi seolah membalas dendam pada persepsi saya. Saya tidak cepat melenting. Sikap saya yang memandang karya sebagai bahan untuk dikritik menjadikan komen yang saya terima sebagai anjakan paradigma mematangkan karya-karya saya.

Namun tidak dinafikan kritikan juga kadang-kala mematikan semangat menulis. Kritikan kadangkala menjadikan penulis luntur. Terutama bagi calon penulis yang baru cuba-cuba mengintai lapangan penulisan. Jauh di sudut hati saya untuk mengungkit bahawa saya adalah seorang penulis (jika gelaran ini layak) yang tidak pernah menerima bimbingan dari mana-mana penulis seniur. Walaupun pernah mengujarkan keinginan untuk lahir sebagai seorang penulis kepada seorang yang boleh dianggap 'sifu' respon yang saya terima mengecewakan. Kesan dari situ, saya terpaksa belajar merangkak, bertatih, bangun, berjalan dan berlari sendiri untuk menghamilkan impian dan melahirkan karya.

Saya kecewa. Dari kekecewaan itu semangat saya untuk menulis pernah mati. Bahkan beberapa tulisan saya yang pernah dihantar ke penerbitan sekitar Lembah Nil kebanyakannya tidak tersiar (barangkali telah dibakulsampahkan).

Sehinggalah pada awal tahun 2002 saya kembali aktif menulis karya kreatif, itupun setelah mendapat suntikan daripada Melayu.com sebuah laman maya sastera. Apabila semangat saya kembali 'sembuh' saya mula serius menulis. Sampai ketika itu pun orang yang saya pernah anggap sebagai 'sifu' itu masih tidak memberikan saya perhatian. Ingin saya tegaskan di sini, tidak pernah terlintas di hati saya untuk menyaingi 'sifu' tersebut andai pada waktu tersebut beliau menghulurkan tangan membantu saya merealisasikan bakat yang ada.

Bukan tujuan untuk saya membalas dendam kepada mereka yang menjadi peserta saya lantaran bukan sikap saya berdendam, malah falsafah saya lebih baik melahirkan lebih ramai penulis daripada menunggu hanya akan lahirnya seorang penulis 'hebat' sahaja. Jika ada antara peserta saya yang terasa disisihkan, kemaafan saya pinta.

Saya terus berfikir apakah boleh diadakan satu mandala sebagai satu institusi yang mampu melahirkan penulis. Hasilnya pada Julai 2003 saya mengilhamkan penubuhan laman web Akademi Karyawan Muda Malaysia, AKRAM Online (nama asalnya Akademi Karyawan Muda Mesir) sebagai katalis para penulis muda dan calon penulis memusatkan karya mereka. Maka Muncullah http://akramonline.4t.com sebagai memeriahkan laman sastera berkonsep maya bagi mengatasi masalah ruang menerbitkan karya.

Saya kira antara sebab mengapa PUJANGGA Online di http://akhimasrawi.cjb.net lahir adalah kerana untuk mempublikasi karya-karya dan penulisan saya di ruang maya di samping berkonsep weblog. Biarlah jika karya saya tidak boleh diterima di media cetak, tetapi bisa menjerit di ruang maya. Pada saya sastera maya bukan hanya longgokan sampah di sawang-sawang, tetapi juga bernilai dan mempunyai ketrampilan tersendiri. Malah jika ditinjau dewasa ini, penulis-penulis mapan dan tersohor juga telah mengaplikasikan dunia internet sebagai saluran mereka mempublikasikan karya dan memperkenalkan diri. Antara mereka ialah Zaharah Nawawi, Nisah Hj Harun, Faisal Tehrani, Uthaya Sankar SB, Mawar Shafie, Hasyuda Abadi, Marsli NO, Amaruszati dan ramai lagi termasuk penulis bertaraf antarabangsa.

Tindakan saya membuka Laman PUJANGGA Online pada awal Jun 2002 dan AKRAM Online pada hujung Julai 2003 yang direalisasikan oleh rakan saya (seorang webmaster amatur) adalah antara usaha awal saya untuk melihat keterlibatan para penulis dan calon penulis di Lembah Nil ini, menulis dengan lebih serius. Menerusi laman web, karya dan hasil penulisan akan ditatap serta dibaca dengan lebih meluas. Sebagai contoh, laman harakahdaily.net dianggarkan dilayari lebih kurang oleh 200 ribu pengunjung setiap hari dan purata 10 juta dalam tempoh sebulan. Bayangkan jika hal yang sama berlaku kepada laman-laman yang lain? Belum lagi melihat laman-laman yang lebih popular dan terkehadapan. Jika media cetak berkonsep tradisional (khususnya di Mesir - suara kampus dan buletin) mampu menarik perhatian 300-1000 pembaca (sehingga bahan itu lupus), bagaimana pula jika tulisan itu diarkibkan di ruang maya?

Pengarah KELAP berjumpa saya dan menyatakan pengendali asal bagi bengkel artikel, saudara Zairol al-Adib pulang bercuti di Malaysia dan bengkel penulisan artikel kemungkinan tidak dapat dilaksanakan jika saya tidak mengambil alih tugas tersebut. Dengan rasa berat hati, saya terpaksa menerima. Walaupun sebenarnya saya bukanlah orang yang layak.

Untuk melabelkan diri sebagai seorang penulis artikel yang produktif, saya rasa Ubaidillah Alias dan Suliana Busu yang sama-sama membantu saya menjadi pendamping menangani 10 orang peserta bengkel penulisan artikel 23 September lalu lebih produktif. Mungkin juga nama-nama yang saya pernah sebut di dalam artikel saya bertajuk: PENULIS DAN PENULISAN: Di mana dan ke mana? yang tersiar dalam ruangan Realiti, SKEI bil. 18 jauh lebih produktif. Tetapi mengambil falsafah tidak semua jurulatih bola sepak mampu bermain lebih baik dari pemain yang dilatihnya saya bersedia melatih calon-calon penulis yang 10 orang itu meski risikonya sangat merbahaya.

Saya akui saya lebih cenderung berkarya dan menulis untuk laman-laman sastera maya dan laman webzine (web-majalah) berbanding media cetak. Oleh sebab itu apabila Ubaidillah bertanya sejak bila saya menulis dengan serius, saya tidak terus menjawab sebaliknya menjawab di dalam sesi pembentangan kertas kerja.

Jika meninjau sejarah penulisan saya sememangnya saya sudah mula menulis semenjak berada di tingkatan dua di sekolah menengah lagi. Namun impian untuk lahir sebagai seorang penulis prolifik hanya wujud ketika umur sudah mencecah 22 tahun. Sebab itu apabila melihat penulis-penulis yang lebih muda berbanding saya terkehadapan, cemburu mengusik.

Walaupun cuma tiga dari 10 peserta bengkel tempoh hari yang membaca naskah mereka saya dapat mengesani bakat yang mereka miliki. Mohd Solahuddin Soleh dengan artikelnya bertajuk, Ukhuwah: Retak Menanti Belah. Khaujah Ngah pula dengan artikel bertajuk, Wawasan Muslimah sejati manakala peserta berikutnya, Nur Hidayah Abd Rahman membaca artikelnya bertajuk Sejarah Telah Berulang Kembali Di manakah Noktahnya?

Rata-rata peserta mampu menggunakan ilmu retorik di dalam penulisan mereka. Malah bentuk naratif yang ditampilkan oleh Nur Hidayah sebenarnya sudah agak baik berbanding saya yang jarang menggunakan bentuk naratif sebagai gaya penulisan. Tahniah!

Lihatlah betapa kegigihan seekor burung ciak rumah membina sarang gantung dengan mengutip satu persatu rumput atau jerami sebagai menunjukkan kesabaran dan ketekunan berkerja. Belatuk yang menebuk lubang pada batang pokok yang keras menggunakan paruhnya, air yang menitis dan berupaya melekukkan batu, ikan Solomon yang mengharung arus semata-mata mahu kembali ke tempat asalnya untuk mati dan pelbagai simbolik lagi demi menggambarkan betapa kegigihan, kesabaran dan ketekunan adalah 'mahar' untuk berjaya.

Saya kira antara resolusi bengkel penulisan artikel yang saya kendalikan supaya para peserta berdaftar sebagai ahli AKRAM adalah tindakan yang wajar. Malah saya terasa dihargai.

Terlalu awal untuk menentukan siapakah yang bakal menggegarkan dunia penulisan di Lembah Kinanah selepas ini. Sama ada dalam genre kreatif mahupun non-kreatif. Namun saya meletakkan satu keputusan bahawa hanya mereka yang bersedia bekerja seperti burung ciak rumah, belatuk, air dan ikan solomon sahaja yang benar-benar akan lahir sebagai penulis. Ini kerana tanpa usaha impian tidak bermakna.

Oleh itu saya kira tidak kiralah di mana posisi kalian sekarang. Tanamkan jatidiri seorang penulis yang saya sebutkan semasa bengkel. Saya percaya dari situ akan lahirlah penulis-penulis muda dalam kedua-dua bidang (kreatif dan non-kreatif) dengan lebih ramai. Sekurang-kurangnya kalian telah menganggap ini sebagai suatu perjuangan yang memerlukan keikhlasan, ketekunan, keyakinan dan paling penting keberanian untuk mara.

Saya tunggu detik itu! - TAMAT

+ Tulisan ini saya dedikasikan khas buat 12 peserta bengkel cerpen (khususnya empat orang yang saya tangani) dan 10 peserta bengkel artikel KELAP.

+ Semoga kalian menyahutnya sebagai satu perjuangan, bukan semata-mata cabaran.

+ Nama-nama peserta saya, saya abadikan di sini:

Peserta bengkel cerpen yang saya tangani:
Shahiroh Abd Rahman
Felza Zurrasyiq Abd Hamid
Nur Sharliza Ashaary
Faizah Erma Mohd Azaman

(tidak termasuk peserta lain yang ditangani Nazmi, Almarjan dan Masrati)

Peserta bengkel artikel:
Mohd Solahuddin Soleh
Kasmah Mohamad
Halimatus Saadiah Mohd Pauzi
Nor Hidayah Abd Rahman
Khaujah Ngah
Norma Che Man
Ainul Huda Kamaruzaman
Izura Mohd Ahwal
Khadijah Shafie
Sumayyah Abd Aziz

Kata-kata Pujangga: "Manusia diuji oleh Allah berdasarkan keimanan yang mereka miliki."

Sila klik  Respon/Komen

 

24 September 2003 | Rabu | 6.40 am

Catatan 246

Diari beberapa hari ke Kaherah

+ Lokasi ketika itu ialah sebuah kedai minuman kecil berkonsep ala-Bistro yang terletak berhampiran Hadiqah Dawli (Taman), Saya Chui, Naim, Anuar, Tariq dan seorang junior saya, Naim Jaafar bersantai. Jam sudahpun menunjukkan pukul 11.20 malam. Topik paling penting yang saya bincangkan bersama Naim Jaafar, seputar isu Majalah Sekolah saya, Nur ALMAAD. Lantaran karenah yang tidak sepatutnya, beberapa edisi majalah sekolah terbengkalai.

+ Setelah hampir empat tahun tidak pernah bertemu (Saya ke Mesir dan Naim ke Kusza) akhirnya takdir Allah SWT mengatasi segalanya. Saya masih ingat, masa di sekolah dahulu... Naim antara junior yang akrab dengan saya. Alhamdulillah, ukhwah itu terus kekal.

+ Esoknya saya dan para graduan lain berkonvo. Sempat hantar sms pada beberapa orang. Antaranya Mat Jan. Berada dalam Dewah Haflah Kubra, Kuliah Tib Al azhar untuk majlis Konvokesyen meresahkan. Apa tidaknya, dewan itu tidak berpendingin hawa tetapi untuk majlis itu disediakan kipas ala-kadar. Dengan mengenakan jubah putih ditambah dengan jubah graduan merimaskan. Tapi, apakan daya mengenangkan sehari dalam empat tahun belajar maka kekalkan juga.

+ Majlis MKAMC kali ini dirasmikan oleh Dekan Fakulti Dakwah, Dr Tola't Afifi. Barangkali kerana ada urusan yang mengejar, beliau tidak bersama para graduan sehingga usai. Hanya meninggalkan tiga orang ulamak Al azhar untuk acara penyampaian cenderahati untuk para graduan dan bakal graduan (yang tasfiah). Kalau di IPTA/s konvokesyen sebagai acara menyampaikan skrol ijazah, bagi kami di Al azhar suasana berbeza. Ini kerana Ijazah dikeluarkan oleh pihak Al azhar dengan urusan perlu dibuat sendiri oleh pelajar atau berwakil. Hanya sijil penghargaan disediakan oleh PMRAM sebagai tanda kenangan.

+ Saya memegang giliran ke 48 untuk menerima cenderahati graduan. Tiga orang ulamak Al azhar yang 'turun padang' pada kali ini ialah Prof Dr Saad Jarwish (pensyarah Fakulti Usuluddin Al azhar, Kaherah), Syeikh Hasan Rajab dan Syeikh Syed Ali (kedua-duanya dari Maahad Qiraat, Syubra). Saya terima dari Prof Dr Saad Jarwish.

+ Selepas sesi penyampaian cenderahati graduan dan mahasiswa cemerlang ada anugerah mahasiswa dan mahasiswi mithali. Mahasiswa mithali tahun ini disandang oleh Zubair Abdul Rahman dari Kedah, pelajar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah Islamian yang menyudahkan pengajian dengan keputusan Jayyid Jiddan. Manakala anugerah mahasiswi mithali pula disandang oleh Siti Hajar Abdullah sani pelajar Selangor. Kedua-duanya memang layak untuk anugerah itu, memandangkan kecemerlangan yang ditempa dan keterlibatan aktif dengan persatuan. Mabruk!

+ Balik ke rumah Perlis di Abas Akad petang itu dengan kepala yang pening. Tunggu maghrib dan turun solat bersama Toriq di masjid berhampiran restoran GAD. Oleh sebab saya dalam safar, maka terus buat solat jama' taqdim. Lepas maghrib terus balik tidur untuk rehat. Berjanji dengan Solah siangnya masa di majlis hendak berjumpa lepas isya'. Kesian dia, call HP saya yang telah disilentkan. Maafkan saya, sahabat. Teringat gurauannya adakah akan lahir cerpen Di Dalam Dewan Besar itu 2, setelah sebelum ini sudah ada DDDBI? Dalam hal ini saya mengandaikan kemungkinan. Tetapi cerpen yang nak tulis sebelum ni pun masih tak terhabis. Mood menulis cerpen agak malap, ibarat dian yang akan padam. Seronok kebelakangan ini, menulis artikel. Susah nak capai semua perkara dalam satu masa, tapi tak mustahil capai paling banyak yang kita mampu.

+ 23 September ke rumah Negeri Sembilan untuk kendalikan bengkel penulisan Artikel yang dianjurkan oleh KELAP di bawah BPP dan UPP PMRAM. April lepas saya sebagai pendamping bengkel cerpen menemani Nazmi Yaakub, Masrati dan Almarjan. Kali ini saya pula ditemani Ubaidillah dan Suliana Busu. Sebenarnya mas'ul untuk bengkel penulisan artikel bukan saya tetapi Zairol. Oleh sebab Zairol pulang ke Malaysia bercuti, maka saya terpaksa (dipaksa) mengambil alih tugas tersebut. Tidak pernah berpengalaman mengikuti atau mengendali bengkel penulisan artikel. Inilah pertama kali. Peserta seramai 10 orang termasuk seorang ikhwah (lelaki) dan selebihnya akhawat. Secara umum saya lihat, peserta ada bakat dan kebolehan cuma beberapa aspek penting penulisan wacana saya terapkan sebagai ilmu bantu menghasilkan penulisan yang lebih baik. Setelah berbengkel, empat resolusi dicapai. Mabruk!

+ Letih metah. Kerja-kerja persatuan memang memerlukan tenaga ahli. Teringat masa dalam dewan Haflah Kubra, sempat bergurau dengan Muhaimin dalam jenaka katakan padanya yang saya nak bertanding calon Pengerusi DPMT lawan Nazri pada MAT lalu. Muhaimin ni orang Kelantan, ulasnya mungkin 50% saya boleh menang tapi kelebihan Nazri yang juga orang Kelantan ialah sering istiqamah dengan 'semutar' (serban). Tapi Muhaimin kata lagi... kalau saya bertanding di Mansurah mungkin boleh menang. Saya tanya dia kenapa? Ujarnya sebab saya pernah jadi tok guru. Besar kemungkinan boleh menang dengan undi akhawat. Saya ketawa, membisikkan pada Muhaimin, buat apa nak bertanding kalau calon yang dipilih sudah bagus. Lagipun, saya dah rindu sangat dengan Malaysia. InsyaAllah lepas periksa tasfiah nanti, agenda penting ialah: pulang ke tanahair. Muhimin tanya tak nak sambung master? Apapun saya balik terlebih dahulu. Muhaimin akan muqabalah 'temuduga' memohon Dirasah Ulya Al azhar dalam pengkhususan Usul Fiqh. Selain dia yang dengar-dengar akan sambung di Al azhar juga ialah Hairul, Khalil dan Syed.

+ Saya pernah provokasi Amiza supaya buat weblog. Alhamdulillah, dia menyahut cabaran saya selain itu Zurasyiq juga menyahut dengan weblognya di http://parutditangan.blogspot.com. Ubai pun saya dah provokasi, pentingnya ada web sendiri. Saya buat satu perbandingan, artikel yang ditulis dan dicetak berbanding artikel yang ditulis dan dipublikasikan dalam web yang mungkin akan dibaca 100 orang dalam sehari bagaimana pula jika 10 tahu akan datang? Berapa ramai dah membaca artikel tersebut. Dan paling penting saya sebut pada para peserta bengkel artikel bahawa kita akan mati. Sayang sekali kalau penulis-penulis yang berbakat seperti Ubai dan Almarjan tak punya web sendiri, nampaknya penulisan mereka akan cuma menjadi hero media cetak sahaja terutamanya dalam ruang lingkup Lembah Nil semata-mata. Tetapi dengan menulis secara online pembaca dari merata tempat akan dapat membaca tulisan tersebut. Saya tahu kesibukan menghalang, tetapi saya cuma mampu menyarankan saja. Mungkin idea itu akan menjadi realiti suatu ketika nanti.

+ Sebab saya yakin dengan menanam niat, Allah akan permudahkan impian kita. Biarlah ia bening hari ini, tetapi akan tercapai jua suatu hari nanti. Suatu hari nanti itu, mungkin hari ini. Hari anda membaca catatan ini.

Kata-kata Pujangga: "Hidup tanpa cita-cita, sia-sia. Hidup tanpa usaha tak ke mana."

Sila klik  Respon/Komen

 

21 September 2003 | Ahad | 6.00 am

Catatan 245

Nafas baru!

+ Saya telah kemaskini dua perkara di PUJANGGA Online. Pertama koleksi Cerpen Akhi Masrawi dengan wajah baru. Sila klik untuk lihat perubahan dan nafas baru itu.

+ Saya telah menyusun semula koleksi catatan terbaik 2002. Sila klik pada pilihan anda di mana-mana link yang ada di laman ini. Link penuh kesemua 28 catatan terpilih ada di sebelah kanan.

+ AKRAM Online perlu juga diberi nafas baru.

+ Dapat emel dari Bonda Zaharah Nawawi menyatakan kesudian untuk menjadi penulis tamu untuk pojok penulis tamu laman ini semalam. selain itu sudah mempelawa Fudzail (Dubai Online), Nik Nazmi dan Alinor (penulis SUKEJ).

+ Esok saya berkonvo, sementara saya sibuk berkonvo, kalian ber'konvo'lah di laman yang sudah diberi nafas baru itu.

Kata-kata Pujangga: "Rumah yang kecil kadangkala mampu melahirkan tokoh yang hebat"

Sila klik  Respon/Komen

 

19 September 2003 | Jumaat | 7.36 am

Catatan 244

Kenapa Saya Cemburu Nik Nazmi?

Oleh: Akhi Masrawi

Saya kira,  kali pertama mengenali nama Nik Nazmi Nik Ahmad ialah sewaktu tersesat di ruang maya memasuki laman webzine Suaraanum.com (kini khabarnya sudah tidak aktif) ketika melayari dunia tanpa sempadan, internet. Bermula dari situlah, saya menelaah Nik Nazmi sebagai seorang penulis muda berbakat yang menulis untuk beberapa website dan majalah seperti malaysiakini.com, Siasah, berita Keadilan, Tamadun, Harakah dan suaraanum.com. Bolehlah dibanggakan, walaupun anak muda ini dilahirkan pada 1982 tetapi mempunyai misi dan visi yang sangat besar kerana mula memperjuangkan suaraanum.com pada usia 19 tahun.

Keterlibatan beliau sebagai editor pertama Suaraanum.com setidak-tidaknya telah berjaya memperkenalkan satu lagi ruang buat warga anum (muda - bawah 35 tahun) menyuarakan pandangan, mengupas isu semasa, berkarya dan mengkritik serta memperkayakan penulis muda. Saya sendiri pernah menghantar beberapa karya dan tulisan ke Suaraanum.com. Hasilnya sebuah puisi berjudul Sebening Cinta Kota Cairo, sebuah cerpen berjudul Tahanan dan sebuah artikel berjudul Sanggahan Terhadap Metod Sister In Islam (mendapat komentar) tersiar dalam beberapa siri yang berlainan. Keghairahan menghantar karya yang baru bermula itu akhirnya 'mati', gara-gara Suaraanum.com menghadapi masalah update setelah perubahan editor daripada Nik Nazmi (yang khabarnya ketika itu hendak menyambung pengajian di U.K) kepada editor baru dan natijah akhirnya Suaraanum.com berkubur dari ruang maya.

Kesempatan mengenali Suaraanum.com juga menemukan saya dengan laman peribadi Nik Nazmi sendiri. Ketika itu, laman n3alostideas miliknya ditulis dalam versi bahasa Inggeris (mungkin sedikit dalam Bahasa Malaysia - yang tidak saya sedari). Namun, saya agak kurang menjadikan laman peribadinya itu sebagai medan bacaan maya saya berbanding laman-laman peribadi yang lain seperti laman encikkhairul, Mat Jan, Rudy, Tok Rimau, Enmiya, Rasanubari, Saharil, Spyz dll yang juga berkonsep weblog. Bukanlah bermakna saya membenci laman yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, meskipun sentimen peribadi saya amat bencikan bangsa penjajah. Semenjak dari sekolah rendah lagi, saya didedahkan dengan bahasa tersebut. Malah ayah saya juga salah seorang yang berkelulusan LCE dari sekolah Inggeris selepas merdeka. Tetapi, taraf penguasaan saya yang agak lemah tidak memungkinkan saya menjadi pembaca setia laman peribadi Nik Nazmi itu.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Sedang saya terkial-kial untuk menyudahkan pengajian Syariah Islamiah di Al-Azhar, Nik Nazmi khabarnya sudah sampai ke London, United Kingdom untukmenyambung pengajian dalam bidang Undang-undang. Dan meskipun begitu, kami terus berhubung melalui maya terutama menerusi YM. Beberapa kali berchating dengannya membuka minda dan pengamatan saya terhadap anak muda ini. Meskipun kami agak berbeza status pendidikan (Saya di ALMAAD dengan aliran agama - Nik Nazmi di MCKK) tetapi fikrah kami adalah sama, Islamik dan menjunjung dasar Al-Quran dan As-Sunnah.

Nik Nazmi menulis secara serius semenjak di bangku sekolah rendah lagi iaitu ketika berusia 9 tahun. Apabila menjengah alam remaja, penulisannya semakin matang. Beliau juga menulis dalam genre kreatif seperti sajak dan cerpen tetapi tidak seserius menulis artikel dan blog. Berbanding saya, meski sudah mengenal pen/pensil dan kertas sejak hari pertama dimasukkan ke sekolah rendah (dalam keluarga, saya satu-satu anak yang tidak pernah dihantar ke tadika atau pra-skolah), tetapi tidak pernah menulis/mengarang dengan inisiatif sendiri sepanjang berada di sekolah rendah. Minat saya lebih tertumpu kepada membaca, tetapi hobi seorang anak kampung yang membesar bertemankan sawah, sungai dan belukar tidak pernah kekal satu, berubah-ubah.

Setelah memasuki sekolah menengah dan menetap di asrama sekolah, barulah timbul kesedaran untuk membaca dan menulis dengan serius. Kutubkhannah, maktabah sekolah saya punggah isinya dan ratah buku-buku yang sempat saya capai. Hasilnya, semasa di tingkatan 2, cerpen sulung saya diterbitkan dalam majalah sekolah. Setelah itu, saya semakin bersemangat menulis. Antaranya saya menulis sajak untuk Minda Pelajar, cerpen untuk majalah sekolah dan karangan untuk disemak guru bahasa Melayu serta menulis novel peribadi dalam buku berkulit tebal (tetapi hilang sewaktu cuti panjang persekolahan) dan saya tidak mencarinya lagi. Dunia penulisan saya ketika itu terlalu sempit.

Nik Nazmi pula dalam usia remaja sudah menulis dengan serius. Malah boleh dianggap istimewa kerana anak muda ini juga menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik. Mungkin kerana minatnya menelaah buku-buku dan karya tulisan Shakespeare, Leo Tolstoy, Albert Camus, John Grisham dan Jostein Gaarder (beberapa nama) menjadikan penulisannya dalam bahasa Inggeris berkesan. Berbanding saya, walaupun lebih 10 tahun mempelajari bahasa Arab (bahasa Inggeris lebih lama), belum pernah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa kedua penulisan saya. Saya masih terikat dengan bahasa Ibunda. Kenapa agaknya?

Setelah agak lama tidak berkesempatan menjenguk laman Nik Nazmi khabarnya sudah diberi nafas baru dengan nama n3aissues (mengasingkan catatan blog peribadi dan artikel), baru-baru ini saya telah terbaca satu wawancara bersama Nik Nazmi Nik Ahmad yang dibuat oleh Nizam Zakaria di laman peribadinya 'Kisah Seorang Limau Nipis'. Saya berpendapat, laman versi baru Nik Nazmi adalah menepati citarasa saya. Malah satu kolum yang terbit setiap selasa, dinamai "Warung Bayang-bayang" di laman http://n3a.9599.org, saya kira sedikit sebanyak kesan permintaan saya semasa berchating dengannya di YM suatu masa dahulu.

Dalam catatan sulung kolum tersebut bertajuk: "Liang-Liuk Antara Dua Benua" turut menyebut bahawa hatinya terbuka menulis dalam bahasa kebangsaan lantaran membaca catatan agung Goenawan Muhamad, malah turut menyatakan bahawa pernah memberitahu Pujangga alias saya sendiri bahawa mindanya terjajah dan menganggap bahasa Malaysia terlalu formal. Saya mendesak agar beliau menyeimbangi penulisannya di dalam bahasa kebangsaan, selain ghairah dalam bahasa Inggeris meski sudah agak banyak artikel yang ditulisnya sebelum itu juga dalam bahasa Malaysia.

Pada hemat saya, seorang penulis yang baik perlu banyak membaca serta ditambah kemahirannya mengolah dari simpanan maklumat yang didapatinya. Jika Nik Nazmi menjadikan pembacaannya meluas dalam bahan bacaan berbahasa Inggeris tentulah beliau lebih mesra menulis juga dalam bahasa Inggeris. Tetapi saya beranggapan, sesuatu penulisan yang baik malah tokoh yang memenangi anugerah nobel ialah mereka yang menulis di dalam bahasa mereka sendiri. Sebagai contoh: terbaru Imre Kertesz juga menulis kebanyakannya dalam bahasa Jerman. Para sasterawan negara kita juga menulis dalam bahasa kita diiktiraf di peringkat Asia dan dunia. Malah ada karya penulis kita yang diterjemahkan ke dalam bahasa luar menunjukkan karya hasil tangan penulis kita juga dihargai. Faisal Tehrani sebelum ini juga pernah mencuba menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi akhirnya kembali ke dalam bahasa Malaysia. Sebab itu saya beranggapan penulis berbakat seperti Nik Nazmi perlu menyeimbangkan penulisannya, agar khalayak pembaca tidak hanya kenal beliau sebagai penulis Melayu yang menulis dalam bahasa asing.

Apapun menjawab soalan "Kenapa saya cemburu Nik Nazmi?" tentu jawapannya terlalu subjektif. Oleh sebab itu saya bertanya diri saya sendiri... untuk apa saya cemburu Nik Nazmi? Tentu jawapannya, saya mahu jadi sepertinya atau lebih baik daripadanya selaku seorang penulis (bukankah lebih objektif?). Tetapi untuk sampai ke sana, saya menghormati Nik Nazmi sebagai penulis muda pilihan saya, meski usianya bertaraf 'adik' dengan saya. - TAMAT

+ Artikel saya bertajuk "Wajarkah Pelajaran Seks" catatan Min Huna Ila Hunak yang merupakan respon kepada catatan Min Aina Ila Aina, Subky Latif tersiar di harakahdaily.net bertarikh 17/9/2003. Di laman saya artikel tersebut disiarkan pada 12 September, catatan 241.

+ Esok Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) ke-11 DPMT. Selamat berehat untuk AJKT yang bakal melepaskan jawatan. Selamat bekerja untuk AJKT yang bakal mendapat jawatan dan selamat bermuhasabah untuk seluruh ahli DPMT. Tahun ini Tanta masih mengekalkan tradisi, tiada pertandingan. Calon cukup-cukup. Nampaknya bolehlah SPR berehat.

+ 22 September ni, Majlis Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa/i Cemerlang (MKAMC) PMRAM 2003. Saya dah berdaftar sebagai graduan, walaupun masih perlu untuk habiskan satu paper tasfiah. Sistem di sini berbeza dengan tempat lain. Pengalaman masuk konvo tak boleh dilepaskan walaupun pendaftaran termasuk jubah bernilai LE 95. Doakan 1 paper yang akan saya tempuhi November nanti dipermudahkan untuk lulus cemerlang.

Kata-kata Pujangga: "Kita tidak akan ke mana-mana selagi tidak mahu melakukan perubahan."

Sila klik  Respon/Komen

    

17 September 2003 | Rabu | 12.15 am

Catatan 243

Rencana: Pasca Dua Tahun Tragedi 11 September

Oleh: Akhi Masrawi

Dua tahun yang lalu, pada tarikh 11 September merupakan detik paling mustahak kepada sejarah Amerika Syarikat yang mengaku sebagai 'Super Power' dan 'Polis Dunia' diranapkan hanya menerusi serangan bersifat 'kamikaze' ke atas WTC dan Pentagon. Kesannya Amerika melabelkan serangan tersebut sebagai tindakan keganasan yang dilakukan oleh Umat Islam, walaupun sehingga penyiasatan reda tiada bukti yang kukuh dilakukan oleh umat Islam.

Presiden Amerika, George W. Bush di dalam kenyataannya ketika itu secara melulu menuduh dalang yang bertanggung jawab ke atas serangan tersebut adalah Osama Bin Laden, seorang Jutawan berbangsa Arab yang memiliki pengaruh yang kuat yang ketika itu sedang berada di Afghanistan, berilmu serta warak. Namun dalam masa yang sama, Osama menafikan keterlibatan beliau serta menyangkal tuduhan tersebut.

Media barat menjadikan isu tersebut untuk menghentam Islam. Minoriti umat Islam yang tinggal di Barat hidup dalam ketakutan., terutama bangsa Arab. Lantaran kebencian yang membuak-buak mereka menyenaraikan negara-negara pengganas dan nama-nama pengganas untuk diperangi. Yang peliknya, majoriti pengganas adalah umat Islam. Rupa-rupanya sama ada sedar atau tidak, Amerika menjadikan ianya sebagai umpan untuk menyerang Afghanistan, sebuah negara mundur yang majoritinya umat Islam tetapi pernah mencipta sejarah besar menumbangkan blok komunis (soviet Union) pada 1989 melalui gabungan mujahidin. Walaupun dalam kenyataan Bush, serangan itu bertujuan memerangi keganasan sekaligus untuk membunuh Osama Bin Laden tetapi saya secara peribadi merasakan tujuan Amerika lebih memihak untuk menguasai minyak dan gas asli di mana dianggarkan bahawa Afghanistan mempunyai 270 bilion tong minyak, iaitu lebih kurang 20% daripada simpanan minyak dunia serta 665 kaki padu gas asli iaitu hampir 1/8 simpanan gas asli dunia. Kenapa saya berkata demikian? Jika benarlah Bush ingin membunuh Osama, rasanya dengan kecanggihan yang mereka miliki sudah amat memadai tanpa menurunkan bala tentera yang ramai serta kos peperangan yang besar. Cukup sebagaimana lakonan dari Holywood diterjemahkan umpamanya menghantar seorang komando yang berperwatakan seperti Arnold atau menggunakan kecanggihan satelit pengesan dan bom jarak jauh tercanggih. Akhirnya Amerika mengumumkan berjaya menawan Afghanistan dan Hamid Khardzai dijadikan boneka memimpin Afghanistan.

Pasca serangan Amerika ke atas Afghanistan, Iraq dijadikan medan 'ujikaji persenjataan' seterusnya. Mengapa perlu Iraq? Kenapa tidak negara lain? Alasan yang digunakan kerana Iraq mempunyai simpanan senjata nuklear, kimia dan biologi dan ianya melanggar ketetapan persenjataan antarabangsa. Kenapa tidak Korea atau Cuba yang juga khabarnya turut mempunyai senjata tersebut? Pertama kerana Iraq adalah negara umat Islam (walaupun majoriti penduduknya adalah bermazhab Syiah), kedua kerana ini adalah siri peperangan akidah, ketiga kerana Iraq ada telaga minyak kedua terbesar di dunia keempat kerana Iraq adalah musuh tradisi keluarga Bush dan kelima kerana untuk mencapai misi negara Israel-Raya, dari lembangan Furat ke Lembah Nil.

Atas alasan tersebut maka PBB pun bersidang (sebenarnya berlakon). Wakil pemeriksa dihantar ke Iraq bagi membuktikan bahawa Iraq sememangnya telah melanggar ketetapan persenjataan dunia. Namun, tiada sebarang bukti ditemui. Amerika tetap berkeras. Bajet peperangan yang sangat besar telah disediakan. Akhirnya, berlakulah peperangan yang menyaksikan umat Islam di Iraq sebagai mangsa.  Iraq jatuh ke tangan Amerika dan Saddam Hussin hilang entah ke mana. Ada berita yang mengatakan Saddam ke Rusia, bersembunyi. Namun, bukanlah persoalan pemimpin bacul seperti Saddam itu yang mahu diketengahkan, tetapi apa yang mahu disebut bahawa agenda serangan pasca 11 September adalah rangkaian misi 'New World Orde' yang digagaskan semenjak pentadbiran Bush bapa.

Selepas kejatuhan Soviet kepada kuasa kerdil Afghanistan, Amerika menjadi kuasa besar tunggal. Pada 1990 Iraq melancarkan serangan terhadap Kuwait (sebenarnya kesan konspirasi politik Amerika terhadap pengapian isu persempadanan Iraq-Kuwait) yang kemudiannya membuka peluang Amerika serta sekutunya menghantar bala tentera untuk meranapkan Iraq pada Perang Teluk 1991. Ketika itu Arab Saudi pun turut membuka laluan kepada Amerika.

Selepas berakhirnya Perang Teluk dan Bush bapa berundur dari arena politik Amerika dengan digantikan oleh Bill Clinton, Amerika seakan-akan tidak menemui alasan untuk terus berperang dengan Umat Islam sehinggalah tragedi 11 September 2001. Dan terbukti pemimpin Amerika yang menggantikan Bill Clinton adalah anak Bush sendiri. Agenda Zionis akan diteruskan dengan Presiden Amerika sebagai kepala 'goyim'. Mana mungkin tradisi Amerika sebagai 'pembuli' terencat kesan pimpinan Clinton yang hanya lebih mesra ber'asmara' di Rumah Putih.

Saya sendiri sangat tidak faham dengan politik negara-negara Arab. Setahu saya, negara-negara Arab hanya mengamalkan dua bentuk pentadbiran iaitu menerusi 'mamlakah' kerajaan beraja (cth: Arab Saudi, Jordan, Qatar dll) dan sistem presiden yang bersifat diktator (cth: Mesir, Syria, Lubnan). Dengan penguasaan Amerika di Iraq pastinya akan berlaku perubahan yang ketara dalam sistem politik timur tengah. Ini kerana Amerika memperkenalkan demokrasi yang kemungkinan besar akan menjadi gelombang kebangkitan kesedaran politik bangsa Arab. Walaupun begitu, tiada sebuah pun negara Arab yang benar-benar berperanan menghalang penyerangan Amerika terhadap Iraq. Liga Arab yang bersidang juga tidak menemukan apa-apa resolusi yang memberangsangkan. Mungkin kerana masing-masing hanya ingin menjaga kepentingan diri, lantas membiarkan Iraq menjadi mangsa.

Setelah kejatuhan Afghanistan Iraq juga menerima nasib yang serupa. Kemasukan budaya barat ke gerbang sosial umat Islam menjadi kejutan budaya yang merunsingkan. Amerika menerbangkan filem-filem lucah mereka masuk ke Afghanistan dan Iraq demi melalaikan umat Islam, terutama generasi muda. Jika dahulu, wayang hanya menyiarkan filem-filem yang masih menjaga adab, setelah 'penjajahan' Amerika filem-filem lucah diberitakan membanjiri Baghdad. Majalah-majalah erotis yang memaparkan model-model bogel bersepah di sepanjang jalan di Baghdad. Malah lebih menyedihkan apabila mendapat sambutan baik masyarakat Iraq. Jika dulu semasa Rejim Saddam memerintah, semuanya terkawal; setelah tumbangnya patung Saddam adalah masa kebebasan mutlak. Namun, umat Islam yang teguh iman masih meneruskan penentangan demi penentangan.

Betullah, siri peperangan salib tidak akan berakhir. Apakah kalian menyangka bahawa Yahudi dan Nasrani akan meredhai umat Islam? Sedangkan di dalam al-Quran telah disebutkan dengan jelas. Peluang menguasai Iraq dan Afghanistan adalah keuntungan yang sangat besar kepada Amerika Syarikat. Sekurang-kurangnya Amerika tidak lagi perlu bergantung kepada Arab Saudi untuk mendapatkan bekalan minyak dan gas. Berpengkalan di Iraq juga memungkinkan lebih mudah Amerika menyalurkan apa-apa bantuan kepada Israel. Misi Israel belum usai.

Selagi umat Islam tidak bersatu, usah harap kita akan mampu menentang kafir laknatullah itu. Buktinya sudah ada di depan mata, nampaknya pasca 11 September 2001 adalah detik penerusan agenda 'New World Orde' yang belum usai. Apakah kita hanya akan menjadi penonton kepada drama dunia baru?

Apa yang pasti, selagi tidak ada perubahan sistem politik umat Islam kembali kepada sistem Islam yang hakiki... selagi itulah kita akan terus menjadi mangsa. Apakah kalian sedar? - TAMAT

Kata-kata Pujangga: "Mereka yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW di akhir zaman umpama menggenggam bara api yang menyala. Kitakah mereka itu?"

Sila klik  Respon/Komen

 

15 September 2003 | Isnin | 10.00 pm

Catatan 242

+ Semalam DPMT anjur rehlah usrah saedah yang menggabungkan seluruh anggota muzakarah berkelompok dan liqa' fikri DPMT di bawah kelolaan Unit Dakwah dan Unit Hal Ehwal Kemasyarakatan. Dua buah 'koster' disediakan sebagai pengangkutan rehlah ke beberapa maqam sekitar Mansurah dan ke pantai Roksulbar di Dameita City (Dumyat).

+ Ahli liqa fikri yang saya bawa (saya sebagai fasilitator) kecuali Wan Ramli dan Along saja yang uzurkan diri. Yang lain: Muin, Husni, Izazie, Syukri, Anuar dan Al-Amir ikut serta. Alhamdulillah, kami bertolak dari Tanta pada jam 7 pagi lebih kurang menuju ke maqam Syeikh Muhammad Mutawalli as-Sya'rawi, seorang ulamak besar yang sangat hampir dengan umat Islam di Mesir. Telah kembali ke rahmatullah pada 17 Jun 1988. Pernah dilantik sebagai Wazir Awqaf (Menteri Hal Ehwal Agama Islam) Mesir (1976-1978), tetapi akhirnya meletakkan jawatan tersebut dan meneruskan perjuangan dakwah Islamiah sehingga akhir hayat. Maqam beliau terletak berhampiran Majma' Sya'rawi di sebuah perkampungan kecil bernama Daqadus, daerah Mit al-Ghamr 30km dari Mansurah. Beliau seorang ulamak yang sangat alim dan disegani. Telah menghafal al-Quran pada usia 10 tahun. Mempunyai ingatan yang sangat kuat sehingga mampu mengingat apa yang dialaminya pada usia kecil. Oleh sebab keluarganya mencintai ilmu dan ayahnya rapat dengan ulamak, maka beliau telah dihantar belajar ke Al-Azhar. Semasa menuntut beliau sangat aktif dengan persatuan sehingga pernah menjadi Presiden Sasterawan Zaqaziq dan melibatkan diri dalam tunjuk perasaan dan revolusi menentang penjajah. Melibatkan diri dalam bidang kerjaya pernah menjadi guru, pensyarah, mudir, pemeriksa kertas peperiksaan, ketua delegasi Al-Azhar ke Algeria pada 1966, pengisi acara Nur 'Ala Nur di tv Mesir 1974, pendakwah dan menteri Waqaf. Berkahwin pada usia muda dengan calon pilihan bapanya. Dikurniakan seramai 5 orang cahaya mata (3 lelaki dan 2 perempuan). Sebenarnya semasa tahun pertama saya di Mesir sudahpun sampai ke maqam tersebut. Cuma pada masa itu masih dalam proses pembinaan.

+ Kemudian rombongan bertolak ke Masjid Muhamad Bin Abu Bakar As-Siddiq di mana terletaknya maqam Muhammad bin Abu Bakar As-Siddiq. Merupakan anak kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sahabat Baginda SAW yang dibaiah sebagai khalifah Islam pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW. Terletak di sebuah perkampungan terpencil bernama Mit Damsis 25km dari Mansurah. Makam ini ditemui pada 1950M. Terletak bersebelahan dengan gereja Ortodoks tertua di dunia yang dibina lebih 1600 tahun yang lampau. Di gereja inilah dilakukan acara pembabtisan di mana pada Ogos lalu menyaksikan lebih dua juta yang hadir untuk upacara tersebut. Menurut riwayat, Muhammad Abu Bakar As-Siddiq meninggal pada usia 28 tahun akibat serangan tentera Muawiyah dan jasadnya dicincang. Saya sendiri kurang pasti kebenarah riwayat tersebut lantaran tidak menguasai tarikh (sejarah) Islam dengan sempurna.

+ Destinasi seterusnya ialah maqam Abdullah Bin Salam, seorang sahabat baginda SAW yang asalnya seorang pendita Yahudi (ahli Kitab) yang disegani. Memeluk Islam dengan keyakinan setelah segala persoalan yang diajukannya kepada Baginda SAW dijawab dengan tepat. Abdullah Bin Salam menguasai Taurat dan Injil serta Al-Quran setelah memeluk Islam. Turut terlibat dengan Rasulullah SAW di dalam beberapa siri peperangan sehingga akhirnya mengikut Amru bin Al-As ke Mesir dan meneruskan perjuangan membersihkan akidah Yahudi kepada Islam. Selain sebagai seorang yang faqih beliau juga meriwayatkan hadis dan berjihad.

+ Dalam perjalanan ke pantai Roksulbar, sempat singga di kebun 'inab (anggur) dan tamar (kurma). Di Roksulbar agenda dipenuhi dengan panggang ayam, main bola dan mandi-manda. Ke Dermaga untuk melihat pertemuan di antara dua laut agak lewat dan tak dapat berada lama di situ. Cuma sempat merakamkan gambar tanpa sempat bersiar-siar sekitar tempat yang mempunyai riwayat tersendiri itu. Bersolat Maghrib + Isya' (Jama' taqdim) di Masjid berhampiran, kemudian bertolak pulang ke Tanta. Sampai ke Tanta jam sudah pukul 10 malam. Letih melilit badan.

+ Hari ni tunaikan janji untuk buat laksa kepada ahli bait (sebenarnya tak janji pun) tapi pernah sebut yang saya nak buat. Alhamdulillah siap juga laksa. Terpaksa guna makaronah (spageti) sebab tiada laksa yang betul sebagaimana makan laksa di Malaysia. Tapi sebab membayangkan sedang berada di Mesir, kira oklah.

+ Sekarang ni, stats saya rasanya sudah pening... sebab hits kemasukan ke laman weblog saya ni tak sama dengan hits yang direkodkan oleh geocities. Huh... adakah perlu menukar lagi? Sebelum ni pun begitu juga... Anaih kata masalah script. Entahlah... saya bukan reti sangat. Counter pun dah lama tak 'syaghal' (berfungsi). Nak tukar pun rasa malas. Alah... yang penting pembaca tetap baca jurnal saya. Oh ya... ada seorang pembaca sarankan untuk saya letak lagu, apa pendapat pembaca lain?

Kata-kata Pujangga: "Kebenaran itu ibarat air yang mengalir, sekalipun disekat ia tetap akan terus mengalir."

Sila klik  Respon/Komen

 

12 September 2003 | Jumaat | 14.10 pm

Catatan 241

(Respon catatan Subky Latif Min Aina ila Aina di http://harakahdaily.net  menerusi catatan saya - Catatan Min Huna ila Hunak, oleh: Akhi Masrawi di http://akhimasrawi.cjb.net )

Wajarkah Pelajaran Seks?

Saya ada terbaca satu artikel yang ditulis oleh Subky Latif bertajuk: "Pelajaran seks bakal jadi peninggalan Dr Siti Hasmah" seminggu yang lalu. Ulasan tersebut dibuat oleh penulis pojok "Min Aina ila Aina" itu ekoran tercetusnya idea Dr Siti Hasmah supaya pelajaran mengenai seks diperkenalkan segera kepada masyarakat kita.

Menurut Subky mungkin itulah idea terakhir atau juga boleh dikatogerikan sebagai wasiat Dr Siti Hasmah sebelum menjelang detik persaraan suaminya sebagai PM (Oktober 2003) dan bakal menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa. Paling tidak tentu suatu masa nanti, pasti rakyat Malaysia akan mengenang budi Hasmah kerana idea tersebut.

Saya tidak mengatakan ini sebagai satu idea yang tidak bernas, tetapi melihat kepada situasi dan status negara Malaysia sekarang idea ini seakan-akan menghina status Malaysia sebagai sebuah 'Negara Islam' sebagaimana yang diumumkan oleh PM (meskipun ada yang menyanggah).

Persoalannya, adakah idea itu wajar dilaksanakan di Malaysia? Sekiranya wajar, apakah alasan yang menyokong? Bagaimanakah bentuk perlaksanaan? dan Apakah kesan langsung perlaksanaannya? Ini antara beberapa persoalan yang perlu difikirkan bersama secara akademik, bukan mengikut kepentingan politik semata-mata.

Saya tidak nampak bahawa ini adalah satu idea yang baru. Buktinya di negara-negara maju (terutama di barat) telahpun lama dilaksanakan. Malah boleh juga dikatakan, telah disuarakan di Malaysia beberapa waktu yang lalu. Cuma - mungkin kerana idea tersebut masih tidak sesuai maka perlaksanaannya terus tertangguh.

Atas alasan apakah pelajaran seks perlu diperkenalkan kepada masyarakat? Adakah kerana masyarakat kita tidak mahir ilmu seks, sehingga perlu dijadikan pelajaran! apabila sesuatu perkara telah diklasifikasikan sebagai pelajaran, sudah tentu tempat yang paling terbaik untuk dilaksanakan ialah di institusi pengajian. Tak kiralah sama ada institusi tersebut adalah sebuah sekolah, kolej mahupun universiti.

Di barat, pelajaran seks bukan sahaja diperkenalkan dengan menggunakan silibus pelajaran berpandukan buku dan bahan bacaan kerana mereka menganggap perlunya kepada pendedahan tentang praktikal perhubungan seks yang betul. Dengan peruntukan yang dimiliki, mereka menghuraikan pengajaran seks dengan menampilkan model yang berbogel untuk melakonkan teknik-teknik hubungan kelamin yang betul supaya ketelusan pelajaran seks diperkenalkan kepada masyarakat mereka. Malah kelas senilukis di Perancis (mungkin di tempat-tempat lain juga) menampilkan seorang model wanita jelita yang berbogel  di depan khalayak untuk dilukis para mahasiswa kerana itulah juga ketelusan yang ada dalam sistem pendidikan mereka. Bagaimana pula dengan sistem pendidikan kita?

Mungkin jika kita juga ghairah hendak meniru barat, model-model adegan ranjang itu perlu dipelbagaikaumkan kerana negara kita bermasyarakat majmuk. Vcd lucah yang sebelum ini dianggap 'sampah' akan menjadi 'buku teks dan rujukan', pelakon-pelakon adegan ranjang akan lebih dikenali di kalangan pelajar berbanding para ilmuwan, ulamak dan pemimpin.

Semasa saya di bangku sekolah menengah dahulu, guru sains juga agak janggal mengajar kami tentang pelajaran yang berkaitan seks dan organ-organ seks. Itupun guru saya tidak mendedahkan dengan jelas kerana mungkin dipengaruhi oleh perasaan malu. Sesuailah kerana guru itu seorang wanita dan beragama Islam dan kami juga kesemuanya pelajar putera.

Tetapi itu situasi di sekolah menengah saya. Mungkin di sekolah-sekolah lain jauh berbeza.

Manusia sebenarnya secara fitrah sememangnya memiliki keinginan seks. Ini tidak boleh dinafikan. Tetapi sesuaikah seks dijadikan pelajaran? Apakah pula bentuk perlaksanaan itu nanti. Jika pelajaran seks dikaitkan dengan aspek 'hidup sihat' saya rasa dengan adanya pelajaran seks pun tidak mampu berbuat apa-apa. Di barat setelah diperkenalkan pelajaran seks di sekolah-sekolah dan kolej, kadar penyakit dan kematian akibat berpunca dari gejala seks meningkat mendadak. Apa tidaknya setelah didedahkan di kelas, sudah tentu pelajar-pelajar akan mempraktikkan di luar kelas. Kesannya mereka semakin 'maju' mengamalkan seks bebas kerana masyarakat barat sememangnya tidak ada moral. Jikalau pelajaran seks yang dilaksanakan di barat itu berjaya mengubah kehidupan seks mereka, pastinya ia boleh dijadikan model perlaksanaan di Malaysia. Namun, semakin diajar semakin melampau. Mahukah di Malaysia juga akan terjadi perkara yang sama?

Saya kira rakyat Malaysia perlu berterima kasih (sehingga kini) kepada kementerian Pendidikan yang masih tidak melaksanakan pelajaran seks kerana barangkali mereka juga tidak ghairah untuk memperkenalkan adegan-adegan ranjang di dalam kelas pengajian untuk diketahui anak-anak muda. Jika tidak mungkin ibu-bapa akan turut menjadi guru kepada anak-anak untuk menyingkap rahsia-rahsia ranjang.

Meskipun begitu, saya percaya anak-anak remaja (yang gilakan seks) tentunya amat menyokong pelajaran seks kerana ianya mungkin akan menjadi pelajaran yang paling diminati. Apatah lagi jika guru pelajaran itu seorang wanita muda yang cantik atau guru lelaki yang kacak. Paling tidak, kalaupun tidak berlaku sebagaimana di barat (adegan dikuliahkan) mungkin adegan luar kelas adalah alternatif yang akan terjadi.

Sedang tidak ada pelajaran dan pendedahan seks pun, kebejatan gejala sosial seperti bohsia, bohjan, sumbang mahram, zina, liwat, lesbian dan sebagainya begitu tenat apakah pula yang akan berlaku jika pelajaran seks ni benar-benar ada? Mungkin akan semakin menggalakkan aktiviti seks bebas agaknya!

Seks adalah subjek yang sudah diketahui dan dikuasi tanpa perlukan kepada pelajaran. Masing-masing tahu bagaimana untuk melunaskannya bila waktunya sudah tiba. Jikalau idea pelajaran seks ini sekadar untuk menunjukkan cara yang selamat untuk mengadakan seks, saya berpendapat Islam telahpun mengajar cara terbaik iaitu dengan berkahwin. Malah agama-agama dan ajaran yang lain juga. Masalahnya berapa ramai yang mahu mengikut agama?

Di sebuah negara jiran ketika kempen seks selamat menggunakan kondom diperkenalkan, industri kondom menjadi semakin maju. Saya kira jika pelajaran seks diperkenalkan di Malaysia, kelas-kelas tuisyen seks akan mendapat sambutan yang hebat. Sambutan pastinya akan lebih menggalakkan jika teknik pengajaran dipelbagaikan dan akan berlaku persaingan. Sudah tentu pada waktu itu kelas tuisyen juga ibarat kondom.

Justeru sama-samalah kita tunggu dan lihat, apakah akan dilaksanakan pelajaran seks di negara yang kita cintai, Malaysia. Yang pastinya jika idea ini terlaksana di Malaysia pasti nama Dr Siti Hasmah akan dikenang. Pun begitu, saya tetap berdoa supaya Allah akan terus menjaga kita daripada kemungkaran yang akan menyebabkan terhumban ke neraka.

Kata-kata Pujangga: "Manusia yang berakal sentiasa memikirkan perkara yang berfaedah."

Sila klik  Respon/Komen

 

9 September 2003 | Selasa | 15.00 pm

Catatan 240

Bayi Tabung Uji: Menurut Perspektif Sains dan Fiqh Islami

Bulan lepas (Ogos) menyaksikan purata pencarian yang menjumpai laman saya menggunakan kalimah "pengklonan" atau klon. Saya sendiri tidak pasti, mengapa begitu banyak surf yang dibuat semata-mata mencari subjek berkenaan dan siapa pencarinya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa saya ada menulis satu catatan tentang klon dan pengklonan pada catatan 234 bertarikh 11 Ogos selepas menghadiri pembentangan kertas kerja tersebut yang dibentangkan oleh Ustaz Sarif Yusof, khirrij (Graduan) al-Azhar Damanhur. Sekurang-kurangnya catatan tersebut telah menjadi satu modus operandi kepada para pelayar yang mahukan informasi berkaitan klon walaupun catatan itu hanya sekadar beberapa sedutan ringkas dari isi pembentangan dan kertas kerja yang dibentangkan itu. Catatan itu juga sedikit sebanyak menyebabkan peningkatan hits kemasukan pelayar ke laman PUJANGGA Online.

Semalam saya menghadiri satu lagi majlis ilmu di Bait Izzah dengan perbincangan mengenai Bayi tabung uji. Dua orang ahli panel dijemput menjayakan perbincangan tersebut. Panelis pertama, Dr Ahmad Shuib Yahaya, pelajar tahun 2 Fakulti Perubatan Universiti Ain Syam, Kaherah dan panelis kedua ialah sahabat saya sendiri, Ustaz Hairul Nizam Mat Husain, khirrij Fakulti Syariah Islamiah Universiti al-Azhar cawangan Tanta dengan taqdir Jayyid Jiddan (khabarnya akan menyambung pengajian sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam pengkhususan Usul Fiqh).

Saya begitu tertarik dengan kedua-dua perbahasan (sains-fiqh) yang dikupas dengan teliti oleh kedua-dua panel yang dijemput. Walaupun kehadiran pendengar agak kurang, namun tidak mematahkan semangat panelis. Panelis pertama membicarakan tentang definisi, sejarah, teknik-teknik yang dilakukan untuk operasi bayi tabung uji, pembekuan embrio, pemilihan jantina bayi, ibu tumbang, permanian beradas, peruntukan perundangan, tanggapan dan risiko yang dihadapi. Saya tertarik dengan fakta bahaya bayi tabung uji pertama telah berjaya dilahirkan pada 25 Julai 1978 dalam sejarah dunia dinamakan Louise Brown atas usaha Dr Robert Edwards. Walau bagaimanapun kejayaan tersebut hanya selepas 100 percubaan menemui kegagalan.

Sejak kecil saya berfikir (walaupun tidak serius) tentang mengapakah dinamakan bayi tabung uji? Apakah kerana bayi tidak dihamilkan didalam rahim wanita bernama ibu? Sebenarnya ramai yang keliru... meskipun dinamakan bayi tabung uji, tetapi persenyawaan dilakukan menggunakan piring. Jawapan itu sebenarnya telah saya temui semasa di sekolah menengah lagi, ketika seorang guru sains saya menceritakan tentang persenyawaan dalam subjek sains. Ketika itu peluang ke makmal sains adalah sangat terhad, namun bukanlah halangan untuk saya tidak kenal perkakasan makmal sehingga tidak dapat membezakan antara tabung uji dan piring pateri. Namun, pengistilahan bayi tabung uji sudah amat tersohor malah di dalam bahasa Arab sendiri disebut "al-atfal al-anabib" yang bermaksud bayi tabung uji. Mengapa ya?

Mendengar penjelasan teknik persenyawaan yang dilakukan untuk pengoperasian bayi tabung uji oleh Dr Syuib, menambah keyakinan saya betapa rahim ibu (wanita) adalah satu ciptaan Allah yang tidak mungkin ditiru oleh manusia. Ini kerana jika manusia mampu meniru rahim wanita, sudah tentu bayi mampu dihamilkan diluar. Akan tetapi bagaimanapun bentuk persenyawaan samaada persenyawaan luar atau dalam, masih tetap memerlukan rahim sebagai tempat penghamilan. Teknik-teknik yang dianjurkan seperti In Vitro Fertilization (IVF) atau persenyawaan luar rahim, iaitu dilakukan dengan mengeluarkan sperma dan ovum dan disenyawakan di dalam piring makmal dengan persekitaran yang sesuai menjadi embrio yang kemudiannya dipindahkan ke dalam rahim. Selain dari teknik IVF, terdapat juga teknik persenyawaan yang lain seperti Gamete Intrafallopian Transfer (GIFT) dan PGD. Namun saya tidaklah berkesempatan untuk membincangkan keseluruhan isi perbahasan menurut sains, kerana ianya melibatkan proses-proses perubatan yang agak janggal.

Kesempatan membicarakan topik bayi tabung uji ini, saya lebih merasa perlu menjelaskan perkaitan perkembangan sains dengan qarar penghukuman menurut fiqh Islami. Justeru sejauhmanapun kemajuan yang mampu dicipta oleh sains sekiranya ianya bertentangan dengan fiqh Islami ianya tetap dianggap mempunyai kelemahan dan larangan untuk diamalkan.

Menurut panelis kedua, Ustaz Hairul Nizam terdapat dua bentuk asas talqeh al-istinai'e (persenyawaan buatan) bayi tabung uji iaitu persenyawaan dalam dan luar. Pembahagian ini diperincikan kepada tujuh katogeri.

Persenyawaan dalaman

Pertama: Sperma yang diambil dari si suami dimasukkan ke dalam faraj isteri untuk bergabung dengan ovum si isteri dengan kaedah persenyawaan tabi'e (biasa). Kaedah ini dilakukan apabila suami tidak mampu memancutkan sperma yang memadai untuk disenyawakan melalui persetubuhan. Hukum bagi kaedah ini adalah harus.

Kedua: Sperma daripada lelaki asing diambil dan dimasukkan ke dalam faraj wanita yang sudah bersuami. Cara ini apabila sperma suami tidak layak untuk menghasilkan anak atau tidak mampu bergabung dengan ovum. Seolah seperti berlaku perzinaan walaupun tidak melalui persetubuhan badan. Cara ini adalah haram.

Persenyawaan luar

Ketiga: Sperma suami dan ovum isteri dikeluarkan dan disenyawakan di luar. Kemudian setelah menjadi embrio dimasukkan semula ke dalam rahim isteri dan berlaku kehamilan seperti biasa. Cara ini adalah harus.

Keempat: Persenyawaan dilakukan di luar dengan sperma diambil dari suami dan ovum daripada wanita yang bukan isterinya. Lalu setelah disenyawakan dimasukkan pula ke dalam rahim si isteri. Kaedah ini digunakan apabila si isteri tidak mempunyai ovum atau ovumnya tidak mampu disenyawakan tetapi mempunyai dinding rahim dan rahim untuk proses penempelan yang telah disenyawakan. Cara ini adalah haram.

Kelima: Sperma dan ovum diambil daripada orang asing, lalu disenyawakan dan dimasukkan ke dalam faraj seorang wanita yang telah bersuami. Kaedah ini dilakukan kerana si isteri dan suami tidak mempunyai benih yang baik untuk disenyawakan. Namun si isteri mempunyai rahim yang sesuai untuk hamil. Cara ini juga haram kerana ianya melibatkan benih asing yang tidak melibatkan nasab yang betul.

Keenam: Sperma dan ovum adalah milik sepasang suami isteri tetapi dimasukkan ke dalam faraj wanita asing yang tiada perkaitan pernikahan dengan si suami. Keadaan ini berlaku apabila si isteri tidak mampu hamil tetapi mempunyai ovum yang mampu disenyawakan. Perbincangan lanjut melibatkan hukum sewa rahim. Cara ini juga haram sebagaimana hukum sewa rahim.

Ketujuh: Cara ini sama dengan kaedah keenam, tetapi wanita yang dijadikan ibu tumpang ialah isteri lain bagi si suami yang mengamalkan poligami. Cara ini pernah diharuskan pada majmak Fiqh Islami ketujuh, tetapi pendapat tersebut telah ditarik balik setelah dibincangkan dengan lebih teliti pada majmak daurah kelapan dan berhukum dengan hukum juga haram.

Jelasnya perbahasan mengenai bayi tabung uji berkait rapat dengan perbahasan nasab di dalam Islam. Agama kita sangat menitik beratkan persoalan nasab lantaran ianya adalah merupakan lima perkara asasi dalam pertimbangan darurat, hajat dan tahsiniyat. Cuba kita sama-sama bayangkan jika kemajuan sains tidak dipandu dengan panduan fiqh Islami, pasti dunia akan celaru dan haru-biru. Sekarangpun sudah ada, terutama di barat anak-anak luar nikah yang jika ditanya mungkin tidak mengenali siapakah bapa mereka lantaran gejala sosial yang melibatkan pergaulan bebas dan perlakuan seks bebas.

Walaupun Islam membenarkan 2 kaedah yang disebutkan diatas untuk proses persenyawaan buatan (kaedah pertama dan ketiga), tetapi perlu dilihat adanya syarat-syarat dan dzowabit yang perlu dijaga dan diawasi. Menurut Dr Syuib, kaedah paling praktikal bagi persenyawaan buatan adalah dengan mendapatkan sperma yang segar yang tidak dapat tidak dikeluarkan dengan menggunakan kaedah masturbasi/ onani atau melancap (lelaki mengeluarkan mani dengan menggunakan tangannya sendiri). Jumhur ulamak menegaskan larangan terhadap perbuatan tersebut, malah ahli perubatan juga tidak menggalakkan kerana terdapat kesan sampingan. Walaupun begitu, perlulah dilihat sekiranya terdapat cara lain yang lebih bertepatan dengan Islam. Misalnya dengan menggunakan proses pembekuan sperma, pancutan sperma ke dalam kondom dengan suami mengadakan persetubuhan dengan isteri terlebih dahulu sebelum rawatan atau dengan isteri kedua jika mengamalkan poligami. Cuma perbincangan tidak menyebut apakah boleh menggunakan kaedah onani dengan tangan isteri, kerana saya pernah terjumpa dan terbaca pandangan yang mengatakan boleh onani dengan menggunakan tangan isteri.

Sebenarnya perbahasan tentang persenyawaan buatan dan bayi tabung uji sangat luas. Saya hanya mengeluarkan sebahagian perbahasan sahaja untuk dilihat sebagai suatu yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Tidak hairanlah jika di dalam al-Quran Allah menyuruf manusia mengkaji tentang tubuh badan mereka sendiri, kerana luasnya ilmu Allah itu tidak akan mampu ditandingi oleh manusia. Keith Moore ketika diberikan kesemua ayat-ayat Al-Quran berkaitan manusia juga mengakui masih terdapat apa yang tidak dibongkar oleh kemajuan sains. Justeru sains berlari sejajar dengan agama.

Tak mustahil jika agama diketepikan suatu hari nanti akan lahir kerosakan yang paling dahsyat. Apa tidaknya jika hari ini ada manusia yang bangga seperti Louise Brown mendakwa dirinya sebagai manusia hasil dari persenyawaan tabung uji, mungkin suatu hari nanti ada pula manusia yang berbangga sebagai bayi hasil klon.

Mungkin seorang guru masa depan akan cepat bersara lantaran dalam sebuah kelas yang diajarnya terdapat sekurang-kurang murid yang lahir tanpa bapa (anak luar nikah), murid yang lahir tanpa ibu (pasangan gay - lesbians atau homoseks yang melakukan persenyawaan buatan), murid yang lahir tanpa kenal siapa ibu bapanya (bayi tabung uji dari sperma dan ovum yang dikumpul) murid yang lahir tanpa ibu dan bapa (melalui kaedah klon - walaupun sehingga kini belum ada kejayaan) dan mungkin ketika itu 10 daripada 20 pelajar dalam sesebuah kelas adalah berwajah serupa. Mustahilkah?

Kata-kata Pujangga: "Jika kail panjang sejengkal, usah diduga lautan yang dalam, walaupun lautan itu tidak bergelora."

Sila klik  Respon/Komen

 

3 September 2003 | Rabu | 10.30 am

Catatan 239

SEBUAH KARYA AKHI MASRAWI

WARKAH TERAKHIR DARI RAMALLAH


MEMORI keakraban antara aku dan Jihad masih segar di kotak ingatan. Meski setelah tiga tahun lalu perpisahan menjadi tamu, sekaligus menjarakkan kemesraan yang baru memutik. Nostalgia menyusur denai-denai ilmu di Jamie' Al-Azhar menerpa. Membasuh keresahan menghabiskan pengajian di rantau orang di universiti yang terkenal sebagai kiblat ilmu itu. Betapa indahnya saat lalu, meski ia tidak betah berulang kembali.

"Tinggallah bersamaku." Ujarku setelah berkenalan dengan Jihad kali pertama bertemu dengannya di perkarangan masjid Husin.
"Tak usahlah." Balas Jihad menolak.
"Tak mengapa, lagipun bukanlah asing mendiami sebuah rumah dengan ahlinya berbeza negara." Aku meyakinkan walaupun pada mulanya aku agak keberatan lantaran menjadi kelaziman para mahasiswa Malaysia tinggal dengan rakan senegara.

Setelah berittifaq aku membawa Jihad pulang ke rumah dua bilik yang kusewa di Madinah Nasr itu. Bermulalah episod persahabatan antara kami.

Jihad seorang sahabat yang akrab dengan muallafat. Berketrampilan sederhana dan zuhud sifatnya. Melazimi puasa sunat Isnin-Khamis dan qiyamullail. Pernah sekali aku mengusik hamasahnya meratah thaqafah dan mengungguli muallif lantaran cemburu yang terbina. Namun, Jihad tetap sabar dan istiqamah. Padanya safar ilmu di Ardil Kinanah ini adalah peluang yang tidak mungkin diperolehi setiap jiwa yang lahir di daerahnya.

Benarlah kata Jihad. Safar ilmu itu terlalu mencemburinya. Baru setahun menjadi warga Al-Azhar sekaligus teman serumahku, dia terpanggil pulang ke daerah asalnya. Dalam kepasrahan aku melepaskan Jihad pergi.

Semalam, kepulanganku ke kediaman di Madinah Nasr mengetuk tirai emosi apabila Muslim, teman serumahku menyerahkan sekeping sampul surat yang dikirimkan dari Ramallah. Tentu sahaja aku tidak akan salah meneka. Aku tidak punya sesiapa di Ramallah, kecuali Jihad. Setelah tiga tahun perpisahan merakam waktu baru kini warkahnya terutus. Kuratah setiap isi warkah Jihad dengan tenang.

Assalamualaikum warahmatullah...

Sahabatku fillah,

Kukira kau gembira menatap warkah bisu ini meski setelah tiga tahun sepi membaluti persahabatan kita. Ukhwah yang pernah kita bina kuharap masih mekar seperti dulu. Lantas sebagai seorang sahabat. kuterbangkan doa dari bumi Isra' ini agar hidupmu bahagia.

Akhi,

Kala kau dan teman-teman meratah thaqafah di halaqah-halaqah ilmu, aku dan para satria di sini terhambat menyusun takhtit demi jihad yang satu. Ya, jihad fi sabilillah yang tak akan luput dari jiwa yang beriman. Meski kalian mengejar kefaqihan untuk berstatus ulamak kami terus berperang untuk menang atau syahid sebagai syuhada. Perjuangan kita tetap perjuangan suci murni yang kita warisi daripada mereka yang telah pergi.

Ketahuilah sahabatku, tidak terlintas di nubariku untuk mengabaikan persahabatan yang telah kita bina. Apa lagi jasamu menghulurkan pertolongan dan bantuan kewangan yang kau salurkan buatku menyebabkan aku terasa hiba hingga saat ini pun aku tak mampu membalasnya.

Aku terhenti membaca isi warkah. Hiba mengusik. Ada manik jernih yang bertakung di kelopak mata. Kusambung kembali dengan warkah tetap kemas di genggaman.

Setibanya aku di Ramallah aku teruji dengan kepergian seluruh ahli keluargaku yang gugur syahid di tangan seldadu Yahudi. Berita yang menyayat hati itu kuterima pasrah. Aku sudah tiada sesiapa kecuali setelah aku ditemukan dengan Abdullah seorang pejuang HAMAS yang kemudiannya membawaku bersama jemaah itu.

Kau tentu tahu bukan, setiap perkhabaran di sini? Ku kira media sentiasa melaporkan. Justeru tidak perlulah kiranya kuriwayatkan kesemua kisah-kisah itu. Cukuplah sekadar menceritakan persepsiku semenjak menganggotai HAMAS, sebuah pertubuhan intifada yang dilabel George W Bush sebagai kelompok 'terrorist', sedang Ariel Sharon yang menyembelih hampir 3000 jiwa umat Palestin dalam tragedi Sabra dan Shatila sewaktu menjadi menteri Pertahanan Israel dilabel sebagai pejuang keamanan. Kau lihat! Tribunal dunia barat menghakimi kita. Sharon celaka itu hanya di'pujuk' melepaskan jawatan ketika itu tetapi akhirnya dipilih semula menjadi Perdana Menteri menggantikan Ehud Barak serta meneruskan onar, sedangkan tiada sebarang tindakan untuk membela umat Islam Palestin.

Meskipun berpemimpinkan seorang amir yang cacat, bukanlah jidar yang menghalang hamasah kami pengikut Syeikh Ahmad Yassin itu. Sebagai ganti kecacatan beliau Allah telah menganugerahkan berpuluh ribu kaki dan tangan pejuang Islam. Syeikh intifada itu kujadikan idola untuk membebaskan bumi Palestin ini. Api jihad sering menyala-nyala saban khutabahnya berkumandang di Masjid Al-Abbas, Masjid Ashnati dan Masjid Izzuddin Al-Qassam mengingatkan umat Islam Palestin kembali berpegang teguh dengan ajaran Islam. Kita tidak mungkin boleh menaruh harapan lagi kepada perjuangan Arafat. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sepatutnya telah lama berundur dari memperjuangkan keamanan dan pembebasan Tanah Suci ini lantaran perjuangan mereka semenjak 1964 itu adalah bersifat kebangsaan dengan paksi sekular.

HAMAS yakin PLO adalah boneka sekular. Persis OIC dan Liga Arab yang saban waktu mengatur penipuan demi penipuan. Apa yang 57 buah negara anggota OIC sebagai pertubuhan kedua terbesar di dunia itu telah lakukan untuk Palestin? walaupun asalnya diasaskan di Rabat, Morocco pada 25 September 1969 sebagai menyatakan sensitiviti terhadap cubaan Zionis antarabangsa untuk membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969. Sementara mereka berdrama Gaza, Jenin dan Ramallah terus berdarah. Belum lagi melihat sandiwara Liga Arab yang sering tidak ada kata putus yang meyakinkan.

Lantaran intifada yang digerakkan Syeikh Ahmad Yassin pada 1987 beliau menerima bayaran perjuangan itu dengan hukuman penjara seumur hidup yang diputuskan oleh mahkamah Israel. Syeikh Ahmad Yassin menderita. Namun perjuangan mustamirrah. Beliau terus meyakinkah kami para anggota HAMAS supaya menolak perjanjian damai yang dimetrai oleh PLO dengan Zionis Israel.

Akhi,

Mengakhiri wakrahku kali ini ingin kupetik kata-kata Syeikh intifada itu yang seringkali menjadi pembakar semangatku. Beliau dengan tegas pernah berkata: "Kami bersumpah bahawa kekejaman dan kezaliman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin tidak akan membuatkan kami mundur setapak pun dan kami akan terus menetang Zionis kerana Allah akan menolong kami. Kami berseru, percayalah dan bersatulah merebut kembali jalan-jalan, kota dan tanah Palestin. Berjihadlah sampai mencapai kemenangan atau mati syahid di jalanNya."

Sahabatmu,
Jihad Jamal
Ramallah

Warkah itu kulipat kembali seusai membaca baris terakhir. Peluh memercik keluar di dahi kukesat dengan lengan kemeja. Keinsafan bertamu di laman hayat. Pasca kepulangan Jihad ke Tanah Palestin aku meneruskan pengajian dalam fakulti Syariah Wal-Qanun bersama teman-teman yang lain seperti biasa. Sayang sekali keputusan imtiyaz tahun pertama yang dirangkul Jihad berakhir tanpa disudahkan pengajian hingga tahun empat. Kini aku dalam debar menanti keputusan tahun akhir sambil-sambil mengintai majlis ilmu dan bertalaqi dengan para syeikh.

"Aku sukakan membaca karya Said Hawwa. Antara yang paling menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan yang hebat dalam jiwaku adalah sebuah kitab kecilnya yang berjudul "Hazihi Tajribati wa hazihi Syahadati." di mana memaparkan kisah hidup perjuangan penulis sendiri." Kalam Jihad bagai terngiang di telingaku. Aku hanya mengiyakan tuturnya.
"Selain itu tulisan-tulisan Syed Qutb juga sering membangkitkan hamasahku," sambung Jihad.

Jihad menyedarkan aku tentang pengajian. Himbauan nostalgia bersamanya membuatkan muallafat di kutubkhannah fakulti kuratah dengan jitu. Minat yang mendalam dalam bidang Syariah meruntun penguasaanku dalam segenap lapangan ilmu terutama Fiqh dan Usulnya. Justeru kuhadam pelbagai kitab turath mahupun muasarah. Tanpa melupakan silsilah harakie sebagai 'mahar' perjuangan. Antaranya silsilah Said Hawa, Fathi Yakan, Al-Qardhawi dan sebagainya menjadi teman pengganti ruh membaca yang pernah diasas Jihad. Tulisan-tulisan Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Hasan Hudhaibi, Muhd Abdullah Al-Khatib, Ali Abdul Halim Mahmud, Abdul Qadir Audah, Mustaffa Masyhur, Zainab Al-Ghazali, Al-Mawdudi dan ramai lagi kujadikan iftar selepas quranul fajr.

Aku mencapai beberapa keping kertas A4 dan pen untuk membalas warkah dari Ramallah itu.

Assalamualaikum Warahmatullah...

Sahabatku Jihad,

Warkahmu selamat kuterima dan kufahami isinya. Aku bersyukur, kau masih mengingati persahabatan dan ukhwah yang kita bina. Ku kira tidak sia-sia kitab Fiqh Ukhwah yang pernah kita diskusikan bersama suatu ketika dahulu. Dan seperti biasa aku juga turut mendoakan kesejahteraanmu dari Lembah Nil ini.

Semenjak 1987 lagi tika laungan intifada menggegarkan langit Palestin, HAMAS telah kukenali. Waktu itu aku masih di marhalah ibtidaie. Kalau kau mahu tahu guru besarku dengan lantang pernah berucap di perhimpunan rasmi sekolah seraya melancarkan tabung bantuan kepada intifada Palestin. Apalah yang aku miliki waktu itu selain semasa saku seluar kuseluk wang syiling bernilai 50 sen cuma. Namun kerana itu sahaja yang barangkali mampu untuk menampung perjuangan intifada Palestin aku masukkan kesemuanya ke dalam tabung yang dilancarkan. Semangatku tika itu membuatkan aku terpaksa mengikat perut dan hanya mencicip air dari paip besi.

Itu kisah hampir 16 tahun yang lampau. Kisah seorang anak kecil menilai sebuah perjuangan. Bukan kisah seorang mahasiswa membaca tragedi dan peristiwa. Demi menyatakan sokongan yang mustamirrah itu, aku bersama teman-teman di sini melancarkan muzaharat aman dari Jamie Al-Azhar seusai solat Jumaat saban minggu. Kami melaung-laungkan pembebasan dan keadilan untuk Palestin. Ketumbukan kami itu tidak disenangi pihak keamanan. Akibatnya aku dan enam teman lain terberkas, ditahan dan disoal siasat. Mujurnya tiada kesan terhadap pengajian kami di Al-Azhar.

Peluang meladeni kitab-kitab ilmu membantuku memahami pengertian jihad sebagai tiang keizzahan Islam. Kau jangan hairan andai kukatakan masih ada ulamak yang tidak mengiktiraf perlakuan meletupkan bom yang kalian amalkan sebagai amaliyat istisyhadiah. Sebaliknya mereka melabelkannya sebagai intihar. Namun aku yakin pendapat yang menyatakan perlakuan itu adalah jihad dan matinya beroleh syahid adalah benar dan tepat.

Benar seperti apa yang kau coretkan. Kita tidak boleh berharap kepada PLO, OIC mahupun Liga Arab kerana dasar perjuangan mereka tidak berlari di atas garisan yang sama dengan perjuangan kita. Lihatlah betapa kemenangan imprealis membina empayar. Biarpun mereka pulang ke negara mereka namun jajahan pemikiran berterusan. Barangkali wajar aku suarakan betapa penderitaan yang kalian hadapi di Palestin, penyembelihan di Kosova, pemerkosaan di Bosnia, Pembantaian di Poso, penindasan di Kashmir, Pergelutan di Afghanistan dan penyerangan terhadap Iraq adalah harga untaian kifarat kealpaan umat Islam mengembalikan khilafah Islamiah setelah runtuhnya Turki Uthmaniah pada 1924. Pun begitu bukanlah niatku hendak menyalahkan kesemua umat Islam lantaran derita-derita itu kerana masih ada sinar-sinar Islam dinyalakan melalui jemaah dan harakah Islamiah serata dunia.

Akhi,

Nampaknya perjuangan perang salib kita masih belum berakhir. Kau tentu lebih arif mengenai sejarahnya. Apakah kita masih menunggu akan lahirnya Solahuddin Al-Ayyubi yang kedua? Ku kira tepat ujaranmu. Perjuangan kita adalah satu. Jihad fisabilillah tanpa menghitung bangsa. Meski aku dilahirkan di sebuah perkampungan Melayu di Malaysia, Palestin tetap adalah tanggungjawabku. Tanpa mengira bangsa kerana ad-Deen itu satu!

Kuakhiri warkah ini dengan rasa syukur dan terharu kerana persahabatan kita terhubung kembali. Takdir Allah menentukan segalanya. Dialah yang mempertemukan kita di atas keimanan dan Dialah juga yang memisahkan kita di atas ketaqwaan. Semoga kita akan terus berutusan. Oh ya, untuk pengetahuanmu aku akan menamatkan pengajian sarjana muda tidak lama lagi. Doakan imtiyaz.

Sahabatmu dunia akhirat,
Solahuddin Soleh
Kaherah

Selang hampir dua minggu kuterima warkah balas dari Jihad. Namun isinya terlalu hambar. Isinya tidak sebagaimana yang kuharapkan.

Assalamualaikum warahmatullah...

Sahabatku,

Syukran kerana membalas suratku. Aku semakin tidak punya masa untuk menulis sebanyak boleh untukmu. Namun kugagahi jua mencuri waktu yang terluang untuk kucoretkan pesanan buatmu supaya perjuangan yang pernah kita bina di Lembah Nil suatu waktu dulu akan terus subur sesubur ingatan ku terhadapmu.

Tahniah kerana bakal bergelar graduan. Aku doakan imtiyaz buatmu. Namun... pesanku teruskan jejak untuk mengejar impianmu untuk menjadi mujtahid umat. Ingat! Tugas dan amanah yang terpikul di bahumu perlu kau lunaskan dengan ikhlas.

Akhir kata dariku... mabruk! Semoga kejayaan agam itu akan kau gunakan di tempat yang sewajarnya.

Sahabatmu,
Jihad Jamal
Ramallah

Natijah imtihan keluar hari ini. Aku bersama Muslim bergegas ke Fakulti untuk melihat natijah masing-masing.

"Mabruk Solah!" Ucap Taufiq sewaktu melihatku menuju ke arahnya. Jantungku berdegup semakin kencang.
"Izai" Soalku dalam loghat 'ammiah berbasa-basi.

"Ya Rab!" Aku menyapu muka dengan telapak tangan tanda syukur kemudian bersegera ke musolla untuk membuat sujud syukur. Muslim juga tersenyum dan dia dan Taufiq saling mengucap mabruk.

Hari ini adalah majlis graduan mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang menyudahkan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam pelbagai fakulti. Aku menyarung jubah graduan dengan penuh rasa syukur. Majlis diadakan di Dewan Haflah Kubra dengan diserikan kehadiran Rektor Al-Azhar untuk upacara menyampaikan ijazah dan anugerah.

Alif mahasiswa dari Al-Azhar cawangan Tanta menghampiriku. Sambil bertanya khabar dan mengucap mabruk bersilih ganti. Muslim menghampiri kami dan menghulurkan sekeping sampul dari Ramallah kepadaku. Namun aku agak sangsi kerana tulisan di atas sampul itu agak berlainan daripada tulisan Jihad. Kuusir prasangka lantas membuka sampul itu.

Assalamualaikum warahmatullah,

Surat ini dikirimkan untuk Akhi Solahuddin Soleh untuk memaklumkan berita tentang sahabatmu bernama Jihad Jamal yang telah kembali ke rahmatullah pada Jumaat lalu akibat diserang Zionis Yahudi seusai mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Khalil. Tabahlah wahai sahabat dan sewajarnya kau bergembira kerana kepergiannya sebagai seorang syuhada'.

Sebagai melunaskan pesanan dan kata-kata yang sempat dituturkan pada pagi Jumaat itu kepadamu maka surat ini aku kirimkan meskipun aku sendiri tidak pasti sama ada akan sampai atau tidak pesanan ini.

Kata As-Syahid Jihad Jamal: "Sebaik sahaja kalian mendengar berita syahidnya aku, dongaklah ke langit... lantaran kecintaanku untuk bertemu Allah, lantas Allah muliakan dengan kematian yang mulia."

Sahabatmu dan Jihad,
Abdullah Saufi
Ramallah

Aku mendongak ke langit melepaskan doa semoga Jihad dianugerahkan syahid di sisi Allah. Itulah warkah terakhir dari Ramallah. Di depan sana... majlis telah lama bermula.


-TAMAT-

GLOSARI:

ittifaq - sepakat
muallafat - buku-buku/penulisan
hamasah - semangat
thaqafah - pengetahuan/kebudayaan
takhtit - perencanaan
amir - ketua
jidar - dinding/tembok
mustamirrah - berterusan
kutubkhannah - perpustakaan
iftar - sarapan
marhalah - peringkat
ibtidaie - permulaan/sekolah rendah
muzaharat - tunjuk perasaan/demostrasi
imtiyaz - cemerlang
izai - bagaimana
musolla - surau

Sila klik  Respon/Komen

 

Baca Catatan lalu

~Diri yang masih mencari identiti ibarat sebuah perjalanan menongkah arus di lautan samudera...~

Pujangga - mahasiswa - cabaran - pengajian - perjuangan - keyakinan - optimis - keorganisasian - keterbukaan - karisma - kehidupan - keilmuan - idealisme - penulisan - impian & harapan - yang...!

 

Mulai online pada
Jun 2002

"Apakah kita masih menunggu akan lahirnya Solahuddin Al-Ayyubi yang kedua? Ku kira tepat ujaranmu. Perjuangan kita adalah satu. Jihad fisabilillah tanpa menghitung bangsa. Meski aku dilahirkan di sebuah perkampungan Melayu di Malaysia, Palestin tetap adalah tanggungjawabku. Tanpa mengira bangsa kerana ad-Deen itu satu!" 

- (Dipetik dari Cerpen  Warkah Terakhir Dari Ramallah, karya Akhi Masrawi, 02/09/2003 )

 

----------------------

Capaian Alternatif

Capaian Arkib:

 

Sejarah Banner:

Banner  pertama ciptaan Putri untuk PUJANGGA Online. Terima kasih buat Putri.  Ini banner ke-2 yang Wanzu buat untuk PUJANGGA Online. Syukran buat Wanzu. Ini pula banner ciptaan Anas sempena menjelang setahun online PUJANGGA Online, thanks buat Anas.  Ini pula banner ciptaan Pujangga sendiri. Inilah banner terkini karya Qahafi, syukran! nak baca kisah lucu JUHA sila ke jurnalnya.

.: Penghargaan :..

+ gengjurnal.net
+ geocities.com
+ yahoo.com
+ msn.com
+ guestbook.de
+ extreme-dm.com
+ thecounter.com
+ bravenet.com
+ flooble.com
+ para pencipta banner
+ para penulis pojok
+ para penyumbang idea
++ terutama semua pembaca setia yang budiman
dll.

 

.: sila hantar e-mel kepada saya untuk memaklumkan sebagai pembaca setia laman PUJANGGA Online - dengan menyatakan 3 perkara sahaja: (siapa anda/ kekerapan berkunjung & cadangan) supaya saya lebih menghargai pembaca saya :.

 

 

 

 

 

 

© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1