Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Pendapat: Teori andaian kehidupan

Oleh: Akhi Masrawi

Hidup ini; tidak setepat teori

Hidup ini kata orang ibarat roda-roda kehidupan. Roda itu berputar-putar. Kadang-kadang roda itu akan berputar ke atas dan kadang-kadang pula berada di bawah. Bayangkan roda yang berputar itu ditandakan pada satu bahagian, pastinya tanda itu tidak berada pada satu tempat; ia berubah-ubah.

Tetapi saya tidak melihat kehidupan ini pentakrifannya hanya seperti roda semata-mata. Kadang-kadang perlu ditasybihkan dengan perkara lain. Barangkali kita boleh mentasybihkan kehidupan dengan perkara lain yang lebih membuka minda. Cubalah pula bayangkan kehidupan ini seperti memanjat tangga, mengejar bayang-bayang, mendaki gunung atau sebagainya.

Andaian pertama: Kalaulah hidup ini umpama seperti memanjat tangga. Tangga itu pula tingginya entah setinggi mana. Kita tidak tahu di mana penghujungnya. Oleh sebab itu seribu kemungkinan berlaku sepanjang tangga itu dipanjat. Memanjat tangga perlukan ketelitian, keprihatinan, kecekalan dan macam-macam. Memanjat semakin tinggi semakin gayat. Ini dirasai oleh kebanyakan orang. Bagaimana kalau kehidupan pula? Perlukan untuk merasai kegayatan itu? Tanyalah diri sendiri kalau nak andaikan hidup ini seperti memanjat tangga.

Andaian kedua: Kalaulah pula hidup ini diandaikan seperti mengejar bayang-bayang maka perjuangannya di waktu siang dan bercahaya tidak pernah berakhir. Tiap kali bayang-bayang muncul, mengejarnya tidak pernah dapat. Bayang-bayang adalah apa yang mengikut diri bila ditemani cahaya. Bayang-bayang akan hilang bila manusia berada di dalam kepekatan kegelapan. Di dalam kegelapan bayang-bayang menyusup ke dalamnya. Pada masa itu bayang-bayang tidak kelihatan lagi. Ke mana perginya bayang-bayang itu? Kenapa ianya tidak bersama kita semasa kegelapan? Kenapa dia tak nak bersama menemani? Kenapa bayang-bayang itu perlu lari?

Andaian ketiga: Baiklah, andaikan pula jika kehidupan ini ibarat mendaki gunung pula. Di dalam pendakian gunung pelbagai kelengkapan dan persedian sebelum pendakian perlu disiapkan. Antaranya kelengkapan seperti tali, pisau, pakaian dan kasut yang bersesuaian yang berkaitan pendakian. Selain itu perlu juga pendaki tersebut memiliki ketahanan, tenaga yang mencukupi dan keberanian untuk menempuh pelbagai rintangan untuk pendakian tersebut. Adakah akrab diibaratkan kehidupan ini seperti mendaki. Mendaki bukanlah sesuatu aktiviti yang senang. Mendaki akrab dengan kesusahan. Hatta kalaupun pendakian itu dibuat dengan menggunakan bantuan kenderaan sekalipun masih terdapat kesusahan. Itulah resam pendakian. Kehidupan bagaimana? Adakah seperti pendakian yang sering diselubungi kesusahan dan keperitan untuk menuju ke kemuncak.

Apapun teorinya (yang saya kemukakan cuma tiga) kehidupan adalah sebuah perjuangan. Dan perjuangan itu hanya akan berakhir bila sudah tiba di terminal terakhir. Sementara menanti isyarat ketibaan di terminat terakhir kita maih sempat untuk menyediakan bekalan secukupnya atau selebihnya.

 

17 September 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1