Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Luahan: Antara saya dan aku?

Oleh: Akhi Masrawi

Kalaulah saya timbulkan satu persoalan. Apa beza antara saya dan aku? Aku menjawab:Aku dan saya tidak ada beza. Saya berkata: Saya dan aku ada beza. Aku menafikan. Kata aku sambil ketawa: Beza antara aku dan saya ialah pada ejaan. Aku terdiri dari abjad A.K.U sedangkan saya terdiri dari empat abjad iaitu S.A.Y.A. Jelas aku.

Saya berkata: Bukan. Aku terkedu mendengar jawapan saya. Habis? Kata aku. Saya mencari ide. Kemudian saya berkata: Saya...cerdik. Soal aku pula: Aku? Saya menjawab: ...bodoh! Giliran Saya pula ketawa dapat mengenakan aku. Saya cerdik aku bodoh! Ulang aku... sambil memaksudkan dirinya saya bukan aku.

Tetapi antara saya dan aku yang mana paling sesuai digunakan dalam pertuturan? Soal saya. Itu persoalan yang hendak saya utarakan pada aku di sini. Pada saya berkata dengan ganti diri aku, lebih kasar berbanding saya. Antara hujah saya. Saya tidak gemar bergantikan diri dengan menggunakan aku terhadap orang yang lebih tua dari saya. Saya akan menggunakan saya. Bukan itu sahaja saya tidak juga menggunakan aku jika bertutur dengan orang yang belum atau baru dikenali. Tetapi saya juga menggunakan ganti diri aku. Bila? Dengan orang yang rapat dengan saya. Contoh? Kawan-kawan saya. Saya lebih suka menggunakan ganti diri aku. Begitu juga bila mereka bertutur dengan saya, mereka juga menggunakan aku sebagai ganti diri mereka.

Aku rasa aku lebih mudah untuk menunjukkan mesra. Aku berhujah. Saya diam mendengar. Kalau dengan orang yang belum atau baru kenalpun aku gunakan aku juga? Soal saya kepada aku. Aku gunakan saya. Jawab aku mendatar. Kenapa? Aku rasa saya bila aku gunakan untuk orang yang belum dikenali atau baru dikenali lebih sesuai sebagai tanda hormat. Mereka tidak boleh kata aku sombong bila aku gunakan ganti diri saya. Jelas aku. Saya tersenyum.

Dengan ibu kau? Tanya saya. Aku menjawab: Aku bahasakan nama aku sahaja. Kenapa tak bahasakan saya sahaja? Soal saya. Aku lebih suka membahasakan nama dari menggunakan saya. Jelas aku. Kau pula? Soal aku pada saya. Saya tetap bahasakan saya. Sebab ibu saya orang yang saya hormati dan dia lebih tua dari saya.

Saya dan aku terdiam seketika. Saya mencari ide untuk menyoal aku lagi.

Kau menulis jurnal online kan? Soal saya pada aku. Aku mengiyakan. Apa yang dibahasakan saya atau aku? Aku menjawab sepontan: Tentulah aku. Kenapa tak guna saya saja? Saya rasa saya lebih mesra untuk berkomunikasi dengan pembaca-pembaca jurnal. Mereka akan rasa lebih mesra membaca tulisan yang membahasakan diri sebagai saya. Aku berfikir. Betul juga kata saya.

Tetapi sepanjang menulis dengan membahasakan aku, tidak pula aku tersa janggal. Sememangnya aku berkomunikasi dengan pembaca dan jurnalis yang lain menggunakan ganti diri aku. Jelas aku. Tiada kesan negatif selama berjurnal. Aku membaca catatan jurnalis lain. Mereka juga membahasakan aku, seperti juga aku.

Ada tak jurnalis yang gunakan ganti diri saya? Soal saya. Ada. Jawab aku. Tetapi rasanya tidak ramai. Ramai yang gemar guna aku. Antara yang aku ingat guna ganti diri saya seperti encik khairul, Tok Rimau dan mungkin ada beberapa jurnalis lain yang aku tak ingat. Jelas aku. Kenapa lebih ramai yang suka guna aku? Soal saya. Mungkin dunia jurnal begitu. Jelas aku sambil tersenyum.

Panjang perbincangan antara saya dan aku. Cuma sedikit sedutan dimasukkan di dalam catatan ini. Akhir perbincangan aku berkata pada saya.

Aku nak cuba guna ganti diri saya pula. Tapi aku belum pasti sejauh mana aku akan berjaya. Cubalah. Dorong saya. Aku tersenyum dan kami berpisah.

 

15 September 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1