Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002
Pendapat: Kita Punya Tanggungjawab Yang Besar
Oleh: Akhi Masrawi
Sewaktu saya mengetuk-ngetuk papan
kekunci PC saya, ingatan saya menerawang jauh ke sebuah peristiwa yang pernah
saya lalui suatu ketika dahulu. Kalau tidak salah saya ketika itu saya masih di
sekolah menengah dan baru berkenalan dengan gerak kerja di dalam organisasi dan
berpersatuan.
Ianya berlaku di dalam sebuah program yang menghimpunkan para kepimpinan
persatuan dan sekolah di sebuah lokasi. Apa yang hanya ingin saya ceritakan di
sini ialah pengalaman yang saya lalui ketika satu slot modul yang dilaksanakan
di dalam program tersebut.
Modul itu mudah dan ringkas. Kami diberikan sehelai kertas yang bertulis seperti
di bawah:
INI KISXH MESIN TXIP YXNG BURUK:
MESIN TXIP INI SUDXH BURUK. SUDXH LXMX SXYX MENGGUNXKXNNYX. SEKXRXNG SXYX
BERCXDXNG HENDXK MEMBELI SEBUXH KOMPUTER YXNG BXRU DXN JXUH LEBIH CXNGGIH DXRI
MEXIN TXIP BURUK INI. MESKIPUN MESIN TXIP INI BURUK, IX BXNYXK BERJXSX; TETXPI
SEKXRXNG IX TIDXK BOLEH DIGUNXKXN LXGI. JXDI MESIN TXIP BURUK INI SXYX RXSX ELOK
DISIMPXN SXJX DI DXLXM STOR.
Saya mencari apa maksud modul itu. Selain ayat-ayat yang sengaja ditulis dalam
keadaan yang salah penggunaan abjad, apa istimewanya modul itu. Saya mula
berfikir.
Saya melihat hanya abjad A yang tidak digunakan. Sebaliknya huruf A digantikan
dengan penggunaan huruf X. Tetapi perkataan yang ditulis tidak mampu disebut
sebagaimana huruf A berperanan. Mungkin kerana huruf A ini luas penggunaannya
maka walaupun diganti dengan huruf X masih mampu diagak untuk membacanya.
Apalah sangat barga sebuah mesin taip buruk itu? Kalau huruf A nya sudah rosak,
dan tidak boleh digunakan lagi. Betullah tindakan tuannya supaya membeli
komputer yang jauh lebih canggih bagi menggantikan mesin taip yang buruk dan
rosak itu.
Namun jika dilihat dari sudut yang lain, ada beberapa pertimbangan dan pendapat
yang boleh diutarakan. Antaranya ialah:
1. Huruf-huruf seperti sebuah organisasi, setiap huruf memainkan peranannya yang
tersendiri. Begitulah halnya dengan sesebuah organisasi, setiap orang mempunyai
peranan yang tersendiri. Oleh sebab itu bukan semua orang boleh memegang jawatan
ketua. Sebagaimana huruf A dalam kisah mesin taip buruk itu, huruf X tidak mampu
berperanan seperti A.
2. Walaupun huruf A sudah tidak boleh digunakan lagi, X sanggup mengambil tempat
A dalam erti kata X telah berkorban untuk menyelamatkan keadaan. Meskipun X
bukanlah layak mengambil kedudukan tersebut. Namun sekiranya X tidak memainkan
peranan ketika itu kemungkinan pelbagai agenda akan tergendala. Malah lebih
teruk semua yang terlibat akan dipersalahkan hanya kerana A sudah tidak
berfungsi. Dalam kes mesin taip buruk ini, hanya kerana A yang rosak; tuan mesin
taip itu bercadang untuk membeli komputer, mengapa?
3. Kalaulah A sudah tidak boleh digunakan lagi, dan yang lain pula tidak mampu
untuk bertindak seperti A atau lebih baik dari itu, maka adalah lebih baik
menukar kepada sistem yang lain. Dalam kes ini sekiranya sesebuah organisasi
atau negara yang mempunyai kepimpinan yang tidak lagi boleh dipakai, adalah
lebih baik menukarkan kepada kepimpinan yang lain. Sebagai contoh mudah, tuan
punya mesin taip buruk itu tidak berminat untuk membeli komputer, maka dia akan
memilih untuk memperbaiki mesin itu, sedangkan dia mempunyai banyak kemungkinan
selepas itu terpaksa pula memperbaiki huruf-huruf yang lain, atas alasan mesin
itu adalah mesin taip buruk. Sesuatu yang buruk, manfaatnya sudah tidak bersisa.
Dari hari itu saya mula berfikir dan berfikir... Hidup kita ini seperti sebuah
pelayaran. Dan ketua kita adalah nakhoda kapal itu. Kalaulah nakhoda itu sudah
tidak mampu untuk melayarkan kapal kita supaya tiba di terminal dengan selamat,
bukankah lebih baik kita memilih nakhoda yang baru bukan terus memberikan
sokongan sehingga bukan hanya dia yang akan tersesat malah dia juga akan
menyesatkan kita.
Justeru, pemimpin itu umpama hati. Jika hati itu baik, maka baiklah semua
anggota. Tetapi jika hati itu jahat... maka rosaklah yang lain juga.
Kalian ada pendapat?
19 Dicember 2002
© AHMAD TARMIZI ISMAIL