Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002
Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 3
Oleh: Akhi Masrawi
Sambutan Ramadhan di Mesir
Di Mesir makanan arab yang hanya ada di bulan Ramadhan bolehlah dianggap spesial
bagi masyarakat tempatan. Saya masih ingat sewaktu detik-detik akhir saya di
tanahair (1999) apabila kawan saya mengajak untuk makan malam di sebuah restoran
yang menyediakan menu roti arab. Roti itu kami pesan bersama kuah sardin. Makan
roti arab di restoran itu (Malaysia) tidak sama dengan makan roti arab di tanah
arab (Mesir).
Di Mesir roti dipelbagaikan dengan beberapa nama. Antaranya 'ish (sejenis roti
yang diperbuat daripada gandum jenis murah) juga disebut khubz dalam bahasa arab
fushah. Fino (roti panjang) dan sebagainya. Khubz atau 'ish ini amat terkenal
dengan harganya yang murah dan menjadi makanan asasi kepada masyarakat arab
Mesir.
Untuk makan 'ish boleh dicicah dengan kuah kacang yang dipanggil ful atau
berintikan sejenis masakan tempatan berbentuk 'cucur' yang disebut sebagai
to'miah. Masa saya mula datang ke mesir dulu saya ingat to'miah itu adalah 'naget'
kerana bentuknya hampir serupa bentuk 'naget' di KFC. Saya tertipu.
To'miah diperbuat daripada adunan tepung, bahan-bahan yang tersendiri dan
sebagainya yang saya sendiri tidak pasti. Bentuknya apabila digoreng seperti 'masalodeh'
(sejenis makanan kaum India di Malaysia).
Berlainan halnya dengan bulan Ramadhan di sini. Masyarakat arab lebih sukakan 'hagah'
yang dianggap spesial tadi. Antaranya ialah qutaiyyaf (tepung yang dimasak di
atas kuali tanpa minyak berbentuk bulat dengan rasa tawar tanpa gula), kunafah (sejenis
makanan seperti bihun tetapi berasaskan tepung dengan rasa tawar). Yang
mengeronokkan ialah kunafah diperbuat dengan menggunakan kuali khas berserta
mesinnya yang tersendiri. Mesin itu bergerak membentuk bulatan dan cairan tepung
dituangkan bersejat membentuk garis panjang yang membulat dan akhirnya membentuk
kunafah yang seperti bihun itu. Tetapi kunafah bukan bihun yang boleh dimakan
bersama sup atau digoreng... kunafah disesuaikan dengan cairan air gula, kismis
dan kelapa parut di dalam loyang. Memakannya dengan memotong mengikut kesesuaian
dan dijadikan 'halwa' (makanan manis) selepas iftar (berbuka).
Kedai-kedai yang menjual kedua-dua makanan tersebut pula mengunakan sistem
timbang. Ini bermakna kita membeli dengan menyuruh si penjual menimbang banyak
kadar yang dikehendaki. Tahun ini saya belum membeli kunafah mahupun qutaiyyaf.
Tetapi harganya murah dan berpatutan. Meskipun banyak premis yang dibuka untuk
menawarkan kedua-dua jenis makanan tradisi Mesir ini namun permintaan dari
penduduk tempatan juga amat tinggi sehingga menyebabkan ada yang sanggup beratur
untuk mendapatkan makanan tersebut.
Berlainan halnya dengan di Malaysia. Mungkin orang akan sanggup beratur untuk
mendapatkan bubur lambuk di masjid-masjid yang menawarkannya. Sebagaimana bubur
lambuk akrab dengan suasana puasa di tanahair begitulah juga qutaiyyaf dan
kunafah akrab dengan suasana puasa di Mesir. Selain dua makanan tersebut yang
menjadi tradisi istimewa di Mesir, rakyat Mesir juga apabila masuknya Ramadhan
menyambutnya dengan pelbagai situasi. Anatara yang istimewa ialah: fanus (sejenih
lampu yang dirumahkan dengan rumah yang pelbagai bentuk digantuang di antara
bangunan dengan bangunan atau di balkoni rumah). Bentuknya ada mirip seperti 'tanglong'
masyarakat Cina di tanahair. Akan tetapi fanus di Mesir telah diislamikkan
dengan bentuk-bentuk masjid antaranya dan pelbagai bentuk lain. Diperbuat dengan
pelbagai saiz dan rupa yang menarik.
Selain itu, ajwa' Ramadhan (merupakan kertas-kertas yang diukir dan digantung di
antara gantungan fanus di bangunan-bangunan) memeriahkan lagi suasana Ramadhan
di Mesir. Tetapi kertas-kertas itu setelah habisnya Ramadhan akan menjadi sampah
pula bersepah di antara jalan dan bangunan.
Berbuka puasa di Mesir tidak merunsingkan. Ini kerana banyak masjid yang
menawarkan 'maidah rahman' jamuan (iftar) berbuka puasa. Kebiasaan makanan yang
disajikan ialah makanan tradisi masyarakat Arab. Saya pernah menghadiri majlis
berbuka bersama orang-orang Arab di sini banyak kali. Anatar menu yang disajikan
ialah firakh mashwi (ayam panggang) di makan dengan 'ish (roti), atau aruz (nasi)
berserta salatoh, tohainah, turshi dan halawa (manisan) sebagai pencuci mulut.
Selain itu ada juga yang menyediakan hawashi (roti berintikan daging kibash
mirim murtabak di Malaysia), daging masak bersama kentang, dan beberapa menu
lain lagi.
Sebelum saya terlupa, satu lagi tradisi masyarakat sini yang saya terkejut ialah
tradisi kejut sahur. Ini dinamakan 'musahharati'. Biasanya musahharati akan
bertugas mengejutkan sahur (memaksak sahur) dengan mengetuk-ngetuk kompang atau
tin dengan ketukan yang boleh mengganggu tidur. Ketukan akan bermula sekitar jam
1.30-2.00 pagi kebiasaannya. Saya masih ingat bagaimana saya tertipu dengan
kejutan musahharati itu dengan menyangka sudah lewat pada tahun 1 dahulu,
rupa-rupanya malam masih terlalu awal.
Pelbagai peristiwa sebenarnya berlaku di Mesir sepanjang permukiman saya di sini.
Bermula dengan tidak tahu apa-apa sehinggalah sekarang saya seperti sedih antai
suasana yang pernah saya rasa di sini hanya akan menjadi nostalgia hidup saya
suatu masa nanti.
Saya terkenangkan sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud: "Dua kegembiraan
bagi orang yang perbuasa iaitu apabila sewaktu hendak berbuka dan kedua apabila
bertemu dengan Allah SWT.
Banyak lagi peristiwa yang sepatutnya saya tulis tentang Ramadhan di Mesir.
Kalau di Mesir ada hagah helwa (benda istimewa) tentu di Malaysia juga begitu
bukan? Lain tempat lain halnya. Jauh mengembara luas pandangan. Luas pandangan
tambah pengalaman. Banyak pengalaman menambah kematangan.
Semoga andai Ramadhan tahun depan saya masih boleh berada di Mesir saya mahu
baca semula tulisan saya ini. Kalaupun sepuluh tahun akan datang tulisan ini
masih kekal saya harap kenangan saya akan berulit semula dan nostalgia Ramadhan
di Mesir bermain di ruang mata.
...bersambung...
13 November 2002
© AHMAD TARMIZI ISMAIL