Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Luahan: Bagaimana menjadi seorang mahir?

Oleh: Akhi Masrawi

Seorang kawan saya mendapat A1 dalam subjek matematik semasa SPM tahun 1998 sekurang-kurangnya boleh menjadi batu ukur topik yang hendak saya utarakan. Kawan saya itu bukanlah seorang yang bijak di dalam subjek tersebut pada asalnya.

Semasa di tingkatan satu dan dua dia menjadi penyaing saya mendapat sekurang-kurangnya D atau C di dalam subjek tersebut. Mungkin disebabkan minat yang tidak seberapa terhadap subjek kira-kira itu, kami dan beberapa kawan lain lagi jauh ketinggalan.

Bila keputusan SPM kawan saya itu diterima daripada kerani sekolah kami dulu, yang paling penting bagi dia adalah keputusan di subjek matematik akan tercatat A1 sahaja. Subjek lain tidak penting untuk markah tersebut. Meskipun saya berpandangan Bahasa Melayu lebih penting berbanding matematik, kerana sekurang-kurangnya Bahasa Melayu adalah tiket untuk pangkat 1. Gagal Bahasa Melayu terlalu ngeri kerana akan memusnahkan impian mendapat pangkat 1. Justeru saya lebih cenderung untuk score dalam subjek Bahasa Melayu berbanding matematik.

Bagaimana kawan saya itu boleh menjadi seorang yang boleh dikatakan mahir dalam matematik kertas SPM pada waktu itu? Sedangkan dia asalnya tidak mahir sebagaimana saya!

Saya tidak bertanya dia soalan itu beberapa tahun lalu sewaktu bersama-sama mengharung badai pengajian di sekolah menengah. Dia memilih untuk ke menyambung pengajian ke UIA dan saya bersiap menghadapi STA untuk bertolak ke Mesir.

Saya mula membuat analisis sendiri. Melihat kawan saya itu pada hari-hari yang dia lalui sebelum peperiksaan. Dalam khayalan itu saya temui jawapan.

Sewaktu PMR kami adalah calon yang sama-sama gerun dengan matematik. Tetapi masa itu alhamdulillah ada seorang cikgu matematik yang telah berusaha mensifarkan kegerunan kami itu. Namanya cikgu Desa. Di bawah didikan cikgu Desa kami mula meminati subjek matematik. Dari jejak di tangga markah D atau C kami mula berjinak-jinak untuk mendapat B. Prestasi kami meningkat mendadak. Malah bukan saya dan kawan saya yang seorang itu sahaja, malah kawan-kawan yang lain juga.

Apa resepi Cikgu Desa; saya tidak pasti. Tetapi gaya cikgu Desa mengajar menarik minat kami untuk meminati matematik. Dan akhirnya semasa diumumkan keputusan PMR (Penilaian Menengah Rendah) saya dan kebanyakan kawan-kawan lain mendapat A. Apa rahsianya?

Kawan saya yang satu itu terus istiqamah. Dia tidak sia-siakan matematik sebagai subjek untuk menolong aggregatnya di dalam SPM. Sebaliknya saya cuma menjadikan matematik sebagai alternatif sampingan sahaja. Mungkin kerana ketika itu saya lebih meminati bahasa berbanding kira-kira.

Kata kebanyakan guru bahasa Melayu saya: Saya ada peluang cerah dalam bidang bahasa. Bahasa saya cantik dan ampuh. Bukan tujuan untuk saya berbangga diri, tetapi itulah hakikatnya. Manusia ada kelebihan tersendiri di samping kelebihan itu ada kelemahan. Justeru keputusan SPM saya untuk subjek matematik hanya setakat C3, meskipun cikgu matematik saya berpendapat saya boleh dapat lebih dari itu kalau saya lebihi usaha. Namun apalah boleh buat, itu semua telah berlalu.

Dari analisis hasil imaginasi yang saya hepotesiskan saya dapati, tidak dapat tidak untuk mahir dalam matematik perlu banyakkan latih tubi. Dengan perbanyakkan latihan tubi pelbagai permasalahan ditemui dan permasalahan matematik itu diselesaikan menggunakan kaedahnya yang tersendiri. Dengan menyelesaikan masalah yang banyak itu... menghampirkan diri menjadi seorang yang mahir dalam ilmu kira-kira itu. Itulah analisis saya. Justeru untuk mahir matematik perlu banyak latihan tubi. Lagi banyak masalah diselesaikan lagi banyak kemahiran diperolehi.

Analisis itu saya gabungkan dengan penulisan. Jadi untuk mahir dalam bidang penulisan perlu banyak menulis. Untuk mahir berpidato perlu banyak berucap. Untuk mahir menaip perlu selalu menaip. Untuk sihat tubuh badan perlu selalu bersenam.

Jadi saya mula berkira-kira, kalaulah saya tidak rajin menulis kemungkinan ketajaman pena saya akan lumpuh. Penulisan saya akan hilang nafasnya. Karya saya tiada serinya. Jadi saya kira (berkira lagi) saya perlu rajin dan selalu menulis. Apa pula pendapat kalian?
 

 

3 November 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1