KARYA-KARYA Akhi Masrawi

Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah


Sebuah Karya Akhi Masrawi

Tahanan



SAYA celik perlahan-lahan. Terjaga dari lena. Mata saya dipanah cahaya sehingga terasa kepedihan. Cahaya dari lampu kalimantang yang tidak seterang mana. Lampu itu berbalut plastik nipis berwarna unggu sehingga cahaya asal kalimantang yang berwarna putih bertukar unggu juga. Saya ingin menenyeh mata namun hasrat itu berkubur. Tangan saya diikat pada kerusi kayu. Saya rupanya terkurung dalam bilik kecil kosong yang sarat dengan tanda tanya.

Saya berusaha lagi untuk melepaskan diri. Saya rimas dan lemas berkeadaan begitu. Sendi-sendi saya sudah sengal metah. Dahaga melilit tekak dan lapar terasa meronta-ronta. Saya tidak ingat bagaimana saya boleh diikat di bilik seluas kamar bujang itu.

Asyik saya masih berusaha untuk melepaskan diri saya terdengar suara-suara garau berbual-bual di sebalik pintu kayu yang sudah nampak agak usang. 'Arab?'. Getus saya sendiri. Impian saya untuk lepas kembali kaku.

Dua orang lelaki berbangsa Arab masuk ke dalam ruang empat persegi bilik itu. Saya cuma membatukan diri memerhatikan mereka. Seorang berwajah cerah agak berumur manakala seorang lagi berkulit gelap, bengis dan sasa; agak menggerunkan.

Mereka mampir ke arah saya. Sepatutnya saya menggeletar tetapi ada kekuatan yang menyelinap ke dalam tubuh sehingga saya terasa biasa meskipun itu kali pertama saya bersituasi sedemikian. Saya masih mampu mengawal diri.

"Selamat pagi." Tutur si lelaki berwajah cerah di dalam bahasa Arab 'ammiah Mesir sambil tersenyum.
"Sss............." Saya cuba untuk menjawab ucapan itu, tapi suara tersekat di kerongkong. Tekak saya kekeringan. Risau menerpa. Saya tahu dari tutur lelaki itu hari masih pagi. Akal saya ligat berfikir di mana saya semalam sehingga pagi ini saya terkurung di situ. Saya dihulur segelas air sedang tangan terikat.

"Hamada! buka ikatan tangannya." Arah si lelaki berwajah cerah kepada rakannya si lelaki gelap. Dari itu saya tahu lelaki gelap itu bernama Hamada. Tangan saya dilepaskan seraya air yang dihulurkan saya capai dan teguk. Tekak kembali basah. Segar terasa.

"Mahu lagi wahai Muhammad Kamal?" Dia bertanya. Saya terkejut lagi. Bagaimana dia mengetahui nama saya. Saya menggeleng. Si lelaki gelap hanya membatu. Saya merapa-raba saku seluar. Kosong. Dokumen peribadi dan duit-duit saya pasti tiada.

"Kernih dan barang-barang anda ada pada saya." Ujar si lelaki itu lantas menghambat kerisauan yang bertapak di benak. 

'Di mana saya'. Itu soalan yang sepatutnya saya tanya kepada mereka tetapi hanya terdetik dalam sanubari. Akal ligat berfikir lagi. Pagi semalam saya hadir ke kuliah seperti biasa. Mengikuti muhadharah Doktor Abu Salim. Hanya itu yang saya ingat. Episod aktiviti saya semalam terhenti di situ cuma. Saya kira saya masih waras dan ingatan saya masih kuat dan sempurna. Cuma saya tidak mampu mengingatinya elok-elok barangkali kerana akal saya terlalu keletihan.

"Anda kenal Hassan Al-Banna?" Arab berwajah cerah memulakan persoalan. saya cuma mengangguk.
"Dari mana anda kenal dia?" 
"Saya membaca mengenainya dari buku." Saya menjawab ikhlas fasih di dalam Bahasa Arab 'ammiah Mesir. Cara perbualan masyarakat Arab Mesir yang jarang menggunakan bahasa Arab Fushah tidak merisaukan saya kerana saya mampu menguasai bahasa basahan mereka dengan baik. Melihat sekitar saya hanya mampu menduga, saya sedang dalam tahanan. Biasanya persoalan berbau gerakan Ikhwan Muslimin akan ditanyakan oleh mabahis-mabahis Mesir terhadap tahanan mereka. Soalan menjerat mangsa.

Menjadi tahanan di Mesir amat akrab dengan bayangan penjara bawah tanah dan penyeksaan yang dahsyat. Semua itu disediakan sebagai hadiah terhadap perjuangan anggota Ikhwan Muslimin dan serpihan selebihnya kepada penjenayah.

"Anda suka dengan dia?"
"Saya tidak kenal sangat. Lagipun saya tidak pernah berjumpa dengan dia." Jawapan yang agak berseloroh untuk memancing simpati agar bertukar ke topik lain.

"Perjuangan Hassan Al-Banna sesat." Dia membuat provokasi untuk melihat reaksi saya. Sepatutnya saya melenting mendengar ungkapan sebegitu rupa. Mana mungkin seorang pejuang malah reformis seperti Hassan Al-Banna dituduh sesat. Jasanya terlalu besar. Dia yang mengembalikan kesatuan umat Islam setelah kejatuhan kerajaan Islam Turki Uthmaniah gara-gara kebodohan Mustafa Kamal Atartuk. Dialah yang mengasaskan sebuah jamaah bernama Ikhwan Muslimin di Mesir. Itulah jamaah pertama Islam selepas Khilafah Turki Uthmaniah sirna.

"Apa anda bersetuju?" Soalan untuk mengheret saya. Setidak-tidaknya saya perlu berfikir tentang jawapan yang memungkinkan untuk saya dilepaskan dari tahanan itu. Atau sekurang-kurangnya saya tidak diapa-apakan kalaupun saya memprotes.

"Saya tidak kenal sangat perjuangan Hassan Al-Banna. Mungkin anda boleh menceritakan serba sedikit...Itupun jika anda bersedia." Saya mengumpan. Lelaki itu tersenyum sinis. 

"Masakan anda tidak kenal perjuangan Hassan Al-Banna. Kalau anda tidak kenal perjuangan Al-Banna, bagaimana anda boleh ikut serta dalam muzaharat petang semalam? Sambil melaung-laungkan kesatuan dan pembebasan terhadap Palestin serta menggesa kerajaan Mesir itu dan ini."

Saya mengukir senyum. Gembira dan risau berselingkit. Kini saya tahu muzaharat semalam menatijahkan saya ditahan. Saya tidak tahu selama mana saya bakal ditahan. Ingatan pada kuliah dan imtihan yang hanya sebulan lagi akan menjelma untuk menyudahkan pengajian ijazah sarjana muda, keluarga di tanahair, sahabat handai, tunang, kawan serumah kembali menghantui. Apakah mereka tahu saya ditahan?. Kalaulah mereka tahu sudah tentu mereka akan kerisauan. Mungkin juga ada yang menganggap saya ada melakukan kesalahan. Paling tidak tunang saya pasti menangis.

"Ustazah bersedia terima ana? Ana nak jadi pejuang sejati. Pejuang yang tak takut mati. Mati seorang pejuang sebagai seorang syuhada'. Ana perlukan seorang serikandi yang cekal dan tabah untuk hadapi hidup. Kalaupun suatu hari nanti andai kita dipisahkan." Itulah kata-kata saya sewaktu liqa' terakhir baitul muslim minggu lepas. Rupanya saya teruji dengan kata-kata sendiri.

"Anda orang asing. Sepatutnya tidak ikut serta dalam aktiviti hamasah seperti itu." Lelaki gelap bernama Hamada mula bersuara mengejutkan saya dari lamunan. Kemudian membatukan diri.

"Saya tidak ikut serta!" Saya menafikan dakwaan itu.

Semalam seusai muhadharah di kuliah Al-Azhar saya ke masjid Hussin untuk solat Zuhur bersama beberapa orang rakan. Selepas solat saya perlu pulang ke Haiyu Sabiek kerana selepas asar saya harus menghadiri mesyuarat Ad-Hoc perlaksanaan program "Lambaian Al-Quds". Namun melihat gerombolan mahasiswa dengan sepanduk laungan anti Israel saya terpanggil untuk berarak bersama mereka di sepanjang Syarie Al-Azhar di Bandar Hussin. Saya sendiri tidak pasti mengapa. Hamasah saya tiba-tiba muncul. Natijahnya saya ditahan di sini. 

Umat Islam di serata dunia membuat tunjuk perasaan tidak puas hati atas kekejaman Israel terhadap Palestin. Umat Islam di Palestin disembelih setiap hari. Tidak kira lelaki, wanita, dewasa, remaja malah kanak-kanak dan orang tua turut menjadi korban keganasan Israel. Di Syria contohnya dengan melaung-laungkan slogan "Pertahankan bumi Palestin yang dirampas" bukan sahaja orang awam berarak dalam tunjuk perasaan itu malah Timbalan Presidennya Addul Halim Khaddam, Perdana Menteri Abdul Qader Qadurah dan Speaker Dewan Parlimen Mohammad Mustafa Miru, termasuk wakil pemimpin Gerakan Islam HAMAS di Syria Khalid Masyal dan Setiausaha Agung PLO Ahmad Jibril. Ini bukti kebencian tindakan Israel itu di datar bumi Syria. Belum lagi menyaksikan di tempat-tempat lain.

Di Mesir muzaharat dilakukan kebanyakan oleh golongan mahasiswa. Namun ada juga yang melibatkan masyarakat awam yang terdiri dari golongan yang sedar dan prihatin terhadap isu Palestin. Boleh diandaikan kesedaran itu muncul kerana peranan yang dimainkan oleh kelompok mahasiswa. Betapa besarnya peranan mahasiswa yang bakal menjadi teraju kepimpinan umat suatu masa nanti. 

"Palestin tanggungjawab kita semua selaku umat Islam." Saya bersuara melepas apa yang terbuku di minda. Kenyataan yang memungkinkan saya disepak, ditendang, diterajang, ditampar, dipukul atau dicederakan. Setidak-tidaknya usia penahanan terhadap saya akan lebih panjang. Namun saya bersedia untuk itu. 'Kalaulah Hassan Al-Banna, Syed Qutub, Said Hawwa, Al-Mawdudi dan ramai lagi pejuang-pejuang terdahulu menghadapi pelbagai penderitaan, apakah saya tidak mampu? Saya ingin menjadi pejuang kental seperti mereka.' Saya bermonolog.

"Barangkali tanggungjawab kita." Jawab lelaki berwajah cerah selamba seraya raut wajahnya berubah. Saya melihat ada bibit-bibit kemenangan dalam jawapan saya tadi.

"Tapi buat masa ini bukan tanggungjawab anda!" Saya diterjah kekeliruan.
"Bukan tanggung jawab saya?" Saya pula menyoal. Suasa tegang. Sesi soal jawab semakin panas seperti panasnya suhu bilik dalam lingkaran udara awal musim panas di Mesir. 

"Anda seorang mahasiswa. Tugas anda belajar. Anda tidak sewajarnya memikirkan persoalan yang melibatkan politik dan bersifat global. Apa lagi politik antarabangsa seperti isu Palestin sehingga terlibat muzaharat." Jawabnya dengan nada meninggi.

Saya kira pemikiran lelaki itu tidak ubah seperti AUKU yang dikenakan terhadap golongan mahasiswa di bumi Malaysia. Mahasiswa tidak dibenarkan bersuara lantang. Kebebasan bersuara disekat. Tetapi spesifikasinya hanya apabila menyokong politik ala-pembangkang, tidak pula politik berjiwa kerajaan yang menyeret fahaman sekularisme dalam pentadbiran mereka. Bacaan yang berat sebelah. Justeru di tanahair sudah ramai mahasiswa yang ditahan di bawah ISA dan ada yang diseret ke lokap. Alasannya mereka terlalu lantang bersuara dan membakar api kesedaran. Pelik juga apabila sokongan itu mengikut saluran establishment tidak pula kebebasan itu disekat-sekat. Itu lumrah biasa sebagai ujian dan tribulasi seorang pejuang kebenaran. Usah terkejut jika orang yang berada di aliran kebenaran diseret menerima padah. Itulah titik-titik akhir perjuangan seorang pejuang. Mereka menerima janji Allah, samada kemenangan atau syahid.

"Adakah mahasiswa tidak betah berpolitik?" Saya menyoal lagi. Lelaki itu terdiam. Kelu. Tanpa sebarang jawapan. 

"Azim!" Lelaki berkulit gelap memanggilnya dan memberi isyarat seraya keluar meninggalkan kami berdua.

"Sepatutnya begitu."
"Anda pernah mengalami alam mahasiswa?" Saya merisik lelaki bernama Azim itu.
"Sudah tentu. Saya masiswa era 70-an."

Mahasiswa era 70-an adalah lapis yang sedang memegang tampuk pentadbiran dalam dekad ini. Malangnya tidak semua yang mendapat tasawur jelas dalam hal berkaitan pemikiran. Ada yang menerima aliran sosialisme, komunisme, sekularisme dan sebagainya.

"Saya kira anda terhasut mengungguli kesilapan." Ungkapan yang tidak sepatutnya saya ungkap terpancul jua dari bibir saya. Saya menanti amarah lelaki itu teruji.

"Kesilapan? Apa maksud anda berkata begitu. Saya tidak nampak fahaman politik saya silap." 
"Biasanya begitu. Sesuatu kesilapan yang ada pada diri sendiri biasanya tidak akan dihiraukan sangat. Sebaliknya bertindak menuduh orang lain salah kerana menegurnya silap."

Perbincangan sepi beberapa ketika. Saya masih duduk di kerusi itu. 

"Kenapa anda terlibat muzaharat semalam?" Kembali ke topik asal soal jawab.
"Sensitiviti." Saya menjawab sepatah.
"Anda bukan bangsa Palestin. Anda bukan orang Arab. Anda orang Malaysia berdarah Melayu. Apa perlu sensitiviti anda dalam hal seperti ini?"
"Saya seorang mahasiswa yang melihat isu Palestin sebagai tanggungjawab sejagat, bukan hanya tanggungjawab bangsa Arab atau bangsa Palestin semata-mata. Umat Islam seperti sebuah binaan."
Ujar saya berhujah.
"Apa yang anda dan kelompok anda dapat dengan mengikuti muzaharat seumpama itu. Merugikan masa sahaja. Malah mengganggu lalu lintas serta menambah kerja pihak keamanan."
"Sekurang-kurangnya kami telah menyuarakan suara khalayak masyarakat kepada pemerintah. Kami menggesa isu Palestin diambil peduli oleh kerajaan. Sebaliknya apa yang kerajaan sudah buat?" Saya melontarkan persoalan yang bisa menjerat diri sendiri.

"Anda sealiran pemikiran Al-Banna! Saya sudah mengagaknya dari awal lagi." Provokasi lagi untuk menggentarkan saya.

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dibunuh gara-gara komitmennya yang tinggi melaungkan jihad menentang Israel pada 1948. Lantaran itu musuh-musuh Islam gentar dengan peranannya lantas mereka mendesak pemimpin umat Islam yang beraliran seperti mereka untuk membunuh Al-Banna. Konspirasi itu didalangi sendiri oleh Raja Faroq yang memerintah Mesir ketika itu berjaya disempurnakan pada 12 Februari 1949. Betapa kejamnya golongan yang terhasut dengan pemikiran barat memperdayakan pejuang-pejuang Islam.

Negara haram Israel ditubuhkan pada tahun 1948 selepas 24 tahun kejatuhan Khilafah Islamiah Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Bagaimanapun barat menyesatkan Umat Islam dengan malabelkan Mustafa Kamal Atartuk - orang yang bertanggungjawab terhadap kehilangan Khilafah Islam Turki Uthmniah - sebagai 'Bapa Permodenan Turki'. Betapa liciknya strategi Yahudi dan Zionis untuk merampas tanah Palestin dari Umat Islam Palestin demi mencapai hasrat mereka itu. Mereka hanya memperdayakan seorang yang bernama Mustafa Kamal Atartuk untuk menaladeni Sekularisme seterusnya membakar bumi Islam Turki.

Sepanjang masa itulah Yahudi menyembelih Umat Islam Palestin setiap hari. Kejadian di Sabra dan Shatila pada tahun awal 80-an yang menyaksikan ramai rakyat Palestin menjadi korban tindakan ganas rejim Yahudi. Namun tidak ada tindakan Mahkamah Dunia terhadap Israel, justeru itu Israel mengulangi kekejamannya pada kali kedua pada April 2002 ini tanpa menghiraukan bantahan badan-badan antarabangsa. Ini bukti keganasan Israel yang patut ditentang. Pelik sekali tindakan itu tidak pula disifatkan sebagai keganasan.

"Barangkali." Saya menjawab bernada getar dalam tegar. Azim tersenyum lagi.
"Anda menurut jejak perjuangan sesat Al-Banna."
"Saya tidak nampak ia sebuah perjuangan sesat."
"Anda belum membacanya habis dari buku." Saya terpukul. Lelaki ini bijak bermain psikologi. Saya hampir tewas.
"Saya akan membacanya nanti untuk menemui apa sebenarnya perjuangan Hassan Al-Banna." Jawab saya bersahaja. Jawapan saya membuatkan lelaki itu ketawa berdekah-dekah.

Yahudi telah lama berjaya merampas bumi Palestin. Sayangnya ideologi Umat Islam masih ada yang tersasar. Masih ada yang mengungguli dasar Liberalisme, Sekularisme, Komunisme, Sosialisme dan sebagainya. Tidak mampu kembali kepada dasar perjuangan Islam sebenar. Justeru Umat Islam tidak mampu membentuk kesatuan yng jitu. Kesatuan yang bakal digeruni musuh-musuh Islam.

Ideologi Kamal Attaturk yang ditunjangi sekularisme itu mendefinisikan permodenan dengan cara yang cukup songsang. Moden pada Attaturk ialah apabila azan dilaungkan dalam bahasa Turki. Moden pada Attaturk ialah apabila Al-Quran dicetak dlm bahasa kebangsaan. Rumah–rumah Allah ditutup kerana dianggap hijab mendalangi permodenan, diganti dengan muzium-muzium yang bisa membawa keuntungan berjuta-juta. Bukan moden namanya jika wanita masih bertudung litup, membatasi pergaulan degan lelaki ajnabi. Tapi lebih moden andai aurat ditayang dan didedahkan sewenangnya malah lebih maju andai air kuning menghiasi pesta-pesta keraian. Itulah ideologi Ataturk, menolak agama dalam urusan dunia demi permodenan yang bertandukkan syaitan. Ideologi yang masih punya pengikut sehingga menyebabkan Barat, Yahudi dan Zionis bersorak riang.

"Bagus..." Lelaki itu menepuk bahu saya. 

Daun pintu terkuak. Hamada melangkah masuk bersama seorang lagi lelaki Arab berkot dan bertali leher. Pakaiannya kemas persis seorang pegawai tinggi. Lelaki yang kerap menyoal saya memberikan tabik hormat kepadanya. Saya menduga dia seorang pegawai tinggi di situ.

"Apa khabar? Bagaimana keadaan anda?" Pegawai itu menyoal.
"Alhamdulillah..." Jawab saya.
"Maafkan pihak keamanan kerana terpaksa menahan anda." Pegawai itu memulakan bicara. Saya tekun menanti ucapan seterusnya.

"Kemaafan juga kerana terpaksa mengikat anda di dalam bilik ini. Kami tahu anda tidak bersalah. Walaupun dengan menyertai muzaharat sepatutnya anda ditahan di penjara bawah tanah, tetapi anda orang asing. Kami masih ada tasamuh. Nasihat kami kepada anda supaya lebih berwaspada dan tidak menyertai apa-apa aktiviti yang dikira salah mengikut peruntukan undang-undang Mesir sehingga akan menyebabkan anda ditahan lagi." Dia menyudahkan kalimahnya kemudian beransur pergi. Meninggalkan saya dan dua lelaki Arab tadi.

Saya pengsan dalam sesak manusia bermuzaharat. Pihak keamanan telah membawa saya ke situ. Saya dikurung dalam bilik kecil seluas kamar bujang. Tangan saya diikat, supaya apabila sedar saya tidak memberontak.

Semua barang-barang peribadi saya dikembalikan. Jam tangan saya masih elok menunjukkan pukul 4.15 pagi. Ini bermakna saya disoal pada waktu dinihari. Waktu kebiasaannya tahanan disoal. Waktu untuk bersolat Tahajud dan bermunajat kepada Ilahi. Saya diiring keluar. Sampai di pintu gerbang bangunan keamaanan Mesir saya berjabat tangan dengan Azim dan Hamada yang menyoal saya dalam tahanan sambil mengucap selamat tinggal. Saya bersyukur. Saya dilepaskan dari tahanan sementara itu.

Saya menahan sebuah teksi.

"Haiyu Sabiek." Jelas saya kepada pemandu teksi destinasi yang bakal ditujui.
"Di mana?" Soal pemandu.
"Masjid Nuri." 

Pemandu mengangguk seraya memecut teksi laju. Saya menghirup udara segar pagi di Kota Cairo yang mempunyai seribu satu kisah suka duka melalui tingkap teksi yang sedikit ternganga. Sampai di Masjid Nuri yang berkubah hijau itu azan Subuh dilaungkan. Setelah berwuduk dan menunaikan solat Sunat Fajar sambil menanti iqamat... saya memanjatkan ifiniti syukur dalam doa.

Ada aliran jernih yang mengalir dari kelopak mata.



TAMAT 


Oleh,

Akhi Masrawi
Lembah Nil
6 Jun 2002

E-mail: [email protected]


GLOSARI

'ammiah - bahasa pasar/ bahasa tempatan
muhadharah - kelas
kernih - kad pengenalan diri
mabahis - perisik/ anggota keamaanan
muzaharat - tunjuk perasaan
hamasah - semangat
tasamuh - tolak ansur

© AKHI MASRAWI

Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen

© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1