KARYA-KARYA Akhi Masrawi

Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah


Sebuah Karya Akhi Masrawi


 
Cerpen: Hingga Titisan Terakhir


Ianya sesuatu yang menyakitkan. Benar. Aku pernah merasainya suatu masa lalu. Dan perasaan itu menghantuk tirai rasa hingga saat ini. Bermula kala kita dipisahkan oleh sebuah ketentuan. Meski ia tidak betah untuk berulang kembali, namun ingatan itu terpaksa kusematkan di saku ingatan.

Aku tidak pasti apa yang kau rasai saat itu. Melihat manik-manik jernih mengalir dari tubir matamu, jiwaku dihantuk lara. Memori lalu tersingkap satu demi satu. Kala kita melepaskan ikatan yang telah sama-sama kita simpulkan itu kerana aku mesti meneruskan langkah ke medan jihad. Jika kau juga menangggung derita seperti apa yang aku alami; pastinya mimpi kita berulit pada satu titik kisah yang sama. Sehinggalah tika warkah ini kutitipkan benih-benih cinta yang pernah tersemai di hati ini belum mati meski ia tidak pernah sesubur dulu setelah kita berjauhan.

Sayang,

Izinkan aku memanggilmu sebegitu. Rahsia untuk mewujudkan mesra. Ujar temanku yang sudah beristeri. Katanya: "Aku tinggalkan isteriku kerana cintaku kepada syahid melebihi sayangku pada manusia." Aku dihantuk kelelahan kerana tidak sehebat dia. Aku tidak pernah memanggilmu sayang bukan? Maafkan aku. Aku telah cuba dahulu, namun aku buntu. Pendirianku tidak mahu mengajar seorang tunang sepertimu menjadi manja sehingga tidak mampu melepaskan aku ke medan juang sewaktu negara amat memerlukan prajurit demi mempertahankan watan. Ya... negara memerlukan pejuang. Kini, meski aku seorang prajurit yang sering ganas dan keras di medan juang; usah kau lupa aku jua punya secebis perasaan halus untuk saling kasih-mengasihi, sayang-menyayangi malah cinta-mencintai.

Kau tentu lebih ingat daripada aku tentang bagaimana kita menjalin cinta itu sehingga ia sukar dipisahkan. Aku yang kala itu bengap persoalan kasih sayang tergagau mencari cahaya dari lilin cinta yang kau nyalakan. Aku tidak pernah menjalin hubungan kawan dengan perempuan. Pendidikan memisahkan aku. Arwah ibu mahukan aku mengikut jejak para ilmuwan Islam. Aku dihantar ke sekolah aliran agama. Aku dididik dalam biah tanpa percampuran dengan perempuan. Sekolah putera mengajar untuk menjadi lelaki sebenar. Kesannya aku tidak kenal apa itu percintaan sehingga keluarga mengikat kita dengan ikatan pertunangan. Kau mula mengajarku erti kasih, sayang, cinta dan rindu yang tidak pernah mengusik jiwa remajaku sebelumnya.

Sayangku,

Kala aku melakarkan marsum ini mentari terik di luar khemah. Panasnya membahang membakar epidermis kulit yang terdedah pada panahan mentari. Butir-butir pasir bagai menyala-nyala menjadi bara dipanah pancaran cahaya panas. Tekak sering dililit rasa dahaga. Kami sedang beristirehat selepas menunaikan solat khauf. Berkhemah di sebuah kawasan oasis padang pasir di sebuah gurun jauh dari permukiman kedamaian. Tengahari tadi segerombolan tentera musuh pantas kami kalahkan. Kesemuanya jatuh tersembam menyembah bumi. Hanyir darah mereka di pedangku masih bersisa. Barangkali esok-esok pedang ini akan meragut nyawa-nyawa manusia lagi. Tentu kau tahu... tugas prajurit. Kami perlu sentiasa sering berjaga-jaga. Musuh berada di mana-mana.

Pedangku memang tidak mengenal nama-nama mangsa. Tanpa menghitung tua, atau muda dari kalangan lelaki durjana tentera musuh pasti akan aku penggal setiap yang mampir ke arahku. Atau aku yang mara ke arah mereka melancar serangan. Akhirnya episod hayat musuh disudahi kepala mereka tergolek-golek jatuh ke bumi. Nyawa mereka berakhir dan aku terus mara. Tentunya isteri-isteri, anak-anak, ibu-ibu, bapa-bapa mahupun tunang-tunang mereka yang kubunuh sedang menanti penuh harapan kepulangan mereka, seperti kau menanti kepulangan perwiramu ini.

Loya tekakmu kukira tika membaca catatan ini. Aku umpama seorang algojo yang gilakan darah dan batang leher manusia. Tetapi itulah kekuatan yang perlu dimiliki sewaktu pertempuran. Nyawa musuh tertulis di kilauan mata pedangku. Tiada polis yang akan menangkap kerana membunuh sebanyak mana pun. Tiada mahkamah yang bisa mendakwa. Tiada undang-undang yang boleh menyekat. Kami terpaksa bermimpi untuk terus hidup dan menang. Justeru untuk tujuan itu, kami perlu terus membunuh dan membunuh. 

Mengimpikan untuk menjadi seorang pembunuh sekali-kali tidak pernah terlintas sewaktu usia kecilku. Kau sendiri kenal siapa aku. Ibuku pernah berpesan: "Abadikan jasadmu dalam lingkaran budi, kelak namamu dikenang orang." Tetapi waktu itu aku tidak tega menterjemah kalimah-kalimah ibu. Aku hanya menjadi pendengar setia pesan ibu sehingga aku kian mengerti. Aku kira jika ibu masih ada dia juga akan redha anaknya memenggal kepala musuh. Atau mungkin membunuh juga adalah dikira budi bila mangsanya adalah musuh kita. 

Oasis ini semakin kering semenjak malam semalam kami rakus menghirup airnya walaupun setelah dicatu dan disita. Jika ia kering kami perlu berpindah lagi. Mencari punca air. Persis puak-puak nomad yang sering berpindah-randah. Bekalan air di gurun ini terlalu mencengkam. Oasis kebanyakannya sudah kontang. Datarnya sudah merekah. Inilah ujian berjuang di padang pasir. Punca air merupakan sesuatu yang paling penting untuk terus menyabung nyawa meneruskan perjuangan. Perjuangan untuk terus hidup dan menyimpan selirat tenaga untuk menentang musuh.

Lebih sepurnama aku dan pasukan tempurku mengisi lembah padang pasir ini. Esok perjalanan bakal diteruskan lagi. Menghitung kemaraan sehingga mendengar laungan kemenangan dan arahan untuk berundur pulang. Sekali-kali menyerah untuk kalah tidak pernah tersemat di ingatan sebagai agenda. Watan perlu terus dipertahankan. Kemakmuran perlu terus dikekalkan. Biarlah kami yang menjadi ganti untuk kalian mencicip manis kehidupan.

Sesekali aku terkenang pada ketenangan desa. Pada unggas yang berkicau melagukan kedamaian. Namun apalah itu semua bila berada di sini.

Suasana peperangan tidak mengizinkan aku untuk terkenangkankan pada perkara-perkara lain termasuk dirimu. Aku terpaksa melupakanmu seketika. sesuatu yang berat kulakukan sedetik pada hayat lalu. Namun nyatanya bila tiba ruang lapang ingatanku kembali segar kepada desa, ayah, arwah bonda, keluarga dan jua dirimu, tunangku. Justeru kelapangan hari ini mengheret aku untuk mengungguli kenangan-kenangan lalu. Lantas kuintai peluang untuk kulakarkan secebis warkah buatmu tunangku.

Teringatkan kata-katamu: "Abang, saya nantikan kepulangan abang untuk cinta kita ditautkan pada ikatan yang sah. Berjuanglah wahai mujahidku, usah dihiraukan pada tuntutan perasaan andai sudah tertulis jodoh kita, pasti akan bertaut jua. Atau kita bertemu di syurga sana..."

Betapa tabahnya kau melafazkan kalimah-kalimah itu. Aku terpana. Meskipun kau tidak mendapat ajaran agama sepenuhnya, kau mampu setabah itu melepaskan kepergian seorang mujahid sepertiku.

srikandiku, 

Peperangan belum tamat dan penghujung nyawaku belum pasti di mana. Andai tersurat namaku di pedang musuh; di situlah akhirnya kemenanganku sebagai syuhada'. Atau aku kembali dari rantau jihad ini membawa kemenangan bersama pejuang-pejuang lain. Aku mungkin akan dianugerahkan tokoh itu dan ini. Kemudian namaku harum menabur budi. Namun itu hanya angan-angan. Musuh masih menggila.

Seperempat purnama lalu misi kami tergendala. 12 orang tentera dari pasukanku ditawan musuh. Rupanya dalam keghairahan kami memenggal kepala musuh, musuh masih sempat melarikan 12 orang seldaduku. Aku risau metah kalau-kalau tawanan itu bakal membocorkan rahsia ketenteraan. Aku mengatur misi meninjau. Mengintai ke kem musuh dari jarak berjaga-jaga, semua rakan seperjuangan yang menjadi tawanan sudah dipenggal dan dipanggang. Musuh bersuka ria melahap daging rakan seperjuangan. Tekak kami meloya. Kami meninggalkan kem musuh kembali ke kem kami dan kemudian melancarkan serangan nekad. Dalam keadaan musuh yang leka melahap batang tubuh manusia panggang kami menyerang bertubi-tubi. Akhirnya kami menang. 

Betapa pentingnya kerahsiaan dijaga. Andai berlaku kebocoran rahsia pastinya kami akan menempuh parah yang getir. Lihat saja bagaimana Rasulullah SAW cukup menitik beratkan aspek kerahsiaan ini semasa peristiwa Fathu Makkah yang tersemat di lembaran sirah untuk memungkinkan kemenangan berpihak kepada Islam dan Makkah ditawan dalam keadaan aman tanpa peperangan. Ini berpunca apabila seorang sahabat Baginda bernama Hatib bin Abi Balta'ah yang risaukan keselamatan kaum keluarganya yang berada di Makkah lantas mengirimkan utusan kepada seorang temannya membongkar rahsia bahawa Rasulullah dan umat Islam akan menyerang Makkah. Namun akhirnya perbuatan cela Hatib itu tersingkap ke pengetahuan Rasulullah SAW seraya Baginda menggesa beberapa orang sahabat untuk menyekat utusan Hatib itu sebelum tiba berita itu ke tangan musyrikin Makkah. 

Saidina Umar Al-Khattab ra amat marah akan kelakuan Hatib lantas mencabut pedangnya untuk memenggal kepala Hatib. Namun Rasulullah SAW melarang kerana Hatib adalah ahli Badar. Andaikan jika utusan Hatib itu sampai ke pengetahuan musuh, tentunya musyrikin Makkah akan lebih bersedia menghadapi umat Islam dalam peristiwa Fathu Makkah itu. Tentunya ramai yang akan terkorban. Pertumpahan darah akan lebih teruk. 

Sayangku,

Kami hanya sebuah pasukan kecil dari pasukan-pasukan lain yang berkawal di padang pasir ini. Dengan berjumlah 100 orang prajurit awalnya kini hanya berbaki 70 orang termasuk aku. Selebihnya telah menemui 'kemenangan'. Jasad mereka yang syahid kami tanamkan dalam sebuah liang besar secara jamaah. Manakala bangkai-bangkai musuh bergelimpangan kami biarkan mereput di daerah pertempuran dibakar terik mentari dan menjadi habuan makanan binatang-binatang. Rupanya bau mayat musuh dari kalangan kafir terlalu tengit. Setiap kali usai menanam teman-teman yang syahid di medan tempur, kami terpaksa menapak jauh mara ke hadapan. Ini untuk mengelakkan dari terpaksa menghidu bau busuk bangkai manusia kalangan musuh yang bergelimpangan. Kalaulah bangkai-bangkai itu tidak mereput dan membusuk pastinya berguna untuk dijadikan tembok yang besar.

Di medan peperangan kepatuhan kepada arahan ketua amat muhim. Kau tentu masih ingat kisah peperangan di Medan Uhud yang pernah kucerikatan. Betapa intisari sirah itu mengimbau hazar yang jitu serta kepatuhan yang ampuh. Harta bukanlah matlamat perjuangan, meski ramai yang menginginkannya. Tentera mana yang tidak terliur pada ghanimah? Kerana menginginkan hartalah perwira-perwira di Medan Uhud tersungkur syahid menyembah bumi. Aku harap tragedi itu tidak berulang kepada barisan tentera yang aku pimpin ini.

Setakat ini arahanku selaku panglima yang memimpin pasukan ini masih didengari dan dipatuhi. Bukan senang untuk menjadi seorang panglima. Bermula sebagai seladadu biasa sehinggalah memanjat pangkat demi pangkat. Akhirnya aku ternobat sebagai panglima. Tetapi pangkat bukanlah segalanya. Aku risau juga kalau-kalau ada di kalangan orang bawahanku yang bakal belot. Jelasnya musuh bukan hanya di kalangan orang kafir. Musuh juga kadang kala berselimut di kalangan kawan, umpama gunting dalam lipatan. 

Paling penting untuk menang adalah kesatuan. Kesatuan akan memutik kekuatan. Kekuatan itu akan melahirkan semangat juang. Semangat itu akan memunculkan keberanian. Tanpa keberanian dan ketaqwaan jihad bukanlah apa-apa. Ironisnya kekuatan terbina dari kesatuan. Jika bekal ini tersemat di minda para pejuang-pejuangku pastinya walau bertembung dengan pasukan musuh yang ramai bilangannya kami tidak tersepit dengan kekuatan mereka kerana kekuatan kami terbina dari kesatuan dan ketaqwaan. Tetapi andai tidak tersemat, gugurlah kami.

Semalam kawanku yang sanggup meninggalkan isterinya demi cinta syahid telah gugur mendapat impiannya itu. Rupanya karamah pejuang yang ikhlas mencari syahid tersingkap sudah. Manyatnya berbau harum semerbak kasturi. Dia kukira mendapat syahid sebenar kerana nekad dalam selirat keikhlasan berjuang mempertahankan kalimatullah. Aku juga ingin menjadi sepertinya.

Mentari semakin melabuhkan tirai siang. Episod malam akan bertukar ganti. Kami akan bertemankan kegelapan dan kesejukan. Panas yang tadinya membakar epidermis kulit mula bersembunyi kemudian menghantar bayu yang bakal menggigitnya pula bersama kesejukan menggila. Beginilah resam siri-siri perjuangan di padang pasir ini.

Kau tentu akan mengharapkan peperangan ini akan segera berakhir dan kita akan cepat bersatu. Aku juga berharap begitu. Tetapi semenjak menghidu bau harum yang menusuk deria hidung semalam dari jasad teman seperjuanganku yang gugur syahid, aku seolah dihambat keresahan. Keresahan untuk mengikut jejaknya.

Selama ini aku yakin pada diri sendiri. Aku tak mungkin gugur tumpas di pedang musuh kerana ketangkasanku memenggal kepala mereka lebih pantas berbanding tindakan mereka. Itulah kelebihan yang aku miliki. Sehingga tenteraku menggelarkan aku 'Khalid Al-Walid'. Aku suka dan kagum dengan gelaran itu. Ia satu anugerah dan kelebihan yang aku ada. Tetapi jangan terlupa kadang-kadang kelebihan yang kita miliki adalah kekurangan pada penilaian orang lain. Tentu kau tahu di mana medan syahid Khalid Al-Walid itu!

Bisikan temanku di pagi hari sebelum dia gugur syahid itu masih tergiang-ngiang. Katanya: " Hari ini aku bakal menemui sesuatu yang telah lama aku idamkan." Aku hanya faham maksudnya, setelah dia benar-benar gugur.

Janganlah kau menangis sekiranya nanti mendengar khabar buruk dari medan perjuangan ini. Anggaplah ia sebuah berita paling menggembirakan. Aku sudahi marsum ini dengan mengirimkan salam rindu buatmu, tunangku.

Aku akan meneruskan perjuangan di sini hingga titisan terakhir; samada titisan itu adalah keringat atau darah yang mewangi semerbak kasturi.


Oleh,

Akhi Masrawi
3 September 2002
Tanta, Egypt.

© AKHI MASRAWI

Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen

© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1