KARYA-KARYA Akhi Masrawi
Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah
Sebuah Cerpen Akhi
Masrawi
Tajuk: Cinta Sufiah
SATU (Prolog)
INI cerita yang benar-benar berlaku. Terpulanglah sama ada hendak percaya atau
tidak!
DUA
Benarkah apa yang aku lihat? Itu sepatutnya persoalan pertama yang perlu aku
tanya sewaktu terpandang Sofia. Di sebelahnya berdiri seorang lelaki sambil
tersenyum ke arahku menghulurkan tangan mesra. Aku berjabat dalam keraguan yang
tidak betah diusir.
Sofia tersenyum padaku. Aku tenggelam dalam tanda tanya. Kemudian dengan kudrat
yang ada aku berusaha untuk bersuara. Namun kata-kata yang ingin kulafazkan
seperti terlekat di kerongkong cuma.
Sofia merapat pada lelaki itu. Aku dijentik cemburu. Namun apa dayaku untuk
melarang darinya berbuat demikian. Di mana hak aku kala itu. Cepat-cepat
prasangka jahat kubunuh mengganti dzan yang baik supaya akal warasku bisa
mentakwil setidak-tidaknya lelaki itu suaminya.
"Ini suami saya." Ujar Sofia memperkenalkan kepadaku lelaki di sebelahnya seraya
mengusik rasa terperanjat dalam diriku yang akhirnya kusorok jauh-jauh. Aku
hanya mampu tersenyum tawar.
"Syah." Ujarku ringkas memperkenal diri lantas meleraikan tangan yang sedang
berjabatan.
"Hassan." Pintas suami Sofia. Dia seorang lelaki yang mesra mengenakan kopiah
putih dan menyimpan janggut menampakkan wara' lantaran membudayakan sunnah
junjungan mulia. Berbeza dengan penambilanku yang selesa berjeans dan mengenakan
baju kasual yang leweh dan selekeh sesuai pula dengan diriku yang tidak pandai
bergaya dan beridentiti seorang seniman. Lantas menatijahkan aku tiada ketokohan
untuk mendampingi wanita seperti Sofia saat itu.
"Kau dah banyak berubah Sofia." Ujarku dengan nada sinis.
"Sufiah! Bukan lagi Sofia." Ujarnya membetulkan.
"Aku lebih mesra dengan nama lamamu, Sofia." Dia hanya membisu.
Masa telah mengubah segalanya. Sofia yang berada di depanku kini sudah jauh
berubah. Dari seorang gadis genit lincah metah kepada seorang wanita yang akrab
dengan perintah agama Islam. Sofia bertudung litup, mengenakan jubah dan tidak
bermekap tebal. Namun keayuannya tidak mampu disembunyikan. Jelas seperti dahulu
juga. Seperti lima tahun sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
"Masih ingat lagi Syah pada saya?" Soal Sofia meneruskan perbualan setelah kami
mengambil tempat di dalam sebuah restoran eksklusif di ibu kota itu.
"Masakan tidak!" Ulasku sambil tersenyum pahit.
"Rasanya bagai baru semalam kita berpisah." Sofia mencipta provokasi.
"Bagaimana harus saya lupa pada wajah yang pernah mengusik cinta suatu waktu
dulu." Ucapku di dalam hati cuma.
Nostalgia semalam tika kehangatan cintaku bertautan tangan dengan Sofia sambil
bermadu kasih di tepian laut Andaman bagai menerpa di ruang mata. Ia tersingkap
persis sebuah tayangan yang tersusun bersama plot-plot rakaman memori itu.
Seperti sebuah drama. Dan aku masih ingat bagaimana cinta itu akhirnya bersemadi
dengan rendaman air mata insan bernama Sofia itu.
"Itukah keputusan muktamad Sofia?" Soalku.
"Ya. Sofia rasa Sofia dah pilih yang terbaik untuk diri Sofia."
"Terbaik? Kalau terbaik mengapa perlu korbankan cinta kita?" Sofia gugup
mendengar pertikaianku.
Sofia membisu. Aku kelu. Tiada bicara yang mampu mengisi ruang itu sehingga bayu
laut Andaman menyapa muka. Lembut dan hening.
"Kenapa Syah hendak sangat Sofia peluk Islam?"
"Demi cinta kita Sofia. Syah amat berharap Sofia sudi memeluk Islam supaya cinta
kita boleh ditautkan dengan ikatan perkahwinan yang sah."
"Mengapa tidak Syah saja yang buktikan kesetian?"
"Maksud Sofia?" Soalku ragu.
"Ikut anutan Sofia."
"Budha?"
Sofia tersenyum sedang aku dihambat gelisah kemudian menggeleng perlahan demi
menidakkan cadangannya itu. Serentak itu air muka Sofia berubah.
Aku menyaksikan tubir matanya tidak bisa lagi menahan linangan air mata yang
akhirnya mengalir lesu. Aku bersimpati. Namun simpati itu hanya sekadar lakonan
sedang aku perlu lebih simpati pada diriku sendiri untuk teguh dengan keimanan
yang nipis memelihara agamaku.
"Memang Syah cintakan Sofia. Tapi Syah tak sanggup untuk gadaikan agama demi
hanya untuk memiliki Sofia. Kita punya prinsip Sofia. Prinsip itu bukan untuk
digadai demi untuk mengaut sesuatu yang tidak bernilai." Aku bersuara dengan
nada yang lunak supaya bisa difahami gadis itu.
"Maksud Syah Sofia ni tiada nilai di sisi Syah? Cinta kita tiada nilai? Begitu?"
Bentak Sofia meningkah.
"Bukan begitu Sofia."
"Habis? Bagaimana?"
Aku terkasima. Tiada hujah yang mampu aku huraikan demi untuk menyatakan untuk
murtad dari agama Islam hanya kerana sebuah cinta dan seorang gadis aku tidak
mampu lakukan perkara itu. Bodoh. Malah aku tidak berselera. Walaupun
pengetahuan agamaku cetek dan tidak sehebat mana.
"Jadi maksud Syah kita memang tidak sepadan. Cinta kita tiada nilai. Kita harus
berpisah!" Sofia membuat kesimpulan sendiri.
Aku terdiam. Kelat. Hati terus dirundung keliru untuk menyatakan pendirian meski
ia telah terpahat kukuh. Aku tidak perlu kalah dengan gadis ini. Rayuan Sofia
memerangkapkan aku. Namun prinsip tetap prinsip. Tapi... Bagaimana harus kupujuk
gadis ini sedang aku sendiri cetek pengetahuan tentang Islam. Cuma apa yang aku
tahu untuk berkahwin dengan gadis bukan Islam seperti Sofia, dia wajib memeluk
Islam.
Sofia jadi tidak keruan. Dengan linangan air mata dia berlari meninggalkan aku
sendirian di pantai itu. Bayu Andaman terus menyapa tubuh. Nyaman
mengigit-gigit. Aku kelu dalam keliru.
Beberapa bulan selepas kejadian itu aku mendapat khabar Sofia telah berangkat ke
Kota Madrid mengikut saudaranya. Aku membuat kesimpulan cinta antara aku dan
Sofia telah berkubur, walaupun nisannya tidak pernah wujud. Meski aku bukan
seorang yang alim beragama, namun untuk menggadai prinsip demi cinta aku tidak
sanggup. Keputusan itulah yang membuatkan aku ditinggalkan Sofia.
Kadang kala aku diusik rasa bersalah. Namun usikan itu cuma sekadar sebuah citra
yang akhirnya kubunuh dari bertamu di garisan hayat.
"Lima tahun bukanlah suatu jangka waktu yang lama." Pintasku setelah agak lama
menyepi.
"Tapi macam-macam boleh berlaku dalam tempoh seperti itu Syah." Ujar Sofia
sambil membuang pandangan ke panorama luar restoran.
Hassan masih ralit dengan akhbar di tangannya tanpa menyampuk perbualan antara
kami.
"Maksud kau?" Soalku.
"Lagikan pantai berubah walau sekali air bah, inikan pula manusia seperti kita."
Sofia berkias denganku. Bahasanya meruntun tirai egoku.
"Tapi aku masih seperti dulu juga. Seperti lima tahun dulu..." Jelasku kelat.
Aku tahu dengan penjelasanku itu aku mempelawa untuk dihina. Namun apalah yang
mampu aku sembunyikan. Jelas terpapang bagaimana keadaan diriku yang seperti
dulu juga. Selekeh. Meskipun aku sendiri tahu hidup tanpa perubahan kepada yang
lebih baik adalah suatu kehinaan.
"Sekurang-kurangnya kita perlu berubah Syah!" Aku hanya tunduk membisu mendengar
kata-kata Sofia itu. Ia bagai mengherdik dan menghina diriku.
Lima tahun terpisah dengan Sofia aku menghabiskan pengajian dalam bidang seni
lukisan di salah sebuah institut dalam negara sedang Sofia terbang ke negara
Andalus. Di sana dia beroleh hidayah setelah berkenalan dengan Hassan di Kota
Cordova.
Hassan seorang siswazah lepasan pengajian Islam di Timur Tengah yang sedang
dalam safar di Kota Cordova menjejak athar tamadun islam yang pernah subur di
sana. Kota yang pernah merakamkan kegemilangan Islam suatu waktu dulu itu kini
hanya meninggalkan memori pada lembaran kitab tarikh. Kisah bagaimana
kegemilangan Islam itu terakam di dalam lembaran sejarah umat Islam. Melalui
Hassan akhirnya Sofia menjadi berminat dan mulai ghairah dengan Islam. Dia
akhirnya memeluk Islam dan berkahwin dengan Hassan.
Mengapa aku tidak seperti Hassan yang berjaya membimbing Sofia ke arah hidayah
Ilahi? Aku sendiri gugup untuk menjawab persoalan itu. Biarlah ianya menyepi.
Aspania @ Andalus @ Sepanyol bukan sahaja sebuah negara yang pernah menjadi
kerajaan Islam malah juga antara salah sebuah kilang pengeluar tokoh keilmuan
dan ulamak muktabar ketika kegemilangan pemerintahan Islam suatu ketika dulu.
Tetapi semua itu telah berakhir semenjak kejatuhan pemerintahan Islam dan umat
Islam diusir keluar dari bumi Andalus itu. Kini hanya lebih akrab dengan nama
Sepanyol.
"Tentu Syah masih ingat bukan?"
"Ingat? Ingat apa?"
"Prinsip. Saya kagum dengan prinsip itu yang tidak mahu menggadaikan agama hanya
semata-mata kerana cinta kepada seorang gadis Budha seperti saya. Syah masih
ingat bukan? Lima tahun dulu di tepian laut Andaman? Adakah prinsip itu masih
begitu? " Soal Sofia menduga.
Sofia bersuara lagi. "Sejak perpisahan itu saya mula belajar tentang Islam.
Patutlah awak tak mahu gadaikan prinsip beragama dulu. Rupa-rupanya Islam itu
agama yang indah. Baru kini saya sedar. Betapa indahnya Islam."
Aku terasa seperti seketul batu besar menghempapku berkali-kali. Nafasku cungap.
Lidahku kelu. Tiada kalimah yang wajar untuk kulafazkan saat itu.
Lima tahun berpisah Sofia belajar tentang Islam. Dia akhirnya memeluk Islam dan
memperelokkan Islamnya. Tapi aku? Lima tahun gundah kerana cinta yang tidak
kesampaian. Dan lima tahun itu jugalah aku membuang keresahan di kanvas
bertemankan warna-warni. Duniaku hanya tahu melukis dan lukisan-lukisan itu aku
abadikan kedamaian. Aku sesat dalam belantara cinta yang kucipta sendiri.
Pertemuan dengan Sofia hari itu berakhir tanpa aku dapat rakamkan bagaimana
kesudahannya yang sebenar. Aku dilambung rasa sesak dan senak.
TIGA
Dalam sujud yang panjang itu aku berdoa supaya Allah menemukan aku dengan
seorang wanita solehah untuk dijadikan teman hidup. Cintaku di zaman kejahilan
dulu segera kuusir jauh. Biar ia menjauh dan tindak lagi bertamu di ruang
ingatanku.
Aku semakin memahami Islam hasil usahaku mendekati seorang pendakwah. Barulah
aku sedar. Benarlah seperti kata Sofia. Islam itu agama yang indah. Menganutnya
merasai kedamaian. Keesaan Allah itu adalah hakiki. Keimanan itu melahirkan
ketaqwaan. Bunganya adalah ad-deen. Putiknya akidah, bajanya syariah dan
hiasannya akhlak. Islam terlalu agung.
Aku telah memilih jalan itu. Namun hobiku dan kecenderunganku tidak pula
terabai. Aku masih terus dengan bakat seni melukis. Aku sering beroleh keinsafan
seringkali melukis keindahan alam. Di situlah aku mula belajar bahawa alam yang
indah ini punya pencipta yang Maha Agung. Ubudiahku kepada Khaliq semakin kuat
dan jitu.
Dari sehari ke sehari aku semakin memahami. Aku hidup lapang.
EMPAT (Epilog)
Hampir setahun berlalu. Semalam sewaktu sedang makan tengahari di sebuah gerai
aku disapa Sofia.
"Ah! Sofia, mana suami kau, Hassan?"
Sofia hanya diam sambil mengukir senyum. Kelat. Dalam pertemuan singkat itu
Sofia memberitahuku suaminya Hassan telah kembali ke Rahmatullah kerana mengidap
sejenis barah. Aku terkedu. Simpatiku mengusik.
Rasanya baru semalam aku, Sofia dan Hassan berbual-bual. Namun hari ini semua
itu telah berlalu. Yang tinggal hanyalah secebis nostalgia.
Hari ini aku masih berfikir. Wajarkah aku memetik kembali bunga yang pernah
bertamu di laman hidupku dulu? Aku keliru. selepas beristikharah aku temui
jawapan.
Aku yakin kali ini. Sesungguhnya pertemuan itu ada perpisahan. Dan sekarang aku
kembali bertemu setelah berpisah. Tentu kau pernah diceritakan dengan kisah
cinta Zulaika dan Nabi Yusuf bukan? Kau masih ingat? cinta Zulaika itu bertaut
jua akhirnya. Aku yakin pada cinta yang suci. Aku tidak mahu lagi kehilangan
cinta itu. Kerana itu cintaku patut bersemadi bersama cinta Sufiah. Cinta Sufiah
itu cinta suciku. Kau percaya bukan?
Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.
12/2002
Kembali ke JURNAL sila klik Respon/Komen
© Hak
cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID:
mypujangga) |