KARYA-KARYA Akhi Masrawi
Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah
Sebuah Karya Akhi Masrawi
Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah
NOTA:(Membaca
cerpen ini menuntut keterbukaan. Ia adalah sebuah karya yang agak asing. Penulis
sempat merujuk beberapa buah kitab sebelum menulisnya. Semoga fakta yang
dikemukakan bertepatan)
Hati dirundung
duka. Air mata bertakung di kelopak mata. Meski kaki sudah kekejangan berdiri,
namun aku masih tidak berganjak walau setapak. Mahu terus untuk merenungi dan
mengingati sebuah kedukaan yang tercetus di zaman lalu. Aku merenung pusara
Saidina Husain Bin Ali K.w dengan tenang meskipun hati bergelora meronta mahu
menyingkap sebuah sejarah yang telah lama terukir. Pusara itu kekal di situ.
Ya... di sebuah Kota kegemilangan pinggir Kaherah. Namanya Kota Husain. Ada
riwayat lain turut menyatakan pusara Saidina Husain sebenarnya di tempat lain.
Ada riwayat yang menyatakan di karbala; tempat di mana dia dibunuh. Malah ada
yang menyatakan di Damsyik berhujah kepalanya dibawa ke hadapan khalifah Yazid
bin Muawiyah selepas pembunuhan. Di Mesir pula riwayat itu timbul selepas
beberapa lama. Walaupun aku tidak pasti kesahehan ihtimalku terhadap pusara itu
namun banyak pengajaran sebenarnya aku perolehi sementelah bertandang ke pusara
itu. Sehingga kini kebanyakan umat Islam masih menyalahkan keluarga Muawiyah di
dalam tragedi pertumpahan darah di Karbala. Terutama Yazid... Mengapa?
Aku ingin menyingkap secara ringkas kepada kalian tentang peristiwa itu. Ia
bukan lagenda atau cereka dalam kebanyakan cerita pendek. Ia adalah sebuah
hakikat sejarah yang telah ternukil di lebaran sirah umat Islam. Kata-kata
seorang ustazku masih tergiang diingatan. Sehinggalah kata-kata itu sirna aku
masih belum menemui jawapan.
"Kita tak boleh menyalahkan sesiapa dalam tahkim di Daumtul Jandal. Sama
ada Abu Musa As-Sya'ari atau Amru bin Al-Ash. Baik Muawiyah mahupun Saidina Ali.
Lagipun semua yang berlaku ada hikmah yang tersirat."
Fikri rakan sekelasku memprotes. "Saya terima pendapat Ustaz... tapi
Muawiyah sepatutnya menjadi gabnor yang patuh. Tidak wajar seorang gabnor
menginginkan jawatan khalifah sedangkan Saidina Ali telah pun dibaiah."
"Fikri... awak sepatutnya tidak mendahulukan ra'yu yang khilaf terhadap
tarikh." Jelas ustazku tenang.
Kelas sepi. Pelajar-pelajar lain menumpukan perhatian pada hujah Fikri. Ada yang
memandang ustaz sambil mengerut dahi menuntut jawapan selanjutnya. Aku terdiam.
Berfikir sedalam-dalam. Kata-kata Fikri seolah menyisih sumbangan Muawiyah dan
dalam masa yang sama dominsi simpatinya begitu tinggi terhadap Saidina Ali k.w.
Meskipun sejarah menukilkan bukanlah Muawiyah yang membunuh Saidina Ali;
Muawiyah masih dianggap salah. Aku kebingungan. Tiada jawapan.
Malah aku pernah berjidal dengan Fikri tentang hal itu. Dia berkeras dengan
hujahnya. Aku kira dia tidak sepatutnya terlalu ego dengan pendapatnya. Untuk
menentukan siapa betul atau siapa salah bukan kita. Allahlah yang lebih
mengetahui segalanya. Sepatutnya kita mengambil pengajaran dan hikmah dari
sejarah. Bukan menambah kerumitan.
Madah Tarikh adab Islami memeningkan. Zaman khilafah Islamiah terpaksa
dibongkar. Nyatanya ada zaman emas. Ada zaman haru-biru. 'Sejarah Umat Islam
sebenarnya sesuatu yang rumit'. Aku membuat kesimpulan sendiri. Lantaran itu aku
mengambil keputusan bertandang mencari jawapan di bumi Al-Azhar. Itulah saranan
guru-guruku. Rahsianya al-Azhar mendidik kami menjadi lebih terbuka terhadap
perkara-perkara khilaf. Kukuh terhadap perkara yang telah disepakati. Tidak
taasub terhadap mazhab sehingga merugikan. Dan kemelut untuk saling
berhimpit-himpit menguji sabar bukan kepalang aku kira medannya adalah Al-Azhar
dan Ardul Mesir. Rahsia selebihnya barangkali belum kutemui.
***********
Seketika selepas Saidina Usman r.a dibunuh setelah 11 tahun memegang amanah
sebagai khalifah maka kebanyakan umat Islam ketika itu telah memilih Saidina Ali
K.w untuk meneruskan amanah Allah. Saidina Ali menolak. Sehinggalah berlaku
desakan demi desakan yang keras; Saidina Ali terpaksa akur untuk menerima amanah
tersebut. Setelah Saidina Ali K.w menjawat jawatan khalifah itu menurut riwayat;
beliau telah mengambil tindakan terburu-buru dengan memecat kebanyakan pegawai
dan gabnor yang dilantik sewaktu pemerintahan Saidina Usman. Meskipun sebelum
itu beliau pernah dinasihati oleh beberapa orang sahabat supaya tidak
terburu-buru dengan tindakan tersebut. Pada hematnya tindakan memecat
pegawai-pegawai Saidina Usman itu wajar lantaran perlantikan mereka ketika zaman
Khilafah Usman adalah kerana berkerabat dengan Saidina Usman r.a semata-mata.
Bukan lantaran kelayakan. Sedangkan ketika itu kekhilafahan Saidina Ali k.w
masih belum dibaiah oleh mereka. Sehingga beliau mengutuskan utusan membawa
surat kepada Saidina Muawiyah yang sedang berada di Syam.
"Kau nak ikut aku pulang ke tak, Taufiq?" Soal Fuad sambil bergegas
mengambil beg sandangnya. Kemudian beg itu disandang ke bahunya. Hanya beberapa
buah kitab kuliah di dalamnya bergerak-gerak. Selesai kuliah di Al-Azhar selepas
Zohor Aku dan Fuad bertandang ke Masjid Husain untuk berehat. Untuk berebut
pulang pada waktu tenghari itu memeritkan. Malah terpaksa berebut-rebut untuk
memanjat bas dengan orang-orang arab Mesir dan pelajar-pelajar lain yang turut
mahu pulang sehabis kuliah. Biasanya kami akan berehat seketika di Masjid
Hussain atau menghadiri kelas pengajian talaqi di Jami' Al-Azhar As-Syarif
bersebelahan Masjid Husain yang biasanya diadakan selepas asar.
Aku masih diam. Tiada jawapan kepada pertanyaan Fuad.
"Aku mahu bersegera menghambat bas ke Haiyu Sabiek. Lagipun Maghrib sudah
hampir. Malam ini kita ada mau'id dengan Sheikh Fathi untuk tasmi' Al-Quran di
Masjid Musa. Kalau kau mahu ikut sekali kita perlu pulang segera." Jelas
Fuad bersahaja.
"Aku mahu solat Maghrib di sini saja. Lepas itu barangkali aku menyusul ke
Masjid Musa. Kita jumpa di sana. Mungkin hampir Isyak aku akan sampai."
"Baiklah. Kita jumpa di sana nanti. Jangan kau lupa pula! Minggu lepas pun
kau tak hadir tasmi' dengan Sheikh Fathi. Dia bertanya tentang kau. Tiada
jawapan yang aku berikan selain berjanji yang kau akan hadir hari ini."
Fuad mengingatkan aku sambil berlalu pergi.
Aku masih di sisi pusara Saidina Husain anak kepada Saidina Ali dan cucu
Rasulullah saw. Aku masih terkenangkan Tragedi Karbala. Lokasi di mana Saidina
Husain dibunuh. Dia dibunuh oleh tentera Yazid bin Muawiyah yang dikepalai oleh
Ubaidullah bin Ziyad. Kepalanya dipenggal untuk di bawa ke hadapan Khalifah
Yazid di Damsyik.
Yazid menduduki takhta pemerintahan selepas kematian bapanya Muawiyah bin Abu
Sufyan. Maka bermulalah pemerintahan khalifah pertama dalam Islam berbentuk
monarki keturunan. Kerajaan Bani Umaiyah bertahan agak lama juga. Semenjak
jatuhnya kuasa itu ke tangan Muawiyah sehinggalah tahun 132H ketika Abul Abbas
Assafah diangkat menjadi khalifah. Maka setelah itu bermulalah pemerintahan
Kerajaan Bani Abbas dan berakhirlah pemerintahan Bani Umaiyah di Damsyik. Namun
seorang daripada keturunan Umaiyah iaitu Abdul Rahman Bin Muawiyah bin Hisyam
bin Abdul Malik berjaya menyusup ke Andalusia (Sepanyol) dan mendirikan alias
meneruskan kerajaan Bani Umaiyah di sana sekira-kira Bani Abbas mula mengambil
kuasa.
Sewaktu kecil Yazid dididik sangat manja oleh ayahnya. Lantaran itu dia membesar
sebagai anak bangsawan yang fakir tentang hal keagamaan. Dia hanya suka berhibur
dan kurang mengambil peduli hal-hal yang lebih penting tentang kehidupan. Namun
keistimewaannya ialah fasih dalam bahasa. Justeru dia pandai bersyair. Meskipun
pernah diberikan jawatan yang penting oleh Muawiyah ketika kekuasaannya namun
Yazid tidak betah belajar untuk menjadi pemimpin yang baik. Kebanyakan ahli-ahli
politik pada zaman tersebut mencadangkan kepada Muawiyah supaya dia menentukan
anaknya Yazid menjadi khalifah selepas kematiannya. Ini bertujuan supaya tidak
terjadi pertumpahan darah akibat berebut jawatan khalifah. Sebenarnya cara
tersebut telah menyalahi sistem yang diperkenalkan oleh Islam iaitu melalui
syura yang akhirnya bertukar kepada hak keturunan sehingga layak dinamakan raja
sahaja, bukan khalifah.
Mataku masih merenung pusara Saidina Husain. Orang-orang Mesir agaknya
bersimpati dan 'menjaga' keturunan Ahli bait. Barangkali sebab itu pusara
Saidina Husain terjaga rapi. Aku masih terhimpit dengan pertembungan itu. Di
benakku terpancul pelbagai persoalan. Siapa sebenarnya yang bersalah atau pihak
mana yang betul. Muawiyah? Yazid? Husain sendiri... atau siapa? Malah persoalan
itu berkubur sendirian. Aku sendiri tersihir dengan persoalan-persoalan tadi.
************
Utusan yang dihantar oleh Saidina Ali K.w kepada Muawiyah disuruh pulang dengan
tangan kosong. Muawiyah akan menjawab surat Saidina Ali itu dengan menghantar
utusannya sendiri. Tidak lama selepas itu dihantarnya balasan surat Saidina Ali
itu melalui utusannya ke Madinah. Surat kosong itu hanya tertulis
'bismillahirrahmanirrahim' dan diluarnya tertera tulisan 'dari Muawiyah bin Abu
Sufyan kepada Ali bin Abi Thalib'. Tanpa perkataan 'Amirul mukminin' jelaslah
bahawa Muawiyah belum mengakui bai'ahnya terhadap Saidina Ali K.w. Malah
Muawiyah telah mempersiapkan tenteranya untuk memerangi pembunuh Saidina Usman
r.a. Manakala lain pula halnya di Madinah, Muawiyah dipandang telah derhaka
kerana keengganannya mengakui kekuasaan khalifah yang sah, sebab itu halal pula
memeranginya.
Muawiyah seorang yang cekap politik, bijaksana dan pintar mengatur urusan dunia.
Memeluk Islam sewaktu Fathu Makkah. Dia adalah juru tulis; bahkan penulis wahyu
kepada Baginda Rasulullah dan turut meriwayat hadith. Sememangnya para sahabat
mempunyai kelebihan masing-masing yang berbeza. Malah ada riwayat yang
menyatakan dia seorang yang bijak berdampingan dan mempunyai pengaruh yang kuat.
Meskipun begitu kemenangannya menjawat jawatan khalifah bukanlah di atas
kehendak umum tetapi melalui percaturan Amru bin Al-'Ash sewaktu mengikat
perdamaian dengan Abu Musa Al-Asy'ari di Daumatul Jandal. Di sinilah bermula
suratan tersirat dan seribu satu hikmah yang tersembunyi sehingga kurang
diketahui oleh kebanyakan umat Islam.
Sebenarnya Muawiyah sangat menginginkan jawatan khalifah itu selepas kematian
Saidina Usman r.a. Sedangkan Saidina Ali k.w diangkat menjadi khalifah. Di kala
itu huru-hara selepas pembunuhan Saidina Usman r.a masih belum reda. Ini
memungkinkan Muawiyah mencapai impiannya itu. Sementelah untuk mencapai
hasratnya, Muawiyah mengatur pelbagai helah siasahnya. Berlaku beberapa siri
peperangan yang merugikan umat Islam. Kematian demi kematian. Di antaranya
peperangan Jamal (unta) dan peperangan Siffin.
Sewaktu pertempuran di medan Siffin tercetus tentera pimpinan Saidina Ali K.w
hampir berjaya menewaskan tentera Muawiyah. Sehingga terdengar laungan meminta
supaya menghentikan peperangan dan berhukum mengikut kitab Allah. Maka
terjadilah gencatan senjata. Muawiyah mengusulkan supaya dilakukan Majlis tahkim
dengan Amru bin Al-Ash mewakili Muawiyah sedangkan Saidina Ali k.w keberatan
melepaskan Abu Musa Al-Asyari menjadi wakilnya. Namun orang ramai telah
memilihnya dan berkeras. Saidina Ali pasrah.
*********
Di luar sana hari semakin gelap. Lampu-lampu masjid telah lama menyala. Musim
panas di Mesir membahang bingit. Siang lebih panjang dari malam. Orang awam
berada di mana-mana. Bingar kenderaan masih kedengaran. Penumpang-penumpang
menyesakkan kenderaan awam. Bas merah terutamanya sebab nilai tambang cuma
rubu'. Aku masih termangu sendirian. Seorang siswa menghampiriku. Aku sempat
merenung tajam ke arahnya. Dia sebenarnya kukenali. Teman seperjuangan yang
turut bersama di Al-Azhar. Cuma dia seniurku. Dia menepuk bahuku. Aku menoleh
membuang pandang sambil tersenyum tawar. Tangan kami berjabat mesra.
"Akhi Taufiq! Hari dah nak maghrib, mengapa masih sendirian di sini?"
Tegur Azmi membuka bicara.
"Ana nak solat di sini. Lepas tu barangkali akan menyusuli Fuad di Masjid
Musa. Kami ada mau'id tasmi' Al-Quran dengan Sheikh Fathi." Jelasku tanpa
disoal.
"Dari tadi ana tengok akhi di sini. Mesti ada sesuatu yang
difikirkan." Azmi meneka.
"Melihat pusar Saidina Husain ana terkenang tragedi pertumpahan darah di
Karbala. Tetapi tidak terniat untuk menyalahkan sesiapa." Jawabku sambil
tertunduk muka memandang permaidani.
"Baguslah kalau begitu. Sewajarnya kita menjadi orang yang mu'tadil dalam
hal seperti ini." Tutur Azmi sambil tersenyum tawar.
"Akhi Azmi... boleh ana tanya sesuatu?" Pintaku.
"Tentang apa akhi Taufiq?"
"Siapa yang terlibat dalam komplot pembunuhan Saidina Ali k.w?"
"Mengikut apa yang ana tahu pembunuh Saidina Ali ialah Ibnu Muljam. Anta
boleh rujuk kitab Feqh sirah karangan Al-Buthi. Mengapa?" Azmi kembali
melontar persoalan.
"Ibnu Muljam golongan khawarij kan?"
"Ya... Malah bukan cuma Ibnu Muljam merancang untuk membunuh Saidina Ali,
golongan khawrij telah berpakat untuk membunuh Muawiyah dan Amru bin Al-Ash
juga. Tetapi yang berhasil cuma Ali. Muawiyah dan Amru terselamat. Khawarij
mengatur politik kotor. Ramai orang Islam yang tak tahu. Malah lebih menyedihkan
ada yang menuduh Muawiyah yang bersalah tanpa usul periksa." Jelas Azmi.
Kelihatan jemaah sudah mula memenuhi ruang masjid. Azan dilaungkan. Sayu rasanya
hati. Keinsafan menerjah dalam diri. Umat Islam dibina atas kesatuan. Kalimah
Tauhid menjadi neraca. Tuhan itu Esa tiada dua atau bertiga. Aku kira konsep
triniti terlalu lemah sebenarnya. Namun Kristian masih mengunggulinya. Dan
setiap percaturan alam adalah qudrah dan iradah Ilahi yang Maha Esa. Kalaulah
tuhan itu berdua atau lebih sudah tentu kehendaknya berbilang. Sedangkan alam
tidak terjadi secara kebetulan kerana perkara yang terjadi kebetulan hanya jadi
sekali sekala. Sedangkan percaturan Ilahi terhadap siang dan malam, peredaran
cakerawala pada paksinya mengikut ketetapan, kejadian pasang surut air laut, dan
sebagainya terjadi berulang kali. Malah ada peraturan pula. Sebagaimana siang
yang bercahaya cerah, malam pula bumi akan gelap dari simbahan cahaya matahari.
Itulah sunnatullah.
Khilafah jatuh ke tangan Saidina Muawiyah. Golongan khawarij masih ingkar
mengakui kekhilafahannya. Ini bermakna golongan khawarij memusuhi Saidina Ali
dan berdendam terhadap pemerintahan Muawiyah. Itu tidak penting. Meskipun kuasa
khalifah beralih tangan namun masih dipegang oleh kuasa Islam sehinggalah
jatuhnyanya kerajaan Turki Uthmaniyah pada 1924. Khilafah telah benr-benar
hilang. Umat Islam patut sedar. Amanah untuk mengembalikan khilafah Islam itu
semula kerana itulah antara kemenangan awal komplot zionis. Mustafa Kamal
At-Tartuk gemilang sebagai pemerintah Turki moden sedangkan dia adalah alat
zionis antarabangsa. Umat Islam tidak menyedarinya. Orientalis menukilkan
kegemilangan sumbangan At-Tartuk sedemikian dalam catatan sejarah. Anak-anak
umat Islam tertipu dengan penjajahan pemikiran itu. Malah di negara-negara umat
Islam lahir pemimpin-pemimpin yang menaladani corak ideologi At-Tartuk.
Pada tahun ke 60H Muawiyah meninggal dunia dan Yazid menjadi gantinya. Saidina
Husain ketika itu berada di Makkah menerima surat dari Kufah memintanya ke sana.
Saidina Husain bersiap-siap bersama sanak saudara dan kerabatnya untuk bertolak
ke Kufah. Ada riwayat yang menyatakan beliau dilarang berbuat demikian. Namun
tidak diendahkannya. Maka rombongan Saidina Husain pun bertolak meninggalkan
Makkah. Setelah hampir tiba di Kufah barulah dia mendengar perkhabaran bahawa
kaum Bani Umaiyah telah bersedia hendak memeranginya. Tetapi dia tidak betah
untuk kembali ke Hijaz. Dia nekad. Dia akhirnya terbunuh di Karbala.
Selesai solat maghrib aku dan Azmi berpisah. Azmi akan ke 'Atabah. Katanya ada
urusan. Aku mengambil teksi ke Masjid Musa di Haiyu Sabiek. Barangkali Fuad
sedang menantiku di sana. Di dalam perut teksi aku melayan diri dan tanpa
kusedari air mata Karbala itu menitis lagi di Kota Kaherah mengenangkan bilakah
khilafah akan kembali.
TAMAT
Glosari:
ihtimal : pertimbangan
ra'yu : pandangan akal
tarikh : sejarah
berjidal: berbahas
Madah : mata pelajaran
talaqi : kelas pengajian
mau'id : janji
tasmi' : memperdengarkan (pengajian Al-Quran)
bai'ah : kesetian
rubu' : 25 sen (nilai mata wang)
mu'tadil: pertengahan/ adil
qudrah : kuasa
iradah : kehendak
'Atabah : nama tempat
Nota- Glosari perkataan yang disertakan sekadar untuk menterjemahkan maksud
penceritaan karya ini. Sebarang pembetulan dialu-alukan.
Rujukan:
Kitab al-Bidayah Wan nihayah karangan Imam Ibnu Kathir.
Kitab Feqh Sirah karangan Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi.
Sejarah Umat Islam karangan Prof. Dr Hamka.
Oleh,
Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.
© AKHI MASRAWI
Kembali ke JURNAL sila klik Respon/Komen
© Hak
cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID:
mypujangga) |