KARYA-KARYA Akhi Masrawi
Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah
Sebuah Karya Akhi Masrawi
Kerikil Cinta Humaira
"KAU
lelaki tak punya perasaan." Sergah suatu suara mematikan lamunanku suatu
petang.
"Kau lelaki pasif. Angkuh dan ego dengan kekacakanmu. Tidak pernah
memikirkan hati manusia lain yang bernama wanita." Suatu suara lain lebih
merdu persis suara wanita.
"Aku?" Aku bertanya suara-suara yang aku dengar tadi.
"Ya..." Mereka menjawab serentak. Aku terkasima.
"Siapa kamu berdua. Apa tujuan kamu mengganggu aku?"
"Kau tak kenal kami Akhi?" Soal suara si wanita yang merdu itu. Aku
cuma menggeleng. Tubuhku mula menggeletar. Aku bukan bermimpi lagi. Suara itu
semakin jelas didengari. Ia bukan ilusi.
"Aku tak kenal kamu berdua!" Jelasku bernada getar.
"Kau yang mencipta kami. Kau lupa?"
"Cipta??? Cipta... aku cipta kamu berdua?" Aku semakin bingung.
"Bila pula aku cipta kamu berdua?" Aku kembali melontar persoalan.
"Kau memang cepat lupa... Akhi. Aku tahu kau seorang penulis karya seni
tapi hari ini kau melupakan watak-watak karyamu yang pernah kau cipta itu."
Suara si lelaki mendatar. Aku dapat membaca kekecewaan yang terzahir.
"Kau kagum bila karyamu dipuji-puja. Tapi kau sepatutnya merasa bersalah
menciptakan watak-watak seperti kami! Apa motif kau berkarya Akhi?" Soalan
merdu wanita tadi kembali menghantui.
"Kenapa pula kamu berdua kata begitu?" Aku memberanikan diri bertanya
suara-suara tadi. Aku bangun dari katil bujangku mengahampiri jendela bilik di
sebelah barat. Suara tadi seolah-olah terpacul dari situ. Aku yakin aku perlu
mendapatkan penjelasan selanjutnya dari mereka.
"Habis???" Soal suara si lelaki kembali.
"Aku tidak gemar berbicara dengan orang yang tidak aku kenali!"
"Kau memang pandai mencipta provokasi dan falsafah yang menyusahkan
orang."
"Aku tidak bermaksud begitu."
"Itu bukan urusan aku."
"Siapa kamu berdua? Aku lebih suka mengenali..." Tuturku lembut.
"Baiklah... Aku jelaskan padamu yang aku ini watak yang pernah kau cipta
dalam karyamu. Aku muncul untuk menuntut hak aku."
"Hak kau??? Siapa kau wahai suara?"
"Aku Syam. Kau tentu kenal bukan?"
Syam! Akalku ligat berfikir. Mencari insan bernama Syam. Tetapi gagal untuk
bertemu. Aku jadi serba salah.
"Aku Aisyah." Sambung suara merdu yang kian lama terdiam.
"Syam... Aisyah?" Aku masih mencari.
"Kami berdua watak yang kau cipta dalam karyamu yang berjudul Dia Seorang
Teman (Maafkan Aku Aisyah). Apa kau dah lupa. Ahhh..sesingkat itu kau melupakan
kami."
"Aku masih ingat..." Jawabku sepontan.
"Ha..Ha..ha..ha...Hi..hi..hi.." Suara Syam dan Aisyah ketawa mengilai.
Aku berundur sedikit ke belakang. Tubuhku seram sejuk. Aku rasa mahu saja aku
terus lari meninggalkan suara-suara tadi. Suara-suara yang aneh dan menakutkan.
Bulu romaku kembali terpacak.
Tiba-tiba pintu bilikku terkuak. Aku terkejut lagi untuk kesekian kalinya.
Jantungku berdegup semakin kencang. Kak Long masuk ke dalam bilikku sambil
menatang sedulang juadah. Aku mengawal diri supaya tidak timbul syak di hati Kak
Long. Peristiwa tadi biarlah menjadi igauanku seorang. Kak Long tersenyum ke
arahku. Aku membalas dengan senyuman yang hambar. Suara-suara tadi sudah
menghilang entah ke mana.
"Hai Syam lain macam saja akak tengok. Kenapa?"
"Syam tak apa-apa." Ujarku manja.
"Ada masalah ke adik akak ni?"
"Tak adalah Kak Long!"
"Betul ni?" Aku mengangguk terharu. Kak Long meletakkan dulang berisi
juadah minum petang di atas meja. Aku cuma memerhatikan.
"Ishk...sayang betul Kak Long kat Syam. Buat susah susah saja." Aku
berbasa-basi. Senyuman Kak Long semakin manis. Kak Long mencapai sebuah Novel
dari rak bukuku seraya menunjukkan reaksi meminjam sambil berlalu keluar. Pintu
kembali tertutup. Kak Long minat membaca. Malah dia pernah menulis Cerpen dan
puisi. Tetapi Kak Long sudah usai semenjak bersuami.
Aku merapati meja bacaanku. Kemudian menekan punat power supaya Komputer
peribadiku yang semakin dimamah usia itu kembali bertugas. Akalku ligat
mencari-cari watak-watak yang pernah aku ciptakan. Seolah ianya seperti tugasan
dari suara-suara tadi yang kian mengahantui benak. Aku mula menceroboh fail-fail
yang tercipta dari folder-folder yang berlambak-lambak itu. Kuselak satu demi
satu karya-karya yang pernah aku hasilkan. Bermula dengan puisi-puisi, esei dan
cerpen. Aku lebih tertarik menyelongkar cerpen, kerana biasanya aku gemar
mencipta watak menerusi cerpen atau novel. Jarang aku mencipta watak-watak lain
dalam genre penulisanku yang lain.
Akhirnya aku menemui cerpen berjudul Dia Seorang Teman. Seperti yang dinyatakan
suara-suara tadi. Aku terus menekan mouse komputerku. Malangnya fail itu sudah
kosong. Ini bermakna aku harus menyelongkar disket pula. Usaha tidak
berpenghujung di situ walaupun disket yang aku maksudkan itu telah dipinjam oleh
adikku Syahrul. Mindaku kembali ligat memikirkan alternatif menemukan kembali
kisah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah).
Akhirnya aku mampu membuat konklusi dari sinopsis yang aku cantumkan dari
ingatan yang menerpa membantu. Sebenarnya 'Dia seorang teman' adalah sebuah
cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan dua orang teman. Watak hero bernama
Syam; seperti namaku dan heroinnya bernama Aisyah. Berlatarkan kehidupan sebagai
anak desa Tambak Budi sebuah kampung nelayan Syam dibesarkan dalam keluarga
sederhana dan belajar hidup berdikari sejak kecil lagi. Manakala Aisyah membawa
watak gadis pintar yang juga anak jati Seberang Tanjung tetapi membesar dan
menghabiskan usia kanak-kanaknya bersama Ibu saudaranya di daerah lain. Bapanya
seorang pesara tentera sedang ibunya pula seorang pendidik.
Syam bertemu Aisyah di Pantai desanya sewaktu berhibur mendengar kicauan camar
dan memerhati alam. Kebetulan mereka satu sekolah malah sekelas. Semenjak sapaan
pertamanya dibalas, Syam dan Aisyah membina keakraban sebagai kawan sekelas.
Berpendidikan di Sekolan Agama dan tinggal di asrama. Mereka membawa watak bijak
sehingga berjaya cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM hasil kecekalan usaha
bersama.
Setelah SPM diumumkan Syam dan Aisyah memohon ke Matrikulasi UIAM. Permohonan
mereka berjaya. Namun Keluarga Syam menginginkan dia melanjutkan pelajarannya ke
Jordan. Kemahuan keluarga diturutkan dan Aisyah terasa diabaikan. Aisyah hilang
pertimbangan. Dia menghilangkan diri. Sewaktu permusafiran Syam ke Jordan,
Aisyah menukar haluan. Dia tidak mendaftar di Matrikulasi UIAM sebaliknya
memilih untuk belajar di Kolej Swasta. Tinggal bersama rakan-rakan liar di rumah
sewa. Aisyah mula berubah. Dia meninggalkan kelazimannya menutup aurat. Akhirnya
Aisyah terjebak alias diseret ke dunia jengkel Lesbianisme. Mencintai kaum
sejenis dan hubungan Seks di luar tabie. Syam terpana sewaktu mengetahui berita
itu melalui buku kecil milik Aisyah yang sengaja ditinggalkan terlempar di
pantai sewaktu bertemu dengan Syam yang baru pulang dari Jordan.
Dari apa yang tertulis dalam buku itu, barulah Syam mengerti Aisyah menaruh
harapan yang tinggi dalam hubungan mereka. Diruntun desakan ibunya (syam) supaya
perhubungan antaranya dengan Aisyah ada pertalian dan ikatan. Akhirnya Aku
(penulis) menemukan jodoh mereka. Syam bertemu Aisyah di pantai setelah memohon
petunjuk melalui solat istikharahnya. Syam melamar Aisyah. Cinta yang terbina
dari kekuatan kesetiaan. Percintaan perlu ada pertautan iaitu perkahwinan. Namun
sayang sekali.... adakah Syam yang terlambat atau Aisyah yang bersalah!!!
AaaaaahhhhHHHHHH…..!!!!! Pening! Mindaku ligat berfikir tentang kisah yang
pernah aku nukilkan. Di mana salahku? Sehingga aku diserang suara-suara ganjil
yang mengaku sebagai Syam dan Aisyah. Aku pernah mencipta watak-watak lain.
Misalnya watak Alif sebagai hero dalam cerpen berjudul 'Lagenda Gadis Kedai
Bunga', watak Wirda heroinnya, Watak Fatimatul Zahra dalam cerpen 'Warkah Buat
Puteriku', watak Taufiq, Fuad, Azmi dan Fikri dalam 'Air Mata Karbala Menitis di
Kota Kaherah', Alif, Siti, Fakrul dan Saiful dalam Nostalgia 797 malah banyak
lagi; kesemuanya tidak pernah mengganggu aku. Tapi watak Syam dan Aisyah dalam
cerpen Dia seorang Teman tiba-tiba menggangguku pula. Mengapa? aHHH... Aku
kepeningan memikirkan hal itu. Apa salah aku sehingga Syam dan Aisyah seolah
tidak berpuas hati denganku. Aku Buntu!
Aku menemukan mereka sebagai pasangan kawan yang ideal pada awalnya. Aku tautkan
kasih sayang yang lahir dari jiwa seorang teman, sehingga saat perpisahan mereka
dirasakan amat berat kala remaja. Aku wujudkan perasaan cinta yang terbina dalam
runtunan jiwa remaja mereka berdua sewaktu dipisahkan. Dan aku temukan mereka di
desa asal mereka sehingga Syam akhirnya menyatakan kecintaan yang lahir dalam
jiwa mereka yang sudah lama terbina. Akhirnya aku tautkan percintaan murni
mereka itu dengan perkahwinan sebagai ikatan yang sah. Di mana lagi silapku? Ah!
Barangkali benarlah seperti yang pernah dituturkan; 'Sesuatu kelebihan yang ada
pada diri seseorang, kadang-kala dinilai sebagai kelemahan oleh mereka yang
berada di pojok yang lain.'
Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman ligat bermain di mindaku. Aku mencicip milo
yang masih berasap yang dihidang Kak Long. Kujamah cucur udang cicah kuah kacang
pekat. Aku tersenyum sendiri. Jika suara-suara tadi datang lagi,
sekurang-kurangnya aku sudah bersedia dengan jawapan untuk memastikan aku tidak
bersalah.
Kak Long pernah manjadi penulis karya kreatif suatu masa dahulu. Dia Digilai
peminat. Malah dari kalangan peminatnya seorang jejaka yang kini menjadi
suaminya. Namun kini Kak Long sudah tidak aktif menulis lagi. Mengapa agaknya?
'Adakah dia juga diganggu watak-watak yang pernah dia cipta seperti apa yang aku
alami? Kalau diganggu; adakah itu yang menyebabkan dia berhenti menulis?' Watak
Syam dan Aisyah menuduhku lelaki tanpa perasaan, pasif, angkuh dan ego dengan
kekacakan. Malah tidak pernah memikirkan perasaan orang lain terutama wanita.
Aku bermonolog sendiri.
"Apa motif kau berkarya Akhi!" Soalan itu kembali menghantui. Maafkan
aku Aisyah. Motifku, ingin meminta maaf daripadamu. Aku tidak pernah menafikan
kau seorang teman yang baik. Kau hadir tika lara hati. Kaulah yang memujuk duka
hati ini, melepaskan lara, memberikan semangat, mendorong kekuatan dan
meresahkan jiwa sesekala warkahmu hadir mengusik.
Aku mengenali Aisyah sewaktu jiwa kekosongan sejurus gagal dalam cinta monyet.
Cindrelela pertamaku terpaut hati pada lelaki lain. Belum sempat cinta itu mekar
kami dipisahkan. Selepas SPM aku melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang
Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Dia masih di peringkat pengajian menengah waktu
itu. Perpisahan mengundang kecekalan, kejujuran dan kesetiaan. Namun itu semua
sifar. Bibit-bibit cinta kami berakhir dengan kehadiran jejaka lain dalam
hidupnya. Sewaktu menjelajah belantara ilmu di Bumi Laut Mati itu, Aisyah hadir
mengisi kekosongan.
Aku minta maaf darimu... Aisyah. Aku tidak tahu seawal perkenalan itu cintamu
berputik padaku. Sedangkan aku masih belum bersedia menerima cinta itu lagi
setelah gagal dengan cinta pertama. Aku terkasima memikirkan perjalanan hidup di
usia remajaku. Aku mula sedar kala perhubungan kita semakin akrab cemburuku
mendahului segalanya. Mungkin hatiku mula membina istana cinta terhadapmu. Aku
mendapat tahu kau menjalin hubungan dengan lelaki lain. Aku tidak betah
menerimamu secara realiti lagi setelah itu, meskipun cintamu terhadapku semakin
berkembang. Aku terseret mengungguli cara As-Syahid Syed Qutub yang pernah
meninggalkan cintanya terhadap seorang gadis gara-gara gadis itu ada menjalinkan
hubungan dengan lelaki lain. As-Syahid kemudiannya menumpukan cintanya pada
perjuangan Islam. Beliau akhirnya syahid di tali gantung sebagai hadiah cintanya
terhadap janji Ilahi. Aku?
Hubungan kita akhirnya hambar. Lantas sengaja aku gunakan namamu, Aisyah sebagai
watak penyeri untuk cerpen Dia Seorang Teman. Aku tidak bermotif menyakitkan
hatimu, malah bukan untuk menambah sengsara jiwamu. Niatku sekurang-kurangnya
watakmu bersatu dengan cinta Protagonis bernama Syam seperti namaku jua. Itu
cara terbaik untukku meminta maaf. Aku kirimkan manuskrip cerpen itu padamu
supaya dapat kau membacanya. Itulah motifku yang hakiki.
Selama seminggu selepas aku dihantui suara-suara misteri yang mengakui dirinya
sebagai watak-watak cerpen Dia Seorang Teman kuhabiskan untuk mengumpul
kekuatan, mencari idea dan menajamkan hujah. Penulisanku tergendala. Beberapa
cerpen yang sedang kutulis terbengkalai. Esei ibarat karangan merapu. Malah
penghasilan puisi-puisiku hambar dan tidak bernafas lagi. Aku kesesatan dalam
belantara dunia penulisan. Dunia yang aku tempah sendiri. Berkenalan dengan
penulis-penulis gergasi dan menceduk ilmu daripada mereka sehingga mampu
menghasilkan cerpen-cerpen bermutu. Menggulung falsafah dan menaladeni disiplin
penulisan yang mapan.
Sentuhan penulisan kreatifku semakin pudar warnanya. Lakaran puisi-puisiku
setelah peristiwa itu hanya layak dibakulsampahkan. Kalau dihantar ke meja
editor penerbitan hanya untuk menyemakkan cuma. Aku hilang semangat menulis.
Rupanya apa yang aku alami disedari beberapa teman karyawan. Sukar aku
menjelaskan situasi konflik yang kualami. Mereka pasti tidak memahaminya atau
aku bakal ditertawakan nanti.
"Kenapa ni Abang? Termenung jer Su tengok dari tadi." Suraya isteriku
mampir menegur. Igauanku serta-merta sirna. Nostalgia sewaktu menjadi Cerpenis
alias pengarang kreatif suatu masa dulu hilang. Plot-plot cerpen Dia Seorang
Teman yang berlegar di minda hilang tiba-tiba. Aku kini sudah berumah tangga dan
keaktifan menulis semakin kurang. Barangkali akibat kesibukan dengan kerjaya
sebagai pensyarah di UITM.
"Petang-petang begini memang seronok termenung." Jawabku selamba.
"Ye lah... seronok. Lagi seronok kalau terkenangkan sesuatu yang
istimewa." Ujar Suraya sinis memintas sambil perlahan-lahan duduk di kerusi
batu sebelahku.
"Istimewa? Tak adalah... Mana ada. Nak kenangkan apa pula?"
"Mana lah Su tahu. Entah-entah...." Aku menoleh ke arah isteriku
sambil tersenyum. Kalimah Suraya mati di situ.
"Entah-entah apa?"
"Entah-entah masih teringatkan Si 'dia' kot?"
"Siapa?"
"Sapa tu, Ai... Aisyah kot." Teka isteriku mengingatkan.
"Mana Su tahu ni?"
"Alah... Su dengar abang sebut nama tu tadi seorang-seorang."
"Betul ke?" Soalku menduga. Suraya menangguk.
"Su... dalam jiwa abang kasih dan sayang abang hanya buat isteri abang.
Cinta abang hanya untuk Su! Sebab cinta abang hanya tumpah kepada insan yang
menyintai abang. Janganlah salah sangka."
"Akhi! Aku ibarat bayanganmu. Kau ciptakan aku sesedap rasa. Ibarat
menterjemah kehidupanmu. Keluarga yang memartabatkan ilmu, Justeru ayahmu
menghantar kau belajar di Jordan. Itulah yang kau lakarkan dalam Cerpen Dia
seorang Teman. Unik dan cantik sekali lakaranmu terhadap watakku yang juga
watakmu." Tutur Suara misteri berwatak Syam memotong perbualanku dengan
Suraya.
"Jadi? Kenapa mesti kau tak puas hati dengan ciptaanku terhadapmu?"
"Aku tak puas hati kerana kau ciptakan Aisyah seorang yang terjebak
lesbianime." Aku tersenyum mendengar tutur itu.
"Salah?" Soalku sambil mengangkat kening.
"Tentunya."
"Ia hanya sekadar cerpen. Kau harus faham. Cerpen adalah cereka yang belum
tentu sahih. Namun tidak dinafikan ada cerpen yang bertitik tolak kisah benar.
Dia Seorang Teman; bermotif untuk menonjolkan nilai pengorbanan yang tinggi dari
seorang lelaki terhadap seorang wanita bernama Aisyah selain nilai-nilai lain.
Aku menyeret khalayak pembaca menilai lesbianisme dan homoseksual adalah
kepincangan yang wajib dibuang jauh dari dunia umat Islam." Jawabku yakin.
"Aisyah gadis baik. Berpendidikan agama di peringakat menengah. Dibesarkan
dalam keluarga yang bertatasusila. Mengapa kau jebakkan dia dalam
lesbianisme?"
"Itu bukan hal pelik. Kau lihat sahaja, ada gadis yang terjebak dalam
kancah cinta dengan lelaki berlainan agama sanggup menukar agamanya alias
murtad. Itukan lebih teruk?"
"Bukankah lebih baik kau temukan cinta antara aku dan Aisyah awal-awal?
Barangkali boleh menghalang Aisyah daripada terjebak lesbianisme."
"Hei... cinta sejati cinta yang perlukan pengorbanan, kesetiaan, kejujuran
dan..." Aku mengumpul kekuatan berhujah.
"Cinta sejati jarang tiada halangan. Kau lihat sahaja Kisah Nabi Yusuf dan
Zulaikha. Betapa benih cinta di hati Zulaikha tumbuh menyebabkan Yusuf
terpenjara. Namun setelah Yusuf dibebaskan dan terpilih menjadi wazir cinta
Zulaikha terhadap Yusuf bersatu. Zulaikha ditemui Yusuf di pasar dalam keadaan
yang comot menyebut-nyebut nama Yusuf, sedangkan Zulaikha asalnya seorang
jelitawan. Itu kisah cinta sejati yang bersatu. Ada juga cinta sejati yang tidak
bersatu, terpisah dengan kematian dan sebagainya. Kau masih beruntung. Watakmu
kucipta bersatu dengan Aisyah." Jelasku panjang lebar.
"Bukan itu maksudku!"
"Habis maksud kau... aku tidak boleh memisahkan kau dan Aisyah? Kau tidak
boleh ke Jordan? Kalian perlu mendaftar di Matrikulasi UIAM bersama-sama.
Begitu?" Soalku mendesak. Tiada jawapan terpacul.
"Kau yakin cinta Aisyah padamu? Atau sedalam mana cintamu pada Aisyah? Atau
kau nak kepastian ada bibit-bibit cinta Aisyah terhadapku dalam dunia relitinya.
Aku baru nak menanam keyakinan. Tapi istana keyakinanku roboh ketika aku
dikhabarkan Aisyah menjalin persahabatan dengan lelaki lain. Cemburuku begitu.
Akukah yang bersalah tidak mampu menerima cinta Aisyah?"
Soalan terakhirku melenyapkan suara-suara misteri yang menggangguku. Aku lega
setelah itu.
Dalam Cerpen Dia Seorang Teman aku menemukan Aisyah dan Syam. Itu cuma
watak-watak yang barangkali tidak terjadi antara Syamsul Bukhari dan Aisyah
sebenar dalam dunia realiti. Cukuplah sekadar aku menggunungkan falsafah
pengorbanan seorang lelaki terhadap seorang temannya dalam cerpen. Dalam dunia
nyata hidup bukan ibarat plot-plot cerpen yang bebas dilakarkan. Pengorbananku
barangkali sesuai untuk insan lain. Aku menilai cinta sejatiku untuk insan
bergelar isteri.
Kali terakhir aku membaca kalimah-kalimah Aisyah sewaktu masih berada di Jordan.
Aisyah melafazkan dia sukar melupakan insan bernama Syamsul Bukhari. Sayang.
Semuanya sudah terlewat. Aku diikat pertunangan dengan Suraya, gadis pilihan
keluarga yang kukenali semenjak kecil lagi. Cinta Suraya terhadapku cinta
sejati. Mungkin cinta itu berputik sewaktu ayahnya pernah bergurau untuk
berbesan dengan ayahku semasa kami masih kecil.
Sewaktu aku berhempas pulas menamatkan pengajian di Jordan Suraya menamatkan
pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Cinta kami
bertaut kembali di tanahair dan diikat dengan perkahwinan. Sepertimana aku
pernah ciptakan untuk Syam dan Aisyah dalam Dia Seorang Teman.
Semalam aku terima emel dari Aisyah. Dia menjemputku ke majlis perkahwinannya
dengan seorang jejaka yang mengembalikan cintanya bernama Hisyam. Masih bernama
Syam. Tahniah buatmu Aisyah.
"Abang khayal lagi?"
"Tak... abang tengah fikirkan sesuatu."
"Pasal apa?"
"Anak abang macam mana?" Soalku menukar topik sambil tanganku menjamah
perut isteri tercinta seraya mengurut-ngurut cermat. Suraya tersenyum mesra.
Perut isteriku semakin membesar hamil anak sulung hasil perkahwinanku dengannya
sejak hampir setahun yang lalu.
"Anak abang jer?" Pintas Suraya bernada rajuk.
"Anak abang kan anak Su juga!" Wajah keruh Suraya kembali ayu.
"Bang... apa kita nak namakan anak kita ni?" Soal Suraya manja.
"Kalau perempuan kita namakan Humaira. Mesti comel macam ibunya."
"Emmm... sedap nama tu. Kalau lelaki?
"Kalau lelaki kita namakan Muhammad Al-Amin. Amacam?"
Bukankah Aisyah Ummul Mukminin isteri Nabi Muhammad SAW dipanggil Humaira?
---------
Nukilan,
Akhi Masrawi
Mei 2002
© AKHI MASRAWI
Nota: Jika anda belum membaca cerpen Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah) atau
judul yang telah aku tukar: (Masihkah
Ada Sinar), sila baca cerpen itu terlebih dahulu. Watak dalam cerpen ini
sekadar suatu kebetulan.
Catatan: Cerpen ini pernah aku tulis di sembang2 Melayu.com sebagai penulisan santai. Ini adalah versi asal tanpa edit. Banyak kelemahan aku rasa. Tajuk asal cerpen ini (Akhi Oh Akhi!) Tapi aku sudah tukar kepada: Kerikil Cinta Humaira.
Kembali ke JURNAL sila klik Respon/Komen
© Hak
cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID:
mypujangga) |