Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 1

Oleh: Akhi Masrawi

Apalah agaknya yang sedang berlangsung di tanahair? Soalah yang sama saya khususkan di rumah saya. Ya... Apalah agaknya yang sedang berlangsung di rumah saya? Tahun ini genap tahun ke 4 saya menyambut Ramadhan di rantauan.

Tahun pertama pada 1999 sewaktu awal tiba di Mesir sehinggalah kini 2002 waktu tidak terasa berlalu. Pejam celik, pejam celik sudah 4 kali saya menyambut Ramadhan bukan di tanahair sendiri. Mak selalu ingatkan anak-anaknya supaya sentiasa berniat puasa di malam hari sebelum kami adik-beradik tidur. Bila bangun untuk bersahur mak akan tanya balik, samada sudah berniat atau belum. Kalau belum selepas bersahur mak suruh semula. Mak memang titik berat soal niat puasa. Tapi di perantauan ini siapalah yang ingatkan saya?

Bila teringatkan mak, sekarang juga saya rasa nak balik ke tanahair. Sekarang juga saya nak peluk mak. Sekarang juga saya nak cium mak. Sekarang juga saya nak kucup tangan mak. Sekarang juga saya nak minta maaf banyak-banyak. Saya tak mahu saya berdosa dengan mak. Saya tak mahu mak terasa hati dengan saya. Saya tak mahu menjadi anak derhaka. Anak derhaka tidak bau syurga. Saya tahu mak rindukan saya. Saya juga rindukan mak.

Kak Chaq pernah kata, masa saya mula-mula meninggalkan Malaysia dulu (10 Oktober 1999) sekitar dua bulan mak asyik menagis bila terkenangkan saya. Kak Chaq kata: "Bila makan mak selalu teringat pada abang. Mak selalu tanya apalah agaknya yang abang makan di Mesir." Kalau mak masak makanan kesukaan saya, air mata mak mengalir. Mak nampak seolah-olah saya teringin sangat untuk menjamah makanan masakan mak, sebab itu mak sediakan. Tetapi apakan daya saya berada jauh daripada mak.

Saya sedar mak terlalu sukar untuk berpisah dengan saya. Saya sedar itu semua kerana mak dan saya terlalu akrab. Mungkin sebab mak senang dengan saya tidak seperti mak senang dengan anak-anak yang lain. Mungkin sebab sayang mak pada saya melebihi anak-anak yang lain. Mungkin sebab saya sering berjaya dan menjadi contoh pada adik-adik. Mungkin sebab saya seorang sahaja anak mak yang mengaji agama. Mungkin sebab sayalah harapan mak. Tapi saya sebenarnya tidak tahu apa sebab sebenarnya.

Sewaktu tawaran dari UIA sampai di rumah mak memang suka benar. Sekurang-kurangnya anaknya akan ke universiti. Tetapi saya menolak tawaran itu. Saya tidak mahu ke UIA, walaupun kawan-kawan saya menerima tawaran itu. Saya bagitahu mak saya nak ambil Sijil Tinggi Agama (STA) untuk ke Mesir. Saya meyakinkan mak, alang-alang saya sudah di bidang agama biarlah saya sambung pelajaran di Mesir. Saya nak sambung dalam bidang Syariah. Saya meyakinkan keluarga termasuk ayah.

Ayah saya tiada masalah, meskipun kami bukanlah keluarga berada. Untuk menyambung pelajaran di Mesir kosnya tinggi dan ayah tidak pernah menyuarakan yang dia tidak mampu. Ayah kata: Untuk pelajaran anak-anak ayah sanggup buat apa saja. Biarlah berhutang bergadai, asalkan anak-anak dapat belajar.

Saya tidak tahu bagaimana rezeki dilimpahkan Allah kepada keluarga saya? Saya massih di Al Azhar, adik lelaki saya seorang belajar di Institut Latihan Perindustrian untuk buat diploma, seorang di Sekolah Teknik Alor Setar ambil SPM, seorang di Sekolah Menengah Tunku Putra ambil PMR dan seorang lagi masih di sekolah rendah. Tanggungan ayah masih ramai. Sebab itu anak-anak ayah perlu banyak bersabar. Banyak berdoa dan banyak bertawakkal.

Keputusan akhir mendaftar ke UIA tamat antara Mei-Jun. Saya nekad dengan keputusan saya. Apapun terjadi saya nak ambil STA. Peperiksaannya pada bulan Julai.

Akhirnya setelah natijah STA keluar, alhamdulillah saya mendapat pangkat jayyid (kepujian) dan saya layak menyambung pengajian di Mesir. Berita itu saya sampaikan pada keluarga. Sekali lagi mak bersedih.

Bila tiba di Mesir pada 99, tak lama kemudian Ramadhan datang menjengah. Nostalgia semasa di tanahair kembali bermain-main di ruang mata.

Saya masih ingat sewaktu kami di sekolah menengah dulu. Masa itu kamilah pelajar senior (form 6). Jadi warden memberikan kepercayaan kepada kami. Kami jadi tukang masak untuk moreh (makanan selepas taraweh) tajaan guru-guru. Betapa indahnya suasana dan ukhwah yang terbina waktu itu.

Saya masih ingat pada pasar Ramadhan di Malaysia. Saya membantu ayah berniaga sewaktu bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan rezeki buat golongan peniaga seperti kami. Enjin mesin tebu milik Tok Ayah seperti terngiang-ngiang di telinga. Orang ramai kunjung pergi ke gerai kami membeli juadah untuk berbuka puasa seolah bersawang di ingatan saya dan ia kekal hingga kini.

Ramadhan membuatkan saya senang teringatkan tanahair. Apalagi selepas Ramadhan ialah Syawal. Apalah nasib saya Syawal nanti. Doakan saya sihat!

... Bersambung...

 

11 November 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1