Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Komentar: Jadilah insan pemurah

Oleh: Akhi Masrawi

Orang Arab mentasybihkan kalimah al-bahru yang bererti laut dengan maksud orang yang pemurah. Orang yang pemurah diumpamakan seperti laut yang luas dan tidak lokek. Kita sendiri tahu akan peranan laut di mana ia menjadi antara sumber rezeki yang penting bagi manusia. Manusia mengaut apa yang ada di dalam laut tanpa membayar apa-apa. Justeru laut diumpamakan dengan sifat pemurah. Manusia yang pemurah adalah umpama laut. Itulah di antara apa yang saya pelajari dalam ilmu bayan (subjek Balaghah) di bawah tajuk 'tasybih' (perumpamaan) yang menjadi silibus bagi fakulti saya.

Manusia seperti laut ini sebenarnya sukar untuk ditemui. Hari ini kita lihat berapa banyak orang kaya dan berapa banyak orang miskin. Antara orang kaya dan orang miskin nisbahlah golongan mana lebih majoriti? Tentu kalian bersetuju kalau saya katakan yang orang miskin dalam dunia hari ini lebih ramai berbanding orang kaya.

Meminjam tulisan encik Khairul di dalam catatan klasik untuk masa depan bertarikh 10 Oktober 2002: "kita ini hidup di dalam dunia yang huru-hara." Saya melihat kata-kata ini banyak betulnya. Apa tidaknya, betullah kita ini sememangnya hidup di dalam dunia yang huru-hara. Dunia yang kita hidup ini memang betul huru-hara.

Menurut encik Khairul dia mengambil kata-kata itu dari nasihat CEO tempat di mana dia pernah berkerja (saya sendiri tidak pasti sama ada encik Khairul masih berkerja di situ atau sudah dianugerah rezeki di tempat lain). CEO itu mentafsirkan bahawa dunia yang huru-hara itu kerana kita tidak punya struktur yang tetap. Setiap kali berlaku perubahan zaman dan setiap kali itulah berlaku perubahan pada struktur yang sedia ada. Kita percaya bahawa struktur yang kita ada hari ini sangat baik. Tetapi adakah orang yang hidup pasca zaman kita akan terus hidup dengan struktur itu. Paling kurang berlaku perubahan pada struktur itu dan ini adalah tanda bahawa struktur yang kita ada adalah bukan yang terbaik. Dan CEO encik Khairul menambah - hanya yang berjaya mentadbir huru-hara ini sahaja yang akan terus hidup.'

Persoalannya siapa sebenarnya yang boleh berjaya mentadbir huru-hara tersebut?

Di dalam kerja membina sebuah bangunan, siapakah yang paling penting? Adakah orang yang paling penting itu adalah orang yang menjadi jurutera bangunan tersebut? Atau pelukis plan bangunan itu? Buruh yang membina? Tukang cat yang mencantikkan? Jurutera dalaman yang menghias? Penyambung wayar yang menghidupkan fungsi elektrik? Atau siapa?

Kalaulah penyambung elektrik berkata dia paling penting kerana tanpanya tentu bangunan itu tiada seri kilauan cahaya. Kalaulah juruttera dalaman yang berkata dia lebih penting kerana tanpanya tentu bangunan itu tidak cantik dihias. Tukang cat pun apa kurangnya akan mengaku lebih penting kerana tanpanya bangunan tidak akan berseri. Buruh juga mengatakan dia lebih penting kerana tanpa tenaganya tentu bangunan itu tidak mampu dihasilkan. Pelukis plan pula mengaku dia lebih penting kerana dia yang melukis plan bangunan. Tanpanya tiada bangunan yang akan terhasil. Jurutera pula berkata, tanpa kebijaksanaannya lukisan plan akan kekal sebagai lukisan untuk menunjukkan dia lebih penting. Manakala tuan punya bangunan pula berkata dia lebih penting kerana tanpa duitnya apa-apa bangunan pun tidak boleh dibina.

Itu belum lagi melihat siapa yang berusaha menanam dan menebang balak untuk dijadikan kayu. Belum lagi melihat siapa yang mengusahakan batu-bata sebagai bahan binaan. Siapa yang mengusahakan kilang besi dan keluli. Siapa yang mengusahakan kilang simen dan konkrit. Siapa yang mengusahakan perusahaan cermin dan sebagainya. Ianya akan berlarutan.

Setiap orang melihat apa yang dilakukan olehnya lebih penting dari orang lain. Mengapa manusia sering beranggapan begitu? Paling tidak apa yang boleh kita konklusikan manusia punya sikap egois. Kerana sikap itulah dia tidak mahu dianggap tidak penting.

Saya sendiri hairan. Mengapa kita perlu bermegah dengan apa yang kita ada? Bayangkan kita sebenarnya meminjam dari generasi ke generasi. Kalaulah orang-orang dahulu tidak mahu berkongsi apa yang mereka temui dengan generasi lain, tentu sekarang kita masih hidup di gua-gua, pesisir pantai dan sungai, pinggir hutan dan paya atau atas pokok.

Kita beruntung. Mereka yang telah hidup di zaman lampau telah bersedia berkongsi apa yang mereka miliki, apa yang mereka temui dengan kita. Kalaulah orang yang mencipta mentol tidak mahu berkongsi mentolnya dengan generasi manusia kta mungkin sekarang hidup dalam kegelapan bila malam menjelma. Tapi itu sebenarnya tidak berlaku kerana mereka sanggup berkongsi dengan kita. Kalaulah teknologi penciptaan kapal terbang tidak dipindah dari generasi ke generasi mungkin kita hari ini tidak terbayang boleh menggunakan kemudahan itu.

Orang zaman lalu mencipta dan teknologi itu dimajukan dari generasi ke generasi sehingga sampai ke zaman kita. Kita akhirnya memajukan lagi untuk terus dipindahkan kepada generasi selepas kita. Mungkin ramai yang boleh berkata. Apalah sangat ciptaan orang zaman lalu! Memang benar kalau kita bandingkan ciptaan mereka dengan apa yang terhasil hari ini ciptaan mereka jauh tidak hebat dengan mekanisma yang kita miliki.

Seperti itulah perisian komputer zaman sekarang. Perisian itu jika dibandingkan dengan perisian zaman lalu mungkin kita akan lebih berbangga dengan apa yang kita ada. Tetapi apakah generasi yang hidup selepas kita masih akan kekal dengan apa yang menjadi kebanggaan kita itu? Mereka juga mungkin punyai sesuatu yang lebih maju dan canggih berbanding apa yang kita ada.

Pasca perang dunia kedua tamat, politik dunia terbahagi kepada dua blok yang menggergasikan kuasa terhadap pentadbiran dan politik dunia. Blok barat dengan ideologi liberalisme atau sekularisme yang dipelopori Amerika manakala timur yang dipelopori Rusia dengan Komunisme. Justeru dengan ideologi yang berbeza sistem ekonomi yang mereka guna juga berbeza. Amerika dengan keagungan kapitalisme manakala Rusia dengan sosialisme.

Syed Qutub pernah meramalkan bahawa ideologi komunisme tidak akan bertahan lama. Ini terbukti apabila sebelum pun menjelang alaf baru komunisme di beberapa negara kuatnya seperti Rusia, Jerman dan China telah pun tumbang. Paling nyata apabila kekalahan itu dibuktikan sendiri di dalam peperangan antara Rusia dengan Afghanistan (sebuah negara umat Islam yang bukan merupakan kuasa besar dunia). Komunis akhirnya berkubur. Jelasnya ideologi komunis tidak mampu bertahan untuk lebih dari satu abad.

Amerika Syarikat kini semakin runsing apabila sistem kapitalis yang mereka miliki sebenarnya sudah semakin tidak relevan. Diberitakan di Amerika Syarikat setiap hari rakyatnya memeluk Islam. Bahkan bukan hanya di Amerika malah di negara-negara barat dan eropah yang lain. Mereka bukan hanya beanggapan bahawa sistem yang mereka ada dan ideologi yang mereka anuti sudah tidak mampu menemukan mereka jawapan malah mereka juga turut beri'tikad bahawa Islam adalah penyelesaian yang terbaik.

Jangan terkejut kalau suatu hari nanti ada negara kafir yang akan melaksanakan sistem ekonomi Islam. Jangan terperanjat kalau suatu masa nanti masjid di negara-negara barat dan eropah lebih banyak berbanding gereja. Jangan terkeliru kalau suatu masa nanti kadar orang Islam di negara-negara barat akan lebih ramai berbanding orang Islam di timur. Ini kerana dunia yang kita hidup ini sebetulnya huru-hara. Hanya mereka yang berjaya menemui sistem yang betul sahaja boleh mengawal huru-hara itu.

Mengapa perlu merasa pelik kalau apa yang saya katakan kita semakin ketandusan orang yang pemurah. Kita semakin kekurangan orang yang boleh diumpamakan seperti laut itu. Kita semakin kehilangan mereka kerana kita hidup di dunia yang huru-hara. Selagi kita masih belum sedar yang kita sebenarnya telah dan sedang mendominasikan huru-hara itu, selagi itulah kita akan kekal hidup dalam huru-hara itu.

Siapa kita untuk menentukan manakah sistem dan struktur yang paling tepat untuk mengawal huru-hara itu?

Manusialah yang mencipta huru-hara itu. Kalaulah tidak ditemui ideologi-ideologi bodoh yang menjadi ikutan manusia hari ini tentulah dunia yang kita hidup ini tidak terlalu huru-hara seperti hari ini. Justeru seperti kisah pembinaan bangunan juga, tiada siapa yang berhak untuk menentukan siapa yang lebih penting kerana yang paling penting ialah milik siapa semua itu. Seperti juga manusia. Kita ini milik siapa?

Kita ini hanya dihantar ke dunia ini. Kita seperti seorang pengembara yang berhenti rehat di terminal dunia ini. Kita ini milik pencipta kita. Justeru apa yang disajikan pencipta kitalah merupakan sistem dan struktur yang terbaik untuk kita.

Jadi, bila Allah selaku pencipta kita menetapkan kehidupan ini perlu didasari dengan Islam... maka Islamlah penyelesaian yang terbaik. Kita mahukan sistem ekonomi yang hebat, sistem itu dipekenalkan oleh Islam. Kita mahukan pengadilan dan penghukuman yang adil, pengadilan dan penghukuman itu dibawa oleh Islam. Kita mahukan sistem politik dan pentadbiran yang adil, tepat dan terbaik, sistem itu adalah juga dibawa oleh Islam. Pendek kata semuanya ada pada Islam.

Kalau hari ini kita hidup dalam dunia yang huru-hara, selagi kita tidak mahu berubah kepada Islam kita akan terus kekal dalam dunia huru-hara itu. Kita akan terus hidup dalam ketakutan. Orang kaya akan terus takut hartanya hilang, orang miskin akan terus kelaparan kerana orang kaya menjadi bakhil, yang lapar akan mencuri, perempuan akan terus takut maruahnya dicabul, lelaki bersalah atau tidak bersalah (terdakwa) akan terus takut dengan penghukuman yang tidak adil. Mengapa? Kerana kita memilih untuk hidup di dalam dunia yang sistemnya tidak betul.

Sebab itu di dalam Islam ada zakat, ada kharaj, ada dharaib, sedekah dan sebagainya. Ini untuk menyeimbangi di antara orang kaya dan orang miskin. Bahkah banyak lagi yang perlu dan sepatutnya dibicarakan.

Kita akan terus kehilangan orang pemurah. Orang kaya akan terus menjadi bakhil apabila mereka tidak mahu menunaikan kewajipan zakat dan bersedekah kepada orang miskin, orang miskin akan terus miskin. Sebaliknya kalau kita mendominasikan Islam, bukan hanya orang miskin akan terbela malah orang kaya juga tidak perlu untuk runsing dengan harta yang mereka miliki.

CEO encik Khairul beranggapan - hanya yang berjaya mentadbir huru-hara ini sahaja yang akan terus hidup - saya pula beranggapan kita tidak perlu lagi mentadbir huru-hara itu sebaliknya kita perlu menukar kepada sesuatu yang tidak huru-hara untuk bukan hanya terus hidup, tetapi terus mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Kalaulah kita tidak mahu terus hidup di dalam dunia yang huru-hara ini, sepatutnya kita telah bertindak kembali kepada Islam. Islam adalah segalanya.
 

 

26 November 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

 

Hosted by www.Geocities.ws

1