Intro | Diri | Keluarga | J U R N A L J A L A N H I D U P | Cerpen Akhi Masrawi | Puisi Online | Cerpen Online | Dialog Islam - Kristian | Kata-kata Pujangga | Anjung Tamu v. de | Galeri | Nostalgia | Gambar Sinai | Penghargaan


Mulai online pada
Jun 2002

 Berkata Abu Al-Aswad: "Tiada suatu perkara pun yang lebih mulia
daripada ilmu. Para raja merupakan pemerintah ke atas manusia sedangkan ulamak
merupakan pemerintah ke atas raja."

Hubungi:

sms tru:
+20106553517
e-mel:
[email protected]
[email protected]

YM id:
mypujangga@akhimizi

saya geng jurnal:

Sejarah Banner:

Banner  pertama ciptaan Putri untuk PUJANGGA Online. Terima kasih buat Putri.  Ini banner ke-2 yang Wanzu buat untuk PUJANGGA Online. Syukran buat Wanzu. Ini pula banner ciptaan Anas sempena menjelang setahun online PUJANGGA Online, thanks buat Anas.  Ini pula banner ciptaan Pujangga sendiri. Inilah banner terkini karya Qahafi, syukran! nak baca kisah lucu JUHA sila ke jurnalnya.

 

----------------------

iklan:

PUJANGGA Online - Membuka peluang kepada sesiapa yang mempunyai kemusykilan tentang permasalahan faraidh/mirath/pusaka boleh bertanya soalan kepada tok guru Faraidh online anda (Aljoofre) dengan menghantar emel kepada beliau di alamat [email protected] dan jawapan akan dibalas dengan kadar yang segera insyaAllah... Sila!

----------------------

Inilah wajah MONOGRAF Andalus II (klik imej)

----------------------

"Saya menerima sebarang bentuk sumbangan sama ada zakat, biasiswa, dermasiswa dan sedekah atau derma fi sabilillah yang boleh disalurkan kepada saya untuk menampung kos pembelian kitab-kitab rujukan. Sila emelkan kepada saya!"

Ini Versi 2.1

 

PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P
bukan sebuah ratapan, bukan secebis ilusi, bukan secangkir resah... tetapi secalit lakaran kisah hidup di lembah kontang ini, buat peneguh diri merealisasikan sebening impian yang kutitipkan demi mendepani masa-masa mendatang ... - hanya di
http://akhimasrawi.cjb.net

 "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, hendaklah kamu selidiki kalau-kalau kamu memusibahkan sesuatu kaum tanpa pengetahuan lalu kamu menyesali atas perbuatmu." (Al-Hujurat: 6)

.:: Catatan moden dari zaman klasik ::.


Update terakhir pada catatan paling awal

Tarikh pada catatan ialah tarikh saya menulis!

31 Ogos 2003 | Ahad | 18.30 pm

Catatan 238

+ Ogos ini jarang amat update catatan di Jurnal Jalan Hidup. Waktu tidak mengizinkan, meski pelbagai perkara yang dilalui bagai ingin diabadikan. Kesmuanya seperti hendak menjerit-jerit. Untuk terakhir Ogos... saya abadikan sebuah puisi.

Puisi: Bisikan Lara

Tusukan apakah yang telah
menyatu dalam tubuh hangat terbaring
bersama ratap lara dan hiba
memancarkan sinar mata yang redup
dari dinding memori resah dan gelisah

bila kutenungi lagi raut itu
wajahnya bagai membicarakan sesuatu
bibirnya mengetap kalimah membunga bahasa
dalam sebak dan tubir yang kian berair
memancar pandangan meranum maksud

keliru, keliru, keliru aku
khazanah apa yang ditanggung batang tubuh itu
hingga urat nadi
dan salur darah bagai
menyimpan sengsara yang maha pedih

tulang temulang dibalut kulit kering
beralas kata orang yang membisik khabar
dia menanggung dosa berzaman
kala mudanya
membawa ke tua

gantikan tangkal di lehernya
dengan bacaan yasin dan surah mushaf
biar si penunggu resah dan panas pada tubuh si tua
melari diri menjauh dari
menyeksa segenap sendi

tukarkan alas tidurnya dengan doa anak-anak
agar mengiringi si tua dan beban
yang ditanggungnya kian meringan
lunaskan segala hutangnya di bilahan hari lalu
dengan segala hiasan rumah yang masih berbaki

agar ruhnya dijemput malaikat
dengan nazak yang tidak kelat

Namun... di mana anak-anak?
yang diharap berdamping di sisinya
yang diharap boleh membacakan surah-surah
yang diharap boleh mengajarkan syahadat
mengiring si tua ke alam sana

Lupakah mereka
pada si tua yang menggadai tenaga
mencari nafkah membesarkan mereka
dari kecil hingga dewasa?

Hinakah si tua?
Bisikanlah ke telinganya syahadat
agar khatimah hidupnya
bukan sebuah lara


Oleh,
Akhi Masrawi
Ogos 03

+ Bertemu lagi pada September nanti.

Kata-kata Pujangga: "Orang yang bijak tidak akan melengah-lengahkan kerjanya. Jangan kau tangguh kerja hari ini untuk esok hari!"

Sila klik  Respon/Komen

 

24 Ogos 2003 | Ahad | 20.10 pm

Catatan 237

+ Balik ke Cairo pagi Sabtu lepas. Berkejar tramco dan masa supaya sampai ke Hayyul Asyir sebelum jam 10 pagi. Tetapi terlewat juga. Naik ke rumah Terengganu Khairul Nizam dah menunggu dengan dewan sudah siap untuk acara pidato bahasa Melayu, Inggeris dan Arab pada hari itu. Saya cuma menjadi hakim untuk pidato bahasa Melayu. Bersama saya menjadi hakim pidato Raffidzi dan Us Hisyamuddin mantan Presiden PMRAM. Saya sebagai ketua hakim menghakimi bahagian bahasa sementara Raffidzi bahagian isi dan Us Hisyam bahagian gaya. Menyedihkan peserta yang hadir untuk bertanding cuma tiga orang walaupun pendaftaran yang diterima seramai tujuh orang. Tapi yang menyeronokkan pasti ketiga-tiga peserta akan mendapat tempat masing-masing dan hadiah!

+ Teringat janji untuk siapkan artikel untuk SKEI. Alhamdulillah dalam kelam-kabut dapat juga saya siapkan artikel tu.

PENULIS DAN PENULISAN
Di mana dan Ke mana?

OLEH: AKHI MASRAWI

DUNIA penulisan bukanlah dunia indah seperti yang dibayangkan dan dikhabarkan. Malah untuk melabelkan penulisan sebagai laman untuk mengejar nama dan populariti, jauh sekali. Tetapi tidak sukar untuk menjadi penulis kerana setiap yang menulis itu adalah penulis. Cuma belum tentu mampu menjadi penulis dalam erti kata penulis prolifik.

Menulis bukan seperti berucap walaupun asasnya mungkin sama. Ini kerana ada yang boleh berucap tetapi tidak boleh menulis dan saya tidak mengatakan denag analogi ini setiap penulis itu petah berucap. Seperti berucap, menulis juga memerlukan ketajaman minda dan kesungguhan yang kental serta istiqamah. Ini kerana sesuatu hasil karya atau karangan yang dianggap baik tidak akan terhasil dalam jangka waktu yang singkat. Justeru seseorang penulis memerlukan tidak kurang dari aspek-aspek bakat, minat, penguasaan bahasa yang baik, keazaman yang tinggi, sikap rajin membaca dan membuat rujukan, rajin menulis dan sikap-sikap peribadi yang lain sebagai katalis pembinaan penulisan.

Dalam SKEI edisi 17 lalu saya telah menulis tentang penulisan karya sastera kita di mana saya telah mengemukakan empat aspek penting yang perlu dimiliki seseorang karyawan iaitu: imaginasi, sensitiviti, persepsi dan kreativiti. Dalam penulisan karangan non-kreatif aspek-aspek yang sama juga adalah 'mahar' yang perlu disiapkan calon penulis dan para penulis untuk 'mengahwini' dunia penulisan.

Penulisan juga adalah wadah interaksi di antara penulis dengan khalayak pembaca. Ia merupakan wacana menghantar idea, menggambarkan perasaan, mendidik, memaklumkan, memujuk dan menghibur. Oleh itu, tidak hairanlah jika khalayak akan terasa hampir dan akrab dengan penulis yang dikagumi mereka kerana apa yang tersurat melalui penulisan penulis, menggambarkan pemikiran dan perasaan mereka.

Lembah Nil telah melahirkan sejumlah penulis melalui pelbagai wadah terutama mandala penerbitan. Saya beranggapan dunia penulisan di sini akrab dengan bidang penerbitan. Oleh itu, mereka yang terlibat dalam penerbitan selalunya juga terlibat secara langsung dengan penulisan. Mereka tentunya terdiri dari kalangan sidang editorial. Penelitian saya menemukan ada tiga katogeri penulis yang kita miliki iaitu mereka yang menulis kerana kesedaran dalam pelbagai genre, mereka yang menulis dalam sesuatu genre dengan kesedaran dan mereka yang menulis dalam apa-apa genre kerana dipaksa dan terpaksa. Menyelak WARTA dan Suara Kampus PMRAM Edisi BKAN dan DPM menemukan saya sejumlah nama yang telah membina 'empayar' penulisan sebagai wasilah menghantar idea dan kefahaman kepada khalayak pembaca. Penulis datang dan pergi silih berganti. SUTRA misalnya mempunyai ketumbukan penulis dalam bidang penulisan ilmiah barangkali kerana memiliki para pelajar sarjana. SUKEJ pula menyimpan sekelompok penulis yang mampu mengulas dan menghuraikan isu semasa serta melakukan penterjemahan. SUKEK pula selain juga mempunyai jaringan pengkaji thaqafi turut mempunyai identiti tersendiri dalam setiap keluaran. Manakala edisi suara kampus yang lain seperti SKEK, SKEMA, ATOM, SKEP, SKENS, SKEI dan lain-lain antara membina identiti dan ada yang sudah mencuba mendekati bidang reaksi dan luahan pandangan sebagai alternatif merancakkan dunia penulisan kita.

Saya secara jujur tidak mengenali dengan akrab kesemua penulis-penulis yang lahir dalam genre yang pelbagai (kreatif dan non-kreatif) di Ardhil Kinanah ini. Seperti yang saya katakan penulis datang dan pergi silih berganti. Namun saya boleh membuat satu kesimpulan bahawa kemunculan penulis-penulis tersebut berkait rapat dengan kemeriahan agenda penerbitan samaada berwadahkan suara kampus, warta, buletin-buletin dan sebagainya yang selama ini diperjuangkan dengan tarian pena. Justeru, boleh dikatakan BKAN dan DPM yang tidak turut memeriahkan dunia penerbitan menyebabkan penulis-penulis mereka terpaksa menempuh tembok penerbitan di tempat yang lain sebagai wadah penulisan mereka atau mengintai di laman siber.

Dalam genre penulisan kreatif sememangnya saya telah menyatakan bahawa kaum Hawa lebih ramai melibatkan diri hasil tinjauan singkat saya, tetapi dalam genre non-kreatif setelah membuat pemerhatian dan tinjauan Azhari agak terkehadapan walaupun Azhariah turut memberikan persaingan yang juga hebat terutama melalui SKEMA dan SKEI. Inilah realitinya yang terpamer.

Kelahiran penulis-penulis muda dalam genre non-kreatif banyak berkait rapat dengan keterlibatan langsung mereka dalam penerbitan baik di peringkat PMRAM, BKAN mahupun DPM. Jika diperhatikan, sebenarnya ramai di kalangan Azhari dan Azhariah kita yang mampu menulis, tetapi tidak semua mampu menulis dengan baik. Pengabaian terhadap aspek-aspek penulisan yang sempurna menyebabkan hasil yang ditampilkan tidak mencapai tahap kepuasan khalayak pembaca dan ciri-ciri penulisan yang tepu. Pun begitu saya amat berbangga dengan secangkir usaha tersebut, kerana tanpa usaha seperti itu mana mungkin akan lahir penulis-penulis islam pada masa hadapan sebagai mana mereka yang telah terdahulu. Sunnah ulamak silam dan kontemporari tidak mengabaikan aspek penulisan sebagai salah satu medium dakwah mereka, sebaliknya ada yang menjadikan penulisan sebagai medium yang paling berkesan, wajar diinterpretasikan dalam budaya para Azhari.

Jika kita kembali melihat sejarah Nusantara bagaimana penulisan telah menjadi salah satu wasilah paling berkesan membakar api kebangkitan menentang penjajah. Nama-nama seperti Syed Syeikh Al-Hadi, Tahir Jalaluddin al-Falaqi dan ramai lagi yang menyebarkan kefahaman islam melalui Al-Imam banyak mengukir alasan kebangkitan penentangan tersebut. Selain mereka, ramai lagi tokoh-tokoh ulama dan sasterawan yang telah memanfaatkan sepenuhnya bidang penulisan sebagai cara untuk menyampaikan Islam dan membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam. Maka tercernalah tugas para penulis.

Kebanyakan penulis di Lembah Nil (Non-kreatif) memusatkan genre penulisan mereka dalam bidang karangan ilmiah sebagai proses menterjemahkan thaqafah. Penulisan kertas-kertas kerja ilmiah, artikel ilmiah, diskusi kitab, penterjemahan dan sebagainya antara contoh penulisan ilmiah yang wujud di kalangan Azhari. Malah nama-nama seperti Zahari Ali, Zaharuddin Mohammad, Tirmizi Taha, Tuan Saripuddin Tuan Ismail, Zahari Sulaiman, Ahmad Yusuf, Anhar Opir, Mohd Asri Mat Daud, Dayang Siti NurAini, Mahyuddin Hashim, Zairi Al-Amir, Yasmin Hanani (kebanyakannya adalah dilamar sebagai kolumnis penerbitan) dan ramai lagi antara contoh mereka yang melibatkan diri dalam penulisan ilmiah baik di lidah rasmi PMRAM mahupun di suara kampus dan buletin. Manakala Zairol Aladib, Ubaidillah Alias, Almarjan Yusof, Azrul Azlan, Hadi Abdullah, Lenny Kurniasih, Tarmizi Balya, Fakerei Muhayidin, Fatimatuzzahra', Wan Hasnawiyah, MdZuhi, Ibnu Ismail, Fauzan Naim, Fairuzah Mustaffa, Ahmad Sidqi dan ramai lagi yang tidak saya sebutkan nama mereka menulis dalam pelbagai ruang seperti komentar isu semasa, reaksi, pendapat dan sebagainya. Inilah bukti bahawa kita mempunyai simpanan penulis yang ramai dalam genre non-kreatif berbanding genre kreatif seperti cerpen, novel, puisi dan lain-lain.

Sudah sampai masanya kita bukan hanya terperap menanti saban keluaran penerbitan untuk menyalurkan karya, tetapi perlu menjengah ke gerbang siber yang lebih luas lapangannya. Anjakan paradigma penulisan perlu bermula. Tapak-tapak laman web perlu diselongkar untuk menyalurkan mesej dakwah. Laman-laman webzine yang membuka peluang penulisan juga bukan sedikit dewasa ini mewajarkan penyertaan warga Azhari. Jika yang berkebolehan dalam bidang ICT, saya menganjurkan kalian membuka laman web peribadi untuk dipublishkan agar segala penulisan kalian akan menjadi bahan bacaan dan rujukan di dunia tanpa sempadan itu. Bagi penulis-penulis yang telah menyiapkan buku syabas diucapkan. Antara yang terkini dalam genre penulisan ilmiah berbentuk kertas kerja Monograf Andalus II, himpunan tujuh buah kertas kerja dalam pelbagai perbahasan adalah contoh yang agak berkesan sebagai usaha membudayakan thaqafah di kalangan warga azhari sekaligus menjadi pemangkin dan galakan kepada penulis-penulis lain.

Namun perlu diingatkan menulis dalam penulisan ilmiah memerlukan kekuatan tersendiri. Penulis tidak bebas mengutarakan perbahasan tanpa mempunyai fakta, rujukan dan pembacaan yang luas. Ini kerana bidang ini bertujuan untuk menyampaikan ilmu, menyemarakkan dakwah dan menggerakkan jihad. Sudah tentu sesuatu yang bermatlamat mempunyai disiplin yang ketat. Dispilin pula perlu diikat dengan sikap penulis itu sendiri. Penulis perlu memikili keikhlasan, kejujuran, kesedaran dan sensitiviti yang tinggi terhadap apa yang hendak ditulisnya. Tanpa ilmu penulisan akan tersasar. Ole itu jangan menulis kerana nafsu. Penulisan yang tidak jujur akan menimbulkan kecelaruan dalam komuniti masyarakat. Misalnya Astora Jabat yang mencetuskan pelbagai kontroversi dalam hal berkaitan agama Islam dan fiqh, Faris Nor dengan tulisannya mencela Baginda SAW, Sister In Islam dengan penulisan yang menyeleweng, Akbar Ali mempersenda Islam dan Mufti, Zainah Anwar, Malik Imtiyaz Sawar dan Kassim Ahmad antara pengeliru kesan meletakkan wahyu di bawah tapak kaki. Makin menyedihkan apabila terdapat penulis-penulis bukan Islam yang 'berani' mempersendakan Islam melalui penulisan.

Lalu persoalannya di sini siapakah yang perlu menjawab segala kecelaruan dan tohmahan yang ditimbulkan itu? Para Ulamak muktabar terdahulu membasahkan tinta mereka di lembaran kertas agar ilmu yang mereka miliki akan tersebar sepanjang zaman. Imam An-Nawawi, As-Suyuti dan ramai lagi antara contoh yang sangat menonjol melalui hasil-hasil karya mereka. Jika Imam Ibn Kathir di akhir hayatnya buta akibat terlalu banyak menulis, siapa pula kita? Tugas untuk menjawab segala kecelaruan dan tohmahan terhadap Islam masa kini terpundak di bahu kita selaku agamawan. Jika bukan kita yang mengambil bahagian, kepada siapa lagi hendak dibiarkan?

Justeru izinkan saya mengusik penulis-penulis kita dan lebih-lebih lagi khalayak yang mempunyai bakat dalam bidang penulisan tetapi kerana tidak mahu mencuba, malas dan takut bakat itu dibiarkan mati lebih awal dari ajalnya. Fikirkan! Kita punya penulis dan penulisan... tetapi kita ibarat tidak tahu di mana kita dan ke mana kita? Bukan begitu?- TAMAT

+ 26 Ogos ni kena jadi hakim untuk forum bahasa Melayu pula. Tadi siang Afnan telefon minta jadi hakim untuk acara debat ala-parlimen pada 27 dan 28. Rasanya hakim sebenar dah ada... cuma mungkin hakim yang dah ada tu tarik diri, jadi hakim yang ganti ni jadi bidan terjunlah nampak gayanya.

Kata-kata Pujangga: "Berkatalah benar sekalipun kebenaran itu pahit."

Sila klik  Respon/Komen

21 Ogos 2003 | Khamis | 22.00 pm

Catatan 236

+ 19 hb ke Alex (Iskandariah) hantar daging unta yang maksu minta kerana nak pulang ke Malaysia pada 20 Ogos 2003. Selepas berjumpa maksu dan minta dia jadi musyrifah ke rumah seorang kawan, Ibnu Ismail yang pernah saya kenali kerana menulis buku "Merintis Khilafah yang Hilang" dan telah saya berkawan semasa dia menulis buku "Nostalgia Syuhada' Palestin." Waladnya (anaknya) yang dua orang 'hero' ketika saya sampai malu-malu. Tetapi bila dah mesra, mesra sungguh. Selepas solat Maghrib di sebuah masjid berdekatan rumahnya di Mandarah saya dia dan anaknya yang sulung ke Pasaraya FathuLlah, sebuah pasaraya yang agak 'agam' di Alex. Pulang ke rumahnya dihidangkan nasi berlauk ikan Aya. Lepas makan nasi dan sembang alakadar, bertolak pulang ke Tanta bersama iringan tangisan Munzir yang menyayukan hati. Budak tu macam tak mahu berpisah saja dengan ammu (pakcik).

+ Alhamdulillah, hari ini saya baru balik dari rehlah ke Fayyum anjuran DPMT dan beberapa tempat seperti tempat di mana dibina kincir air yang termasuk katogeri benda bersejarah, air mata air yang juga mempunyai khasiat dalam merawat penyakit dengan kudrat dan iradat Allah SWT, ladang mangga, Syalalat (air terjun) berhampiran Wadi Rayyan dan Tasik Qarun yang merupakan kawasan terbalikan kesan azab Allah SWT terhadap seorang hambaNya yang takbur dan tamak hidup pada zaman Firaun iaitu Qarun.

+ Perjalanan (Safar Rehlah) hari ini bermula terlewat sejam dari jadual asal. Akibatnya masa mandi di syalalat dikurangkan. Ada kawan-kawan yang merungut belum puas mandi-manda. Semasa di ladang mangga saya sempat membeli 6 kilo mangga dari 4 jenis yang berbeza dengan kadar harga yang agak berpatutan. Sudah agak lama tidak 'baham' mangga, akhirnya rehlah ke Fayyum kali ini adalah peluang yang saya perolehi.

Dailog menarik masa rehlah:

1. (Lokasi: dalam bas nak ke Tasik Qarun)

Denan: Mizi, mu gi dokgi Matruh? (pelat Terengganu)
Saya: Dak lagi (pelat Utara)
Denan: Bila mu nak gi?
Saya: Masa ambik Master, masa tu aku pi dengan rombongan Pak Dam. (orang yang dah berkahwin)
Denan dan saya: hahahaha... (ketawa)

2. (Lokasi: semasa di syalalat)

Denan: Kulit (baca- kulit magga) orang makang dok?
Wan: Makan!
Saya: Mu makan sekali dengan kulit Nang?
Denan: Rugi aaaa... aku beli buah timbang sekali dengan kulit!
Mat Yie: Hahahaha....
Saya: Kalau camtuh baik makan sekali dengan biji - Selepas itu saya ambil biji dan campakkan ke atas tebing sungai.
Wan: Hah... pas ni kita mai tak payang pi ladang pelam dah.

3. (Lokasi: Lorong syalalat)

Mat Yie: Demo mandi dulu, aku nak gi cari air terjun. (pelat kelantan)
Saya: Ada lagi ka ayaq terjun?
Lepas beberapa waktu Mat Yie datang semula.
Saya: Jumpa Yie, ayaq terjun?
Mat Yie: Jumpa... tapi setakat pingge saja.
Denan dan Wan: Hahahaha...
Saya: Ooo... Ayaq terjun tu
Wan: Ana pun nak pi cari ayaq terjun tu juga lah...

* nota: air terjun yang dimaksudkan ialah air terjun manusia.

4. (Lokasi: dalam bas)

Saya: Penat-penat kutanam padi, yang tumbuh hanya sekadar lalang, penat-penat kutanam budi, tidak langsung dipandang orang! (Pantun)
Syah: Amboi Ustaz Ji berpantun
Denan - zzzz....
Wan - Dua biji pelam ni kita makan berdua Ustaz Mizi
Muin - zzzz....

+ Tahun lepas saya, Azrul, Angah, Faisal dan Fauzi menang Johan Forum Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) PMRAM. Tahun ini saya dijemput menjadi panel hakim. Tetapi bukan sahaj untuk acara forum malah untuk acara pidato bahasa Melayu juga untuk sambutan PMHK tahun ini. Lagipun tahun lepas semasa group kami tersaring untuk mara ke akhir acara forum saya telah berjanji "jika menang, maka tahun akan datang saya tak mahu lagi menyertai pertandingan forum PMHK." Bila keputusan diumumkan kami menang johan dan Azrul menjadi panelis terbaik. Tahun ini (kalau tidak kerana saya telah berjanji tahun lepas) jika digarapkan lagi kami masih ada peluang untuk menang. Tetapi kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

+ Permintaan untuk saya menjadi panel hakim, insyaAllah akan saya penuhi. Sempat belek-belek semula beberapa penekanan dan teknik berpidato dan pengucapan umum seperti forum, ceramah, diskusi dan sebagainya. Antara yang sempat saya takhrijkan (keluarkan) ialah:

Cara Berpidato:

- Naik pentas dengan tenang.
- Lihat orang dengan tenang.
- Perlu diberi penghormatan.
- Dimulakan dengan nada yang rendah.
- Seelok-eloknya dimulakan dengan al-quran atau hadis.
- Nada yang tinggi apabila memukul musuh.
- Perlu membawa satu alternatif baru apabila kita menolak kerja musuh.
- Dalam masa yang masa perlu menjawab serangan musuh.
- Gaya yang tidak keterlaluan.
- Perkara agama yang disentuh perlu dikaitkan dengan isu-isu semasa.
- Ucapan ditutup dengan suatu pengharapan dan nasihat.

Pemidato Yang Baik:

- Yang berjaya menguasai majlis.
- Yang mengkaji terlebih dahulu isu-isu yang sesuai bagi sesuatu tempat.
- Yang tahu suasana pendengar.
- Yang dapat membawa rentak ceramah sesuai tajuk.
- Yang dapat mengakhiri ucapan dalam tempoh masa yang diberikan.

Sifat-sifat pengucap yang berkesan:

- Jujur dan ikhlas dalam berhujah.
- Berpengetahuan luas dalam subjek yang diucapkan.
- Yakin dengan perkara yang dibicarakan.
- Mahir berucap di khalayak.
- Peka kepada reaksi audien.
- Peka kepada situasi persekitaran.

Sifat-sifat pengucap yang tidak berkesan:

- Syok sendiri- iaitu lebih mementingkan diri dan ucapannya dari objektif audien.
- Penyajak kabur- iaitu pengucap yang gemar memilih dan menggunakan isitilah-isltilah komplek dan sukar.
- Nenek berletir- iaitu yang tidak mengawal nada.
- Ucapan kelabu- iaitu terlalu perlahan suaranya sehingga sukar untuk didengari.
- Kera luku- iaitu yang malu-malu dan tidak berani mewujudkan ‘eye contact’.
- Wayang kulit- iaitu yang keterlaluan dalam menggayakan bahasa badan tanpa makna tertentu.

+ Makluman tentang bila dan di mana pertandingan bakal dijalankan serta pertemuan para panel hakim belum dimaklumkan kepada saya oleh mas'ul acara dewan. InsyaAllah... semoga PMHK kali ini akan berjaya cemerlang.

+ Kesian pada seorang kawan yang datang berziarah semalam 20 Ogos, kerana saya terpaksa tinggalkannya seawal pagi tadi sebab sudah berdaftar untuk ke Fayyum. Maafkan saya! Sahabat. Harap kau mengerti.

+ Tok Rimau dengan WEBLOG TERBAIK TOK RIMAU (Versi Tanpa Palam), Mat Jan dengan JONGKANG-JONGKET 2000 dan Rudy BLUEHIKARI pula menampilkan BLUEHIKARI 2000 sebagai e-book masing-masing. Mereka punya identiti tersendiri. Saya, bila lagi?

+ Setahun yang lalu juga catatan PMHK.

Kata-kata Pujangga: "Manusia gagal bukan kerana kebodohan, tetapi mereka gagal kerana melakukan perkara yang bodoh."

Sila klik  Respon/Komen

 

15 Ogos 2003 | Jumaat | 18.00 pm

Catatan 235

+ Asri minta artikel tentang Tasauf untuk dimuatkan ke dalam SK Edisi Perak, ATOM. Entah bagaimana artikel itu seperti sukar untuk dihasilkan walaupun saya telah menyelak rujukan yang wajar dan meninjau Tasauf Moden karya HAMKA. Oleh sebab itu saya memilih menulis tentang FALSAFAH yang berkait dengan Imam Al-Ghazali. Inilah artikel itu:

AL-GHAZALI: PERINTIS FALSAFAH ISLAM

OLEH: AKHI MASRAWI

DALAM dunia falsafah Islam Al-Ghazali merupakan perintis awal yang sangat terkenal. Beliau yang mendapat gelaran "Hujjatul Islam" adalah Ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap perkembangan dunia keilmuan Islam. Nama lengkap beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali at-Tusi. Lahir di Tus, Khurrasan pada tahun 450H.

Ayahnya merupakan seorang sufi yang sangat wara' dan kerjanya memintal dan menjual benang yang ditenun dari bulu biri-biri. Turut mendedahkan anak-anaknya dengan asas sufi. Al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad. Pada mulanya beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dalam bidang Fiqh dan kemudian meneruskan kembara Ilmu ke Jurjan. Pernah berguru dengan beberapa orang ulamak terkenal pada zamannya, misalnya Imam al-Juwaini di Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar. Melalui Nizam al-Muluk, Al-Ghazali diterima mengajar di Madrasah Nizamiyah di Kota Baghdad disokong kemahiran bermuhadharah sehingga menjadikan dirinya seorang Ilmuwan yang amat terkenal dalam bidang Fiqh, Ilmu Kalam dan Falsafah pada zaman tersebut.

Lantaran mewarisi sifat Ulamak Islam beliau juga sering bermusafir dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain bagi menambah ilmu dan menyebarkannya. Sangat dihormati oleh Pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana keilmuannya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah. Menurutnya keilmuan dan keistimewaan para sufi tidak akan dapat dipelajari melalui buku-buku kecuali dengan pengalaman dan merasainya sendiri.

Falsafahnya telah meninggalkan kesan yang berpengaruh dalam diri para Intelek Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd, syah waliuLlah dan ramai lagi. Setelah beberapa lama mengembara dan mempertajamkan ilmu serta sikapnya sebagai seorang sufi, al-Ghazali kembali ke Naisabur atas desakan Fakhrul Muluk, anak kepada Nizam al-Muluk untuk kembali mengajar di Madrasah Nizamiyah. Namun tidak beberapa lama setelah itu, Fakhrul Muluk mati terbunuh dan Al-Ghazali kembali semula ke Tus dan membuka sebuah madrasah bagi menyebarkan ilmu dan mendidik hati. Al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada tahun 505H dalam usia 55 tahun.

ASAS-ASAS FALSAFAH AL-GHAZALI

Menurut Al-Ghazali falsafah secara ringkasnya dikatogerikan kepada enam aspek penting iaitu: matematik, fizik, metafizik (KeTuhanan), politik, logik dan etika (akhlak). Malah menurutnya Islam tidak melarang mempelajari ilmu-ilmu seperti falsafah Greek asalkan ianya tidak bertentangan dengan Islam sebagaimana dibahaskan di dalam karyanya yang berjudul "Tahafut al-Falasifah" mengenai fizik dan metafizik yang mengatakan alam ini terurus dengan sendiri tanpa kawalan. Walaupun beliau bersetuju dengan sumbangan teori falsafah yang dipelopori oleh Aristotles dan Plato terhadap nilai keilmuan Islam, namun tidak semua diterima oleh beliau kerana terdapat sejuzuk dari bidang falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam.

Dalam kitab "al-Munqidz Min ad-Dhalal" al-Ghazali menyatakan bahawa para Filosof yang menganut pelbagai mazhab dan yang membawa pemikiran yang berciri kekufuran dapat dibahagikan kepada tiga golongan:

a. Golongan ad-Dahriyyah (Aties)

Golongan ini mengingkari adanya Tuhan. Kata mereka, alam ini ada dengan sendirinya. Seperti haiwan yang ada melalui mani dan mani dari haiwan tanpa kesudahan lingkarannya, demikian pula halnya dengan alam ini. Golongan ini adalah zindiq.

b. Golongan at-Tobi'iyyah (Naturalis)

Golongan ini memusatkan perbahasan pada alam fizika, terutama haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Keajaiban yang mereka temui menjadikan mereka mengakui adanya Pencipta yang Maha Bijaksana. Golongan ini berpendapat setiap jiwa akan fana dan tidak kembali lagi. Lantaran itu mereka mengingkari adanya hari akhirat, syurga dan neraka. Golongan ini juga termasuk zindiq.

c. Golongan al-Ilahiyyah (Theis)

Golongan ini muncul dari dua golongan yang telah dinyatakan. Seperti Sokrates, Plato dan Aristoteles. Kesan daripada itu, Aristoteles telah menyanggah pemikiran para filosof sebelumnya, tetapi dia sendiri tidak mampu membebaskan diri dari sisa-sisa kekufuran. Namun ilmu-ilmu falsafah selain yang membincangkan tentang KeTuhanan boleh diterima selagimana tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh Al-Ghazali menunjukkan satu contoh dalam ilmu matematika yang tidak dapat diingkari kebenarannya.

Adapun dalam bidang keTuhanan Al-Ghazali berpendapat para filosof banyak bertentangan dengan agama Islam, sehingga wajib ditolak. Untuk maksud tersebut karyanya yang berjudul "Tahafut al-Falasifah" yang mengemukakan 20 masalah yang tidak sesuai dengan Islam (meliputi hal kufur dan bid'ah) harus diteliti oleh Umat Islam. Konklusi yang dibuat oleh Al-Ghazali di dalam perbahasan kitab tersebut meletakkan tiga aspek pertentangan antara filosof dan Islam iaitu:

1. Filosof menganggap qadimnya alam
2. Tuhan tidak mengetahu peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku di bumi
3. Mengingkari kebangkitab semula jasad pada hari akhirat

Sebagai cadangan untuk menyelak pemikiran falsafah Al-Ghazali bolehlah membaca karyanya "Tahafut al-Falasifah" dan "Maqasid al-Falasifah."

PERSPEKTIF SARJANA ISLAM TERHADAP AL-GHAZALI

Para Ilmuwan Islam baik sezaman dengan beliau atau selepasnya amat tertarik dengan daya pemikiran dan falsafah yang diketengahkan beliau untuk tatapan umat Islam. Sebagai seorang pengkritik kepada filosof beliau juga tidak terlepas daripada diertikaikan sebagai seorang ahli falsafah. Contohnya Ibn Rusyd yang menulis sebuah buku berjudul "Tahafut at-Tahafut" sebagai serangan balas terhadap dakwaan Al-Ghazali yang menentang pemikiran falsafahnya. Walau bagaimanapun perkara ini dianggap sebagai suatu kebiasaan para ilmuan mendatangkan hujah dan dalil terhadap perselisihan pendapat di kalangan mereka. Perkara sebegini juga berlaku terhadap Plato apabila teori falsafahnya diperbetulkan oleh muridnya, Aristoteles.

Menurut Ibn Tufail dalam menghuraikan penentangan Al-Ghazali terhadap aspek metafizik di atas tadi bahawa ianya memang suatu kontradiksi daripada fikirannya dan ada lain pendapat yang mengatakan ianya kesan perkembangan pemikiran Al-Ghazali bermula dari peringkat awal pendidikannya sehinggalah beliau mengalami pelbagai pengalaman dan peningkatan terhadap ilmu pengetahunnya.

Selain Sarjana Islam, Orientalis barat dan penulis-penulis bawat juga sering menulis tentang Al-Ghazali. Antara mereka ialah J.Wensik, Obbermana, Cara De Vaux dan lain-lain lagi lantaran kekaguman terhadap teori falsafahnya. Pun begitu mereka yang sering mengikuti perkembangan Al-Ghazali sering memberikan pandangan dan penafsiran yang berbeza-beza antaranya B.B Mc donald yang menyifatkan Al-Ghazali sebagai seorang tokoh yang terkenal di dunia Islam sebagaimana Augustinus dalam dunia Kristian. Malah Pascal, filofoh terkenal Perancis sering merujuk kepada pendapat Al-Ghazali dalam falsafahnya.

KARYA AL-GHAZALI

Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali adalah ulamak dan pemikir Islam yang sangat produktif dalam penulisan. Jumlah hasil tulisannya sehingga kini masih tidak dapat ditentukan dengan tepat secara defenitif oleh para penulis sejarahnya. Ini kerana ada di antara kitab-kitabnya yang telah diterbitkan dan masih ada yang tersimpan dalam perpustakaan makhtutah negara-negara Arab. walau bagaimanapun Abdurahman Badawi mengklasifikasikan karya Al-Ghazali kepada tiga katogeri. Pertama kitab yang dikenalpasti dengan tepat sebagai karya Al-Ghazali sejumlah 72 kitab. Kedua, kelompok yang diragui terdiri dari 22 kitab dan ketiga, Kitab yang dapat dipastikan bukan karyanya sejumlah 31 kitab.

Kitab-kitab yang ditulis oleh beliau meliputi pelbagai bidang ilmu seperti al-Quran, akidah, ilmu kalam, usul fiqh, fiqh, tasauf, mantiq, falsafah, kebatinan dan lain-lain. Antara karyanya yang sangat berpengaruh dan dominan ialah:

1. Tahafut al-Falasifah
2. Ihya' Ulumiddin
3. al-Munqidz Min ad-Dhalal
4. Miskat al-Anwar
5. Maqasid al-Falasifah
6. Majalis Al-Ghazali
7. al-Mustazhari

Hasil karya beliau sering menjadi rujukan terutama dalam bidang falsafah ialah "Tahafut al-Falasifah" yang banyak membongkar pemikiran dan pendirian beliau. Karyanya ini merupakan jawapan dan pendirian terhadap falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam. Inilah bukti yang menjadikan beliau ahli falsafah yang mempunyai keistimewaan. Dalam pencarian hakikat dan kebenaran yang sering mendorong dirinya menjadi seorang pengkaji yang bukan hanya mendalami ilmu malah mengamalkan keilmuan dan merasai dzuq seorang muslim sejati. - Tamat.

+ Pengerusi AKAR (Akademi Karyawan Mansurah) telefon juga berbincang tentang idea mereka nak terbitkan sebuah antologi cerpen. Saya pun dipelawa menyumbang karya untuk antologi itu. Cuma setakat ini masih belum ada karya terkini. InsyaAllah akan saya usahakan dalam masa terdekat, sebabnya sekarang ini seperti ada semangat dan inspirasi.

Kata-kata Pujangga: Seandai dirinya tercipta untukku, rela kumenjadi miliknya." - Nur Kasih

Sila klik  Respon/Komen

 

11 Ogos 2003 | Isnin | 18.30 pm

Catatan 234

+ DPM Tanta menganjurkan pembentangan kertas kerja berjudul: Pengklonan Manusia: Antara Realiti dan Khayalan yang dibentangkan oleh Ustaz Sarif bin Mohd Yusof, Graduan Fakulti Syariah Islamiah Al-Azhar Damanhur. Topik seputar Klon turut merupakan perbahasan kontemporari yang menjadi perbahasan qadhaya muasarah. Pembentangan menarik dengan beberapa fakta terbaru yang sebelum ini saya tidak pernah dihidangkan. Antaranya ialah tentang gerakan Raelian yang diasaskan oleh Claude Vorilhon atau lebih dikenali dengan nama Rael. Berpengkalan di Quebac, Kanada.

+ Ajaran ini menubuhkan sebuah syarikat pengklonan yang dikenali sebagai clonaid dengan Dr Brigitte Boisselier dilantik sebagai saintisnya juga sebagai paderi. Gerakan itu sehingga kini telah mempunyai keahlian seramai 55,000 orang kononnya bermula apabila beliau bertemu dengan makhluk asing di Clermont Ferrand, Perancis pada 1973. Paling kelakar apabila dakwaannya itu berfaktakan yang makhluk asing 1.2 meter itulah mengakui bahawa manusia wujud di bumi hasil kejuruteraan genetik makhluk planet sejak 25000 tahun lalu, lantas melantik Rael sebagai wakil mereka di bumi.

+ Rael juga mendakwa makhluk asing itu memerintahkannya menubuhkan kedutaan di Baitul Maqdis sementara menunggu kepulangan Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad serta Elohim (Tuhan - dalam bahasa Hebrew).

+ Raelian memperjuangkan anti-seks sebagai jaminan pengekalan manusia di bumi sedangkan ketuanya Rael sendiri mengamalkan seks bebas dengan kekasihnya Sophie dan beberapa pengikutnya.

+ Bagi mengembangkan ajarannya, Rael menerbitkan sebuah buku, The Massage Given To Me By Extra-Terristrials dan mewujudkan sebauh laman web: http://www.clonaid.com. Rael turut melantik seorang wartawan. Michael Guillen untuk mengawasi ajian-ajian DNA yang dilakukan.

+ Persoalannya, mungkinkah gerakan ini merupakan tajaan Yahudi? Perhatikan nama "Rael" dan "Israel"!

+ Sudah sampai ajalnya, bila takdir Allah sudah ditentukan tidak dilewatkan atau dicepatkan ajal. Semalam (10 Ogos) seorang sahabat (Allahyarham Mohd Izad Zakaria, Mantan YDP BKAKLM) kembali ke rahmatullah selepas 4 hari dimasukkan ke hospital kerana serangan Hepatetis A. Allahyarham meninggal di Mustasyfa al-hummiyat, St. Taha Hakim, Tanta dalam usia 25 tahun. Urusan jenazah diuruskan di mustasyfa al-Mansyawi. Urusan diselenggarakan oleh sahabat-sahabat di DPM Tanta dengan bantuan dari Badan Pengurus PMRAM yang hadir sempena majlis ramah mesra bersama kepimpinan BP PMRAM 2003 yang baru terlantik selepas muktamar Sanawi ke 70 pada 31 Julai lalu. Jenazah disolatkan di Masjid mustasyfa Mansyawi dengan diimamkan oleh Us Zaiem Hilmi Hussin Timb. Presiden PMRAM dan dimakmumi oleh beratus pelajar Tanta dan muhafazah luar. Jenazah kemudiannya dibawa ke Kaherah untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam khusu untuk warga Malaysia di Hayyu 10 pada jam 10.30 malam. Kami rombongan dari Tanta yang mengiringi jenazah kembali ke Tanta dan tiba pada jam 1.00 pagi. Sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham dan doakan semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

+ Hari ini 11 Ogos, DPMT menganjurkan Daurah Perdana 2 buah kitab iaitu kitab "al-Ihatah bi ahammil Masail al-Haidh wan Nifas wal-Istihadhah" (Perjelasan Lengkap Hukum dan Persoalan Utama berkaitan Haidh, Nifas dan Istihadhah" terjemahan dari tulisan Syeikh Nuruddin al-Makki dan kitab "Qawaid Fiqhiyyah" tulisan Hj Nukman Che Amin, yang merupakan pendiskusi kedua-dua buah kitab. Diskusi memakan masa selama 6 jam. (9.30pg-12.30tgh) (3.00ptg-6.00ptg).   

Kata-kata Pujangga: "Barangsiapa yang tidak pernah merasai sesuatu, nescaya tidaklah ia mengetahui."

Sila klik  Respon/Komen

 

4 Ogos 2003 | Isnin | 10.30 am

Catatan 233

+ Alhamdulillah AKRAM Online - Laman Akademi Karyawan Muda Mesir sudah dilancarkan oleh Webmaster yang dilantik, dan boleh dicapai melalui pautan http://akramonline.4t.com. AKRAM adalah ringkasan dari Akademi Karyawan Muda Mesir merupakan hasil ilham saya sendiri yang direalisasikan oleh webmaster berpengalaman, Anaih.

+ Natijah (keputusan) peperiksaan dah pun keluar. Alhamdulillah, cadangan saya untuk pulang awal ke tanahair tak tercapai. Saya kena mengambil kertas tasfiah 1 madah (subjek) pada awal November nanti atau mungkin hujung Oktober. Madah ulangan itu ialah Lughah Arabiah (Balaghah dan Adab). Kebanyakan yang tasfiah, itulah madahnya di samping madah lain. Sistem peperiksaan Al-Azhar untuk tahun akhir diberikan peluang untuk tasfiah (menghabiskan) madah sekiranya madah yang gagal dua atau satu. Sekiranya lebih dari dua madah maka kenalah mengulang setahun lagi, jadi i'adah. Begitu juga halnya dengan tahun atu, dua dan tiga... jika gagal satu atau dua madah boleh naik tahun dan mengambil kertas takhalluf (ulangan) bersama madah tahun berikutnya. Pengalaman mengambil kertas ulangan semasa tahun 2 dan 3 pernah saya lalui. Kedua-dua tahun kertas tafsir ayat Hukum dan kertas Lughah Arabiah. Tahun akhir, saya berharap saya tidak ada madah yang perlu diulangi, tetapi takdir menentukan kertas Lughah Arabiah perlu diambil sebagai kertas tasfiah. Mujur cuma satu madah sahaja. Alhamdulillah keputusan madah-madah lain memuaskan.

+ Master? Inilah persoalan yang sering ditanyakan oleh kawan-kawan. Tentang tempat, tentang bila dan perancangan selepas B.A. Sememangnya saya menaruh impian untuk menyambung pengajian sarjana alias Master. Ilmu yang dikutip sewaktu pengajian sarjana pertama masih tidak mencukupi, perlukan mujahadah seterusnya untuk menyediakan diri memahami Islam dan menjawab apa itu Islam.

+ Monograf Andalus II Tanta selamat dicetak dan sekarang berada di pasaran sekitar Mesir. Muktamar HEWI ke 16 dan PMRAM ke 70 pada 30 dan 31 Julai lalu adalah hari pemasaran Monograf. Monograf tersebut merupakan buku yang julung-julung kali diterbitkan, bersifat ilmiah dengan disertakan 7 perbahasan ilmiah iaitu:

1. Metodologi Fiqh Muwazanat Dalam Fiqh Islami
Oleh: Mohd Raffidzi Z. Abidin

2. Wala' Dan Bara' Dari Sudut Gerakan Islam
Oleh: Nik Azran Muhamed

3. Kajian Fiqh Syura Menurut Perspektif Syara'
Oleh: Fakhrurazi Ghazali

4. Insurans: Perbincangan Menurut Perspektif Islam
Oleh: Ahmad Tarmizi Ismail

5. Amaliah Istisyhadiah Pada Pandangan Ulamak dan Fuqaha' Mazhab
Oleh: Mohd Raffidzi Z. Abidin

6. Menyanggah Dakyah Oreintalisme
Oleh: Fakhrurazi Ghazali

7. Hukum Muzik Dan Nyanyian Pada Pandangan Islam
Oleh: Hairul Nizam Mat Hussin

+ Alhamdulillah sambutan menggalakkan. Selepas pasarkan Monograf kenalah pula memenuhi jemputan dari BKAN dan DPM yang mahukan pembentangan. Terkini Own (Fakhrurazi) ke Rumah Johor untuk bentang salah satu kertas kerjanya yang bertajuk Menyanggah Dakyah Oreintalisme manakala Ghaffar ke Mansurah bentang Metodologi Fiqh Muwazanat Dalam Fiqh Islami. Mungkin selepas ini ada lagi yang akan mengadakan pembentangan kertas-kertas kerja dalam Monograf tersebut. Semakin bertambah majlis ilmu, alhamdulillah.

+ Monograf Andalus II dijual dengan harga LE 20 untuk tujuh perbahasan ilmiah setebal 248 muka surat tak termasuk kulit. Boleh dijadikan bahan rujukan dan bacaan ilmiah kepada para pelajar universiti dalam bidang pengajian Islam dan masyarakat islam umum. Walau bagaimanapun tidak dinafikan terdapat kekurangan dan kesilapan terhadap cetakan kali pertama ini yang tidak disengajakan.

+ Insani 2 di Rumah Perlis menyelitkan diskusi kitab kecil "al-Ashum wa as-Sanadat fi Mandzur Islami" (Saham dan Bon Menurut Pandangan Islam). Kitab yang ditulis oleh Dr Abdul Aziz al-Khayyat itu didiskusikan oleh Ustaz Zahari Ali, pelajar sarjana Dirasah Ulya (Master) Zamalek. Selain itu ada juga forum Bait Muslim mengupas tentang "Kerjaya dan Rumah tangga" dengan tiga ahli panel iaitu Ustaz Mahmud Abdul, Ustaz Khir al-Mutanazzar dan Ustazah Sharifah. Halim Hafidz jadi pengerusi. Khabarnya kehadiran Ustaz Mahmud Abdul kali ini ke Mesir atas urusan pembelian tanah untuk imarah Perlis, entahlah bagaimana ceritanya.

Kata-kata Pujangga: "Barangsiapa yang tiada sifat penyayang maka dia tidak akan disayangi" 

Sila klik  Respon/Komen

 

Baca Catatan lalu

~Diri yang masih mencari identiti ibarat sebuah perjalanan menongkah arus di lautan samudera...~

Pujangga - mahasiswa - cabaran - pengajian - perjuangan - keyakinan - optimis - keorganisasian - keterbukaan - karisma - kehidupan - keilmuan - idealisme - penulisan - impian & harapan - yang...!

 

Capaian Alternatif

Capaian Arkib:

----------------------

.: Kempen mengibar Jalur Gemilang di Web anda sempena Hari Kemerdekaan Malaysia 31 Ogos juga sebagai tanda cintakan watan :.

----------------------

terkini:

::. AKRAM Online adalah pautan maya yang menemukan para penulis muda. Menjadi Mandala yang menempatkan karya-karya dalam pelbagai genre kreatif dan non-kreatif, serta katalis para penulis muda .::

----------------------

siapa nak baca cerpen Cinta Sufiah, klik!!!

 

 

© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1