Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Rencana: Era Ulamak dan Gagasan Negara Islam

Oleh: Akhi Masrawi

TIDAK dinafikan signifikasi yang diterjemahkan dalam perjuangan sesebuah harakah islamiah - tanpa merujuk kepada mana-mana pertubuhan - adalah sama iaitu mengembalikan tertegaknya negara Islam atau khilafah Islamiah, tetapi mungkin wasilah dan pendekatan yang diambil berbeza-beza mengikut kesesuaian masa dan suasana. Ini disebabkan berlakunya perselisihan ijtihad terhadap perkara-perkara cabang yang tidaklah menjejaskan perkara usul. Justeru di antara pendekatan yang diambil adalah melalui wadah perjuangan demokrasi berpaksikan kaedah pilihanraya.

Dalam senario politik tanahair pun tidak terkecuali. Perjuangan melalui demokrasi dan pilihanraya telah lama diamalkan. Semenjak sebelum kemerdekaan tanahair sehingga kini, wadah ini tidak dianggap tidak sesuai dengan angin politik Malaysia kecuali mereka yang berideologi demokrasi bukanlah cara yang terbaik akan menolak konsep pilihanraya tersebut. Setakat ini melalui pilihanraya ada perkembangan yang baik telah berlaku. Selain memantapkan percaturan politik Malaysia, bahang kebangkitan ulamak dan penyertaan mereka ke arena politik semakin dirasai.

Era Ulamak PAS

Era ulamak atau lebih tepat disebut era kepimpinan ulamak di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), telah bermula semenjak zaman Allahyarham Datuk Asri Muda ketika mana golongan pemuda menyuarakan idea tersebut di dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas sekaligus mencabar kepimpinan Asri yang ketika itu dianggap nasionalis berhaluan kiri.

Kesan daripada cetusan Pemuda tersebut, Asri meletak jawatan sebagai Presiden PAS dua hari sejurus usai muktamar PAS 1983 itu. Asri tidak berdiam diri. Perjuangan beliau diteruskan dengan menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM) tetapi kemudiannya bergabung dengan UMNO melalui BN.

Tuan Guru Hj Yusuf Rawa meneruskan perjuangan PAS melalui era kepimpinan ulamak. Meskipun Asri keluar dari PAS ianya tidak menjejaskan PAS kerana agenda kepimpinan ulamak yang diteruskan diterima baik oleh ahli-ahli PAS kecuali segelintir penyokong Asri. Namun tidak memberikan kesan yang teruk terhadap PAS.

Era ini selain menampakkan gabungan ulamak yang sedia ada di dalam PAS seperti Hj Yusuf Rawa dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut meriah dengan penyertaan ulamak-ulamak muda yang berhijrah dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke dalam PAS. Tokoh-tokoh tersebut seperti Almarhum Datuk Fadzil Nor, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa nama lain. Sebaliknya beberapa tokoh agama lain dalam ABIM beralih kepada UMNO. Inilah cabaran pertama PAS mendepani golongan ulamak berjiwa UMNO.

Peralihan ABIM kepada UMNO

Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan tonggak utama ABIM menyertai UMNO sehingga memperlihatkan peralihan sokongan ABIM kepada UMNO yang sebelum itu bersifat kontra. Penyertaan Anwar Ibrahim yang berfikrah Islam itu ke dalam UMNO bertujuan mengislah UMNO, sebaliknya ditugaskan untuk berhadapan dengan pengaruh kebangkitan Islam melalui era kepimpinan ulamak dalam bi'ah politik PAS. Kesan daripada itu Anwar menentang PAS dan ABIM berjuang seiring dengan UMNO dan bertungkus lumus untuk memenangkan UMNO di dalam pilihanraya semenjak penglibatan Anwar sehingga pilihanraya 1995. Namun setelah Anwar ditendang dari UMNO melalui kospirasi politik yang memalukan pada September 1998, senario perjuangan ABIM mula kucar-kacir.

Kerajaan BN ketika itu telah mencanangkan proses-proses islamisasi melaui UMNO, selain projek-projek pembangunan yang rata-rata dikagumi rakyat. Dasar ini selain diperkenalkan oleh ulamak-ulamak UMNO juga merupakan gagasan aspirasi Anwar semenjak keterlibatan beliau di dalam arus politik UMNO. Penubuhan beberapa institusi berteraskan Islam adalah beberapa contoh yang telah diperkenalkan. Wujudnya bank Islam, Universiti Islam, Pusat Islam dan sebagainya. Inilah sumbangan besar ABIM mewarnai politik UMNO sekitar 1982-1998. Mungkin tidak keterlaluan jika diistilahkan kefahaman ABIM terhadap politik dan gagasan negara Islam hanyalah seputar proses Islamisasi. Tetapi wajar kita berterima kasih kerana sedikit sebanyak melalui perlaksanaan projek tersebut telah membuka pandangan masyarakat terhadap perkembangan Islam.

Tetapi, apakah melalui perlaksanaan dasar islamisasi tersebut sudah tertegaknya negara Islam?

Penyertaan Ulamak Dalam Politik UMNO

UMNO turut merasai akan era kebangkitan ulamak di dalam siasah PAS. UMNO mula meniru rentak gaya politik yang dimulakan PAS dengan meng-import tenaga-tenaga agama berfikrah establishment ke dalam ruang politik yang dimiliki. Penglibatan tokoh-tokoh agama seperti Wan Mokhtar, Yusuf Nor, Hamid Othman, Nakhaie Ahmad, Dasuki Ahmad, Zainal Abidin Abdul Kadir dan beberapa nama terkemudian memperlihatkan adanya sokongan ulamak terhadap kerajaan BN alias UMNO. Penglibatan ulamak-ulamak UMNO ini asalnya bertindak sebagai penasihat kepada arus politik UMNO, tetapi sebaliknya yang berlaku. Mereka pula akhirnya yang mesti mengikut telunjuk politik UMNO yang kotor itu.

Mungkin ada di kalangan ahli-ahli UMNO yang merasa lega apabila penglibatan ulamak-ulamak dalam arena politik UMNO, sedangkan kelegaan itu hanya kerana mereka tidak tahu ulamak-ulamak yang menyertai UMNO umpama orang suruhan dan mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin UMNO semata-mata. Jadi, bolehlah dikatakan pertembungan PAS dan UMNO juga adalah pertembungan era kepemimpinan ulamak PAS dengan golongan ulamak UMNO selain daripada petembungan antara akidah Islamiah dengan ideologi sekular.

Pertembungan ini bukan sahaja dari segi fikrah dan pandangan tetapi UMNO turut menurunkan ulamak- ulamaknya untuk bertanding menentang PAS di dalam gelanggang pilihanraya. Ini kerana pengaruh golongan ulamak atau agama di kawasan majoriti Melayu boleh disifatkan sama kuat sama tanding - apabila pengundi adalah bukan dari kalangan penyokong tetap sesuatu parti. Misalnya antara tokoh ulamak UMNO yang diturunkan untuk menentang PAS ialah Fadzil Hanafi, Zainal Abidin Abdul Kadir, Hamid Othman dan beberapa nama lain lagi.


Gagasan Negara Islam

Perjuangan PAS ditegaskan dalam era kepimpinan ulamak untuk menubuhkan negara Islam Malaysia. Sebenarnya inilah agenda utama yang telah dicetuskan semenjak penubuhan parti itu lagi pada 1951. Meskipun agenda ini seperti tidak jelas sebelum era ulamak, namun agenda ini tetap tidak disenangi oleh parti lawan termasuk UMNO dan DAP yang mempunyai dasar perjuangan yang berbeza dengan PAS. UMNO dengan perjuangan nasionalis mereka manakala DAP dengan dasar sekular; sedangkan PAS dengan dasar Islam. Justeru BN alias UMNO dan DAP menggesa PAS mengisytiharkan negara Islam yang hendak dilaksanakan.

PAS yang sudah masak dengan agenda muslihat politik UMNO itu sebaliknya Presiden PAS mencabar PM mengisytihar Malaysia sebagai sebuah negara Islam di Parlimen. PM tidak mengisytiharkannya di Parlimen tetapi hanya mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sewaktu ucapan perasmian mesyuarat Agung Parti Gerakan. Kesan daripada itu UMNO melariskan isu tersebut melalui cengkamannya terhadap media massa cetak dan elektronik untuk memburukkan imej PAS. Selain itu DAP mengumumkan keluar dari Barisan Alternatif (BA), atas alasan tidak bersetuju dengan hasrat PAS mahu menegakkan Negara Islam melalui BA.

Bagi mengukuhkan pengisytiharan PM bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam seluruh jentera kerajaan telah digunakan. Ini termasuklah menggunakan mimbar khutbah jumaat, media massa, seminar, forum, debat olok-olok, kertas kerja, buku yang menjelaskan konsep negara Islam dan sebagainya. Ini kerana UMNO tidak mahu orang Islam (penyokongnya) beralih sokongan terhadap PAS. PM terlalu bimbang jika isu besar ini tidak dapat dikuasai oleh UMNO. Ini kerana gelombang kefahaman rakyat terutama umat Islam terhadap kewajipan mewujudkan negara Islam semakin jelas.

Nyatanya PM (UMNO) kembali menggunakan barisan ulamak mereka supaya mencari hujah-hujah supaya membolehkan Malaysia diakui sebagai negara Islam. Muncullah beberapa teori-teori ilmiah ala-UMNO tersebar luas. Antara teori-teori yang dikemukakan oleh UMNO sebagai pendakwaan Malaysia sudah negara Islam ialah: teori negara Islam menurut tafsiran dan pandangan Abu Hanifah dan beberapa fuqaha lain yang, menggunakan perbandingan negara Islam Madinah dan negara Islam pada zaman muta'akhir, teori tawsif, metod perlembagaan negara, menggunakan hujah akal dan menggunakan penolakan terhadap pandangan lawan.


Negara Islam: Metod UMNO

Menurut pandangan Imam Abu Hanifah: "Jika keamanan bagi orang Islam secara mutlak dan ketakutan bagi orang kafir secara mutlak, maka ia adalah negara Islam. Jika keamanan di dalamnya bagi orang kafir secara mutlak dan ketakutan bagi orang Islam secara mutlak, maka ia adalah negara kufur."

Teori tersebut menyatakan adanya ciri keamanan berpihak kepada orang Islam maka negara tersebut berstatus sebagai negara Islam. Ciri-ciri lain yang dikemukakan oleh UMNO adalah bertujuan menumpukan seluruh perbincangan kepada satu matlamat iaitu membuktikan bahawa wujudnya ciri-ciri negara Islam di Malaysia, kerana dengan adanya beberapa ciri tersebut sudah menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Contohnya:

a. Islam sebagai agama rasmi negara.
b. Wujudnya kepimpinan orang-orang Melayu yang beragama Islam untuk menerajui kerajaan.
c. Kedaulatan orang Islam kerana memegang jentera kerajaan, keselamatan dan keamanan (polis/tentera)
d. Perlaksanaan projek-projek pembangunan bercirikan Islam seperti penubuhan Bank Islam.
e. Memberikan hak dan keamanan kepada orang bukan Islam menetap di Malaysia.

Selain dari itu, UMNO turut mengemukakan teori sesebuah kerajaan Islam tidak semestinya menepati ciri-ciri negara Islam Madinah sebagaimana yang dicetuskan oleh Baginda Rasulullah saw. Ini kerana meskipun Negara Islam Madinah merupakan model yang terbaik namun, negara-negara selepasnya ketika zaman khilafah yang lain seperti khilafah Umaiyyah, Abbasiah dan Uthmaniah terdapat ciri-ciri Negara Islam Madinah yang tidak diamalkan tetapi masih diiktiraf sebagai negara Islam. Ini juga menunjukkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara Islam. Ini ditegaskan oleh Nakhaie Ahmad di dalam satu forum di Universiti Malaya, bahawa sekiranya ulamak-ulamak silam masih ada mereka juga akan mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam, sebagaimana mereka mengiktiraf negara-negara Umaiyyah dan Abbasiah sebagai negara Islam.

Pendakwaan Wan Zahidi Wan Teh, Pegawai Unit Penerangan Khas Kementerian Penerangan Malaysia bahawa parlimen merupakan ciri-ciri syura di dalam sesebuah negara Islam. Justeru perlaksanaan parlimen menepati ciri-ciri negara Islam. Selain itu perlaksanaan pilihanraya juga menepati kaedah yang diperuntukkan oleh Islam. walaupun hudud (hukuman syariah) tidak dilaksanakan ianya tidak menjejaskan status sesebuah negara Islam. Inilah antara metod tawsif (mengesahkan ciri-ciri) yang digunakan. Terdapat beberapa metod lain yang turut digunakan seperti pendakwaan Islam sebagai peruntukan di dalam perlembagaan negara tidak akan diperuntukkan untuk negara bukan Islam, Menyangkal ketidak wujudan negara Islam menggunakan akal dan hujah dangkal, menolak pendakwaan lawan dan sebagainya.

Negara Islam Gagasan PAS

Negara Islam yang dimaksudkan PAS adalah negara Islam yang syumul dan menepati ciri-ciri Negara Islam Madinah pada zaman Rasulullah saw dan khulafa' ar-Rasyidin. Dengan merujuk kepada kesyumulan yang ada pada negara Islam zaman tersebut PAS turut mendakwa bahawa sesebuah negara tidak diistilahkan sebagai sebuah negara Islam sekiranya masih tidak melaksanakan perundangan yang berpandukan ajaran Islam. Ini sudah tentu melalui ketetapan terhadap perlembagaan sesebuah negara. Sekiranya Malaysia masih mengekalkan perlembagaan yang tidak mencerminkan perlembagaan Islam maka Malaysia tidak boleh diakui sebagai sebuah negara Islam.

Peruntukan Islam sebagai agama rasmi negara bukanlah menjelaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Ini kerana pentafsiran terhadap peruntukan itu hanya berkaitan urusan ibadat tanpa merangkumi aspek yang menyeluruh. Selagi tiada perlaksanaan perundangan Islam dan aspek-aspek lain secara lengkap maka PAS tetap tidak mengiktiraf Malaysia sudah menjadi negara Islam sebagaimana dakwaan UMNO.

PAS juga menegaskan bahawa negara Islam mestilah negara yang mendaulatkan syariat Allah swt, dan tidak boleh memisahkan diantara politik dan agama. Pemisahan di antara politik dan agama adalah ideologi yang bertunjangkan sekularisme. Ideologi ini pernah menyaksikan tumbangnya khilafah Islamiah Turki Uthmaniah. Adakah ideologi yang sama boleh digunakan untuk membentuk negara Islam? Apapun itulah yang sedang dilakukan oleh UMNO!

Selain dari teori-teori yang dikemukakan PAS turut melakukan penjelasan terhadap teori negara Islam melalui pelbagai cara. Antaranya ialah melalui penghasilan buku bertajuk: Konsep Negara Islam dan Matlamatnya oleh Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Pemangku Presiden PAS dan buku Model kerajaan Islam oleh YB Haji Haron Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Selain itu penghasilan kertas-kertas kerja serta seminar berkaitan penjelasan negara Islam turut giat diadakan. Melalui ceramah, kuliah, dan pelbagai wasilah digunakan oleh PAS demi memastikan kefahaman masyarakat terhadap gagasan negara Islam yang sebenar.

Konklusi:

Usaha-usaha untuk mewujudkan negara Islam itu tidak pernah berhenti, walaupun terlalu sukar gagasan tersebut akan terlaksana. Hari ini mungkin hanya baru Kelantan dan Terengganu yang dianugerahkan kepimpinan penuh PAS (BA), mana tahu suatu hari nanti seluruh muka bumi Malaysia akan dianugerahkan Allah sebagai kejayaan kepada usaha tersebut. Tuntasnya, gagasan negara Islam bertitik tolak dari era kebangkitan dan kepimpinan ulamak.

UMNO tentunya akan terus berusaha keras bagi menghalang usaha murni PAS itu. Mereka mungkin akan menggunakan pelbagai kelebihan yang dimiliki termasuk berusaha mencari calon-calon ulamak atau ulamak-ulamak muda supaya mendokong UMNO suatu hari nanti. Atau paling tidak pun menjadi 'keldai-keldai' suruhan mereka supaya berusaha keras memenangkan mereka.

Tidak hairanlah jika ulamak-ulamak hari ini ada yang dilabelkan ulamak su' (jahat), kerana jika diteliti dari lipatan sejarah terdahulu telah ramai dari golongan tersebut yang telah diperdayakan. Apa yang penting janganlah sesekali bercita-cita untuk menuju ke arah tersebut.

Samada gagasan negara Islam akan kekal bersama era kepimpinan ulamak atau sebaliknya sama-samalah kita tunggu dan lihat. Tetapi yang pastinya jika era ulamak berakhir, gagasan negara Islam tidak sekali-kali akan berakhir. Ia akan terus mara seiring dengan perubahan zaman dan suasana. Takbir!
 

 

27 September 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1