Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Pendapat: Cara mendorong seseorang lebih berjaya

Oleh: Akhi Masrawi

Menurut ilmu psikologi, manusia lebih suka menerima pujian berbanding celaan sekalipun apa yang dicela itu adalah bertepatan dengan dirinya. Ini kerana dengan pujianlah dia akan merasa dirinya atau sesuatu pekerjaannya dihargai. Seorang ahli psikologi Jess Lair di dalam bukunya 'I ain't much, baby - But i'm all i got' memberi ulasan: "Pujian laksana cahaya yang menerangi semangat manusia. Kita tidak mampu berkembang dan membesar tanpanya. Kebanyakan manusia hanya bersedia memberikan kritikan kepada seseorang, tetapi enggan untuk menyatakan pujian kepadanya."

Dengan memberikan pujian kita memberikannya segugus keyakinan. Keyakinan merupakan suatu perasaan yang terpendam. Ianya subur apabila ada daya lain yang menggerakkannya. Salah satu dari daya tersebut adalah pujian! Justeru ianya merupakan motivasi untuk membina jatidiri.

Pujian lebih bermakna apabila ianya dinyatakan oleh orang yang berpangkat kepada orang bawahan. Ini kerana mereka (orang bawahan) akan merasa dihargai dan bersemangat untuk melakukan yang lebih baik. Pujian seperti ini adalah penghargaan yang amat bermakna. Selain dari itu manusia juga akan merasa dihargai apabila orang atasan (pimpinan) menjadi pemimpin berjiwa rakyat. Pemimpin seperti ini akan sering mengambil tahu hal-hal orang bawahan (masyarakat), sering bertanya khabar, mudah didekati, peramah, pandai menghargai sumbangan orang bawahan dan sebagainya.

Di dalam kajian 25 tahun yang dibuat oleh Dr Fadzillah Kamsah terhadap bulan anda dilahirkan kebanyakan ciri-ciri yang disenaraikan adalah positif. Ini bertujuan untuk memberikan seseorang keyakinan terhadap dirinya sendiri. Cuba anda bayangkan jika ciri-ciri yang tersenarai di dalam bulan anda dilahirkan itu kebanyakannya menjurus kepada negatif, apa akan terjadi? Sudah tentu anda tidak bermaya dan akan berfikiran negatif setelah membaca ciri-ciri itu.

Persekitaran turut memainkan peranan yang penting dalam membentuk psikologi seseorang. Sekiranya seseorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi, tetapi di dalam keluarganya dia tidak pernah langsung diberikan dorongan dan sokongan maka cita-citanya itu akan terkubur begitu sahaja. Akan tetapi sekiranya keluarga, teman-teman, dan orang yang hampir memberikan semangat malah pujian terhadap apa yang dilakukannya sebagai usahanya dia akan lebih berdaya usaha untuk mencapai cita-citanya itu.

Di dalam susur galur keluargaku, aku adalah anak pertama yang berjaya menjejak kaki ke menara gading. Anak-anak saudara ayahku yang lain tamat pengajian menengah tanpa meneruskan di peringkat tinggi. Meskipun aku menyedari ayahku bukanlah orang yang berada, namun ayah pernah berpesan: " Ilmu adalah penghulu hidup." Ia juga adalah jambatan menuju ke akhirat. Menyedari akan hakikat itu, aku memulakan perjalanan kembara ilmu ke bumi anbiyak ini pada 10 Oktober 1999. Pejam celik...pejam celik September yang akan datang 2002 aku akan mendaftar semula selepas bercuti musim panas sebagai mahasiswa tahun 4 (akhir). Ini semua adalah berkat dorongan dan sokongan yang aku dapat. Keberkatan doa dari semua adalah pendorong untuk aku terus berjaya. Doakan aku berjaya.

Cara untuk memberikan pujian alias menghargai seseorang sering berlainan. Ini melihat kepada siapa orang itu. Jika dia si anak kecil sudah tentu cara menghargainya berbeza dengan remaja dan orang dewasa serta orang tua. Ada orang yang suka kepada perkataan. Ada yang suka diberikan barang, dibelanja, dibawa melancong, diajak ke tempat yang disukai dan sebagainya. Sebagai contoh Tok Rimau membelikan anaknya anak patung sebagai penghargaan kepada si kecil itu yang dunianya hanya disesaki dengan mainan. Rudy memberi wang saku buat adiknya sebagai belanja sekolah sebagai dorongan demi untuk melihat adiknya berjaya sebagai pelajar di peringkat menengah manakala geng jurnal pula memberikan keyakinan sesama mereka dengan memberikan respon apabila meninggalkan catatan di guesst book dan beberapa contoh lain yang aku jumpa dalam catatan geng jurnal.

Pemberian merupakan sesuatu penghargaan. Kadangkala ianya bermula dengan perkataan dan kadangkala lebih berkesan dengan perbuatan. Fikir-fikirkanah jika kita mahu semua orang mampu menjadi lebih berjaya! Kurangkan mengkeji dan mencela, lebihkan memuji dan menghargai. Memuji dan menghargai bukan mengampu kerana mengampu biasanya diistilahkan untuk tujuan mendapat imbuhan dan tidak ikhlas biasanya melibatkan orang bawahan kepada orang atasan.

Memuji dan menghargai tidak rugi. Suatu masa nanti pujian/penghargaan yang pernah anda beri kepada orang, akan diberikan pula kepada anda. Percayalah... aku pernah mengalaminya! Ini kerana seorang hamba sekali memuji dia telah memuji empat dalam satu masa secara tidak langsung namum hakikatnya semuanya kembali kepada Allah SWT...

19 Ogos 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1