Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

 

Laporan: Pound Mesir Dalam Bahaya!

Oleh: Akhi Masrawi

Reputasi mata wang Pound Mesir semakin membimbang- kan sejak dua tahun kebelakangan ini. Sewaktu saya mula-mula menjejakkan kaki ke Mesir (1999) nilai pound mesir (LE) boleh dikira berada pada tahap yang lebih baik berbanding Ringgit Malaysia (RM) selepas RM menghadapi kejatuhan nilai diserang spekulator matawang. Waktu itu nilai pound berbanding tukaran dollar US (USD) ialah LE 3.45 untuk USD 1, manakala RM 3.83 untuk nilai USD yang sama. Kami para mahasiswa Malaysia yang berada di Mesir sedikit terhimpit apabila menerima 'duit' dari Malaysia yang susut nilai apabila ditukar dengan nilai Pound Mesir (LE).

Krisis ekonomi yang melanda Asia amnya dan Malaysia khasnya menatijahkan kejatuhan nilai matawang ke tahap yang membimbangkan. Nilai RM sebelum krisis tersebut ialah RM 2.50 untuk USD 1. Ketika itu Negara mengaut prestasi pertumbuhan ekonomi dengan memberangsangkan apabila dilaporkan pertumbuhan itu melebihi kadar yang dijangkakan. Namun setelah spekulator matawang melancarkan serangan 'hasad' nya nilai dan pertumbuhan ekonomi negara merudum. Kerajaan terpaksa memikirkan beberapa inisiatif untuk mengawal nilai RM khususnya dan mengikat prestasi pertumbuhan ekonomi.

Untungnya Malaysia negara yang kaya dengan hasil bumi. Kita ada petroleum, gas asli, galian-galian, kelapa sawit, dan sebagainya. Disokong pula dengan perkembangan pesat sektor perindustrian dan pelaburan asing. Lantaran itu nilai RM mampu 'ditahan' pada nilai RM 3.80-3.83.

Tetapi malangnya senario yang berlaku di Mesir. Nilai itu hanya mampu ditahan setelah kejatuhannya mencapai tahap yang sangat membimbangkan. Bermula kejatuhan sekitar tahun 2000 dengan nilai LE 3. 80 (hampir nilai ringgit). Nilai itu kemudiannya jatuh lagi pada 2001 dengan nilai LE 4.15, LE 4.20, LE 4.25 berbanding USD 1. Pada penghujung 2001 nilai itu jatuh lagi kepada LE 4.27 dan kemudiannya semakin jatuh sehingga hampir LE 4.30. Tahun 2002 adalah petaka kepada Mesir bila nilai LE jatuh lagi sehingga LE 4.50 untuk USD 1. Kadar itu tidak bertahan lama bila seringkali juga ianya jatuh kepada LE 4.60, LE 4.65, LE 4.80, LE 5.00, LE 5.15 dan paling tingggi (sekadar maklumat aku) LE 5.50. Seorang rakan pernah berseloroh dengan katanya "Kalau Pound Mesir jatuh LE 6.00 aku nak tukar USD 1000!" Sememangnya tidak dinafikan kejatuhan nilai pound Mesir memberi impak lega kepada warga asing di Mesir, terutama mahasiswa kita. Apa tidaknya kadar sedikit yang diberikan oleh keluarga di Malaysia bila ditukar nilai pound akan menjadi banyak.

Namun kejatuhan nilai memberikan ruang kepada peniaga untuk meninggikan harga barang. Meskipun kami merasa lega dengan nilai tukaran, tetapi tidak lega apabila ke pasar, super market, kedai-kedai untuk membeli barangan. Harga kitab-kitab juga melambung tinggi. Beberapa buah kitab yang menjadi keperluan kepada pelajar terpaksa dibeli dengan harga yang tinggi dengan alasan kitab itu diimport dari luar Mesir. Harga makanan juga naik menyebabkan masyarakat dan kami (warga asing) merasa terhimpit dengan kadar sara hidup yang turut menjadi tinggi.

Mesir negara yang kaya hasil tani. Oleh itu tidak hairanlah jika sayuran segar dan buah-buahan boleh didapati dengan harga yang amat berpatutan. Namun pertumbuhan perindustrian di Mesir tidak setahap yang membanggakan. Banyak barangan terpaksa diimport dari negara luar. Barangan elektronik dari Jepun, Taiwan, China, Malaysia dan lain-lain. Malah kenderaan, teknologi canggih dan sebagainya masih memerlukan kepakaran luar. Ini yang merisaukan.

Barangkali Mesir juga diserang spekulator matawang asing seperti Malaysia yang diserang G. Soros. Lihatlah bagaimana Barat menguasai Negara Umat Islam. Ekonomi! Apabila ekonomi dikawal maka percaturan politik juga menjadi haru-biru. Ini terbukti apabila Presiden Mesir Husni Mubarak tidak mampu lagi lantang dalam isu Palestin apabila setiap bicaranya memberi kesan kepada setiap nilai kejatuhan pound Mesir.

Hari ini sewaktu saya menulis ulasan ini, Pound Mesir berada pada kadar LE 4.60-4.63 di pasaran. Tetapi masih ada yang membuat pertukaran gelap dengan nilai LE 500 hingga LE 505 untuk USD 100. Kalaulah operasi 'black market' ini tidak dapat dibendung besar kemungkinan ekonomi Mesir akan lebih merudum lagi atau setidak- tidaknya hanya akan kekal pada tahap bimbang itu.


24 Jun 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1