Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

 

Cetusan: OIC Atau Oh I See?

Oleh: Akhi Masrawi

Sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai keahlian sebayak 57 buah negara Umat Islam, Organisation of the Islamic Conference (OIC)/ Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam adalah sebuah organisasi bertaraf antarabangsa. Samada anda menyedarinya atau tidak OIC sebenarnya adalah sebuah pertubuhan kedua terbesar di dunia yang mewakili lebih satu perlima penduduk dunia.

Organisasi ini diasaskan di Rabat, Morocco pada 12 Rejab 1389H/ 25 September 1969M semasa berlansungnya mesyarat pertama ketua-ketua negara Umat Islam sebagai menyatakan sensitiviti terhadap cubaan Zionis antarabangsa untuk membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 yang kemudiannya menemukan semula perwakilan negara-negara umat Islam tersebut di Jeddah, Arab Saudi di mana sekretariat OIC ditubuhkan demi memastikan koordinasi di antara para anggota.

Rakyat Malaysia berbangga apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Malaysia) ketika itu terpilih sebagai Setiausaha Agung OIC yang pertama bermula 1970 hingga 1973. Seterusnya diikuti Hassan At-Tauhami (Mesir) 1974- 1975, Dr. Amadou Karim Gaye (Senegal) 1975- 1979. Habib Chatty (Tunisia) 1979- 1984, Syed Syarifuddin Pirzada (Pakistan) 1985-1988, Dr Hamid Algabid (Niger) 1989- 1996. Prof Dr Azzedin Laraki (Morocco) 1997- 2000 dan sekarang jawatan penting itu disandang oleh Abdelouhed Belkeziz juga dari Morocco bermula 2001.

Bertitik tolak dari itu, jatuh bangun OIC bergantung kepada sejauh mana sekretariat yang telah ditubuhkan tersebut berperanan disamping bantuan dari negara- negara anggota. Krisis umat Islam silih berganti semenjak kejatuhan Khilafah Islam Turki Uthmaniah memungkinkan ruang untuk OIC berperanan demi memastikan Umat Islam terbela. Namun sejauhmana OIC melaburkan kemampuannya untuk membela Umat Islam masih dipertikai sehingga kini. Antaranya isu Perang Teluk di Iraq, pergolakan Kashmir, krisis Checnya, Penderitaan Bosnia, Pembantaian Kosova, Penyembelihan Palestin, penindasan terhadap Afghanistan dan banyak lagi masih memerlukan OIC memainkan peranannya dengan berkesan demi membela nasib Umat Islam, sebagai mencakupi matlamat penubuhan; namun IOC bagai lepas tangan sehingga penubuhannya mampu dipertikai.

Mungkin di dalam OIC sendiri mempunyai masalah atau negera-negara anggota OIC sebenarnya sendiri bermasalah. Sekitar isu ekonomi yang kian meruncing, kegawatan sosial, kebejatan politik dan sebagainya menyebabkan hieraki OIC amat lembab. Namun perlu disedari sebahagian negara anggota OIC sebenarnya adalah berlabel negara kaya dan mempunyai sumber aliran kemewahan. Namun ianya tidak berfungsi dengan baik untuk menyumbang dana kepada pertubuhan tersebut sehingga mampu menjadi sebuah pertubuhan yang boleh dibanggakan oleh Umat Islam. Barangkali juga faktor tidak sealiran dan bertentangan pendapat menyebabkan seringkali persidangan OIC diadakan 'orang luar' sudah mampu berbisik-bisik mengulas keputusan persidangan yang entah apa-apa.

Perjuangan OIC yang bermula untuk membela Palestin atau Masjid Al-Aqsa dari dibakar Zionis kini seolah-olah berulang kembali episod itu. Episod berlatar dunia Palestin. Umat Islam setiap hari menjadi korban keganasan di seluruh dunia namun adakah IOC berperanan membela atau hanya boleh menjadi pertubuhan yang akan dan telah dilabelkan 'Oh I See' sahaja? Kita tunggu dan lihat!

*** Dipetik dari ulasan MDZUHI (SUKEK edisi April/Mei 2002 bersumber dari Harakahdaily, Utusan Malaysia & Bernama)

21 Jun 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1