Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 2

Oleh: Akhi Masrawi

Raya tahun itu (1998) kami makan satey. Pak su yang beri cadangan tersebut. Kami semua setuju dan satey menjadi juadah sekeluarga buat hari lebaran 1998 tersebut. Pak su Nizam jadi ketua projek satey itu. Kami semua ringan tulang menolong dia. Ayah pun turut bagi sumbangan. Ayah seronok agaknya melihat anak-anaknya seronok, dapat makan satey.

Mak mesti masih ingat kisah itu. Kisah itu akan jadi ingatan setiap kali raya aidilfitri datang menjengah. Betapa kami ketika itu hanya mengisi ruang waktu dengan kegembiraan. Rupanya Allah menguji ukhwah hambanya dengan memisahkan manusia. Benarlah, perpisahan menguji ketelusan perhubungan.

Malam tu kami bakar satey dan makan ramai-ramai. Saya sekeluarga bersama Pak su Nizam ada Pak Cik Hanif dan entah siapa-siapa lagi, saya pun sudah tidak berapa ingat. Kak Chaq kata: Bila saya sudah ke Mesir nanti tentu tak dapat makan satey macam malam itu. Saya jawab: Kawan saya kata di Mesir pun boleh makan satey. Tapi mesti tak sama macam malam itu kan? Adik saya pula mengusik: Kalau abang ngah tak ada tentu tak best.

Kalau adik-adik nak tahu, abang ngah di Mesir ni selalu terkenangkan adik-adik abang. Agaknya apalah yang adik-adik abang sedang buat? Bagaimana pelajaran adik-adik abang? Bagaimana perangai adik-adik abang? Nakal kah kalian semua? Tapi tentu adik-adik abang tak baca coretan abang di Jurnal Jalan Hidup ini. Tapi mungkin suatu hari nanti adik-adik abang terbaca coretan abang ngah ini. Dan pada masa tersebut janganlah terperanjat dan salahkan abang kerana tidak memberitahu yang abang menulis catatan ini.

Abang selalu doakan adik-adik abang supaya berjaya. Teh khususnya, supaya boleh capai cita-cita nak jadi bisnessman. Kalau Teh nak jadi orang berniaga, berniagalah secara Islam. Itulah nasihat abang pada Teh. Alang pula nak ambil SPM. Agak-agaknya tentu Alang dah bersedia. Cabaran abang pada alang itu, tentu Alang masih ingat. Abang nak alang ikut jejak abang... dapat jejak kaki ke menara gading atau capai lebih baik daripada abang sendiri. Ingat Alang... keluarga kita miskin, Biarlah kita miskin... kalau dengan kemiskinan itu kita diredhai dan diberkati Allah. Tetapi janganlah kita miskin ilmu!

Bang Cik pula bagaimana dengan PMR? Abang harap keputusan cemerlang dianugerahkan buat Bang Cik. Abang mahu Bang Cik ikut jejak Alang, ikut jejak Teh, ikut jejak Abang ngah dan ikut jejak orang-orang yang telah berjaya. Bang Cik juga mampu berjaya. Lakukanlah yang terbaik.

Adik Naim... adik saya paling bongsu. Rindu saya pada dia. Saya harap adik saya yang bongsu ini akan jadi harapan saya supaya dia akan ikut jejak saya. Dia saya harap akan disekolahkan di sekolah agama seperti ayah menyekolahkan saya 1992 dulu. Ayah beri peluang anak-anak ayah yang lain dengan bidang yang mereka suka. Saya di bidang agama, Teh dengan bisness, Alang di bidang teknik, Bang Cik di sekolah menengah biasa dan biarlah adik Naim akan ikut jejak saya di bidang agama. Sekurang-kurangnya perisai keluarga yang terakhir itu membela ummah nanti.

Walau di bidang apa sekalipun... ayah harap anak-anaknya semua berjaya. Itu harapan ayah yang saya yakini. Sebab itu ayah tidak mahu anak-anaknya lalai. Sebab itu ayah tidak suka anak-anaknya main-main dalam belajar. Sebab ayah mahu nasib anak-anaknya terbela. Untuk bela nasib anak-anak, ayah memberikan kami peluang untuk terus belajar selagi termampu.

Saya tahu ayah penat berkerja. Saya tahu emak juga begitu. Tetapi saya tidak tahu besar mana pengorbanan mereka terhadap kami adik-beradik. Sehingga mungkin kami tidak mampu membalasnya. Bila ingatkan pengorbanan mereka tersemat azam di dada, saya perlu lakukan yang terbaik untuk tahun ini. Ini tahun akhir saya dalam pengajian B.A Syariah Islamiah. Bidang yang saya pilih. Bidang yang saya minat. Justeru saya perlu berjaya cemerlang. Sebab saya kena jadi contoh pada adik-adik saya. Sebab saya kena balas budi ayah dan emak saya.

Saya harap doa kalian yang membaca catatan saya ini. Doakan saya berjaya. Peperiksaan saya untuk fasal ini mungkin selepas raya nanti. Allah memakbulkan doa orang yang berdoa untuk orang Islam yang lain padahal orang itu tidak mengetahui.

Saya harap, kalau saya selalu berdoa supaya orang lain berjaya... Ada orang lain yang turut berdoa supaya saya berjaya. Sekurang-kurangnya orang itu adalah ayah dan emak saya!

...bersambung...

 

12 November 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1