Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002
Reaksi: Setiap Manusia Punya Impian
Oleh: Akhi Masrawi
Kalau ditanya pada setiap manusia
apa impian mereka? Pasti mereka akan menjawab akan impian mereka itu. Kadangkala
impian seseorang itu adalah terlalu pelik berbanding impian orang lain. Mengapa
ini berlaku? Saya memberikan jawapan mudah untuk difikirkan; Barangkali kerana
hati manusia itu berbeza-beza. Justeru impian mereka juga berbeza-beza.
Jangan ketawakan impian orang lain, meskipun terhadap diri kita ianya sesuatu
yang remeh dan mungkin tidak akan berlaku. Ia tetap sebuah impian. Bagi
mencapainya perlukan pelbagai usaha yang tanpa mengenal erti jemu.
Mengapa impian ini berbeza? Agaknya selain manusia ini punya hati yang berbeza,
mereka juga dipengaruhi oleh beberapa aspek lain antaranya ialah persekitaran
mereka sendiri. Apa tidaknya! Saya masih ingat bagaimana seorang guru pernah
memberitahu dia pernah mendengar seorang pelajarnya memberitahu bahawa
cita-citanya hanya ingin menjadi seorang peraih beras di sempadan. Guru itu
bertanya kenapa dia berminat untuk menjadi peraih beras di sempadan? Pelajar itu
menjawab yang ayahnya berkerja sebagai peraih beras.
Persekitaran adalah merupakan aspek yang penting juga di dalam pembinaan sesuatu
impian. Seorang manusia yang sering terdedah dengan dunia perniagaan mungkin
akan mempunyai kecenderungan untuk terlibat di dalam dunia perniagaan tersebut.
Maka dia hanya melihat dunia perniagaan itulah sebagai impiannya.
Ada orang berkata: Sesuatu impian itu tidak bermakna tanpa usaha. Untuk mencapai
impian itu perlu ada usaha. Ini yang sering saya rasakan dalam hidup saya.
Meskipun saya mungkin agak berbeza dengan orang lain, tetapi impian saya itu
adalah ibarat api pembakar yang sering menyala-nyalakan semangat usaha saya.
Dulu sewaktu kecil dan masih belajar di sekolah rendah, saya cuma ada satu
impian iaitu saya ingin belajar di luar daerah saya. Ini bermakna saya ingin
berada agak jauh dari keluarga, belajar berdikari, hidup di asrama, basuh baju
sendiri, seterika baju sendiri, belajar berbelanja sendiri dan lakukan semuanya
sendiri. Ketika itu saya cuma ada satu peluang. Ini kerana saya mahu perubahan.
Semasa kecil jarak rumah dengan sekolah rendah saya dekat. Saya cuma berjalan
kaki atau menunggang basikal ke sekolah. Saya sering lihat kawan-kawan yang
tinggal agak jauh dari sekolah. Mereka pulang dari sekolah naik bas, bila datang
pagi-pagi pun naik bas juga. Dan akhirnya peluang itu menempatkan saya di
sekolah agama asrama penuh di Arau itu. Impian saya itu sudah tercapai ketika
itu. Saya mula melupainya.
Bila belajar di sekolah berasrama penuh yang sarat dengan disiplin dan sering
mengejar kejayaan di dalam peperiksaan, impian itu mula berubah kepada impian
pelajaran. Setiap kali hendak menghadapi peperiksaan bermakna maka saya akan
menaruh impian. Impian untuk dapat terbaik di dalam peperiksaan. Saya ambil
peperiksaan PMR tahun 1996. Dengan keadaan kesihatan saya yang tidak stabil
ketika itu, studi yang tidak sempurna saya bersyukur, meskipun impian saya tidak
tercapai; saya masih mendapat keputusan yang agak baik iaitu 6A 2B 1C.
Dalam peperiksaan impian adalah target. Orang kata kalau target dalam periksa
baik target paling tinggi sekurang-kurangnya kalau tidak dapat pun masih ada
peluang untuk dapat rendah sedikit dari target kita itu. Semasa SPM saya
meletakkan target saya mesti dapat pangkat 1 dengan 6 aggregat. Bila keputusan
sebenar keluar, saya cuma mampu dapat 8 aggregat dengan 5A1 3C3 1C4 dan 1C5.
Selain usaha, doa juga merupakan sesuatu yang tidak wajar dilupakan. Kejayaan
itu bukan manusia yang beri. Tiada lain, hanya Allah jualah yang
menganugerahkan. Oleh itu, bila kita ingat dengan usaha kita itu kita akan mampu
mendapat apa yang kita impikan - dan kita ditakdirkan tidak mendapatnya; kita
akan gundah. Tetapi jika pergantungan kita kepada Allah SWT maka sekalipun kita
tidak mendapatnya kita akan merasa tenang keranan itulah anugerah Allah dan
keredhaanNyalah yang kita cari.
Jangan letakkan sesuatu kejayaan itu semata-mata pada usaha yang kita lakukan.
Kerana kalaulah kejayaan itu hanya melalui usaha, nescaya tidak akan ada orang
yang sudah berusaha gigih tetapi masih gagal. Akan tetapi usaha itu cumalah
sebagai wasilah dan sebab untuk mendapatkan kejayaan.
Sehinggalah apabila saya datang ke Mesir, saya sering bertanya pada diri saya...
Apa impian saya? Dan diri saya sering menghindarkan diri dari memberikan jawapan
yang paling tepat sehingga saya sendiri merasa keliru dengan diri sendiri. Tidak
salah rasanya punya impian yang banyak, tetapi untuk mencapainya juga perlu
usaha yang banyak disamping pergantungan kepada Allah SWT.
Justeru, selain saya punya impian - saya juga percaya doa adalah senjata orang
beriman. Dan ada yang berkata kalaulah 40 orang berdoakan sesuatu kepada
seseorang dengan izin Allah perkara itu akan berlaku. Apa salahnya jika kita
doakan kesejahteraan kepada orang lain sedangkan apa yang kita doakan itu akan
kembali kepada diri kita. Jika kecelakaan yang kita doakan pada orang lain -
kecelakaanlah yang akan kembali kepada diri kita. Jika kebaikan yang didoakan
lambat laun kebaikan yang kita doakan buat orang lain itu akan dikembalikan
kepada diri kita selain orang itu juga mendapat kebaikan.
Doakanlah untuk kejayaan hidup saya dan di dalam peperiksaan yang akan saya
lalui tidak lama lagi... "Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah kejayaan cemerlang
kepada penulis Jurnal JALAN HIDUP ini di dunia dan di akhirat. Amin..." (Terima
kasih kerana doakan untuk saya). Kalian telah menolong untuk saya mencapai
impian saya. Semoga kalian juga akan dikembalikan kebaikan yang kalian doakan
untuk saya itu.
Oleh sebab setiap manusia punya impian, jadi tidak salah kita menolongnya untuk
mencapai impian tersebut.
23 Dicember 2002
© AHMAD TARMIZI ISMAIL