Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

 

Laporan: Pembentangan Kertas Kerja Muzik Menurut Kaca mata Islam

Oleh: Akhi Masrawi

Aku telah menghadiri pembentangan kertas kerja Muzik yang diadakan di Dewan Mahmud Syaltut pada 10 Ogos lalu. Pembentangnya ialah Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Hussin al-Minangkabawi.

Sebelum ini aku ada sedikit tasawur tentang muzik tetapi tasawur itu tidaklah terlalu jelas tentang hukum- hukum yang berkaitan dengan muzik. akan tetapi setelah menghadiri pembentangan kertas kerja itu dapatlah aku simpulkan beberapa perkara.

HUKUM NYANYIAN

1. Nyanyian tanpa alat muzik
2. Nyayian yang disertai dengan alat-alat muzik

Kesepakatan ulamak: Seluruh ulamak Islam mengharamkan segala bentuk nyanyian yang mengandungi unsur-unsur maksiat dan kederhakaan kepada Allah seperti lagu-lagu yang menyeru ke arah perbuatan maksiat dan penyanyi wanita yang berkelakuan tidak senonoh (lucah) dan sebagainya.

1. Nyanyian tanpa alat muzik:

Khilaf kepada 3 pandangan:

i. Golongan yang mengharamkan nyanyian secara mutlak. Pendapat ini daripada sebahagian Hanafiah dan sebahagian Hanabilah.

ii. Golongan kedua memandang makruh nyanyian tanpa alat merupakan pendapat mazhab Shafie.

iii. Golongan ke tiga berpendapat nyanyian tanpa alat harus selama mana tidak bercampur dengan perkara-perkara haram.

Konklusi perbincangan: Harus dengan syarat tidak mengandungi unsur-unsur maksiat dan kederhakaan terhadap Allah. Ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak antaranya Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr abdul Karim Zaidan, dr Wahbah zuhaili dan sebagainya.

2. Nyayian yang disertai dengan alat-alat muzik:

Berlaku khilaf di dalam perbincangan mazhab.

Konklusi perbincangan: Harus. Pendapat ini disokong oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi di dalam kitabnya 'Al-Islam wal-Fan' (Islam dan kesenian).

Hukum Mendengar Nyanyian wanita:

Seluruh ulamak islam telah bersepakat menyatakan harus bagi lelaki mendengar nyanyian yang dinyanyikan oleh wanita mahramnya, isterinya atau hamba wanitanya sendiri.

Khilaf: Adakah boleh lelaki mendengar nyanyian daripada wanita ajnabi.

i. Golongan yang membenarkan tetapi mensyaratkan agar tidak berlaku fitnah dan menimbulkan syahwat. Mereka ialah Imam Al-Ghazali, Ibn Hajar Al-'Asqalani dll.

ii. Golongan yang tidak membenarkan samada boleh menimbulkan syahwat atau tidak. Mereka ialah Ibn Qaiyyim Al-Jauziyah, Abu Al-Tayyib dan Dr Wahbah Zuhaili.

Konklusi perbincangan: Nyanyian daripada wanita hari ini berunsur negatif dan menyeru kepada maksiat serta menjurus kepada pergaulan bebas di kalangan umat Islam. wanita penyanyi itu pula tidak berpakaian menutup aurat sehingga menggayakan aksi-aksi ghairah sehingga menimbulkan fitnah dan membangkitkan syahwat. Justeru ulamak mengharamkan mendengar nyanyian seperti ini secara qati'e.

Akan tetapi jika penyanyi berpakaian menutup aurat dan menyanyi dengan bertepatan syariat Ilahi di samping tidak menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat maka harus berpandukan pandangan daripada Dr abdul Karim Zaidan.

Beberapa dhawabit atau syarat-syarat yang mesti dipatuhi untuk mengharuskan sesuatu nyanyian:

1. Isi nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah bertepatan dengan kehendak-kehendak Islam. Oleh yang demikian, segala bentuk-bentuk lirik nyanyian yang menyalahi syariat Allah Taala adalah haram.

2. Penyampaian nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam. Jelasnya Islam mengharamkan segala bentuk nyanyian apabila si penyanyi mendedahkan aurat, melakukan gerak badan yang tidak sopan ataupun si penyanyi mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang boleh menyebabkan fitnah serta ransangan nafsu yang kotor di kalangan penonton sekalipun lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu yang baik.

3. Suasana majlis hendaklah bertepatan dengan Islam. Percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sebarang sekatan dan had, majlis tari menari di kalangan dara dan teruna yang juga bukan mahram, berlakunya acara minuman keras dan seumpamanya merupakan faktor yang menyebabkan satu-satu agenda yang baik dari segi matlamat pada asalnya berubah menjadi satu bentuk penderhakaan kepada Allah lantaran maksiat yang mewarnai majlis tersebut.

4. Nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak dan kewajipan yang lain tidak terabai. Seperti solat, hak mencari nafkah, menuntuk ilmu dan sebagainya.

5. Setiap pendengar dan penonton adalah mufti kepada dirinya sendiri. Apabila satu-satu nyanyian adalah harus berdasarkan 4 syarat yang telah pun disebutkan, tetapi nyanyian ini telah menyebabkan penonton secara individu teransang nafsunya lantas mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak selayaknya difikirkan, maka ketika itu hendaklah si pendengar atau penonton menjauhi nyanyian tersebut disebabkan negatif yang timbul di dalam dirinya sendiri. Konklusinya setiap pendengar kepada satu-satu nyanyian yang halal adalah mufti kepada dirinya sendiri.

 

12 Ogos 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

 

Hosted by www.Geocities.ws

1