Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 5

Oleh: Akhi Masrawi

Memori di Sekolah Menengah

Kata orang zaman sekolah menengah atau zaman pelajar adalah merupakan zaman yang paling manis dan sangat seronok. Beberapa orang kawan saya pernah mengiyakan kenyataan ini. Mungkin ada yang berpendapat zaman belajar di peringkat univesiti lebih seronok berbanding zaman sekolah menengah. Apapun konklusinya zaman bergelar pelajar adalah zaman yang pernah mengukir bekas-bekas memori yang disimpan di dalam saku ingatan setiap yang pernah menjejak kaki dan melabuh punggung di bangku sekolah.

Saya tidak berapa ingat semua lipatan-lipatan memori itu. Zaman itu sudah berlalu. Zaman yang saya tempuhi sekarang jauh berbeza dengan zaman sekolah menengah itu. Saya sekarang berada di zaman pasca sekolah menengah, tetapi masih di dalam zaman perkuliahan sebagai seorang mahasiswa.

Bila teringatkan sekolah menengah ingatan saya berpinar-pinar. Kemudian pinar-pinar itu hilang begitu sahaja setelah beberapa kuntum senyuman terukir. Saya sendiri tidak arif bagaimana saya dihantar oleh ayah saya ke sekolah agama di mana semua pelajarnya terdiri dari kaum putera sahaja. Tiada puteri, tiada seri. Mungkin kerana saya sendiri yang menunjukkan minat dengan aliran agama sejak sekolah rendah lagi.

Suatu hari bila saya pulang dari sekolah rendah memberitahu mak yang saya disuruh oleh cikgu untuk menjadi imam solat mak berkata: Saya memang ada bakat jadi imam. Saya masih ingat apa mak kata. Meskipun mak mungkin hanya bergurau dengan saya, tetapi kini saya dapat membaca kiasan kata-kata mak itu yang tersirat segunung harapan yang amat tinggi. Sebab itu agaknya kedua orang tua saya hantar saya ke sekolah aliran agama.

Impian mak supaya anak lelaki sulungnya menjadi contoh buat adik-adik yang lain tidak mungkin saya kesampingkan. Saya juga mendapat bakaran semangat daripada guru-guru sekolah rendah saya ketika itu supaya saya sambung ke sekolah menengah aliran agama. Sekolah pertama yang menjadi sasaran saya kerana ke'gah'an nya ialah Maktab Mahmud Alor Setar.

Bulan Ogos saya dah ayah hadiri jemputan temuduga. Masa itu peperiksaan UPSR pun masih belum dijalani. Dalam sesi temuduga yang saya ikuti itu dibahagikan kepada dua slot. Pertama menjawab soalan bertulis dan kedua menjawab soalan lisan. Di dalam katogeri soalan lisan saya disuruh membaca Al-Quran, menghafaz mana-mana juzuk dari surah lazim dan menjawab beberapa soalan. Saya begitu yakin dengan jawapan yang saya jawab kepada ustaz yang menemuduga saya itu. Keyakinan itu membuatkan saya dapat rasakan yang saya lulus dan akan diterima masuk ke Maktab Mahmud tersebut.

Bila habis sesi temuduga ayah tanya saya boleh atau tidak. Saya tersenyum sambil mengangguk.

Selain Maktab Mahmud Jalan Pegawai Alor Setar, saya juga ada memohon untuk belajar di SMKAK, SMKA Arau. Kedua-dua sekolah tersebut menyediakan aliran agama yang dibiayai oleh kerajaan pusat secara terus, bukan seperti sekolah agama rakyat yang lain. Maktab Mahmud pula saya tidak tahu dibiayai oleh siapa?

Malangnya rezeki tidak menyebelahi saya untuk hasrat itu. SMKAK saya tiada peluang sebab pengambilan bersyarat mesti sekurang-kurang 3 A ke atas. UPSR saya cuma 2 A 2 B. Cikgu Nol (Guru Besar sekolah rendah saya waktu itu) mencadangkan saya memohon Sekolah Menengah Agama Arau (SMKAA) di Perlis. Ini kerana katanya 2 A sudah memenuhi syarat kelayakan memohon. Justeru saya membuat permohonan ke SMKA Arau. Permohonan itu saya buat selepas keputusan UPSR keluar.

Cikgu Nol yang banyak menolong. Anaknya Amirul Azli tidak pula digalakkan masuk sekolah agama. Saya sendiri tak faham. Amirul memilih untuk bersekolah sekolah menengah biasa. Sebaliknya saya yang digalakkan oleh Cikgu Nol untuk sambung di aliran agama. Sewaktu sekolah dah nak bercuti ayah datang jumpa Cikgu Nol sebab saya dapat tawaran untuk kelas khas di sekolah men TP. Jadi ayah dipanggil untuk berunding.

Ayah memang pada mulanya gembira dengan tawaran yang saya dapat itu. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar dan tinggal di asrama percuma dan dapat biasiswa setiap bulan. Tetapi sewaktu berbicang dengan Cikgu Nol hari itu, Cikgu menyuarakan sebuah sekolah agama di Arau yang katanya lebih baik berbanding SMKAA. Saya sendiri tidak tahu sekolah itu sekolah apa pada mulanya. Cuma yang saya dapat gambarkan sekolah itu mestilah sekolah agama juga.

Cikgu beri kami borang permohonan. Selain saya seorang kawan saya turut membuat permohonan juga ke sekolah itu. Seperti kelaziman adanya temuduga, maka saya dan ayah bertolak pula ke Perlis untuk hadiri temuduga. Seperti kisah temuduga di Maktab Mahmud, saya lepasi temuduga dengan cemerlang. Saya masih ingat saya disoal oleh cikgu Syed Murtadza: antara soalannya yang masih saya ingat, "kalau diterima masuk ke sekolah ini kamu nak duduk di asrama atau tak?" Saya jawab. Saya nak. Dan itulah yang sebaiknya.

Masa cuti lepas darjah 6 itu, kawan-kawan, saudara-mara, jiran-tetangga selalu bertanya saya nak sambung ke sekolah mana. Saya kata saya nak bersekolah di luar dari pulau. Saya nak tengok dunia luar. Masa itu saya belum tahu samada yang menjadi pilihan saya adakah Maktab Mahmud atau ALMAAD. Tetapi saya yakin saya akan dapat salah satu di antara kedua sekolah tersebut.

Bila cuti sudah semakin nak habis, kawan-kawan yang dulunya (masa di sekolah rendah menangis sedih-sedih sebab hari perpisahan) akan bertemu semula di sekolah menengah daerah. Mungkin kalau mereka terpisah pun hanya berpisah kelas sahaja. Tetapi saya? Saya akan berpisah dengan mereka. Sekolah daerah saya yang tawarkan kelas khas itu saya tolak secara baik selepas saya dapat dua surat. Surat pertama dari pentadbiran Maktab Mahmud dan surat kedua dari pentadbiran ALMAAD.

Surat pertama menyatakan dukacita dan bla...bla..bla. Manakala surat kedua agak tebal berserta beberapa lampiran termasuk penyata yuran, kelengkapan wajib asrama, tawaran pengajian, dan beberapa pamplet lain. Saya gembira amat. Sekurang-kurangnya waktu itu kalau mereka tanya saya di mana saya akan sambung belajar saya dengan yakin akan menjawab di sekolah Yayasan Islam Perlis di Perlis. Tetapi melihat pada yuran yang agak mahal (sebab sekolah itu berada bukan di bawah pentadbiran kerajaan pusat) maka saya sendiri tak sampai hati untuk memaksa ayah supaya menghantar saya juga-juga.

Ayah berfikir agaknya. Meskipun untuk menyekolahkan saya di sekolah agama yang menjadi harapan mak ayah terpaksa membelanjakan banyak wang untuk itu, ayah tetap dengan pendiriannya untuk saya dihantar ke sana juga. Akhirnya terciptalah sejarah saya menjadi pelajar sekolah agama secara rasmi. :)

Sehingga kini saya masih berfikir dan terus bersyukur dengan segala percaturan dan ketentuan yang telah Allah takdirkan pada saya. Apa tidaknya? Saya berjaya menjejak kaki ke Mesir sekarang pun mungkin sebab takdir yang telah ditentukan suatu masa dulu ialah saya diterima belajar di ALMAAD kalau saya diterima atau memilih sekolah lain belum tentu saya sekarang akan berada di sini. Mungkin orang selalu berkata itu semua hanyalah kebetulan. Tetapi harus kita ingat! Prinsip kebetulan itu ialah apabila sesuatu perkara itu hanya terjadi sekali sekala sahaja. Itulah yang dinamakan kebetulan. Sebaliknya jika sesuatu perkara itu sebenarnya telah dirancang dengan teliti pastinya kejadiannya memerlukan kita selaku manusia sentiasa berfikir dengan mendalam.

Semasa saya lepas PMR, kami beberapa orang sahabat baik beriya-iya untuk menyambung tingkatan 4 di SMKA Kedah. Kononnya pada masa itu ada beberapa faktor yang mendorong. Antara yang masih saya ingat ialah kurang minat kami untuk terus belajar di ALMAAD disebabkan terikat dengan peraturan sekolah dan sebagainya. Itulah jiwa remaja, tidak mahu langsung terikat dengan peraturan; meskipun peraturan itu mengajar kita menjadi baik. Dan antara aspek lain termasuklah aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah yang pada pemerhatian kami (warga sekolah) nampak kucar-kacir.

Dengan keputusan PMR 6A 2B 1C saya sebenarnya tidak berpeluang untuk terpilih ke mana-mana sekolah berasrama penuh yang lain. Antara sekolah yang menjadi impian saya ialah KISAS, SMKA Persekutuan Labu, SMKAK, dan beberapa lagi yang telah kabur di ingatan saya. Tapi kawan-kawan saya yang keputusan mereka lebih baik menganggap saya tidak layak ke KISAS. Pengambilan ke KISAS hanya untuk mereka yang dapat sekurang-kurangnya 7A 2B. Tetapi paling utama ialah yang dapat 9A dan 8A 1B.

Tetapi apapun halnya kami isi juga borang SBP yang diambil di Jabatan Pendidikan Negeri. Kalau dapat maka dapatlah. Kalau tidak dapat apa boleh buat.

Salah seorang kawan saya yang dapat 9A, Izzudin (sekarang belajar perubatan di UM rasanya) mendapat tawaran dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena. Dia minat aliran Sains tulen. Tetapi lain pula halnya dengan Anuar di mana dia lebih suka untuk kekal di ALMAAD di tingkatan 4. Naim, Pidi, Pakjo juga begitu. Mereka di antara yang keputusan terbaik. Azam ke Sekolah Teknik Arau sebab minat di bidang itu. Saya? Akhirnya saya kekal di situ juga bersama yang lain.

Siapa yang menyangka hasil kekal di situ keberkatanNya terlimpah. Di situlah kami melukis warna-warna kehidupan bersama-sama. Merutini kehidupan sebagai warga asrama selama hampir 7 tahun. Hidup sebagai pelajar sekolah putera yang berasrama penuh. Dikekang dengan kongkongan peraturan dan disiplin. Bangun awal, hadiri solat jemaah, ke kelas ulangkaji 2 kali sehari, untuk makan kena berbaris sebanyak 3 kali atau lebih setiap hari, mandi mengikut turutan, berbaris di perhimpunan sekolah setiap hari, dan banyak lagi rutin asrama yang biasanya dialami oleh mereka yang pernah bergelar hostel student.

Sepanjang tujuh tahun itulah kami ketawa bersama, kami bergurau bersama, kami bergaduh dan kemudian berbaik semula, bersukan bersama, mandi-manda bersama, bergotong-royong bersihkan tandas dan kolah mandi di samping kawasan sekolah, didenda bersama, langgar peraturan bersama dan akhirnya majoriti kami menyambung pelajaran ke Mesir bersama-sama. Ribat kami utuh. Ukhuwah kami padu.

ALMAAD lah medan semua itu. ALMAAD lah tempat kami ditarbiyah sedemikian. Manis atau pahit itulah yang sama-sama kami lalui. Kalau diberikan satu sudut masa yang ada ingin rasanya untuk kami kembali bertemu dan bersua muka, bertanya khabar dan menguatkan semula ukhwah yang telah terjalin. Tetapi masa yang kami idamkan itu, Hanya Allah sahajalah yang tahu. Biarlah Dia jua yang menentukan. Kita? Hanyalah berdoa dan terus berdoa.


...bersambung... (Catatan Nostalgia di Bulan Ramadhan tahun 1424)

 

16 November 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

 

Hosted by www.Geocities.ws

1