Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Duit: melupakan kita!

Oleh: Akhi Masrawi


Apa yang diperlukan untuk membuat keputusan? Tentu boleh disenaraikan. Tetapi untuk melaksanakan teori-teori itu kadangkala tidak tercapaikan oleh si pembuat teori itu sendiri.

Saya memilih beberapa teori untuk menyelasaikan masalah. Masalah pertama: masalah duit. Saya mengemukakan teori sendiri, apabila saya tidak ada duit saya perlu memintanya daripada orang yang boleh memberi say duit. Jika di zaman persekolahan saya dulu, duit adalah benda yang paling susah saya nak minta dari ayah. Ini mungkin sebab saya menyedari ayah bukan orang kaya. Jadi kehidupan saya dipengaruhi oleh keadaan ayah yang sedemikian. Jika saya perlu menggunakan juga duit itu, saya akan meminjam dari kawan-kawan saya. Meminjam atau berhutang adalah perkara yang saya tidak suka meskipun saya terpaksa melakukannya dalam waktu-waktu tertentu. Ini mungkin kerana apabila meminjam, saya juga perlu bersedia untuk membayarnya semula. Jadi proses yang diperlukan untuk membayar semula ialah memikirkan bagaimana untuk mendapatkan duit lagi. Sebab itu dari kecil saya selalu 'segan' untuk meminjam duit.

Semasa tinggal di asrama ayah biasanya membekalkan saya Rm 100 hampir setiap bulan. Jumlah itu tidak tetap. Kadang-kadang kurang dan adakalanya melebihi dari jumlah asal. Duit itu saya gunakan untuk membayar yuran asrama yang ketika itu bernilai Rm 60 sebulan. Jadi dari baki membayar yuran asrama itulah saya gunakan sebagai saraan hidup sepanjang sebulan. Dalam sebulan saya yang belajar di sekolah berasrama penuh dibenarkan pulang bercuti dua kali sebulan. Peluang bercuti kadangkala merunsingkan saya. Saya akan pulang ke rumah emak saudara saya di Jitra, sementara sekolah saya di Arau. Duit untuk tambang juga perlu difikirkan. Untuk pulang atau tidak pulang? Biasanya saya memilih untuk pulang.

Saya merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada mereka yang pernah menghulurkan saya duit. Terima kasih. Ini kerana dengan huluran mereka itu saya mampu memiliki beberapa perkara yang tidak mungkin saya miliki jika saya tidak dihulurkan duit-duit tambahan tersebut. Menerima duit seperti menerima hadiah pada saya. Kalau ditolak mungkin pemberi akan berkecil hati, justeru menerima adalah sikap menghargai pemberian. Untuk lebih menghargai saya gunakan untuk sesuatu yang penting.

Itulah hari-hari lalu saya!

Hari-hari hidup sebagai orang saraan. suatu hari nanti saya pula yang akan menjadi penyara. Justeru saya perlu bersedia menjadi pengurus duit yang cekap. Ini kerana dengan kecekapan akan menyelamatkan banyak perkara. Teori-teori yang lain akan terus tercipta untuk menyelesaikan pelbagai masalah tersebut..

Tetapi selalunya kita mudah lupa. Betullah kata Dr M: Melayu mudah lupa [Tetapi-Melayu-bukan-pelupa]. Ini kerana orang yang mudah lupa selalunya dikaitkan dengan perkara lain. Perkara yang saya maksudkan itu banyak satu darinya adalah duit. Bila Melayu disogokkan dengan duit, Melayu mudah lupa. Bila ada duit ramai yang lupa untuk bersyukur pada Tuhan. Bila ada duit ramai yang sangka duit itu hasil usahanya semata-mata... sedangkan duit itu adalah rezeki. Dan rezeki datangnya dari Allah. Masa saya tidak ada duit, saya meminjam dari kawan-kawan. Budi mereka saya hargai. Tetapi bila saya ada duit mereka pula tiada bolehkah saya jadi seperti mereka? Kadang-kadang saya lupa saya pernah ditolong orang. Saya lupa untuk menolong orang lain pula. Tetapi saya bukan pelupa.

Beberapa hari lepas pinjaman saya diluluskan. Alhamdulillah. Saya bercadang untuk tidak dihebohkan tentang itu. Ini bertujuan kerana saya mahu menunaikan satu impian saya iaitu untuk memilik 'JASA'. Untuk memiliki Jasa saya perlu menggunakan wang pinjaman itu. Sekiranya dihebohkan mungkin ada ramai dari kalangan kawan-kawan saya yang nak meminjam wang dari saya. Saya kadang-kadang berasa sedih, kerana waktu saya 'sengkek' tak ada yang mahu menghulurkan bantuan kepada saya. Tetapi bila mereka tahu saya ada 'lebih' berebut minta saya belanja, minta saya kasi pinjamlah, minta saya tolong beli itu dan ini dan sebagainya. Saya sedar saya tak patut lupa, mereka tak beri saya pinjam ketika saya 'kering' tetapi saya lagi tidak wajar kalau membalas sebegitu. Ini kerana saya memang kena lupa apa yang mereka buat dekat saya!

Tapi, walau bagaimana pun impian saya untuk memiliki Jasa akan saya dahului. Saya mencipta teori lagi. Biarlah apa yang mereka nak kata. Mereka sendiri tahu saya amat memerlukan Jasa. Saya dah maklumkan pada ibu dan ayah saya yang saya mahu memiliki Jasa melalui emel. Lebihan dari duit yang akan digunakan untuk memiliki Jasa akan saya gunakan untuk sara hidup. Saya harap sebelum duit Jasa habis untuk tujuan lain, baik saya simpan awal-awal. Sebab saya takut kalau-kalau saya akan terlupa yang duit itu untuk memiliki Jasa.

Saya bersyukur pada Allah dengan rezeki yang saya terima. Jalan Hidup, sekarang aku bahagia. Walaupun bahagia itu tidak selalu. Saya sudah berbincang dan ambil pandangan beberapa kawan tentang impian saya itu. Oktober nanti Jasa akan menjadi teman saya. Dan paling tidak Jasa adalah hadiah hari lahir saya (16 Oktober).

 

20 September 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1