Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Luahan: Impian sebagai penulis prolifik

Oleh: Akhi Masrawi

Jangan tertawa dahulu membaca topik ini. Tunggu!

Pernah mendengar nama-nama seperti SN Shahnon Ahmad? A. Samad Said, A. Samad Ismail, Azizi Hj Abdullah? Allahyarham Usman Awang? Zaharah Nawawi? Subki Latif? Fudzail? Uthaya Sankar SB? Ann Wan Seng? Faisal Tehrani? Mawar Shafie? Ahmad Lutfi Othman? Tarmizi Mohd Jam? Suria Janib? dan ramai lagi tidak aku sebutkan. Mungkin anda pernah membaca tilisan-tulisan mereka yang mengisi penerbitan tanahair.

Perbezaan genre? Benar! ada dari kalangan nama-nama yang aku sebutkan itu menulis dalam bidang kreatif alias sastera seperti novel, cerpen, puisi dan sebagainya. Ada pula yang menulis sebagai kolumnis- kolumnis tabloid tempatan dan memusatkan penglibatan dalam genre artikel. Apapun, mereka aku senaraikan sebagai penulis prolifik.

Adakah mereka lahir dan terus menjadi terkenal? Aku rasa setiap orang mempunyai satu jawapan yang sama. Tidak kiralah dimana anda bermula, yang penting di mana anda berakhir. :)

Apa bezanya mereka dengan penulis-penulis jurnal? Mereka menulis untuk media bercetak tetapi jurnalis menulis untuk jurnal online sendiri. Mereka mengetuk keybord komputer seperti kita mengetuknya. Tetapi ketukan mereka diprint dan dicetak, kita??? disawangkan dalam jurnal sendiri.

Kalaulah aku utarakan kepada penulis-penulis jurnal online satu persoalan:" adakah anda menaruh harapan ingin menjadi penulis prolifik seperti nama-nama yang aku sebutkan itu?" Jawaplah dengan penuh jatidiri. Tapi, bukan senang!

Justeru adakah dengan aktif menulis di jurnal online boleh juga dinilai sebagai penulis prolifik? Satu lagi persoalan. Kalaulah dengan menulis di jurnal online boleh dinilai sedemikian... orang pertama yang aku ingin nobatkan sebagai penulis prolifik ialah orang yang menulis setiap hari di jurnalnya. Ada penulis jurnal seperti itu? Mungkin sukar bukan. Tidak semua jurnalis mampu menulis setiap hari. Kalau pun mampu menulis setiap hari tidak ramai yang mampu online untuk memasukkan entry tersebut setiap hari.

Banyak perkara yang dinilai terhadap sesuatu penulisan. Bermula dari aspek genre penulisan sehinggalah aspek penggunaan bahasa. Di dalam dunia jurnal boleh dikatakan aspek penggunaan bahasa adalah sesuatu yang anjal. Tidak tetap. Tidak semua penulis (jurnalis) menggunakan bahasa Malaysia yang diiktiraf sebagai bahasa persuratan. Ada yang lebih mesra menggunakan bahasa slanga, bahasa daerah, bahasa chat dan seumpamanya. Apapun itu hak masing-masing sebagai jurnalis.

Sepanjang menyelongkar jurnal-jurnal online milik jurnalis yang lain; penilaian aku hanya beberapa jurnal sahaja boleh dinilai sebagai menepati dari aspek bahasa tersebut. Kebanyakan yang lain lebih mesra menumpukan gaya bebas. Namun tidak dinafikan walaupun menggunakan gaya bebas yang tidak membosankan, pembaca jurnal jenis tersebut juga lebih terbuka kepada apa-apa jua aspek perbincangan. Malah penulis pula bebas memperkatakan tentang apa juga hal.

Mungkin nama-nama seperti Encik Khairul (yang menulis tentang catatan dunia kerjaya), Mat Jan (dengan kehidupan sebagai YB di IPTnya dengan gaya komedi), Fajar (tentang puitisnya romantika kehidupan), Sera dan Rudy Bluehikari (gaya yang menyentuh perasaan dan melankolik), Jigo (dengan penterjemahan apa yang dibaca dan difikirkan), Raymizie (catatan perjalanan), Enmiya (menterjemah impian dan karyanya untuk bergelar sasterawan), Tok Rimau dengan (komentar sosial dan keluarga), Pujangga dengan gaya (...?...) dan ramai lagi... dengan gaya yang tersendiri.

Tidak mustahil weblog atau online jurnal mampu menyaingi media tradisional sebagai alternatif dunia penyiaran. Dan hambatan itu kini makin hampir apabila semakin ramai yang membuka mata terhadap dunia ini. Bukan sahaja mereka yang mempunyai 'kepakaran' dalam bidang IT mampu membina weblog @ jurnal tetapi bagi yang tiada kepakaran juga. Namun apa yang hendak dipersoalkan di sini... Adakah penulis-penulis online jurnal boleh dinobatkan sebagai penulis-penulis prolifik yang setaraf dengan penulis-penulis prolifik di media bercetak? Fikir-fikirkanlah...

7 September 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1