Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002
Rencana: Sanggahan Terhadap Metod Sisters in Islam
Oleh: Akhi Masrawi
Jika Subki Latif yang terkenal
dengan catatan Min Aina Ila Aina dalam Akhbar Harakah juga sebagai kolumnis
laman web Harakahdaily.net malah penulis beberapa tabloid dan majalah tempatan
pernah menyatakan pendiriannya bahawa status Sisters In Islam (SII), sebuah NGO
di Malaysia sebagai kumpulan orang-orang mengaji tak berguru, saya lebih
cenderung berkata status Sisters In Islam sebenarnya adalah sebagai kumpulan
orang-orang tak mengaji tetapi berlagak menjadi guru.
Antara saya dan Subky Latif tentu jurang terlalu jauh membezakan. Subki seorang
penulis terkenal, sebaliknya saya hanya siapa? Kalaupun saya 'berkokok' dengan
lantang sekali berkata begitu terhadap status SII mereka mungkin tidak perlu
langsung untuk ambil kesah atau merasa tergugat. Siapalah saya untuk melabelkan
SII sebagai kumpulan orang-orang tak mengaji tetapi berlagak menjadi guru itu.
Namun saya tetap berpendirian sebegitu hatta sekarang. Ini jelas kerana SII
lantang berbicara persoalan seputar agama Islam bagai seorang syeikh!
Tentu masih di ingatan, sewaktu negara digemparkan dengan isu Kerajaan
Terengganu pimpinan Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang membentangkan enakmen
undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) untuk dilaksanakan di negeri
itu, SII turut mengambil bahagian memeriahkan suasana. Tetapi bukan untuk
menyokong enakmen itu dilaksanakan, sebaliknya menimbulkan beberapa persoalan
supaya enakmen itu berjaya digagalkan. Inilah peranan penting SII ketika itu.
Siapa sebenarnya SII untuk membincangkan isu enakmen undang-undang jenayah
syariah itu? Adakah SII 'sukarela' politik parti tertentu untuk menentang
pendirian kerajaan Terengganu dari gabungan Barisan Alternatif itu? Kalaulah
Subki mentelaah SII sebagai kumpulan orang-orang mengaji tak berguru, tentu
sahaja pembaca tulisan subki itu sudah mampu menangkap maksud yang dilontarkan
Subki. Subki tidak akan berkata begitu jika SII tidak mencerminkan apa yang
dikata Subki. Masakan pokok bergoyang andai angin tidak bertiup.
Selain sebagai sebuah NGO yang berlatarkan perjuangan mempertahankan hak-hak
kewanitaan dalam masyarakat kononnya, SII juga merupakan badan yang sering
membicarakan persoalan agama Islam secara bebas. Peranan ini samalah seperti
beberapa pertubuhan yang lain yang sering membicarakan tentang persoalan seputar
agama Islam.
Melihat kepada senario tanahair, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) merupakan badan
NGO yang paling bertanggung jawab penuh menjelaskan letak duduk perkara sebenar
berhubung Islam. Tetapi persoalannya mengapa SII harus menampilkan diri melebihi
PUM sedangkan mereka sendiri tidak jelas apa itu Islam yang sebenar.
Persoalan siapa menaja SII bukanlah perkara yang perlu diperbincangkan. Ini
kerana SII sendiri merupakan NGO yang licik bermain tari di pentas persada
tanahair. Inilah yang merunsingkan ulamak-ulamak Islam di Malaysia. Misalnya
dalam permasalahan Fiqh berhubung wanita, SII dengan rakus mempersoal itu dan
ini. SII dengan berani mempertikai ijtihad ulamak-ulamak muktabar dalam era
perkembangan Fiqh suatu masa dahulu. Apa gunanya perkembangan fiqh pada era
tersebut jika SII yang hanya wujud pada abad ke 20 mempersoalkannya semula?
Sememangnya tidak dinafikan bahawa ijtihad dalam persoalan fiqh berlaku
perselisihan. Tetapi perselisihan tersebut hanya berlaku dalam persoalan cabang
dan yang terdedah kepada ijtihad kerana terdapat beberapa perselisihan dalil.
Manakala dalam persoalan berkaitan kewajipan solat lima waktu, kewajipan puasa
dan selainnya yang merangkumi persoalan ibadat, muamalat, munakahat, jinayat,
siasah dan sebagainya ijma' telah menjadikan dilalah dzanni ke martabat qati'e.
Tindakan SII mempersoalkan keharusan poligami, relevankah iddah bagi isteri yang
diceraikan atau fasakh, persoalan sekitar cerai, dan beberapa perkara lain
berkaitan kekeluargaan Islam yang turut dipersoalkan menampakkan identiti SII
yang seolah membuka pekung di dada sendiri.
Perlu diingatkan sesuatu peruntukan di dalam fiqh Islami adalah diistinbat
(diambil) dari nas-nas yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Manakala
peruntukan-peruntukan lain yang tiada nas adalah dzan yang lahir daripada
ijtihad mengikut disiplin ilmu yang mapan. Di dalam mengeluarkan pandangan semua
mujtahid mutlak seperti Imam 4 mazhab mempunyai kaedah usul fiqh yang tersendiri
bagi menentukan sesuatu hukum fiqh. Berbanding pertubuhan Sisters in Islam,
apakah kaedah yang mereka gunakan? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah kaedah
akal dan dorongan nafsu semata-mata.
Berbalik kepada persoalan enakmen undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan
Qisos) yang dibentangkan, SII turut menyuarakan pandangannya. Di antara
persoalan popular yang diketengahkan ialah masalah berkaitan dengan qazaf
terhadap wanita mangsa rogol yang diperuntukkan dalam enakmen tersebut, apabila
wanita itu tidak mampu mengemukakan saksi terhadap pendakwaannya. SII menyatakan
bahawa peruntukan tersebut bersifat menzalimi kaum wanita sehinggakan mereka
yang tidak mampu mengemukakan saksi tidak mampu menghadapkan pendakwaan dan kes
itu berakhir begitu sahaja.
Bagi SII apalah sangat hudud dan qisos itu. Perlaksanaan hukuman melalui
peruntukan enakmen tersebut dilihat kejam, diskriminasi, berlaku kecelaruan,
pertindanan dan sebagainya. Bagi SII perlembagaan persekutuan telah pun
memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan jenayah tersebut yang berada di bawah
bidang kuasa persekutuan. Malah, rang enakmen cadangan tersebut mempunyai
peruntukan-peruntukan penghukuman yang jauh melampaui batas kuasa yang telah
ditetapkan bagi Kerajaan negeri serta akan mewujudkan peruntukan yang bertindan
memandangkan beberapa kesalahan di bawah rang undang-undang ini telah pun
termaktub di dalam undang-undang Persekutuan. Ini bermakna, bagi sesetengah
kesalahan, akan wujudnya dua sistem perundangan yang bercanggah.
SII melihat undang-undang persekutuan sama sekali tidak bercanggah dengan
prinsip-prinsip perundangan Islam memandangkan undang-undang jenayah Islam
memberikan ruang yang luas bagi pembentukkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan
berbentuk ta'zir. Tetapi pada dasarnya SII langsung tidak memahami apakah
kesalahan-kesalahan yang telah ditetapkan 'had' dalam Al-Quran adakah masih
boleh dihitung sebagai kesalahan bercirikan ta'zir? Ta'zir hanya dikenakan bagi
kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat nas 'had' yang tertentu. Ini bermakna
bukan semua kesalahan boleh dikenakan ta'zir semata-mata.
SII kemudiannya merujuk kepada peruntukan perlembagaan Artikel 8(1) yang
bermaksud setiap orang mempunyai hak yang sama disisi undang-undang. Sedangkan
enakmen Jenayah Syariah itu memperuntukkan pilihan bagi orang bukan Islam untuk
memilih samada mahu diadili melalui undang-undang itu tetapi tiada pilihan bagi
Umat Islam. SII mendakwa ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan Artikel
8(1) tersebut. Justeru SII mempertahankan prinsip kesetaraan yang dianjurkan
oleh perlembagaan persekutuan.
SII melihat Islam melalui sudut yang sangat sempit. Pandangannya hanya tertumpu
pada prinsip kesamarataan yang dicanangkan, malah mereka hanya melihat kedudukan
adil hanya apabila kesetaraan dilaksanakan. Dengan itu SII berpandangan
pembentukan undang-undang setelah adanya peruntukan undang-undang persekutuan
(Malaysia) adalah sesuatu yang tidak relevan sedangkan persoalan adakah
perundangan sivil yang sedia ada menepati keadilan sebenar? SII bingung
memutarkan idea akalnya.
Keadilan dalam Islam tidak dilihat apabila kesetaraan dikuatkuasa sedangkan
kesetaraan itu tidak menepati tempat dan kesesuaiannya. Sebagai contoh mudah:
seorang bapa yang adil terhadap dua anaknya di mana seorang anaknya adalah
lelaki dan seorang lagi adalah perempuan perlu menyediakan keperluan anaknya
bersesuaian dengan jantina anak-anaknya. Sekiranya untuk memperlihatkan prinsip
kesetaraan yang dicanangkan SII adalah lebih baik si ayah membelikan pakaian
yang sama sedangkan pakaian yang dibeli si bapa hanya boleh menutup aurat anak
lelakinya, tidak aurat anak perempuannya. Ini kerana pakaian itu hanya sesuai
bagi anak lelakinya. Adakah si bapa berlaku adil terhadap kedua-dua anaknya?
Untuk memperlihatkan adil si bapa; dia mestilah membelikan pakaian yang sesuai
kepada anak-anaknya yang berlainan jantina itu meskipun pakaian itu tidak sama
jenis. Meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya barulah boleh dinilai sebagai
adil. Bukan semata-mata kesetaraan.
Meskipun tidak boleh dinafikan terdapat kelemahan yang terdapat di dalam enakmen
jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) Terengganu tersebut, namun kelemahan tersebut
adalah berpunca dari masalah teknikel dan boleh dikatakan itulahlah resam
apabila sesuatu perkara baru diperingkat permulaan kebiasaannya terdapat
kelemahan. Akan tetapi kelemahan tersebut bukanlah bermaksud untuk
memperlihatkan ketidaktelusan perundangan Islam. Itulah kelemahan yang perlu
diakui oleh manusia sebagai makhluk yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan
dan kesalahan. Akan tetapi tindakan SII menghentam dan menempelak Kerajaan
Terengganu yang beria-ia hendak melaksanakan perundangan Islam itu adalah
tindakan yang wajar disifatkan mempunyai niat jahat. Sekiranya SII sendiri
mengakui bahawa perundangan Islam adalah perundangan yang terbaik mengapa
dipersoalkan tentang kelebihan peruntukan perundangan persekutuan, Pertindanan
kehakiman dan penghukuman, pelaksanaan penghukuman sivil memadai dan sebagainya.
Ini jelas menunjukkan SII bukan Cuma hendak mempersoalkan tentang enakmen
jenayah syariah itu dari sudut ketidakadilan terhadap mangsa rogol, tetapi SII
sendiri tidak mengiktiraf perundangan Islam. Dengan sebab itu SII berusaha
mencari kesalahan atau kekurangan yang terdapat supaya boleh dikelirukan dan
sekaligus akan menyebabkan masyarakat menolak perundangan Islam.
Samada SII memang begitu atau SII bermotif lain, saya sendiri tidak pasti. Akan
tetapi jika dilihat SII dari sudut idealisme mereka lebih mirip kepada kelompok
orentalis di mana orentalis mempergunakan nama Islam sebagai perjuangan mereka
dan dalam masa yang sama merosakkan Islam itu sendiri. Samalah seperti apa yang
SII lakukan hari ini, cuma kelompok orentalis mungkin lebih merbahaya daripada
SII.
Barangkali SII dan UMNO tidak ada apa-apa hubungan. Tetapi prinsip dan metod
mereka terhadap enakmen tersebut adalah mirip. SII seolah-olah mampu menjadi
jurucakap kepada UMNO untuk mengelirukan masyarakat.
Justeru, senario enakmen tersebut bukan hanya berlegar di arena perbincangan
Ilmiah, malah melibatkan pergelutan wahana politik. Hudud dan Qisos itu mirip
kepada PAS. Dengan sebab itu UMNO menempelak pelaksanaan hudud tersebut bermotif
politik untuk memancing undi dalam pilihan raya akan datang. Dato' Harun Taib,
orang terpenting dalam penyediaan enakmen itu pernah berkata, "Kalau ia untuk
memancing undi, UMNO boleh meluluskan hudud di negeri lain dan boleh meraih
undi." Akan tetapi UMNO tidak melakukannya, malah tidak berhasrat untuk
meluluskannya meskipun sudah lebih 40 tahun Barisan Nasional (UMNO) memerintah
setelah Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957.
Oleh kerana hudud menjadi kontroversi, belum tentu pengundi yang dikelirukan itu
boleh mengundi PAS. Tetapi kerajaan Terengganu bertegas walaupun ia terpaksa
kalah.
Untuk mencapai keredaan Allah. Walau pun kerajaan PAS Terengganu terpaksa kalah
di hadapan Allah, kami redha, kata Pemangku Presiden PAS itu.
Konklusinya, SII tidak layak bercakap persoalan Islam. Ia sudah dan sedang
keliru serta bakal mengelirukan.
Tamat.
tersiar di laman web:
http://www.SuaraAnum.com
19 November 2002
© AHMAD TARMIZI ISMAIL