Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002
Luahan: Berkomunikasi dengan berkesan!
Oleh: Akhi Masrawi
Semalam saya dan kawan-kawan
menghadiri iftor jamai'e. Tahu apa itu iftor jamai'e? kalimah atau perkataan
dari bahasa Arab yang bermakna: berbuka puasa secara beramai-ramai.
Barangkali yang pernah belajar di sekolah agama alias sekolah arab tahu
perkataan iftor jamai'e tersebut walaupun jarang menggunakannya. Kalimah itu
popular di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir terutama di bulan Ramadhan
seperti ini.
Namun begitu tidak semua menggunakan perkataan iftor jamai'e. Ini kerana ia
menunjukkan makna berbuka secara jamaah. Biasanya kebanyakan hanya menggunakan
iftor. Akan tetapi sekiranya ada majlis berbuka puasa yang dianjurkan persatuan
atau individu-individu tertentu majlis itu dinamakan iftor jamai'e.
Perkataan seperti iftor hanya popular digunakan pada bulan Ramadhan. Sebagaimana
perkataan ma`idah rahman (hidangan kenduri yang biasanya disediakan oleh
masyarakat tempatan di bulan Ramadhan untuk majlis iftor (berbuka)). Pada
bulan-bulan lain perkataan ma`idah rahman amat jarang digunakan.
Begitu juga perkataan yang akrab dengan pelajar di sini yang lain seperti
perkataan aiwah, masyi, syukran, ala fikrah, Allah yukhallik, Allah yukrimak,
izaiyak, amil eih dan sebagainya. Sebenarnya perkataan-perkataan yang saya
sebutkan itu amatlah luas dan popular penggunaannya di dalam komunikasi harian
di antara siswa Malaysia dengan masyarakat tempatan malah juga sesama kami.
Mungkin jika sudah pulang ke Malaysia nanti setelah tamat pengajian
perkataan-perkataan itu sudah tidak tergunakan lagi. Pun begitu beberapa orang
kawan saya (pelajar Mesir juga) yang pulang bercuti pada cuti semester lepas
bercerita yang mereka masih terguna kalimah-kalimah arab yang telah terbiasa
digunakan di sini di dalam pertuturan sesama mereka.
Seorang kawan malah pernah terguna di dalam komunikasi bersama orang kampungnya.
Bila ditanya dan dia menjawab dengan menggunakan uslub arab ammiah (pertuturan)
Mesir. Melucukan bukan? Ini kerana orang yang tidak pernah hidup di Mesir dan
tak menguasai bahasa ammiah tidak dapat memahami apa yang dipertuturkan.
Justeru bahasa adalah alat komunikasi yang perlu digunakan dengan berkesan.
Sesuatu komunikasi selain melihat kepada aspek-aspek lain seperti gerak badan,
tingkah laku, riak wajah, pandangan mata, kedudukan jarak, bahasa juga memainkan
peranan yang amat penting. Mustahil seseorang manusia yang tidak pernah memahami
bahasa lain mampu memahami kehendak komunikasi kecuali sedikit apabila
digabungkan dengan aspek komunikasi yang lain seperti gerak isyarat, riak wajah
dan alat bantu.
Saya bercakap di dalam bahasa Arab ammiah kepada seorang rakan yang tidak
memahami bahasa tersebut dan dia membalas dengan menggunakan bahasa Rusia
sedangkan saya tidak memahami bahasa itu pula, adakah saya mampu membina jalinan
mandala komunikasi yang berkesan? Jawapannya tentulah tidak.
Dua tahun lepas saya pernah menghadiri satu program di mana di dalam program
tersebut saya dibentangkan dengan satu kertas kerja yang bertajuk: "KOMUNIKASI
BERKESAN PARA KEPIMPINAN." Melalui kertas kerja itu saya mendapat beberapa
perkara yang sepatutnya merubah diri saya.
Kalau saya sebelum ini tidak pernah menitik beratkan aspek komunikasi ini
sehingga saya tidak peka terhadap kaedah-kaedah yang sepatutnya berlainan
apabila berkomunikasi supaya menjadi berkesan, saya sebenarnya memperlajari
sedikit demi sedikit. Ini kerana setiap hari kita harus berkomunikasi dengan
manusia yang lain. Dan peringkat-peringkat mereka berbeza. Sasaran komunikasi
kita itu boleh jadi seorang yang lebih berumur dari kita, seorang yang lebih
muda dari kita, sebaya, lebih berkedudukan, rendah kedudukan, setaraf, berilmu,
jahil, berlainan jantina dan sebagainya. Ini semua harus dinilai sebelum
melakukan sesuatu komunikasi yang berkesan. Justeru perhatikan!
Kaedah pertama:"Sahkan kewujudan seseorang." Berkomunikasi dengan cara
memberikan perhatian kepada orang yang menjadi teman komunikasi kita. Antara
perhatian yang paling bersar ialah memandang dan berhadapan dengannya apabila
berkomunikasi. Seseorang manusia secara fitrahnya mahu dia tidak disisihkan oleh
orang lain. Jadi sekiranya kita tidak acuh pada teman komunikasi mungkin akan
menyebabkan dia beranggapan kita telah menyisihkan dia. Rasulullah sendiri
diajar supaya tidak menyisihkan manusia di dalam penyampaian dakwahnya. Meskipun
orang itu hanyalah seorang hamba berkulit hitam.
Kaedah kedua:"Menyebut untuk menyatakan penghargaan." Sekiranya ada orang yang
menanam budi kepada kita, haruslah kita menyebut kebaikan dia kepada dirinya
supaya dia merasa budinya atau usahanya dihargai. Ini penting bagi para
kepimpinan. Pekerja bawahan akan merasa dihargai apabila kerjanya dipuji oleh
ketuanya.
Kaedah ketiga:"Bahasa." Penggunaan bahasa yang bersesuaian adalah amat penting
supaya sesuatu komunikasi itu dapat berlaku dengan berkesan. Adalah amat rugi
apabila bahasa yang indah tidak digunakan di dalam komunikasi setiap hari.
Seseorang yang sedang hangat bercinta sewaktu menulis surat cintanya berusaha
dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup mengoyak surat yang tidak sesuai,
mencari kalimah-kalimah yang paling terbaik, dan merujuk buku-buku dan kamus
untuk memastikan suratnya menjadi wasilah komunikasinya yang paling berkesan.
Mengapa kita tidak mengaplikasikan senario tersebut di dalam perhubungan harian
kita? Adakah kerana kita malu dengan suasana? Yang pastinya jika kita terlalu
egois untuk merendah diri, memuji orang lain sekali-sekala, menghormati,
menunjuk sayang... kita sebenarnya memilih untuk tidak didekati oleh sesiapa
pun!
Gunalah bahasa yang terbaik di dalam komunikasi. Seimbangkan di antara bahasa
yang formal dan unformal. Melihat kepada situasi amat penting supaya mampu
menilai siapa teman komunikasi kita. Apabila sudah mengenali mudahlah untuk
menjalin komunikasi.
Bagaimana bahasa yang digunakan untuk komunikasi dengan keluarga? dengan
kawan-kawan? teman istimewa? ketua? perkerja bawahan? Tentunya perbezaan ini
menjadikan kita menganalisa komunikasi yang pernah kita lakukan sebelum ini.
Kaedah keempat: "Meyakinkan orang lain terhadap diri kita." Untuk meyakinkan
orang lain terhadap diri kita memerlukan teknik yang dipelbagaikan. Kaedah ini
amat penting bagi seseorang kepimpinan. Pun begitu tidaklah bermakna sekiranya
anda bukan seorang kepimpinan kaedah ini tidak penting. Untuk meyakinkan orang
lain terhadap diri kita perlulah kita membentuk diri menjadi modus operandi
alias suri tauladan sehingga orang mengkagumi dan yakin pada diri kita.
Pembentukan akhlak, perangai dan sikap adalah amat penting. Seseorang yang
berakhlak baik sebenarnya mempunyai peluang diyakini oleh orang lain.
Kaedah kelima: "Meluangkan masa untuk orang lain." Jangan menolak pelawaan orang
lain meskipun dia hanyalah orang bawahan anda. Sekiranya dijemput menghadiri
sesuatu majlis di dalam keadaan anda juga tiada kelapangan untuk menghadiri
kerana diundang ke majlis lain yang lebih awal, jangan terus menolak. Terimalah
dengan berkata: Saya akan berusaha untuk hadir. Atau meolak dengan meminta maaf
dan menyatakan sebab adalah lebih baik dari terus membiarkan penjemput
tertunggu-tunggu anda hadir. Sekiranya anda sudah berkeluarga, luangkanlah masa
untuk aktiviti keluarga supaya anda mampu menjalin hubungan kasih dan sayang
sesama ahli keluarga anda. Sekiranya ada seorang kawan anda yang memerlukan
pertolongan anda luangkanlah masa untuk membantunya kerana ia akan menambahkan
kepercayaan dan keakrabannya terhadap anda. Bayangkan jika anda menjauh dan
menolak, apakah yang dia rasa saat itu? Selain kecewa dan marah! Apakah anda
tidak merasa bersalah?
Kaedah keenam:"Menghargai orang lain." Banyak cara untuk menghargai orang lain.
Di antaranya dengan memberikan hadiah hari lahir, memberikan kad ucapan,
membalas pemberian, mengucapkan tahniah dan memuji kejayaan, belanja makan
siang/malam, mengundang ke majlis yang anda anjurkan, menunaikan janji dan
sebaginya. Dengan menghargai orang lain anda telah menanam kasih sayang dia
terhadap anda. Kepercayaan dia terhadap anda terbina sedikit demi sedikit.
Begitu juga dengan memulakan majlis/mesyuarat tepat pada masa yang dijanjikan
sebagai menghargai orang yang dapat awal bukan memberi peluang untuk orang
datang lewat ditunggu sehingga majlis menghargai kedatangan mereka yang lewat
itu.
Bagaimanapun apa yang saya tulis di sini bukanlah mencakupi keseluruhan teknik
atau kaedah komunikasi yang saya percaya masih banyak. Sekiranya kita mampu
membentuk 6 kaedah tersebut sekurang-kurangnya komunikasi kita akan lebih baik
berbanding sekiranya mengabaikan.
Adakalanya kita tidak mampu menggunakan kesemua apa yang dimiliki untuk
berkomunikasi akan tetapi walaupun kadangkala kita hanya menggunakan satu atau
dua aspek sahaja seperti hanya mampu berkomunikasi secara bukan lisan atau
penulisan semata-mata kita masih punya peluang untuk berkomunikasi secara
berkesan. Bagaimana orang bisu boleh memahami di antara satu dengan lain?
Bagaimana ibu menanamkan kasih sayang terhadap anaknya yang masih tidak boleh
berkata-kata? Bagaimana seorang penjaga kucing mampu menjinakkan kucingnya?
Semua ini adalah komunikasi yang kurang dari sudut penggunaan aspek tetapi masih
boleh berkesan.
Selain bertutur, komunikasi juga boleh dilakukan dengan melihat kepada aspek
lain seperti sentuhan (berjabat tangan), air muka, isyarat dan persekitaran.
Dengan memerhatikan aspek-aspek lain seperti yang saya nyatakan itu anda juga
mampu berkomunikasi dengan berkesan.
Untuk mewujudkan kasih sayang perlu banyak sentuhan. Berjabat tangan, memeluk,
dan mencium akan mudah menimbulkan mesra. Tetapi perlulah digunakan di tempat
yang sesuai. Seorang ibu lebih banyak membelai dan menyentuh anaknya menyebabkan
jalinan kasih di antara si anak dan ibu lebih akrab berbanding anak dengan
ayahnya, kecuali sekiranya si ibu tidak melakukan aspek sentuhan tersebut...
jalinan kasih itu akan berpindah.
Orang bisu yang menggunakan bahasa isyarat dan riak wajah mampu menyelami maksud
yang disampaikan meskipun komunikasi mereka kekurangan dari aspek pertuturan.
Ini kerana mereka memberikan tumpuan pada gerak badan, kedudukan, riak wajah,
mata, posisi tubuh, jarak dan sebaginya yang selalunya diabaikan oleh orang yang
boleh bertutur.
Justeru adalah amat berharga jika kita yang diberikan pancaindera yang cukup
memanipulasikan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya. Ucaplah syukur dan
berdoalah kepada Tuhan kerana dengan mengucap syukur kita dan menggunakan
anugerah di tempat yang baik kita akan mendapat kebaikan dan keberkatan di sisi
Allah SWT.
Hari ini saya perlu hadir satu lagi majlis iftor jamai'e. Harapnya bila dengar
iftor jamai'e pada lain kali kalian sudah tahu apa maksudnya!
21 November 2002
© AHMAD TARMIZI ISMAIL