Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

 

Komentar: Mangga & Hukum Ekonomi

Oleh: Akhi Masrawi

Semasa belajar ekonomi asas di sekolah menengah dulu, cikgu ekonomi aku selalu mengingatkan supaya kami menghafal beberapa hukum ekonomi. Antara yang paling popular ialah hukum permintaan dan penawaran. Apa yang masih aku ingat (kalau salah sila betulkan) hukum bagi permintaan: "Apabila permintaan meningkat (tinggi) dan penawaran berkurangan maka, harga barangan akan turut meningkat"... begitulah berlaku jika sebaliknya iaitu: "Apabila permintaan berkurangan sedangkan penawaran berlebihan maka harga barangan akan turun.

Manakala hukum bagi penawaran pula: "Apabila penawaran meningkat dan permintaan berkurangan maka harga akan jatuh (menjadi rendah) dan apabila penawaran berkurangan sedangkan permintaan berlebihan (tinggi) maka harga barangan akan meningkat (naik).

Baru-baru ini aku dan kawan-kawan singgah untuk membeli mangga (mempelam) di salah sebuah gerai buah mangga. Kami sememangnya sedar kedai mangga di situ boleh di katakan banyak berderet-berderet. Kesemua gerai menjual (menawarkan) buah mangga dari jenis yang sama. Harga yang menjadi kebiasaan ialah sekitar sekilo Le 3.00-Le 4.00 sahaja. Boleh dikatakan berpatutan kerana mangga yang ditawarkan adalah dari jenis yang baik manis. Akan tetapi malang kami hari itu kerana apabila bertanyakan harga yang ditawarkan lebih mahal dari harga biasa.

Kami mula mengintai gerai yang lain. Malangnya harga yang ditawarkan juga mahal. Aku mengcongak sendiri. Mungkin disebabkan jumlah kami yang ramai maka kemungkinan disebabkan permintaan yang banyak maka harga kepada penawaran (mangga) meningkat. Kalaulah mangga itu terhad (penawaran sedikit) maka berbaloilah jika harga penawaran menjadi tinggi disebabkan permintaan yang banyak (berlebihan). Sayang sekali... jikalah hukum ekonomi boleh berubah atau bila permintaan meningkat maka harga yang ditawarkan juga menurun... sudah tentu akan berlaku lebih banyak penawaran. Atau dalam bahasa yang mudah... jika hari itu, harga mangga itu murah sebab permintaan kami banyak, sudah tentu kami beli banyak mangga. Tapi malang... peniaga hari tu lebih nampak keuntungan segera dengan menaikkan harga, maka kami (pembeli) terpaksa membeli dengan harga yang tinggi... meskipun penawaran mangga tidak terhad.

Akhirnya... kami pulang tanpa beli mangga! Alasannya.. kami berkira-kira, peniaga akan merasa rugi nanti sebab tidak menawarkan harga yang berpatutan kepada kami... sehingga kami menafikan pembelian.

 

5 Ogos 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

 


 

Hosted by www.Geocities.ws

1