Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Cetusan: Hang Tuah sebuah lagenda?

Oleh: Akhi Masrawi

Seorang kawan bawa vcd filem P. Ramli kisah 'Hang Tuah'. Pernah tengok cerita Hang Tuah? Kisah hang tuah dikatakan adaptasi dari lagenda Melayu. Mengapa ianya tidak dinamakan adaptasi dari sejarah Melayu? Persoalan yang memerlukan pendapat dari kalian!

Hang Tuah membunuh Jebat? Kalau melihat vcd filem tersebut sedikit terkilan kerana ada beberapa babak di dalam filem tersebut yang telah dipotong. Babak-babak tersebut bukanlah babak-babak lucah seperti kebanyakan yang diharamkan finas. Tetapi itu versi yang ada warna. Cerita P Ramli adalah filem hitam putih tetapi keistimewaan filem Hang Tuah ianya diwarnakan.

Khalayak penonton pasti akan membuat kesimpulan yang bermacam-macam selepas menonton filem itu. Tetapi kebanyakan yang menonton bersama aku menyimpulkan pemusatan kesilapan terletak pada Hang Tuah. Konklusi yang boleh dibuat setelah Hang Tuah (P. Ramlie) bertanya di akhir filem siapakah yang benar?

Lagenda akhirnya kekal lagenda. Jebat menderhaka kerana bela Tuah. Tuah sanggup bunuh Jebat kerana ketaatan pada sultan. Lupakah Tuah? Melur kekasihnya yang datang dari gunung Ledang terperangkap di istana? Tuah terpaksa bermuslihat untuk mendapatkan Tun Teja yang ayu itu untuk diserahkan ke tangan sultan? Lupakah Tuah sultan menghukumnya bunuh tanpa usul periksa kerana mendapati dia bertemu dengan Melur di istana atas perancangan Patih Karma wijaya? Lupakah Tuah pada persaudaraannya dengan Jebat.

Ya... memang Tuah lupa. Memang Tuah tidak betah ingat itu semua. Yang ada pada Tuah hanya ketaat setiaannya pada sultan. Itupun sultan tidak sedar, apa yang Tuah lakukan untuknya...

Akhirnya Taming sari yang Tuah gunakan untuk mendapatkan pangkat di istana itulah yang digunakan untuk membunuh Jebat.

Kata mereka: "Jebat derhaka patut terima padah.

Kata Mak Tuah: "Jangan Jebat, Tuah sudah tiada, Jangan pula kau mengikut jejaknya."

Kata Jebat: "Kematian Hang Tuah mesti kami tuntut bela Mak Long." dan "Sebenarnya Hang Tuah tidak mati, dia tidak boleh mati, dia hidup dalam tiap jiwa tiap-tiap orang." dan "Jebat Tak kan mati, hanya Tuah sahaja yang boleh membunuh Jebat." dan "Tuah akan ku bela Jebat akan bermaharajalela." dan "Suatu masa nanti kalau sesiapa bertanya kenapa Jebat menderhaka tentu orang akan menjawab kerana rajanya yang tidak adil." dan "Kerana kaulah aku berbuat ini semua Tuah." "Kalaulah aku tahu kau masih hidup Demi Allah dan Rasul tidaklah aku berbuat demikian Tuah!"

Kata sultan Melaka:"Kalau Hang Tuah ada, dialah yang dapat menghapuskan malu."

Kata orang-orang Melaka: Hidup Hang Tuah, Hidup Laksamana.

Tetapi apa pula kata Hang Tuah?

Kata Hang Tuah:"Di dalam tubuh saya hanya mengalir satu perasaan saja iaitu taat setia pada raja saya." dan "Saya akan menanggung kesal seumur hidup" dan terakhir: "Saya tidak menangis dan saya tak mau menangis. Jika saya mengeluarkan semua air mata saya pun tak kan dapat membasuh lumuran darah pada tubuh si Melur dan Jebat. Mereka telah mengorbankan nyawa mereka kerana kematian saya padahal saya masih hidup! Siapakah yang benar? Jebatkah benar? atau Akukah benar?"

 

13 September 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

Hosted by www.Geocities.ws

1