Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2002

Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 4

Oleh: Akhi Masrawi

Mercun oh Mercun!

Mak marah kami (adik-beradik) main mercun. Kata mak: mercun bahaya. Kalau meletup, boleh putus jari. Justeru kami tidak berani main mercun kerana ingatkan pesanan mak itu. Saya sering berfikir masa kecil-kecil dahulu... Kalaulah jari saya putus (kudung) saya akan menjadi cacat untuk seumur hidup. Oleh kerana saya tidak mahu jadi kudung saya tidak berani untuk main mercun.

Tetapi semua itu hanyalah menjadi ketakutan sementara. Apabila saya seriang melihat kawan-kawan saya bermain mercun tetapi jari-jari mereka tidak pula kudung atau terputus. Bagaimana mereka bermain mercun sedangkan jari mereka tidak terputus. Pandangan saya mula berubah: main mercun tidak memutuskan jari.

Walaupun mak tidak bagi kami adik-beradik bermain mercun, tetapi mak masih benarkan kalau kami hendak bermain bunga api. Mungkin sebab bunga api kurang merbahaya berbanding mercun. Bunga api tidak meletup, mercun meletup dan menakutkan. Justeru pada peringkat awal kami hanya bermain bunga api. Kalaupun teringin untuk melihat letupan mercun kami akan hanya melihat kawan-kawan kami bermain mercun. Dan mercun meletup... kebommm!

Untungnya kerana kami adik beradik diajar dan dididik supaya berpuasa semenjak sebelum sekolah lagi. Bila berumur 7 tahun dan masuk darjah satu, berpuasa menjadi kebiasaan bagi kami adik beradik. Saya sendiri belajar berpuasa semenjak berumur 6 tahun. Tetapi waktu itu berpuasa ibarat takut main mercun kerana akan putus jari samalah berpuasa kerana ayah membuat tawaran sesiapa berpuasa sahaja akan dibelikan baju raya. Untuk mendapatkan baju raya mestilah berpuasa. Kalau tidak berpuasa tidak dibelikan baju baru.

Berpuasa semasa usia kanak-kanak memang menyeronokkan. Kalau pandai berlakon terlalu letih kerana keluarga tidak terjaga sahur besar kemungkinan dapat berbuka pada waktu tengahari. Tetapi kalau bersahur pun sudah tetapi 'berlakon' letih juga mak dan ayah tidak hiraukan. Puasa curi-curi itu kami namakan puasa 'yak yup' bila lapar buka periuk. Tetapi amalan puasa semenjak kecil terbudaya dalam keluarga saya. Selain saya, adik-adik yang lain juga terdidik sedemikian.

Apalah yang kami (ketika) itu paham tentang puasa? Selain dua perkara iaitu pertama tidak boleh makan dan kedua tidak boleh minum. Kerada kedua-dua perkara tersebut akan membatalkan puasa. Saya pernah tanya kalau terlupa: Mak kata kalau lupa tak apa, tapi tak boleh buat-buat lupa. Kalau makanan masih dalam mulut cepat-cepat luahkan dan berkumur. Kalau dah ditelan itu jadi rezeki. Kami hanya kenal puasa pada pengertian yang sempit sahaja.

Bila sudah belajar sampai ke sekolah agama semasa peringkat menengah barulah saya lebih faham yang sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dipuasakan. Selain berpuasa dari lapar dan dahaga, kita juga kena berpuasa dari melakukan maksiat sebagai contoh melihat kepada perkara yang haram, bercakap tentang perkara yang ditegah dan mengumpat, berburuk sangka, mendengar perkara yang tidak baik dan sebagainya. Selain itu saya juga mula mengetahui banyak perkara sebenarnya yang boleh menyebabkan puasa terbatal di mana secara tidak sedar perkara tersebut pernah saya buat semasa saya berpuasa pada usia kecil-kecil dulu.

Tetapi usia itu apalah yang saya faham. Saya harap pada usia tersebut Allah mengampunkan saya. Atas sebab itu di dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman mafhumnya bahawa puasa adalah ibadat yang akan dinilai oleh Allah sendiri. Ini kerana dengan ibadat lain manusia boleh melihat dan menyaksikan ditunaikan. Tetapi puasa adalah perkara yang rahsia di antara hamba dengan penciptanya sahaja. Siapa yang akan tahu kalau seorang yang berpuasa meneguk air di tempat yang tidak diketahui orang? Siapa yang akan tahu kalau orang yang berpuasa makan di rumahnya bersendirian? melakukan maksiat yang boleh membatalkan puasa dan seumpamanya.

Melihat budak-budak Arab di Mesir yang asyik dengan 'sarukh' alias 'sawarikh' (mercun) mereka saya kembali terkenang zaman kanak-kanak yang dipenuhi nakal-nakal dahulu. Meskipun mak sudah melarang dari bermain mercun, tetapi apa yang dilarang kebiasaannya itulah yang paling kita suka buat. Jadi saya bermain juga mercun secara sembunyi-sembunyi dari pengetahuan mak. Bila mula mencucuh satu mercun dan meletup... kebommm! maka rasa kegembiraan menyelinap di sanubari jiwa kebudak-budakan tika itu.

Mercun yang saya beli itu, saya asing-asingkan. Yang untuk dimain siang dan untuk dicucuh pada sebelah malam. Kebiasaannya kalau mercun papan yang berwarna merah itu saya main pada sebelah siang dan mercun roket atau nama glamernya 'thunderclep' (maaf ejaan tidak pasti) dimainkan pada waktu malam selepas solat Tarawikh berjemaah di masjid. Mula-mula saya letakkan mercun itu ditempat yang startegik kemudian dengan menggunakan mancis atau kayu yang sudah bernyala saya mencucuh dan lari jauh dari mercun. Saya pun tidak tahu kenapa saya lari jauh. Adakah kerana saya takut meletup di tangan atau takut dengan bunyinya yang menggila. Kemudian bila dah agak pakar sikit membakar mercun saya tidak perlu untuk lari-lari lagi, saya suma pegang mercun, nyalakan mancis dan cucuh serta campakkan mercun itu jauh dari saya. Ada kalanya boleh bergurau dengan kawan-kawan dengan mencampakkan mercun itu pada arah mereka. Bila meletup dan ketakutan kami sama-sama ketawa.

Masa asyik dengan mercun-mercun itu larangan mak tentang bahaya bermain mercun mula terlupa. Rasa bersalah pun tidak pernah wujud waktu itu. Zaman kanak-kanak yang kita kenal cumalah keseronokan semata-mata. Tanpa perlu memikirkan tentang perkara yang lain.

Bila dah mula bermain mulalah menjadi keseronokan. Untuk membeli mercun saya terpaksa mengumpul duit sendiri atau menyimpan duit sekolah yang diberikan ayah untuk tujuan 'murni' itu. Tetapi mungkin disebabkan harga mercun yang agak tidak murah saya kemudiannya menjadi tidak berminat sangat dengan mercun. Dan saya bersyukur mercun semakin kurang dan lenyap di pasaran setelah zaman itu berlalu.

Walaupun di Mesir tidak ada sesiapa yang melarang dari bermain mercun yang dijual di sini, tetapi minat dan keseronokan bermain itu tidak sama seperti pada zaman budak-budak dahulu. Biarlah budak-budak di Mesir terus bermain mercun dan sesekala menggemparkan saya dengan melontarkan mercun pada arah saya (bila meletup mereka ketawa ramai-ramai) dan saya hanya mampu bersabar kerana suatu zaman nanti mereka juga akan berubah. Bila mereka sudah mampu berfikir sebagaimana orang-orang dewasa berfikir mereka hanya akan meninggalkan kenangan lalu sebagai nastalgia yang sering mengintai ingatan.

Jadi kalau mak sudah larang, main pula merugikan mengapa perlu main lagi? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Tetapi sejauhmana kita berfikir tentang perkara itu sewaktu kecil saya sendiri tidak mampu memberikan jawapan kerana itu hanyalah kenangan di zaman lalu. Dan kini saya telah meninggalkan zaman itu. Apakah ia akan berulang lagi?
 

...bersambung...

 

14 November 2002

© AHMAD TARMIZI ISMAIL
 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1