SKENS ONLINE
 
 
 
KANDUNGAN
 
TINTA PENA EDITOR  
FOKUS UTAMA   
FOKUS UTAMA (2)  
PERSONALITI  
EKSKLUSIF  
BULETIN BAKANS  
SYABAB MUSLIM  
MUSLIMAH  
TASAUF  
SURAT PEMBACA  
KEPIMPINAN ISLAM   
MAHASISWA SANA SINI  
TAZKIRAH  
IDEA  
MENITI HIDUP  
ENGLISH SECTION  
SESEKALI LEBAH MENYENGAT  
TAHUKAH ANDA  
CERPEN  
CERITA  
PUISI INDAH  
 
MUSLIMAH  :  ANTARA NILAIAN KACA DAN PERMATA 
 
 

   Wanita terkenal dengan kelembutannya, namun kelembutan ini tidaklah bererti wanita itu bersifat dengan segala  sifat kelemahan. Di sebalik tabir kelembutan inilah, terselindung kilauan mutiara yang telah menjadi idola Islam  zaman-berzaman dalam menggemilangkan   Islam di mata dunia. Muslimah beridentiti gemilang inilah yang  pernah menjadi sayap kiri dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah. 

   Keruntuhan dan kegawatan yang berlaku pada hari ini terutamanya yang melibatkan muslimah 
membuahkan persoalan, di manakah muslimah yang berjiwa kental seperti Saidatina Aisyah atau Ummu  Habibah, mutiara Islam yang lahir dari tapak berlumpur dan lain-lain yang tercatat dalam sejarah agung Islam?  Apakah mutiara ini hanya wujud dan bersinar pada zaman tersebut dan tidak zaman-berzaman? 
 
FENOMENA MUSLIMAH HARI INI   

   Fenomena luka yang telah berlaku, kita telah kehilangan mutiara Islam terbesar ini yang lebih besar dari  pemergian seorang ulama kerana telah terbukti tangan muslimah  mampu menggoncang dunia. Lantaran itu,  hilanglah mutiara dan lahirlah kaca yang pudar kilauannnya, tempang dalam tindak tanduknya dan tidak terarah.  Adakalanya keterlaluan dalam sesuatu perkara tetapi mengabaikan dalam perkara yang lain. Kedapatan yang  menjaga syariatnya tetapi mempermudahkan kebersihan diri dan jiwanya. Berpegang pada agama tetapi tidak  menjaga lisannya dari mengumpat dan menyakiti orang lain. Melaksanakan ketaatan kepada suaminya tetapi  gagal dalam hubungan kekeluargaan. Menjaga hubungan dengan orang lain tetapi melalaikan tuntutan istiqamah  dalam menambah ilmu dan pengetahuan. Berikrar ingin menegakkan daulah tetapi gagal menyelesaikan masalah  sendiri, lantas hidup dalam dunia angan-angan, alam fatamorgana, ummah terbiar tanpa pembelaan dan  sokongan. Menjadikan afdalunNisa' sebagai idola tetapi dite-rima pakai pada luarannya bukan untuk dalamannya 
dan sebagainya. 

   Islam tidak pernah bersikap diskriminasi dalam menghukum dan menjelaskan sesuatu hukum, tetapi kita yang menjuzukkan pengambilan hukum. Firman Allah Taala yang bermaksud 
“Apakah kamu beriman dengan setengah daripada kitab dan kufur dengan setengah yang lain”. 

    Islam memberi dan tidak menanti pemberian tetapi kita mengambil Islam setelah mengira sebesar mana  bahagian yang diambil  menghasilkan keuntungan pada diri. Kita berpuashati dengan melihat keikhlasan dari  kacamata sendiri bukan dari kacamata Islam. Lantaran itu, kita berada jauh dari keikhlasan yang sebenar. Inilah  muslimah yang hilang identiti dan kekuatan jiwa tapi tidak menyedarinya. 
 
PERMATA SEBENAR  

   Kalau suatu ketika dulu, muslimah bersyakhsiah tinggi ini amat diperlukan dalam memartabatkan Islam, kegawatan yang berlaku hari ini lebih-lebih lagi menagih muslimah seperti ini. Islam mengambil berat permasalahan umatnya dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya. Justeru, Al Quran dan As Sunnah memaparkan syakhsiah-syakhsiah penting yang perlu dilaksanakan dan dijaga dalam membentuk muslimah berkredibiliti unggul iaitu syakhsiah muslimah terhadap Tuhannya, dirinya, kedua ibubapanya, suaminya, anak-anaknya, persemendaannya, kaum kerabatnya, jirannya, saudara dan sahabatnya serta masyarakatnya. 

   Islam merangka sebuah  kehidupan yang cukup lengkap dan utuh dalam membina keperibadian muslimah. Cumanya muslimah itu sendiri lalai dalam mencari dan menerimapakai cara tersebut. Rangka inilah yang perlu diwujudkan walau di mana jua muslimah berada. Misalnya, dalam pemilihan seorang suami, muslimah perlu menyerlahkan kematangan dan pegangannya agar tidak mudah goyah apabila terpaksa menerima pilihan keluarga yang tidak memenuhi kehendak agama. Kekuatan jiwanya  juga tidak lemah ketika dilamar oleh lelaki yang mempunyai rupa atau harta atau kedudukan dalam masa yang sama  lelaki tersebut tidak memenuhi tuntutan seorang suami di sisi Islam. Begitu juga dalam menjalani fatrah pertunangan muslimah tidak mudah terpedaya dengan desakan tunangan untuk melakukan perkara yang menjatuhkan dan menggadai maruah diri dan keluarga. Malah setelah berkahwin muslimah mampu untuk menambahkan saham suaminya dalam meningkatkan kematangan berfikir dan menyelesaikan masalah. Dalam menghadapi karenah hidup berumahtangga di samping sibuk dengan tugas yang lain, terserlah kekuatan jiwa dan imannya terutama tatkala menghadapi suami yang menggugat akidah dan agamanya. 
 
MENJELMAKAN ROH IDOLA SRIKANDI ISLAM  

   Idola pilihan Islam, Ummu Sulaim binti Milhan dan anak-anaknya memaparkan kecekalan dan kekuatan imannya dalam keadaan suaminya Malik bin Nadir berada dalam kekufuran dan menentang Islam. Begitu juga contoh thabat yang ditunjukkan oleh Ummu Habibah binti Abu Sufyan dalam mempertahankan akidah dan agamanya pada hari suami kesayangannya murtad. 

   Suatu perkara asas atau mauqif yang perlu dijaga oleh muslimah ialah menjaga agamanya, kesuciannya aqidahnya dan menjadi muslimah yang diredhai oleh Allah. Sekiranya muslimah ini tidak mempunyai kekuatan syakhsiah yang tinggi dan tidak merasakan kemuliaan dirinya sebagai seorang muslimah nescaya dia tidak dapat mempertahankan aqidahnya apatah lagi dalam mempertahankan maruahnya. Namun begitu, kekentalannya tidaklah menyebabkan dia terkeluar dari garisan mentaati seorang suami, bergaul dan melakukan kebajikan kepada suaminya dan orang lain.Siapa sahaja yang menemuinya pasti merasa tenang di atas sikapnya yang berpakaian dengan pakaian iman dan taqwa.Bahkan kekuatan yang ada membentuk dirinya mampu 
mempertimbangkan sesuatu perkara dengan bijaksana, dapat mengawal perkataan dan perbuatan, tidak cetek pemikirannya dalam bertindak dan tidak terburu-buru. Walaupun dalam keadaan marah dia masih bertindak berdasarkan kekuatan iman dan jiwa yang kuat. Saidatina Aisyah Ummul Mukminin yang terkenal dalam arena srikandi Islam yang berperibadi tinggi, mempunyai sifat redha yang mendalam terhadap Tuhan dan RasulNya. Segala perilakunya disulami dengan adab dan penuh kehormatan.

   Peristiwa Aisyah ditimpa fitnah semasa pulang dari peperangan Musthalik adalah merupakan satu peristiwa yang Allah jadikan untuk menguji Rasulullah SAW dan seluruh umat Islam pada zaman tersebut. Dalam peristiwa ini jugalah jelas terpapar kekentalan Aisyah sebagai muslimah yang sabar dan mempunyai keimanannya dan kepercayaan pada Allah dalam membela dirinya. 

   Ibn Qayyim berkata, Semasa ujian ini didatangkan Allah telah menahan wahyu kepada Rasulullah SAW selama sebulan kerana Aisyah dan untuk mendatangkan hikmahnya yang telah diqada' dan qadarkan. Seterusnya dapat dilihat kehebatan syakhsiah Aisyah dari segi ma'rifatnya, kekuatan imannya, ketauhidannya dan keyakinannya terhadap Allah dalam membebaskannya dari kesalahan yang tidak dilakukannya dan keyakinannya terhadap suaminya Rasulullah saw. 

   Apakah masih ada wanita hebat seperti Aisyah pada zaman ini? Seharusnya muslimah yang mempunyai kecintaan yang tidak bertepi pada Khaliknya dan agamanya., mempunyai semangat yang tinggi untuk menjelmakan jiwa Ummul Mukminin ini di dalam dirinya. Kealpaan muslimah dalam mengenali muslimah-muslimah hebat Islam inilah yang meraih mereka untuk menyintai dan memakai pakaian wanita barat dalam kehidupan seharian. 

   Walaupun mereka telah sekian lama tiada tetapi roh jihad dan ketaqwaan mereka masih membara. Lantaran itu, muslimah perlu menggembeling tenaga dalam menjelmakan roh-roh ini ke dalam diri  mereka dan meniupkannya ke dalam jiwa insan yang lain, demi menyelamatkan muslimah dan dunia hari ini dari keruntuhan. 

Oleh : Rozimah Dros

HOME
 
 
 
Hosted by www.Geocities.ws

1