
|
|
Kokokan ayam jantan di halaman bersahut-sahutan, diselangi
dengan bunyi unggas yang
Hati Amran tersentuh dengan rahmat Allah yang datang menyelubungi
dirinya dan keluarga.
Angin segar menerobos masuk lalu mengusap pipinya sebaik sahaja daun tingkap dibuka. Kelihatan berbalam-balam sayur-sayuran menghijau subur tanda usahanya telah mendapatkan hasil. Senyuman kepuasan terukir di bibir. Ah! Betapa indahnya suasana desa, tiada hiruk dan pikuk
seperti kota. Kota? Kenangan lama tiba-tiba menerjah di kotak fikiran
bagaikan filem berputar lalu menayangkan babak demi babak kisah hidup yang
membawa ia kembali semula ke desa tanah tumpah darahnya.
BERHIJRAH
Pemergiannya ke kota adalah atas desakan ekonomi yang melanda keluarga. Kawan-kawannya telah ramai yang meninggalkan kampung semata-mata untuk merebut peluang bekerja di bandar, disamping itu niat di hati ingin menyambung pembelajarannya yang tergendala gara-gara tidak mampu membayar yuran persekolahan. Sebagai anak sulung, terpaksalah beralah. Bukan tidak ada bantuan kerajaan, tetapi dengan jumlah $40.00 manalah cukup untuk menampung hidup keluarganya yang seramai enam orang itu. Pemergiannya dihantar dengan pandangan sayu dari ibu dan adik-adik. Dia berazam akan bekerja bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan wang demi untuk membela nasib keluarganya terutama niatnya yang murni itu. Namun, kegentaran tetap ada dalam hati, maklumlah ingin
pergi ke tempat baru yang belum tentu keadaannya. Dalam gerimis petang ini, Amran berdoa dalam hati agar
pemergiannya ini tidak sia-sia.
SUASANA BARU
Masih terngiang-ngiang pesanan ibu di telinganya agar pandai menyesuaikan diri di tempat orang. Bermula dari saat itu, dia mula belajar menjadi warga kota. Tajuddin, sahabatnya dari kampung telah dua tahun bekerja di KL selepas tamat SPM. Padanyalah diadukan sebarang masalah dan berkongsi pengalaman. Amran telah diterima bekerja sekilang dengan Tajuddin itu pun setelah Tajuddin bersusah payah memujuk majikannya agar menerima Amran agar bekerja di situ. Gaji pertama diserahkan separuh kepada keluarga dan separuh untuk dirinya. Itulah yang ia lakukan sebaik sahaja menerima gaji setiap bulan. Namun, manusia selalu tewas dengan desakan nafsu, akhirnya satu hari setelah didesak beberapa kali oleh Tajuddin dan dua orang lagi kawan serumahnya, buat pertama kalinya dia melangkahkan kakinya ke disko, sarang maksiat. Pada mulanya dia hanya memerhati sahaja tingkah laku kawan-kawannya, lama-kelamaan setelah saban minggu dia diajak ke sarang maksiat itu, hatinya mula terpengaruh dengan mereka. Air syaitan sudah berani diteguk. Pesanan ibu waktu itu bagai angin lalu tidak membawa erti.
Wang gaji banyak dihabiskan dengan berjoli dan berpeleseran. Wang untuk
dihantar untuk keluarga juga semakin berkurangan, lama-kelamaan langsung
tiada. Mak Munah juga semakin risau kerana sudah dua bulan Amran tidak
mengirimkan wang apatah lagi khabar berita. Amran semakin mabuk dengan
kesesatan. Hilang sudah harga diri. Yang tinggal kini hanyalah sekelumit
kesedaran yang diselangi dengan janji-janji manis perempuan-perempuan sundal
yang berjaya mencukur wangnya.
BERITA GEMPAR
Ruang dewan sudah dipenuhi dengan pekerja-pekerjanya termasuklah Amran. Matanya merah menahan ngantuk, gara-gara tidak cukup tidur kerana bersengkang mata di disko semalam. Kedengaran suara berbisik-bisik dan tertanya-tanya tujuan mereka dipanggil berkumpul. Tiba-tiba Encik Hamdan muncul di hadapan mereka. Semua mata tertumpu padanya. Masing-masing menunggu buah perkataan yang bakal keluar dari bibir majikan mereka. "Saya ingin menyampaikan satu perkara penting yang patut kamu semua ketahui, kamu semua tahu kan, sekarang Malaysia dilanda krisis ekonomi yang kronik dan kilang kita juga terkena bahangnya. Memandang-kan pihak syarikat yang tidak berkemampuan untuk membayar gaji kamu semua, maka dengan ini diisytiharkan kilang ini akan ditutup bermula esok. Pihak syarikat akan membayar pampasan kepada kamu semua !!!" Bagaikan terkena kejutan elektrik Amran mendengar berita itu. Hatinya digaru kerisauan. Malam itu dia tidak ke mana-mana. Duitnya telah habis dijoli. Surat khabar yang dibeli petang itu dibelek-beleknya. Terpampang di muka depan akhbar, "Nilai matawang negara jatuh" sebagai tajuk utama. Ramai lepasan Universiti dan Maktab menganggur kerana ketidakmampuan kerajaan dalam membayar gaji-gaji mereka. Apalagi orang sepertinya, sebelah mata pun orang tak pandang. Setakat kelulusan PMR, apalah sangat. Mulalah timbul penyesalan dalam diri. Kini dia diibaratkan orang tamak yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Simpanan wangnya hanya cukup untuk tambang balik ke kampung. Tajuddin pula akan berpindah ke Shah Alam kerana ingin
membantu sepupunya di bengkel. Sahabatnya yang dua orang lagi itu juga
mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Akhirnya dia nekad, daripada
mati kebulur di sini ada baiknya dia membantu ibunya di kampung. Selamat
tinggal Kuala Lumpur. Selamat tinggal segala noda dan dosa. Tak akan ku
jejak lagi tempat maksiat itu buat kali kedua. Wajah ibu dan adik-adik
kini terbayang di ruang mata.
MENGGAPAI IMPIAN
Dua beranak memandang ke arah kebun sayur yang semakin
subur. Tanah pusaka yang terbiar diusahakan. Petani moden itulah wawasannya
kini sebagai menyahut seruan kerajaan agar mengutamakan sektor pertanian.
|
|
|