KEPIMPINAN ISLAM
Salah satu daripada elemen penting dalam kehidupan seorang
manusia adalah memimpin. Bila kita mampu memimpin diri kita ke arah syakhsiah
cemerlang maka ia merupakan kejayaan bagi kita. Di samping itu, kita mesti
memimpin diri orang lain agar kehidupan kita bersama manusia lain di dunia
ini dapat diseimbangkan ke arah generasi Al-Quran.
Manusia sebagai Khalifah.
Setiap manusia di muka bumi ini dijadikan oleh Allah SWT
untuk menjadi khalifah. Sama ada dia memimpin diri sendiri atau orang lain,
ia dinamakan sebagai khalifah.
Ayat di atas jelas menunjukan bahawa Allah SWT telah menjadikan
kita sebagai khalifah atau pemimpin. Namun begitu, tidak semua mampu mentadbir
dirinya dan orang lain dengan baik mengikut landasan Islam yang sebenarnya.
Dunia akan kucar-kacir jika semua manusia mahu menjadi pemimpin dan enggan
menjadi orang yang dipimpin atau lebih dikenali sebagai "orang bawahan".
Oleh kerana itu, Allah SWT dengan sifat bijaksananya telah mengatur
dan menentukan kehidupan manusia mengikut acuan keperibadian yang asal
sejak dari azali lagi. Ada
segolongan manusia yang dilantik menjadi pemimpin, golongan lain sebagai
yang dipimpin dan golongan yang mengadu-domba enggan menjadi pemimpin dan
enggan dipimpin.
Persediaan Sebelum Menjadi Pemimpin
Perkara utama yang perlu ditekankan sebelum melangkah
memikul jawatan pemimpin ialah persediaan kita sebelum menjawatnya supaya
terlaksana proses pembentukan Syahsiah Berakidah di kalangan orang bawahan.
Kita wajib membuat persediaan awal di samping menempuh
berbagai ujian sebelum layak digelar Pemimpin Dunia Dan Akhirat. Dalam
dunia menuju ke gerbang akhir zaman, majoriti pemimpin dewasa ini sebenarnya
tidak layak memimpin lantaran diri mereka sendiri tidak terpimpin dengan
pimpinan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka merupakan Pemimpin Dunia semata,
mengejar kemewahan dunia, menindas orang bawahan, bertopengkan syaitan
dalam menentukan hukum-hakam Islam dan seribu satu macam keburukan berupa
keduniaan. Benar sabda Rasulullah s.a.w:-
Di sini jelas menunjukan bahawa pemimpin yang zalim termasuk
di dalam keburukan agama. Sedangkan pemimpin akhirat tidak ramai dan boleh
dikira dengan jari.
Terdapat banyak syarat yang menyumbang ke arah melahirkan
seorang pemimpin dunia dan akhirat. Untuk memenuhi syarat-syarat ini ramai
yang tewas dan kecundang kecuali beberapa orang yang sememangnya telah
dipilih oleh hakim yang agung iaitu Allah S.W.T.
1) Pemimpin Berilmu
Ilmu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan
pemimpin yang unggul. Tanpa ilmu,
pemimpin akan menjadi "lembu dicucuk hidung", hanya memimpin setelah
diarah-arahkan oleh orang lain. Berapa ramai Perdana Menteri di serata
dunia yang menjadi boneka. Menjadi pemimpin tetapi tidak memimpin. Warisan
ilmu pengecut yang dimiliki oleh oleh para pemimpin menyebabkan mereka
rela menjual maruah agama demi sesuap nasi?.
Maksud firman Allah SWT: "Adakah sama orang yang berilmu
dengan orang yang tidak berilmu?". Ilmu di sini merangkumi ilmu dunia dan
akhirat. Seorang pemimpin yang berilmu pasti mendapat kepercayaan
masyarakat untuk menangani sebarang masalah yang menimpa negara berbanding
pemimpin yang tidak berilmu. Ini adalah satu hakikat yang nyata. Kedunguan
pemimpin-pemimpin masa kini dalam menyelesaikan masalah dalam negara menyaksikan
campur tangan kuasa asing yang sewenang-wenangnya mengubah dasar negara
hatta undang-undang sama ada peraturan negara atau agama.
Untuk mengubah situasi yang telah menjadi adat ini, negara
kecil seperti Malaysia contohnya harus meletakkan pemimpin yang bijak dan
berilmu untuk menerajui negara supaya negara kita nanti tidak "sekandang
dengan lembu-lembu yang dicucuk hidung sejak sekian lama."
2) Pemimpin Sebagai Idola Dan Pentazkirah
Di kalangan masyarakat pertengahan, mereka
lebih mementingkan seorang pemimpin yang peka dengan isu-isu dunia dan
bijak bercakap hal-hal keduniaan.Tanpa disedari, kita sepatutnya "dahagakan"seorang
pemimpin yang bersifat universal. Seimbang antara dunia dan akhirat. Contoh
tanpa bandingan tapi patut dijadikan ikutan, Rasulullah SAW mampu menjadi
pemimpin dalam masa yang sama berada di tempat yang teratas dalam pemikiran
dan penampilannya kepada masyarakat dan yang paling utama kepada Penciptanya.
Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya
oleh masyarakat bawahan.
Sebagai seorang pemimpin yang menjadi idola kepada masyarakat,
pemimpin seharusnya memiliki akhlak yang terpuji mengikut adab-adab kemanusiaan
sejagat dan lunas-lunas islami yang tulin. Ciri-ciri pentazkirah pun harus
ada pada seorang ketua bahkan ciri-ciri seorang ulama'.
Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara
praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa'dan pandai 'mentazkirah'
orang lain, pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Seperti kata-kata
'cakap serupa bikin'.
Contoh melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian
seorang pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan
maka eloklah kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih
seperti yang diingini.
3) Sanggup Menghadapi Tribulasi Untuk Mencapai Matlamat
Ujian adalah satu perkara tabi'i yang pasti 'memburu'
kehidupan seorang manusia. Semakin tinggi darjatnya di sisi
Allah s.w.t. dan di sisi masyarakat, maka semakin besar cubaan dan dugaan
yang terpaksa ditempuhi. Berjaya atau gagal menghadapi mehnah perjuangan
ditentukan oleh kekuatan asas yang terpasak dalam diri seseorang. Mereka
yang lemah dari sudut material dan rohani terutamanya pasti akan tewas
dengan mudah dan jatuh tersungkur di tengah-tengah medan perjuangan. Hanya
pemimpin yang mempunyai kekuatan jiwa dan semangat sahaja yang tetap
kekal dengan matlamat yang satu walaupun tanpa kekuatan material.
“Demi sesungguh-Nya akan Kami uji kamu dengan satu cubaan, iaitu kekuatan,
kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira
bagi orang-orang yang sabar atas cubaan itu”.Al-Baqarah ayat 155.
Seperti yang telah dinyatakan, setiap manusia akan diuji.
Tatkala Malaysia diuji dengan kejatuhan nilai RM, kita turut juga teruji.
Bagi yang di luar kemampuan (kekurangan harta), pulang ke tanah air adalah
langkah terakhir sebagai jalan penyelesain tanpa menamatkan pengajian tentunya.
Kita juga diuji dengan rasa ketakutan hidup di negara asing.
Ketakutan yang menghantui akhawat maupun ikhwah. Azhari/ah adalah pemimpin
yang bakal mencorak sebuah keluarga Islami. Di peringkat awal lagi Azhari/ah
telah diuji. Belum lagi masuk ke medan masyarakat....medan politik dan
umpamanya. Dasar demokrasi pilihan masyarakat majoriti sebagai pilihan
yang akan diangkat sebagai pemimpin. Di serata dunia menyaksikan parti
islam atau separa islami telah diuji dengan kekurangan manusia atau dikenali
sebagai kekurangan 'pengundi'. Seorang pemimpin Islam yang kuat, pasti
menghadapi krisis kekurangan
penyokong yang bijaksana, manakala pemimpin Islam yang 'hangat-hangat
tahi ayam' akan “gulung tikar” sebelum pilihanraya lagi.
Ketiga-tiga faktor di atas bakal melayakkan kita menerajui
negara bahkan dunia. Tidak mustahil suatu hari nanti kita bakal menjadi
polis dunia menggantikan Amerika yang mengaku berjaya memimpin dunia ke
arah keamanan tetapi sebenarnya ke arah kemusnahan. Pemimpin dunia abad
akan datang wajar diwarisi oleh pemimpin islam untuk 'meneutralkan' dunia
sebelum menjadi padang jarak padang terkukur. Oleh itu, bersama-samalah
kita berganding bahu untuk mencipta seorang pemimpin Islam yang tulin sebagaimana
yang pernah diciptakan oleh ulama'-ulama' yang terdahulu.
Wallahu a’lam.
Darnadalis Abdul Raoh |