|
1. PENGENALAN
Penggunaan komputer pada masa kini telah menjadi seperti sebahagian
dari hidup kita. Perjalanan dan tugas seharian menjadi semakin
mudah dan tanpa disedari kita semakin bergantung kepada mesin
yang kita panggil komputer ini. Begitu juga dengan tanggungjawab
dan beban kerja di pejabat, di mana maklumat-maklumat perlulah
dihantar dengan cepat dan pantas bagi mengelakkan berlakunya
kerugian atau sebarang kebocoran maklumat. Contohnya, ahli-ahli
perniagaan, penghantaran maklumat yang pantas dan selamat
berupaya menghasilkan keuntungan yang berlipat-ganda.
Di bidang pendidikan pula, gabungan di antara penggunaan komputer
dengan dengan teknologi telekomunikasi telah menghasilkan
apa yang kita kenali sebagai Teknologi Maklumat.
Teknologi Maklumat telah berperanan sebagai asas untuk menyimpan
maklumat, mengolah maklumat, menyalur dan mengedarkan maklumat
di dalam pelbagai bentuk dan cara. Bahan atau maklumat tersebut
dapat disalurgunakan sama ada di dalam bentuk teks, gambar,
grafik, suara, animasi, dan video, atau gabungan kesemua unsur
secara interaktif yang juga dikenali sebagai Multimedia. Semua
bahan dapat disalurgunakan dengan menggunakan teknologi terkini,
sama ada dengan rangkaian (networking), intranet dan internet.
Proses pengajaran-pembelajaran dapat dipertingkatkan mutunya
dan dipelbagaikan penyampaian dan penerimaannya melalui beberapa
teknik iaitu:
1. berbantukan komputer dan perisian
2. melalui sistem rangkaian (networking), perisian dan pangkalan
data atau maklumat atau
3. melalui sistem internet, perisian dan pangkalan data.
Melalui maklumat yang diperolehi di atas, bolehlah kita simpulkan
bahawa Sistem Rangkaian Komputer (Networking) turut memainkan
peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam era teknologi
maklumat terkini. Sistem rangkaian komputer merupakan sistem
komputer yang berpaut bersama dengan terminal dan peralatan
persisian yang lain melalui talian komunikasi. Rangkaian membenarkan
pengguna yang berada pada kedudukan taburan geografi yang
pelbagai untuk berkongsi aturcara, data dan peralatan. Teknologi
rangkaian komputer ini yang pada awalnya hanya digunakan di
kalangan masyarakat teknologi serta mereka yang gemar mencuba
teknologi yang baru, tetapi kini menjadi antara teknologi
yang mendapat penerimaan luas di kalangan masyarakat.
Tidak keterlaluan jika kita mengatakan teknologi rangkaian
sebenarnya membuka suatu dimensi baru di dalam pengunaan komputer
peribadi. Pengguna yang baru mengenali teknologi rangkaian
seringkali tertanya-tanya mengenai kelainan dan ciri perbezaan
yang dibawa oleh teknologi rangkaian kepada dunia perkomputeran.
Sebelum teknologi rangkaian diperkenalkan serta digunakan
secara meluas, kebanyakan komputer peribadi lebih berfungsi
sebagai sebuah komputer tunggal. Pertamanya, ia tidak dirangkaikan
iaitu disambungkan dengan mana-mana komputer yang lain. Oleh
yang demikian, komputer tersebut hanya berupaya menggunakan
sumber yang disediakan serta terdapat pada komputer tersebut
sahaja. Dalam erti kata lain, pengguna tersebut hanya dapat
menggunakan perisian serta perkakasan yang terdapat serta
disambungkan kepada komputer tersebut sahaja.
Sebelum wujudnya Sistem Rangkaian Komputer, pengguna yang
ingin berkongsi perisian ataupun fail di dalam persekitaran
komputer tunggal terpaksa menggunakan media storan yang boleh
dialihkan seperti disket. Namun begitu, kehadiran teknologi
rangkaian komputer membolehkan apa yang suatu ketika dahulu
dianggap mustahil menjadi kenyataan yang menguntungkan, menyeronokkan
dan merealisasikan impian ramai pengguna.
|