|
3. JENIS-JENIS RANGKAIAN
Jenis-jenis rangkaian sebenarnya ditakrifkan mengikut lingkungan
geografi sesuatu rangkaian itu. Selain daripada itu, perbezaan
di antara skema rangkaian-rangkaian tersebut turut melibatkan
jarak dan orientasi. Biasanya, ia berorientasikan kerangka
pusat dan menggunakan talian telefon atau bergantung kepada
geganti gelombang mikro untuk menghantar data.
Terdapat tiga jenis rangkaian komputer yang asas iaitu:
1. Rangkaian Kawasan Setempat (Local Area Network - LAN) 2.
Rangkaian Kawasan Metropolitan (Metropolitan Area Network
- MAN) 3. Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network - WAN)
RANGKAIAN KAWASAN SETEMPAT (LAN)
Rangkaian jenis LAN ini biasanya
terhad kepada batasan geografi yang kecil misalnya rangkaian
yang meliputi sesebuah bangunan, sekolah, pejabat atau kampus.
Fungsi asas LAN sebagai satu rangkaian yang menghubungkan
sebilangan komputer di dalam kawasan yang terhad seperti di
dalam kampus universiti, di dalam sesebuah bangunan dan di
dalam bilik serta kerapkali dihubungkan dengan komputer kerangka
utama atau minikomputer. Namun begitu, jarang sekali rangkaian
LAN meliputi kawasan yang lebih daripada satu batu jaraknya.Komputer-komputer
ini dapat dihubungkan dengan pelbagai kaedah seperti kabel
pasangan terpiuh atau berpintal, gentian optik, talian telefon
dan cahaya inframerah serta isyarat radio.
Setiap topologi perlu melaksanakan kerja yang sama. Situasi
yang paling biasa ditemui oleh rangkaian ialah mesej dari
satu komputer ke satu komputer yang lain atau arahan supaya
menjalankan atur cara yang tersimpan di dalam rangkaian. Data
atau atur cara yang diminta oleh mesej mungkin disimpan pada
komputer yang digunakan oleh seseorang rakan sekerja dalam
rangkaian atau pada pelayan fail (server), suatu komputer
khusus. Pelayan fail biasanya adalah merupakan komputer berkuasa
tinggi dan mempunyai pemacu cakera keras yang tidak digunakan
secara eksklusif oleh individu pada rangkaian itu serta cakera
padat (CD drive). Pelayan fail juga seharusnya mempunyai storan
semua perisian yang mengawal pengurusan sesuatu sistem rangkaian
itu.
Selain daripada itu, pelayan fail wujud hanya untuk melayan
semua komputer lain yang berada di dalam sistem rangkaian
tersebut. Komputer-komputer yang disambung kepada pelayan
fail dikenali sebagai stesen kerja (workstations). Stesen
kerja tidak semestinya berkuasa tinggi seperti pelayan komputer
namun begitu, komputer-komputer tersebut boleh mempunyai perisian
tambahan pada cakera keras masing-masing. Manakala, setiap
satu komputer yang menggunakan khidmat pelayan fail dikenali
sebagai pelanggan (client). Pencetak boleh juga disambung
kepada rangkaian supaya ia boleh dicapai oleh semua pelanggan
LAN.
Untuk menggunakannya, rangkaian mestilah menerima permintaan
daripada komputer individu atau nod yang dihubungkan pada
rangkaian dan ia mestilah mempunyai cara untuk mengendalikan
permintaan serentak bagi perkhidmatannya. Sebaik sahaja komputer
mendapat perkhidmatan rangkaian , ia haruslah mempunyai cara
untuk menghantar mesej dari satu komputer kepada komputer
yang lain supaya ia hanya menuju kepada nod yang diperlukan
dan tidak muncul di komputer yang lain.
Rangkaian pula mestilah melakukan semua ini secepat mungkin
sambil memberi perkhidmatannya secara serata mungkin mengikut
giliran di antara nod lain di dalam LAN.
Terdapat tiga jenis rangkaian topologi yang biasa digunakan
di dalam tatarajah LAN bagi rangkaian pelanyan-pelanggan.
Rangkaian-rangkaian tersebut ialah:
1. Topologi Bas atau Linear Bas (Bus or Linear Bus)
2. Topologi Bintang (Star) atau Labah-labah (Spider)
3. Topologi Gelang Token (Token Ring)
|