|
12. INTERNET
Internet ialah semua rangkaian komputer di seluruh dunia yang
disambungkan dengan rangkaian yang lebih kecil dan bergerak
lebih perlahan. Ia mempunyai amat banyak maklumat untuk dicapai
oleh sesiapa sahaja, dan ia menyediakan penghantaran maklumat
serta-merta ke seluruh dunia. Ini membolehkan manusia di seluruh
dunia berkomunikasi di antara satu sama lain dalam masa beberapa
minit sahaja.
Oleh sebab Internet semakin bertambah popular, ia akan menjadi
sebahagian daripada hidup anda. Pada mulanya, Internet hanya
terdapat di dalam sistem pendidikan, perbadanan, kerajaan
atau agensi lain, dan sangat mahal serta sukar untuk mendapatkan
laluan ke Internet. Pada masa ini, Internet boleh disambung
melalui pelbagai kaedah menggunakan khidmat komersil atau
Penyedia Khidmat Internet (Internet Service Provider- ISP)
yang semakin bertambah bilangannya.
Internet tidak lagi terhad kepada pakar teknikal atau individu
yang pandai komputer sahaja. Sesiapa sahaja yang ada laluan
komputer boleh menggunakan Internet sebelum dekad ini berakhir.
Internet akan terus berubah dan berevolusi.Teknologi baru
akan terus muncul dan menyebabkan sesetengah teknologi sekarang
menjadi usang. Walaupun Internet berada pada tahap perkembangan
awal, inilah masanya untuk meneroka dan menjelajahi maklumat
yang begitu banyak yang didapati pada Internet.
Pertumbuhan Internet yang pesat telah mewujudkan cara baru
untuk berkomunikasi. Popularitinya dicerminkan oleh pelbagai
media yang kita gunakan pada hari ini.
Setiap hari, televisyen, radio dan media cetak mewar-warkan
rujukan URL, atau alamat lokasi Internet mereka pada penghujung
rancangan masing-masing. Banyak syarikat yang telah melabur
masa dan wang mereka pada Internet.
Di antara komponen Internet yang penting ialah Web. World
Wide Web telah berkembang menjadi suatu cara baru berkomunikasi
dengan jutaan manusia. Di dalam tempoh antara bulan Julai
1995 hingga Januari 1996, bilangan komputer yang tersambung
secara langsung kepada rangkaian fizikal Internet, yang juga
dikenali sebagai hos, telah meningkat sekurang-kurangnya 70%.
Pertumbuhan Internet yang mendadak boleh dikatakan akibat
daripada perkembangan penyemak seimbas (browser) Web bergrafik
yang begitu pantas. Komponen grafik Web telah mewujudkan suatu
media baru kepada banyak syarikat untuk mengiklankan produk
mereka dan untuk berkomunikasi dengan pelanggan mereka.
Walaupun Web merupakan komponen Internet yang penting, namun
begitu ada juga bahagian-bahagian lain Internet yang dapat
membawa anda kepada penemuan yang menarik. Di antaranya ialah
tapak Gopher dan FTP. Sistem pacuan menu tapak Gopher mengandungi
teks dan maklumat lain. Pelayan FTP juga membolehkan anda
memuat turun (download) fail teks dan juga fail audio serta
video. Dengan pelayan FTP, fail dari sistem yang jauh boleh
dipindahkan ke komputer pengguna.
Mel elektronik, atau mel-e merupakan satu lagi alat penting
yang boleh digunakan. Mel-e menyediakan cara pantas untuk
berhubung dengan orang lain dalam jabatan yang sama mahupun
di seluruh dunia. Berbanding dengan kiriman surat melalui
perkhidmatan pos yang mungkin mengambil masa beberapa hari
atau minggu, mesej mel-e dapat disampaikan di dalam beberapa
minit sahaja.
Sama seperti mel-e, kumpulan berita merupakan satu lagi cara
berkomunikasi dengan orang lain. Kumpulan berita ialah forum
perbincangan dalam Usenet, tempat pengguna bertukar-tukar
fikiran tentang tajuk yang khusus. Menghantar mesej kepada
kumpulan berita sama seperti menghantar mesej kepada semua
orang dalam suatu senarai mel yang besar.
Kebanyakan alat Internet ini dapat dimasuki melalui penyemak
seimbas Web seperti Netscape Navigator atau Internet Explorer.
Tapak Web, Gopher dan FTP boleh menukar malahan membina rangkaian
yang terputus. Oleh kerana sifat Internet yang sentiasa berkembang,
pengalaman Internet pengguna akan berubah setiap kali pengguna
menggunakan penyemak seimbas Web.
|