|
Peristiwa luar biasa di medan Khandak
IMAM Bukhari meriwayatkan dalam Sahih Bukharinya yang dinukil
dari Jabir r.a. katanya: "Pada hari persiapan perang Khandak, kami
bekerja keras menggali parit. Tiba-tiba kami dapati satu bungkah batu besar
dalam parit yang sedang digali, lalu kami maklumkan kepada Nabi s.a.w.
Setelah mendengar berita itu, Nabi s.a.w. menyatakan untuk turun sendiri ke
dalam parit bagi mengatasi masalah batu besar itu.
Ketika Nabi s.a.w. turun menghampiri batu besar itu, aku
terlihat beberapa ketul batu dibalut dengan kain dan diikat pada perut Nabi
s.a.w..
Sudah tiga hari kami menggali parit dalam keadaan tiada
sebarang makanan untuk mengalas perut kami. Semua bekerja dalam keadaan
lapar, Nabi s.a.w. sendiri menanggung lapar sehingga perutnya dialas dengan
ketul-ketul batu untuk mengurangkan rasa lapar yang sangat mencengkam."
Demikianlah keadaan Nabi membuat persiapan perang dalam
keadaan lapar. Meskipun demikian namun Nabi s.a.w. tidak menyerah kalah
dengan halangan batu besar yang hampir menggagalkan rancangan membina parit
bagi menghalang kemaraan tentera al-Ahzab.
Dengan sebuah tukul besi yang berat, Nabi s.a.w. menghayun dan
menghentaknya ke atas batu pejal dengan sekuat hati. Dengan izin Allah batu
besar itu pecah berkecai.
Dilihat secara zahir, batu besar itu tidak mudah untuk
dihancurkan. Namun Nabi s.a.w. tetap berusaha dengan kudrat yang ada. Allah
SWT mendatangkan pertolongan-Nya dengan bantuan mukjizat, batu besar itu
dapat dihancurkan.
Setelah itu Jabir minta izin dari Nabi untuk pulang ke rumah.
Sampai di rumah, Jabir memberitahu isterinya keadaan di medan Khandak sudah
tiga hari tiada makanan.
Keadaan Nabi s.a.w. sendiri sangat menyedihkan, baginda
terpaksa mengikat perut dengan batu-batu berbalut kain, bagi mengurangkan
rasa lapar supaya dapat meneruskan kerja-kerja membina parit.
Jabir dan isterinya berusaha menyediakan sedikit makanan untuk
alas perut terutama untuk Nabi s.a.w. Mereka hanya mempunyai sedikit gandum
dan seekor anak kambing yang sangat kurus. Jabir menyembelih satu-satunya kambing
yang dimiliki, dan isterinya mengisar gandum untuk buat roti.
Kemudian Jabir bergegas semula ke medan Khandak mempersilakan
Nabi s.a.w. ke rumahnya untuk makan ala kadar. Jabir juga minta Nabi mengajak
seorang dua sahabat untuk bersama menjamah makan. Kerana makanan yang
disediakan oleh isterinya hanya beberapa keping roti dan seperiuk sup seekor
anak kambing yang kurus.
Nabi s.a.w. memberitahu jabir, makanan tersebut cukup untuk
menjamu semua tiga ribu petugas Khandak. Lalu Nabi berpesan kepada Jabir
supaya periuk sup kambing itu tidak dialih dari dapur, dan tunggu sehingga
Nabi s.a.w. datang membahagi-bahagikan makanan itu kepada ribuan ahli Khandak
itu.
Sebelum Jabir pulang kerumahnya, Nabi s.a.w. memaklumkan
kepada semua ahli Khandak, bahawa Jabir dan keluarganya telah menyediakan
makanan yang banyak. Semua para petugas Khandak dipersilakan ke rumah Jabir
untuk menikmati jamuan tersebut.
Jabir agak terkejut dan bergegas pulang dengan cemas,
memberitahu isterinya tentang pengumuman Nabi s.a.w. menjemput semua (tiga
ribu) ahli Khandak.
Dia agak kebingungan dan mungkin akan mendapat malu besar
apabila hanya segelintir dari mereka yang akan dapat menjamah makanan, kerana
hanya sedikit makanan yang dapat disediakan.
Tetapi Isteri Jabir merasa cukup tenang apabila mendengar
bahawa Nabi s.a.w. sendiri yang akan membahagi-bahagikan makanan itu.
Dia berserah kepada Allah SWT dan terserah kepada Rasul-Nya
membahagikan rezeki yang sedikit untuk sajian ribuan manusia.
Nabi s.a.w. minta agar ahli Khandak masuk bergilir-gilir dan
jangan berebut-rebut, kerana rezeki yang akan disajikan lebih dari mencukupi.
Nabi s.a.w. mula membahagikan makanan setiap seorang dengan
sepotong roti dan seketul daging sup kambing. Setiap kali Nabi s.a.w.
mengoyak roti dan mengaut daging kambing dengan senduk dari periuk yang sama,
makanan itu tetap berbaki meskipun telah dibahagikan kepada sejumlah besar
manusia.
Begitulah seterusnya Nabi s.a.w. mengoyakkan roti dan
meletakkan seketul daging, sehingga semua tiga ribu orang dapat menikmatinya
dengan masing-masing merasa sangat kenyang. Yang anihnya roti dan daging
kambing di dalam periuk itu sentiasa ada dan tidak berkurangan.
Setelah semua ahli Khandak selesai menikmati hidangan yang
luar biasa itu, lalu Nabi s.a.w. menyerahkan semula baki roti dan sup kambing
itu kepada Jabir dan keluarganya.
Nabi mempersilakan Jabir dan isterinya makan, di samping
menganjurkan supaya memberikan makanan itu kepada penduduk kampung, kerana
tahun itu Madinah sedang menghadapi kekurangan makanan.
Demi Allah, kata Jabir bukan saja tiga ribu ahli Khandak dapat menikmati makanan yang disediakan oleh isterinya, malah hampir seluruh penduduk Madinah yang datang kerumahnya pulang dalam keadaan kenyang. |