|
Dimana Hilang
Nikmat Ibadat
Soalan:
Saya ingin bertanya .. Mengapa dan kenapa dan di mana salah dan silapnya seseorang
yang melalukan kemungkaran atau maksiat, sedangkan seseorang itu mengerjakan
perintah Allah seperti sembahyang, membaca Al-Quran dan amalan2 yang di
pandang mulia di sisi Allah S.W.T. Di harap dan semoga tuan dapat memberi
pandangan serta pendapat tentang kemusykilan saya ini ... Sekian
Jawapan:
Allah SWT menentukan cara beribadah bagi manusia sesuai dengan unsur kejadian
kita yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani. Mungkin setiap individu
mampu dalam mengerjakan amal ibadah secara umum (nampak dari segi lahiriah)
namun tidak mampu menyertakan hati (khusyuk) ketika mengerjakan ibadah
tersebut. Secara jelas Allah SWT terangkan dalam surah Al Ankabut ayat 45
maksudnya:
"Dan dirikan olehmu akan solat,
sesungguhnya solat itu mencegah kamu daripada melakukan perbuatan keji dan
mungkar".
Jika kita lihat seseorang itu
mengerjakan solat namun masa yang sama juga melakukan perbuatan mungkar, ini
membuktikan bahawa solat yang dikerjakan itu hanya sekedar melakukan amalan
jasmaniah, sedangkan roh solat itu tidak meresap dalam ibadahnya. Ingatlah,
jangan sampai kita mengerjakan solat hanya sekadar melepaskan batuk ditangga
iaitu seperti solat orang-orang munafik. Tentang hal ini Allah SWT berfirman
maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang
munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Bila mereka
berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka hendak
menunjuk-nunjuk kepada manusia. Dan mereka tidaklah mengingat Allah kecuali
sedikit sekali".
Begitu juga dalam amal ibadah yang
lain seperti membaca Al Quran dan sebagainya. Jika seseorang itu memahami
segala yang dibacanya, pastilah ia akan meninggalkan segala yang dilarang
oleh Allah kerana rasa takut dan takwa. Seandainya tidak ada perubahan
keperibadian terhadap pembacanya bermakna bacaannya tidak menimbulkan apa-apa
kesan yang positif, bererti amalannya hanya bersifat lahirah sahaja.
Untuk memperolehi roh ibadah yang sempurna agar segala amalan yang kita lakukan memberi kesan kepada akhlak dan keperibadian, hendaklah melengkapi dengan ilmu pengetahuan agama yang betul dan sempurna, bukan sekadar ikut-ikutan tanpa dasar yang kukuh. Dengan demikian barulah ibadah kita dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. |