|
KISAH-KISAH
ISLAM |
|
|
Peristiwa luar biasa di medan Khandak IMAM
Bukhari meriwayatkan dalam Sahih Bukharinya yang dinukil dari Jabir r.a.
katanya: "Pada hari persiapan perang Khandak, kami bekerja keras
menggali parit. Tiba-tiba kami dapati satu bungkah batu besar dalam parit
yang sedang digali, lalu kami maklumkan kepada Nabi s.a.w. Setelah mendengar
berita itu, Nabi s.a.w. menyatakan untuk turun sendiri ke dalam parit bagi
mengatasi masalah batu besar itu. Ketika
Nabi s.a.w. turun menghampiri batu besar itu, aku terlihat beberapa ketul
batu dibalut dengan kain dan diikat pada perut Nabi s.a.w.. Sudah
tiga hari kami menggali parit dalam keadaan tiada sebarang makanan untuk
mengalas perut kami. Semua bekerja dalam keadaan lapar, Nabi s.a.w. sendiri
menanggung lapar sehingga perutnya dialas dengan ketul-ketul batu untuk
mengurangkan rasa lapar yang sangat mencengkam." Demikianlah
keadaan Nabi membuat persiapan perang dalam keadaan lapar. Meskipun demikian
namun Nabi s.a.w. tidak menyerah kalah dengan halangan batu besar yang hampir
menggagalkan rancangan membina parit bagi menghalang kemaraan tentera
al-Ahzab. Dengan
sebuah tukul besi yang berat, Nabi s.a.w. menghayun dan menghentaknya ke atas
batu pejal dengan sekuat hati. Dengan izin Allah batu besar itu pecah
berkecai. Dilihat
secara zahir, batu besar itu tidak mudah untuk dihancurkan. Namun Nabi s.a.w.
tetap berusaha dengan kudrat yang ada. Allah SWT mendatangkan pertolongan-Nya
dengan bantuan mukjizat, batu besar itu dapat dihancurkan. Setelah
itu Jabir minta izin dari Nabi untuk pulang ke rumah. Sampai di rumah, Jabir
memberitahu isterinya keadaan di medan Khandak sudah tiga hari tiada makanan.
Keadaan
Nabi s.a.w. sendiri sangat menyedihkan, baginda terpaksa mengikat perut
dengan batu-batu berbalut kain, bagi mengurangkan rasa lapar supaya dapat
meneruskan kerja-kerja membina parit. Jabir
dan isterinya berusaha menyediakan sedikit makanan untuk alas perut terutama
untuk Nabi s.a.w. Mereka hanya mempunyai sedikit gandum dan seekor anak
kambing yang sangat kurus. Jabir menyembelih satu-satunya kambing yang
dimiliki, dan isterinya mengisar gandum untuk buat roti. Kemudian
Jabir bergegas semula ke medan Khandak mempersilakan Nabi s.a.w. ke rumahnya
untuk makan ala kadar. Jabir juga minta Nabi mengajak seorang dua sahabat
untuk bersama menjamah makan. Kerana makanan yang disediakan oleh isterinya
hanya beberapa keping roti dan seperiuk sup seekor anak kambing yang kurus. Nabi
s.a.w. memberitahu jabir, makanan tersebut cukup untuk menjamu semua tiga
ribu petugas Khandak. Lalu Nabi berpesan kepada Jabir supaya periuk sup
kambing itu tidak dialih dari dapur, dan tunggu sehingga Nabi s.a.w. datang
membahagi-bahagikan makanan itu kepada ribuan ahli Khandak itu. Sebelum
Jabir pulang kerumahnya, Nabi s.a.w. memaklumkan kepada semua ahli Khandak,
bahawa Jabir dan keluarganya telah menyediakan makanan yang banyak. Semua
para petugas Khandak dipersilakan ke rumah Jabir Jabir
agak terkejut dan bergegas pulang dengan cemas, memberitahu isterinya tentang
pengumuman Nabi s.a.w. menjemput semua (tiga ribu) ahli Khandak. Dia
agak kebingungan dan mungkin akan mendapat malu besar apabila hanya
segelintir dari mereka yang akan dapat menjamah makanan, kerana hanya sedikit
makanan yang dapat disediakan. Tetapi
Isteri Jabir merasa cukup tenang apabila mendengar bahawa Nabi s.a.w. sendiri
yang akan membahagi-bahagikan makanan itu. Dia
berserah kepada Allah SWT dan terserah kepada Rasul-Nya membahagikan rezeki
yang sedikit untuk sajian ribuan manusia. Nabi
s.a.w. minta agar ahli Khandak masuk bergilir-gilir dan jangan berebut-rebut,
kerana rezeki yang akan disajikan lebih dari mencukupi. Nabi
s.a.w. mula membahagikan makanan setiap seorang dengan sepotong roti dan
seketul daging sup kambing. Setiap kali Nabi s.a.w. mengoyak roti dan mengaut
daging kambing dengan senduk dari periuk yang sama, Begitulah
seterusnya Nabi s.a.w. mengoyakkan roti dan meletakkan seketul daging,
sehingga semua tiga ribu orang dapat menikmatinya dengan masing-masing merasa
sangat kenyang. Yang anihnya roti dan daging kambing di dalam periuk itu
sentiasa ada dan tidak berkurangan. Setelah
semua ahli Khandak selesai menikmati hidangan yang luar biasa itu, lalu Nabi
s.a.w. menyerahkan semula baki roti dan sup kambing itu kepada Jabir dan
keluarganya. Nabi
mempersilakan Jabir dan isterinya makan, di samping menganjurkan supaya
memberikan makanan itu kepada penduduk kampung, kerana tahun itu Madinah
sedang menghadapi kekurangan makanan. Demi Allah, kata Jabir bukan
saja tiga ribu ahli Khandak dapat menikmati makanan yang disediakan oleh
isterinya, malah hampir seluruh penduduk Madinah yang datang kerumahnya
pulang dalam keadaan kenyang. |
|
|