lagi berita  di dalam | rafeah1 | rafeah2 | rafeah3 | rafeah4 | rafeah5 | rafeah6 | rafeah7 | rafeah8 | rafeah9 | rafeah10 |kembali |


Gugurnya sebutir bintang :
Jasa Rafeah Buang sukar dilupakan

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SEMASA nama Allahyarham Datuk Rafeah Buang dicadangkan untuk diundang menyanyi pada majlis pelancaran Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) pada Januari 2000, saya bertanya, mahukah Allahyarham terima? Beliau berada di Pekan, Pahang dan majlis itu berlangsung di Ballroom Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur.

Tetapi Siso, Usop dan Sani Sudin anggota Kopratasa yang turut dalam perbincangan itu meyakinkan, jarak Pekan dan Kuala Lumpur bukan halangan kalau kena gayanya. Bayaran juga bukan perkara utama kalau beliau mempunyai kelapangan.

``Selalunya tak ditolak,'' kata Siso sambil mencadangkan Kopratasa menyanyi bersama Allahyarham sebagai gabungan baru dan lama. ``Memang elok sangat kalau Rafeah Buang boleh datang,'' celah Datuk Zainuddin Maidin (ZAM) yang mengasaskan KVUM.

Akhirnya malam yang mengumpulkan bekas-bekas pekerja Kumpulan Utusan buat pertama kali itu menyaksikan Allahyarham tampil di pentas dan mendapat tepukan paling gemuruh. Seketika kemudian dewan seakan sepi.

Kedengaran cuma alunan lagu syahdu yang dipopularkan oleh penyanyi Indonesia, Sam Simon, Di Wajahmu Ku Lihat Bulan duet dengan Sani Sudin.

Lagu ini khabarnya cukup popular pada tahun 50-an malah menjadi manifestasi cinta teruna kepada dara.

Allahyarham menyanyikan lagu Di Wajahmu Ku Lihat Bulan setelah berbincang dengan Sani Sudin semasa membuat sound check pada sebelah petangnya.

Suara mereka serasi dan semua tetamu tidak tahu bahawa Sani Sudin dan Allahyarham hanya berlatih pada petang yang sama.

Allahyarham telah meninggalkan kenangan yang cukup manis lagi mengharukan dalam suasana bertemu rakan lama.

Mereka sebahagian besarnya menghilir zaman remaja pada zaman 60-an dan 70-an iaitu era gemilang Allahyarham dalam bidang nyanyian.

Lagu kedua nyanyian Allahyarham malam itu, Kenang Daku Dalam Doamu dan diikuti dengan Selamat Tinggal Bungaku sebagai penutup majlis.

Apabila muzik terhenti, masing-masing seakan-akan tercari-cari imbasan kenangan masa lalu yang melintas seketika di kotak ingatan.

Rabu lalu Rafeah Buang telah menghembuskan nafas terakhir setelah sekian lama menderita penyakit barah. Dilihat kembali riwayat hidupnya, semasa memenuhi undangan KVUM itu, Allahyarham telah menghidap penyakit itu.

Tetapi di wajahnya tidak tertera sedikit pun goresan luka atau putus harap. Kental sekali janjinya pada sebuah kehidupan.

Tentu banyak yang tertanya-tanya kenapa Allahyarham terus menyanyi sedangkan kehidupannya tidak memerlukan Allahyarham menyanyi?

Allahyarham menjadi anggota keluarga diraja Pahang setelah berkahwin dengan Tengku Asmawi Tengku Hussein dan damai menatang rumah tangga di Villa Amirul Ashraf di Pekan, Pahang. Tetapi kerana baginya tiada jurang dengan masyarakat biasa, Allahyarham terus menyanyi dan bergiat dalam aktiviti masyarakat.

Berasal dari Kampung Pisang, Singapura, keluarganya pernah berhasrat untuk menghantar Allahyarham ke Indonesia untuk mendalami ilmu agama semasa zaman remaja.

Tetapi kecenderungan menyanyi dan pernah membawa pulang trofi juara Bintang Radio Malaysia tahun 1964 melintasi Tambak Johor, keluarga merestui, di situlah dunia dan jalur baktinya.

Allahyarham popular dengan lagu duet bersama Ahmad Jais, Juitaku Sayang. Lagu-lagu lain yang menjulang nama Allahyarham pada tahun 60-an ialah Don Juan, Udang Sama Udang, Jarinya Merah, Itulah Harinya, Selasihku Sayang dan Di Luar Jendela.

Sementara lagu dari filem yang paling popular nyanyian Allahyarham dan AR Ismail ialah Gurindam Jiwa. Lagu itu menjadi tema kepada filem Gurindam Jiwa lakonan Nordin Ahmad dan Latifah Omar.

Kalangan rakan, Allahyarham yang menjadi keluarga diraja dengan Allahyarham yang dulu adalah sama. Tidak ada pemisah sekalipun darjat terangkat tinggi. Ahmad Jais yang mengenali Allahyarham sejak di Singapura dulu mengakui hakikat ini.

``Kami kalangan rakan tidak pernah berasa canggung untuk berbual dengan Allahyarham setelah menjadi keluarga diraja,'' demikian kata Ahmad Jais yang beberapa kali melawat Allahyarham semasa terlantar di Hospital Kuala Lumpur sebelum ini.

Sepanjang perjalanan kerjaya seninya, Allahyarham telah merakamkan 20 buah album, 12 album bersama EMI, empat bersama Senada Records, tiga bersama PolyGram dan tiga bersama Life Records.

Peribadi seorang ibu amat jelas kepada Allahyarham. Kerana itu pemergian anak lelakinya, Tengku Amirul Ashraf pada tahun 1993 ketika berusia 10 tahun akibat kemalangan jalan raya begitu menghiris perasaan Allahyarham. Dalam kolum tulisan Allahyarham di majalah URTV, rasa kehilangan Amirul Ashraf banyak diluahkan. Kasih Allahyarham kepada anak tiada taranya.

Kini Allahyarham disemadikan di Makam Diraja Pekan bersebelah pusara Amirul Ashraf. Biarpun Allahyarham telah tiada, nama dan pekerti yang ditinggalkan tentu sukar untuk dilupa.

Seorang rakan yang menghadiri satu majlis anjuran Badan Amal Isteri-Isteri dan Kakitangan Kerajaan Negeri Selangor (Balkis) Rabu lalu memberitahu, malam itu penyanyi Siti Nurhaliza menyanyikan lagu popular Allahyarham, Bisikan Hati. Tetamu terpegun biarpun lagu itu lagu lama. Rakan itu sendiri tanpa disedari, ada titisan melimpah daripada kelopak matanya.

``Kita kehilangannya,'' kata rakan itu dengan suara yang sebak di hujung telefon.

Hosted by www.Geocities.ws

1