lagi berita  di dalam | rafeah1 | rafeah2 | rafeah3 | rafeah4 | rafeah5 | rafeah6 | rafeah7 | rafeah8 | rafeah9 | rafeah10 |kembali |


Selebriti: Rafeah Buang insan contoh

27 July 2002

 


Allahyarham bersama suami, Tengku Asmawi


Bersama biduan Jeffrydin

MENGAIT namanya Rafeah Buang dah terserah keMelayuannya. Sesama kenalan rapat, ada yang panggil singkatan Peah saja. Cuma Jefrydin, Ahmad Jais, A Ramlie dan J Kamisah yang panggil beliau Pet.

Dia tak rasa kekok disapa begitu, walhal kita maklum dalam dunia hiburan ada ketika nama ala kekampungan mudah ditenggelamkan oleh nama komersial, kononnya bagi mudah melekat di bibir peminat.

Lebih 30 tahun mengharungi bidang seni, Rafeah bukan saja dapat mempertahankan keaslian namanya, malah ketrampilannya jelas menepati cita rasa artis Melayu yang perlu dijadikan contoh.

Beliau boleh diumpamakan satu dalam seribu. Saya katakan begini, sekalipun tak hidup sezamannya tapi melalui pengamatan, Rafeah satu-satunya artis wanita yang pandai menjaga diri, terhindar daripada gosip liar, kaya dengan budi bahasa, tertib dan tak pernah berpakaian menjolok mata.

Dalam erti kata sekarang beliau sentiasa ‘maintain’. Kalau pun timbul gosip ketika era kemuncaknya, cuma dikaitkan dengan pasangan duetnya yang cukup popular, Ahmad Jais.

Jaga imej



Namun gosip dicanangkan sekadar melukut di tepi gantang apabila Rafeah mengakhiri zaman bujang dengan Datuk Tengku Asmawi Tengku Hussin pada 1970, ketika usianya menginjak 23 tahun.

Bagi artis cantik seperti Rafeah, usia 23 tahun lazimnya dirasakan awal untuk bergelar isteri. Banyak yang mahu dikejar dalam usia begitu. Ada juga artis wanita khuatir, berkahwin ketika populariti memuncak dan berusia muda, boleh mengakibatkan peminat menjauhkan diri.

Tafsiran negatif itu ternyata tak menimpa Rafeah. Perkahwinannya dengan kerabat diraja Pahang itu terus melakarkan populariti beliau hingga berjaya menghasilkan 30 album, termasuk 12 album ketika bersama EMI, selebihnya label Polygram Record, Senada, Omry Record dan Life Record.

Sebelum bertemu jodoh, Rafeah cuba disunting seorang anak raja dari luar Semenanjung, namun rakan artis di Singapura mengusik, berkahwin dengan anak raja di Malaysia lebih memudahkan mereka berjumpa.

Asam garam berumah tangga, Rafeah tak dapat mengelak ranjau namun kerana kejujuran yang ada dalam diri, beliau dan suami berjaya mempertahankan rumahtangga mereka melebihi 30 tahun.

Kejujuran Rafeah pada suami jelas. Sekitar 1981, nama Rafeah tersenarai antara pelakon utama filem arahan ayah saya, Ribut Barat. Bagaimanapun demi menghormati suami, Rafeah menolak tawaran itu dan cuma bersedia menjadi pelakon undangan dalam filem diterbitkan Sham Tun Salleh itu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak. Agak tragis pula anak bongsu mereka, Tengku Ameerul Ashraf meninggal dunia pada 1993 dalam usia 10 tahun akibat kemalangan jalan raya.

Bagi artis wanita, lazimnya sesudah berkahwin dengan orang istana, terbinalah tembok pemisah antaranya dengan media. Ada juga yang terus jual mahal kerana berasa diri eksklusif.

Tak mudah nak interbiu artis yang dah berkahwin dengan orang istana. Mereka terikat dengan protokol ditetapkan, namun tidak pada Rafeah yang biasa saja sekalipun bertahun jadi kerabat diraja.

Taklah sesukar mana untuk mendekati Rafeah. Belum pernah dengar wartawan merungut mengenai karenah Rafeah, malah jika ada yang bertandang ke kediamannya, akan dilayan seikhlas mungkin.

Keikhlasan Rafeah jelas ketika zaman remaja, setiap kali keluar bersama teman artis, dia yang mudah berbelanja. Malah ketika aktif berlakon Sandiwara Radio di Radio Singapura sekitar 1967-1968, Rafeah yang tinggal di Tanjung Pagar sanggup ke Toa Payoh dalam setengah jam perjalanan semata-mata nak mengambil Jefrydin kerana mereka sama-sama berlakon rancangan terbitan Akil Jaafar itu.

Ketika Majlis Sambutan Hari Wanita di PWTC pada Ogos 1992, saya berpeluang menemuramah beliau di belakang pentas. Rafeah ditemani anaknya Ashraf. Keadaan beliau agak sibuk, sambil duduk di atas permaidani mengenakan mekap, tentu sekali sukar mengajaknya bersembang secara relaks.

Penyudahnya, saya terpaksa ikut bersila sama menghadap wajahnya. Sejajar dengan majlis, Rafeah sempat meluahkan falsafahnya mengenai wanita yang dikatanya, ‘Wanita berumur antara 15 hingga 25 tahun adalah seperti benua Afrika - menjadi idaman setiap pemburu’.

Kini insan istimewa tak pernah membezakan status yang bergelar Datin Rafeah Buang sudah meninggalkan kita semua. Biduanita terkenal itu meninggal dunia dalam usia 55 tahun sekitar jam 3.30 pagi Rabu lalu kerana menderita penyakit kanser pada saluran darah dan buah pinggang.

Penyakit Allahyarham mulai dikesan ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, pada 4 Januari lalu. Jenazahnya disemadikan di Makam Diraja Pekan, Pahang.

Kematian Allahyarham Rafeah tentu saja diratap mereka yang mengasihaninya. Namun betapa pengasihnya Yang Maha Esa, pada ketika kerabat diraja Pahang kehilangan ahli keluarga mereka yang berasal dari Singapura, berganti pula dengan seorang wanita juga asal dari Singapura, Cik Julita Aishah yang disunting Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Ahmad Shah.

Al-Fatihah kita semua kepada Allahyarham Rafeah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Hosted by www.Geocities.ws

1