lagi
berita di dalam | rafeah1
| rafeah2 | rafeah3
| rafeah4 | rafeah5
| rafeah6 | rafeah7
| rafeah8 | rafeah9
| rafeah10 |kembali
|
Rafeah Buang meninggal dunia
Oleh Sariha Mohd Ali (Berita
Harian Malaysia)
TENGKU
Asmawi menyiram air mawar di pusara
Allahyarhamah Datin Rafeah Buang.
PEKAN, Rabu: Penyanyi veteran, Datin Rafeah Buang , yang ulang tahun
kelahirannya ke-55 esok, meninggal dunia ketika tidur di Hospital Kuala Lumpur
(HKL), kira-kira jam 3.30 pagi ini.
Allahyarham, yang dilahirkan pada 25 Julai 1947 di Singapura, berkongsi tarikh
lahir dengan suaminya, Datuk Tengku Asmawi Tengku Hussain, 57. Malah, esok
juga adalah ulang tahun perkahwinan mereka ke-31 selepas diijabkabulkan pada
1971.
Rafeah, yang disahkan menghidap barah pada awal tahun ini, meninggalkan dua
anak, Tengku Ahmad Ashraf, 30, dan Tengku Khairil Ashraf, 29, serta seorang
anak angkat, Nur Iman Soleha, 6. Anak bongsunya, Tengku Ameerrul Ashraf
meninggal dunia pada 1996 ketika berusia 11 tahun.
Penyanyi yang popular menerusi lagu-lagu seperti ‘Kenangan di Rantau Abang’,
‘Petaling Jaya’, ‘Hati Ku Kau Curi’, ‘Udang Sama Udang’, ‘Suka
Sama Suka’, ‘Jinak Merpati’, ‘Bila dikasihi’, ‘Cinta Zaman
Sekarang’ dan ‘Don Juan’ ini, pernah mewarnai persada seni tanah air
selama tiga dekad sehingga awal 80-an.
Jenazah Allahyarham, yang diterbangkan dari stesen Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan tiba di lapangan terbang TUDM Kuantan pada jam
10 pagi ini, dikebumikan di Makam Diraja Pekan, bersebelahan pusara Tengku
Ameerrul Ashraf, petang ini.
Tengku Asmawi ketika ditemui pemberita di kediamannya di Sungai Miang di sini
berkata, isterinya mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia di sisi
seorang pembantu yang ditugaskan menjaganya sepanjang menerima rawatan di
hospital itu.
Beliau berkata, anak sulung mereka, Tengku Ahmad Ashraf, yang ketika itu
berada di rumahnya di Pandan Indah, bergegas ke hospital selepas dimaklumkan
mengenai kematian ibunya.
Rafeah dimasukkan ke HKL pada 22 April lalu untuk menjalani rawatan kimoterapi
dan kemudian dimasukkan ke Hospital Pakar Selayang kerana menghadapi masalah
kesukaran untuk makan.
"Keadaannya lemah selepas dirawat selama lima hari di Hospital Selayang
untuk menjalani proses memasukkan tiub ke dalam perutnya berikutan tali
perutnya mengecil.
"Allahyarham keluar dari Hospital Selayang dan dimasukkan semula ke HKL
tiga hari lalu. Ketika itu, makanan hanya dimasukkan melalui tiub,” katanya.
Kali terakhir Tengku Asmawi menemui isterinya itu ialah Jumaat lalu di
Hospital Selayang. Beliau terpaksa berada di sini kerana menjadi Penghulu Adat
sempena perkahwinan diraja Tengku Muda Pahang dijadualkan Sabtu ini.
Tengku Asmawi berkata, penyakit Rafeah itu disedari selepas Allahyarham
menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 2
Januari lalu kerana sakit dada.
Pemeriksaan doktor mendapati ada kanser pada saluran darah di tulang
belakangnya. Rafeah, yang turut disahkan mengalami ulser di bahagian usus dan
buah pinggang, kemudian menjalani rawatan kimoterapi di HTAA pada 28 Januari.
Pada 4 Februari, Allahyarham diterbangkan dengan penerbangan ihsan TUDM ke HKL
untuk rawatan kimoterapi kedua. Pada 1996, Rafeah pernah dirawat kerana
menghidap barah rahim.
Turut menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah
Sultanah Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Puan Pahang, kerabat diraja,
isteri Menteri Besar, Datin Seri Junaini Kassim, isteri Menteri Penerangan,
Puan Sri Zurina Kassim dan pakar masakan Chef Wan.