lagi berita di dalam | rafeah1 | rafeah2 | rafeah3 | rafeah4 | rafeah5 | rafeah6 | rafeah7 | rafeah8 | rafeah9 | rafeah10 |kembali |
|
BELASUNGKAWA RAFEAH BUANG
:
PENYANYI 'BERSUARA MELAYU' DAN BERHEMAH TINGGI Oleh |
|
TIADA siapa dapat menafikan keunikan suara Allahyarhamha Rafeah Buang, tetapi tidak ramai pula yang menyedari penyanyi yang disifatkan 'bersuara Melayu sepenuhnya' itu sebenarnya juga merupakan seorang penggubah lagu dan penulis lirik yang tinggi nilai bahasanya.
Antara lagu yang ditulisnya termasuklah lagu Hari Raya iaitu Bila Takbir Bergema, Don Juan, Hatiku Kau Curi, Udang Sama Udang, Sejak Kau Kembali dan Daun-Daun Berguguran yang menggabungkan karya kreatifnya bersama suami tercinta, Tengku Asmawi.
Orang pertama yang membawa penyanyi itu ke bidang rakaman dengan syarikat EMI Singapura, Kassim Masdor, menyifatkan kebolehan Allahyarhamha sebagai sesuatu yang wajar disegani kerana tidak ramai penyanyi seangkatannya berkebolehan dalam bidang penulisan kreatif dan menggubah lagu.
'Allahyarhamha berhemah tinggi dan cukup berkebolehan. Tak pernah menyusahkan saya malah banyak membantu dengan mengusulkan idea-idea yang cukup baik. Saya sebagai penerbit kebanyakan EP dan LP-nya sendiri cukup kagum dengan lagu-lagu gubahannya sehingga ada yang begitu popular sampai sekarang,' kata Kassim.
Yusnor Ef, yang juga banyak menghasilkan lagu untuk Rafeah pula menganggap kebijaksanaan dan disiplin tinggi yang dipegang penyanyi kelahiran Singapura itu sendiri yang menjadi senjata penting bagaimana beliau dapat bertahan sehingga akhir hayatnya.
'Memang banyak nilai yang ada pada Allahyarhamha patut dicontohi penyanyi muda sekarang. Sebagai penyanyi, beliau tidak pernah memikirkan tentang dirinya semata bahkan melihat bagaimana penglibatannya dalam bidang nyanyian dapat mencorakkan dunia seni Melayu. Apa pun yang beliau lakukan, ada makna yang positif,' kata Yusnor.
Ahmad Jais, pasangan duet popular Allahyarhamha menerusi lagu Juwita Ku Sayang dan Joget Mengikat Janji berkata beliau sempat beberapa kali melawat penyanyi veteran itu ketika beliau terlantar sakit di Hospital Besar Kuala Lumpur bersama rakan-rakan seperti Jefrydin.
'Semasa zaman 60-an dan 70-an dulu, kami termasuk Allahyarham A. Ramlie dan Jefrydin, merupakan kawan yang begitu akrab kerana kami sering diundang bersama-sama untuk sesuatu pertunjukan. Jadi, banyak pengalaman suka duka yang kami kongsi bersama,' kata Ahmad Jais yang kini berada di Melaka, ketika dihubungi menerusi panggilan jauh.
Seorang lagi pasangan duet Allahyarhamha, R. Ismail (lagu nyanyian bersama mereka ialah Gurindam Jiwa dan Selasihku Sayang, tidak dapat dihubungi.
'Sebagai rakan duet, saya lihat Allahyarham sebagai seorang yang kuat berusaha dan cukup menyanjung lagu Melayu. Memang pemergiannya satu kehilangan yang besar bagi dunia seni kita,' kata Ahmad Jais lagi.
Kata-kata rakan-rakan seperjuangan Allahyarhamha mengenai perjuangannya memartabatkan lagu-lagu Melayu itu mengingatkan penulis tentang interviu yang pernah dibuat sekitar dua tahun lalu.
Ketika itu, Allahyarhamha cukup memuji langkah para penyanyi muda termasuk Siti Nurhaliza memajukan lagu-lagu tradisional Melayu dalam arus permodenan hari ini.
Bekas pelajar Madrasah Alsagoff dari akhir 1950-an sehingga 1963 itu berkata:
'Dulu zaman muda saya, setiap kali saya timbulkan keinginan nak bawa lagu tradisional, penerbit kata... ooo... itu lagu kampungan dan tak akan mendapat sambutan. Penerimaan orang Melayu terhadap lagu-lagu tradisional mereka sendiri begitu rendah sehingga ada penyanyi menolak lagu seperti itu kerana takut dikatakan kampungan,' ujarnya.
'Tiada siapa dapat memartabatkan seni budaya Melayu kalau bukan orang Melayu sendiri. Kitalah yang perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan nilainya dan meletakkannya di tempat pertama, bukan mengagungkan muzik Barat yang bukan hak kita. Orang Melayu tak boleh lawan orang putih dengan muzik Barat mereka.
'Adalah sesuatu yang hina kalau kita hanya tahu berbangga dengan hak orang lain dan membiarkan muzik tradisional Melayu di pinggiran,' katanya bersemangat.
Sepanjang kerjaya dalam dunia seninya, Allahyarhamha pernah berkata antara lagu yang paling meninggalkan kesan dalam dirinya termasuklah Si Dia ciptaan Ali Ahmad, Udang Sama Udang dan Anak Yang Belum Lahir ciptaan Kassim Masdor serta Hari Cuti Nan Lalu ciptaannya sendiri.
'Album-album saya paling banyak terjual kerana populariti lagu-lagu tersebut,' katanya.
Penceburan Allahyarhamha Rafeah dalam bidang seni suara bermula dengan pancaragam Sahaja Begitu, yang turut dianggotai bapanya, Haji Buang Haji Amin (Allahyarham), yang bermain double bass.
Pancaragam yang popular di daerah Tanjong Pagar itu sering mengadakan latihan di Kampung Pisang, di belakang Stesen Kereta Api Tanjong Pagar.
Ketika berusia 14 tahun, Rafeah muncul dalam rancangan radio khas untuk para perajurit yang bertajuk 'Pasukan Kawalan' terbitan Ibrahim Isa (Allahyarham), bersama-sama para perajurit yang jauh lebih dewasa.
Allahyarhamha juga pernah menjadi Juara Bintang Radio Seluruh Malaysia 1964 dalam lagu-lagu asli dan menjadi penyanyi lagu-lagu filem termasuk Gurindam Jiwa gubahan Wandly Yazid.
Gara-gara lagu Kaca Mata tulisannya, lagu yang mengusik lelaki yang suka mengganggu wanita itulah yang dikatakan membuat seorang anggota kerabat diraja Pahang terpaut kepadanya.
Tengku Asmawi Tengku Hussein (kini 58 tahun), akhirnya menjadi suaminya.
Hari ini, Allahyarhamha Rafeah, yang pernah dikurniakan darjat Toh Puan Setia, seharusnya menyambut ulang tahunnya yang ke-55.
Pemergiannya meninggalkan kenangan dan khazanah seni yang wajar disambung penggiat seni muda sepanjang zaman. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Al-Fatihah.