lagi berita di dalam | rafeah1 | rafeah2 | rafeah3 | rafeah4 | rafeah5 | rafeah6 | rafeah7 | rafeah8 | rafeah9 | rafeah10 |kembali |
Rafeah dalam satu program RTM menyanyikan lagu Udang
Sama Udang.
|
Belasungkawa
Oleh Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia, Malaysia)
``Anak Cina memasang lukah, lukah dipasang di Tanjung Jati,
Dalam hati tidak ku lupa, Bagai rambut tersimpul mati.''
Demikian bait pantun dalam lagu Gurindam Jiwa yang dinyanyikan oleh Datuk Rafeah
Buang bersama AR Ismail untuk filem Gurindam Jiwa. Filem itu meminjamkan
nyanyian Rafeah dan AR Ismail untuk digayakan oleh Nordin Ahmad dan Latifah
Omar.
Menjelang subuh semalam, sehari sebelum genap ulang tahun kelahiran ke 54, Rafeah telah menghembuskan nafas terakhir setelah sekian lama menderita melawan penyakit barah yang dihidapi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarham diterbangkan ke Pekan, Pahang dan disemadikan di sebelah pusara anaknya, Tengku Amirul Ashraf di Makam Diraja Pekan, petang semalam.
Dari Singapura dan kemudian menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Pahang, Allahyarham tidak pernah menjadikan kedudukan sebagai pemisah dengan masyarakat biasa.
Allahyarham terus menyanyi selepas berkahwin dengan Tengku Asmawi Tengku Hussein tahun 1970.
Bait pantun Gurindam Jiwa seperti serasi dengan peribadi Allahyarham yang aktif dalam aktiviti masyarakat selain sesekali diundang menyanyi untuk majlis-majlis kenamaan. Kerana itu siapa yang akan dapat melupakan jasa dan prihatin Allahyarham sentiasa mendampingi masyarakat.
Tentunya yang merasa kehilangan pada subuh semalam bukan saja keluarga dan sanak saudara Allahyarham malah siapa saja yang mengimpikan seorang artis yang beradab sopan dan bebas daripada kontroversi.
Dalam kemasyarakatan, Allahyarham bergiat dalam Lembaga Perempuan Islam Pahang, Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, Jawatankuasa Antidadah Daerah Pekan dan Pergerakan Wanita UMNO Pekan.
Allahyarham meninggalkan suami, Tengku Asmawi seorang kerabat diraja Pahang, dan tiga orang anak iaitu Tengku Ahmad Ashraf, Tengku Khairil Ashraf dan Nurul Iman Saleha.
Dilahirkan di Kampung Pisang, Singapura pada 25 Julai 1948 dan bintang dalam dunia nyanyian berkilau selepas menjuarai Bintang Satria Singapura tahun 60-an. Kejuaraan itu bagaikan percikan cahaya tentang kelahiran seorang penyanyi baru yang mempesonakan. Ada rupa, ada suara dan ada santun gadis Melayu.
Allahyarham pernah disambut sebagai seorang wira oleh orang-orang kampung di stesen kereta api Tanjung Pagar, Singapura semasa pulang membawa kejayaan sebagai juara Bintang Radio di Kuala Lumpur. Ketika itu Allahyarham menyanyikan lagu Bakti Setia.
Sepanjang penglibatan sebagai penyanyi, Allahyarham telah menawan hati peminat dengan lagu-lagu seperti Gurindam Jiwa, Selasih Ku Sayang, Kenangan Di Rantau Abang, Don Juan, Bisikan Hati dan Di Luar Jendela.
Allahyarham juga antara artis yang menjayakan majlis pelancaran Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) di Hotel Pan Pasific pada Januari 2000. Pada majlis itu Allahyarham menyanyikan tiga lagu iaitu Kenang Daku Dalam Doamu, Di Wajahmu Ku Lihat Bulan (duet bersama Sani Sudin) dan Selamat Tinggal Bungaku.
Rakan Allahyarham, penyanyi Jefrideen berkata, semasa di Singapura Allahyarham bermula dengan lagu-lagu langgam dan asli kemudian baru menyanyikan lagu pop 60an.
``Masa itu syarikat rakaman merancang menerbitkan album duet saya dengan Allahyarham, tetapi tidak tercapai hingga kami berpindah ke Kuala Lumpur,'' kata Jefrideen ketika dihubungi semalam.
Menurut Jefrideen, beliau hanya berduet dengan Allahyarham semasa membuat pertunjukkan pentas tahun 60-an.
Penyanyi veteran Ahmad Jais yang pernah merakamkan lagu duet dengan Allahyarham berkata, lagu Juita Ku Sayang meninggalkan kenangan manis mereka kerana popular ketika tahun 60-an.
``Kami memang selalu berjumpa semasa membuat persembahan, dah macam keluarga bila sama-sama ke Kuala Lumpur,'' kata Ahmad Jais yang sebelum ini telah beberapa kali melawat Allahyarham di Hospital Kuala Lumpur.
``Suara dan peribadi Allahyarham seimbang. Di situ kelebihan yang membuatkan orang terus mengingati sekalipun telah lama tidak menyanyi,'' ujar Ahmad Jais yang tidak sempat melawat untuk kali terakhir kerana berada di Melaka.
Penyanyi generasi baru, Siti Nurhaliza mempunyai ingatan manis kerana pernah bersalam dengan Allahyarham semasa kanak-kanak.
``Setelah saya jadi penyanyi, Allahyarham selalu berpesan, teruskan apa yang saya lakukan sekarang,'' kata Siti Nurhaliza yang menyelitkan lagi Bisikan Hati yang dipopularkan oleh Allahyarham.
Banyak kalangan peminat tidak tahu bahawa selain menyanyi Allahyarham juga meminati bidang penulisan dan menganggotai Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) bersama beberapa sasterawan terkenal semasa di Singapura. Kerana itu tidak hairanlah kalau Allahyarham merupakan kolumnis majalah URTV terbitan Kumpulan Utusan sejak 1993 hingga 2001.
Malah turut menghasilkan buku daripada penyelidikan terperinci mengenai sejarah asal usul kain tenunan Pahang. Buku bertajuk Kain Tenun Pahang itu dihasilkan setelah lebih setahun membuat penyelidikan sebagai dokumentasi khazanah seni yang hampir pupus.