Mulai online pada  Jun 2002

Fikir:

It's year 2003 And nothing has changed Past generation has Let us write the next page It's time for us to change It's up to you & me Either we make history or we become history...

Aluan Pujangga: "Sepanjang setahun saya online - pelbagai perkara telah saya beroleh, suka duka, pengalaman, kawan dan sokongan semuanya memberikan saya inspirasi untuk terus menulis!"

sms tru: +20106553517

Sejarah Banner:

Banner  pertama ciptaan Putri untuk PUJANGGA Online. Terima kasih buat Putri.

       Ini banner ke-2 yang Wanzu buat untuk PUJANGGA Online. Syukran buat Wanzu.

        Ini pula banner ciptaan Anas sempena menjelang setahun online PUJANGGA Online, thanks buat Anas.

       Ini pula banner ciptaan Pujangga sendiri.

Inilah banner terkini karya Qahafi, syukran! nak baca kisah lucu JUHA sila ke jurnalnya.

saya gengjurnal:

Kajian Peribadi:

Kajian 1
Kajian 2
Kajian 3
 

Capaian Alternatif

Capaian Arkib:

 

iklan:

"Saya menerima sebarang bentuk sumbangan sama ada zakat, biasiswa, dermasiswa dan sedekah atau derma fi sabilillah yang boleh disalurkan kepada saya untuk menampung kos pembelian kitab-kitab rujukan. Sila emelkan kepada saya!"

Ini Versi 2.0

 

 "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, hendaklah kamu selidiki kalau-kalau kamu memusibahkan sesuatu kaum tanpa pengetahuan lalu kamu menyesali atas perbuatmu." (Al-Hujurat: 6) &
Khalifah Abdul Malik bin Marwan pernah menuturkan: "Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat."

...................... .:: Catatan moden dari zaman klasik ::. ......................

Capaian PUJANGGA Online:

 Intro | Diri | Keluarga | J U R N A L J A L A N H I D U P | Cerpen Akhi Masrawi | Puisi Online | Cerpen Online | Dialog Islam - Kristian | Koleksi E-muzakarah | Anjung Tamu v. de | Galeri | Gambar Kembara | Penghargaan


Update terakhir pada catatan paling awal                                                      Update pada bila-bila masa...

                      

Tarikh pada catatan ialah tarikh saya menulis!

30 Jun 2003 | Isnin | 11.04 am

Catatan satu

+ Pulang ke Cairo untuk urusan mutabaah pengisi. Ya, alhamdulillah Pak Tam dan Syahrul Azman sudah konfirm. Cuma beberapa orang saja lagi yang tak terselesai lagi sebab petang semalam tergesa-gesa pulang ke Tanta sebab ada urusan.

+ Sampai di Ramses malam Sabtu tu, tiada pula tramco yang akan ke sabiek... jadi saya buat keputusan naik saja coaster (bas mini) ke Rumah Perlis, 'Abas Aqad. Mujur ada Paklang dan Fauzi Hashim, Zagazig. Borak lebih kurang, entah macammana terkeluar pula topik kahwin. Aduh! Realiti yang terpaksa dihadapi. Terfikir, banyak perkara lagi yang rasanya belum memadai, wajarlah belum bertemu calon.

+ Nabil telefon minta hantarkan wangian Pleasure ke asrama Johor di Thamin kepada Rosdi. Asalnya nak berikan saja wangian tu kepada Nabil, sebab Iwan yang suruh saya bawa dari Tanta kepada Nabil. Barulah saya tahu yang wangian tu untuk Zairol yang pulang ke Malaysia pagi Jumaat lepas. Masuk ke asrama Johor, naik ke tingkat atas sekali. Masuk dewan Ibn Sina, tak ada orang. Kemudian beranikan diri jengah pejabat. Tanya Rosdi ada tak, orang tu cakap "Rosdi kat bilik 7". Pergi depan pintu bilik 7 tanya "Rosdi ada tak?" seorang student tu cakap "Rosdi kat bilik sebelah" Masuk bilik sebelah tanya lagi, kemudian seorang ustaz hulurkan tangan dan saya tanya pula ustaz tu Rosdi ..bla..bla..Ustaz tu tarik tangan saya ke bilik 7 kembali, kemudian dia panggil Rosdi, kemudian dia cakap "ha... tu Rosdi, ini Rosli."

+ Pagi Sabtu Ramli datang ke rumah Perlis. Bincang gerak kerja dan sembang-sembang. Auzaie dan Mahadi pula sampai. Dah lama tak jumpa Auzaie, gurau-gurau dengan dia. Dia guna telefon saya untuk buat panggilan kepada Farhey. Kebetulan bertemu saya bergurau nak gunakan tenaga dia. Dia ragui kelayakan. Kemudian saya kata "Jurulatih bola sepak tak semestinya boleh buat apa yang dia ajarkan kepada pemain." Auzaie diam. Kemudian dia cerita pasal hp dia di Malaysia dulu, dia beri pada seseorang sebab orang tu beri dia zakat. Hampir-hampir dia nak datang ke Mesir pula orang tu beri lagi zakat pada dia. Orang tu kata duit tu bukan harga HP tapi, zakat. Memang jauh nilai dengan hp yang lebih murah dari duit yang dia dapat tu. Kami buat kesimpulan betullah peribahasa "orang berbudi kita berbahasa". Lepas Auzaie guna hp saya dia lilitkan sekali duit telefon. Saya perasan dan kembalikan. Kemudian sambil bergurau saya kata: "Tak rugi berbudi dengan anta." Masa dia minta izin nak pulang, dia hulurkan Le 6 dan katakan itu sebahagian duit zakat yang dia dapat dan dia nak beri pada saya juga. Alhamdulillah.

+ Saya pelik juga, macammana Q.a boleh tahu yang saya sedang berada di Cairo. Q.a call dan minta tolong saya bawa pulang SK edisi Iskandariah ke Tanta. Jawapan kepada perkara ini saya temui di rumah Nabil. Mula-mula saya cakap ada Skei terkini. Kemudian Anuar pula tanya Q.a ada call saya tak? Latip pula tanya N.a atau Q.a ada call Anuar tak. Oh! Rupanya baru saya tahu macammana Q.a boleh tahu saya ada di rumah Perlis. Lepas N.a call Latip dia bagitahu no Anuar. Kemudian Q.a dan N.a call Anuar dan tanya kalau-kalau dia nak ke Tanta. Kebetulan malam tu Anuar jumpa saya di Rumah Perlis, terus dia beritahu saya ada di Cairo sekarang. Anuar pula buat hairan, sebab Q.a tak tanya pun no. phone saya. Saya tak hairan sebab Q.a memang dah ada no saya dan pernah buat urusan Skei sebelum ini.

+ Skei kali ini cun, secun akhawat-akhawat alex juga. Fokus tentang pengklonan. Cerpen yang saya edit dulu berjudul Nurhidayah karya Nurkenari ada dengan ilustrasi yang cantik. Artikel saya bertajuk Karya Sastera Kita: Mampukah menghantar mesej? pun ada. Tertarik dengan resepi Skei, kalau siapa yang ada Skei cubalah. Saya dengan chui dah munaqasyah...Chui kata tak logik, masam, makaronah tu sikit tapi bahan-bahan lain melampau dan sos, solsoh (tomato puri) dan tomato buah banyak sangat... dan kami buat keputusan kami ikut resepi kami yang lama lah. :) Jangan marah orang Alex kalau baca! Elok teliti sikit, sebab resepi Alex ni selalunya orang nak tengok. Sempat juga sms maksu saya di Alex, dia suruh cuba dulu.

+ Q.a (ketua editor) Skei beri cenderahati, sebuah Skei dan penanda buku kepada saya dan ucapan terima kasih sebab tolong Skei dari awal sampai habis. Buat wewr nak suruh ana beli ke nak ana minta cenderahati untuk wewr satu?

+ 1 Julai ada mesyuarat. 2 Julai kena pergi Alex untuk diskusi kitab al-Qaumiyyah. Jadual untuk Julai agak ketat. Banyak projek.

+ Nampaknya ini catatan akhir untuk Jun 2003. Bertemu lagi pada Julai nanti.

Kata-kata Pujangga: "Hidup ini adalah keputusan diri sendiri."

Sila klik  Respon/Komen

 

26 Jun 2003 | Khamis | 14.50 pm

Catatan Satu

Dunia Islam Tenat!

DALAM sebuah artikel yang ditulis oleh Subki Latif, menjelaskan bahawa seorang padri - Jerry Fakwell dari Amerika disifatkan begitu biadap sekali apabila si padri tersebut menempelak Nabi Muhammad SAW sebagai pengganas di dalam kenyataannya. Sekurang-kurangnya dengan penyertaan seorang padri dalam kerancakan barat mentohmah dan memburukkan imej Islam dan umatnya sebagai pengganas bukan sahaja takrif keganasan itu diterjemahkan melalui suara orang 'berkot hitam' dalam dunia sepak terajang politik, malah melibatkan mulut institusi gereja yang sewel lagi menyesatkan itu.

Kalau beberapa waktu sebelum ini dunia hanya digemparkan dengan pendominasian media massa antarabangsa yang dikuasai barat dalam menghentam Islam dan umatnya sebagai pengganas dan menganjurkan keganasan, senario hari ini mungkin sedikit berbeza. Semalam hanya kaki politik sahaja yang bersemuka dalam siri penghentaman itu, tetapi hari ini padri sendiri yang turun padang. Mengapa ini semua berlaku?

Sebagai salah seorang umat Islam seharusnya kita menyedari situasi yang berlaku. Sekurang-kurangnya sensitiviti kita terhadap isu-isu seperti ini membuka minda dan ruang untuk umat Islam kenal siapa mereka. Tetapi bukan kenal bahawa mereka adalah pengganas!

Saya tidak begitu tertarik dengan isu ini berbanding isu penulis 'islam' yang menghina agamanya sendiri. Tentu kita semua sedia ma'ruf akan nama-nama seperti Farish Nor, Akbar Ali, Zainah Anwar dan NGOnya Sister In Islam (SII), Astora Jabat dan Malik Imtiaz Sawar (sekadar menyebut beberapa nama) yang begitu 'berani' menulis dan berhujjah menghina Islam dan keperibadian Islam seperti Baginda SAW, para Mufti dan Ulamak. Mereka ini bertopengkan dengan nama dan pertubuhan berlabel Islam untuk menghina Islam itu sendiri.

Sekurang-kurangnya jika Jerry Fakwell melabelkan Islam dan nabinya sebagai pengganas berpadalah bahawa dia hanya seorang paderi. Tetapi sekiranya yang menuduh dan memburukkan Islam itu seorang Islam dan berautoritikan pertubuhan Islam seperti SII adakah ini tidak lebih melampau berbanding paderi itu?

Farish Nor di dalam artikelnya: ["Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On Sexuality"] yang termuat di New Straits Time 4 November 2000 antara lain menulis:

"...The fact that the Prophet had several wives and was known to have had sexual relations with 15 women, which included the concubine Rayhana who remained non-Muslim all her life is proof of the humanity of the Prophet."

Terjemahan: "Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti mengenai sifat kemanusiaan Nabi"

dan di dalam artikel ["The Myth Surrounding the Islamic State"] NST 1hb Disember 2001:

"... the Prophet himself, in his specific historical context, was a tribal leader, and so the early oath of allegiance given to him were as atribal rather than just a religion leader."

Terjemahan: "... Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin suku, dan oleh kerana itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda adalah pemimpin suku lebih dari pemimpin agama.." dan beberapa contoh lain lagi (sekadar menyebut beberapa contoh).

Beberapa contoh yang saya kemukakan itu jelas menunjukkan pendirian dan kefahaman Farish tentang apa itu Islam. Apakah seseorang itu benar-benar Islam apabila sanggup melabelkan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang bersifat tidak senonoh itu!. Di mana letaknya kedudukan seorang anak apabila sangguh mencela ayahnya sendiri? Inikan pula seorang Nabi! Saya lebih kecewa dan marah akan hal ini. Apa tidaknya seorang manusia yang maksum (tidak melakukan dosa) seperti para nabi sentiasa diberikan petunjukkan dalam setiap tindakannya bukan bahan cela manusia seperti Farish. Nabi tidak bercakap berdasarkan hawa nafsu, segala yang dituturkan adalah wahyu. Apa lagi perbuatannya mencerminkan syariat!

Akbar Ali pula menulis artikel: "Now The Mufti Blame Hindi Films", di dalam The Sun, 21 Februari 2001:

"Perhaps the turbans of the mufti are too tight and therefore not enough oxygen is getting into their brains. They are not thinking straight."

Terjemahan: "Mungkin serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu tidak cukup oksigen masuk ke dalam otak mereka. Mereka tidak berfikiran waras."

Apakah autoriti Akbar Ali untuk mempertikai kedudukan mufti, keilmuan, kewibawaan mereka dan menghina amalam sunnah yang dipraktikkan? Akbar tidak sepatutnya sekali-kali menghina sunnah sekiranya dia sendiri tidak mampu melaksanakannya. Inilah salah satu bentuk penghinaan yang melampau. Malah bukan itu sahaja Akbar juga menyifatkan perundangan islam sebagai perundangan yang tidak adil menerusi artikel yang ditulisnya: "Death for Apostates Unjust" oleh Akbar Ali - The Sun, 14 Julai 1999.

Manakala NGO Sister In Islam juga acap kali mengeluarkan kenyataan, artikel dan rencana yang menyeleweng dari Syariah Islamiah itu sendiri. SIS bukan sahaja telah mengeruhkan pemahaman Islam berkaitan wadah perjuangannya untuk mempertahankan hak golongan wanita, malah turut mengecam institusi Fiqh Islami bilamana sengaja menimbulkan kekeliruan dan pandangan yang salah berkaitan hal hukum-hakam. Saya pernah menulis satu artikel tentang kebodohan SIS menilai perundangan Islam dalam erti kata SIS bukan sahaja keliru malah mengelirukan.

Selain itu, Zainah Anwar, Kassim Ahmad, dan Malik Imtiyaz Sawar antara pemuka tambahan yang sering mempersoalkan tentang Islam. Muak rasanya berhadapan golongan seperti ini. Saya suka menyifatkan golongan seperti ini sebagai 'pengikut hawa nafsu' akibat meletakkan wahyu di bawah tapak kaki mereka sendiri.

Bagaimanapun, pemahaman Islam yang jernih dan hakiki perlu diperkemaskan semula. Manusia-manusia seperti Farish Nor, Akbar Ali, Zainah Anwar dan NGOnya Sister In Islam (SII), Astora Jabat dan Malik Imtiaz Sawar dan seangkatan dengan mereka wajar kembali kepada Islam yang hakiki. Buanglah kepentingan apa-apa demi kemaslahatan di akhirat kelak. Saya percaya, dunia Islam tidak akan rugi dengan kebiadapan yang ditonjolkan kalian, tetapi ingatlah bahawa Janji Allah pasti berlaku.

Catatan Dua

+ Hari ini dapat satu pengajaran baru. "Jangan letak gelas minuman sebelah PC (lebih-lebih lagi bersebelahan keyboard). Hari ini juga saya redha menerima takdir, keyboard saya sudah rosak. Ini semua gara-gara semalam se'kole' (separuh je) kopi ais yang saya jadikan teman semasa bermain komputer telanggar oleh tangan sendiri. Akibatnya hari ini baru tahu. Selepas saja tertumpah ke atas keyboard, cepat-cepat saya mengelap, namun apa boleh buat agaknya zarah-zarah kopi tu dah masuk ke ruang kecil dan merosakkan sistem papan kekunci berjenama X-tream itu. Hari ni bila saya tekan a, tak keluar. Tekan pula m, juga tak keluar. Bukan notepad cuba semua kunci... wah banyak juga yang tak mahu keluar. aduh!

+ Ini saya menulis dengan menggunakan papan kekunci milik Anwar yang sedang bercuti di Malaysia sekarang selepas saya telah pun mengambil monitornya (pinjam sementara). Keyboard dia ni jenama Turbo-Media, kunci-kuncinya boleh tahan. Timbul ide, boleh guna semesntara. Tapi saya cadang nak beli sendiri lah, bukan apa... takut ada pulak keybord yang menerima nasib malang lepas ni. - moral: jangan letak gelas minuman di sebelah PC.

+ Oh ya, pembaca daripada Malaysia yang membaca jurnal ini minta beri respon kalau-kalau tahu tentang harga-harga aksesori komputer di Malaysia sekarang. Kalau boleh nyatakan jenama dan harganya sekali. Ok, untuk memudahkan kerja saya nyatakan kehendak saya. Saya nak tahu harga bagi PC lengkap yang ada (Motherboard pentium 4, Prosessor, VGA card, sound card, CPU, flopy, CD room 50 atau 52X, hard disk 40 gega, monitor (apa je lah), sound multimedia, keyboard, mouse dll yang patut). Siapa yang tahu harga pasaran boleh beritahu saya. Sebabnya saya bercadang untuk jual PC (JASA) saya ni di sini dan balik ke Malaysia beli yang lain. PC amat penting bagi saya terutama untuk projek buku saya dan penulisan. Tanpa PC hidup sepi. Oh ya... kalau ada sesiapa yang tahu harga laptop, notebook pun boleh bagi tahu sekali. Kalau keberatan nak isi dalam Anjung Tamu antar ke emel saya, [email protected].

Kata-kata Pujangga: "Tidak berakal seseorang manusia apabila tidak mahu menerima dan meminta nasihat daripada orang lain."

Sila klik  Respon/Komen

 

24 Jun 2003 | Selasa | 13.51 pm

Catatan Satu

Falsafah Sebatang Mancis

Sewaktu saya hendak menyalakan dapur dengan menggunakan api dari sebatang mancis, saya sempat berfalsafah. Sebatang mancis yang saya pilih dari puluhan mancis yang lain dikorbankan dengan sekali goris pada kotaknya untuk menyalakan api dapur. Saya memerhati api yang memercik, kabat yang terbakar dan asap yang melantun menghasilkan satu melodi bunyi dan bau yang mencengkam hidung. Api yang menyala di kabat batang mancis itu perlahan-lahan membakar batang kayu mancis pula, kemudian saya biarkan sampil memerhati dan berfikir tentang kehidupan.

Agak-agaknya kehidupan kita ini juga seperti batang-batang mancis itu. Kenapa tidak... batang mancis yang satu itu tidak akan berguna lagi setelah kabatnya dibakar dan dapur dinyalakan. Sama ada si pembakar mancis akan membiarkan nyalaan yang terhasil membakar keseluruhan kayu mancis atau memadamkannya, betapa api kehidupan mancis itu sangat pendek jaraknya. Oleh itu saya ibaratkan kehidupan ini sama juga seperti hayat sebatang kayu mancis.

Kayu mancis yang saya pegang itu akhirnya terbakar keseluruhannya. Kesemuanya sudah hitam legam dan reput sehingga mudah dipatah-patahkan dan dihancurkan. Imej asalnya sudah sirna, yang tinggal hanyalah debu-debu hitam yang bisa mengotorkan jari.

Saya berfalsafah lagi, setiap batang mancis di dalam kotak mancis tentunya menghitung hayat mereka. Setiap kali saya hendak menyalakan api dapur setiap kali itu jugalah kotak mancis itu akan terkuak pintunya dan jari-jemari saya menguis-nguis batang-batang mancis yang ada di dalam kotak kecil itu untuk memilih dan mengambil sebatang mancis. Mancis yang terpilih itu kemudiannya akan dikorbankan sebagaimana teman-temannya yang terdahulu untuk kepentingan manusia seperti saya.

Bermulalah saat kehidupan api pada mancis itu, kala digoriskan kabatnya ke kotak asal di mana setelah itu akan menghasilkan api yang dikehendaki. Dalam hayat manusia saya mengibaratkan gorisan itu sebagai sebuah kelahiran. Api yang menyala pada batang mancis itu ibarat jalan kehidupan yang dilalauinya dan terpadamnya api mancis itu sebagai kematiannya.

Mancis-mancis tidak tahu sejauhmana jarak api nyalaan mereka. Setiap kali digoris dan api yang membakar terhasil itulah manfaaat yang terpamer. Bila manfaatnya sirna nyalaan juga pergi. Akhirnya batang mancis itu terbuang lantaran manfaatnya sudah tiada.

Kita manusia juga tidak tahu bila api nyalaan kita (nyawa) akan terpadam. Yang tentunya api sedang menyala, kita sedang melalui jalan hidup itu. Gorisan pertama sudah berlalu sejak pertama kali kita keluar dari perut ibu. Kini nyalaan itu akan menuju ke terminal terakhir, di mana nyalaan akan padam. Sudahkah kita bersedia menuju ke sana?

Kita bermula dengan dialunkan azan dan berakhir dengan disolatkan, agak-agaknya berapa lama jarak masa antara azan dan solat! Itulah tempoh kehidupan kita.

Kata-kata Pujangga: "Seorang juara tidak menangguhkan kerjanya."

Sila klik  Respon/Komen

 

22 Jun 2003 | Ahad | 16.10 pm

Catatan Satu

Sifir Kehidupan: Mari menghitung!

Dalam kehidupan ini kita ada sifir untuk dihitung. Jawapan dari congakan sifir itu selalunya tepat sebagaimana hitungan di atas kertas. Tidak akan ada jawapan yang lain bagi jumlah 2 X 2 yang sudah tentu 4, walaupun melalui kaedah 2 + 2 juga 4. Di dalam iktiqad seorang hamba kita mengenalinya sebagai sunnatullah.

Mari kita mula mengira: Selalunya balasan bagi perbuatan baik mengikut sifir kehidupan adalah juga balasan yang baik. Seorang yang menolong orang biasanya akan ditolong pula. Seseorang yang memperdaya, menganiaya orang lain selalunya akan menerima balasan yang buruk sebagaimana keburukan yang dilakukannya kepada orang lain. Itu yang saya katakan sebagai salah satu sifir kehidupan. Banyak lagi contoh-contoh yang lain yang juga merupakan sifir kehidupan.

Tetapi, kadangkala sifir ini berubah. Namun bukan kerana jawapannya yang berbeza, tetapi sifir ini berubah bila pengiraannya tidak sebagaimana yang sepatutnya. Di dalam ilmu matematik, jalan kira adalah antara faktor untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Bila jalan kiranya salah, selalunya jawapannya juga salah... kecuali jawapan meniru!

Kita boleh menolong orang, tetapi jangan mengharap kita akan ditolong! Berapa ramai yang kita mahu tolong, tolonglah! Tetapi jangan mengharap dibalas. Ini salah satu sifirnya. Bila pula ia menjadi salah? Apabila kita menolong orang dan kita mengharap orang itu akan menolong balas kita pula nanti.

Bumi ini tidak dijadikan sia-sia. Peredaran cakerawala di paksinya berputar mengikut laluan dan tempohnya yang tertentu pernahkan kita fikirkan? Kejadian malam dan siang yang sering bersilih ganti, pasang surut air laut, gerhana, hujan, bencana alam, sehingga ke perkara yang paling seni sebenarnya berjalan mengikut sunnah yang telah disusun. Semua itu juga berjalan atas kiraan yang ditentukan. Bayangkan jika malam berterusan dan siang tidak muncul, apa akan berlaku?

Jangan salahkan orang lain bila sifir itu berubah. Jangan kecewa kalau hari ini kita menolong seseorang, sehingga suatu masa nanti bila kita amat mengharapkan pertolongan orang itu, dia tidak dapat menolong. Jangan salahkan orang lain! Tolong jangan salahkan orang lain!

Menonton kehidupan manusia realiti tidak seumpama menonton lakonan manusia dalam filem. Apa yang berlaku dalam susunan plot filem mungkin tidak boleh terjadi dalam dunia realiti. Begitu juga setiap yang ditulis dalam plot-plot cerpen atau novel kadangkala khilaf dengan dunia sebenar walaupun karya kreatif juga selalunya menceritakan kehidupan manusia.

Dalam filem hero biasanya tidak dapat dikalahkan. Falsafah bagi watak hero adalah menang. Dalam setiap hal yang dipaparkan hero mesti menang. Jika hero kalah, filem sudah tidak berupaya dikagumi lagi. Kerana filem sudah tidak menjadi filem. Begitu juga halnya bila saya menulis dalam karya saya bagaimana Syam akhirnya menerima Aisyah sebagai isteri walaupun keterjebakkan Aisyah dalam dunia noda lesbianisme membataskan dinding bezantara antara watak Syam dan Aisyah (Masihkah Ada Sinar - Akhi Masrawi). Dalam dunia realiti adakah ada lelaki seperti Syam itu? Seorang yang berpelajaran dan berlatarkan agamawan sanggup menerima perempuan sekotor Aisyah dari hanyir lesbianisme sebagai isteri! Jawapannya mudah... kita punya sifir kehidupan. Hisablah sendiri!

Oleh sebab itu kita akan tetap percaya bahawa keimanan kita kepada Allah adalah iktikad yang soheh. Ibadah kita adalah ibadah yang soheh, puasa kita, zakat kita dan haji kita adalah haji yang soheh bila iktikad kita adalah iktikad yang soheh dan kita melakukan sebagaimana disuruh iaitu mengikut jalan kira yang sudah ditentukan. Oleh itu berimanlah kepada qada' dan qadar sama ada baik atau buruk yang disuratkan kepada kita kerana itulah yang patut kita redhai, kerana apa yang ditentukan oleh Allah kepada kita berisi hikmah yang ranum.

Mencurahkan kebaikan kepada orang lain pasti ada ganjaran dari Allah. Tidak luak walau sedikit amal kita selagi keikhlasan menghiasinya. Tidak rugi andai kita tidak dibalas makhluk, kerana sifir yang paling tepat ada pada Allah. Bila sifir yang selalu kita hitung sudah tidak betul lagi... misalnya bila manusia melakukan kebaikan dia selalunya dicemuh, bila manusia melakukan kemungkaran dia disokong... ingatlah betapa sifir Allah itulah jawapan yang tepat.

Apa nak resah? Jika begitu!

Kata-kata Pujangga: "Tiada siapa akan mengubah saya, oleh itu saya perlu ubah diri sendiri."

Sila klik  Respon/Komen



20 Jun 2003 | Jumaat | 14.30 pm

Catatan Satu

E-mel dari seorang sahabat

From: "ibnu isma" <[email protected]> | This is spam | Add to Address Book
To: .........
Subject: MUKJIZAT YANG DAPAT DILIHAT HINGGA KINI
Date: Mon, 16 Jun 2003 03:05:48 +0800


MUKJIZAT YANG DAPAT DILIHAT HINGGA KINI

Suka saya memetik catatan penulis Nadir As Sayyid Husein Ad Dawik di dalam buku kecilnya, Al I'jazul 'Adadi Fil Qur'anil Karim mengenai mukjizat Al Qur'an yang berpanjangan.

1. NISBAH AIR DAN DARAT

Di dalam Al Qur'an Allah menyebut kalimah laut (Al Bihar) yang memberi makna air sebanyak 32 kali. Dan Allah menyebut darat (Al Bar) di dalam Al Qur'an sebanyak 13 kali. Ini bermakna nisbah sebutan air dan darat di dalam Al Quran ialah seperti berikut:

Sebutan air / laut : 71.111 %
Sebutan darat : 28.889 %

Kajian pakar bioloji dan geografi mendapati, nisbah air dan daratan di muka bumi ini ialah:

Air : 71.111 % daripada seluruh permukaan bumi
Daratan : 28.889 % daripada seluruh permukaan bumi

Kenyataan sains ini bertepatan sekali dengan apa yang telah disebutkan oleh Allah di dalam Al Qur'an sedangkan ia diturunkan lebih 1400 tahun sebelum ahli sains menemui hasil kajian mereka. Inilah yang dikatakan i'jaz ataupun kemukjizatan Al Qur'an yang berkekalan.

2. KELAJUAN CAHAYA

Di dalam surah Al Haj ayat 47 dan Surah As Sajdah ayat 5, Allah menyebut bahawa manusia akan dihimpunkan di akhirat kelak dengan kadar sehari di sana bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia.

Kenyataan ini sebenarnya da kaitan dengan kalajuan cahaya. Pakar-pakar fizik berpendapat, dalam masa satu hari, objek yang paling laju sekali bergerak di cakerawala mampu bergerak ke kejauhan yang sama dengan jarak yang dilalui oleh bulan pada orbitnya ketika mengelilingi bumi selama seribu tahun (mengikut kiraan qamariah hijriah).

Ini membuktikan bahawa nisbah kelajuan cahaya ini jika diambil kira, membuktikan kebenaran firman Allah, satu hari di akhirat bersamaan 1,000 tahun di dunia.

Di dapati kelajuan berkenaan ialah 299,792.5 km sesaat. Anggaran ini adalah bertepatan sekali dengan keputusan yang diumumkan di Kongeres Perangkaan Sedunia di Paris mengenai kelajuan cahaya iaitu 299,792.5 km sesaat.

SUBHANALLAH!


Dari: Aris Hazlan

+ Tiada apa yang mahu dicatatkan. E-mel dari sahabat saya ini barangkali boleh dikongsi manfaatnya.

Kata-kata Pujangga: "Untuk mendapat sesuatu yang besar, kita patut banyak berkorban perkara-perkara yang kecil."

Sila klik  Respon/Komen

 

18 Jun 2003 | Rabu | 20.30 pm

Catatan Satu

Ilmu dikongsi bersama

BEBERAPA HUKUM DAN KHILAF SEKITAR AL-FATIHAH

(Dikeluarkan dari Kitab al-Wajiz fi ahkam al-kitab al-aziz tulisan Prof Dr. Saif Rajab Qazamil, Mantan Dekan Fakulti Syariah Wal-qanun Universiti Al-Azhar Tanta dan Prof Dr. Muhd Abdul Fatah al-Banhawi, pensyarah Fiqh perbandingan Mazhab dan merupakan Timb. Dekan di Fakulti yang sama, Fiqh Kitab Thn 1, Jabatan Syariah Islamiah):

Hanya sebahagian dari isi kitab dikeluarkan dalam bentuk qaul/pendapat ulamak tanpa dalil dan hujah sebagaimana terdapat di dalam kitab.

1. Hukum membaca al-isti'azah pada selain dalam solat

Fuqaha' berittifaq bahawa al-isti'azah adalah bukan dari al-Quran dan ia adalah masyru' sebelum membaca al-Quran, akan tetapi mereka berselisih pada sifat pensyariatan:

- 'Ato dan az-Zohiriah berpendapat al-isti'azah wajib pada setiap bacaan (qiraah).
- Jumhur ahli ilmu berpendapat hukum membaca al-isti'azah sebelum qiraah yang selain solat adalah sunat.
- Ibn Sirin berpendapat apabila beristi'azah sekali dalam seumur hidup maka memadai akan kewajipan.
- Sebahagian berpendapat ianya diwajibkan ke atas Nabi SAW sahaj tidak ke atas umatnya.

Pendapat yang rajih: Pendapat pertama

2. Hukum membaca al-isti'azah di dalam solat

- Ibn Sirin, Al-Nakhaie dan 'Ato berpendapat bahawa al-isti'azah di dalam solat adalah wajib pada setiap rakaat. Pendapat ini turut disandarkan kepada al-Zohiriah dan merupakan al-mazhab di sisi as-Syafieyyah.

- Jumhur Fuqaha' berpendapat bahawa ianya sunat pada rakaat pertama sahaja.

- Imam Malik berpandangan al-isti'azah tidak disyariatkan dalam solat mafrudhah (wajib) dan beliau berpandangan ianya disyariatkan di dalam Qiyam Ramadhan.

3. Waktu al'isti'azah dalam solat

- Jumhur berpendapat bahawa al-isti'azah dibaca sebelum membaca al-Fatihah.

- Abu Hurairah, Nakhaei, Daud dan Ibn Sirin pada salah satu riwayat menyatakan bahawa al-isti'azah dibaca selepas bacaan al-Fatihah.

4. Hukum Basmalah

- Basmalah adalah satu ayat daripada al-Fatihah dan surah-surah yang lain kecuali 'Bara'ah' (Surah At-Taubah). Pendapat ini disandarkan kepada Imam Syafie, satu riwayat daripada Ahmad yang merupakan qaul Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn al-Zubair, Abu Hurairah, Ali, 'Ato, Tawus, Ibn Jubair, Makhul, Zuhri dan Ibn Mubarak.

- Basmalah bukanlah merupakan ayat daripada al-Fatihah dan surah-surah yang lain, ianya hanyalah "istiftah" bagi menjelaskan setiap permulaan. Ini adalah merupakan qaul Imam Malik, Auzaie dan satu riwayat dari Ahmad.

- Basmalah bukanlah ayat dari al-Fatihah dan surah-surah lain, malah ia merupakan ayat berkecuali seperti sebuah surah yang pendek diturunkan sebagai pemisah di antara surah. Ini merupakan pendapat al-Hanafiah, Daud dan pengikutnya, dan satu riwayat dari Ahmad.

Pendapat yang rajih: Pendapat pertama.

5. Hukum membaca Basmalah dalam solat

Bagi yang mengiktibarkan bahawa Basmalah adalah merupakan ayat bagi al-Fatihah seperti Imam Syafie dll, merepa berpendapat bahawa wajib membacanya pada awal al-Fatihah dalam solat. Maka dibacakan secara "jahr" kuat di dalam solat yang jahr (subuh, maghrib dan isyak)

Manakala yang berpendapat bahawa basmalah bukanlah ayat dari al-Fatihah berselisih kepada dua pendapat:

- Al-Hanafiah dan sebahagian al-Hanabilah berpendapat bahawa sunat membaca basmalah selepas al-isti'azah sebelum al-Fatihah dalam solat.

- Al-Malikiah berpendapat bahawa tidak dibaca di dalam solat yang wajib. Sekiranya dibaca maka hukumnya makruh dan menjadikan sunat jika dibacakan di dalam solat sunat.

Pendapat yang rajih: Bahawa ia bukanlah ayat dari al-Fatihah dan dibacakan secara 'sir' (diam) dalam solat. Pendapat ini keluar dari khilaf pada hukum membacanya seakan-akan menjadi pendapat ketiga. Akan tetapi bagi yang berpendapat bahawa basmalah adalah satu ayat dari al-Fatihah maka hukum membacanya adalah wajib dan dikuatkan bacaan pada solat jahr dan disirkan pada solat sir.

6. Hukum membaca al-Fatihah di dalam Solat

Ulamak berijmak bahawa tiada solat kecuali dengan qiraah - maka barangsia yang meninggalkan bacaan secara sengaja atau lupa batal solatnya. Tetapi mereka berselisih pada apakah qiraah yang wajib bagi sahnya solat kepada dua pendapat:

- Bahawa qiraah al-Fatihah adalah wajib dalam solat, maka sekiranya meninggalkannya walaupun satu huruf maka tidak sah solatnya. Pendapat ini disandarkan kepada Jumhur Ulamak: al-Malikiah, al-Syafieyah, al-hanabilah dan jumhur Sahabat dan Tabien.

- Bacaan al-Fatihah dalam solat bukan fardhu, maka sekiranya ditinggalkan dan diganti dengan bacaan yang lain sudah memadai kerana sudah menepati qiraah. Pendapat ini meruapakan pendapat al-Hanafiah, Sebahagian Malikiah, satu riwayat Ahmad, al-Thauri dan al-Auzaie.

Pendapat yang rajih: Pendapat pertama yang mewajibkan al-Fatihah sebagai bacaan.

7. Hukum membaca al-Fatihah bagi makmum

- Imam Syafie dalam Qaul Jadid, dan Hanabilah dalam satu riwayat berpendapat bahawa wajib membaca al-Fatihah secara mutlak, sama ada imam membaca secara jahr atau sir.

- Al-Hanafiah berpendapat bahawa makmuk tidak wajib bagi makmum membaca secara mutlak.

- Masyhur di sini Al-Malikiah, muktamad di sisi Hanabilah dan Qaul qadim Imam Syafie berpendapat bahasa bagi Makmuk sekiranya mendengar bacaan imam baginya diam dan tidak membaca, tetapi sekiranya tidak mendengar maka baginya membaca sendiri.

8. Hukum mengucapkan amin

- Jumhur Ulamak dari mazhab empat berpendapat bahawa amin selepas bacaan al-Fatihah bagi imam dan makmum adalah sunat.

- Zohiriah berpendapat amin dalam solat adalah wajib.

- Syiah Imamiah berpendapat amin di dalam solat adalah bid'ah dan merosakkan solat.

Catatan Dua

Riwayat Hidup perlu ditulis!

+ Bila saya katakan yang saya mahu menulis tentang riwayat seorang siswa kuliah syariah, saya sebenarnya mahu semua orang di luar sana tahu banyak perkara, walaupun tidak semua yang mampu saya riwayatkan. Kisah bagaimana saya menimba ilmu dalam fakulti syariah di Universiti tertua di dunia ini.

+ Anwar dah pulang bercuti ke Malaysia. Pagi tadi kami se'tramco' pergi menghantar dia ke Mator. Nak tergelak juga bila masing-masing dah tak berapa ingat jalan ke Mator Jadid. Tersilap masuk jalan ke Mator Qadim. Mujurlah ada laluan juga ke Mator Jadid. Ini semua kebetulan sawa' (pemandu) tramco yang kami sewa itu pun tak reti jalan ke Mator Jadid. Alhamdulillah, sampai di Mator... simsar tiket (Us Hanafiah) dah pun menunggu. Mujur juga tak ada masalah...selamat. Saya pula bila lagi nak balik!

+ Maszuan nak bawa balik monitor Philips dia yang selama ini saya pinjam untuk menggunakan JASA (PC saya). Kebetulan dengan kepulangan Anwar, monitornya MAK View dipinjamkan kepada saya. Dapatlah saya menggunakan JASA dan menulis.

+ Bahang panas dah makin kuat dalam ruang udara Mesir. Agaknya musim bunga sudah melampai-lampai nak memberi laluan pada musim panas pula. Musim yang meresahkan, melekit dan menguji. Apa ya projek musim panas ini?

+ Selamat pulang dan berjuang saya ucapkan kepada seorang kenalan yang akan pulang bercuti tak lama lagi. Semoga dia berolah yang terbaik sepanjang cutinya.

Kata-kata Pujangga: "Manusia tak akan berjaya selagi sentiasa mengenangkan kegagalan yang pernah ditempuhinya."


Sila klik  Respon/Komen


16 Jun 2003 | Isnin | 16.42 pm

Catatan Satu

Uish Bagaimana sih!

+ Pernahkah suatu hari yang tidak kita duga, ada seseorang datang berjumpa dengan kita dan mengatakan yang dia mengenali kita, sedangkan kita langsung tidak mengenalinya dan tidak ada peristiwa atau tanda-tanda yang membolehkan dia meyakini bahawa antara kita dan dia telah saling mengenali.

+ Pernahkah alami mimpi di mana di dalam mimpi itu kita mengalami peristiwa tertentu dan kita ingat jalan cerita dan watak-watak yang wujud di dalam mimpi itu dengan baik... Lantas apabila kita terjaga dari mimpi itu dan kita lalui hidup seperti biasa, suatu hari berlaku peristiwa sebagaimana kita alami di dalam mimpi itu?

+ Pernahkah kita merasai sangat gembira untuk suatu hari tertentu, tiba-tiba pada hari itu orang yang kita harapkan boleh berkongsi kegembiraan dengan kita itu berlaku sebaliknya dan menyebab duka pula.

+ Pernahkah kita mengalami peristiwa yang serupa lebih dari sekali di dalam hidup kita, sedangkan bila kali pertama kita mengalami peristiwa itu kita telah bertekad menanam azam dan berusaha supaya peristiwa itu sudah tidak berulang lagi.

+ Pernahkah suatu hari kita menerima satu panggilan telefon dari seseorang yang tidak kita kenali, kemudian si pemanggil tidak mahu memberitahu siapa dia sebenarnya dan kita pula tidak mampu mengetahui dan meneka siapa si pemanggil itu.

+ Pernahkah suatu hari yang amat menyedihkan, tiba-tiba datang seseorang dan menggembirakan kita seolah dia mengetahui bahawa kita pada waktu itu sedang bersedih.

Sempena setahun online....Doakan saya!

Catatan Satu (Offline) - 15 Jun 2003

Kata-kata Pujangga sepanjang setahun online di PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P :-


"Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan" ~Pujangga

"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat" - Khalifah Abdul Malik bin Marwan

"Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya." ~Pujangga~

"Manusia tak akan tahu semua perkara, justeru tahu banyak perkara lebih baik dari tidak suka mengambil tahu walaupun satu perkara." ~Pujangga~

"Sekali anda terjatuh, jangan jatuh untuk berkali-kali" ~kata-kata Pujangga~

"Hari ini bila ia datang, jangan biarkan ia berlalu pergi. Esok kalau ia masih bertandang, jangan harap ia akan datang kembali." Kata-kata Pujangga~

"Nikmat itu kadang-kadang tidak disedari, hanya apabila ia telah hilang barulah manusia benar-benar terasa." kata-kata Pujangga~

"Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tetapi tidak semua perpisahan akan menjanjikan akan adanya pertemuan semula sesudah perpisahan itu." Kata-kata Pujangga~

"Jangan biarkan perahu hanyut tak ber'penghuni' nanti hanyutnya tidak singgah ke pelabuhan." kata-kata Pujangga

"Jangan abaikan permintaan orang, kalau tidak mahu permintaan anda diabaikan orang." kata-kata Pujangga

"Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji." ~kata-kata Pujangga

"Hari ini adalah realiti impian kelmarin, impian hari ini adalah reliti besok hari..."kata-kata Pujangga`

"Hidup ini ibarat meniti seutas tali, kadang kala kita jatuh sakit dan terluka, dan itulah yang kita rasai saat ini." kata-kata Pujangga~

"Hanya mereka yang melepasi ujian akan melalui kehidupan dengan sabar." kata-kata Pujangga`

Kata-kata Pujangga: "Kadangkala menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan orang lain lebih baik dari jika diberitahu pun tidak dihiraukan."

"Sekalipun tidak pernah menjadi kaya-raya, kita masih beruntung tidak juga papa kedana" kata-kata Pujangga~

"Setiap kali tersadung, ingatlah kita tidak mahu terjatuh lagi." kata-kata Pujangga`

"Jangan sesekali menyalahkan kesilapan diri sendiri kepada orang lain kerana orang yang tidak mengakui kelemahan diri sukar untuk berjaya." kata-kata Pujangga`

"Kita mesti pastikan hari ini adalah milik kita kerana kita belum pasti adakah hari esok kita masih diberi peluang." kata-kata Pujangga~

Kata-kata Pujangga:" Jangan impikan sesuatu tanpa berusaha mencapainya."

Kata-kata Pujangga: "Kalau tidak kerana semalam kita telah berusaha, bersungguh, bersabar dan berdoa, belum tentu hari ini kita akan berada di sini."

Kata-kata Pujangga:" Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya."

Kata-kata Pujangga:"Kita patut berkorban supaya orang lain juga merasai kemanisan hidup."

Kata-kata Pujangga: "Kekuatan itu tidak terbina di atas bilangan yang ramai, tetapi kekuatan itu terbina di atas keyakinan dan optimis seseorang dan keserasian berkumpulan."

Kata-kata Pujangga:"Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak."

Kata-kata Pujangga: "Rahsia untuk berjaya ialah menghormati orang lain."

Kata-kata Pujangga: "Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok."

Kata-kata Pujangga: "Yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang."

Kata-kata Pujangga: " Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali."

Kata-kata Pujangga: "Kasihkan manusia lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia."

Kata-kata Pujangga: "Kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis keseorangan diri."

Kata-kata Pujangga: "Jangan sesekali menggadai prinsip, demi untuk mendapat dunia yang mengiurkan."

Kata-kata Pujangga: "Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya perlahan-lahan."

Kata-kata Pujangga: "Hidup ini adalah warna-warni yang terlakar pada kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap mempunyai sejuta maksud."

Kata-kata Pujangga: "Sesuatu khayalan kadang-kadang menjadi realiti."

Kata-Kata Pujangga: "Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal."

Kata-kata Pujangga: "Manusia tidak perlu dihukum kerana lupa, tetapi manusia perlu dihukum kerana sengaja lupa."

Kata-kata Pujangga: "Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata."

Kata-kata Pujangga: "Saya sayang awak, sukarkah untuk dilafazkan?"

Kata-kata Pujangga: "Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

Kata-kata Pujangga: "Jika dunia ini persinggahan, mengapa tidak kita banyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan? Kerana kita cuma ada satu persinggahan."

Kata-kata Pujangga: "Kekayaan boleh mengaburkan jalan yang jujur"

Kata-kata Pujangga: "Tidak akan ada kemakmuran tanpa kasih sayang, Hanya mereka yang beriman sahaja tahu akan erti kasih sayang." & "Masihkah ada dendam yang bersisa tika tangan bersentuhan mesra."

Kata-kata Pujangga: "Sebuah kebenaran kadangkala mengandungi kesilapan."

P/s: Semua kata-kata Pujangga yang terpapar di sini pernah disiarkan sepanjang setahun online di http://akhimasrawi.cjb.net dan di ruang maya yang lain, kata-kata ini hampir keseluruhannya adalah muntahan idea penulis PUJANGGA Online - J U R N A L J A L AN H I D U P dan sebahagian kecilnya diceduk dari kata-kata yangs sedia makruf dalam dunia seni.

+++ Kongsi kata-kata mutiara kalian dengan saya di sini.

Sila klik  Respon/Komen

 

12 Jun 2003 | Khamis | 6.15  am

Catatan Satu

+ Baru lepas menulis emel kepada seorang kawan. Kali ini seputar persoalan salafi. I'sam seorang kawan Arab Mesir saya dikatakan tidak lagi sangat syadid (keras) dalam masalah bergambar. Hairul yang bagitahu saya katanya Isam sudi bergambar dengan dia. Setahu saya Isam adalah antara Salafi yang mengharamkan taswir (bergambar), tetapi mungkin kerana tafsir surah Saba' menjadikan lelaki itu berubah persepsi.

+ Semalam masakin (flat) sebelah rumah saya buat haflah mungkin bertunang. Mereka buka lagu dengan volume yang sangat kuat dan speaker dihalakan ke arah rumah saya bermula Asar sehingga jam 11.30 malam. Saya jadi bengang dan gelisah dengan nyanyian-nyanyian yang silih berganti. Jujurnya saya tertekan. Selepas isyak berbaring di atas katil dan tertidur.

+ Restauran 'Omda penuh. Saya, Lan dan Pakya terpaksa mengalah memasuki sebuah restauran lain di sebelah Addas Foto. Kami menempah Wajibat Kamilah (Hidangan penuh) Ruz bilkhaltah berserta firakh tikka. Aduh! kureng... Nyesal tak sudah bila LE 22.50 bertukar tangan. Lan bergurau katanya: "Aku kenal sangat mizi, dia suka belanja makan." Lepas tu saya pula bergurau dengan Lan kata saya: " "Aku pun kenal Lan juga kalau ke Jannatul fawakih dia suka belanja minum air buah." Hahahaha... sama-sama ketawa. Pakya cuma menyampuk betul! Sampai di Kedai air buah (Jannah Fawakih) kami pesan 2 gelas Muz billaban (air pisang & susu) dan segelas tufah (apel) kemudian Lan tambah lagi dua gelas burtuqal (limau). Masa balik... Pakya keluarkan tiga keping duit rubu' di atas bas... kemudian Lan kata: "Baru aku tahu rupanya Pakya suka bayar tambang bas!" kemudian kami ketawa lagi.

+ Diskusi tentang Negara Islam sila ke forum GJ. Saya masukkan lagi satu kertas kerja bertajuk Polemik Kefardhuan dalam Perjuangan. Sila klik.

+ Kertas terakhir saya akan bertemu 14/6/03 iaitu Fiqh Syafie. Petang semalam Fauzan Naim telefon minta supaya saya bentangkan kertas kerja di Mansurah pada 9/7/03 nanti katanya sebagai tarikh cadangan. Hah! Kena studi lagi lah ni...:) Apapun doakan saya berjaya. Amin.

Kata-kata Pujangga: "Sebuah kebenaran kadangkala mengandungi kesilapan."

Sila klik  Respon/Komen

10 Jun 2003 | Selasa | 6.10  am

Catatan Satu

HUKUM JIHAD

Para ulamak bersepakat bahawa jihad adalah sesuatu yang disyariatkan, akan tetapi mereka berselisih tentang hal pensyariatan adakah menunjukkan wajib atau menunjukkan sunat.

Bagi memperjelaskan hukum jihad Dr Ibrahim Raf'at Jamal membahagikan kepada dua keadaan (hal) iaitu:

Hal pertama: Hukum jihad semasa hayat Baginda SAW
Hal kedua: Hukum Jihad selepas kewafatan Baginda SAW

Hal Pertama:

Para fuqaha' telah berselisih pendapat tentang hukum Jihad semasa hayat Baginda SAW kepada tujuh pandangan/mazhab:

Mazhab pertama: Ashab mazhab ini berpandangan bahawa hukum jihad adalah fardhu ain ke atas semua umat Islam semasa hayat Baginda SAW seperti kefardhuan aini yang lain seperti solat, zakat, puasa dan haji. Pendapat ini disandarkan kepada 'Ato' dan Auzai'e dari kalangan tabi'en dan ia merupakan kata-kata Ibn Umar sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Razi di dalam tafsirnya, juga apa yang dinaskan oleh sebahagian as-Syafieah. Mereka menyandarkan pendapat ini kepada ayat Surah al-Baqarah ayat 216.

Mazhab kedua: Hukum jihad adalah wajib aini ke atas para muhajirin (orang yang berhijrah) tidak selain mereka. Pendapat ini disandarkan kepada al-Mawardi dari kalangan fuqaha' as-Syafieah berdalil bahawa kewajipan hijrah adalah ke atas umat Islam Makkah yang berhijrah ke Madinah.

Mazhab ketiga: Hukum jihad adalah Fardhu ain ke atas para al-Ansar (Orang Madinah) tidak selain mereka. Pendapat ini adalah pendapat Imam as-Suhayli dan menyandarkan kepada hujah bahawa al-Ansar adalah mereka yang berbai'ah kepada Baginda SAW untuk menolong Baginda. Maka ini menunjukkan bahawa pandangan mazhab kedua dan ketiga meletakkan kefardhuan kepada selain taifah (kumpulan) yang ditentukan adalah berupa fardhu kifayah.

Mazhab keempat: Jihad adalah fardhu yang menunjukkan wajib aini ke atas semua umat Islam baik semasa hayat Rasulullah SAW mahupun selepas kewafatan Baginda. Ini adalah pandangan Said bin Musayyib dan Makhul daripada kalangan fuqaha' tabien. Mereka bersandarkan kepada dalil ayat 41 dari surah at-Taubah.

Mazhab kelima: Jihad adalah tatawu' (sunat), merupakan salah satu qaul Ibn Umar dan merupakan pandangan as-Thauri dan Ibn Syubramah daripada kalangan tabien. Mereka menyandarkan hujah kepada ayat al-Baqarah: 180.

Mazhab keenam: Jihad pada ketika hayat Baginda SAW adalah wajib aini terhadap peperangan yang dihadiri oleh Baginda SAW dan bagi peperangan yang tidak dihadiri oleh baginda adalah fardhu kifayah sebagaimana yang didakwa oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari dan tidak disandarkan kepada mana-mana ulamak.

Mazhab ketujuh: Akthar ahli ilmu (jumhur) adari kalangan Fuqaha', Mufassirin dan Muhaddisin berpandangan bahawa hukum jihad pada ketika hayat Baginda SAW adalah fardhu kifayah. Bererti apabila dilakukan sebahagian umat Islam maka terlepaslah tanggungan yang lain. Hujah yang didatangkan ialah ayat 95 dari surah an-Nisa', ayat 122 dari surah at-Taubah di mana menunjukkan bahawa kefardhuan jihad adalah fardhu kifayah.

Pandangan yang rajih (terpilih): Setelah diteliti hukum jihad pada hayat Rasulullah SAW adalah fardhu kifayah sebagaimana pandangan mazhab jumhur berdasarkan kepada dalil yang kuat dan pandangan ini juga bertepatan dengan kaedah pensyariatan di dalam Islam.

Hal kedua:

Fuqaha' membahagikan kepada dua keadaan untuk memperjelaskan hukum jihad pasca kewafatan Rasulullah SAW.

Hal pertama: Adalah kafir di negara mereka (dar kufr).

Jihad menjadi fardhu kifayah apabila ditunaikan sebahagian umat Islam dan terlepas tanggungjawab yang lain. Terhasilnya fardhu kifayah ini apabila ketua negara menentukan pasukan ketenteraan yang memadai bagi memerangi kuffar dan melindungi Umar Islam. Justeru tidak harus bagi seseorang hamba untuk keluar berperang tanpa keizinan tuannya, sebagaimana tidak harus bagi wanita yang tiada keizinan suaminya kerana hak mentaati suami adalah fardhu ain yang perlu didahulukan ke atas fardhu kifayah, sebagaimana hak mentaati kedua ibu bapa bagi seseorang anak lebih awla (utama) dari berjihad dalam keadaan jihad fardhu kifayah.

Hal kedua: Hal-hal yang menyebabkan jihad menjadi fardhu Ain adalah seperti berikut:

Pertama: Apabila ditentukan oleh Imam (ketua negara) sesuatu (kaum) pasukan bersandarkan kepada ayat 38 dari surah at-Taubah.

Kedua: Apabila bertemu dengan musuh maka haram bagi mereka melarikan diri dari berjihad bersandarkan kepada ayat 15-16 dan 45-46 dari surah al-Anfal.

Ketiga: Apabila pihak kafir menyerang negara Umat Islam dan mendudukinya. Maka pada ketika ini wajib aini ke atas setiap umat Islam di dalam negara itu mempertahankan Islam dan negara mereka bersandarkan kepada ayat 41 dari surah at-Taubah.

Komen penulis: "Hal ketiga adalah sebagaimana berlaku dalam dunia penindasan kafir terhadap Umat Islam hari ini seperti yang berlaku di Palestin, Iraq, Checnya, Kosova, Bosnia, Kasymir, dll. Bilakah Islam akan kembali izzah?"

HUKUM AL-QADHA'(MENGHAKIMI) DALAM ISLAM

Berlaku perselisihan untuk menentukan hukum al-Qadha' di dalam Islam. Perselisihan tersebut boleh dikatogerikan kepada 3 keadaan:

Pertama: Hukum al-Qadha' ke atas Masyarakat.

Hukum al-Qadha ke atas Masyarakat adalah fardhu kifayah, maka apabila telah melaksanakan sebahagian terlepaslah sebahagian lain dari menanggung dosa. Imam al-Nawawi menyatakan di dalam Rawdhah at-Tolibin: al-Qadha'dan Imamah adalah fardhu kifayah. Apabila didirikan sebahagian yang berkeupayaan maka terlepas kefardhuan ke atas yang lain, dan sekira tidak terlaksanan maka berdosa kesemua dan boleh memaksa akan Imam ke atas seseorang untuk melaksanakan Qhada'.

Kedua: Hukum al-Qadha' ke atas Imam (Ketua Negara)

Fuqaha' telah bersepakat bahawa hukum al-Qadha' ke atas Imam atau Hakim adalah fardhu Ain. Ini kerana al-Qadha' adalah sebahagian tugas yang meliputi tugasan khilafah, maka wajiblah bagi imam menentukan atau melantik Qadhi yang memenuhi syarat dan kelayakan, walaupun hukum asal adalah ke atas dirinya (Imam). Ini berhujahkan bahawa Rasulullah SAW melakukan tugas menghukum (al-Qadha') dan setelah luasnya empayar Islam Baginda telah mewakilkan sebahagian wilayah kepada sahabatnya seperti Mu'az yang diutuskan ke Yaman dan Utab bin Asyad ke Mekah dan selain mereka.

Ketiga: Hukum al-Qadha' ke atas afrad al-mujtama' (individu masyarakat)

Perselisihan adalah seperti berikut:

1. al-Ijab (Wajib): Menjadi wajib ke atas individu yang dilantik menjadi Qadhi dan tiada orang lain yang layak melainkan dirinya. Maka apabila dilantik wajib ke atasnya, dan apabila menolak maka berdosa kerana meninggalkan wajib aini. Ini juga kerana melalui al-Qadha' meliputi maslahah umum.

2. al-nadb (Sunat): Menjadi sunat ke atas hak orang yang selainnya masih ada yang berkelayakan, akan tetapi kelayakannya melebihi orang lain.

3. al-tahrim (Haram): Haram ke atas individu yang tidak mempunyai kelayakan dan syarat-syarat sebagai seorang Qadhi, atau ada padanya syarat tetapi diketahui bahawa dia tidak boleh berlaku adil atau melakukan perkara lain yang menjejaskan kelayakan. Dan berhukum dengan tidak adil ditegah oleh Allah SWT.

4. al-karahah (Makruh): Menjadi makruh apabila seseorang memenuhi kelayakan tetapi ada orang lain yang lebih baik berbanding dirinya. Telah berkata Imam ar-Rafie: Makruh baginya pada ketika ini memohon dan begitulah juga menerima kerana terdapat larangan."

5. al-Ibahah (Harus): Harus bagi mereka yang sama kelayakan dengan orang lain, maka baginya pilihan sama ada menerima perlantikan qadha' atau menolaknya.

Kata-kata Pujangga: "Tidak akan ada kemakmuran tanpa kasih sayang, Hanya mereka yang beriman sahaja tahu akan erti kasih sayang." & "Masihkah ada dendam yang bersisa tika tangan bersentuhan mesra."

Sila klik  Respon/Komen

7 Jun 2003 | Sabtu | 16.10  pm

Catatan Satu

Pasca kertas BI

+ Huargh... baru bangun dari tidur. Lepas balik dari imtihan pagi tadi terus lelap. Semalam dapat sms dari WEWR. Mulanya tak berapa yakin sms tu dari dia, sebab saya dah delete no dia yang kurang satu no saya tulis ke dalam NAWFAL (HP saya). Bila dah tak dapat no yang satu tertinggal tu tak dapatlah saya nak sms dia, kebetulan semalam dia sms. Bila saya balas dan nak pastikan adakah betul sms tu dari WEWR dia tak balas pula.

+ Hari ni dapat lagi sms dia, wah makin rajin dia sms dan dia pun dah beritahu yang dia memang sebagaimana yang saya agak. Saya tak lupa, tapi cuma nak kepastian. Teringat pasal sms ni, baru-baru ni ada misscall masuk dan menyebabkan saya sms nombor tu, dia balas dan tak beritahu siapa dia. Hah! banyak kali juga kami asyik main balas-balas sms tut-tut dia dah ngaku dia dari satu tempat tu, tapi kami masih tak kenal. Hah... patutlah orang boleh bercinta sebab sms!

+ Pergi ke dapur, harap-harap ada yang boleh nak dijadikan lapik perut menanti malam. Aduh! periuk nasi masih berendam dalam sinki, ayam yang saya beli semalam pula masih beku dalam peti sejuk. Huh... selera mati. Capai air sejuk, langgah dua teguk, rasa payau semacam... tak selera. Keluar cari pizza best gak ni! Huh!

+ Madah imtihan hari ini kalau nak diikutkan bukanlah madah killer. Bahasa Inggeris. Namun semalaman saya tak dapat tidur. Baring atas katil, buka lampu, tutup lampu masih tak boleh lelap. Masuk tandas, siapkan diri alakadar bentang sejadah. Ini terbaik. Qadha saja tidur malam tu lepas jawab periksa nanti. Masa tiga jam yang diperuntukkan saya dapat jawab tak lebih dari separuh waktu. Tapi sangsi juga soalan 3 dan 4 tu. Soalan satu (Karangan) memang saya dah sedia, soalan 2 (kefahaman) lagi mudah sebab jawapan dah ada dalam petikan, soalan ke 5 pula terjemah dari Bahasa Inggeris ke Arab dan dari Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris. Soalan terjemah pula memang dah ada muqarrar, jadi taklah susah nak selak semua tajuk. Imtihan Bahasa Inggeris memang banyak rukhsah sebab orang Arab memang dah kira susah, walaupun cuma macam tu saja. Alhamdulillah saya dapat jawab dengan baik.

+ Tinggal lagi 2 madah untuk saya hadapi. Fiqh Muqaran pada 11/6/03 dan Fiqh Syafie pada 14/6/03 nanti. Dua madah ini memang madah hukum. Perbahasan memang berkaitan ra'yu (pendapat) ulamak dan perselisihan serta dalil-dalil yang dikemukakan, kemudian mencari pendapat rajih (terpilih). Sementara itu saya memasukkan dua kertas kerja (kajian peribadi) saya ke dalam laman ini. Kertas Kerja 1: Metod Pendakwaan Negara Islam, dan Kertas kerja 2: Insurans: Perbincangan Menurut Perspektif Islam.

+ Kertas kerja 1 sudah saya bentang tapi sekali cuma. Manakala Kertas kerja Insurans pula sudah banyak kali juga. Paling awal seingat saya, dibentangkan di dalam usrah (tetapi bukan kertas kerja yang dipaparkan itu) kemudian dibawa ke Rumah Perlis (KPP), kemudian ke Rumah Pulau Pinang (BKPPPM), kemudian saya bentang di Tanta (DPMT), kemudian versi kertas kerja edit saya bentang kali pertama di Syibin el-Kom (DPMS) atas pelawaan Exco Pendidikan dia, kalau tak salah saya Norisman. Dan paling terhampir saya gunakan kertas kerja yang sama beri kepada akhawat tahun 3 kuliah Syariah, Mansurah semasa mengajar kitab al-Ta'min - Dr. az-Ziyni. (kitab kuliah mereka) untuk madah Qadaya Muasarah sebagai alat bantuan mengajar.

+ Kertas kerja Insurans sudah pun dihantar ke pihak MANHAL (Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan) PMRAM untuk disemak, dan alhamdulillah MANHAL meluluskan kertas kerja itu untuk diterbitkan di dalam MONOGRAF ANDALUS 2 yang diusahakan oleh DPM Tanta. Seorang kawan juga ada minta supaya saya membentangkan kertas kerja itu di Mansurah mungkin lepas imtihan ini. Sebelum ini kawan saya di Zagazig minta bentang juga di Zagazig, tetapi program tu tertunda. Di Zagazig paling terdekat saya pergi bentang kertas kerja Negara Islam (bukan yang saya tulis) sempena Seminar Kenegaraan Islam yang mereka langsungkan bertembung tarikh dengan KARNIVAL ANTARABANGSA Tanta.

+ Selain kertas kerja sendiri, saya juga membentangkan kertas kerja usrah (POLEMIK WANITA) bersama Radhi di Zagazig dua tahun lepas, juga kertas kerja kawan serumah yang bertajuk 'Menyanggah Dakyah Orientalisme' di rumah Selangor (BKASM), pada 3 hari raya korban lepas. Yang syok nya saya bentang di rumah Selangor, Us Anhar pula dipanggil bentang di rumah Perlis kertas kerja yang sama.

+ Sebenarnya kalau nak diikutkan layak, memang tidak layak untuk saya menjadi pembentang kertas kerja. Tetapi menyedari bahawa ilmu itu perlu disampaikan walaupun cuma sepotong ayat, maka saya penuhi juga permintaan. Qasad saya menghasilkan kertas kerja bukan untuk tujuan membentang. Justeru saya merasakan diri masih banyak kekurangan ilmu dan thaqafah, namun selaku seorang penuntut ilmu Allah saya berusaha ke arah memantapkan diri. Doakan saya.

Kata-kata Pujangga: "Kekayaan boleh mengaburkan jalan yang jujur"

Sila klik  Respon/Komen

4 Jun 2003 | Rabu | 13.15  pm

Catatan Satu

Berapa kalimah kau bertutur dalam sehari?

Kita tidak pernah mengira berapa kalimah yang dituturkan kita dalam sehari, apatah lagi untuk mengira kalimah yang kita tuturkan dalam seminggu, sebulan, setahun dan seumur hidup. Terlalu nadir, akan kita temui manusia yang mengira perkataan yang dituturkan dalam setiap hari dia melalui kehidupan. Justeru, kita bertutur dan kita membiarkan pertuturan itu berlalu seperti kita membiarkan setiap detik dari masa kita berlalu.

Saya pernah menghadkan kalimah yang perlu saya tuturkan dalam sehari. Namun, saya kemudiannya melupakannya. Bukan kerana saya tidak berjaya, tetapi saya merasakan saya terlalu terikat.

Cuba kita ambil jam berjarum dan kita lihat pada jarum jam yang bergerak itu. Setiap gerakan yang berdetik pada jarum itu tidak lagi akan berulang. Masa terus berlalu. Masa di dalam kehidupan realiti tidak akan menjadi seperti masa yang dipaparkan di dalam 'Back to the future' di mana watak bisa kembali ke zaman lampau dan pergi ke masa akan datang. Ini kerana itu hanyalah filem yang disarati mitos dan kita yang berakal waras ini juga tidak percaya. Kalau begitu benarlah kehidupan ini, ia tidak akan berulang pada masa yang sama. Kalau hari ini pada jam 2 petang kita makan nasi berlauk ayam bersama keluarga kita, mungkin esok hari pada jam yang sama dan tempat yang sama dan orang yang sama kita makan makanan yang sama; itu bukanlah sama, kerana walaupun tragedi dan pristiwanya sama tetapi kita jangan lupa masa sudah pun berbeza.

Dalam kehidupan, kita sering berkomunikasi. Dan setiap kemunikasi itu selalunya meninggalkan perasaan tertentu yang merupakan tanggapan kita terhadap orang tersebut. Misalnya kita berkomunikasi dengan pensyarah kita di kuliah, persepsi kita terhadap pensyarah itu sama ada kita menganggapnya hebat, berilmu luas, peramah dan sebagainya sudah tentu berbeza dengan persepsi kita terhadap orang lain yang turut berkomunikasi dengan kita. Begitu juga dengan manusia lain terhadap kita, mereka punya hak untuk menganggap apa-apa terhadap kita. Namun, pernahkah kita mengira berapa kalimah yang telah kita tuturkan?

Bercakaplah sekiranya setiap kata-kata itu memberikan manfaat, dan diamlah jika perkataan yang ditutukan itu bakal mengundang sesuatu yang tidak baik. Kita mungkin pernah mendengar pepatah yang mengatakan: "berkata-kata itu perak, sedang diam itu emas." Namun, saya beranggapan tidak semua perkara perlu diukur dengan menggunakan 'pembaris' yang sama.

Bagi seorang ilmuan, berkata-kata adalah lebih baik dari diam. Bagi seorang penipu, diam lebih baik dari berkata-kata. Bukankah ini sudah menjelaskan maksud tidak hanya satu pembaris itu?

Di Mesir saya berkomunikasi dengan masyarakat Arab Mesir. Jika ditanya kepada seluruh masyarakat arab di dunia, mereka akan bersepakat mengatakan bahawa orang arab yang paling kasar, adalah orang Arab Mesir. Malah saya sendiri mengakui akan kebenaran provokasi itu. Sememangnya secara literal, orang arab Mesir sememangnya kasar. Sepanjang hampir empat tahun saya bermukim di sini, saya dapati satu kesimpulan orang arab mesir memaparkan sosio-budaya kehidupan mereka menepati tanggapan orang terhadap mereka.

Saya tidak membenci Arab. Apatah lagi Arab adalah bangsa Baginda junjungan. Baginda Rasulullah SAW lahir dalam masyarakat Arab. Dia bertutur di dalam bahasa bangsa itu. Tetapi jangan kita lupa bahawa Baginda sendiri pernah mengingatkan di dalam sebuah hadis: "Tiada perbezaan di antara arab mahupun a'jami (bukan Arab) selain ketaqwaan."

Saya pernah menempelak seorang rakan sekuliah berbangsa Arab yang menafikan kami 'ajnabi (Orang luar) terhadap keistimewaan kuliah. Dan kebetulan pada masa itu saya teringatkan hadis dan ayat Al-Quran surah al-Hujurat ayat 13 lantas membacakan kepada rakan Arab itu. Meski dia berkeras dengan mengatakan 'araby aula, nahnu sya'bil mukhtar!" (Orang Arab lebih dahulu (baik), kami bangsa terpilih). Saya mula menanam kebencian kepada bangsa Arab yang angkuh dan bersifat 'al-qaumiyah' (nasionalis) serta sombong.

'Isam adalah seorang sahabat yang juga berbangsa Arab. Beliau mengubah persepsi saya sedikit demi sedikit. Sekurang-kurangnya saya berpendapat kita orang Melayu yang dikenali bersopan santun ini, boleh berkawan dengan arab yang kasar itu. Saya masih ingat bagaimana saya pernah berjidal (berhujah) dengan 'Isam tentang persoalan-persoalan berbaur salafi, akidah dan hukum. Dan di dalam setiap perjidalan itu saya sering kalah, bukan kerana pandangan yang saya utarakan itu lemah...tetapi penguasaan bahasa saya yang agak  kurang memuaskan ketika itu. Padanlah bagi seorang penuntut tahun satu, yang sering janggal bermulazamah dengan lughah arabiah baik fushah mahupun ammiah. Namun selepas "Isam dan saya berselisih faham kami agak kurang mesra seperti di tahun satu dulu. Namun, Arab seperti Isam boleh dijadikan kawan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang pemandu teksi yang menyumpah-nyumpah Presiden Republik ini. Padanya Mesir terlalu bacul untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa Palestin. 'Muzaharat' (demonstrasi) yang diadakan saban waktu tidak diendahkan. Dan beliau begitu kesal terhadap polis-polis yang menyekat suara rakyat. Saya mengira apa yang dituturkan itu seolah beliau menelaah negara saya (Malaysia). Kemudian bila saya hampir tiba ke destinasi saya beliau bertanya bagaimana suasana di negara saya. Saya hanya diam dan pemandu itu tersenyum.

Seorang pemandu teksi lain yang saya sempat berbual ketika perjalanan dari 'Muhafazah ke Talkha' di Mansurah juga meninggalkan persepsi saya bahawa Masihi di Mesir sudah akrab dengan Islam, cuma mereka tidak mahu memeluk Islam kerana orang Islam Mesir sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik. Dia begitu bersungguh menanyakan kepada saya apakah 'an-nadzofah' (kebersihan) sebagai perkara penting di dalam Islam dan beberapa perkara lain yang dilihatnya diamalkan oleh orang-orang Islam Arab Mesir seperti menipu di dalam berniaga, bergaduh dll. Tanpa berfikir panjang saya mengiyakan bahawa sememangnya kebersihan adalan anjuran Islam. Dan akhirnya jawapan saya itu menyebabkan dia mengutuk umat Islam Mesir yang tidak menjaga kebersihan. Padanya Islam tidak memaparkan contoh yang baik. Walaupun saya berkeras mengatakan bahawa jangan melihat kepada orang yang menganut, tetapi lihat kepada Islam yang dianuti, dia tetap berkeras... bahawa Jika tiada contoh dari yang ada, bagaimana pula yang tiada! Saya bingung. Kalaupun saya menggunakan pelbagai hujah ketika itu, saya tetap sukar untuk menang. Benarlah lisanul hal (contoh perbuatan) itu lebih baik dari lisanul qaul (perkataan).

Simpati terhadap umat Islam yang tidak sedar melantun-lantun, tetapi apa boleh buat? seorang makmum di Masjid berdekatan tempat tinggal saya bertanya apakah bersalaman selepas solat itu saya pelajari dari negara saya atau di Mesir. Saya mengatakan di mana-mana juga orang Islam mengamalkannya. Tetapi selepas itu, 'Ammu (pakcik) itu berkata sambil tersenyum: "Tetapi umat Islam tidak menyukainya." Ini menunjukkan walaupun bersalaman atau memberikan salam itu adalah syiar Islam, tetapi umat Islam tidak menyukainya atau dalam lain perkataan umat Islam tidak me'mulazamah'kannya di dalam kehidupan seharian.

Semalam terakhir saya bertemu dengan seorang 'Ammu yang begitu bersungguh mengatakan bahawa dia amat menyukai orang-orang ajnabi seperti saya (orang luar yang datang ke Mesir) kecuali orang-orang wisata (pelancong) yang datang sekadar melancong seperti orang-orang Eropah. Saya mengukir senyuman. Pada saya itu hanyalah kalimah 'mujamalah' yang sering saya dengar dari orang-orang Arab Mesir. Tetapi apa yang sering berlaku dalam kehidupan realiti berkomunikasi dengan mereka meresahkan.

Saya lebih rela tidak membeli barang di suq (pasar) gara-gara harga yang ditawarkan adalah harga tipu. Saya lebih rela menjadi 'dagang' di sini, dari menjadi sebahagian mereka. Saya kira kehidupan masyarakat pelajar di Mesir jauh berbeza dengan kehidupan masyarakat pelajar di tempat lain. Setiap muka bumi punya kisahnya yang tersendiri.

Apabila Ammu yang saya temui semalam memperkenalkan dirinya Hassan bertanya apakah saya akan kembali lagi ke Mesir walaupun setelah saya tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Saya mengatakan InsyaAllah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana perkataan itu boleh terpacul dari bibir saya. Kalau diikutkan kemarahan dan persepsi terhadap Masyarakat sini, mahu saja saya katakan yang saya sememangnya tidak menyukai orang Mesir. Tetapi hari ini, seolah hati saya sudah dilembutkan. Tidak semua orang Mesir itu sebagaimana persepsi buruk saya terhadap mereka. Ya ada keburukan, ada kebaikan.

Jangan lupa ramai ulamak lahir dari kalangan orang Mesir. Meskipun bumi ini berlantaikan tamadun Kinanah, lembahnya dari Nil yang basah, Tidak bermakna Ruh Musa juga terpisah. Biarlah Firaun, Biarlah Haman, Biarlah Qarun. Watak-watak jahat itu, watak yang juga ada di mana-mana.

Semakin banyak kita bertutur, semakin banyak peristiwa yang kita alami, semakin bertambah persepsi dan pengetahuan kita. Semakin itu juga kita menjadi matang dengan apa yang kita lalui. Pasa saya kehidupan kita ini dipengaruhi oleh persekitaran, bahan bacaan, orang yang kita dampingi, keluarga, sosio-budaya dan apa yang kita dekati. Tetapi sejauh mana kita terpengaruh, itu bergantung pada diri kita sendiri untuk membuat pilihan dan keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.

Akhirnya, berapa kalimah telah kita tuturkan? Yang pasti biarlah manfaatnya tersebar. Kerana kita adalah haiwan yang bertutur mengikut tanggapan ilmu mantiq.

Catatan Dua

Apa cerita?

- Saya telah menghadapi kertas Hadis Ahkam pagi ini. Alhamdulillah soalan dapat saya jawab walaupun salah satunya tidak saya 'tekan'kan sungguh-sungguh. Kami menyangka tajuk 'Ma Yahil bihi dam Muslim' adalah sangat penting, tetapi rupanya tajuk 'an-Nahyu anil Half bighairi Allah' yang keluar.

- Tajuk 'al-Udzhiyah saya ramal dan alhamdulillah soalan tidaklah terlalu sukar. Mujurlah cuma ada juga fakta yang tak mampu saya kupas dengan baik. Ah, sudah berusaha... tawakkallah pula.

- Lepas ini (Sabtu) kertas Bahasa Inggeris pula, selepas itu (Rabu) Fiqh Muqaran (Sabtu) Fiqh Syafie insyaAllah akan menjengah pula. Kertas terakhir akan saya hadapi pada Sabtu 14 Jun 2003. 15 hb adalah hari sempena kelahiran J U R N A L J A L A N H I D U P. Sempena itu saya mengharapkan ucapan-ucapan dari kalian sidang pembaca sempena setahun penubuhan, sila isikan di Anjung Tamu.

- Doakan saya berjaya dengan cemerlang.

Kata-kata Pujangga: "Jika dunia ini persinggahan, mengapa tidak kita banyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan? Kerana kita cuma ada satu persinggahan."

Sila klik  Respon/Komen

 

2 Jun 2003 | Isnin | 18.45  pm

Catatan Satu

PERBAHASAN HUKUM MEMAKAN BINATANG DI DALAM HADIS-HADIS AHKAM (THN 4)

1. HUKUM MEMAKAN HIMAR AHLI (HIMAR YANG DIPELIHARA)

Terdapat dua pandangan yang disimpulkan terhadap hukum memakan himar ahli iaitu:

Pandangan pertama: (Tahrim) Haram memakan himar ahli. Pendapat ini didokongi oleh jumhur ulamak dari kalangan tabi'en dan mereka selepas itu seperti: Abu Hanifah, As-Syafie, Ahmad, dan para pengikut mereka. Sedangkan dinukilkan daripada Imam Malik pandangan mengharamkan (iaitu pendapat soheh) daripada qaulnya sebagaimana terdapat di dalam Muwatta', walaupun ada di antara pendapatnya yang memakruhkan dan mengharuskan. Turut mendokong pendapat mengharamkan ini adalah mazhab ad-Zohiriah.

Pandangan kedua: (Ibahah) Mengharuskan memakan himar ahli. Pendapat ini didokongi oleh 'Asim bin Umar bin Qutadah al-Ansory al-Madany, Ubaid bin al-Hasan, Ibnu Abi Laila, al-Hasan al-Basry, 'Akromah dan diriwayatkan demikian daripada Ibnu Abbas dan A'isyah R.A.

Pendapat yang rajih: pendapat dari pandangan pertama yang mengharamkan.

2. HUKUM MEMAKAN HIMAR WAHSHY (HIMAR LIAR/KUDA BELANG)

Hukum memakan himar wahsy adalah harus tanpa khilaf. Sebagaimana hadis Abi Qutadah bersama para sahabat lain di dalam safar yang pernah memakannya akan sebahagian sahabat dan meninggalkan sebahagian yang lain sedang tanpa pengetahuan rasulullah SAW. Kemudian setelah mereka mendapatkan rasul dan bertanya akan hukumnya, berkata Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ia (himar wahshy) adalah makanan yang dikurniakan Allah." dan di dalam riwayat yang lain: "Makanlah."

Khilaf berlaku dalam masalah hukum memakan himar wahshy yang dipelihara adalah harus atau sebaliknya?

Pendapat pertama: Harus memakannya. Pendapat ini didokong oleh Abu Hanifah dan Ashabnya, Al-Hasan bin Hay dan As-Syafie.

Pendapat kedua: Himar wahshy yang dipelihara dan berkerja sebagaimana berkerja himar ahli tidak dimakan (tidak harus) iaitu pendapat Al-Qasim daripada Malik.

3. HUKUM MEMAKAN AL-KHAIL (KUDA)

Ulamak berselisih kepada dua pandangan iaitu:

Pandangan pertama: (Ibahah) harus. Pandangan ini disandarkan kepada jumhur ulamak: Said bin Jubair, 'Ata`, al-Nakhaie, al-Thauri, As-Syafie, Abi Yusuf, Muhammad bin al-Hassan, Ahmad bin Hambal, Ishak dan sebalin mereka.

Pandangan kedua: (Karahah) makruh. Ini adalah mazhab Auzaie, Malik, Abi Hanifah dan selain mereka.

Pendapat yang rajih: pandangan pertama yang mengharuskan.

4. HUKUM MEMAKAN BINATANG YANG BERTARING DARI BINATANG BUAS DAN BERKUKU DARI JENIS BURUNG

Dua perselisihan didapati dari hukum ini iaitu:

Pandangan pertama: Haram memakan binatang yang bertaring dan berkuku sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ibnu Abbas. Ini adalah pandangan jumhur ulamak seperti Abi Hanifah, As-Syafie, Ahmad, ad-Zohiriah dan selain mereka.

Pandangan kedua: (Karahah) Larangan hanya merupakan makruh tidak haram. Pandangan ini disandarkan kepada sebahagian Malikiah (Ashab Imam Malik).

5. HUKUM MEMAKAN AL-DZABU' (ANJING HUTAN (LIAR) AFRIKA) - saya sendiri kurang arif tentang binatang ini.

Terdapat dua pandangan di dalam perselisihan ini.

Pandangan pertama: Bahawa (Mubah) harus. Pendapat ini disandarkan kepada Mazhab Syafie, Hambali, Dzohiri dan jumhur ulamak. Mereka berhujah denga hadis Abdul Rahman bin Abi Umar bahawa ia telah bertanya Jabir bin Abdullah mengnai hukum memakan ad-dzabu' maka disimpulkan dari hadis tersebut akan keharusannya.

Pandangan kedua: Bahawa ianya tidak dimakan (tidak harus-haram). Pendapat ini disokongi oleh mazhab Abu Hanifah, Abu Yusuf dan Muhamad. Pendapat ini juga masyhur di dalam mazhab Malik.

Pandangan yang rajih: Pandangan pertama yang mengharuskan.

6. HUKUM MEMAKAN DZOB (BIAWAK GURUN)

Terdapat tiga perselisihan di dalam masalah ini iaitu:

Pandangan pertama: (Mubah) harus. Disandarkan kepada jumhur ulamak.

Pandangan kedua: (Tahrim) haram memakan dzob sebagaimana dakwaan al-A'amash, Zaid bin Wahab dan jamaah yang lain.

Pandangan ketiga: Makruh. Pendapat ini didokongi oleh Abu Hanifah, Abi Yusuf, Muhammad. Maksud makruh di sisi mereka dalam masalah ini ialah makruh tanzih bukan makruh tahrim.

Pandangan yang rajih: Pandangan pertama yang mengharuskan.

7. HUKUM MEMAKAN ARNAB

Jumhur ulamak berpendapat harus memakan arnab. Mereka berhujah dengan hadis riwayat Anas. Dan tiada khilaf dari kalangan sahabat kecuali Ibnu Umar, Akromah dari kalangan tabie'in dan Ibnu Abi Laila dari Fuqaha'. Mereka berpandangan bahawa makruh memakannya berhujahkan hadis Khuzaimah. Akan tetapi hadis itu sanadnya lemah dan bukanlah menunjukkan kepada makruh walaupun nabi tidak memakannya kerana berdalilkan kepada hadis Ibnu Umar yang memperkukuhkan bahawa tiada larangan memakannya.

8. HUKUM MEMAKAN GAJAH

Diriwayatkan daripada Asyhab bahawa tidak haram memakan gajah apabila disembelih, juga merupakan pandangan Sya'bi dan berkata Ibnu Hazm di dalam kitabnya al-Muhalla: "Adapun gajah bukanlah dari binatang buas dan tiada nas yang menharamkannya." Pandangan lain (al-Hasan) menyatakan makruh memakannya kerana mempunyai taring.

9. HUKUM MEMAKAN AS-SA'LAB (SERIGALA)

harus memakan as-sa'lab sebagaimana didakwa oleh as-Syafie dan para sahabatnya. Telah berkata Abu Hanifah dan Abu Yusuf bahawa tidak dimakan ad-Dzabu' dan as-Sa'lab kerana kedua-duanya dari binatang buas dan mempunyai taring.

10. HUKUM MEMAKAN AL-QIRD (KERA)

Telah berkata Abu Umar bin Abdul Bar: telahpun ijmak Umat Islam Haram memakan kera kerna mengikut larangan Rasulullah SAW.

Hukum-hukum di atas dikeluarkan tanpa dalil dan hujah sebagaimana yang didapati dari kitab asal.

***Dikeluarkan daripada kitab: Dirasat fi Ahadis Al-Ahkam (Dr Aiman Mahmud al-Mahdy dan Dr Khalid Syakir 'Atiyah yang kedua-duanya merupakan pensyarah hadis dan ulum Hadis di Fakulti Usuluddin dan Dakwah, Universiti Al-Azhar cawangan Tanta).

- Sebenarnya selain perbahasan di atas terdapat perbahasan lain juga yang turut menjadi muqarrar saya iaitu mengenai al-udzhiyyah (sembelihan korban), larangan bersumpah selain menggunakan nama Allah (ada perbahasan lanjut), Apa yang menghalalkan darah muslim, Syafaah di dalam hudud. Kesemua itu akan saya hadapi sempena peperiksaan pada Rabu, 4 Jun 2003 ini. Madah Hadis ahkam tahun ini melebarkan perbahasan ke ahwal isnad, lataif isnad dan mulahazat isnad sehingga bolehlah dikatakan pengajian hadis hukum saya pada tahun ini melampaui sehingga pengajian riwayah dan dirayah. Agak kepenatan menekuni perbahasan huku-hukum yang termuat pada setiap hadis berserta pula dengan dalil perbahasan yang juga didatangkan melalui nas (al-Quran dan Hadis) ditambah pula ahwal isnad, Hah... apa pun sekurang-kurangnya pelajar kuliah syariah sudah ditampilkan dengan pengajian berbentuk kuliah usuluddin. Alhamdulillah... walaupun tidak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberikan kebaikan. Doakan saya berjaya cemerlang!

Kata-kata Pujangga: "Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

 

Sila klik  Respon/Komen

 

Baca Catatan lalu

 

~Diri yang masih mencari identiti ibarat sebuah perjalanan menongkah arus di lautan samudera...~

Pujangga - mahasiswa - cabaran - pengajian - perjuangan - keyakinan - optimis - keorganisasian - keterbukaan - karisma - kehidupan - keilmuan - idealisme - penulisan - impian & harapan - yang...!

 

© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: [email protected] (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws