Sebuah Kajian Ibn Ismail al-Azhary

INSURANS:

PERBINCANGAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلا ة والسلام على رسول الله وعلى اله واصحابه ومن نصره ووا له

 

Segala puji bagi Allah SWT. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia Rasulullah SAW, para Ahli Bait dan sekalian para Sahabat RA.

 

Abstrak:

 

Dunia globalisasi hari ini menyaksikan perkembangan sistem ekonomi yang amat pesat. Ini kerana kecenderungan manusia ke arah kemajuan merupakan fitrah yang tidak dapat disangkal. Sejajar dengan perkembangan itu, Fiqh Islami menerusi para ulamak dan sarjana Islam telah mengemukakan perbincangan di dalam menentukan halal-haram sesuatu sistem untuk memenuhi kesejahteraan manusia.

 

Umumnya ekonomi merupakan salah satu dari aspek penting di dalam kehidupan seharian manusia. Justeru melihat contoh: Allah menghalalkan jual-beli dan di dalam masa yang sama mengharamkan riba. Persoalannya mengapa Allah mengharamkan riba? Secara umum sesuatu yang dihalalkan mahupun yang diharamkan oleh Allah SWT ada pengajaran yang tersurat dan hikmah yang tersirat.

 

Di dalam kertas kerja yang ringkas ini, penulis mengajak para pembaca melihat salah satu sistem ekonomi yang baru bagi susur galur perbahasan Fiqh Islami iaitu mengenai Insurans. Perbahasan di dalam kertas kerja ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

 

Bahagian Pertama: Pengenalan Insurans

Bahagian Kedua: Polemik Insurans Menurut Syariat Islam.

 

 

BAHAGIAN PERTAMA

 

Perbahasan pertama: Pengenalan Akad Insurans

 

Bab pertama: Perkembangan/ Sejarah insurans

 

Insurans merupakan salah satu bentuk muamalah berteraskan sistem ekonomi yang baru muncul berbanding bentuk-bentuk muamalah yang lain. Di dalam sistem muamalah berteraskan ekonomi terdapat perbincangan khusus di dalam kitab-kitab fekah karangan para fuqaha’ masyhur terdahulu. Perbahasan-perbahasan tersebut mewarnai lembaran-lembaran yang membincangkan tentang perbahasan muamalat secara khusus. Berbanding muamalah yang lain seperti persoalan jual beli, riba’, mudharabah, wakalah, sewa, wakaf, wadi’ah, syarikat, wasiat, nazar dan sebagainya insurans merupakan perbahasan yang agak nadir dan malah baru diketengahkan dalam qhadiah kontemporari kurun ke 13 Hijrah/19 Masihi. Terdapat beberapa pendapat tentang teori kemunculannya.

 

Sejarah Ringkas Insurans

 

Manusia secara umumnya sentiasa memikirkan untuk menghindari bahaya. Siapa yang mahu terjebak ke dalam bahaya atau kebinasaan? Islam sendiri menyuruh umatnya tidak menjebakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan. Ini dikuatkan dengan firman Allah di dalam Al-Quran yang bererti:

 

“…dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..”

 

Justeru manusia samada Islam atau bukan Islam mencari inisiatif tersendiri. Ini bertujuan untuk mengelakkan kecederaan, kematian kerugian dan sebagainya. Sekalipun alternatif tersebut hanya memberi manfaat selepas berlakunya sesuatu bahaya itu. Dengan mandapat pampasan terhadap kerugian berbentuk insurans sekurang-kurangnya kerugian yang terpaksa dialami akibat musibah dapat dikurangkan atau diringankan.

 

Pengkajian ini akan mengemukakan beberapa teori kemunculan insuran yang ditemui sepanjang pengkajian. Barangkali terdapat teori-teori lain yang tidak ditemui untuk dikemukakan di sini, maka tidak dikemukakan.

 

Teori Pertama Kemunculan Insurans:

 

Insuran yang paling awal diwujudkan ialah ta’min al-bahr (insuran laut atau dinamakan juga sebagai insuran perkapalan); iaitu jaminan terhadap kapal dan pelayaran lantaran manusia melihat terdapat bahaya dan risiko yang tinggi semasa berada dalam  pelayaran di lautan. Ada pendapat yang menyatakan bahawa ianya telah wujud sekitar 1498 M di London. Ini bersandarkan kepada aktiviti perniagaan yang telah berkembang pesat pada zaman tersebut. Para saudagar membawa barangan niaga mereka dari suatu tempat ke tempat yang lain dan kebiasaannya akan menghadapi risiko semasa pelayaran. Insurans jenis ini dilaksanakan dengan peniaga dibayar dengan kadar pampasan tertentu apabila berlaku musibah semasa pelayaran.

 

Teori Kedua Kemunculan Insurans:

 

Teori kedua menyatakan ianya telah wujud lebih awal dari itu iaitu sekitar tahun 1182 di Lambordia. Akan tetapi boleh dikatakan bahawa kemunculan di Lambordia itu merupakan titik awal yang menjadi asas kepada teori kemunculannya di London pada 1498 M. Ini kerana kemunculan di London berpunca apabila tersebarnya muamalat insurans sekitar Eropah pada kurun ke 15 M dan dikenal pasti berpunca dari Lambordia. Sa’dy Abu Jaib berpandangan bahawa tiada keraguan di kalangan para pengkaji akan kemunculan pertama insuran adalah di Lambordia dan ianya berkembang ke London, Britain dan negara-negara Eropah yang lain mengikut arus perkembangan perdagangan laut.1

 

Teori Ketiga Kemunculan Insurans:

 

Al-Ustaz Muhamad Nur Ghifari di dalam tulisannyanya yang disiarkan di dalam majalah Rabitah Al-‘Alam Islami bilangan Safar 1399H sewaktu membincangkan mengenai insurans turut menyuarakan pandangan bahawa kemunculan insuran di kalangan umat Islam telah ditemui di Andalus. Andalus yang terkenal sebagai sebuah pusat perkembangan Islam yang maju dengan pertumbuhan ilmu dan penghasilan para cendiakawan memungkinkan teori ini sukar disanggah. Sistemnya pula adalah seperti ta’awun dan tabadul. Kemudian sistem ini telah berpindah ke negara-negara di bawah naungan Khilafah Uthmaniah yang lain sebagaimana yang didakwa oleh Al-Faqih Ibnu Abidin di dalam kitabnya.2 Akan tetapi kebanyakan pengkaji Islam menyimpulkan bahawa kemunculannya di dalam komoniti umat Islam hanya pada kurun ke 19 M. Ini berdalilkan kepada tiada seorang pun di kalangan para fuqaha’ dan ulamak silam yang membicarakan tentang topik ini di dalam perbahasan mereka. Ulamak pertama yang membincangkan tentang persoalan ini ialah Al-Faqih Ibnu Abidin di dalam kitabnya Raddul Muhtar ala Daril Mukhtar. Beliau menegaskan hukum perbahasan yang dinamakan dengan as-saukarah itu sebagai tidak harus di sisi syara’.

 

Teori-Teori Lain:

 

Insuran nyawa  paling awal telah diperkenalkan di  Britain pada tahun 1583 M. Manakala insuran terhadap pengangkutan awam (kenderaan darat) hanya wujud pada kurun ke 20 M. Kewujudan insuran ini sejajar dengan perkembangan pesat perindustrian dan perkilangan yang menghasilkan pelbagai produk-produk berenjin dan bermotor. Pun begitu sebab kemunculannya juga berkaitan risiko-risiko perniagaan dan perindustrian lantas memaksa kemunculan insuran terhadap kemalangan dan kerugian. Kemudian barulah wujud pelbagai bentuk insuran-insuran yang lain yang pelbagai.

 

Bab kedua: Definisi Akad Insurans

 

Definisi Dari segi Bahasa:

 

Apabila menyebut tentang insurans gambaran yang biasanya terpamer di kalangan masyarakat ialah: ‘suatu keadaan untuk mendapatkan perlindungan atau jaminan keselamatan iaitu satu jaminan ganti rugi atau pampasan kewangan apabila berlaku sesuatu bencana seperti insurans terhadap nyawa, kemalangan, kecurian, rompakan, pencabulan dan seumpamanya.’

 

Terdapat pelbagai definisi yang dikemukakan oleh para ulamak mahupun sarjana ekonomi tentang topik insurans. Pun begitu walaupun terdapat pelbagai definisi yang diketengahkan tetapi tujuannya masih menjurus ke arah menerangkan bahawa insuran adalah jaminan keamanan.

 

Menurut Kamus Dewan: ‘Insuran ialah perjanjian tanggungan yang dibuat oleh sesebuah syarikat untuk menggantikan kerugian seseorang dengan bayaran premium tertentu.’

 

Definisi dari segi bahasa: Di dalam Bahasa Arab lafaz insurans disebut sebagai at-ta’min -  التأمين. Perkataan ini adalah lafaz baru di dalam Bahasa Arab yang diinterpretasikan dari perkataan Perancis Assurance dan perkataan Inggeris Insurance yang memberi maksud jaminan keamanan. Perkataan التأمين pula dari segi bahasa ialah: الأمن yang bererti aman dan menghindar ketakutan.

 

Definisi Dari Segi Istilah:

 

Definisi dari segi istilah: Ialah suatu perjanjian yang bermaksud: “Akad yang melazimkan al-muammin (syarikat insurans) berperanan untuk menunaikan sesuatu kepada al-muamman lahu (pemegang polisi) atau kepada al-mustafid pengambil faedah yang telah disyaratkan iaitu: mablagh minal mal (sejumlah pampas an) atau sesuatu yang dipersetujui antara syarikat dan pemegang polisi sewaktu berlakunya musibah atau kemalangan seperti yang diterangkan dalam akad sedangkan pemegang polisi pula perlu membayar premium yang ditetapkan kepada syarikat insurans.3

 

Di dalam definisi di atas dapat dikeluarkan tiga perkara asas iaitu:

 

i.                           Syarikat insuran membayar pampasan kepada pemegang polisi apabila berlaku musibah atau kemalangan.

ii.                          Pemegang polisi membayar premium kepada syarikat insurans.

iii.                        Berlakunya kemalangan atau risiko yang teruk.

 

Kebanyakan para pengkaji topik ini ketika mengemukakan definisi, mereka turut merujuk kepada definisi yang diberikan oleh Qanun Madani (Undang-undang Negara) dan tidak jauh berbeza. Boleh dikatakan definisi yang ditafsilkan oleh Qanun Madani adalah bertepatan dengan definisi yang dikemukakan oleh sarjana Syariah, ahli qanun dan ekonomi serta ulamak-ulamak yang lain.

 

Daripada definisi yang diutarakan menjelaskan tentang rukun-rukun insurans iaitu:

 

i.                              Wujudnya ijab dan qabul di antara pemegang polisi dan syarikat insurans.

ii.                             Wujudnya perkara yang hendak diinsuranskan.

iii.                           Pemegang polisi membayar premium kepada syarikat insurans.

iv.                           Jaminan syarikat insuran terhadap kecelakaan yang berlaku terhadap perkara yang diinsuranskan.

 

Beberapa Istilah Penting Seputar Topik Insurans:

 

i.                     Al-muammin: Syarikat perniagaan insurans yang menguruskan insuran.

ii.                   Al-muamman lahu: Individu pelanggan (pemegang polisi) yang perlu membayar premium insurans.

iii.                  Al-mustafid: Pengambil faedah, kebiasaannya terdiri daripada kalangan waris pemegang polisi.

iv.                 Qistul Ta’min: Bayaran premium

v.                   Mablaghul Ta’min: Bayaran pampasan oleh syarikat

vi.                 Mahal ta’min: Perkara yang diinsuranskan samada kereta, bangunan, nyawa dan sebagainya.

vii.                Al-khatru: Bahaya atau risiko yang dihadapi.

 

Bab ketiga: Ciri-ciri Akad Insurans

 

Terdapat enam ciri yang diutarakan dan dibincangkan di dalam persoalan insurans. Ciri-ciri tersebut ialah:

 

i.                           Akad insurans adalah dari akad saling meredzai - Ini dilihat dengan berlakunya ijab dan qabul di antara kedua-dua pihak (pemegang polisi dan syarikat insurans).

 

ii.                          Akad yang mengiltizamkan kedua-dua pihak - Setelah berlangsungnya akad di antara kedua-dua pihak maka pemegang polisi mesti beriltizam untuk membayar wang premium yang ditetapkan. Manakala Syarikat pula beriltizam dengan sesuatu yang belum dapat ditentukan.

 

iii.                        Akad yang ihtimali atau gharar - iaitu sesuatu yang tidak dapat dikenalpasti sama ada akan berlaku atau tidak berlaku. Sekiranya berlaku bencana terhadap pemegang polisi maka dia berhak untuk mendapatkan pampasan dari syarikat insurans.

 

iv.                        Akad yang berterusan - maka perlulah bagi kedua-dua pihak melunaskan tuntutan di dalam kontrak akad selagi tidak terbatal akad.

 

v.                         Akad yang idz’an - iaitu pemegang polisi terpaksa tunduk daan mengikut kepada apa yang ditentukan oleh syarikat sedangkan apa yang ditentukan oleh syarikat belum tentu adil.

 

 

vi.                        Akad insurans adalah jenis akad mu’awadzah - Ini menunjukkan bahawa akad insuran adalah berbentuk perniagaan untuk mengaut keuntungan daripada pertukaran yang berlaku.

 

Mungkin selain daripada ciri-ciri yang diutarakan dalam perbincangan ini terdapat ciri-ciri lain. Akan tetapi dengan melihat kepada enam ciri yang dijelaskan sudah memadai untuk memahami perjalanan kontrak dalam akad insurans.

 

Bab Keempat: Unsur-unsur Akad Insurans

 

Tidak dapat tidak mesti ada tiga unsur di dalam akad insurans iaitu:4

 

i.                     Al-khatru (Bahaya yang dijangkakan)

ii.                   Qistul Ta’min (Bayaran premium oleh pemegang polisi)

iii.                  Mablaghul Ta’min (Pampasan oleh syarikat kepada pemegang polisi atau pengambil faedah)

 

Penjelasan:

 

i.                     Al-khatru:

 

Iaitu suatu keadaan yang tidak dapat ditentukan samada akan berlaku atau tidak berlaku sesuatu kemalangan. Walaupun begitu secara amnya al-khatru yang dimaksudkan adalah perkara yang disukai atau tidak disukai oleh manusia dalam sesuatu masa. Sebagai contoh manusia tidak sukakan mati, maka dia mengambil insurans terhadap nyawa sedangkan tujuannya menjelaskan dia sukakan kekal hidup.

 

ii.                   Qistul Ta’min (Bayaran Premium/caruman):

 

Qistul Ta’min ialah perkara yang perlu diiltizamkan oleh pemegang polisi atau pengambil insurans iaitu bayaran premium. Bayaran ini dibuat oleh pemegang polisi setelah berlakunya akad dengan syarikat dan ditentukan kadar yang perlu dibayar pada sesuatu tempoh masa tertentu.

 

iii.                  Mablaghul Ta’min (Bayaran pampasan kepada pemegang polisi atau pengambil faedah) :

 

Pampasan adalah perkara yang perlu diiltizamkan oleh syarikat insurans sebagai bayaran kepada pemegang polisi atau pengambil faedah apabila berlakunya musibah atau kemalangan. Pengambil insurans akan mendapat faedahnya apabila berlaku musibah atau kemalangan dengan bayaran pampasan yang dibuat oleh syarikat insuran kepadanya. Akan tetapi sekiranya tidak berlaku musibah, pemegang polisi tetap perlu beriltizam untuk membayar premium sepanjang tempoh akad kontrak. Persoalannya apakah ini sesuatu akad yang tiada unsur gharar? Ikuti perbincangan seterusnya untuk melihat perbahasan seterusnya.

 

Perbahasan Kedua: Pembahagian Jenis-jenis Insurans

 

Sepanjang melihat kepada hasil kajian para pengkaji yang mengupas tentang persoalan insurans, terdapat pelbagai pembahagian yang diutarakan. Pembahagian-pembahagian tersebut pula berlainan mengikut pandangan pengkaji itu sendiri. Jika dilihat pembahagian yang dibuat oleh Profesor Dr Muhamad Az-Zaini Muhd Ghanim, pensyarah di Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah, beliau membahagikan insurans kepada pembahagian mengikut jenis dan pembahagian mengikut tajuk.5

 

Pembahagian insurans mengikut jenis dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

 

            i.                     Insurans tabaduli atau ta’awuni

            ii.                   Insuran ijtimai’e

            iii.                  Insurans bilqastil thabit (dengan premium tetap - perniagaan)

 

Manakala pembahagian mengikut tajuk pula yang dibuat oleh beliau ialah:

 

i.                     Insurans al-adzrar (kerosakan barangan)

ii.                   Insurans al-asykhas (keindividuan)

 

Berlainan pula dengan pembahagian insurans yang dibuat oleh Dr Ibrahim Raf’at Jamal, pensyarah di Fakulti Syariah wal Qanun di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta di dalam kitab Qhadaya al-Muamalat al-Maliyah al-Muasarah. Meskipun beliau turut membahagikan insurans kepada tiga jenis, tetapi terdapat perbezaan dengan apa yang dikemukakan oleh Dr Muhamad Az-Zaini Muhd Ghanim. Mengikut pembahagian yang dibuat oleh Dr Ibrahim Raf’at Jamal ialah:6

 

i.                     Insurans ijtimai’e atau ta’awuni

      ii.         Insurans tabaduli

ii.                   Insurans tijari (berasaskan perniagaan)

 

Walaupun terdapat perbezaan di antara pandangan pengkaji insurans itu sendiri, namun ianya tidaklah menjejaskan kefahaman terhadapnya. Pun begitu apabila melihatah terdapat pelbagai penafsiran terhadap jenis-jenis insurans tersebut jelas menunjukkan perkembangan ilmu yang baik. Ada terdapat pengkaji-pengkaji lain yang mengklasifikasikan pembahagian insurans tersebut kepada bentuk jenis yang lain. Sebagai contoh Dr Rafiq Yunus Al-Misri di dalam kitabnya Al-Khatru wal Ta’min menjelaskan pembahagian insurans seperti berikut:

 

i.                    Insurans al-khairi

ii.                  Insurans ad-zati

iii.                Insurans tabaduli dan ta’awuni

iv.                 Insurans tijari (perniagaan)

 

Manakala menurut Dr Muhd Rawas Qal’ah Ji, Pensyarah di Kuliah Syariah Universiti Kuwait menyatakan di dalam kitab beliau yang berjudul al-Muamalah al-Maliyah al-Muasarah fi dzu’ al-Feqh wa Syariah, insurans dibahagikan kepada tiga bentuk:

 

i.                     Insurans dzati

ii.                   Insurans ta’awuni wal tabaduli

iii.                  Insurans tijari (perniagaan)

 

Penjelasan:

 

Berdasarkan pembahagian yang pelbagai itu maka penulis akan mengulas secara terperinci pembahagian yang masyhur di kalangan pengkaji kerana melihat kepada pembahagian tersebut sudah memadai untuk menjelaskan sejauh mana pandangan Islam terhadap insurans.

 

Pembahagian tersebut ialah:

 

i.                     Insurans ijtimaie’

ii.                   Insurans tabaduli atau ta’awuni

iii.                  Insurans tijari

 

Bab Pertama: Insurans Ijtimaie’

 

Insurans jenis ini dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah sesebuah negara sebagai memenuhi maslahah kepada pegawai-pegawai dan para pekerja yang berkhidmat dengan kerajaan. Kerajaan memberikan kebajikan kepada para pegawai dan pekerja-pekerja dari sudut mengurangi bebanan perubatan, musibah sakit, lemah dan tua.  Di antara sebab saluran kebajikan ini adalah seperti kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan rawatan, hilang keupayaan, pencen dan sebagainya.

 

Di antara bentuk-bentuk insurans jenis ini ialah:

 

i.                     Nizam At-Taqa’ud ( KWSP): Iaitu kerajaan memberikan kadar tertentu kepada pegawai-pegawai yang telah bersara atau tamat perkhidmatan. Contoh selepas umur 55 tahun.

 

ii.                   Bantuan Jaminan Sosial: Iaitu kebajikan yang diterima oleh pekerja-pekerja daripada kerajaan atau badan-badan tertentu dalam hal-hal berkaitan musibah.

 

iii.                  Insurans Kesihatan: Pekerja layak mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma atau berbayar dengan kadar yang sedikit dengan ditanggung kos tersebut oleh kerajaan.

 

Perlaksanaan sistem ini telah lama diperkenalkan di kebanyakan negara-negara umat Islam. Akan tetapi ianya merupakan jenis insurans yang tidak tersohor dengan nama insurans, sebaliknya dinamakan dengan nama yang lain. Justeru kerajaan yang mentadbir adalah berperanan di dalam perlaksanaan insurans peringkat dan jenis-jenis tersebut      .

 

Bab kedua: Insurans Tabaduli atau Ta’awuni

 

Insurans tabaduli atau ta’awuni dibangunkan oleh badan-badan atau persatuan-persatuan kebajikan dan berperanan menyalurkan bantuan dan kebajikan kepada masyarakat atau ahli persatuan tersebut yang ditimba bencana atau musibah.

 

Dari sudut perlaksanaan insurans jenis ini dijelaskan dengan melihat dua contoh:

 

Contoh pertama: Sebuah peti kecemasan dibangunkan oleh persatuan kebajikan yang diselaraskan oleh penduduk setempat dengan menggabungkan sumber-sumber kewangan ke dalam tabung tersebut dan digunakan untuk membantu sesiapa yang ditimpa musibah seperti kemalangan dan sebagainya. Insurans jenis ini biasanya dilaksanakan di kampung-kampung, taman-taman perumahan dan di kediaman-kediaman yang lain.

 

Contoh kedua: Ia dibangunkan oleh sesebuah persatuan yang kebiasaannya dilaksanakan oleh para pegawai atau buruh yang bekerja di suatu tempat dengan mensyaratkan tabungan dengan kadar tertentu dan diberikan kepada sesiapa yang didapati menghadapi musibah dalam dua asas iaitu samada asas hutang atau asas takaful/sumbangan tabaru’. Setiap ahli memainkan dua fungsi iaitu sebagai pencarum dan penerima.

 

Bab Ketiga: Insurans Tijari (Perniagaan)

 

Iaitu akad insurans yang melibatkan antara pemegang polisi dengan syarikat insuran terhadap perkara-perkara berkemungkinan berlaku musibah dengan kadar bayaran tertentu yang akan di bayar oleh syarikat insurans kepada pengambil insurans (pemegang polisi) sebagai pampasan apabila berlaku musibah mengikut perjanjian. Manakala pemegang polisi pula dikenakan untuk membayar premium insurans berdasarkan tempoh dan kadar yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

 

Bentuk ini terdapat unsur-unsur penipuan dan penindasan di mana sekiranya tidak berlaku apa-apa kemalangan syarikat akan memperolehi faedah yang berterusan daripada bayaran premium pemegang polisi insuran berkenaan. Manakala sekiranya berlaku kemalangan pula syarikat insuran berkenaan pula akan membayar dengan kadar pampasan yang banyak padahal dengan menggunakan wang yang dibayar oleh pemegang polisi-pemegang polisi yang lain yang tidak ditimpa musibah.

 

Syarikat yang melaksanakan perniagaan insurans jenis ini pula kebiasaannya mengamalkan sistem perniagaan yang berasaskan teori riba’ dan teori-teori yang diharamkan oleh syariat Islam. Ditambah pula insurans jenis ini terdapat unsur gharar sebagaimana yang didakwa oleh para ulamak di dalam muktamar Feqh Islami yang berlangsung di Jedah pada 10-16 Rabiul Akhir 1406H/ 22.12.1985 M. Resolusi daripada pendakwaan tersebut Majmak telah mengeluarkan qarar yang berbunyi:

 

“Sesungguhnya akad insuran perniagaan mempunyai kadar bayaran premium tetap yang dilaksanakan oleh syarikat insurans perniagaan merupakan perniagaan yang mengandungi unsur gharar (sesuatu yang tidak pasti) yang besar dan fasid. Maka hukumnya adalah haram di sisi syara’.”7

 

Perbahasan Ketiga: Pembahagian Mengikut Tajuk

 

Selain dari pembahagian yang telah dijelaskan terdapat pembahagian jenis lain turut dikemukakan di dalam kajian ini. Pembahagian tersebut dilihat dari sudut tajuk perbincangan topik insurans itu sendiri. Di antara pengkaji yang mengemukakan pembahagian berbentuk ini ialah Dr Muhamad Az-Zaini Muhd Ghanim dan Sa’dy Abu Jaib di dalam kitab masing-masing. Pembahagian tersebut ialah:

 

Bab pertama: Insurans Kemusnahan/Kerosakan

 

Insurans jenis ini ialah pampasan yang diterima akibat kemusnahan atau kerosakan yang terjadi akibat musibah atau bencana yang menimpa pengambil insurans. Sebagai contoh berlaku kemalangan terhadap harta bendanya seperti kenderaan atau kebakaran terhadap premis milikannya. Ini termasuklah dua pembahagian iaitu:

 

i.                     Insurans terhadap barangan/harta: Syarikat insurans yang membuat akad kontrak dengan pemegang polisi akan membayar pampasan berupa ganti rugi terhadap nilai barangan milik pemegang polisi yang telah diinsuranskan itu. Nilaian yang akan diterima oleh pemegang polisi berupa pampasan yang telah disebut dan dipersetujui di dalam kontrak.

 

ii.                   Insurans terhadap kemalangan: Sebagai contoh: kemalangan kenderaan.

 

Bab kedua: Insurans keindividuan

 

Insurans jenis ini pula meliputi semua jenis insurans yang berkaitan dengan diri individu manusia. Ini termasuklah sama ada nyawa atau anggota-anggota badan yang terdedah kepada kecederaan dan kemalangan.

 

Jenis ini pula dibahagikan kepada dua jenis:

 

Insurans nyawa

 

Terdapat beberapa keadaan insurans dari jenis ini iaitu:

 

i.                     Insurans Bagi Keadaan Kematian

ii.                   Insurans Bagi Keadaan Kekal/Hidup

iii.                  Insurans Antara Kekal dan kematian

 

i.  Insurans Bagi Keadaan Kematian:

 

Iaitu suatu akad kontrak yang dilakukan dengan syarikat insurans akan membayar satu kadar pampasan insurans kepada pengambil faedah akibat kematian nyawa orang yang diinsuranskan. Insurans jenis ini dinamakan Insurans Umur. Atau apabila syarikat membayar pampasan kepada pengambil faedah kesan kematian orang yang diinsuranskan pada waktu kontrak berlangsung. Ini pula dinamakan insurans bertempoh. Bersyarat apabila berlaku kematian ke atas nyawa orang yang diinsuranskan pada tempoh perjanjian yang telah dipersetujui.

 

Tetapi sekiranya nyawa orang yang diinsuranskan itu berterusan sehingga tamat tempoh perjanjian kontrak insurans (contoh: 10 tahun), maka terlepaslah tanggung jawab syarikat untuk memberikan pampasan dan premium tersebut kekal pada milikan syarikat.

 

Manakala insurans sebab kekal pula, syarikat perlu membayar kadar pampasan kepada pengambil faedah apabila orang yang diinsuranskan kekal hidup selepas tamat tempoh. Namun sekiranya pengambil faedah mati sebelum tamat tempoh maka terlepaslah syarikat dari pampasan tersebut.

 

i.                    Insurans Bagi Keadaan Kekal/Hidup

 

Bagi keadaan insurans jenis ini pula syarikat perlu membayar kadar pampasan kepada pengambil insurans apabila dia kekal hidup selepas tamat tempoh akad kontrak perjanjian. Sedangkan sekiranya pengambil insurans meninggal sebelum tamat tempoh perjanjian maka wang premium yang dicarumnya akan kekal sebagai milik syarikat insurans dan syarikat tidak perlu menjelaskan apa-apa pampasan akibat kematiannya.

 

ii.                  Insurans Antara Kekal dan Kematian

 

Insurans jenis ini pula adalah syarikat perlu membayar pampasan kepada pengambil insurans apabila beliau kekal hidup selepas tarikh yang dipersetujui di dalam akad kontrak atau sekiranya dia mati semasa tarikh perjanjian maka warisnya akan menerima pampasan tersebut. Insurans jenis ini pula adalah yang termasyhur dan paling tinggi kadar premium yang dikenakan dan ianya adalah yang biasanya dinamakan insurans nyawa bagi kebanyakan syarikat insurans.

 

Jenis kedua bagi pembahagian insurans keindividuan ialah:

 

Insurans Kemalangan Anggota:

 

Syarikat akan membayar pampasan kepada pengambil insurans yang ditimpa musibah dan kadar yang diberikan bergantung kepada apa yang diputuskan di dalam perjanjian dengan melihat kadar kecederaan yang dialami. Selain pengambil insurans, insurans jenis ini juga memungkinkan untuk pengambil faedah yang terdiri dari waris atau ahli keluarganya mengambil pampasan sekiranya pengambil meninggal dalam tempoh kontrak.

 

Perbahasan Keempat: Tujuan dan Matlamat Melanggan Insurans

 

Di antara tujuan dan matlamat melanggan dan mengambil insurans ialah:

 

i.                     Menunjukkan adanya ikatan ukhwah di kalangan anggota masyarakat terutama terlihat di dalam bentuk insurans ta’awuni dan tabaduli.

ii.                   Meringankan bebanan musibah yang terpaksa ditanggung apabila berlaku musibah. Dengan menyertai kelompok insurans bebanan tidak akan ditanggung sendirian malah akan ditanggung oleh orang lain juga.

iii.                  Menghimpunkan permodalan dengan kadar caruman yang diberikan oleh peserta-peserta sehingga mampu digunakan sebagai pampasan kepada individu yang ditimpa musibah dan bencana.

iv.                 Menambahkan kepercayaan di antara pemiutang dan penghutang apabila syarikat insurans yang bertindak sebagai penghutang memberi jaminan ke atas pemiutang.

 

 

BAHAGIAN KEDUA:

 

Polemik Insurans Menurut Syariat Islam.

 

Perbahasan Pertama   : Ulamak dan Insurans

 

Di dalam perbahasan ini akan membincangkan mengenai beberapa pandangan ulamak yang mengkaji tentang hukum insurans secara keseluruhan. Akan tetapi perbincangan akan lebih tertumpu tentang pandangan yang berkaitan dengan insurans perniagaan (tijari).

 

Bab pertama: Ulamak-ulamak yang Mengharuskan Semua Bentuk Insurans.

 

Daripada kalangan Ulama’ yang mengharuskan semua bentuk insurans termasuk insurans berasaskan perniagaan ialah: Al-Ustaz As-Syeikh Mustaffa Al-Zarqa,8 Al-Ustaz Abdul Rahman Isa, Dr Muhamad al-Bahie,9 Al-Ustaz Muhammad Yusuf Musa dan Al-Ustaz Ali al-Khafif.10 Golongan ini adalah golongan minoriti yang mempertahankan pendapat mereka bahawa hukum insurans sama ada berasaskan perniagaan atau tidak adalah harus kerana ianya adalah berteraskan prinsip tolong-menolong.

 

Bab kedua: Ulamak Yang Mengharamkan Semua Insurans Berbentuk Perniagaan.

 

Di antara ulamak-ulamak yang mengharamkan semua bentuk insurans yang berasaskan perniagaan ialah:

 

a.       Al-‘Alamah Muhammad bin Abidin pengarang kitab Hasyiah Radul Muhtar ‘ala daril Mukhtar, Feqh Mazhab Hanafi. Ibnu ‘Abidin menjelaskan lagi di dalam fasal yang kedua dari bab al-musta’min di dalam kitab tersebut katanya: “…….Sesungguhnya  Imam (pemimpin negara) perlu memberi pertolongan (perlindungan) ke atas al-musta’min daripada kalangan ahli Harbi (orang kafir) selagi mana berada di dalam negara Islam dan tidak harus bagi Muslim mengadakan perjanjian dengan musta’min kecuali apa yang harus daripada perjanjian bersama kaum muslimin. Ini juga termasuk tidak harus musta’min mengambil sesuatu yang tidak lazim pada syara’.”11

 

b.       Al-‘Alamah As-Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muthi’e Al-Hanafi merupakan bekas mufti Mesir. Beliau di antara Fuqaha’ paling awal membicarakan maudhu’ insuran selepas Ibnu ‘Abidin. Beliau antara lain menjelaskan bahawa pandangan Al-Ustaz Mustaffa Al-Zarqa mengharuskan semua bentuk insuran adalah salah disebabkan akad insuran adalah akad yang fasid.

 

c.       As-Syeikh Al-Kabir Al-‘Alamah Muhammad Abu Zahrah rh. Merupakan bekas wakil Kuliah Huquq (Undang-undang dan Kehakiman) di Universiti Kaherah juga pengerusi Jabatan Syariah Pengajian Dirasat ‘Ulya (Master of Art) di universiti yang sama.12

 

d.       Turut serta mengharamkan insuran ialah Dr. Isa Abduh menyatakan pendiriannya di dalam kitab beliau bahawa akad insurans adalah akad fasid.

 

e.       As-Syeikh Al-'Alim Muhammad Ali Al-Bulaqi merupakan anggota  haiyah tahrir di mausu’ah Feqh Islami di Kuwait juga merupakan Pensyarah Ma'had Dirasah 'Ulya (MA) di Mesir. Antara pendapat beliau ialah : Akad insurans nyawa dan musibah adalah akad yang fasid dan tidak pasti maka hukumnya adalah haram.13

 

f.        Di kalangan ulamak yang lain termasuklah: As-Syeikh Mohd Najib al-Muthi’e, Abdul Rahman Qara’ah di dalam fatwanya, Muhamad Najati, As-Syeikh Ahmad Ahmad Ibrahim, As-Syeikh Muhamad Ali As-Sayir, As-Syeikh Taha ad-Dinary, As-Syeikh Muhamad Abdul Latif as-Subki, As-Syeikh Abdullah an-Naflaqili, Dr Muhamad Abul Yusr Abidin, Dr Husin Hamid Hassan. Kebanyakan mereka berhujah bahawa akad insurans adalah akad yang tidak ada nas yang mengharuskannya dan ianya adalah jenis akad yang tidah soheh dan terdapat unsur-unsur tidak pasti - gharar.

 

Golongan yang mengharamkan akad insurans berasaskan perniagaan adalah golongan mijoriti yang berpandangan bahawa akad insurans adalah akad yang fasid dan tiada nas mengharuskannya.

    

Bab ketiga : Ulamak Yang Mengharuskan sebahagian dan mengaharamkan sebahagian yang lain.

 

Sebahagian golongan ulamak yang lain pula berpandangan mengharuskan sebahagian insurans yang terdiri dari jenis-jenis insurans kemalangan dan kerosakan ke atas harta benda. Mereka antaranya ialah: Najmuddin al-Iraqi, Muhamad Mabruk, Muhamad Faraj al-Sanhuri dan lain-lain. Kebanyakan mereka mengharamkan insurans dari bentuk insurans nyawa.

 

Antara ulamak lain yang mengemukakan pandangan berbentuk ini ialah:

 

i.                     As-Syeikh Muhamad al-Madani - merupakan dekan Fakulti Syariah di Univeersiti al-Azhariyah.

 

ii.                   Al-Alamah As-Syeikh Muhamad Abu Zahrah – Beliau antara lain menjelaskan bahawa insurans kereta adalah sejenis jaminan untuk kebaikan dan maslahah tidaklah menjadi haram. Akan tetapi insurans terhadap nyawa adalah haram kerana terdapat unsur-unsur yang mengharamkannya iaitu perjudian dan riba.

 

iii.                  Pendapat seperti Abu Zahrah itu adalah seakan-akan pendapat As-Syeikh Ahmad as-Syarbasi – merupakan raidul ‘am Jam’iyat Shaban Muslimin.

 

iv.                 As-Syeikh Abdullah bin Zaid A`li Mahmud – Beliau membezakan di anatar jenis insurans yang haram yang terdiri dari insurans nyawa dan mengharuskan insurans berbentuk insurans kereta dan seumpamanya. 14

 

 

BEBERAPA PENDAPAT SEKITAR MAJMA’ BUHUS ISLAMIAH AL-AZHAR – (Muktamar Ad-dauli Lis-sina’at At-ta’miniah)

 

i.                     Pendapat Dr. Muhammad Abdul Halim Umar merupakan Mudir Markaz Ekonomi Al-Azhar berpendapat insurans menjadi halal apabila syarikat yang menguruskannya melaksanakan sebagaimana ketetapan syara’.

 

ii.                  Pendapat Dr. Mu’awwadz Hassan Hasanain  merupakan Pengerusi Lembaga Syarikat Insuran Mesir menyandarkan pendapat beliau kepada Darul  Ifta’ bahawa insurans adalah halal kerana ianya adalah gambaran kepada saling bantu-membantu sesama manusia.

 

iii.                Pendapat Dr. Fathi As-Syed - menyatakan bahawa insuran yang berbentuk khidmat kemasyarakatan (Ta’awuni) adalah dibenarkan dalam Islam sebaliknya insurans berbentuk perniagaan adalah menyalahi syara’ disebabkan terdapat unsur-unsur yang menyebabkan akad menjadi fasid seperti riba dan gharar.

 

iv.                Pendapat Dr. Abdullah Mabruk An-Najjar - merupakan Pensyarah Kuliah Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar menyatakan bahawa golongan yang berpendapat mengharuskan insurans berbentuk perniagaan menggunakan hujah-hujah dan qias yang salah disebabkan akad insuran perniagaan terdapat unsur riba sedangkan riba adalah haram

 

Mungkin terdapat beberapa pandangan ulamak lain yang tidak disebutkan di sini. Oleh itu beberapa pandangan ulamak yang dikemukakan hanyalah merujuk kepada beberapa nama yang masyhur dan sering dinyatakan di dalam pengkajian tentang insurans.

 

Perbahasan kedua: Perbincangan Insurans yang diharuskan

 

Bab pertama: Jenis-jenis Insurans yang diharuskan

 

Walaupun pendapat mengharamkan insurans adalah pendapat majoriti, perlu diingatkan bahawa pendapat tersebut adalah merujuk kepada insurans yang berasaskan perniagaan yang mempunyai hujah-hujah pengharaman yang tersendiri. Akan tetapi selain daripada insurans perniagaan kebanyakan ulamak mengharuskan beberapa bentuk insurans melihat kepada maslahah dan kebaikan yang ada. Di antara bentuk-bentuk insurans tersebut ialah:

 

i.                     Insuran Dzati: Insuran jenis ini  Ialah satu bentuk insuran terhadap jaminan diri sendiri agar dapat menampung sebarang kerugian yang dihadapi dengan cara memotong sejumlah wang dari pendapatan bulanan dan disimpan untuk kegunaan apabila berlaku bencana atau kerugian. Hukumnya adalah harus. 15

 

ii.                   Insurans Ijtimaie’: Insurans yang dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah sesebuah negara ini sebagai memenuhi maslahah kepada pegawai-pegawai dan para pekerja yang berkhidmat dengan kerajaan. Kerajaan memberikan kebajikan kepada para pegawai dan pekerja-pekerja dari sudut mengurangi bebanan perubatan, musibah sakit, lemah dan tua.  Di antara sebab saluran kebajikan ini adalah seperti kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan rawatan, hilang keupayaan, pencen dan sebagainya. Antara bentuk-bentuk yang dilaksanakan ialah termasuklah KWSP, Bantuan Jaminan Sosial dan Insurans Perubatan. Hukumnya adalah harus.16

 

iii.                  Insurans tabaduli atau ta’awuni: Insuran jenis ini dilaksanakan oleh badan-badan atau persatuan dengan berkerjasama menjamin atau membantu kalangan ahli yang ditimpa musibah atau menghadapi risiko. Jenis ini jelas menunjukkan peranan tujuan dan matlamat insurans dari sudut mengeratkan hubungan ukhwah dan pertautan untuk saling bantu-membantu sesama anggota masyarakat. Setiap anggota memainkan dua peranan sebagai pemberi dan penerima. Bentuk yang biasanya dilaksanakan ialah:

 

 

i.                    Insuran Bantuan Musibah

Contoh: Bantuan yang diberikan kepada ahli yang ditimpa musibah seperi kebakaran, kecurian dan sebagainya.

 

ii.                  Insuran Bantuan Awam

Contoh: Bantuan kepada keluarga ahli seperti bantuan kewangan kepada keluarga ahli selepas kematian  atau kemalangan hilang kudrat beliau. Biasanya dilaksanakan oleh yayasan tertentu.

 

iii.                Insuran Bantuan Kesihatan

Contoh: Bantuan bayaran perubatan untuk meringankan bebanan yang dihadapi.

 

iv.                Peti Keluarga

Contoh: Perkahwinan, dermasiswa dan sebagainya.

 

 

Hukumnya adalah: Sunat.17 dan ada pendapat lain yang menyatakan: Harus.18

 

iv.                 Insurans Khairi: Insurans jenis ini dita’arifkan sebagai hampir serupa dengan perlaksanaan sistem zakat, Nafkah kerabat, ‘Awaqil, Wasiat, Wakaf, Kafarat, Nuzur dan sebagainya di dalam Islam. Antara tujuannya ialah untuk membantu golongan fakir. Ini berbeza dengan sistem insurans tabaduli atau ta’awuni kerana sistemnya adalah bertepatan dengan sistem insurans secara penta’arifan perundangan. Sistem insurans Khairi pula tidak berkaitan dengan pentakrifan tersebut kerana tiada caruman tetap yang ditentukan. Atau dengan lain perkataan insurans khairi adalah pemberian tanpa pulangan. Namun insurans jenis ini jarang kedapatan di dalam suasana masyarakat walaupun ianya amat-amat menitik beratkan konsep saling bntu-membantu di antara golongan kaya dan miskin atau fakir. Justeru lebih-lebih lagilah dituntut akan perlaksanaannya di dalam masyarakat.

 

 

Bab kedua : Dalil dan Hujah-hujah yang dikemukakan

 

Kajian ini akan mengemukakan beberapa dalil yang akan menunjukkan keharusan insurans seperti bentuk-bentuk di atas di mana prinsip yang ada di dalam perlaksanaannya adalah bertepatan dengan perlaksanaan sistem takaful Islam. Justeru antara dalil-dalil yang berkaitan ialah:19

 

i.                            Sesungguhnya akad insurans jenis-jenis di atas tergolong di dalam akad tabarru’ yang menghendaki saling bantu-membantu sehingga mampu mengurangkan beban dan kerugian akibat musibah yang menimpa. Malahan pula sistem ini bukanlah bertujuan perniagaan dan mengaut keuntungan, tetapi tujuan sebenarnya adalah membantu mangsa.

 

ii.                           Tidak terdedah kepada pengurusan yang mencampuri amalan riba yang diharamkan secara qati’e.

 

iii.                         Tidak menyebabkan keraguan terhadap para pencarum tentang apa yang dicarum atau disumbangkan untuk menentukan apakah kadar yang akan diterima daripada manfaat penyertaan mereka. Ini kerana penyertaan mereka adalah sebagai satu amal tabarru’ dan bukan bertujuan untuk mencambahkan kewangan dan mencari keuntungan.

 

 

iv.                        Insurans jenis ini juga bertepatan dengan saranan untuk saling bantu-membantu seperti mana mafhum firman Allah SWT di dalam Al-Quran: “Dan bertolong-menolonglah ke atas perkara kebaikan dan ketaqwaan…” serta sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya: “Orang-orang beriman itu seumpama sebuah bangunan, sebahagian memperkukuhkan sebahagian yang lain.”

 

Demikianlah beberapa dalil dan hujah yang dikemukakan sebagai menyatakan keharusan insurans yang berasaskan saling bantu-membantu di dalam Islam di mana prinsip asasnya adalah tabarru’ dan ta’awun.

 

 

Perbahasan ketiga      : Perbincangan Insurans Perniagaan

 

Bab pertama               : Beberapa Pendapat Terhadap Insurans Perniagaan

 

Terdapat tiga perselisihan pendapat yang ketara dikesan dalam pengkajian berkaitan insurans ini. Pendapat-pendapat tersebut telah disebutkan dalam perbahasan ulamak dan insurans yang lalu (di dalam kajian ini).

 

Pendapat Pertama       : Insurans perniagaan adalah haram di sini syariat Islam.

Pendapat kedua          : Insurans perniagaan adalah harus di sisi syariat Islam.

Pendapat ketiga          : Mengharuskan sebahagian dan mengharamkan sebahagian yang lain.

                                                                                                  

Bab kedua                   : Dalil dan Hujah-hujah yang dikemukakan.

 

Dalil dan Hujah Pendapat Pertama     : Insurans perniagaan adalah haram di sini syariat Islam.

 

Antara dalil-dalil dan hujah yang dikemukakan para pendokong pendapat ini ialah:20

 

i.                     Bahawasanya akad insurans berbentuk perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat insurans perniagaan terdapat unsur gharar yang jelas (besar) dan kejahilan yang melampau. Sedangkan unsur-unsur tersebut merupakan larangan syara’ terhadap muamalah dan akad. Justeru gharar tersebut tidak memungkinkan untuk mengharuskan akad insurans. Ini boleh dijelaskan dengan melihat kepada situasi di mana pemegang polisi yang mengambil insurans terpaksa membayar bayaran premium yang telah ditentukan oleh syarikat terhadapnya, sedangkan apabila tidak berlaku musibah atau kemalangan beliau tidak ada hak untuk mendapatkan pampasan. Ini terbukti apabila semasa akad dilakukan si pengambil insurans langsung tidak tahu apa yang bakal diperolehi olehnya sebagai pampasan di masa hadapan. Begitu juga situasi yang lain apabila seorang pengambil insurans yang hanya baru membayar sekali premium dan ditimpa musibah, maka dia diberikan pampasan insurans oleh syarikat insurans perniagaan. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Jelas menunjukkan unsur gharar yang jelas terdapat di dalam akad insurans perniagaan. Dalam hal kejahilan yang melampau pula, semasa akad tidak diketahui apakah musibah yang bakal menimpa pengambil insurans dan berapakah nilai pampasan yang perlu dijelaskan oleh syarikat.

 

Tiga unsur gharar yang terdapat dalam akad insuran ialah:

 

i.                     Gharar pada penghasilan tukaran:

 

Ketika akad pemegang polisi tidak pasti samada akan memperolehi insuran atau tidak contohnya: Kemalangan.

 

ii.                   Gharar pada kadar:

 

Ketika akad pemegang polisi tidak boleh memastikan kadar bayaran yang akan diterimanya. Kadar tersebut hanya akan diketahui selepas berlakunya kemalangan dan dinilai pada kecederaan yang dialami sedangkan apa jua bentuk kecederaan yang bakal dialami sudah pasti tidak dapat diketahui semasa akad dilakukan.

 

iii.                  Gharar pada waktu:      

 

Tidak pasti  bilakah tukaran berlaku (bila akan berlaku kemalangan) sedangkan para Fuqaha’ telah mensyaratkan dalam jual beli bertangguh mesti diketahui waktu penyerahan barang tersebut.  Contoh: akad jual beli tempahan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                             

 

Hadis-Hadis Yang Menyokong Pengharaman Akad Gharar:

 

1. ( عن ابى هريرة رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الحصادة و عن بيع الغرر)

رواه مسلم و أحمد و أصحاب السنن

 

Maksudnya: Daripada Abi Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW melarang jual beli hasodahdan jual beli gharar.            

 

2. (عن أبى سعيد الخدرى رضى الله عنه  ا ن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن شرأ العبد الأبق ، وعن شرأ ما فى     بطون الأنعام حتى تضع ، وعن شرأ ما فى ضروعها ، وعن شرأ الغنائم حتى تقسم)

رواه  و أحمد وابن ماجه

 

Maksudnya: Daripada Abi Said Al-Qudry RA Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang dari menjual ..

 

3. (أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قا ل : لا تشتروا السمك با لمأ فاءنه غرر) 

رواه أحمد و الطبرا نى

 

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Jangan Kamu menjual ikan di dalam air maka sesungguhnya terdapat gharar.”

 

ii.                   Akad insurans perniagaan terdapat unsur riba al-fadz dan an-nasi`ah yang mana kedua-duanya merupakan haram di sisi syariat Islam. Ini berlaku dengan wujudnya pertambahan terhadap premium yang dicarum apabila berlaku musibah dan tidak terhalang dari berlaku riba melihat kepada pertambahan dan masa. Malah turut berlaku situasi di mana syarikat mengenakan bayaran faedah tambahan kepada pemegang polisi yang terlewat untuk menjelaskan premium.

 

Sepertimana firman Allah swt:

 

(وأحل الله البيع وحرم الربأ)    البقرة: 275   

 

Maksudnya: “Allah menghalalkan berjual-beli dan mengharamkan riba.”

 

Dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan Hadith-hadith mengenai pengharaman riba’.

 

iii.                  Terdapat unsur perjudian di dalam akad insurans sedangkan judi adalah haram. Sebarang perkara yang membawa kepada haram adalah haram di sisi syariat Islam. Oleh itu apabila insurans pernigaan yang mengandungi unsure perjudian maka ia mengambil hokum judi itu sendiri. Insurans sebagaimana judi apabila pemegang polisi terpaksa membayar premium sebagai pertaruhan untuk mendapat keuntungan yang tidak pasti.

 

iv.                 Akad insurans perniagaan terdapat unsur jual beli dainun bidainin (hutang dengan hutang) sedangkan jual beli bentuk ini diharamkan oleh Islam.

 

v.                   Perlaksanaan insurans perniagaan juga merupakan sesuatu yang menyebabkan memakan harta manusia dengan jalan batil (salah). Ini adalah sesuatu yang diharamkan melalui firman Allah SWT di dalam Al-Quran: 

 

" ولا تأكلوا اموالكم بالباطل..."

 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta di kalangan kamu dengan jalan batil.”

 

Ini terbukti di dalam perlaksanaan insurans perniagaan apabila wang caruman pengambil-pengambil insurans diberikan kepada orang yang ditimpa kemalangan sedangkan kaedah pengambilan bukanlah dari aspek tabaru’, tetapi menggunakan sistem yang diperkenalkan sendiri oleh syarikat insurans.

 

Ada yang mendakwa bahawa cabutan wang caruman untuk dijadikan pampasan kepada mereka yang ditimpa musibah adalah menyerupai sistem insurans ta’awuni dan ijtimaie, tetapi hakikatnya adalah berbeza kerana sistem insurans perniagaan bukan terbina di atas prinsip tabarru’ dan tolong-menolong sebaliknya adalah untuk mendapatkan keuntungan daripada caruman tersebut.

 

 

Dalil dan Hujah Pendapat kedua        : Insurans perniagaan adalah harus di sisi syariat Islam.

 

i.                     Menyandarkan hujah menggunakan kaedah “al-aslu fil asya’ al-ibahah” (Asal pada sesuatu perkara adalah harus). Ini kerana akad insurans sebagaimana akad muamalah yang lain malah merupakan bentuk yang baru di mana terdapat padanya manfaat dan kebaikan kepada manusia malah hukumnya kekal harus selagimana tidak terdapat dalil yang mengharamkannya.

 

ii.                   Sandaran dalil juga terhadap prinsip masalih mursalah untuk mengharuskan insurans. Ini kerana melalui insurans mampu memberikan kebaikan dan ruang kepada manusia memperolehi manfaat daripada tabungan yang dibuat. Bahkan melalui insurans ketenteraman seseorang akan mampu dibendung dari kerisauan terhadap musibah dan kerugian yang teruk sekiranya berlaku kemalangan. Justeru mengambil kaedah masalih mursalah di mana kebaikan yang diperolehi menjadikan sesuatu perkara yang tiada nas menegah menjadi masyru’.

 

iii.                  Golongan ini juga turut berhujah dengan menggunakan kaedah “uruf” di mana sesuatu yang makruf di kalangan manusia sedang manusia berhajat kepada perkara tersebut maka perkara tersebut menjadi harus di sisi syara’.

 

iv.                 Insurans juga dilihat sebagai suatu perkara yang dharuri di kalangan manusia. Justeru golongan yang mengharuskan insurans ini menggunakan kaedah “al-dharurat tubihul mahdhurat.” Ini kerana golongan ini berpendapat hanya melalui insuranslah mampu untuk memberikan pampasan terhadap musibah yang dihadapi manusia. Maka ianya adalah harus atas kaedah sesuatu yang menjadi dharurat mengharuskan yang ditegah.

 

v.                   Insurans adalah perkara yang menjadi keperluan dan kemestian bagi manusia (ammat bihi balwa). Maka ia diharuskan bagi mengangkat kesempitan (raf’ul haraj) terhadap manusia. Sekiranya dilarang pengambilan insurans maka ia akan menyebabkan masyaqqah (kesusahan dan kepayahan) kepada manusia maka mengambilnya dikira sebagai jalan untuk mengangkat kesempitan dan kesusahan tersebut.

 

vi.                Menggunakan metod qias terhadap beberapa sistem akad yang dilihat menyerupai bentuk akad insurans. Qias tersebut terhadap lapan perkara iaitu:

 

a.       Qias akad insurans tijari (perniagaan) terhadap nizam ‘akilah:

 

Nizam ‘akilah adalah merupakan iltizam berbentuk harta (diyat) yang dikenakan ke atas pembunuh yang dikatogerikan sebagai tersalah bunuh. Maka kedudukan insurans boleh diqiaskan terhadap nizam ini di mana tujuannya adalah untuk meringankan musibah dan beban kewangan keluarga si mati dan dalam masa yang sama melunaskan bebanan diyat pembunuh kerana berlakunya pembunuhan tidak sengaja atau tersalah bunuh. Begitulah halnya dengan insurans kerana kebiasaan pengambil insurans mengambil insurans kerana demi meringankan bebanan kewangan dan musibah yang menimpa keluarganya sekiranya dia ditimpa musibah. Maka dengan itu kedudukan nizam ‘akilah dengan insurans adalah sama.

 

Sedangkan ini adalah qias yang tersasar dari disiplin sebenar.

 

b.      Qias akad insurans perniagaan terhadap akad al-muwalat

 

Akad muwalat adalah merupakan akad yang dilakukan oleh seorang lelaki yang majhul (tidak diketahui) dari sudut nasab kepada orang lain sebagaimana berkata: “Kamu adalah warisku sekiranya aku mati dan ke atas kamu  diyat apabila aku dibunuh.” Maka kedudukan di antara pengambil insurans, syarikat insurans, pampasan dan musibah seperti kedudukan akad muwalat juga.

 

Ini juga merupakan qias yang tersasar kerana membandingkan pampasan insurans dengan diyat kematian adalah dua perkara yang berlainan kerana diyat adalah sesuatu yang ditetapkan oleh syariat kadarnya sedangkan pampasan insurans tiada penetapan kadar yang menyerupai diyat, kadangkala kurang dan adakalanya lebih. Maka qias ini tersasar.

 

c.       Qias akad insurans perniagaan terhadap akad al-mudharabah

 

Akad mudharabah adalah merupakan akad di antara pemberi modal dengan pengusaha apabila mendapat keuntungan maka dibahagikan keuntungan itu sebagaimana yang disyaratkan. Maka premium yang dibayar pengambil insurans kepada syarikat yang bertindak sebagai pengusaha modal dalam urusniaga insurans menyerupai bentuk mudharabah.

 

Ini juga merupakan kaedah qias yang salah kerana prinsip mudharabah ialah pengusaha menerima modal untuk diusahakan sedangkan syarikat insurans sudah mempunyai modal sendiri. Malah premium yang dikenakan kepada pengambil insurans bukanlah merupakan asas kepada modal untuk diusahakan/ dikembangkan. Maka prinsip ini bertentangan dengan prinsip al-mudharabah.

 

Selain dari apa yang telah dijelaskan di atas para pendokong pendapat mengharuskan insurans perniagaan juga menggunakan qias yang lain termasuklah apa yang disenaraikan di bawah ini. Namun adalah sesuatu yang mengelirukan apabila dilihat qias yang dikemukakan adalah tidak bertepatan dengan disiplin qias yang sebenar.  Justeru tidak perlulah diperpanjangkan perbahasan di dalam hujah qias yang digunakan tersebut. Cukuplah sekadar penulis mengemukakan beberapa contoh penjelasan yang telah lalu dan beberapa bentuk lain yang tidak diperjelaskan adalah seperti di bawah:

 

d.      Qias akad insurans perniagaan terhadap akad al-wadi’ah

e.       Qias akad insurans perniagaan terhadap akad hebah bi’iwadhin

f.        Qias akad insurans perniagaan terhadap akad al-ji’alah

g.      Qias akad insurans perniagaan terhadap dhaman khatrul toriq

h.       Qias akad insurans perniagaan terhadap akad insurans ta’awuni, ijtimai’e dan sistem wang bersara (pencen).20

 

Perbahasan keempat : Munaqasyah Terhadap dalil-dalil dan Perbincangan.

 

Setelah melihat kepada pendapat dan hujah-hujah yang diutarakan oleh kedua-dua pihak (harus/ haram) maka dimunaqasyahkan dan diringkaskan seperti berikut:

 

i.                     Pendapat mengharuskan insurans mengambil istinbat hukum melalui jalan qias dan ijtihad manakala pendapat pengharaman insuran menetapkan hukum berdasarkan nusus syar’iah dan qawa’id asasiyah dan sudah tentu berlaku perbezaan yang ketara. Malah penggunaan kaedah masalih mursalah dan ijtihad pendapat yang mengharuskan insurans perniagaan kebanyakannya nadir dan tidak menepati pendapat jumhur.

 

ii.                   ‘Ilat dan takwil yang dibuat oleh pendapat mengharuskan insurans ialah dari segi ukuran persamaan dan lebih kurang antara insurans dengan bentuk-bentuk mu’malah yang lain seperti diqiaskan dengan akad muwalat dan sebagainya. Pendapat menolak insurans perniagaan berhujah bahawa dalam akad insurans itu sendiri terdapat unsur-unsur gharar, riba’ dan sebagainya yang menyebabkan pengharamannya di sisi syariat Islamiah.

 

iii.                  Pengharusan insuran juga disebabkan melaluinya   boleh berlaku saling bantu-membantu antara anggota masyarakat sedangkan pendapat mengharamkannya berhujah bahawa akad insurans adalah akad yang tidak jelas lagi tidak harus pada syara’ kerana terdapat unsur-unsur seperti gharar, penindasan dan penipuan serta unsur-unsur lain yang memfasadkan akad.

 

iv.                 Syariat Islam telah menetapkan bahawa apabila berlaku pertembungan antara haram dan harus dalam sesuatu perkara maka dipakai hukum haram sebagai ihtiyat (langkah berhati-hati).

 

v.                   Qias yang dijadikan hujah oleh golongan yang mengharuskan insurans perniagaan adalah qias yang tersasar dan bertujuan supaya menghalalkan sesuatu yang tidak menepati prinsip qias yang sebenar.

 

Perbahasan kelima                 : Tarjih (Pendapat yang Sesuai dan Terpilih)

 

Selepas melihat kepada perbincangan dan dalil-dalil serta penghujahan yang diberikan oleh para pendokong pendapat masing-masing maka jelaslah kepada kita di antara pendapat-pendapat tersebut manakah yang lebih kuat dan sesuai serta terpilih. Pendapat yang rajih ialah pendapat pertama yang mengharamkan semua bentuk insurans berasaskan perniagaan.

 

Pendapat ini adalah merupakan pendapat kebanyakan ulamak dan fuqafa’ dahulu dan sekarang yang membincangkan persoalan insurans tersebut. Pendapat ini juga bertepatan dengan pendapat yang dipilih oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami di Jedah pada tahun 1985M.

 

Seperti dinyatakan di dalam qarar (ketetapan) Muktamar Feqh Islami di Jeddah pada 10-16 Rabiul Akhir 1406H/ 22.12.1985M seperti berikut:

 

“Sesungguhnya akad insuran perniagaan mempunyai kadar bayaran premium tetap yang dilaksanakan oleh syarikat insuran perniagaan merupakan sesuatu yang mengandungi unsur gharar (sesuatu yang tidak pasti) yang besar dan fasid. Maka hukumnya adalah haram di sisi syara’.”21

 

Adapun begitu perbincangan mengenai insurans yang tidak berasaskan perniagaan adalah tidak menjadi masalah dari sudut keharusan dilaksanakan di dalam komuniti masyarakat Islam hari ini. Apa yang penting pemahaman terhadap keharusan insurans berkenaan mestilah disematkan di dalam pemikiran masyarakat bahawa Islam bukanlah agama yang menyempitkan sesuatu hukum sehingga menyebabkan kesusahan dan kepayahan kepada penganutnya. Tetapi apa yang dikehendaki oleh Islam adalah untuk menjaga umatnya dari perkara yang tidak baik yang jelas menyebabkan kerosakan terhadap masyarakat sekiranya sesuatu perkara yang haram mahu dihalalkan juga.

 

Oleh itu pengharaman insurans berasaskan perniagaan adalah  sesuatu yang menepati syariat Islam dari sudut prinsip dan khasaisnya.

 

PENUTUP

 

Semoga dengan perbincangan di dalam kajian yang ringkas ini dapat memberikan sedikit sebanyak kefahaman mengenai perbincangan insurans dalam Islam kepada semua muslimin dan muslimat,  insyaAllah.

 

Buat akhirnya penulis amat-amat berharap sebarang teguran dan pembetulan terhadap kertas kerja yang sangat ringkas ini. Sebanarnya perbincangan sebenar yang diutarakan oleh para ilmuan yang menulis tentang insurans adalah sangat mendalam dan melebihi apa yang diinterpretasikan di dalam kertas kerja ini. Kertas kerja ini hanyalah sekadar kajian permulaan penulis dalam menongkah bahtera pengkajian ilmiah.

 

Bidang ilmu mu’amalah ini sangat luas untuk diterokai. Justeru marilah kita sama-sama berusaha mendalaminya moga-moga kita mampu mengusai dengan thaqafah dan ilmu yang mantap. Semoga kertas kerja ini sedikit sebanyak menjadi pendorong kepada penulis sendiri di dalam meneruskan penghasilan kertas-kertas kerja ilmiah buat masa-masa mendatang.

 

Sekian.

 

Al-Fikru Wat Tatbiq,

 

Disediakan oleh:

 

Ahmad Tarmizi Ismail

Fakulti Syariah dan Undang-Undang,

Jabatan Syariah Islamiah

Universiti Al-Azhar As-Syarif

Cawangan Tanta, Mesir.

 

E-mail: [email protected]

 

Senarai Rujukan Kajian:

 

i.                                 Al-Quranul Karim.

ii.                               Us. Dr Muhammad Rawas Qal’ah Ji, Al-Mu’amalah Al-Maliyah Al-Mu’asoroh Fi Dzu’ Feqh was Syariah

iii.                              Al-Ustaz Abdullah Nasih ‘Ulwan, Risalah  Hukum Islam Fit Ta’min-

iv.                             Dr Muhammad Uthman Syabir, Kitab Al-Mu’amalah Al-Maliah Al-Muasirah fil Fiqh Islami

v.                               Sa’dy Abu Jaib, Kitab At-Ta’min Bainal Hadzri wal Ibahah.

vi.                             Doktor Ibrahim Raf’at Jamal, Kitab Qadhaya al-Muamalat al-Maliyah al-Muasarah, 1422H.

vii.                            Muhd Az-Zainy Muhd Ghanim, Nizom at-Ta’min.

viii.                          Rafiq Yunus Al-Misri, Kitab Al-Khatru wat Ta’min.

ix.                             Ustas Mustaffa Al-Zarqa, Nizom Ta’min.

x.                               Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Kitab Al-Halal wal Haram fil Islam.

xi.                             Kertas Kerja Insurans – MANHAL PMRAM.

xii.                            Majalah Tasauf Islami  bil: 265 Muharam 1422.

xiii.                          Kamus-kamus & Kamus Istilah Fekah

 

 


 

1 Lihat: Sa’dy Abu Jaib, At-ta’min bainal khatri wal ibahah, m.s 11

2 Al-Faqih Ibnu Abidin adalah seorang ulamak kurun ke 19 bermazhab Hanafi, terkenal dengan beberapa karangannya yang masyhur di antaranya ialah: ‘Raddul Muhtar ala Ad-daril Mukhtar’ yang turut dikenali sebagai Hasyiah Ibnu Abidin. Lahir pada 1198 H/1784 M dan meninggal pada 1252 H/ 1836 M. [Al-I’lam Zarkali, 6:42]

3 Lihat: Muhamad Az-Zaini Muhd Ghanim, Nizam At-Ta’min m.s:17 [ Taarif hampir sama seperti yang diberikan oleh: Qanun Madani Syaria: 713, Qanun Madani Libya: 747, Qanun Madani Jordan: 920, Qanun Madani Iraq: 983, Qanun Madani Mesir: 747 dan Qanun Madani Lubnan: 950]

4 Ibid: m.s 21-26

5 op. Cit, Az-Zaini, m.s 27-34

6 Lihat: Qhadaya Feqhiyah Muasarah, Kuliah Syariah Wal Qanun, Al-Azhar Tanta, 2002 m.s 14

7 Lihat: Majalah Majma’ Feqh Islami bil:2 m.s: 731

8 Menurut Al-Zarqa golongan ini mengharuskan semua bentuk insurans yang tiada unsur riba memandangkan ianya merupakan akad yang berasaskan tolong-menolong. Lihat: Al-Zarqa, Nizam at-Ta’min, m.s 27

9 Beliau berpandangan bahawa insurans adalah satu bentuk takaful dan tadzamun di antara sesama muslim dan mengharuskannya. Lihat: Faisal Maulawi, Nizam Ta’min, m.s 29

10 Abdullah Nasih Ulwan, Hukum Islam fi Ta’min, m.s 9

11 Lihat: Ibnu Abidin, Hasyiah Raddul Muhtar ‘ala Daril Mukhtar, Jilid:3 m.s: 249

12 Beliau antara lain turut pernah mengemukakan pandangan bahawa akad insurans kereta diharuskan dalam Islam dan insurans nyawa adalah haram kerana mengandungin unsur-unsur yang mengharamkan. Jelasnya beliau tidaklah mengharamkan semua jenis insurans sebagaimana yang dipetik oleh Al-Zarqa, Nizam Ta’min, m.s 27

13 Op. cit, m.s 28

14 Lihat: Faisal Maulawi, Nizam Ta’min, m.s 79               

15 Lihat: Pendapat tiada khilaf, Rafiq Yunus Al-Misry, Al-Khatru wat Ta’min. m.s 41

16 Lihat: Dr Muhd Uthman Syabir, Al-Muamalah Al-Maliah Al-Muasirah fil Fiqh Islami

17 Merupakan pedapat: Al-Ustaz Dr Muhd Rawas Qal'ah Ji.

18 Merupakan pendapat: Dr Muhd Uthman Syabir dan kebanyakan ulamak

19 Lihat: Ibrahim Raf’at Jamal, Qhadhaya Feqhiyyah Muasarah, m.s 15.

20 Ibit m.s 23-37.

20 Op cit: m.s 42-55

21 Lihat: Majalah Majma’ Fiqh Islami bil:2 ms: 731

 

Hosted by www.Geocities.ws

1