Mulai online pada  Jun 2002

Fikir:

It's year 2003
And nothing has changed
Past generation has aged
Let us write the next page
It's time for us to change
It's up to you & me
Either we make history
or we become history…

Banner  hasil ciptaan Putri untuk PUJANGGA Online. Terima kasih buat Putri.

       Ini banner yang Wanzu buat untuk PUJANGGA Online. Syukran buat Wanzu.

Capaian Alternatif

Capaian Arkib:

23 Link Pilihan Pujangga:

bandar sepi
blueshades
encik khairul
enmiya
fajar online
jiGOMorrison
khairusy
meer Taro
miecreation
mukeh
muring-wien
nik nazmi
nizam zakaria
nureffa
pakdi
puteri Elaira Elaiza
raymizie
rudy bluehikari
spyz
tok rimau
toksik
qahafi a.k.a ujang
wanzu

p/s: Link-link ini mungkin berubah mengikut bulan pilihan...

 

Pedoman:

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang orang fasik membawa sesuatu berita kepada kamu, hendaklah kamu selidiki..." (Al-Hujurat: 6) &
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat." - Khalifah Abdul Malik bin Marwan

...................... http://akhimasrawi.cjb.net ......................

Capaian PUJANGGA Online:

 Intro | Diri | Keluarga  | JURNAL | Cerpen Akhi Masrawi | Puisi Online  Cerpen Online Untaian Masa | Koleksi E-muzakarah | Anjung Tamu v. de | Galeri  | gambar Kembara |  Penghargaan

Update terakhir pada catatan paling awal                                                   Update pada bila-bila masa...


                      

.:: Catatan moden dari zaman klasik ::.

Tarikh pada catatan ialah tarikh saya menulis!

31 Mei 2003 | Sabtu | 13.45  am

Catatan Satu

Paparan Kehidupan: Sayang dan benci!

Pernahkah dengar kata-kata seperti ini: "Kalau seseorang sayangkan seseorang, maka dia akan lakukan apa jua demi mempertahankan perhubungan mereka. Dan kadang-kadang timbulnya benci. Bila sudah benci, dia akan lakukan apa jua demi untuk memperlihatkan kebencian atau menimbulkan kebencian yang mendalam."

Dalam kehidupan realiti, kita tidak terlepas dengan semua perasaan dan sikap itu. Kasih, sayang, cinta, benci, dendam, sedih, marah, gembira, seronok, sebak, hiba, bengang, geram, kecewa, resah, gelisah, risau, harap, cemburu, bertanggungjawab, bersemangat, ego, emosi, hipokrit, berlagak, sombong, materialistik, keras hati, memaafkan, sesal, berani, rindu, jujur, ikhlas, lara, bersalah, malu, segan, pesimis dan bermaca-macam lagi ikon yang mendampingi kehidupan manusia. Barangkali kita boleh berkata untuk mengikis perasaan dan sikap yang tidak molek seraya mendominasikan diri mengungguli mahmudah, tetapi kita perlu sedar sebenarnya kesemua perasaan itu ada dalam naluri kita sebagai seorang manusia.

Manusia yang baik juga mempunyai perasaan dan sikap yang tidak baik dalam sesuatu masa. Seorang ahli ibadat tidak mampu khusyu' di dalam solatnya kerana dunia masih berada di dalam hatinya dan mazmumah seperti riya', ta'ajub dan sum'ah masih melekat pada dirinya. Seorang ilmuan merugikan ilmunya bila keikhlasan tidak diselitkan dalam kehidupannya. Seorang pejuang yang mati di dalam peperangan menentang kuffar belum tentu mampu syahid mencari redha Allah sekiranya tujuan dan qasod dia berjuang untuk mendapatkan nama dan diingati serta tiada keikhlasan. Persahabatan tiada makna sekiranya hasad masih tertanam dalam diri.

Saya tidak patut membohongi diri saya sendiri bahawa saya misalnya menyayangi seseorang, tetapi kadangkali timbul kebencian pada orang yang saya sayangi itu, maka perasaan itu menghalang, menyekat dan melambatkan saya menjadikan sayang itu sebagai perasaan yang tunggal. Mungkin hanya kerana faktor yang remeh kita boleh membenci di antara satu dengan yang lain. Namun tidak boleh disangkal... Manusia perlukan manusia. Tiada teori yang kukuh, manusia boleh hidup tanpa manusia.

Kata-kata di atas boleh jadi betul dalam kehidupan manusia. Manusia dipertemukan dan manusia juga dipisahkan. Jarak waktu di antara pertemuan dan perpisahan mungkin hanya sepicing cuma. Tetapi apa yang mereka dapat melalui pertemuan tersebut, dan apa yang mereka rasa akibat perpisahan tersebut. Pertemuan kadangkala menimbulkan ukhwah, menimbulkan sayang dan kadangkala juga menimblkan benci dan menampakkan dendam. Maka mereka yang menjadikan pertemuan dan perpisahan kerana Allah adalah mereka yang beruntung, kerana Rasulullah mengkhabarkan bahawa Allah menjanjikan tujuh golongan yang akan berada di bawah payungan Allah di hari yang tiada payungan kecuali payunganNya, salah satu dari tujuh golongan itu ialah dua orang lelaki (termasuk wanita) yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerannNya.

Mampukah kita menjadi golongan tersebut? Justeru perasaan sayang adalah pengikat hubungan manusia. Melalui perasaan sayang manusia akan melakukan apa jua demi mempertahankan hubungan mereka. Manusia sanggup menghabiskan wangnya kerana sayang itu. Manusia sanggup menanggung risiko kerana sayang itu. Manusia sanggup menggadai nyawa juga kerana sayang itu.

Tetapi adakah kalian pernah alami, setelah sayang... timbulnya benci, atau timbulnya keraguan. Dan keraguan itu menyeret supaya kita melakukan sesuatu supaya kita dibenci atau kita membenci. Akhirnya sayang musnah dan benci terbina. Nah! betapa senangnya menguburkan sayang.

Cuba kita bayangkan... bahawa orang yang hari ini paling kita sayangi, suatu ketika dia membenci kita, atau kita terasa membencinya. Apakah yang paling wajar dilakukan pada waktu itu? Manusia tidak akan hidup di dunia ini dengan hanya satu sikap tanpa sikap penentang. Sekiranya semua kita mahu menang, siapa yang akan mengalah? Sekiranya semua manusia pentingkan diri sendiri, hidup ini tidak lagi bermakna. Pemandu kereta merasakan dirinya lebih penting dari pejalan kaki ketika di atas jalan raya. Pemandu kereta membayar cukai jalan, sedangkan pejalan kaki tidak. Jika diikutkan logik, wajar sahaja si pemandu melanggar pejalan kaki yang telah menggunakan hak si pemandu di jalan raya. Justeru kesabaran menghalang kebinasaan. Sekiranya si pemandu memberikan peluang kepada pejalan kaki melalui jalan raya sudah tentu si pejalan kaki juga patut memberikan ruang kepada si pemandu meneruskan laluan. Tetapi sekiranya kedua-duanya tidak mahu mengalah? Siapa yang akan untung dan siapa pula yang akan rugi?!

Kasih sayang dijadikan Allah sebagai pengikat hubungan di antara manusia. Orang yang berdendam dan membenci tidak akan mampu menjalin hubungan. Bush tidak boleh berkawan dengan Saddam dan Osama Laden, kerana Bush telah menjadikan mereka sebagai musuhnya. Tetapi apa akan jadi sekiranya bahang dunia ini hanya dipenuhi kemarahan, pentingkan diri sendiri, ego, sombong dan tidak bertimbang rasa. Sudah tentu tercetusnya permusuhan, dan menatijahkan peperangan.

Mustahil dalam kehidupan kita kita tidak boleh atau tidak pernah membenci. Mustahil dalam kehidupan kita, kita hanya menyayangi. Justeru bila orang yang pernah kita sayangi, suatu hari dia sudah membenci kita, atau kita merasa membencinya... apa yang patut kita lakukan?

Saya tunggu respons kalian!

Kata-kata Pujangga: "Saya sayang awak, sukarkah untuk dilafazkan?"

Sila klik  Respon/Komen

 

29 Mei 2003 | Khamis | 0.15  am

Catatan Satu

Artikel Pendek: MEMAHAMI KONSEP AKAL MANUSIA

Oleh: Akhi Masrawi

Imam Al-Ghazali dan Ibnu Sina berpendapat akal mememainkan peranan yang penting kepada manusia untuk menerima ilmu pengetahuan. Dua orang pemikir Islam itu merumuskan akal berperanan sebagai gudang ilmu. Dalam erti kata lain akal berperanan menentukan 'kasta' seseorang manusia pada darjat atau kedudukan yang baik dan terpuji kerana keilmuan tersebut. Hal ini bertepatan dengan realiti masyarakat, di mana manusia yang berilmu dan luas pengetahuan dipandang mulia oleh masyarakat.

Di dalam Al-Quran al-Karim Allah SWT mengulang-ulang perkataan yang berkaitan dengan akal melebih 50 kali. Ini menunjukkan betapa mulianya akal kepada manusia berbanding makhluk yang lain. Melalui nikmat akal tersebut manusia menerima taklif. Menerusi akal juga manusia mencari petunjuk serta kebenaran untuk menjadikan kehidupan mereka menghala kepada kebaikan dan menjauhi keburukan.

Akal juga sangat luas peranannya kepada kehidupan manusia. Melalui akal manusia berfikir dan mengkaji untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna. Akal akan melahirkan idea yang berkesan untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk yang sangat dinamik kerana penganugerahan akal tersebut. Melaluinya manusia mampu mentadbir dan memakmurkan dunia ini bagi melunasi taklif sebagai 'khalifah' serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.

Pun begitu, kemampuan akal adalah terbatas. Akal tidak mampu menanggap atau memikirkan semua perkara. Oleh sebab itu, manusia perlu menyedari dan menginsafi akan hal kejadian mereka yang tidak terlalu sempurna supaya menjadikan kehidupan seimbang dan tidak bersifat angkuh, sombong dan sebagainya. Renungi sejenak! Akal hanya mampu menaakul apa yang berkaitan dengan alam nyata sahaja, sedangkan apa yang menjangkaui alam ghaib akal tidak dapat mengetahuinya kecuali melalui wahyu sebagaimana yang berlaku kepada perutusan para nabi dan rasul Allah.

Firman Allah SWT: "Dan mereka bertanya kamu (Wahai Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, "ruh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." (Al-Isra':85)

Ayat ini jelas menunjukkan keterbatasan akal dan keilmuan manusia. Atau dalam konteks yang lain, manusia hanya mampu mengkaji dan melakukan sesuatu dengan ilmu yang mereka miliki dan melalui izin daripada Allah SWT. Walau sepintar dan secerdik mana manusia dan sekalipun sehingga mereka menggabungkan kecerdikan itu dengan menghimpunkan beberapa ramai, tetapi ruangan taakul tetap terhad dan terbatas.

Firman Allah SWT: Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun untuk tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu membantu sesama sendiri."

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah: akal manusia terbatas meski ia merupakan anugerah yang membezakan antara manusia dengan makhluk yang lain. Oleh sebab keterbatasan itu, maka manusia berhajatkan kepada petunjuk yang datang melalui perantaraan rasul iaitu wahyu. Melalui panduan wahyu maka manusia akan mampu mengkaji dan membuat keputusan yang tepat.

Justeru, tidak diertikan ketinggian sesuatu ilmu jika sekiranya ia bertentetangan dengan petunjuk wahyu disebabkan keterbatasan akal manusia itu sendiri.

Catatan Dua

Imtihan: apa khabar?

- Alhamdulillah saya dah melepasi dua paper (24 & 28 Mei - Al-Quran dan Qadaya Fiqhiyah Muasarah). Alhamdulillah dapat menjawab dan sekarang adalah masa bertawakkal.

- Ada lagi lima paper yang akan saya lalui iaitu Bahas Qadaya Fiqhiyah Muasarah, Hadis Ahkam, Bahasa Inggeris, Fiqh Muqaran dan Fiqh Syafie. InsyaAllah...

- Hari paper terakhir imtihan ialah 14 Jun 2003. Selepas itu MERDEKA!

- Oh ya sesiapa yang berminat untuk membaca dialog Antara Islam dan Kristian, sila Klik. Saya menyiarkan semula.

Catatan Tiga

Cinta Sufiah dikarikatur

Saya sebenarnya kurang berminat untuk mengulas tentang cerpen saya (Cinta Sufiah) yang dikarikaturkan oleh pelukis tersohor Lembah Kinanah yang mempopularkan dirinya sebagai alluanna dan komiknya yang berjudul alwan akhir-akhir ini. Cinta Sufiah adalah merupakan cerpen saya yang terakhir dihasilkan pada tahun 2003. Selepas itu sehingga sekarang masih belum ada apa-apa cerpen lagi dihasilkan, walaupun ada yang menyangka Cerpen Di dalam dewan besar itu, yang tersiar di dalam Suara Kampus Edisi Kelantan edisi April lepas adalah karya saya yang terkini.

Sebenarnya DDDBI adalah karya saya yang lebih awal dari Cinta Sufiah. Dan Cinta Sufiah sudah pun ditempah oleh pelukis tersebut untuk dikarikaturkan. Nampaknya lepas ini saya juga akan jadi akrab dengan pelukis tersebut sebagai penulis kepada karikatur yang diterbitkan alwan. Sebenarnya tidak berhajat untuk cerpen itu dikarikaturkan kerana saya menulis cerpen itu tidak untuk tujuan diserahkan pada alwan, tetapi kerana kesediaan pelukis untuk mengkartunkan cerpen tersebut, saya berbesar hati.

alluanna atau Wanzu dalam dunia weblog sememangnya berbakat besar dalam dunia kartun. Justeru sekarang dia sudah popular sebagai penulis jurnal, sekaligus pelukis komik di kalangan siswa Al-Azhar. Segala perkembangan terkini tentang karikatur dan proses menyiapkan kartun Cinta Sufiah boleh dirujuk melalui laman Wanzu. Oh ya sesiapa yang belum membaca cerpen Cinta Sufiah boleh ke sini (cari di mana-mana entri). Cuma satu Wanzu... kalau rasa agak sesuai supaya dialog diubahsuai, lakukanlah.


Kata-kata Pujangga: "Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata."

Sila klik  Respon/Komen

 

22 Mei 2003 | Khamis | 5.30  am

Catatan Satu

Demam imtihan bermula!

Teringat masa sekolah rendah dulu, nostalgia itu meranum di dinding memori. Apa tidaknya pengalaman enam tahun bertemankan kerusi dan meja kayu banyak mengajar saya erti mencari kehidupan seterusnya. Oleh itu, saya belajar dari falsafah, "jangan sesekali kita salahkan orang lain dengan apa yang kita dapat sekarang" kerana kitalah natijah kepada diri kita. Justeru fahamilah itu adalah takdir Ilahi yang menyimpan maksud dan hikmah yang amat bermakna.

Dulu masa sekolah rendah, tidak pun saya berangan-angan atau menyimpan mimpi suatu hari saya akan menjadi 'anak rantau', yang diberi peluang seperti sekarang dalam safar ilmi yang sangat bermakna. Apalah yang saya mengerti pada usia kanak-kanak itu jika difikirkan semula? Ketika itu yang paling menarik buat saya hanyalah hari penyampaian hadiah yang saban tahun diadakan sekira-kira sesi pengajian akan berakhir. Apa tidaknya saban tahun itu jugalah saya sering menggendong hadiah untuk dibawa pulang. Kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum yang kemudian hadiah-hadiah itulah menjadi bahan kebanggaan saya menunjuk-nunjuk pada emak dan ayah.

Mengenangkan itu semua, ingin rasanya diputarkan semula bumi ini ke detik kegembiraan itu. Namun... saat itu tidak akan berulang kembali. Tiada jam yang menanti kita. Tiada mentari yang menunggu kita bersedia, supaya membolehkannya mengubah waktu. Tiada paksi terhenti untuk melambat-lambatkan takdir. Kini setelah berada di menara gading... barulah terasa betapa berharganya detik-detik yang pernah kita lalui, sedangkan detik-detik itulah yang suatu masa dulu kita bosan, resah dan gelisah menghadapinya.

Entah bagaimana, saya menyudahkan UPSR dengan 2A 2B yang menatijahkan dianugerahkan tokoh murid tahun 1992 SKUM, Langkawi. Saya masih ingat bagaimana Pengerusi PIBG menarik tangan saya lalu menghulur not RM 50 sebagai derma peribadinya kepada saya. Perasaan saya waktu itu entah bagaimana. Kegembiraan dan hiba berselingkit. Melalui keputusan itu jua, ayah menerima pelawaan Cikgu Nol (Penolong Kanan 1) waktu itu supaya saya dihantar mengikuti temuduga di Alawiyah, Arau. Alhamdulillah impian ayah supaya saya sambung belajar di sekolah menengah agama kesampaian.

Saya sendiri tidak tahu hala tuju saya kala itu. Bidang agama bukanlah terlalu akrab dengan keluarga saya. Sehingga kini jika dihitungkan kembali, cuma yang berpendidikan agama di peringkat menengah sehingga universiti hanyalah saya. Oleh itu saya berharap kalau-kalau adik bongsu saya juga akan mengikut jejak saya. Ayah dengan pendidikan Inggeris, Kak Chaq di bidang sastera, Teh kekal di jurusan sastera yang kemudian menyambung diploma di ILP, Alang dan Bangcik menjengah aliran teknik dan adik yang bongsu masih di sekolah rendah. Mungkin saya mirip kepada impian emak, kerana susur galur keluarga cuma emak berpendidikan agama, itupun separuh jalan. Adik emak, Pakcik Mansur meski dibesarkan dalam hawa Ma'had Mahmud tetapi beralih ke bidang tentera dan polis.

Haluan saya ketika itu dibentuk oleh ayah, alhamdulillah... saya bersyukur. Sekurang-kurangnya saya diseret mengungguli bidang agama kerana terlontar ke bumi Alawiyah. Jika tidak entahlah di mana sekarang saya berada. Orang lain mungkin adalah faktor yang mendorong, tetapi natijahnya berada dalam kemahuan diri sendiri. Berapa ramai kawan-kawan saya yang mendaftar di tingkatan peralihan di Alawiyah sesi 92/93 itu, tetapi yang kekal dengan aliran agama dan seterusnya menyambung di aliran agama cuma berapa kerat!

Mungkin ramai yang beranggapan, aliran ini menghalang segalanya. Aliran ini jumud dan ketinggalan zaman. Hah... biarlah apa juga anggapan manusia. Manusia tidak akan senang dengan apa yang kita lakukan. Kisah bagaimana Luqman Al-Hakim bersama anaknya bermusafir berserta seekor himar yang diahadiahkan kepadanya masih bermain-main mengetuk dinding ingatan saya. Kadang-kadang kisah sebegitu menjadikan diri termotivasi.

Saya sendiri pernah diherdik oleh Kak Chaq bahawa tiada makna saya belajar di sekolah agama jika masih memakai seluar pendek, akibatnya selepas itu saya beriltizam memakai seluar panjang. Mengapa kita perlu menilai sesuatu itu dengan pandangan yang negatif, jika kesan positifnya lebih bernilai? Berapa ramai yang tahu, budak-budak sekolah agama khususnya SAR dan SAN yang mengamalkan pendidikan bersilibuskan kementerian pendidikan dan silibus ma'had Al-Azhar seperti Alawiyah terpaksa mendepani antara 17-25 subjek saban tahun? Sehingga mereka sanggup untuk mengatakan bahawa pelajar-pelajar SAR tiada kualiti dan disarati masalah.

Bila sudah sampai masanya menentukan haluan sendiri untuk menyambung pengajian, saya memilih Mesir sebagai medan keilmuan seterusnya. Mengapa tidak IPT tempatan? Entahlah. Suara hati saya menjerit supaya Al-Azhar, Universiti Islam tertua ini menjadi medan saya. Betullah, sampai suatu masa kita perlu membuat keputusan daripada pilihan yang ada. Memilih yang tertentu untuk dijadikan keputusan.

Bila kenangkan itu semua, hati jadi hiba. Imtihan ini akan cuba saya hadapi dengan sebaiknya. "Nahnu ma'a ma qaddara Allahu lana." Saya menolak falsafah supaya tidak perlu dikenangkan hari-hari lalu, kerana jika tidak hari-hari lalu itu, masakan sekarang kita begini? Meskipun hari-hari lalu itu pahit dan disarati kegagalan.. ia jugalah yang merubah kita. Dan hari ini juga akan menjadi hari lalu untuk hari mendatang. Sehingga tibanya hari mendatang itu, hari ini perlu dicipta sebaik mungkin supaya hari mendatang yang bakal hadir dalam hidup kita itu sudah bakal menjadikan impian kita tercapai.

Catatan Dua

Sempena setahun online

Anas datang ke rumah malam kelmarin. Banner Laman PUJANGGA Online - JJH ini (yang terkini kat atas tu) dialah yang buatkan. Kemudian ubah dan 'oter' layout, sehingga jadi macam sekarang. Ini semua sempena untuk memasuki setahun online jurnal ini.

Alhamdulillah 1 Jun nanti adalah tarikh catatan pertama bagi Jurnal online ini. Sudah hampir setahun rupanya jurnal ini online. Dan dalam tempoh yang sebegitu, pelbagai catatan telah termuat di dalam jurnal ini. Barangkali ada yang kurang menyenangkan mana-mana pihak pun ada. Jadi saya mengambil kesempatan ini memohon kemaafan sekiranya ada dari catatan saya yang menyentuh sensitiviti pihak-pihak tertentu.

1 Jun 2003 bukanlah tarikh ulangtahun online bagi Jurnal Jalan Hidup, kerana saya memilih 15 Jun sebagai tarikh ulang tahun jurnal ini. Kebetulan pula tarikh akhir imtihan saya ialah 14 Jun 2003. Enmiya sudah mengulangi kelazimannya mensawangkan jurnalnya untuk tempoh peperiksaan ini, tetapi saya mungkin akan terus online. Namun kekerapa memasukkan entri mungkin agak terhad. Berkunjunglah, saya tidak bercadang menutup atau mensawangkan jurnal online ini buat tempoh terdekat ini.

Kata-kata Pujangga: "Manusia tidak perlu dihukum kerana lupa, tetapi manusia perlu dihukum kerana sengaja lupa."

Sila klik  Respon/Komen

 

19 Mei 2003 | Isnin | 14.45  pm

Catatan Satu

Imtihan Oh Imtihan

Daur Mayu tiba lagi. Ini imtihan terakhir saya -kemungkinan, sepanjang pengajian di Al-Azhar (jika tiada tasfiah). Empat tahun hampir mengintai kamar ujian yang disediakan Universiti tertua itu membuatkan saya agak boleh membuat beberapa intisari yang boleh dijadikan nostalgia keberadaan pada era-mahasiswa. Dunia yang memerlukan warganya sebuku kekuatan mengharunginya.

Mungkin imtihan di Al-Azhar agak berlainan dengan sistem-sistem peperiksaan di universiti lain seluruh dunia. Bayangkan kitab yang tebal dengan muqarrar (silibus) yang banyak, suasana pengajian yang sederhanan dari sudut prasarana, kitar kehidupan warga asing berasimilasi budaya Tok Arab, cuaca yang meruntun ketabahan dan segala macam lagi pancaroba yang menjadi liku-liku perjalanan kami sebagai pelajar Al-Azhar. Namun mungkin disebabkan keikhlasan para pensyarahnya yang hebat-hebat maka ilmu yang disalurkan mendapat keberkatan Ilahi.

Menghadapi imtihan adalah perkara yang amat penting bagi warga Al-Azhar. Walaupun sistem kuliah yang tidak mewajibkan kehadiran (di sesetengah kuliah mewajibkan - bukan semua), namun peperiksaan adalah merupakan sesuatu yang diihtimamkan semua warga pelajar, baik wafidin (pelajar luar) mahupun warga pelajar tempatan. Pagi tadi saya bersama empat kawan menghadapi Prof. Dr Muhd Abu Salim, Pensyarah Usul Fiqh yang juga merupakan Ketua Jabatan tersebut untuk sesi 'syafawi dan ta'ayin' (Syafawi Al-Quran juzu' 1-8 dan Fiqh Muqaran (perbandingan Mazhab) serta ta'ayin nas Imam Nawawi madah Fiqh Syafie. Al-hamdulillah Dr Muhd Abu Salim jugalah yang menyoal sesi ta'ayin madah Usul Fiqh fasal Syita' lepas di mana saya begitu yakin menjawab segala persoalan yang diajukan.

Alhamdulillah, persoalan yang diajukan dapat dijawab juga untuk sesi ini. Sejuk rasa hati, jika nak dibandingkan dengan usaha. Ada beberapa persoalan yang antara kami sangkut, tetapi pendekatan Dr Abu Salim agak mirip membantu supaya boleh dijawab juga. Saya bersyukur, moga natjahnya nanti juga menyenangkan hati.

Sabtu lepas saya menghadapi imtihan takhaluf untuk madah Bahasa Arab (Adab dan Balaghah). Alhamdulillah ada yang boleh dijawab dan ada yang terabai, namun saya berdoa supaya kertas itu lulus.

Melangkah keluar dari dewan peperiksaan selepas bersama Dr Abu Salim, kami dikerumuni rakan-rakan yang masih menanti giliran. Saya melayani beberapa rakan sebelum mengajak Iwan pulang. Menanti 24 hb untuk papper pertama Daur Mayu sebenar, kemudian disusuli Rabu seterusnya dan kembali Sabtu di susuli Rabu sehingga 14 hb Jun 2003. Selepas itu... Merdeka!

Catatan Dua

Kewujudan yang mengganggu

Memang sah, kewujudan gambar yang menjadi latar laman jurnal saya mengganggu tumpuan pembaca. Tumpuan pembaca terganggu di antara membaca dan memerhati gambar. Malah saya rasa gangguan itu akan lebih dirasai oleh pembaca yang mahu mengintai-ngintai juga gambar apa sebenarnya. Seorang pembaca memberitahu saya, tumpuan untuk membaca tidak dapat ditumpukan sepenuhnya, gara-gara gambar yang saya letak sebagai latar itu.

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya gambar latar bagi laman jurnal online saya ini adalah beberapa gambungan gambar kenangan saya semasa ekspidisi ilmi ke Selatan Sinai pada Januari 2003 lepas. Sengaja saya abadikan sebagai latar supaya menjadi identiti laman ini buat sementara waktu, barangkali. Sehingga saya rasakan sudah tidak perlu... maka pada ketika itu saya wajar menukarkan kepada alternatif lain.

Di mana yang terasa gangguannya? Malah adakah gangguan peribadi atau gangguan luaran. Seorang pembaca tidak senang melayari laman saya kerana gambar latar ini juga katanya dia tidak mahu membiasakan dirinya melihat gambar yang tidak sepatutnya (gambar lelaki). Pendirian pembaca itu mungkin wajar diberikan perhatian serius, tetapi bila saya dapati dia menyatakan demikian... maka saya rasa memang masih wajar dikekalkan kerana sekurang-kurangnya pembaca wanita yang merasa tidak senang dengan kehadiran gambar latar ini, akan berkurangan daripada membaca laman jurnal online saya. :)

Catatan Tiga

Lagu: Terasing
Nyanyian: Allahyarham Sudirman Arshad

Kegelisahan di dalam kedinginan
meniti sepi keseorangan
sebuah kematian
yang tiada bernesan
sendu mengiringi perpisahan

ruang nan luas kini bergerak bebas
namun keupayaanku terbatas
segala mimpi menjadi api
perit membakar diri

sebuah cinta dan harapan
menjadi debu berterbangan
tersekat nafasku
kabur pandanganku
amat terseksa diriku
kerana kehilanganku

Oho...

mengapakan terus mengharap menanti
walau cukup kusedari
kau tak kan kembali

pemergianku mengisi permintaan
biarpun dikau masih kuperlukan
kita dikata pasangan bahagia
kini terasing luka

Kata-Kata Pujangga: "Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal."

Sila klik  Respon/Komen

 

11 Mei 2003 | Ahad | 5.21  am

Catatan Satu

Yang selalu hadir waktu nak imtihan*

11 Mei hari ibu kan? Saya pun tak tahu macam mana sejarah terciptanya hari ibu. Tapi pada saya hari ibu (untuk beri ibu penghargaan) dan menunjukkan kasih memang disarankan Islam, cuma meletakkan tarikh tidak pula dianjurkan. Oleh itu Islam ajar berikan ketaatan dan berbuat baiklah pada kedua ibu bapa sepanjang hayat selagi mana mereka tidak mengarah untuk melakukan maksiat. Hujahnya "La taata lil makhluk fi maksiatil khalik."

Alhamdulillah Jumaat lepas dah tercapai hajat dan dapat telefon mak dan ayah. Dapatlah bercakap lebih kurang 20 minit, pakai e-voiz phonecard. Saya beli dari Talib, dengan harga USD 5 pada nilai muka berharga LE 35. Kira murah dah tu, sebab kalau nak beli pakai USD kena bayar USD 6. Kalau USD 6 dibandingkan dengan LE 35, lebih murah LE 35. USD 6 kalau ditukar kadar sekarang X 6.2 lebih dari nilai LE 35. Minit yang ditawarkan pun lebih berbanding phoneserv dan Go2call.

Masa bersembang dengan mak tu sempat juga bergurau pasal kahwin. :) Ishk... apalah saya ni, mak risau keselamatan saya gurau pasal nak kahwin. Mak tanya dah ada calon kot? Saya kata belum. Lepas tu mak kata kalau belum ada macam mana nak kahwin? Mak beri saya pertanyaan. Dan saya sendiri tak mampu jawab. Betul juga kata mak... kalau dah tak ada calon, macam mana nak kahwin. Ramai kawan-kawan saya yang tak percaya saya ni masih single. Huh... mengapalah mereka ni tak percaya ya?

Dalam soal nak berumah tangga ni, emak dan ayah beri saya peluang untuk cari sendiri. Dalam satu emel yang pernah saya terima... Alang tulis: mak dan ayah tak mahu masuk campur urusan saya nak memilih. Mulanya rasa best semacam je sebab mak dan ayah beri kepercayaan sepenuhnya, tapi lepas tu rasa sebak juga... seolah-olah saya pula tak percaya pada pilihan mak dan ayah, sedangkan selalunya pilihan orang tua itu tepat. Entah la.

Susah soal memilih teman hidup ni...! Kalau tak kena gayanya makan hati berulam jantung sampai ke hujung hayat. Pernah terjadi satu peristiwa, suami dan isteri hidup tanpa bersefahaman. Akhirnya bila anak-anak mereka dan besar, mereka sendiri suarakan yang mereka nak berpisah. Mereka dah tak sehaluan lagi. Anak-anak semua terkejut. Sebab mak ayah mereka tak pernah bergaduh, masing-masing pandai berlakon depan anak-anak. Apa lagi... menangislah anak-anak. Saya kalau boleh nak calon isteri yang sehaluan sefahaman dengan saya. Barulah boleh membina hidup yang bahagia.

Teringat pasal pemilihan isteri sememangnya Islam menyarankan supaya memilih dengan mendahulukan agama daripada kecantikan, kekayaan dan keturunan. So kalau Azhariah yang jadi pilihan pertama saya dan pilihan seterusnya ialah yang mendapat didikan agama, tentunya agama sudahpun mereka miliki. Lainlah kalau saya muyul nak bukan azhariah dan yang tak ada didikan agama, kemungkinan agama perlu dibentuk. Bila ada agama... adalah solehahnya. Jadi kadang-kadang kawan-kawan kata saya ni memilih juga orangnya. Teringat masa chating dengan maksu baru-baru ni saya beritahu dia yang saya nak letakkan 5 syarat tambahan pada calon isteri saya. Pertama: Sabar, kedua: tabah, ketiga: boleh mendidik, keempat: boleh memimpin dan kelima: mampu memenangi hati ibu saya dan mudah mesra dengan keluarga. Maksu saya komen... saya ni memang memilih sangat.

Saya pun jelaskan pada dia kenapa saya nak 5 syarat tu... syarat pertama: sabar, sebab saya tak suka orang yang tak sabar. kedua: tabah, sebab saya orang susah... saya nak orang yang boleh hidup bersama kesusahan saya. ketiga: mampu mendidik, sebab saya nak isteri saya boleh mendidik anak-anak, sebab saya adalah milik masyarakat. Keempat: mampu memimpin, sebab saya tak mahu keseorangan dalam perjuangan untuk kembalikan sinar Islam. Dan kelima: mampu memenangi hati ibu, sebab saya tak mahu saya jadi anak derhaka jika kuatnya sayang saya pada isteri akan melonggarkan taat saya kepada ibu saya sedangkan syurga anak di bawah ketaatan pada ibunya. Jika syurga isteri dibawah ketaatan pada suami, sekurang-kurangnya biarlah saya juga boleh mentaati ibu saya dan selain boleh memenangi hati ibu saya dia juga boleh mudah mesra dengan keluarga saya. Susah kah nak mencari wanita seperti ini? Saya tak letakkan syarat kecantikan, saya tak letak syarat kekayaan dan selainnya. Saya cuma letakkan syarat agama sebagai syarat pertama dan syarat-syarat lain adalah sampingan yang biasanya boleh dibentuk dan terbentuk dengan sendirinya. Bagaimana caranya? Wanita itu dah jatuh hati pada saya... dia akan penuhi 5 syarat tadi. Dan saya tak boleh paksa mana-mana wanita untuk ikut syarat saya, melainkan dengan kemahuan dan kerelaan dia sendiri. So Maksu kata: Kalau saya ni memilih sangat, nanti dapatpun yang memilih juga lah. Aduh... ampun! Maksu menjerat saya nampaknya. Perlukah saya longgarkan syarat-syarat tu? Saya pun kata pada maksu... kalaupun tak ada kesemua 5 syarat tambahan tu, sekurang-kurangnya mesti ada mana-mana syarat, sebab syarat-syarat lain boleh dibentuk. Jangan-jangan ada jejaka yang baca catatan saya ni pun nak tiru syarat-syarat saya... saya nasihatkan tak usahlah. Nanti susah nak jumpa.

Saya melepaskan diri. :)) Berjaya juga. Inilah yang sering terfikir waktu imtihan. Apatah lagi imtihan akhir ni. Hah... Mesir, laman tarbiyah. Memang merbahaya. Kalau difikirkan dengan serius, boleh jadi cepat dapat makan nasi minyak. Tapi sengaja saya lengah-lengah... nak tunggu wanita yang menepati impian tu dulu. Tentunya melalui istikharah paling tepat. Kalau dah memang susah nak dapat barulah buat pilihan yang lebih ringan dari syarat-syarat tambahan tu. Ha ha ha... merepeklah saya ni!

Sebenarnya banyak lagi benda lain yang selalu datang mengacau waktu nak imtihan ni, rancangan pula menjadi-jadi. Tapi lepas imtihan semuanya kholas (habis) begitu saja. Entahlah... agaknya beginilah alam mahasiswa di mana-mana pun. Cuma hidup di Mesir mungkin agak berbeza, pada nilaian saya.

Catatan Dua

Agak mudah untuk update Jurnal dan online

Alhamdulillah, semenjak IMPIAN NET dibuka saya agak mudah untuk online dan update jurnal JALAN HIDUP. Apa tidaknya IMPIAN NET tak jauh dengan rumah saya. Tak sangka nama IMPIAN menjadi pilihan Arab tokei cc tu. Asmawi pun kerja situ - bertukar-tukar shif dengan Ahmed Mustaffa (Arab). Saya pun agak baik dengan Ahmed Mustaffa. Kira mudahlah sedikit peluang saya untuk update J2H @ Jurnal Jalan Hidup.

Sudah 2 hari air tak ada di rumah. Apalagi... menumpang kawanlah akibatnya. Malam pertama dapat makan nasi di rumah Iwan, Pidi, Pius dan Denan. Iwan masak... ok lah lepas juga perut yang lapar. Semalam, menumpang rumah Naim, dan malam tak boleh jadi... masak sendiri la. Tapi, tak berapa selera. Entahlah..perut kosong agaknya, susah nak terima makanan dah terpaksa berlapar. Kesiannya dekat saya. :(

Huh ada orang cakap begini pada saya: "Saya cuma kenal Langkawi 3 benda saja. Pertama: Mahsuri, kedua: Helang besar (dataran lang) dan ketiga: Akhi Masrawi." Entah kenapa tiba-tiba saja saya jadi lain. Kenapa pula Akhi Masrawi? Huh... Biar betul! Dia baca apa catatan ni? Hah... :)

Kata-kata Pujangga: "Sesuatu khayalan kadang-kadang menjadi realiti."

Sila klik  Respon/Komen

 

8 Mei 2003 | Khamis | 16.08  pm

Catatan Satu

Mari meneka

Pernahkah membaca petikan ini: "Hidup ini tidak sama seperti apa yang berlaku di dalam filem atau apa yang kita tonton di panggung wayang. Dalam filem apa yang sukar berlaku di dunia realiti pun boleh terjadi. Kerana itu ia dinamakan lakonan. Dalam dunia realiti kita mungkin seperti pelakon-pelakon itu, tetapi kesudahan lakonan kita itu tidak kita ketahui. adakah kita memegang watak baik? atau watak antoganis? Tetapi yang pastinya, apa yang paling kita nak, itulah yang paling susah kita nak dapat. Jadi perlulah kita berusaha untuk menjayakan impian kita itu."

Kalau pernah, di mana dan bagaimana untuk mencapainya, jawapan yang paling tepat dikehendaki.

Kata-kata Pujangga: "Hidup ini adalah warna-warni yang terlakar pada kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap mempunyai sejuta maksud."

Sila klik  Respon/Komen

 

5 Mei 2003 | Isnin | 10.10  am

Catatan Satu

Artikel untuk SK Edisi Iskandariah

Seorang akhawat (siswi) call saya minta saya tulis satu artikel tentang penulis dan penulisan di Mesir. Saya fikir, layakkah saya menulis memperkatakan tentang penulis dan penulisan? Kenapa tak suruh penulis lain. Mohnas misalnya lebih berkarisma memperkatakan tentang topik penulisan. Barangkali Mohnas sudah acap, jadi mereka nak dari pandangan saya pula. Malah sebab akhawat tu dah berharap dan barangkali dia anggap saya ni penulis terkenal - hakikatnya saya cuma penulis 'ikan bilis'. Saya tanya pada akhawat tu, siapa dia? Dia tak beritahu nama. Sebaliknya beritahu yang dia exco DPMI. Kalau tak silap saya exco Unit Penerangan dan Penerbitan. Yalah... exco mana lagi yang buat suara kampus!

Deadline (garis mati) dia beri sampai 4 hb April 2003. Alhamdulillah saya sempat siapkan sehari lebih awal. Dia pesan suruh hantar pada Ustz Q.A. Bukan apa sebab sebelum tu... Ustz Q.A dah pernah berurusan dengan saya. Dia minta tolong saya edit cerpen untuk dimuatkan dalam SKEI. Tajuk cerpen tu Nur Hidayah. Cerita boleh tahan, cuma teknik penulisan agak kurang menarik. Tapi saya dah semak dan perelokkan cerpen Nurhidayah yang ditulis oleh Nursyita Ghazali. Saya pun tak kenal penulis. Rasanya masa bengkel cerpen 5 April lepas tak ada nama tu.

Cerpen Nur Hidayah tu saya hantar ke SKEI melalui e-mel Ustz Q.A. 3 April saya hantar artikel yang exco tu minta juga ke e-mel Ustz Q.A. Sebab Exco tu suruh hantar ke situ dan dia pun tak kasi e-mel dia pada saya. Sebenarnya saya ni agak pelik... sebab saya lebih suka apabila ada orang call saya, dia beritahu nama. Bukan jawatan. Masa saya dapat call untuk minta saya mengajar di Mansurah pun saya sedikit geram. Sebabnya 'masulah' (penggerak) yang call saya tu cuma beritahu jawatan saja, sedangkan saya tanya nama. Nama akan memudahkan saya - pada saya. Walaupun saya sendiri kadang-kadang tak boleh ingat nama-nama mereka. Apapun taklif untuk saya tulis satu artikel tentang penulis dan penulisan dah saya lunaskan. Terpulanglah kepada SKEI untuk memasukkan dalam SK atau tidak.

Oh ya, saya ada juga menghantar ke mailing list adabuna (mailing list penulis timur tengah) dan barangkali hanya sekadar untuk diberi baca kepada para panulis timur tengah (Mesir-Jordan dll) yang turut menyertai e-groups itu. Tak tahulah apa pula reaksi penulis-penulis dan calon penulis terhadap artikel saya, kalaupun mereka keras hendak mengherdik mungkin mereka boleh berkata saya juga penulis yang jarang mengemukakan isu timur tengah apa lagi latarnya. Entahlah... dunia sastera fleksibel, sukar untuk ditentukan. Biarlah.... saya tak pesimis! 

KARYA SASTERA KITA: Mampukah Menghantar Mesej?

Oleh: Akhi Masrawi

AKHI Masrawi bukanlah seorang penulis prolifik yang betah untuk memperkatakan tentang dunia sastera apa lagi untuk menulis di ruangan ini. Namun, setelah mengamati dunia penulisan kreatif lewat beberapa tahun permukiman di dada kiblat Ilmu ini, juga tercampak menulis dalam genre cerpen, puisi dan rencana untuk penerbitan suara kampus edisi PMRAM, saya merasa terpanggil menyuarakan pandangan dari pojok peribadi mengusik dunia penulisan kreatif 'kita'. Mungkin bukan sebagai seorang penulis atau pengkritik sastera, tetapi sebagai seorang pemerhati yang membaca dan menilai.

Pengamatan selama hampir empat tahun itu menemukan saya bahawa lingkar budaya warga Azhari dan Azhariah di Lembah Kinanah masih jauh dengan dunia karya sastera. Tidak ramai yang sudi menghampiri serta menggulatinya. Apa lagi untuk bercumbu dengan bunga-bunga bahasa, meraba kesenian dan lekuk-lenggok tatabahasa serta mengaplikasikan kekayaan yang ada pada bahasa itu sendiri. Meskipun begitu ramai yang beranggapan melalui wahana penulisan mampu menghantar mesej dakwah sebagai alternatif. Apa ada pada cerpen, puisi dan novel sebagai wahana penulisan sastera?

Barangkali ramai yang beranggapan, sastera adalah unsur penipuan. Metaforanya sekadar mitos dan liburan tanpa faedah. Berbaur emosi mencipta khayalan yang diinterpretasikan dalam karya sastera adalah kepunahan yang sering berperang dengan dunia realiti. Apa tidaknya mitos yang terpamer dalam prosa klasik mahupun karya moden memperlihatkan dunia sastera tidak dapat lari jauh dari unsur penipuan itu. Persoalannya, mengapa dilihat penipuan semata, sedangkan hakikat dan pengajaran yang hendak disampaikan adalah kebenaran yang tersorok dalam sesebuah karya jauh menghantar maksud. Lewat pemerhatian terhadap karya-karya sastera penulis generasi baru (lapis ketiga) memperlihatkan bukan sekadar melakar mitos, tetapi menjentik sensitivi terhadap hakikat yang berkaitan manusia dan kehidupan. Namun, khalayak bebas menilai apa yang dihidangkan kepada mereka melalui sastera.

Sepanjang bermukim di Ardil-Anbiyak ini, saya mengamati karya sastera kita. Puratanya karya sastera kita masih berada di tahap sederhana. Tema yang dikemukakan dalam penulisan cerpen lewat beberapa tahun kebelakangan ini masih terikat dengan persoalan sempit, terbelenggu. Tidak bisa meletupkan kraton keremehan. Apa tidaknya, penulis kita masih terjerat dengan persoalan berbaur percintaan, rumahtangga, keluarga, persahabatan dan kasih sayang yang sudah acap ditampilkan dalam karya-karya eceran biasa yang lain.

Sebagai penulis yang lahir di 'timur tengah' ini, apakah bentuk karya yang sepatutnya dihasilkan oleh kita untuk dipersembahkan kepada khalayak pembaca? Supaya karya-karya yang terhasil mencipta identiti penulis serta melakarkan warna yang tersendiri sekaligus mencerminkan sumbangan penulis-penulis Islam dalam dunia sastera.

Zaid Akhtar pernah mencetuskan pandangannya terhadap unsur latar timur tengah dan tema penulisan para panulis sastera Islam 'timur tengah' lewat beberapa tahun dahulu. Teguran Zaid Akhtar itu bolehlah disifatkan sebagai cetusan yang masih belum terungkai sepenuhnya. Saya prejudis agaknya, tetapi bukan bertujuan mengenepikan keseluruhan karya sastera kita. Sememangnya tidak dinafikan ada karya yang menyentuh, mengemukakan tema yang menyihir dan bahasa yang mempersona pasca luahan Zaid Akhtar itu.

Saya mengamati semula longgokan suara kampus PMRAM edisi BKAN dan DPM terbitan beberapa tahun kebelakangan. Purata cerpen yang tersiar masih fakir daripada mengemukakan persoalan yang bersifat global sebagaimana usulan Zaid Akhtar. Latar timur tengah dan dunia Arab jarang dijadikan model penulisan warga penulis kita. Mengapa tidak kita rebut peluang berada di sini untuk merakamkan peristiwa, menterjemahkan kehidupan, mengulas isu yang berlaku, merekodkan suasana politik dan sosial serta memperkenalkan budaya masyarakat yang setiap hari kita dampingi? Kita beruntung, safar ilmu yang kita lalui hari ini bukan milik semua orang untuk dihamilkan dalam penulisan!

Barangkali sebab utama kegagalan kita adalah kerana tidak ramai yang mampu mengintai latar dengan baik. Justeru kita masih terikat dengan latar negara sendiri dan adakalanya aspek latar terabai begitu sahaja. Ruh kehidupan di lembah kontang sahara wajar dijadikan latar. Lokasi seperti Madinah Nasr, Ramses, Tahrir, Abbas Aqad, Atabah dan banyak lagi boleh diperkenalkan sebagai latar Mesir lewat berkarya. Tebing Barat, Al-Quds, Ramallah, Gaza sebagai mewakili Bumi Isra' Palestin untuk menukilkan kisah para syuhada'.

Beberapa contoh cerpen yang tersiar sepanjang tahun 2002 di dalam terbitan suara kampus seperti Tahanan, Bicara Buat Solahuddin, Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah, Pelabuhan waktu, Untaian Perjuangan dan November yang menjadikan timur tengah sebagai latar adalah percubaan yang patut dipuji. Dengan meletakkan timur tengah sebagai latar, maka penulisan yang menjurus kupasan isu timur tengah juga wajar meranum bersama. Setiap hari pelbagai peristiwa berlaku mengkitari kita. Pergolakan di Teluk, penyembelihan di Palestin dan tragedi-tragedi lain boleh dijadikan kupasan yang menarik dalam sesebuah karya sastera. Rugilah andai bukan kita yang mencicip setiap peristiwa itu untuk diterjemahkan melalui penulisan kita. Malah karya sastera barangkali tidak selamanya menyimpan khazanah mitos lagi andai tembok kebenaran atas apa yang berlaku ini dikitar dalam penulisan karya kita.

Literalnya, di Malaysia karya yang memaparkan tema Islam masih kurang, apa lagi yang menjadikan timur tengah sebagai latar. Kadang-kadang saya terperangkap dengan persoalan mengapa penulis-penulis kita jarang menulis isu dan latar dunia Arab (termasuk saya sendiri). Antologi Cerpen Sinar Horizon Nil dan Pijar Kinanah adalah 'hasil kerja' yang mewakili sejumlah kecil penulis Lembah Nil ini. Namun, garapan yang terbina di dalam antologi yang terhasil itu masih memerlukan peningkatan daripada warga penulis kita. Saya mengimpikan andai mampu terhasil sebuah antologi cerpen atau puisi yang memuatkan karya yang menjadikan dunia Arab sebagai latar, tetapi tanpa sokongan semua pihak impian ini tidak bermakna.

Novelis muda yang lahir di sini seperti Hj Mohnas (Lambaian Huda), Faizah Othman (Lakaran Sahrawi), Amiza Khusyri (Sejernih Salsabila) - sekadar beberapa nama, wajar dijadikan modus operandi dalam mengharungi belantara penulisan. Cerpenis yang lahir juga semakin bertambah bilangannya. Namun sejauh mana kita akan mampu mengangkat martabat penulisan kreatif masih menjadi kesamaran.

S Othman Kelantan berpendapat penulisan karya kreatif bukan hanya sekadar cerita tetapi ia berkaitan tentang manusia. Justeru untuk memperkatakan tentang manusia penulis memerlukan sekurang-kurangnya empat unsur penghayatan iaitu imaginasi, sensitiviti, persepsi dan kreativiti. Imaginasi atau daya reka adalah unsur pembantu seseorang menulis dalam lingkaran logika dan penulisan terarah. Sensitiviti atau daya sentuh adalah sifat yang menjadikan penulis mampu menghidupkan pandangan terhadap apa yang berlaku sekitarnya. Persepsi atau daya tanggap pula membuahkan pandangannya terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dan kreativiti atau daya cipta menjadikan penulis seorang penemu yang bijak mengetahui minat pembaca sekaligus mencipta permintaan khalayak untuk dipenuhi.

Pengabaian terhadap aspek-aspek itu akan menjadikan sesebuah karya sastera kelihatan leweh dan tidak bernafas. Penulis yang mempunyai sensitiviti yang menyerlah kerap menjadikan isu sekeliling sebagai tema cerpen. Faisal Tehrani adalah merupakan contoh yang menyerlah dalam menghasilkan karya yang segar memperkatakan isu semasa. Saya melihat tidak ramai penulis kita yang mempunyai sensitiviti dalam berkarya. Ramai yang lebih suka terperap dengan dunia sempit dan tema yang remeh.

Nama-nama seperti Mohd Nazmi Yaakob, Al-Marjan Yusuf dan Masrati Mohamad (sekadar menyebut beberapa nama) mungkin agak familiar dengan dunia penulisan cerpen kita. Selain mereka, beberapa nama lain seperti Amiza Khusyri, Mohd Ubaidillah Alias dan beberapa nama pena yang barangkali muncul jarang-jarang dalam penulisan puisi juga menampakkan kita masih mempunyai 'simpanan' penulis dan mereka yang berbakat.

Langkah Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM menganjurkan Seminar Penulisan di bawah Kem Latihan Penulisan (KELAP) pada awal April sesi ini menemukan lagi 12 orang calon penulis yang bakal memeriahkan lagi dunia penulisan karya kretif khususnya cerpen, di Bumi Kinanah ini. Saya yang turut terlibat mendamping para peserta bengkel cerpen tersebut mengesani beberapa calon penulis yang mempunyai bakat besar. Namun saya beranggapan penulis tidak semestinya lahir melalui bengkel. Justeru, sementara menanti mereka benar-benar lahir sebagai penulis, saya tidak ghairah untuk memperkatakan tentang mereka kerana masih ramai yang tidak mengikuti bengkel juga sebenarnya mampu menulis dengan baik.

Cerpen, puisi dan novel adalah genre sastera yang masih bernyawa untuk dijadikan medium dakwah dan penyampai mesej yang berkesan. Saya melihat ramai yang berminat dengan karya sastera majoritinya terdiri dari kalangan hawa dan sebilangan kecil dari golongan adam. Mungkin kerana sastera dipandang mempunyai unsur yang lembut, khayal, berbaur emosi dan membelai. Maka unsur itu lebih akrab dengan ciri-ciri kewanitaan. Justeru tidak hairanlah jika bilangan penulis wanita kita lebih ramai berbanding penulis lelaki. Malah lebih menyedihkan apabila ada yang dalam berjenaka menghitung penulis karya sastera tergolong golongan jiwang, yang akhirnya menjauhkan jiwa keras lelaki dari mengungguli sastera. Sedangkan jika diamati secara ranum dunia penulisan juga adalah dunia keras, gegar, menjerit-jerit dan kadangkala menggerunkan.

Tidak dinafikan setiap manusia mempunyai bakat yang tersendiri. Tetapi selalunya bakat itu hanya akan matang apabila diketengahkan dan diasah melalui latihan. Menulis kerana terpaksa tidak sama dengan menulis berpaksi kesedaran. Ini kerana jika disandarkan kepada kehadiran ke seminar dan bengkel sebagai batu loncatan seseorang itu untuk menulis atau digelar penulis, saya sendiri sebenarnya tidak lahir melalui kaedah tersebut. Hanya melalui minat, pembacaan yang sederhana dan percubaan menulis dari semasa ke semasa. Malah saya percaya masih ramai lagi penulis kita yang lahir melalui keiltizaman dan kemahuan mereka sendiri untuk terus menulis bukan seratus peratus melalui bimbingan.

Justeru, andaikanlah kita punya ramai penulis, sudah tentu dunia penulisan di Ardil-Anbiyak ini akan menjadi semakin riuh dan gegar. Lambakan karya akan memajukan teknik penulisan. Masalah untuk mendapatkan ruang untuk tersiar akan menjadi laluan mematangkan karya. Pada ketika itu, medium penulisan sastera akan mampu membuktikan bahawa karya yang dilihat santai juga mampu menghantar mesej dengan baik. Apa tidaknya jika sesuatu yang kesat dan keras metah mampu disampaikan melalui karya sastera dengan menggunakan bahasa dan lengguk yang lembut akan menjadikan dakwah, lebih berkesan.

Tetapi sementara menanti masa itu, benarlah seperti kata-kata Nazmi Yaakob, jalan masih panjang dan berliku.

Kata-kata Pujangga: "Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya perlahan-lahan."

Sila klik  Respon/Komen

 

3 Mei 2003 | Sabtu | 8.10  am

Catatan Satu

MENTALITI MAHASISWA

Persepsi Terhadap Alam Politik Kampus

Oleh: Akhi Masrawi

DUNIA mahasiswa semakin hari kian hilang nilai survivalnya. Mahasiswa selaku generasi kepimpinan negara masa depan merupakan aset penting yang paling berharga bagi sesebuah Negara. Hebatnya golongan mahasiswa akan menjanjikan mantapnya kepimpinan akan datang. Begitulah sebaliknya.

Di Malaysia, sejarah pergerakan mahasiswa bukanlah perkara baru. Sejak tahun 60-an sehingga kini banyak peristiwa penting yang berlaku sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa yang melibatkan golongan mahasiswa. Penyertaan mahasiswa ini dilihat sebagai suatu yang positif menangani pelbagai isu yang berlaku di dalam negara. Mereka menyuarakan suara mereka salaku golongan intelek dan terkehadapan. Namun setelah beberapa dasawarsa kemudian, ada pelbagai label yang dikepilkan bersama hieraki perjuangan mahasiswa sehingga mencemarkan budaya politik kemahasiswaan itu sendiri. Persoalannya mengapa semua ini berlaku?

Tahun-tahun 70-an Gerakan mahasiswa di kampus dikatakan menerima serapan budaya pemikiran ideologi luar dalam lingkaran budaya politik kampus. Misalnya, dasar pemikiran sosialisme, nasionalisme dan pemikiran berhaluan Islam yang wujud dalam ‘ruang udara’ kampus hasil dari pengaruh pembacaan mereka terhadap ideologi-ideologi tersebut, didapati menyerap dan merebak melalui bahan bacaan.

Tidak dinafikan pada dekad tersebut sosialisme dan nasionalisme diungguli mahasiwa di dalam memperjuangkan isu-isu yang berlegar di tanahair. Tidak ketinggalan fikrah Islamiah juga meresap masuk dalam dunia kampus. Bagaimanapun pemahaman Islam ketika itu masih lagi dipengaruhi oleh aliran sosialisme dan nasionalisme. Ini disebabkan oleh fahaman bahawa isu-isu berhubung dengan nasionalisme itu adalah isu Islam. Tetapi kemudiannya golongan mahasiswa Islam yang membawa fahaman tersebut telah berubah corak. Mereka dengan mengambil Islam sepenuhnya untuk dijadikan landasan kepada pergerakan mereka dengan menolak semua isme-isme yang lain hasil dari pemahaman pembacaan dan revolusi penterjemahan buku-buku haraki dan gerakan Islam di Malaysia.

Kesannya, akhir dekad 70-an memperlihatkan perkembangan positif kesedaran politik Islam di kalangan mahasiswa sehingga ada yang menamakan sebagai ‘Era Dakwah.’ Fenomena ini juga dikenali sebagai 'Ledakan Ubudiyyah' apabila golongan mahasiswa bergiat aktif dalam politik kampus bagi memimpin persatuan-persatuan mahasiswa.

Di awal dan pertengahan tahun 80-an, terdapat banyak rungutan di kalangan masyarakat terutama ibubapa bila mendapati perubahan mendadak di kalangan anak-anak mereka yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi. Masyarakat digembar-gemburkan dengan terdapatnya sebilangan pelajar yang meninggalkan pengajian untuk kepentingan dakwah. Ketika ini istilah-istilah ‘dakwah songsang’, ‘ekstrimes agama’, ‘Islam fanatik’ begitu popular. Kebarangkalian di dalam penelitian penulis, api kebangkitan semangat keislaman yang wujud di kampus ketika itu adalah kesan dari kegagalan sistem pendidikan rendah dan menengah yang kurang menekankan aspek keagamaan sehingga menyebabkan jiwa mereka tandus dan kekosongan itu ditemui di dunia ‘menara gading.’ Penerimaan mahasiswa terhadap era ini mendominasikan dunia kampus sehingga ke tahun-tahun dan dasawarsa seterusnya.

Ketika itu, boleh dikatakan perjuangan mahasiswa berlandaskan fenomena ‘Ledakan Ubudiyah’ masih fitrah dari haluan dan kiblat kepolitikan. Kampus dijadikan medan ukuran dakwah dan penghayatan nilai-nilai Islam. Melalui penerapan biah solehah yang diperkenalkan menjadikan dunia kemahasiswaan Islam semakin menyerlah sinarnya. Program menghidupkan rohani dibangunkan dengan giat. Ceramah-ceramah dan seminar berkaitan Islam mula menarik perhatian luas. Malah jika diteliti kepada penulisan-penulisan para penulis dalam dekad 80-an dan 90-an boleh dikatakan api kebangkitan kesedaran Islam ini turut dijadikan tema dalam karya-karya mereka sehingga seolah-olah wujudnya satu katalis yang menyatukan fikrah dalam berkarya.

Ledakan ini akhirnya merebak pantas sehingga menyebabkan mentaliti kemahasiswaan turut berubah sedikit demi sedikit. Kayu ukur meletakkan haluan perjuangan mereka pasca zaman kampus dinilai melalui acuan keterlibatan seterusnya di dalam dunia politik tanahair. Mungkin situasi ini tidak terlalu mencengkam kampus ketika itu kerana masih di peringkat penilaian berdasarkan kecenderungan masing-masing. Mereka yang terdedah dengan alam politik kemahasiswaan ini mengintai-ngintai haluan politik Malaysia supaya perjuangan mereka pasca alam kampus berkesinambungan dengan teori dan pendedahan yang diterima semasa alam kampus. Justeru politik kemahasiswaan dalam dunia kampus bolehlah dikatakan sebagai medan memilih haluan dan sistem politik yang terbaik bukan berhaluankan kepada parti politik tertentu sehingga menutup ruang berhujah dan menjadikan pemikiran golongan yang dianggap intelek dan berpelajaran menjadi generasi yang jumud dan pasif.

Walaupun politik kampus sering dikatakan hanya melibatkan beberapa perkara namun, bukanlah sesuatu yang baru apabila keterlibatan mereka dalam ruang yang lebih global dilihat sebagai ancaman dan anti-establisment. Apakah skop politik kemahasiswaan? Secara umumnya ruang aktiviti-aktiviti politik mahasiswa di kampus melibatkan:

i.          Aktiviti berbentuk simposium, seminar, forum, debat, ceramah dan sebagainya di mana perkara-perkara politik, ekonomi dan isu-isu semasa dibincangkan. Aktiviti-aktiviti seumpama ini membolehkan mereka berkomunikasi dengan pemimpin-pemimpin politik dan tokoh- tokoh masyarakat yang diundang ke kampus.

ii.          Mesyuarat-mesyuarat di dalam berbagai organisasi pelajar seperti Majlis Perwakilan Pelajar dan lain-lain persatuan pelajar di mana keputusan atau resolusi diambil akan dipaparkan atau dihebahkan untuk tatapan pelajar.

iii.         Kenyataan-kenyataan pelajar yang disalurkan melalui media massa dalam kampus ataupun peringkat kebangsaan yang menyatakan pendirian dan hasrat perjuangan mereka.

iv.         Proses pilihanraya kampus dan pemilihan pemimpin berbagai persatuan mahasiswa di mana mereka berpeluang untuk berkempen dan mengundi untuk memilih kepimpinan sesuatu persatuan atau badan.

v.         Reaksi spontan mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku sama ada berbentuk bantahan-bantahan, perarakan, tunjuk perasaan dan demonstrasi aman yang sering dilakukan. Menerusi tindakan-tindakan seperti ini, mahasiswa mampu menyuarakan pandangan dan kritikan mereka.

Fathi Aris menulis: “Skop aktiviti pelajar harus lebih meluas dengan fungsi dan potensi yang ada pada mahasiswa. Tohmahan bahawa perjuangan mahasiswa merupakan ciplakan idea pembangkang harus ditolak. Soal pelajar menyebelahi pembangkang adalah soal lain tetapi tidak sewajarnya mereka menerima membuta tuli. Harus diingat pembangkang tidak mempunyai imej yang baik kepada pelajar dan sekiranya pelajar berterusan menyuarakan bangkangan serupa dengan parti politik, akan timbul kesukaran untuk memenangi hati masyarakat kampus.”

Meskipun begitu harus diingat, golongan mahasiswa khususnya di IPT tanahair sebenarnya terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Akta ini antara lain menyekat mahasiswa daripada terlibat dengan mana-mana parti politik sama ada secara langsung sebagai ahli mahupun tidak langsung melalui sokongan terhadap parti-parti tersebut. Selain itu juga akta ini menghalang mahasiswa mengikuti program-program yang dianjurkan sama ada perhimpunan mahupun aktiviti. Keterlibatan mereka dikawal oleh akta ini sehingga menjadikan mereka tidak bebas menyuarakan suara mahasiswa lagi. Apa yang mampu dilakukan adalah meneruskan agenda perjuangan mereka melalui skop politik kampus (seperti yang dijelaskan di atas) semata-mata. Namun apabila berlaku penentangan untuk mengembalikan hak mahasiswa, mereka dilabelkan sebagai pembangkang kepada kerajaan yang memerintah. Kesannya politik kemahasiswaan bukan sahaja dicengkam malah ruang lingkup menjadi semakin sempit dan mengecil hari demi hari.

Jika diteliti, AUKU sememangnya adalah merupakan akta yang asalnya mempunyai alasan yang relevan. Selain memelihara status golongan mahasiswa dari terjebak dalam caca-merba dan sepak terajang politik, AUKU juga sebenarnya membendung aktiviti pelajar agar berpada dengan status mereka sebagai pelajar. Namun sejauh mana akta ini berperanan?

Melalui akta ini juga kalau tidak salah penulis, mahasiswa dijadikan musuh kerajaan untuk berkelahi. Penulis percaya, mahasiswa atau persatuan mahasiswa yang memperjuangkan sesuatu perkara bukan berkiblatkan kerana pembangkang memperjuangkan perkara yang sama, tetapi kerana kefahaman mereka di dalam menilai sesuatu perkara. Sebagai contoh: Sewaktu kerajaan Malaysia menerima pasukan kriket Israel beberapa tahun dahulu mendapat tentangan parti pembangkang. Dalam masa yang sama persatuan mahasiswa juga menentang dan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Situasi ini seolah-olah persatuan mahasiswa mirip berhaluan pembangkang. Sedangkan penentangan mereka adalah kerana menganggap penerimaan pasukat kriket Israel itu sebagai suatu yang tidak relevan melihat kekejaman yang dilakukan bangsa Yahudi berdalang Zionis itu, terhadap umat Islam di bumi Palestin. Selain itu, beberapa peristiwa bantahan mahasiswa untuk menyatakan pendirian mereka menjadikan mereka bahan kejar pihak keselamatan. Apa yang lebih menyedihkan mereka yang terkehadapan dipecat dari universiti, digantung peperiksaan dan pengajian, di‘ISA’kan malah ada yang diseret ke ‘tirai besi’.

Kesan daripada perlaksanaan AUKU, ruang lingkup politik kemahasiswaan juga turut terjejas. Kesempatan untuk mahasiswa mengemukakan pandangan terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam Negara dibataskan kepada pandangan yang pro-kerajaan sahaja. Apabila mahasiswa menyuarakan bantahan, mereka dilabelkan sebagai pro-pembangkang. Apakah ini adil dan boleh berlaku dalam sebuah kerajaan yang mendakwa sebuah negara Islam? Penulis melihat akta ini sebagai sesuatu yang berat sebelah. Apa tidaknya, saluran anti-establisment yang menyuarakan untuk diambil pusing disekat semahu-mahu sedangkan suara pro-establisment yang tak ubah sekadar mengampu diketengahkan sehingga menampakkan kelesuan dalam dunia politik kampus.

Amat merbahaya apabila suara mahasiswa disekat, tiada memorandum yang dinilai, reaksi mahasiswa dikesampingkan, pilihanraya kampus dikawal tanpa ketelusan dan bantahan untuk menunjukkan pendirian mereka kian dihalang, maka mentaliti masyarakat terhadap golongan mahasiswa juga akan mula merosot. Kalau dahulu mahasiswa dilihat sebagai golongan terkehadapan dalam pelbagai perkara maka tidak mustahil mahasiswa juga boleh dilabelkan sebagai golongan sepi dan pasif.

Di luar Negara keadaan berbeza. Mahasiswa tidak terikat dengan AUKU. Tetapi pelbagai ancaman dan tohmahan yang sama dilemparkan kepada perjuangan mahasiswa di tanahair turut terkena tempiasnya kepada persatuan mahasiswa di luar Negara. Keadaan semakin meruncing apabila dikesani adanya campur tangan Jabatan Penuntut dan Kedutaan Malaysia di luar Negara bagi menyekat suara dan politik kampus. Agenda kebajikan yang diperjuangkan dalam dunia keorganisasian pelajar diertikan dalam situasi yang mengelirukan. Penubuhan Nadi UMNO Republik Arab Mesir (NUMRAM) sebagai bukti kerajaan menggalakkan pelajar luar Negara berpolitik kepartian. Apa tidaknya dakwaan yang mengatakan NUMRAM mendapat peruntukan daripada kerajaan Malaysia untuk melaksanakan aktiviti adalah merupakan bukti yang jelas. Apa relevannya NUMRAM untuk melaksanakan misi kebajikan? Sedangkan persatuannya sahaja sudah berimej dan berpaksi politik kepartian!

Amatlah malang golongan mahasiswa yang tidak mampu membezakan antara konsep politik kampus dengan dasar politik kepartian. Namun selaku nukleus yang merancakkan momentum survival kemahasiswaan penulis berbangga kerana masih ada persatuan mahasiswa dan golongan mahasiswa yang memperjuangkan konsep politik kampus ini dengan jujur. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir meletakkan kebajikan pelajar sebagai agenda yang bertepatan dengan anjuran Islam malah apa yang terpenting ialah menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar perjuangan bagi memastikan keindahan dan kemakmuran Islam sebagai ad-Deen terus terpelihara. Kemana haluan ahli-ahli PMRAM selepas mereka menamatkan pengajian bukanlah persoalan utama kerana apa yang penting ialah pemahaman mereka dari ‘tarbiyah’ yang mereka terima sudah memadai untuk meletakkan mereka kepada pilihan yang tepat. Sukarkah untuk memahami politik kampus?

Kata-kata Pujangga: "Jangan sesekali menggadai prinsip, demi untuk mendapat dunia yang mengiurkan."

Sila klik  Respon/Komen

Baca Catatan lalu

~Diri yang masih mencari identiti ibarat sebuah perjalanan menongkah arus di lautan samudera...~

Pujangga - mahasiswa - cabaran - pengajian - perjuangan - keyakinan - optimis - keorganisasian - keterbukaan - karisma - kehidupan - keilmuan - idealisme - penulisan - impian & harapan - yang...! 

Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003
Hubungi sila e-mel: [email protected] (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1