Mulai online pada  Jun 2002

Fikir:

It's year 2003
And nothing has changed
Past generation has aged
Let us write the next page
It's time for us to change
It's up to you & me
Either we make history
or we become history…

Banner  hasil ciptaan Putri untuk PUJANGGA Online. Terima kasih buat Putri.

       Ini banner yang Wanzu buat untuk PUJANGGA Online. Syukran buat Wanzu.

Capaian Alternatif

Capaian Arkib:

23 Link Pilihan Pujangga Online untuk Feb 2003:

bandar sepi
blueshades
encik khairul
enmiya
fajar online
jiGOMorrison
khairusy
meer Taro
miecreation
mukeh
muring-wien
nik nazmi
nizam zakaria
nureffa
pakdi
puteri Elaira Elaiza
raymizie
rudy bluehikari
spyz
tok rimau
toksik
qahafi a.k.a ujang
wanzu

p/s: Link-link ini mungkin berubah mengikut bulan pilihan, siapa nak tempah untuk Mei 2003?

 

 

Pedoman:

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang orang fasik membawa sesuatu berita kepada kamu, hendaklah kamu selidiki..." (Al-Hujurat: 6) &
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat." - Khalifah Abdul Malik bin Marwan

...................... http://akhimasrawi.cjb.net ......................

Capaian PUJANGGA Online:

 Intro | Diri | Keluarga  | JURNAL | Cerpen Akhi Masrawi | Puisi Online  Cerpen Online Untaian Masa | Koleksi E-muzakarah | Anjung Tamu v. de | Galeri  | gambar Kembara |  Penghargaan

Update terakhir pada catatan paling awal                                                    Update pada bila-bila masa...


                      

.:: Catatan moden dari zaman klasik ::.

Tarikh pada catatan ialah tarikh saya menulis!

30 April 2003 | Rabu | 23.20  pm

Catatan Satu

Kerap Berjaulah!

Bulan April saya agak kerap menjejak Bumi Daqhiliyah. Ibu kotanya dikenali dengan nama Mansurah, kota permai yang cantik di pinggir sungai Nil. Sehingga ada kawan yang ketika gurau bertanya-tanya "mengapa terlalu kerap ke Mansurah?" Saya pula dengan nada selamber menyimpulkan jawapan bahawa saya ke sana melepaskan resah dan mencari damai sambil menjengah tempat orang. Walaupun dua kali yang paling penting ialah saya ke sana untuk mengajar para pelajar tahun tiga, kuliah Dirasat Qisim Syariah Islamiah Al-Azhar lil-Banat. Saya mengajar dua madah. Pertama madah Bahas Qadaya Muasorah dan kedua madah Qadaya Muasorah.

Kawan-kawan yang suka perli pula kata saya ke Mansurah mencari calon. :) Sambil tersenyum saya mengatakan bahawa memang dah sampai masanya untuk saya mencari calon. Mak dan Ayah pun dah beri lampu hijau. Jangan tunggu sampai lampu itu merah kembali.... bila hijau sudah menyala. Kawan-kawan memang suka mengusik. Sebabnya Mansurah atau negeri Daqhiliyah itu ada cawangan Al-Azhar yang menempatkan kuliah banin dan banat. Namun majoriti ialah banat. Kalau tidak salah saya.... banin hanya seramai kurang lebih 100 orang sedang banat hampir 600 orang (?). Saya tidak pasti jumlah sebenar, sebetulnya.

Di Mansurah saya bertuah masih punya kawan untuk menumpang safar. Sekurang-kurangnya persahabatan dengan Ustaz An sepupu Talib dan Solahuddin timbalan saya dalam KOFI membuka peluang untuk saya mengeratkan lagi ukhuwah antara kami. Jarang dapat menziarah jika tidak ada tugasan. Meski Solah sudah agak lama saya kenal... Hanya setelah saya di tahun empat ini, hubungan kami kian agak akrab. Sebelum ini... masing-masing ada haluan sendiri. Kebetulan mereka berdua tinggal berhampiran murur dan madinah Salam, kawasan yang punya banyak maktabah. Ops... sebelum saya terlupa, Ustaz Anuar Hassan, pengerusi DPMM juga ahli bait mereka.

Semalam bertandang lagi ke Mansurah, sempat beli beberapa buah kitab sambil-sambil ketika menjenguk maktabah-maktabah sekitar Madinah Salam. An menjadi musyrif. Kesian dia... sehari suntuk terpaksa bersama saya dan sepupunya, Talib. Tak banyak juga kitab yang dibeli... Hajat saya cuma sekadar menjenguk dan 'berkenalan' dengan jalan-jalan ke maktabah kerana barangkali kalau ada peluang bertandang lagi, saya sudah mampu untuk ber'derap' sendiri.

Habis hampir LE 50 membeli beberapa buah kitab. Koleksi kitab saya kian bertambah lagi. Biar duit susut, yang penting kitab terbeli. Teringat Us Zul Ahmad, x-fasi saya... dia pernah berpesan untuk saya sering menjengah Mansurah. Sekurang-kurangnya kalaupun tak dapat untuk beli kitab dapat kenal maktabah dan nama kitab pun sudah memadai. Majaznya... mengenali kitab sangat muhim. Mafhumnya setakat kenal nama kitab belum cukup... kenalah juga beli bila dah 'jatuh cinta' dengan tajuk kitab dan perbahasannya.

Di Mesir kami agak beruntung, syurga kitab sebagaimana dakwaan ustaz saya ketika di sekolah menengah dulu menjadi realiti depan mata saya sendiri. Maktabah menawarkan harga kitab mengikut tukaran USD. Jadi tak hairanlah jika harga kitab sekarang agak mahal berbanding dahulu. Kalau sebelum pound Mesir dilanda krisis... barangkali harga kitab agak sedikit murah, tetapi semenjak Atif Abid, Perdana Menteri Jumhuriyah ini mengumumkan bahawa 'hukumah' tidak campur tangan dalam urusan tukaran dan urus niaga dollar... harga tukaran menjadikan USD 100 mampu ditukar dengan lebih dari LE 600.

Zaman dah berlalu... itu yang sebetulnya. Jangan lagi dibandingkan harga kitab dulu (sebelum duit jatuh) dengan harga sekarang. Dulu harga barang murah... sekarang harga barang naik. Tapi USD 100 yang kita tukar dulu tidak sama dengan nilai sekarang. Kalau dulu tukar USD 100 terpaksa berjimat, sekarang boleh menabung lagi. Jadi tak salah juga sesuatu itu berubah mengikut suasana. Hari ini... mungkin kita dapat apa yang kita usahakan kerana semalam atau sebelum itu, kita pernah mencita-citakan untuk sesuatu yang kita dapat itu. Tapi kalau hari ini pun masih tak dapat... jangan disalahkan takdir, yang tersurat sudah nyata... cuma kadang-kadang kita saja yang kurang mengerti.

Tika jam sudah hampir menepati 10 malam saya, Talib dan An meninggalkan rumah Us Nazir. Dirasat pada waktu itu masih seperti siang... cuma bezanya siang mungkin lebih zahmah berbanding malam. Melintas jalan di mauqaf setentang kedai gambar jalan masuk ke rumah Us Nazir... dan dapatkan tramco ke Talkha. Sambil memerhati ke arah Bait Ummu Rumman, rumah siswi yang pernah saya hadiri untuk mengajar pada hari-hari lalu. Ia kekal di situ... hanya kenangannya saja saya bawa ke Talkha, kemudian melintas landasan keretapi untuk digendong ke dalam puejoet dibawa pulang bersama kewalahan ke bumi Gharbiyah, Tanta.

Sampai di Murasyahah, orang sudah kian berkurang... yang ada cuma deretan tramco dan puejoet yang tersadai menanti untuk bertugas siangnya. Kami menyesak sebuah tramco untuk ke Kubri Kuhafa... Selamat.

Catatan Satu

Menanti Hadirnya ALWAN free...

Saya tak sangka ada dua perkara kebetulan yang terjadi sewaktu safar ke Mansurah semalam. Perkara ni sebenarnya kecil saja. Tetapi saya sukar nak lupakan. Sebabnya ia berlaku dengan kebetulan yang amat kebetulan. Apa tidaknya?

Pertama ketika sampai di rumah An, saya bercadang hendak sms kepada WANZU untuk tanya pasal ALWAN (majalah kartun dakwah Wanzu) free yang dia janji. Baru sahaj saya tulis (Akum wanzu, sihat ke. pasal alwan free...) tiba-tiba sms dari wanzu sampai bagitahu yang ALWAN dia dah letak di rumah Azrul dan minta dijualkan masa ijtimak tapi ALWAN free tu nanti dia kasi....

Perkara sama juga berlaku ketika saya, Lib dan An di masjid As-Salab berhampiran Gamaah selepas melintasi maktabah Wafa' yang dah tutup. Masa itu asar... saya baru taip sms untuk maksu saya di Alex nak tanya khabar, tiba-tiba baru saja tulis (Akum maksu, apa khabar...) sms dari maksu Za di Alex pun sampai. Macam tahu-tahu pula Maksu yang saya sedang nak tulis dan send sms untuk dia. Lepas terima saya terus balas...

Dua sms yang saya dapat dengan kebetulan yang amat kebetulan. Saya teringat nak send sms pada Wanzu dan Maksu Za, tapi sms mereka yang yang sampai terlebih dahulu. Tentunya saya boleh simpulkan begini, waktu saya teringat pada mereka tu, barangkali mereka juga teringatkan saya... jadi sms mereka lebih pantas sampai kepada saya. Saya terkedu.

Barangkali kalau saya teringatkan seseorang, orang itu juga teringatkan saya. Dulu masa kecil-kecil mak beritahu kalau kita teringatkan seseorang, boleh kadang-kadang masuk dalam mimpi. Bila ingatan tu dah terlalu kuat biasanya akan terbawa-bawa dalam memori... hatta dalam mimpi. Mak mungkin ada betulnya, sebab bila saya dah alami sendiri barulah saya tahu apa yang mak beritahu itu perkara biasa bagi manusia. Jadi kalau sesiapa yang ada telefon genggam (bukan telefon bimbit) - sebab saiznya sesuai untuk digenggam maka suka saya bertanya... pernahkah kalian menghadapi situasi kebetulan seperti yang saya alami?

Catatan Tiga

Puisi Terakhir April

Barangkali

Barangkali
kau adalah cinta pertama
yang pernah aku temui

Barangkali
kau jua adalah manusia pertama
yang menyakiti hati ini

Barangkali
kau turut merasai
apa yang kurasai

tika kita dilamun rasa
yang sukar dilupa
kau pergi dari hidup ini
kerana kau punya
sebuah misteri
yang aku tidak pasti

aku terpaksa melepaskanmu
jauh dari igauan hidup ini

barangkali suatu detik dalam hidup kita
kita akan bertemu semula
dan aku tidak tahu apa akan berlaku
tika tiba ketika itu

tapi apa yang aku mahu
biarlah kala itu
kau dan aku
bahagia bersama pilihan kita itu

cuma apa yang aku tak mampu
untuk meneka
apakah waktu itu
tiada lagi rasa cintaku buatmu?


Akhi Masrawi
April 2003

Catatan Empat

Catatan Akhir untuk April

1 Mei adalah Hari Pekerja. Hari cuti umum. Jadi bagi pekerja inilah hari cuti, tapi bagi pelajar adakah ini masa cuti? Saya bertanya diri saya sendiri. Soalan ini tetap relevan untuk sesiapa yang bergelar pelajar.

Saya membelek semula scheduler yang ada dalam function organizer pada telefon genggam saya (HP) yang bernama 'HENSEM'. Model HP saya SAMSUNG R220 GSMH. Hensem saya beli dari Nabil dengan harga LE 500. Dalam catatan scheduler itu ada beberapa catatan reminder saya yang boleh membuatkan saya merasai pelbagai perkara. Sebulan mencatat peristiwa secara ringkas, dan boleh saya fahami.

Bila dihitung pula bermula 1 Mei, saya sudah tidak punya banyak masa untuk mendepani peperiksaan fasal soifi ini. Saya ada 8 papper untuk dilunasi. 7 papper tahun 4 dan 1 papper takhaluf tahun 3 (Lughah Arabiah). Persediaan masih agak kurang, namun impian untuk berjaya berbunga mekar dalam sanubari.

Masih seperti dulu... mengharapkan doa kalian untuk saya berjaya. Doakan kejayaan cemerlang saya. Amin...

Kata-kata Pujangga: "Kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis keseorangan diri."

Sila klik  Respon/Komen

 

25 April 2003 | Jumaat | 6.37  am

Catatan Satu

Hari ini jam bertukar

Di Mesir dua kali dalam setahun kami akan menukar jam. Pertama bila memasuki musim panas pada Jumaat terakhir bulan April dan kedua ketika hendak memasuki musim sejuk. Sebenarnya cuma sekali setahun perubahan pada jam dikesani. Kalau pada musim sejuk bezantara antara waktu Cairo-KL ialah 6 jam, tetapi bezantara itu berkurangan sejam dalam musim panas Lembah Kontang, menjadikan bezantara ialah 5 jam.

Tidak ada apa yang menarik sangat tentang tukar jam ini, kecuali peristiwa-peristiwa teknikal yang melibatkan masa. Bayangkan kalau sebelum jam bertukar waktu Subuh ialah pada jam 4 pagi, sekurang-kurangnya apabila jam berganjak sejam lebih cepat waktu subuh akan jadi lebh lewat iaitu pada jam 5 pagi. Kawan saya pernah berkata: "Hah, legalah sikit...subuh dah masuk lewat sikit." Saya menempelak: "Kalau masuk awalpun sembahyang lewat tak guna juga..." Kami tersenyum.

Namun dari sudut realiti sebenar... waktu subuh atau waktu keseluruhannya tidak berganjak, walaupun nampak bezantara sekitar sejam berubah kerana pada dasarnya jika jam kalian tidak diubah... maka muazzin tetap melaungkan azan pada jam 4 pagi sebagai menandakan masuknya waktu subuh. Waktu-waktu solat yang lain juga masuk sebagaimana jam 'lama' yang tidak diubah itu. Bila saja terdengar azan pada jam 4 pagi... janganlah anggap yang bukan-bukan pula pada muazzin yang ikhlas itu.

Namun... kadangkala memang agak mengelirukan. Walaupun jam berubah tetapi perjalanan harian tetap sama. Ok... begini! Katakanlah subuh sebelum jam berubah masuk pada jam 4 pagi dan setengah jam selepas itu sudah pun selesai menunaikan kewajipan dan boleh dimanfaatkan masa tersebut untuk tujuan-tujuan lain. Waktu antara 4.30 sehingga jam 9.00 pagi (waktu kuliah) agak panjang. Bagi yang suka menyambung tidur selepas subuh... mereka akan merasakan itulah masa yang sesuai. Tetapi bagi yang tidak mengamalkan tidur selepas subuh... apa yang mereka lakukan? Boleh jadi inilah masa yang sesuai untuk mentalaah kitab-kitab, menghafal Al-Quran, membaca bahan santai dan sebagainya.

Tetapi apa pula berlaku bila waktu sudah berubah... yakni subuh sudah jam 5.00 pagi (realitinya 4.00 pagi juga)? Setengah jam diambil untuk solat dan selepas 5.30 pagi sehingga jam 9.00 pagi kita sudah kehilangan 1 jam dalam sehari yang kita perolehi sewaktu jam tidak berubah. Kalau sebelum ini ada 4 jam 30 minit, tetapi kini cuma tinggal 3 jam 30 minit sahaja. Tetapi saya tetap katakan masa sebenarnya sama...

Apa tidaknya cuba kita lihat realiti seterusnya. Kalau pra-pertukaran jam zohor masuk jam 12.00 tengahari pasca-pertukaran jam zohor masuk jam 1.00 petang. Hari kuliah tidak kesemuanya mempunyai lebih dari 4 hissah. Kebiasaannya cuma 2 atau tiga. Itupun kalau ada 4 cuma dikira 2 sebab pertindihan di antara madah yang sama. Misalnya begini... Masa pertama hari Sabtu ialah: Fiqh Syafie, masa kedua: Hadis Hukum, masa ketiga Fiqh Syafie dan masa keempat ialah: Hadis Hukum. Kebanyakan pelajar mengira sebagai 2 hissah sahaja sebab kebiasaan pensyarah akan memanfaatkan hari itu dengan merangkum 2 hissah menjadi 1. Justeru ghalibnya kami boleh pulang selepas hissah kedua. Hissah pertama antara jam 9.30-11.00 pagi. Hissah kedua 11.00 pagi- 12.30 tengahari. Tetapi waktu adalah perkara teknikal... kadangkala kurang kadangkala lebih.

Pulang dari kuliah selepas hissah kedua atau selepas jam 12.30 tengahari boleh dimanfaatkan untuk masa yang hilang 1 jam pada waktu di antara Subuh hingga waktu kuliah. Solat Zohor ditunaikan pada jam 1.00 petang dan selepas itu sehingga menanti asar yang masuk pada jam 4.30 petang agak panjang. Kalau sebelum ini asar jam 3.30 petang maka di sini kita untung pula 1 jam. Kenapa? kerana kita pulang dari kuliah tetap juga selepas hissah kedua. Jadi kalau tidak sempat tidur pada waktu pagi... boleh juga digunakan waktu petang untuk merehatkan badan. Selepas asar pula menanti maghrib yang masuk pada jam 7.30 masih ada banyak masa. Boleh dimanfaatkan masa ini untuk mentelaah buku atau aktiviti bebas.

Dulu maghrib masuk jam 6.30 dan Isyak jam 7.35 malam, tetapi pasca-pertukaran jam maghrib jam 7.30 malam dan Isyak jam 8.35 malam membuatkan malam akan menjadi semakin pendek kerana hari sudah mencuri sejam melebihi waktu 'lama'. Maka kesukaran yang dihadapi pada musim soifi ialah waktu yang tidak memadai untuk mengulangkaji pada waktu malam. Jadi jika kita sudah merasa beruntung pada waktu siang, apa untungnya kita merasa rugi pada waktu malam sewaktu soifi?

Bagi saya untuk beberapa hari ini... saya tidak bercadang untuk menukar jam. Ini lebih memudahkan saya untuk mengingati waktu solat, barangkali kerana sudah terbiasa. Tetapi kawan saya sudah mengandaikan saya akan melakukan kesilapan teknikal. Misalnya kuliah yang sepatutnya bermula jam 9 saya akan hadir pada jam 10.00 pagi. Setiap perjumpaan yang melibatkan saya akan menyebabkan saya kelewatan dari janji... Tetapi sejauh mana saya berubah kerana masa atau masa berubah kerana saya, saya tidak boleh tentukan!

Kata-kata Pujangga: "Kasihkan manusia lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia."

Sila klik  Respon/Komen

 

24 April 2003 | Khamis | 12.35  pm   

Catatan Satu

Puisi Buat Rabiah al-Adawiyah

PUISI BUAT RABIAH AL-ADAWIYAH

Rabiah...
Walau lahirmu kedunia
tika gelap membalut malam
membawa sinar sufi
dalam tangis seorang bayi

meski tercipta ditemani tangisan
dan kesedihan mendepani kehidupan
namun kaulah pilihan Tuhan
sebagai insan pengunggul cintaNya

Zuhudmu mengajarku menilai keduniaan
Sabarmu mengajarku mendamping ketabahan
Tawadhu'mu mengajarku melihat kekerdilan
Ibadahmu mengajarku merasai kekurangan

Rabiah...
Masih adakah wanita sekayamu?
yang rindukan kasih abadi
yang dambakan rahmat dan nur kasihNya
yang cinta agungnya hanya untuk Maha Esa

Tika sengsara menghimpit hidupmu
Sabar dan tabahmu telah terdahulu
mencipta redha dan mengucap syukur

Aku kagum menonton peribadimu
Ya Rabiah.... Aku kagum keperibadianmu
meski kau cuma seorang wanita
sedang aku seorang lelaki

Dalam diam aku menyimpan
bening-bening impian
untuk mencari jejak-jejak percintaan
yang pernah kau susulkan

Namun aku tergantung dan tersepit
antara perdu cinta agung dan tunas cinta kerdil
barangkali kerana unggulnya cinta warisan Adam
yang mengalir dalam diri ini

Aku impikan seorang wanita solehah
Sedang aku impikan cinta Allah
Manakah yang perlu kudahulukan
Jawablah wahai insan bernama Rabiah al-Adawiyah!

Biar apa yang tersirat kian terurai
Dan jiwa tandusku terubati


Akhi Masrawi
April 2003
Tanta, Egypt.
 

Catatan Dua

Bahang Lembah Kontang Kian Terasa

Baru selesai menjemur pakaian di ampaian rumah. Ah... hari ini cuaca seperti semalam juga. Mujurlah suhu bilik masih terkawal. Tapi mujur tu tidaklah memadai sangat, walaupun cuma aras 2 (ardiyah, 1 & 2) tetapi atas rumah saya sudah sutuh (bumbung). Rumah sewa saya ni kira antara yang terendah di kawasan ini. Masakin (flat) pun 4 aras. Patutpun bar Hensem (HP saya) susah nak penuh. Ishk...

Di luar sana panas dah kian pecah amat. Bahangnya membuatkan saya lebih selesa berada dalam ruang rumah. Menemani JASA @ NAWFAL (PC peribadi saya) untuk mencatat apa-apa yang patut sambil mendengar lagu dari winamp. Hah... Baju tentu akan cepat kering. Walaupun angin tak ada... udara bahang panas tu sudah memadai untuk menjadikan baju seumpama kek di dalam oven (apa yang betul ya?).

Semalam pun udara panas juga. Barangkali musim bunga dah melambai-lambai nak beri laluan pada musim panas pula. Aduh... musim panas. Saya selesa di Mesir hidup dalam musim bunga. Panas tidak sangat... sejuk pun memadai. Semalam ada debu dalam lingkaran udara Kubri Kuhafa. Saya lihat... ah, sesak rasa nafas saya. Tapi... biarlah debu-debu itu pergi.

Isnin lepas ke Mansurah pun dah terasa cuaca nak bertukar. Malam selasa itu sejuk membalut malam di Kota Mansurah itu. Agaknya bayu dari sungai Nil yang menyapa tubuh. Kesian Wan... dia demam. Siangnya saya dan Wan mengajar di Bait Ummu Rumman tentang ta'min. Alhamdulillah selesai juga buku tulisan Dr Muhd Zainy Muhd Ghanim tu. Kalau tidak tentu saya kena berulang lagi ke sana. Khamis minggu sebelumnya dah pergi mengajar Bahas Qadhaya di bawah tajuk AIDS dan Naqlu wazar'u a'dha' (Pemindahan organ). Pelajar-pelajar tahun 3 syariah tu minta saya mengajar untuk madah Qadhaya pula. Saya pilih ta'min dan kitab tentang nuqud (matawang) dan wadiah al-masorif (simpanan perbankan) saya minta Hairul ajarkan. Alhamdulillah dia setuju. Hah...lepas tanggungjawab saya. Moga anak-anak murid (banat semuanya) faham apa yang ustaz ajarkan ops.. diskusikan (sebenarnya).

Balik ke Tanta malam selasa tu bersama tetamu dari Mansurah (An dan Hassan). An nak jumpa Talib - sepupu dia dan Hassan ikut Pakya - rakan taakhi dia.

Kata-kata Pujangga: " Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali."

Sila klik  Respon/Komen

23 April 2003 | Rabu | 17.08  pm

Catatan Satu

Kembali mencatat

Barangkali kalian pernah menjengah ke sini beberapa kali sebelum ini. Dan apa yang kalian rasa kala itu saya sendiri tidak tahu. Tekaan saya... kalian mungkin kecewa kerana JURNAL JALAN HIDUP ini ketika itu tidak diupdate sebagaimana yang kalian harapkan. Saya pohon maaf.

Entah mengapa saya sendiri tidak tahu... perasaan itu tumbuh dalam benak saya. Saya membenci dunia online maya yang menjebakkan saya dalam kancah jurnal online ini. Alasannya??? Saya sendiri tidak ketemu. Sepanjang tempoh 'diam' saya... rasanya terlalu banyak peristiwa yang berlaku yang boleh dicatatkan untuk zaman moden saya. Tetapi kerana saya tika itu diam apalah yang mampu saya lakukan? Kecuali terus diam.

Saya tinggalkan puisi selingkar ingatan sebagai bonus pelayar yang sudi bertandang. Saya kira sepanjang tempoh itu, puisi itu acap tertatap kalian ketika mencapai URL http://akhimasrawi.cjb.net. Entah barangkali ada yang sudah menghafalnya?

Mimpi apa ni? Ribut tidak... guruh pun tidak, tiba-tiba saya kembali mencatat. Jangan pelik... saya perlukan sokongan kalian. Ops... Saya masih perlukan sokongan kalian.

Catatan Dua

Ada Apa dengan Bait ini?

Cinta tak akan datang kalau tidak dicari
Cinta tak akan dapat kalau tidak memberi
Hidup tanpa cinta seperti hidup tanpa cita-cita
Kita boleh maafkan orang lain kerana ketakutan
kerana kita juga takut seumpama dia

Catatan Tiga

Tazkirah: Siapa?

Siapakah orang yang sombong?

- Orang yg sombong adalah orang yg di beri penghidupan tapi tidak mau  sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yg ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?

- Orang yg telah mati hatinya adalah orang yg diberi petunjuk  melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita-cerita kebaikkan namun merasa tidak ada apa-apa kesan didalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?

- Orang yg dunggu kepala otaknya adalah orang yg tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yg kuat?

- Orang yg kuat adalah orang yg dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.

Siapakah orang yg lemah?

- Orang yang lemah adalah orang yg melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?

- Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yg berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.

Siapakah orang yang buta?

- Orang yg buta adalah orang yg tidak mahu membaca dan meniliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?

- Orang yg tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yg baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?

- Orang yg sibuk adalah orang yg tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yg manis senyumanya?

- Orang yg mempunyai senyuman yg manis adalah orang yg di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini"sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yg menangis airmata mutiara?

- Orang yg menangis airmata mutiara adalah orang-orang yg sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yg kaya?

- Orang yang kaya adalah orang yg bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yg sementara ini.

Siapakah orang yg miskin?

- Orang yg miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yg ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yg pandai?

- Orang yg pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.

Siapakah orang yg bodoh?

- Orang yg bodoh adalah orang yg beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunia nya sedangkan akhiratnya di abaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?

- Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yg mundur hidupnya?

- Orang yg mundur dalam hidupnya adalah orang yg tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?

- Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saje yg memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yg rugi?

- Orang yg rugi adalah orang yg sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yg selalu ditipu?

- Orang yg selalu di tipu adalah orang muda yg menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yg paling cantik?

- Orang yg paling cantik adalah orang yg mempunyai akhlak yg baik.

Siapakah orang yg mempunyai rumah yg paling luas?

- Orang yg mempunyai rumah yg paling luas adalah orang yg mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yg mempunyai rumah yg sempit lagi di himpit?

- Orang yg mempunyai rumah yg sempit adalah orang yg mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yg mempunyai akal?

-Orang yg mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Siapakah orang yg tidak berakal?

- Orang yg tidak berakal adalah orang-orang yg menghuni neraka kerana sekiranya mereka di dunia dahulu mengunakan akal mereka bahawa neraka itu tempat azab dan siksa tentu mereka tidak mahu akan masuk neraka.

- Sumber: Mailing List E_Muzakarah

Beringatlah!!!

Sila klik  Respon/Komen

Baca Catatan lalu

~Diri yang masih mencari identiti ibarat sebuah perjalanan menongkah arus di lautan samudera...~

Pujangga - mahasiswa - cabaran - pengajian - perjuangan - keyakinan - optimis - keorganisasian - keterbukaan - karisma - kehidupan - keilmuan - idealisme - penulisan - impian & harapan - yang...! 

Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003
Hubungi sila e-mel: [email protected] (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~