JURNAL PUJANGGA Online - JALAN HIDUP

MULAI JUN 2002 

Jurnal PUJANGGA Online - Jalan Hidup tidak HANYA membicarakan jalan hidup AKU semata-mata! Tetapi jalan hidup yang dilalui bersama yang seringkali melingkari kehidupan setiap kita... Semoga aku, kau dan sesiapa jua bersedia untuk melalui jalan hidup itu, kerana hidup ini adalah sebuah perjuangan!

Arkib Jun 2002


Terminal Pertama...

30 Jun 2002 | Ahad | 23.00 pm

Catatan Satu

Enam hari aku tak menulis entry untuk Jalan Hidup. Aku sibuk. Mungkin kerana minda aku letih sangat. Memikirkan itu dan ini. Alhamdulillah...  aku dapat curi juga peluang untuk menulis walaupun sedikit sebelum tirai Jun 2002 dilabuhkan. Sempena Jun sebagai bulan pertama aku menulis jurnal Pujangga Online - Jalan Hidup versi geocitie.com dan Jurnal Pujangga Online - Untaian Masa versi kepompom.com aku belajar banyak perkara. Dulu aku tak pernah terfikir untuk menulis catatan hidup di Frontpage 2000 kemudian di upload ke dalam sawang di legar maya yang seni, santak itu berpeluang bermesra dengan bahasa HTML yang memeningkan. Tapi kini semua tu telah aku lalui. Sedikit demi sedikit pelajaran aku temui. Dan tempoh percubaan selama sebulan kini hampir berakhir sebagai salam pembuka hidup aku dan jurnal.

Barangkali sebab aku terpaksa menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara lain sehingga masa untuk berada di depan PC untuk mencatat entry setiap hari tak mampu aku laksanakan. Lihat sahaja 25 Jun aku kena hadiri mesyuarat Eksekutif Pelaksana Perayaan Satu Dasawarsa (PERSADA) Tanta. Aku memikul amanah sebagai Ketua Pengarah. Tugas dan amanah yang sangat berat...sehingga aku rasa tak layak untuk itu. Tetapi taklif yang ditentukan adalah taklif daripada Allah sebenarnya. Aku tak minta jawatan itu, jadi aku harap Allah akan sentiasa tolong aku untuk melaksanakan tugas berat itu. 26 Jun aku tunggu Pidi dan Naim yang janji nak tolong aku ke pasar untuk beli barang-barang untuk memasak kenduri majlis akad nikah Us Asri. Tapi tunggu punya tunggu akhirnya aku menapak seorang diri menunaikan kerja itu. Pidi bagi alasan ada tamu dan Naim murung susah hati mungkin sebab natijah Al-Quran. Malamnya aku masih sibuk untuk sediakan keperluan memasak. 27 Jun memasak untuk Us Asri (Tanta), cuma kuew teaw goreng + nescafe panas (mamat tolong sediakan di rumahnya) + kek (disediakan oleh banat Mansurah). Aku menggoreng kuew teaw di bait izzah ganggu tukang-tukang masak lain memasak untuk program bersama kedutaan. Akhirnya Us Asri mengakhirkan zaman bujangnya bersama isteri, Ustazah Radin Seri Nabahah bt Ahmad Zabidi (Mansurah). 

28 hb ke rumah Us Hafiz untuk hantar kertas kerja: Melahirkan Perancang Yang Baik untuk pembentangan KOLDI 2. Kemudian habiskan masa dengan ziarah Wan dan Hafiz yang akan pulang ke Malaysia. 29 Jun KOLDI 2 aku kena masak lagi... :) Bayangkan sebagai seorang ex-officio kena juga memasak bersama pertolongan Lib dan Pidi (mee goreng) daging. Malam 29 mesyuarat PERSADA kali ke 2 bermula selepas KOLDI dalam sekitar pukul 11 malam dan berakhir pukul 1.30 pagi. 2 jam setengah bermseyuarat meletihkan. Itu kira pantas tu. Kau bayangkan Eksekutif seramai 18 orang bermula dari pengarah sehingga akhir. Tapi bila fikir-fikir balik kira satu perkara biasa sebab aku pernah masuk meyuarar panel perancang kertas kerja PERSADA yang memakan masa hampir 7 jam atau lebih. Mengenangkan pengorbanan orang lain kita patut sedar kalau kita susah ada orang lain yang lebih susah daripada kita.:)

Sehingga mesyuarat PERSADA kali ke 2 semalam hanya plan tindakan fasa satu dan dua untuk sesetengah unit dah berjalan dengan baik. Mesyuarat Eksekutif kali pertama dan kedua berjalan lancar walaupun ada beberapa orang Eksekutif yang tak dapat hadir bersebab. Gerak kerja fasa satu dan dua seputar setiap unit mengadakan mesyuarat AJK kecil unit, penentuan AJK, sebaran makluman dan promosi iklan dan mutabaah Eksekutif yang belum maklum. Fasa 2 bermula 29 Jun 10 malam mesyuarat Eksekutif kali kedua dan pembentangan laporan gerak kerja unit. So aku kena prepare untuk buat mesyuarat tu selancarnya. Fauzi (S/u) dah maklum dan aku harap dia hadir... kalau tak terpaksa tugas S/u diambil alih Eksekutif lain. 

Semalam KOLDI kali ke 2 hanya 23 pelajar yang hadir berbanding kali pertama. Pelajar-pelajar lain ada yang dah pulang bercuti di Malaysia, ada yang sengaja tak hadir dan ada yang tak maklum mungkin. Apapun program tarbiyah seumpama itu memang tiada sambutan sangat. Tugas aku dah selesai. Aku dah anjurkan. Kehadiran itu tugas ahli.

Aduh seminggu otak aku berselirat dengan tugas dan karenah persatuan. Memikul amanah sebagai Ketua Pengarah amat meletihkan. Semua perkara setiap unit perlu difikirkan. Aku harap semua Eksekutif PERSADA akan bertindak dengan sewajarnya demi kelangsungan gerak kerja dan berjayanya PERSADA yang akan dilaksanakan pada 7 Julai nanti. Aku harap kau tak gelisah dengan membaca kepenatan aku ni! Andai kau dapat gambarkan kesibukan dan kepenatan aku... apa lagi orang yang memikulnya.

Catatan Dua

Hidup ini dibebankan dengan tugas-tugas. Ianya aku sedari bermula ketika di sek men lagi. Sehingga berada dalam pengajian di Universiti masih dilamar memegang jawatan dan melaksanakan tugas. Sewaktu kecil adakah tak ada taklif? Aku terfikir lagi. Sewaktu menyelak-nyelak salah satu entry dalam jurnal Rudy Bluehikari aku terbaca sebuah kisah bagaimana seorang remaja Jepun yang tertekan dengan pelajaran bisa membuat kapal terbang kertas untuk dilontarkan ke udara. Kapal terbang kertas (jet) itu membawa impiannya mengembara di ruang angkasa yang luas. Barangkali seorang siswa seperti aku perlu juga berbuat begitu untuk melepaskan tekanan:)

Kata orang hidup tanpa tekanan, mungkin baru separuh kadar. Tidak pernah rasa nikmat gembira, tidak pernah merasa duka. Sesekali terfikir sendiri... untung jadi budak-budak. Zaman yang tak perlu memikirkan sangat tentang urusan kehidupan. Tetapi zaman tu dah berlalu. Ianya tak akan berulang lagi untuk diri aku. Teringin untuk kembali ke zaman itu, tapi apakan daya hidup bukan ibarat 'mesin masa' seperti dalam filem. Sebab sesuatu yang mungkin berlaku dalam sesebuah filem selalunya tidak boleh disamakan dengan realiti hidup kerana ianya hanya sekadar sebuah lakonan. Plot-plot dan babak cerita hanya disusun untuk menyihir penonton. Hal yang sama berlaku dalam penulisan kreatif (Novel & Cerpen). Aku rasa enmiya atau penulis-penulis kreatif lain lebih arif. Dalam novel dan cerpen penulis mewujudkan watak, meletakkan dan menggayakan sifat dan melayarkan watak-watak tadi di atas latar yang membentuk plot-plot cerita. Tapi kehidupan mungkin kita boleh mewujudkan watak dalam diri sendiri kemudiannya melayarkannya di atas latar kehidupan dengan plot-plot yang tak sama dengan apa yang berlaku dalam dunia rekaan tadi. Kecuali jika novel atau cerpen tadi diadaptasi dari kehidupan sebenar orang lain. Kadang-kadang ada titik persamaan di antara ceritanya dengan kehidupan yang kita lalui.

Aku dipanggil ke bilik mesyuarat sekolah. Aku gementar. Akal aku ligat berfikir... sepanjang hari adakah aku ada buat salah. Seram sejuk terasa. Aku berjalan jitu menuju ke bilik mesyuarat sekolah menengah itu seorang diri. Ketika itu aku form 3. Bilik meyuarat sekolah terletak di 'wisma pentadbiran' tingkat dua. Bila sampai saja di depan bilik mesyuarat aku lihat banyak kasut-kasut hitam dan kasut-kasut guru di depan pintu yang tertutup rapat. Aku ketuk dengan hormat. Daun pintu terkuak seorang pengawas sekolah membuka pintu. Aku memberi salam dan dipelawa masuk. Gementar masih bersisa.

Aku duduk tanpa disuruh. Guru Pengawas sedang berucap. Aku mendengar tanpa minta permit untuk mengetahui rahsia badan pengawas. Aku pelajar biasa tika itu. Kemudian mereka meneruskan agenda seolah-olah aku tidak hadir dalam kelompok mereka. Aku hanya diam memerhati dan mendengar setiap apa yang dibincangkan. Lama aku dibiarkan sehingga bertukar-tukar agenda cikgu mengumumkan aku dilantik sebagai anggota badan pengawas sekolah bermula hari itu. Aku terkedu... diberi amanah itu. Sejak hari itu episod hidupku sebagai pelajar biasa yang bebas terasing daripada diri. Aku memulakan kehidupan baru sebagai anggota BPS. Tapi aku tak pernah merasa gembira... kecuali bila sudah memahami kerja berorganisasi dan terasa manisnya ditarbiyah aku mula mengukir senyum gembira dipilih Allah menjadi pimpinan pelajar di sekolah itu. 

Catatan Tiga

Berakhirnya tirai Jun

Dengan berakhirnya Jun pada 30 hb maka genaplah usia jurnal Pujangga Online - Jalan Hidup selama sebulan. Nak tahu beberapa rahsia Jalan Hidup???

Pujangga Online - Jalan Hidup mulanya aku nak namakan lain. Tetapi entah macam mana terpilih nama tu. Aku mengenali Jurnal pada sekitar hujung tahun 2000. Jurnal pertama individu yang aku masuk ialah jurnal nett... kemudian Rudy dan beberapa jurnal yang aku dah lupa. Aku cuma minat membaca waktu itu. Baca tentang catatan orang memang best...apalagi bila catatan tu kadang-kadang mirip seperti kehidupan kita pula. Tetapi minat tu tak berkembang biak memandangkan tidak kerap berpeluang masuk cc atau lebih tepat tak sempat nak selalu surf sebab masuk cc untuk tujuan baca emel, berita dan berchating.

Tahun 2001 aku mula jumpa balik jurnal-jurnal individu. Kemudian timbul niat nak menulis jurnal sendiri. Tapi banyak halangan. Antaranya aku buta IT waktu tu. Banyak perkara yang aku tak tahu. Impian berkubur semula. Awal 2002 minat itu timbul lagi... aku pendamkan selama hampir 5 bulan. Pada Mei 2002 aku mula membina sawang menggunakan program frontpage 2000 di pc member serumah. Timbul lagi halangan... percubaan untuk upload gagal. Aku buntu... tak tahu siapa yang boleh tolong. Aku tulis terus.... Catatan dalam jurnal itu yang asalnya aku tak namakan apa-apa untuk jurnal itu. Aku sibuk dengan imtihan pada Mei dan awal Jun. Namun Jun yang terluang aku gunakan untuk cuba upload dan publish lagi. Aku hanya bernar-benar berjaya upload jurnal aku pada 13 hb Jun di URL: www.geocities.com/pujangga1. Tetapi entry yang dimasukkan bermula 1 Jun. Entry selepas itu 4, 8, 12,hanya sebenarnya menemui pembaca pada hari 13 tersebut. Tamu pertama yang mengunjung hasil kerja aku ialah kinanah1 dan dia isi guestbok versi gc. Di kalangan geng jurnal yang paling awal ialah cik daun. Dan dia geng jurnal pertama yang balas msg YM aku. Entry 14, 16, 17, 18, 19, 21, 24 dan entry ini 30 Jun menemui pembaca pada tarikh dimasukkan. Aku menulis tarikh masuk entry bukan tarikh membuat catatan. Dan aku 'mekap' jurnal aku dengan masukkan guestbook versi kedua dan juga counter pada 16 Jun. Kemudian disusuli pula dengan chatterbox di arahan jum chat!. Entry 18 Jun aku iklankan sesiapa nak tolong aku buat banner... Putri tawar diri... akhirnya banner Pujangga Online Jalan Hidup siap dan dipamerkan. Thanks Putri!

Dan hari ini Jun berakhir... Untuk menanti Jun datang lagi untuk membolehkan Jurnal Pujangga Online Jalan Hidup genap usia setahun masih jauh perjalanannya. Apapun detik itu akan tiba juga. Cuma samada aku masih menulis Jurnal atau tidak itu tak boleh ditentukan lagi. Mungkin akan berlaku banyak perubahan dek perubahan masa. Cumanya aku sedang terfikir kalaulah Jun tahun depan menjengah... dan aku masih menulis JURNAL bilakah tarikh sesuai untuk aku letak sebagai tarikh ulang tahun Jurnal Pujangga Online Jalan hidup ni???

Adakah 1 Jun (Entry pertama) atau 13 Jun (Hari aku berjaya upload dan publish di geocities.com setelah beberapa percubaan sebelumnya gagal), 16 Jun (Hari letak counter, atau bila??? Apa pendapat kau? Berjumpa di Julai nanti. Selamat tinggal Jun. Selamat datang Julai!

Berakhir catatan Jun... 

 

24 Jun 2002 | Isnin | 20.35 pm

Catatan Satu

Respon

Putri menunaikan janjinya. Kantung emel aku disapa emel daripada Putri bersubjek banner. Aku sudah tak sabar untuk melihat hasil kerja Putri. Alhamdulillah cun, smart, ringkas dan menarik. Kalimah yang patut dahulu kuucapkan buat Puteri ialah ucapan 'terima kasih'. Dengan terhasilnya banner yang Putri siapkan untuk aku tu maka bolehlah aku pamerkan banner tersebut. 

Akhirnya Kak Aquil menjengah juga ke Jurnal Pujangga Online - Jalan Hidup. Mungkin setelah perasan aku meninggalkan bekas di guestbook jurnalnya. Jurnal Kak Aquil hanya entry terakhir pada April. Ini bermakna Akak Aquil sudah lama benar tak update dia punya sawang. 

Aku tidak tahu samada enmiya telah menjengah Jurnal ini atau belum sebab tiada kesan catatan daripada enmiya di Anjung Tamu Jalan Hidup. Apapun aku masih menanti enmiya mengisi Anjung Tamuku. 

Catatan Dua

Rencana

Apa Ada Pada Sebuah Mesyuarat?

Selain menggambarkan perhimpunan beberapa orang penting untuk berbincang satu atau lebih perkara yang menjadi agenda, mesyuarat akrab dengan kebosanan. Tanyalah sesiapa juga yang pernah mengikuti mesyuarat; pasti mereka akan berkata "Mesyuarat! ala... bosan betul!" Seorang pengkaji pernah menulis di dalam bukunya tentang teknik-teknik dan persedian mesyuarat di mana satu noktah penting bahawa mesyuarat yang baik ialah mesyuarat yang tidak memakan banyak masa. Ia padat, ringkas dan tepat mencapai keputusan apa yang menjadi agenda.

Banyak kategori mesyuarat sebenarnya. Mesyuarat Agung, mesyuarat bulanan, mesyuarat mingguan, mesyuarat tergempar, mesyuarat program, mesyuarat muhasabah dan sebagainya. Namun boleh dikatakan tidak semua dari kalangan manusia pernah mengikuti semua jenis mesyuarat kerana mesyuarat tidak menghimpunkan semua manusia dalam sesuatu pertemuan sebaliknya hanya menemukan ahli mesyuarat terbabit. Ahli pula menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat tersebut melalui surat jemputan hadir mesyuarat yang terisi butiran tentatif dan agenda- agenda mesyuarat tersebut.

Mesyuarat adalah medan untuk mencari kata sepakat, mengeluarkan idea, menilai kekuatan, mengubah kelemahan, muhasabah dan sebagainya. Tetapi ada individu yang hanya menjadikan mesyuarat medan untuk memenangkan idea sendiri, lantaran setiap idea yang dikemukakan oleh orang lain pasti ditolak dengan seribu alasan. Lebih-lebih lagi jika pandangan itu diluahkan oleh orang yang sememangnya tidak sebulu dengan individu tersebut. Jelasnya masih ada yang tidak memahami tuntutan mesyuarat itu sendiri. Mesyuarat bukan medan perbalahan untuk menunjuk siapa yang 'power' tetapi ianya medan mencari kesepakatan.

Masyuarat agung biasanya diadakan setahun sekali dan mempunyai beberapa agenda. Antaranya di sana berlaku rombakan pimpinan dalam sesebuah pertubuhan/ persatuan. Mesyuarat agung tahunan juga kadangkala dikenali dengan muktamar sanawi, perhimpunan agung, mesyuarat agung tahunan dan sebagainya. Ianya adalah medan yang menghimpunkan ahli-ahli persatuan yang dijemput hadir untuk bermuhasabah tentang aktiviti, penyata kewangan, laporan persatuan, pembentangan cadangan belanjawan dan beberapa agenda lain bersandarkan kepada pertubuhan/persatuan itu sendiri.

Sewaktu kewafatan baginda Rasulullah saw para sahabat berkumpul di sahah Bani Sa'idah untuk bermeyuarat melantik pengganti (khalifah) yang layak mengepalai urusan umat Islam waktu itu. Beberapa orang sahabat yang hampir dengan Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Ali kw ketika perhimpunan itu diadakan masih berada di sisi jenazah Rasulallah. Apabila mendapat tahu bahawa para sahabat yang lain telah pun berkumpul untuk mencari pengganti (ketua negara) Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Abu 'Ubaidah bergegas ke tempat di mana pertemuan itu diadakan. 

Dengan kehadiran ketiga-tiga sahabat Rasulullah itu tadi telah melepaskan kebuntuan untuk pemilihan khalifah di mana pada awalnya golongan Ansar yang dikepalai oleh Saad bin 'Ubadah telah berpidato mencari pengaruh untuk menjagi ganti kepimpinan Rasulullah. Apabila ketiga-tiga sahabat tadi tiba maka Saidina Abu Bakar pun berpidato. Antara isi pidatonya beliau menyatakan peranan Rasulullah diutuskan oleh Allah swt untuk menyampaikan kebenaran dan menyeru kepada Islam, menyatakan kelebihan Muhajirin dan menyebut-nyebut sumbangan Ansar, melarang bersifat dengki yang merugikan serta mencalonkan Saidina Umar dan Saidina Abu 'Ubaidah untuk dibaiatkan (diberikan kesetiaan) sebagai khalifah. Mendengar apa yang diperkatakan oleh Saidina Abu Bakar, Khabab bin Munzir bangun memprotes dengan menyatakan kepentingan untuk bersatu hati tidak tunduk pada seruan Abu Bakar malah menyeru andai tiada kesepakatan biarlah mereka beramir secara berasingan.

Saidina Umar membantah perpecahan yang dianjur Khabab kerana tidak dapat berhimpun dua kepala dalam satu kekuasaan. Abu 'Ubaidah pula dengan tenang tampil berkata: "Wahai kaum Ansar! ingatlah bahawa kamulah yang mula-mula menjadi penolong dan pembela, janganlah kamu juga yang menjadi pemecah dan penukar." Dengan tangka Basyir bin saad tampil mengiyakan apa yang dituturkan Abu 'Ubaidah. Melihat keadaan yang hampir reda maka Saidina Abu Bakar sekali lagi mencalonkan Umar dan Abu 'Ubaidah untuk dibaiat. Namun kedua-duanya dengan penuh tawaduk menolak. Lalu Umar menggenggam tangan Saidina Abu Bakar dan terus berbaiat. Kemudian disusuli pula oleh Abu 'Ubaidah, Basyir bin Saad dan seterusnya hadirin yang hadir di Sahah Bani Sa'idah itu. Natijah mesyuarat itu Saidina Abu Bakar terpilih sebagai khalifah mengganti Rasulullah dalam urusan kaum muslimin berdasarkan suara persetujuan mesyuarat dan kelebihan yang dimiliki Abu Bakar di mana beliau adalah orang yang hampir dengan Rasulullah dan pernah disuruh menjadi ganti imam oleh Rasulallah. Jelasnya pimpinan/ khalifah Islam dipilih melalui mesyuarat. Lihatlah sejauh mana peri pentingnya sesebuah mesyuarat jika dimanfaatkan.

Kini, samada mesyuarat itu akan menatijahkan kebosanan atau tidak ia bertitik tolak sejauhmana peri pentingnya agenda yang bakal disyurakan dalam perhimpunan mesyuarat itu. 

Selepas mesyuarat juga secara adatnya disediakan jamuan. Tidak kiralah samada jamuan itu cuma sekadar jamuan ringan atau minuman teh semata-mata. Jadi sementara menanti mesyuarat tamat; dengan keletihan yang melilit badan, mata yang mengantuk, kebosanan dengan leteran dan perbalahan sidang, ada yang sempat melabuhkan sejenak kelopak mata dan membiarkan masa mesyuarat berlalu begitu sahaja. Apabila majlis yang lazimnya dimulai dengan ucapan pengerusi itu berakhir juga dengan ucapan penangguhan maka mata pun kembali segar. 

Mesyuarat menemukan orang-orang penting (VIP), sebagai contoh dalam perhimpunan OIC, Liga Arab, G 15 dan sebagainya untuk membincangkan pelbagai isu penting. Tetapi acap kali apabila sidang ditangguhkan tiada natijah yang memberangsangkan dicapai. Apakah boleh disamakan mesyuarat-mesyuarat seperti itu tidak ubah laksana perjumpaan gebang-gebang di warung kopi? Fikirkanlah! 

Catatan Tiga

Nostlagia

Damainya tinggal di kampung. Kau boleh bayangkan sendiri, melihat kehijauan alam, berteman usik-usik kicau burung dan unggas, sawah padi yang luas terbentang, pokok-pokok buah-buahan, sungai untuk mandi-manda dan macam-macam lagi panorama kampung. Tapi waktu pagi di kampung sejuknya usah cakap. Aku masih ingat sewaktu kecil- kecil kala zaman sekolah rendah kalau bangun pagi untuk ke sekolah mak mesti suruh mandi, walaupun memang mandi dengan air telaga yang dalamnya sepuluh kok, sejuknya Allahuakbar! memang tak usah 'kobar'. Air telaga yang sejuk tu menyebabkan aku sering tak lebih dari dua timba saja. Apa taknya kalau lebih dari dua timba aku rasa kena naik atas rumah berselimut semulalah jawabnya. Masa zaman sebelum berkhatan begitulah keadaannya. Kadang-kadang cuma basuh kepala saja...tanda mandi. Bila mak tanya dah mandi ka? Aku pun buat-buat menggigil sejuk dan kepala yang basah menandakan aku dah mandi. Rumah kampung... ada telaga, ada sungai kat belakang rumah, ada semak samun untuk main polis 'tantre' dan 'aci sembunyi' (sorok-sorok).

Rupanya dengan mandi waktu pagi... badan akan jadi segar. Tu sebab mak suruh mandi. Pernah sekali (hari tu hari Ahad) hari perhimpunan rasmi sekolah, disebabkan aku bangun lewat maka aku culas untuk mandi. Aku cuma basuh-basuh kepala dan muka saja. Bila hadir ke sekolah dan kena beratur untuk perhimpunan dan kebetulan pula perhimpunan pagi tersebut memakan masa yang agak lama... aku hampir pitam. Mataku gelap, pandanganku kabur dan pening serta lenguh sendi-sendi. Aku terasa nak rebah dan mujur tak rebah bila sempat tindakan luar kawalan aku cepat-cepat pergi ke kerusi batu dekat kawasan perhimpunan dan duduk. Ada seorang cikgu datang dan bertanya. Aku cakap aku nak pitam dan pening. Cikgu tu kata muka aku pucat lesi. Kemudian cikgu tu tanya mandi tak pagi tadi? Aku menggeleng. Cikgu tu tanya lagi "Makan?" Aku jawab tak. Aku memang jarang makan pagi. Perut aku tak lalu nak terima makanan kalau waktu pagi. Hasilnya aku diajak cikgu tu ke kantin untuk 'pekena' secawan susu dan roti. Mulai hari tu aku tanam azam mesti mandi pagi untuk badan segar. Patutlah mak selalu ambil berat!

Bila dah berkhatan dan tahu pasal agama Islam sikit-sikit pasal kewajipan solat dan kena berwudhu' Aku kena tambah lagi setimba menjadikan waktu pagi aku 'gayung' tiga timba. Timba pertama untuk jirus badan biar basah. Timba kedua untuk bilas sabun dan timba ke tiga untuk berwudhu' jelasnya aku semakin tak takut dengan air meskipun bilangan timba semakin bertambah. Islam tidak menyusahkan penganutnya. 

Catatan Empat

Mesir

Pound Mesir Dalam Bahaya!

Reputasi mata wang Pound Mesir semakin membimbang- kan sejak dua tahun kebelakangan ini. Sewaktu aku mula-mula menjejakkan kaki ke Mesir (1999) nilai pound mesir (LE) boleh dikira berada pada tahap yang lebih baik berbanding Ringgit Malaysia (RM) selepas RM menghadapi kejatuhan nilai diserang spekulator matawang. Waktu itu nilai pound berbanding tukaran dollar US (USD) ialah LE 3.45 untuk USD 1, manakala RM 3.83 untuk nilai USD yang sama. Kami para mahasiswa Malaysia yang berada di Mesir sedikit terhimpit apabila menerima 'duit' dari Malaysia yang susut nilai apabila ditukar dengan nilai Pound Mesir (LE).

Krisis ekonomi yang melanda Asia amnya dan Malaysia khasnya menatijahkan kejatuhan nilai matawang ke tahap yang membimbangkan. Nilai RM sebelum krisis tersebut ialah RM 2.50 untuk USD 1. Ketika itu Negara mengaut prestasi pertumbuhan ekonomi dengan memberangsangkan apabila dilaporkan pertumbuhan itu melebihi kadar yang dijangkakan. Namun setelah spekulator matawang melancarkan serangan 'hasad' nya nilai dan pertumbuhan ekonomi negara merudum. Kerajaan terpaksa memikirkan beberapa inisiatif untuk mengawal nilai RM khususnya dan mengikat prestasi pertumbuhan ekonomi. 

Untungnya Malaysia negara yang kaya dengan hasil bumi. Kita ada petroleum, gas asli, galian-galian, kelapa sawit, dan sebagainya. Disokong pula dengan perkembangan pesat sektor perindustrian dan pelaburan asing. Lantaran itu nilai RM mampu 'ditahan' pada nilai RM 3.80-3.83. 

Tetapi malangnya senario yang berlaku di Mesir. Nilai itu hanya mampu ditahan setelah kejatuhannya mencapai tahap yang sangat membimbangkan. Bermula kejatuhan sekitar tahun 2000 dengan nilai LE 3. 80 (hampir nilai ringgit). Nilai itu kemudiannya jatuh lagi pada 2001 dengan nilai LE 4.15, LE 4.20, LE 4.25 berbanding USD 1. Pada penghujung 2001 nilai itu jatuh lagi kepada LE 4.27 dan kemudiannya semakin jatuh sehingga hampir LE 4.30. Tahun 2002 adalah petaka kepada Mesir bila nilai LE jatuh lagi sehingga LE 4.50 untuk USD 1. Kadar itu tidak bertahan lama bila seringkali juga ianya jatuh kepada LE 4.60, LE 4.65, LE 4.80, LE 5.00, LE 5.15 dan paling tingggi (sekadar maklumat aku) LE 5.50. Seorang rakan pernah berseloroh dengan katanya "Kalau Pound Mesir jatuh LE 6.00 aku nak tukar USD 1000!" Sememangnya tidak dinafikan kejatuhan nilai pound Mesir memberi impak lega kepada warga asing di Mesir, terutama mahasiswa kita. Apa tidaknya kadar sedikit yang diberikan oleh keluarga di Malaysia bila ditukar nilai pound akan menjadi banyak. 

Namun kejatuhan nilai memberikan ruang kepada peniaga untuk meninggikan harga barang. Meskipun kami merasa lega dengan nilai tukaran, tetapi tidak lega apabila ke pasar, super market, kedai-kedai untuk membeli barangan. Harga kitab-kitab juga melambung tinggi. Beberapa buah kitab yang menjadi keperluan kepada pelajar terpaksa dibeli dengan harga yang tinggi dengan alasan kitab itu diimport dari luar Mesir. Harga makanan juga naik menyebabkan masyarakat dan kami (warga asing) merasa terhimpit dengan kadar sara hidup yang turut menjadi tinggi.

Mesir negara yang kaya hasil tani. Oleh itu tidak hairanlah jika sayuran segar dan buah-buahan boleh didapati dengan harga yang amat berpatutan. Namun pertumbuhan perindustrian di Mesir tidak setahap yang membanggakan. Banyak barangan terpaksa diimport dari negara luar. Barangan elektronik dari Jepun, Taiwan, China, Malaysia dan lain-lain. Malah kenderaan, teknologi canggih dan sebagainya masih memerlukan kepakaran luar. Ini yang merisaukan.  

Barangkali Mesir juga diserang spekulator matawang asing seperti Malaysia yang diserang G. Soros. Lihatlah bagaimana Barat menguasai Negara Umat Islam. Ekonomi! Apabila ekonomi dikawal maka percaturan politik juga menjadi haru-biru. Ini terbukti apabila Presiden Mesir Husni Mubarak tidak mampu lagi lantang dalam isu Palestin apabila setiap bicaranya memberi kesan kepada setiap nilai kejatuhan pound Mesir.

Hari ini sewaktu aku menulis ulasan ini, Pound Mesir berada pada kadar LE 4.60-4.63 di pasaran. Tetapi masih ada yang membuat pertukaran gelap dengan nilai LE 500 hingga LE 505 untuk USD 100. Kalaulah operasi black market ini tidak dapat dibendung besar kemungkinan ekonomi Mesir akan lebih merudum lagi atau setidak- tidaknya hanya akan kekal pada tahap bimbang itu.

Catatan Lima

Pojok/Puisi

Semalam 22 hb Jun 2002 aku dapat berita dari tanahair tentang seorang pejuang Islam yang telah kembali ke rahmatullah. Beliau ialah Allahyarham Datuk Fadzil Nor (Presiden Parti Islam Se-Malaysia - Pas) yang juga merupakan ketua pembangkang di Parlimen. Pas memperjuangkan Islam sebagai orde dalam politiknya. Ini bermakna Pas adalah jamaah yang merupakan harakah Islamiah. Perjuangan untuk membela Umat Islam berdasarkan apa yang dituntut dalam Agama Islam itu sendiri. Pas menolak segala ideologi luaran yang salah dan sesat (sesat lagi menyesatkan). Umpamanya ideologi sekularisme yang menyingkirkan agama dalam urusan keduniaan, sedangkan agama adalah urusan penting dalam sesebuah kehidupan. 

Sedih juga bila kehilangan seorang tokoh yang berwibawa seperti Datuk Fadzil. Beliau seorang yang sangat dikagumi penampilannya. Malah sewaktu beliau memegang pucuk pimpinan Pas - latar perjuangan Pas semakin terserlah melalui slogan 'kepimpinan Ulamak'. Pas berjuang untuk mengembalikan negara Islam yang sekaligus melaksanakan tuntutan sebuah negara Islam. Sewajarnya setiap umat Islam menyokong apa yang dibawa oleh Pas. Tapi sayangnya ideologi luar ada yang terserap masuk. Sebab itu Umat Islam tidak mampu bersatu. 

Umat Islam seluruh dunia berpecah. Secara Umumnya kepada dua golongan. Pertama; golongan yang memahami Islam dan berjuang/menyokong berdasarkan apa yang dianjurkan oleh Islam. Kedua; golongan Islam yang tidak faham Islam mengambil ideologi luaran untuk berjuang mempertahankan kekuasaan. Kau di aliran mana??? 

 

 

21 Jun 2002 | Jumaat | 11.05 am

Catatan Satu

Respon

Putri bertanya aku sewaktu chat di YM "Apa klasifikasi terhadap catatan-catatan yang ditulis dalam Jurnal Pujangga Online - Jalan Hidup?" Aku terfikir sejenak. Barangkali Putri meneliti entry Jurnal aku yang agak dan sememangnya berserabai. Tak tentu hala subjek yang diutarakan/ditulis. Aku jawab pada Putri mungkin klasifikasi dengan lebih teratur aku akan buat untuk entries bulan Julai nanti. Buat masa ni atau mudahnya detik permulaan aku membina Jurnal peribadi, aku tak mampu menyusunnya dengan baik. Ianya perkara biasa bagi orang spesis aku. Mungkin tidak bagi spesis yang rapi dalam tindakan mereka.

Putri juga perasan aku membuat iklan dalam entry 18 Jun minta sesiapa yang boleh tolong aku buatkan banner (sebab aku tak tahu lagi camner nak buat). Putri nak tolong buatkan untuk aku. Alhamdulillah aku akan nantikan banner yang putri janji nak tolong buat tu siap...lepas tu jeng jeng jeng... bolehlah aku letakkan banner tu sebagai pengenalan kepada Jurnal ni. Tahrizi/ Cik Easy dalam promosinya kepompom.com dah beri aku peluang membuka satu lagi jurnal di kepompom.com dengan URL http://www.kepompom.com/pujangga . Aku orang baru dalam dunia Jurnal. Apa paling aku takut kalau nanti aku jadi seperti 'hangat-hangat air masak." Bila dah sejuk hangatnya tiada. Apapun sebagai sokongan aku kepada kepompom.com aku doakan ianya akan kekal untuk jangka masa yang panjang. Dulu sewaktu aku kenal Melayu.com atau senang dipanggil MDC saja, aku sempat bermesra dengan web tu selama tak sampai dua bulan kalau tak silap. Sewaktu aku tulis entry ni MDC masih tak sepenuhnya pulih. Terutama Pusat Karya yang sangat digemari (ruangan Cerpen/ puisi). Sementara menanti Pusat Karya MDC pulih aku sudah hampir hilang semangat untuk berkarya. Karya-karya peminat MDC selepas dipulihkan sikit-sikit tu hanya dilonggokkan di sembang2 (sembang sastera & budaya)...:)

Catatan Dua

Rencana

OIC Atau Oh I See?

Sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai keahlian sebayak 57 buah negara Umat Islam, Organisation of the Islamic Conference (OIC)/ Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam adalah sebuah organisasi bertaraf antarabangsa. Samada anda menyedarinya atau tidak OIC sebenarnya adalah sebuah pertubuhan kedua terbesar di dunia yang mewakili lebih satu perlima penduduk dunia. 

Organisasi ini diasaskan di Rabat, Morocco pada 12 Rejab 1389H/ 25 September 1969M semasa berlansungnya  mesyarat pertama ketua-ketua negara Umat Islam sebagai menyatakan sensitiviti terhadap cubaan Zionis antarabangsa untuk membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 yang kemudiannya menemukan semula perwakilan negara-negara umat Islam tersebut di Jeddah, Arab Saudi di mana sekretariat OIC ditubuhkan demi memastikan koordinasi di antara para anggota.

Rakyat Malaysia berbangga apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Malaysia) ketika itu terpilih sebagai Setiausaha Agung OIC yang pertama bermula 1970 hingga 1973. Seterusnya diikuti Hassan At-Tauhami (Mesir) 1974- 1975, Dr. Amadou Karim Gaye (Senegal) 1975- 1979. Habib Chatty (Tunisia) 1979- 1984, Syed Syarifuddin Pirzada (Pakistan) 1985-1988, Dr Hamid Algabid (Niger) 1989- 1996. Prof Dr Azzedin Laraki (Morocco) 1997- 2000 dan sekarang jawatan penting itu disandang oleh Abdelouhed Belkeziz juga dari Morocco bermula 2001.

Bertitik tolak dari itu, jatuh bangun OIC bergantung kepada sejauh mana sekretariat yang telah ditubuhkan tersebut berperanan disamping bantuan dari negara- negara anggota. Krisis umat Islam silih berganti semenjak kejatuhan Khilafah Islam Turki Uthmaniah memungkinkan ruang untuk OIC berperanan demi memastikan Umat Islam terbela. Namun sejauhmana OIC melaburkan kemampuannya untuk membela Umat Islam masih dipertikai sehingga kini. Antaranya isu Perang Teluk di Iraq, pergolakan Kashmir, krisis Checnya, Penderitaan Bosnia, Pembantaian Kosova, Penyembelihan Palestin, penindasan terhadap Afghanistan dan banyak lagi masih memerlukan OIC memainkan peranannya dengan berkesan demi membela nasib Umat Islam, sebagai mencakupi matlamat penubuhan; namun IOC bagai lepas tangan sehingga penubuhannya mampu dipertikai.

Mungkin di dalam OIC sendiri mempunyai masalah atau negera-negara anggota OIC sebenarnya sendiri bermasalah. Sekitar isu ekonomi yang kian meruncing, kegawatan sosial, kebejatan politik dan sebagainya menyebabkan hieraki OIC amat lembab. Namun perlu disedari sebahagian negara anggota OIC sebenarnya adalah berlabel negara kaya dan mempunyai sumber aliran kemewahan. Namun ianya tidak berfungsi dengan baik untuk menyumbang dana kepada pertubuhan tersebut sehingga mampu menjadi sebuah pertubuhan yang boleh dibanggakan oleh Umat Islam. Barangkali juga faktor tidak sealiran dan bertentangan pendapat menyebabkan seringkali persidangan OIC diadakan 'orang luar' sudah mampu berbisik-bisik mengulas keputusan persidangan yang entah apa-apa.

Perjuangan OIC yang bermula untuk membela Palestin atau Masjid Al-Aqsa dari dibakar Zionis kini seolah-olah berulang kembali episod itu. Episod berlatar dunia Palestin. Umat Islam setiap hari menjadi korban keganasan di seluruh dunia namun adakah IOC berperanan membela atau hanya boleh menjadi pertubuhan yang akan dan telah dilabelkan 'Oh I See' sahaja? Kita tunggu dan lihat!

Dipetik dari ulasan MDZUHI (SUKEK edisi April/Mei 2002 bersumber dari Harakahdaily, Utusan Malaysia & Bernama)      

Catatan Tiga

Nostalgia

7 Disember 1992 detik keramat bagi aku apabila terpaksa berpisah dari keluarga tersayang. Ada suka dalam sedih. Seolah-olah suka dan duka berselirat dalam diri. Aku bersama ayahku mengambil sebuah teksi ke Arau Perlis untuk daftarkan aku ke Al-madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah. Itulah detik awal perpisahanku dengan keluarga. Sebelum itu aku jarang berbisah untuk jangka masa yang lama. Paling lama pun tak sampai dua minggu sewaktu menyambut hari raya bersama keluarga Mak Cik di Kuala Kedah. Mungkin sebab sekolah rendahku tak jauh dari rumah. Jarak antara rumah dengan sekolah rendah itu tak sampai 2 km. Barangkali sekitar 1 km sahaja. Aku berulang-alik dari rumah ke sekolah setiap hari tanpa rasa penat, tetapi kadang-kala timbul cemburu pada kawan-kawan yang tinggal jauh bila sering melihat mereka memanjat bas sekolah untuk pulang ke rumah mereka yang agak jauh dari sekolah. Dari situ terfikir... timbulnya niat untuk bersekolah jauh dari rumah. 

Sewaktu di darjah 6 aku memberitahu ayah dan mak untuk memohon belajar di Maktab Mahmud, Jalan Pegawai. Ayah mengizinkan permohonan. Aku dan ayah hadir untuk temuduga. Kali pertama aku menghadapi situasi temuduga selain peperiksaan lisan di sekolah. Gementar usah cakap...! Ayah kuatkan semangat aku. Pulang dari temuduga bulan 8 itu aku sambung sekolah seperti biasa untuk ambil UPSR. Alhamdulillah keputusan UPSR keluar sewaktu kami (budak-budak darjah 6) sedang berkhemah di Lubuk Semilang (Sekarang dikenali sebagai Kampung Buku Langkawi). Cikgu Faizah dekati aku dan ucap tahniah. Aku tertanya-tanya tapi dalam senyum yang terukir.

Keputusan UPSR tahun 1992 bagi sekolah aku tidak mengulangi rekod seperti tahun sebelumnya. Tahun 1991 dua orang murid dapat 4A (Zaidi dan Shafini). Tahun 1992 tiada seorang pun yang dapat 4A dan 3A. Keputusan terbaik hanyalah 2A 2B iaitu aku. Ucop, Mirul dan Zulfaizal hanya dapat 2A 1B 1C. Mereka pesaing aku. Murid-murid perempuan ada juga tapi aku sudah tak berapa ingat. Cikgu Nol (Guru Besar) tawarkan aku tiga tawaran. Pertama tawaran masuk ke kelas KHAS di SMKTP dan dapat biasiswa + asrama percuma, kedua tawaran untuk isi borang mohon masuk Sekolah Keb Agama Arau dan tawaran untuk buat permohonan masuk ke sebuah sekolah berasrama penuh di Arau, dibawah seliaan Yayasan Islam Perlis iaitu sekolah yang aku hadir untuk daftar diri.

Aku masih ingat... Ayah bawa aku ke Perlis buat kali pertama untuk hadiri temuduga. Sebelum tu temuduga di Maktab Mahmud. Maka bermakna temuduga di Almaad (Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah) adalah siri temuduga kedua aku. Gentar pun kurang sikit. Aku dapat hadapi persoalan dengan rasa biasa. Soalan-soalan pula taklah mencabar sangat. Alhamdulillah... Aku berjaya.

Hari  aku dapat surat tawaran ke Almaad, esoknya surat dukacita permohonan masuk ke Maktab Mahmud sampai menyatakan aku gagal. Aku nekad untuk ke Almaad. Apalagi bila mendapat sokongan padu dari keluarga dan Cikgu Nol. Aku waktu itu tak memandang sangat ekonomi ayah. Aku kira kos pengajian di Almaad nanti taklah semahal mana... ayah mampu untuk 'belanja' aku. Dan aku akan berusaha untuk mohon biasiswa pengajian bila sudah mendaftar nanti.

Akhirnya 6 Disember 1992 kami bertolak ke Kuala Kedah, rumah Mak Cik adik ayah. Esoknya pagi-pagi lagi kami berdua keluar untuk ke Arau Perlis. Kami sampai agak lewat. Teksi yang kami naik tu slow... dan pemandunya suka bersembang dengan ayah. Aku dah seram sejuk. Bila tiba di sekolah tu... Ayah suruh teksi membelok masuk ke kawasan sekolah sebab kami dah lewat malah barang keperluan asrama aku agak banyak. Sepatutnya waktu pendaftaran ialah pukul 8 sehingga 9 pagi. Tapi kami tiba hampir pukul 10 pagi. Tapi boleh mendaftar seperti biasa, tiada masalah dan ada seorang lagi pelajar dan keluarganya juga lewat seperti kami. Kami tertinggal satu slot... iaitu slot taklimat. 

Pembahagian asrama seperti biasa. Aku agak janggal mulanya kerana hanya aku seorang saja 'duta' ke sekolah itu. Apa yang paling aku terperanjat bila aku cuma tahu sekolah tu hanya sekolah lelaki (banin) setelah aku hadir ke kelas esoknya! Dari itu aku mula ingin jadi lebih ambil tahu hal berkaitan aku...

Catatan Empat

Mesir

Di Lembah Nil Suara Kampus PMRAM adalah majalah/ lidah rasmi kepada PMRAM, BKAN dan mana-mana DPM menyalurkan bahan bacaan kepada ahli. SK yang paling terkenal dan paling tepat menemui peminat ialah Suara Kampus Edisi Johor (Sukej). Selain itu SK edisi Kedah (Sukek), SK Edisi Terengganu (Sutra), SK edisi Kelantan (Skek) SK Edisi Selangor (Skes), SK edisi Pahang (Skep), SK edisi Perak (ATOM), dan beberapa lagi terbitan Badan Kebajikan anak Negeri (BKAN). Manakala terbitan Dewan Perwakilan Mahasiswa (mahasiswa yang kuliah di luar Kaherah (cawangan)) (DPM) antara yang menjadi saingan SK edisi Mansurah (Skema), SK edisi Syibin el-Kom (Sofia), SK edisi Tanta (Sket), SK edisi Damanhur (Skeda), SK edisi Iskandariah (Skei), SK edisi Maqaz Syubra dan beberapa DPM lain. Namun penerbitan Suara Kampus di DPM bolehlah disifatkan sangat lembab kecuali Mansurah yang boleh sedikit dibanggakan. Mungkin pelbagai masalah dihadapi sebab aku sendiri pernah manjadi ketua editor untuk SK edisi Tanta sesi 00/01 (dan hasil kerja aku tu tak nampak juga sehingga kini).

BKAN yang mampu dibanggakan dalam penerbitan SK ialah seperti (BKPJM) Johor. Boleh dikatakan setiap bulan Sukej akan menemui peminat. Manakala yang lain ada yang kadang sebulan sekali kadang dua bulan sekali. Tak kurang juga popular Sukek, Sutra, Skek dan Skep. Aku peminat suara kampus. Pelbagai koleksi Suara kampus aku miliki kerana harga yang ditawarkan untuk sebuah SK agak berpatutan. Tapi sayangnya walaupun boleh dikatakan pelbagai SK yang diterbitkan saban bulan budaya membaca di kalangan mahasiswa masih tidak sehebat mana. Ini terbukti bila setiap terbitan baru dan tak kurang yang dah luput masa masih berlonggok- longgok di kedai-kedai mini dan koperasi. Di mana silapnya mahasiswa kita? 

Tidak kurang juga ada di kalangan mahasiswa yang kuat membaca. Istilah 'ulat buku' sebenarnya  bukan suatu kejian untuk golongan mahasiswa. Ianya sebenarnya pengiktirafan aku kira. Berapa banyak muka surat @ halaman kau habiskan/ baca dalam tempoh 24 jam?  

Catatan Lima

Pojok/Puisi

 Al-Ayubi: Mujahid Abadi 
(Buat Para Pejuang al-Quds) 


Lembaran sejarah telah merakamkan 
Detik-detik kegemilangan Islam 
Memori sebuah perjuangan 
Di persada sebuah kejayaan 

Buat pejuang yang telah lama pergi 
Berjuang membebaskan akidah 
Para syuhada' di medan salibiyah 
Meninggikan martabat agama tercinta 
Itulah pejuang sejati 

Dunia Islam terasa kehilangan 
Sebuah nostalgia kepimpinan 
Yang bersemangat juang 
Dan ruh jihad terpendam 
Di lubuk hati dan ingatan 

Sultanul Islam wal muslimin 
Gelaran yang telah dianugerahi 
Namanya Salahuddin Al-ayubi 
Ardul Mesir menjadi saksi 
Al-Quds telah menyanjungi 
sebuah perjuangan yang tulus murni 

Barisan tentera yang diasuhnya 
Berjiwa kental dan bersemangat waja 
Ubudiah yang tinggi ruh jihad yang membara 
Kerana Islam agama dibela 

Dia tidak pernah kenal erti putus asa 
Perjuangan salibiyah memakan masa 
Hampir lamanya beberapa dasawarsa 
Demi mebebaskan kota Baitul maqdis 
Dari cengkaman musuh durjana 
Mujahadahnya kerana Allah 

Nukilan 
Akhi Masrawi 

Barangkali setiap entry yang akan dimasukkan seputar beberapa kategori dan kau boleh klasifikasinya sendiri! Namun suka aku nyatakan kategori itu bukanlah muktamad....

 

19 Jun 2002 | Rabu | 7.38 am

Catatan Satu

Cikgu Timah lah orang yang tolong aku untuk buka akaun GIRO di Bank Simpanan Nasional. Masa tu aku baru darjah 5. Kami pergi dengan kereta kecil merahnya. Jasa cikgu Timah memang aku hargai. Akaun tu aku masukkan RM 50 sebagai duit buka akaun buku warna kuning tu. Duit tu pula adalah upah hasil aku berniaga laici-kang bulan Ramadhan. Tahun 92 aku darjah enam. Aku berniaga lagi... meskipun aku kena ponteng kelas tambahan cikgu Timah. Hasilnya okeh... cuma duit tahun tu aku tak simpan dalam akaun. Aku simpan untuk belanja sendiri. Ayah aku hadiahkan aku tahun tu sebuah jam tangan. 

Aku masih ingat... Ayah ajak aku ke Pekan. Aku memang seronok. Tak selalu ayah aku akan ajak ke pekan. Masa tu ayah cuma pakai motor Honda C-70. Biasanya ayah akan gilirkan kami adik beradik untuk ikut ayah ke pekan. Tapi bukan tiap-tiap hari, cuma hari-hari tertentu. Contoh bila nak buka sekolah (untuk pergi beli pakaian sekolah baru), nak raya, nak ke klinik...itu jer seingat aku. Kami banyak beradik, jadi kenalah ikut giliran sebab ayah tak punya kereta. Hari tuh lepas asar ayah dah start motor... dan aku sudah lama siap. Bila ayah suruh aku bawa helmet aku kena sorok dari adik kecilku supaya dia tak menangis/merengek nak ikut sama. Aku kena pergi tunggu jauh sikit dari rumah. Ayah akan pergi ambil aku. Kami sampai di kedai jam. Aku tak sangka ayah nak belikan jam untuk hadiah kat aku...sebab aku tolong berniaga laici-kang dan dapat untung banyak. Ayah siapkan di rumah aku cuma tolong niagakan setelah dibungkus rapi. Jam-jam tu dalam almari kaca. Aku cuma tengok dari luar. Memang cantik-cantik...tapi mahal. Kata ayah... "Ayah nak hadiahkan jam yang abang suka...abang pilihlah sendiri." Kata-kata ayah membuatkan hati aku melonjak riang. Ayah tak pernah beri aku hadiah secara rasmi. Tapi aku kira aku dah banyak dapat hadiah ayah. Saban tahun baju sekolah aku, baju raya aku bertukar... Tapi ayah pakai baju lama juga. Ye lah... anak kecil berumur 12 tahun bukan reti tentang susah payah pada fikiran orang. Tapi aku waktu tu dah masak sangat dengan ekonomi keluarga. Ayah bukan orang senang. Hidup kami sederhana...cukup makan, pakai dan ada teratak buruk untuk berteduh.

Aku belek jam tangan yang berlambak tu. Seiko, citizen, Alba, Quartz, dan bermacam-macam lagi. Aku tak sanggup... dalam hati terdetik 'harga jam-jam berjenama tadi terlalu mahal'. Akhirnya aku buat keputusan... aku ambil jam berjenama Q&Q. Aku pun tak tahu jenama tu masyhur atau tak? Tapi harganya berpatutan cuma RM 80 seingat aku. Jam tu bentuknya empat segi, latar berwarna gelap dan tali berwarna perak campur gelap. Wah! bangga sungguh aku... Waktu balik ke rumah hujan lebat. Ayah cuma bawak sehelai baju hujan. Jadi ayah pakai dan aku menyusup dibelakang ayah... aku peluk ayah erat-erat. Aku tak pasti apa ayah rasa waktu tu! Tapi aku cukup gembira dengan pengorbanan seorang ayah....!

Catatan Dua

Di Mesir aku duduk di sebuah rumah sewa bersama tiga orang kawan. Rumah sewa ni 4 bilik. Jadi kami tak berkongsi bilik. Aku duduk kat kawasan penempatan (Masakin) @ Flat Arab. Tapi rumah aku bukan flat. Rumah nih rumah orang Arab yang disewakan untuk kami. Harga sewa alhamdulillah murah juga berbanding rumah kengkawan lain. Dan aku kira harga tu dah berpada kerana ianya bukan kawasan pekan... sebab kehidupan di sini ibarat tinggal di kampung.  Kat depan rumah yang aku sewa di Mesir ni ada sebuah kedai jual ayam bita' Aiman, kat sebelah kiri ada rumah tiga tingkat cam rumah aku juga. Aku duduk kat tingkat tiga. Tapi masa tahun 2 aku duduk ardiyah. Masa tu duduk dengan member Perak belaka. Aku seorang je orang Kedah. Bila depa dah keluar kecuali Maszuan (Tu pun sebab dia masa tu balik Malaysia) ... aku pindah naik atas. Masa kat atas aku tinggal dengan Own, Pakya dan Maszuan.Kat sebelah kanan pula rumah ammu arab agak kaya.Kadang-kadang nampak sombong, tapi kadang-kadang nampak baik. Time baik aku selalu tegur dia .. bagi salam. Tapi bila aku nampak dia time sombong aku buat do no jer. Menyampah hehehe>

Rumah sebelah kiri ada seorang budak tinggal dengan keluarga dia. Nama dia Mahmud...lebih kurang 12 tahun kot aku rasa umur dia. Aku terkilan bila satu hari nampak dia tengking mak dia sebab mak dia panggil dia. Aku tak pasti apa tujuan mak dia panggil dia... tapi ditengkingnya mak dia pastu dia blah. Aku hairan...walaupun Arab adalah bangsa yang kasar, tidak pula Al-Quran itu diturunkan menyatakan larangan menderhakai ibu bapa dengan mengecualikan bangsa arab. Perkataan 'uff' pun Allah Taala larang, inikan pula tengking mak macam tu. Mahmud tu budak baik, suka tolong orang...tapi tindakan dia macam tu aku paling benci. Dulu masa aku kecil-kecil kalau buat salah...aku akan lari dari mak aku. Sebab kalau mak dapat aku akan kena 'habuan'. Tapi mak bijak mak ugut aku... kalau aku tak pergi dekat dia... nanti aku balik kena juga. Akhirnya aku sering kena mengalah... aku hampiri juga mak, walaupun aku tahu aku akan dapat habuan. ahaks... aku kena juga! Terkenang masa kecil-kecil dahulu. Kau tak terkenang ke?

Catatan Tiga

Zid tanya aku lesen kehidupan nak ambil kat mana? Ini soalan mencabar! Aku sendiri rasa tak mampu nak jawab persoalan Zid tu. Kau ada jawapan ke? Aku rasa Zid ada jawapan. Sebab penyoal seperti Zid seperti penyoal yang sudah tahu jawapannya. Seperti kisah Jibrail a.s datang bertemu Rasulullah saw bertanya beberapa perkara dalam hadis yang panjang. Akhirnya apabila Jibrail a.s bertanyakan tentang bilakan kiamat akan berlaku, Rasulullah hanya menjawab "Sesungguhnya orang yang bertanya lebih mengetahui dari yang ditanya." Aku rasa Zid ada jawapan untuk persoalannya tu. 

Aku ada terdengar satu cerita teladan. Lebih kurang ceritanya begini. Seorang anak muda pulang dari menuntut ilmu di luar negara. Dia pulang dengan membawa tiga soalan yang diykininya tiada siapa yang mampu menjawab persoalan tersebut. Lalu suatu hari anak muda itu berjumpa dengan seorang Imam kampungnya untuk menguji ilmu imam itu. Lalu aku nukilkan dalam bentuk dailog...:

Pemuda: Assalamualaikum imam

Imam: Waalaikumussalam warahmatullah

Pemuda: Imam, saya ada tiga soalan nak bertanya. Tapi saya dah tanya dekat orang-orang alim lain. Mereka semua tak mampu jawab. Adakah imam mampu untuk jawab.

Imam: Saya akan jawab semampu saya.

Pemuda: Betul ke ni imam? (Tersenyum)

Imam:  InsyaAllah!

Pemuda: Soalan pertama saya. Kalau benar Tuhan itu wujud tunjukkan saya kewujudannya? Soalan kedua saya kalau benar takdir itu ditentukan bagaimana ia berlaku? dan soalan ketiga saya... Bagaimana iblis merasa sakit diseksa dalam neraka yang dicipt dari api sedangkan iblis itu juga api?

Imam terus menampar muka pemuda itu dengan tangannya.

Pemuda: Aduh! Kenapa ni imam? Saya minta jawapan. (bersungguh)

Imam: Tamparan aku itulah jawapan kepada tiga persoalan kau tadi. 

Pemuda tercengang.

Imam: Baiklah aku jelaskan. Apa kau rasa bila ditampar?

Pemuda: Sakit.

Imam: Kau rasa sakit. Tunjukkan aku dimana sakit itu berada? Itu jawapan kepada soalan pertama yang kau tanya dimana wujudnya Tuhan kalau benar ia wujud. Dan semalam adakah kau bermimpi hari ini aku akan tampar kau?

Pemuda: Tidak.

Imam: Itulah yang dinamakan takdir. Sesuatu yang ditentukan tetapi tidak kita ketahui. Kenapa kau rasa sakit sedangkan aku tampar kau dengan tangan aku. Tangan yang cuma ada kulit, daging dan tulang seperti pipi kau juga. 

Pemuda memegang pipinya yang sakit ditampar imam itu.

Imam: Ini bermakna walaupun iblis itu dari api... tidak bermakna dia tidak sakit kalau diseksa dalam neraka! Jawab imam kemudian berlalu.

Habis dah!

So kalau ada orang tanya kau... soalan macam tu, kau tamparlah dia sebagai jawapan. Tapi kawan aku bertanya pula soalan ke mana perginya panas air yang di masak bila air tu dah sejuk? Apakah aku perlu tampar muka dia dan tiga, empat hari lepas tu aku jumpa dia untuk bertanyakan kemana hilangnya sakit kat muka kau? sedangkah sakit tu dah pun hilang!

Catatan Empat

Rencana

Serangan Ekonomi Sebahagian Jihad

Ramai yang bertanya tindakan memboikot barangan yang dikeluarkan dalam senarai penuh pemboikotan senarai produk syarikat Yahudi samada relevan atau sebaliknya.  Ini adalah rentetan daripada ulasan beberapa tokoh Ulamak Kontemporari yang menggesa Umat Islam seluruh dunia memboikot  produk-produk tersebut sebagai sebahagian serangan balas terhadap keganasan yang ditonjolkan Yahudi dan Amerika amnya. Di antara Ulamak yang menyatakan demikian termasuklah Dr. Nasr Farid Wasil (Bekas Mufti Mesir), Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan banyak lagi. Malah persoalan sekitar 'adakah perlu kita memboikot?' 'kalau boikot kita orang Islam nak beli produk apa?' ' Wajar ke kita boikot, apsal tak boikot benda lain yang lebih besar?' dan pelbagai persoalan lagi dilontarkan dalam isu boikot ini seolah-olah menafikan tindakan  memboikot produk-produk keluaran syarikat Yahudi sebagai sebahagian Jihad.

Dunia secara umumnya mengetahui apabila AS (Amerika Syarikat) melancarkan serangan ke atas Afghanistan gara-gara membalas dendam terhadap tragedi 11 September yang lalu, adalah satu serangan tanpa perikemanusiaan. Sebuah kuasa besar dunia yang menyerang sebuah negara yang antara termiskin di dunia. Apapun Presidennya, George W. Bush menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan berlatarkan keadilan sejagat.

Ramai yang tidak tahu, Latar bumi Afganistan adalah sebuah kawasan rantau Laut Caspia di mana Afghanistan berada di kedudukan strategik yang mengandungi hampir 270 bilion tong minyak, lebih kurang 20 peratus daripada simpanan minyak dunia. Ia juga mengandungi 665 kaki padu gas asli, iaitu hampir satu perlapan daripada simpanan gas dunia.

Oleh itu dengan menyerang Afghanistan dan jika berjaya mendirikan kerajaan dukungannya dan dibenarkan menubuhkan pangkalan tenteranya di rantau tersebut, Amerika boleh mewujudkan kerangka politik baru di rantau tersebut yang juga dapat melebarkan kuasa hegemoninya itu. Inilah antara tujuan sampingan mengapa AS beria-ia menyerang Afganistan selain gembar-gembur yang menyatakan tujuannya adalah untuk menangkap cuma seorang 'pengganas' bernama Osama Bin Laden, Pengasas pertubuhan Al-Qaeda.

Ada pendapat lain yang menyatakan tujuan AS menyerang Afganistan adalah untuk memusnahkan gerakan Taliban dan melenyapkan pusat-pusat latihan 'pengganas'. Namun ini barangkali cuma salah satu tujuan bersifat politik yang berselindung di sebalik tujuan ekonominya untuk menguasai Afganistan dari segi kestrategikannya sebagai pengeluar 'emas hitam'. Sebenarnya AS telah lama menginginkan penguasaan minyak di Asia tengah. Semenjak sebelum tercetusnya Perang Teluk lagi, keinginannya untuk menguasai negara-negara Asia tengah menonjol. Namun samada disedari atau tidak serangan AS ke atas Iraq pada tahun 90-an dahulu adalah tindakan tidak puas hatinya terhadap tindakan Iraq menyekat industri minyak ke wilayahnya.

Minyak merupakan sumber paling penting bagi seluruh dunia. Hanya dengan menyekat pengaliran industri eksport minyak ke negara seumpama AS boleh melemahkan ekonomi negaranya. Bayangkan apabila permintaan ekonomi yang tinggi dengan penawaran yang sedikit, sudah pasti menyebabkan kenaikan harga berlipat kali ganda. Sedangkan kenaikan harga adalah sesuatu yang merbahaya di dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem Liberal seperti AS. Justeru, apabila Iraq menyekat pengaliran industri minyaknya ke AS negara itu mengalami krisis permintaan minyak yang teruk sehingga menatijahkan penyerangannya ke atas Iraq selain faktor-faktor sampingan.

Mungkin helah politik AS untuk menangkap pengganas di Afganistan juga adalah tipu daya awalnya untuk menguasai wilayah itu. Bayangkan andai AS berjaya menakluki Afganistan, sudah tentu AS tidak akan mengundurkan tenteranya supaya boleh didirikan pengkalan dan menguasai sumber ekonomi negara itu. Sedangkan dalam masa yang sama, Afganistan akan kekal berstatus sebuah negara yang disarati ketegangan sosial, politik, etnik dan agama serta dibelenggu oleh kemiskinan. Apa yang akan AS usahakan untuk menjamu penduduk Afganistan seusai penguasaannya terhadap negara tersebut? Melainkan membiarkan kemiskinan berterusan lantaran majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Amat wajar dan bertepatanlah sekiranya kempen memboikot produk-produk Yahudi itu semakin mendapat sokongan dari semua umat Islam. Bayangkan dengan memboikot produk-produk mereka memungkinkan melemahkan ekonomi mereka. Apabila ekonomi mereka terjejas maka peruntukan yang disalurkan untuk membeli kelengkapan penyerangan dan penindasan terhadap negara-negara umat Islam juga akan terjejas. Ironisnya, tindakan memboikot produk-produk mereka adalah sebahagian dari jihad.

Justeru tindakan memboikot produk-produk keluaran Syarikat Yahudi dan AS adalah tindakan yang wajar. Malah disokong pula dengan menyekat eksport minyak ke negara itu adalah langkah yang memungkinkan Negara-negara Umat Islam melumpuhkan ekonomi Yahudi dan Amerika. Selama ini Islam seolah dipermainkan oleh Kafir lantaran tidak berani menyatakan sesuatu kebenaran. Apalah susah sangat untuk tidak berkunjung ke KFC, Mc Donalds, Pizza Hut, Chicken Tikka, Arby's, Kantis, Paradise dan Mc Burger yang dikenal pasti cawangan perniagaan Yahudi. Selian itu minuman bikarbonat keluaran Syarikat Coca-Cola, Fanta, Sprite dan Pepsi juga antara yang disarankan. Kempen ini juga merangkumi produk-produk keluaran Syarikat-syarikat yang dikenalpasti milik Yahudi termasuk hampir keseluruhan syarikat rokok. Buktikan sokongan kita Umat Islam melalui agenda memboikot produk-produk mereka. Kita yakin ini adalah sebahagian jihad yang mampu dilaksanakan dengan gembelingan tenaga bersepadu seluruh umat Islam.

*** Rencana ni aku tulis di rumah 'kembar' kemudian aku modify sikit kat rumah. Tersiar dalam buletin Permata edaran ahli DPM Tanta untuk edisi prolog. Aku ada juga hantar (melalui Salman Al-Munziri) ke harakah tapi aku tak pasti samada tersiar atau terbuang!

Catatan Lima

Selalunya cuti akrab dengan rehat. Bila orang cakap "aku sekarang cuti" maka imiginasi awal orang itu sebenarnya berehat dan itulah yang sepatutnya. Paling kurang cuti memberi ruang untuk melancong, bersiar-siar dengan kawan-kawan, keluar membeli-belah, ziarah kaum keluarga....tapi bagi aku cuti adalah masa paling sesuai untuk tambah ilmu dalam apa jua jenis ilmu tersebut. Cuti membuka ruang studi lebih... walaupun kadang-kadang nikmat itu susah nak dapat! So aku harap cuti kali ini aku dapat habiskan beberapa kitab, menghafal Al-Quran, mengkaji sesuatu yang ilmiah, menghasilkan penulisan, menambah thaqafah dan mendalami ilmu-ilmu tambahan.

Aku risau sangat... kalau ianya aku tak dapat! Sebab selain runtunan tuntutan halus yang bernama perasaan suasana juga mempengaruhi cuti itu sendiri! Tiga bulan, kau bayangkan. Tahun ini aku insyaAllah manfaatkan cuti di Mesir...tanpa pulang ke tanahair. UuuuhhhhHHHH... rindunya Malaysia. Rindunya kampung laman, pantai, laut, keluarga, kawan-kawan, sekolah lama dan semuanya........uwwwwaaaaaaaa!!!!>

Hari ni Own dan Pak Ya buat air soya. Pergh... sedap. Dah Lama aku tak pekena soya. Teringat masa time sek men dulu... kalau ke Kangar aku selalu minup air soya sorang Abang tu yang niaga dekat perpustakaan negeri. Air soya dia best... aaarrrgghh.. Aku dah nak minum soya ni, kau nak???

 

18 Jun 2002 | Selasa | 0.32 am Catatan Satu

Aku sedang memikirkan untuk menukar link-link geng jurnal yang aku letakkan kepada link baru. Link tu walaupun baru saja aku letakkan ianya tak bermakna akan kekal untuk jangka masa yang panjang. Samada kau perasan atau tak aku cuma letakkan sebanyak 22 link geng jurnal yang aku selalu pergi jengah. Ada diantara link tu yang tak dapat capai ke web tuannya...mungkin yang sebegitu aku kena buang dari link aku. Cuma buat masa ni aku masih berkira-kira untuk tindakan selanjutnya. Aku lewati beberapa jurnal antaranya cik Daun Luahan Pankreas aku - orang pertama mesej YM aku waktu promosi JURNAL JALAN HIDUP, aku nampak chatterbox, teringin lak nak meniru tapi aku buat sedikit perubahan tah ler samada jadi atau tak??? kau cubalah chatterbox tu di arahan Jom Chat!  

Catatan Dua

"Dont Judge any people before you try to know them better" dan aku ingin minta tolong pd sesapa yang boleh buatkan aku banner??? coz aku tak pandai buat atau nak aku buka peraduan cipta banner untuk pujangga yang ada hadiah misteri????   

 

17 Jun 2002 | Isnin | 20.36 pm

Catatan Satu

Aku telah menulis entry pasal perjalanan ke Zagzig. Tetapi mungkin sebab kelekaan menulis aku tak langsung save tulisan tu. Hadiah yang aku dapat rumah aku 'black out'. Pc mati... dan aku hanya tercengang. Masa itu jam menunjukkan pukul 3.30 Pagi. Aku kena tulis semula entry pasal perjalanan ke Zagzig tu sebab aku dah janji.

Ok! Maaf sebab kelewatan. Aku nak tulis semula pagi tadi. Tapi aku keletihan sangat...sambung tidur sampai pukul toooot. Terjaga bila terdengar satu letupan yang kuat. Rumah aku bergegar. Aku sangka gempa bumi. Aku cuma dengar satu letupan. Tapi seorang kawan aku cakap dua kali. Entah? Gempa bumi di Mesir jarang berlaku. Seingat aku dari 1999 sehingga 2002 cuma dua kali. Ini bukan fakta. Ini apa yang aku alami je! 

Aku ada janji untuk tolong masak kenduri kawan aku di istad. Di Tanta tak ramai yang boleh memasak untuk jamuan dan kenduri. Kalau tak salah aku cuma ada beberapa orang saja antaranya aku, Lib, Nuar, Khairul, Hisyam, Raja. Kamilah yang selalu jadi chef time ada program yang memerlukan tukang masak. Orang lain mungkin ada tapi jarang! Dulu time aku baru sampai sini ada anugerah kepada tukang masak. Masa tu Amri yang dapat...Walaupun ada beberapa tukang masak lain sezaman dengan dia seperti Syafizan, Radhi, Syabani, dan Shahrer. Entahlah dari segi penilaian apa anugerah tu diberikan kat tukang masak? Mungkin jasa mereka. Ini bermakna tukang masak mempunyai peranan yang sangat bermakna.

Hari ni tak sangka Lib datang bantu aku. Kami masak ayam masak kurma, nasi minyak dan acar timun/acar cuka. Kenduri tu sempena tahnik (belah mulut) anak dia. Ok abis cerita pasal tu!

Perjalanan Ke Zagzig  

Aku jarang ke Zagzig. Kali terakhir aku ke sana tahun lepas. Itupun sebab diundang bentang kertas kerja Polemik Wanita dengan Radhi. Kali ini kami pergi enam orang termasuk aku. Kurang seorang untuk cukupkan kapasiti untuk Puejoet (Kereta panjang boleh naik 8 orang depan tiga, tengah tiga dan belakang sekali dua). Jadi penumpang tambahan adalah seorang ammu arab. Puejoet tu tak ada kunci starter. Dia hidupkan pakai sambung wayer je... sangat merbahaya. Ikutkan aku nak ajak kengkawan aku turun dan ambil puejoet lain. Tapi sebab kami dah naik ( kalau turun pasti bertengkar jadinya) kami cuma masing-masing mengumpat. Pemandu ni macam pencuri kereta. kepakaran dia menyentuhkan antara dua wayar untuk hidupkan kereta langusung tak kami kagumi. Dan paling menakutkan bila pemandu nak potong sebuah lori jenis traler panjang di depan muncul sebuah traler lagi. Kami semua kecut perut... mujur Allah ilhamkan dia masuk semula ke jalan asal, kalau tidak rasanya aruwahlah 6 orang pelajar Malaysia!

Bila sebut Zagzig ia mengingatkan aku kepada Puejoet itu lagi. Kami sampai dah hampir maghrib. Tuan rumah keluar. Nasib dapat kunci dari jiran yang duduk tingkat atas. Student Malaysia juga...alhamdulillah.

Layan tivi, sembang bla..bla..bla..., makan, tidur, dan ke cc. Itu je seputar aktiviti ke Zagzig. Jumpa Kamal... dia tegur aku dan ajak ke rumah dia. Kebetulan rumah dia di Rumah Malaysia. Sebelum pulang kami sempat singgah. Dua hari di Zagzig cukup untuk melepas kebuntuan memerap di rumah. Sesekali kena juga keluar berjalan! Kalau tak otak jadi blank.

Nampaknya benarlah kata kebanyakan orang "Bola itu bulat..." dan sebab bola bulatlah senegal melayakkan diri selepas menumpaskan Sweden. Kami gembira sebuah pasukan dari negara Umat Islam punya kekuatan mengalahkan Sweden. Senegal layak ke World Cup untuk kali pertama... dan mencipta rekod baik. Aku rasa reputasi tu akan memungkinkan pemainnya ramai dilamar club-club liga bola sepak berprestij dengan harga tinggi. Lepas habis world cup samada Senegal menang sebagai Juara atau tumpas... ia adalah musim pemainnya buat duit pula!  

Aku tak mau ulas banyak pasal bola. Biarlah enmiya dan orang lain yang ulas. Mungkin sebab aku lebih suka sukan lain. dan bola adalah alternatif andai yang lain sudah tak best!

Sewaktu perjalanan pulang dari Zagzig ke Tanta kami dapat seorang pemadu tua. Kata orang kalau dah tua mestilah pro sebab dah banyak pengalaman. Betul... pemandu tu bawa puejoet tu laju benar. Apa kat depan semua dia nak potong... Mungkin pertama kejar masa supaya bila sampai di Tanta Maghrib masih berbaki untuk solat, atau memang kegemaran dia memotong. Lepas Zifta ammu arab yang naik sama kami tegur supaya perlahankan kelajuan. Dia rasa tercabar agaknya... dia tanya kat ammu tu " kau takut ke?" Ammu tu jawab "Bukan takut, tapi kalau perlahan pun boleh sampai." Pemandu merajuk agaknya lepa tu suruh ammu tu turun. Tapi ammu tuh takmau turun. Lepas tu perjalanan terus jadi lembab. Dia bawak slow sangat... Bila aku uruh lajukan sikit pemandu herdik aku cakap ammu arab belakang aku tu tak kasi. Tapi aku tak pasti lah kata-kata dia tuh herdik aku atau herdik ammu arab tu. sebab ada pepatah melayu kata: "Pukul anak sindir menantu." Akhirnya perjalanan jadi boring. Dari Zifta ke Tanta lebih kurang 24 km. Aku tertidur kejap... bila jaga masih jauh lagi. alhamdulillah bila sampai Tanta masa maih berbaki untuk solat Maghrib. Jauh Tanta ke Zagzig bukan muafir yang boleh buat qaar jama' solat. sebabnya tak ampai dua marhalah... 90 km +-, walaupun ada pendapat yang kata boleh... Tapi pendapat tuh tak rajih.

Catatan Dua   

Seorang kawan tanya aku mengapa aku tulis JURNAL? Kau agak apa aku jawab? Aku rasa ramai penulis jurnal ditanya soalan gitu. 

Aku fikir... Apa paling sesuai untuk jawab soalan tu. Dulu sewaktu aku tulis cerpen kawan ku tanya sebab aku tulis cerpen. Aku cuma senyum dan kata aku nak jadi cerpenis. Kawan aku diam. Barangkali dia pua hati. Tapi kalau aku cakap aku nak jadi jurnalis mungkin dia akan bertanya lagi. Aku fikir..dan fikir. Akhirnya aku dapat idea dan aku kata: "Aku tulis sebab aku nak belajar menulis dengan baik dan jadi seorang penulis prolifik yang sentiasa menulis dalam apa jua perkara. Jadi aku kena bertatih untuk menjadi seperti itu. Caranya aku kena kerap menulis. Menulis akan mencambahkan idea. Mustahil tiada bahan untuk ditulis sedangkan setiap hari kita tidak melakukan perkara yang sama. Dan dunia tidak berpatah balik... jadi semua yang berlaku akan terus berlalu. Cuma kalaulah ianya sempat dicatatkan mungkin akan jadi iktibar di hari depan.

Menulis seperti bermuhasabah! Hasil penulisan aku hari ini tak sama seperti apa yang aku tulis kelmarin dan hari-hari sebelumnya. Jadi dari situlah aku akan dapat menilai sendiri sejauhmana keupayaan aku menulis. Tidak ada orang yang lahir terus menjadi terkenal dan terbaik. Mereka juga memulainya dengan langkah pertama.  

Aku menulis cerpen! Cerpen aku sewaktu di sekolah Menengah dulu ada tiga episod. Aku buat episod pertama sewaktu form 2. Setahun lepas tu aku dilantik menjadi salah seorang sidang redaksi untuk Majalah Sekolah aku. Aku mula jadi AJK kecil unit. Masa Form 4 Aku dilantik jadi Ketua Unit Suntingan, Form 5 Aku jadi Ketua Editor dan Masa Form 6 rendah Aku jadi Pengarah Urusan @ Pengerusi lebih kurang. Tajuk yang aku letak ( Seorang ayah dan seorang Abang). Aku hantar karya tu ke majalah sekolah. Alhamdulillah tersiar... tapi edisi selepas diedit. Tajuk pun bertukar kepada (Seorang ayah, Sebuah harapan). Aku dapat idea untuk sambung episod kedua waktu form 4, dan masa form 5 aku sambung episod ketiga.  

Sinopsis

Cerpen Seorang Ayah Sebuah Harapan mengisahkan sebuah perjuangan seorang anak desa dalam mengharungi perjalanan menuntut ilmu. Dia mendapat keputuan agak cemerlang di Sek Men Agama daerahnya untuk layak diterima ke sebuah sek berasrama penuh. Bersumberkan inspirasi seorang ayah yang mengeringkan peluh usaha dengan kejayaan anak-anak, ibu yang penyayang dan seorang abang yang menjadi modus operandi kepada jejak adik-adik. Abang Man adalah pendorong kepada watak utama (Mizi) untuk berjaya sepertinya. Walaupun kehidupan yang mereka alami berkat asuhan itu Kak Na (Kakak protagonis) berjaya menyudahkan pengajian dalam bidang Undang-undang dan menjadi peguam. Manakala Abang Man lepasan Al-zhar dalam bidang Usuluddin menanjak inspirasi Mizi untuk mengikut jejak ke Al-Azhar.

Cerpen ni aku ending dengan melkarkan suasana hiba perpisahan antara Mizi dengan keluarganya (Ayah, Mak, Abang Man, Kak Na, Ijan dan Nafisah) di lapangan terbang.

Selepas itu aku tidak menulis cerpen lagi. Sehingga aku ke Mesir pada September 1999. Tahun 2000 masa di Mesir aku berjinak-jinak untuk kembali menulis karya kreatif. Cerpen "Ana" adalah cerpan sulung aku di Lembah Nil, tersiar dalam SK edisi Gabungan Kelantan, Perlis, Syibin el-Kom. Masih tidak membawa tema ampuh. cuma sekitar percintaan dan persahabatan. Tahun 2001 tak ada langsung yang aku tulis. Feb 2002 muncul semula antaranya; Lagenda Gadis Kedai Bunga, Warkah Buat Puteriku, Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah, Masihkah ada Sinar (Dia Seorang Teman (maafkan aku Aisyah) adalah tajuk asal), Kerikil Cinta Humaira dan Tahanan. Itu antara yang siap... Yang terbengkalai pun berlambak.      

Kalau nak baca cerpen-cerpen nukilan aku nanti aku siarkan. Itupun kalau.....???

Catatan Tiga

Aku terharu bila baca catatan RUDY Bluehikari. Kisah bagaimana dia tak mahu menyusahkan orang. Sehingga dia tak mahu terima duit dari adiknya sedangkan dialah yang memberikan wang belanja untuk adiknya itu. Aku kagum dengan kegigihan Rudy. Kalaulah Rudy ada baca jurnal -Jalan Hidup aku ni aku ucapkan syabas dengan kegigihan kau! 

Aku belajar berniaga seawal usia di bangku sekolah rendah lagi. Ayahku seorang peniaga warung makanan. Aku terseret dengan kerja seperti itu. Perniagaan Laici Kang...Ya! Sewaktu aku masih darjah empat telah aku mulakan. Masa darjah lima perniagaan itu kian berkembang. Hasil upah dari ayahku aku tabungkan dalam Bank Simpanan Nasional. Berniaga Laici Kang pda bulan puasa. Terima kasih Amirul Azli dan Mat Bri yang selalu jadi teman bual aku sewktu berniaga. Beniaga di bulan Ramadhan... aku terkenang pasar Ramadhan di tanahair. :) Masa darjah 6 aku ponteng kelas Cikgu Timah semata-mata nak pulang untuk berniaga. Tapi aku yakin cikgu Timah tak marah aku. Cikgu tu kenal aku sebab kami sekampung dan ada sangkut sedara. Dia mengajar Bahasa Inggeris. Masa keputusan UPSR keluar aku dapat B dalam subjek Bahasa Inggeris. Mungkin kalau aku ikut kelas tambahan Bahasa Inggeris Cikgu Timah aku boleh dapat A! Tapi realitinya aku tak reti BI!

Catatan Empat

Terima kasih kepada geng jurnal / kawan-kawan yang dah layari JURNAL Jalan Hidup aku ni terutama yang tinggalkan bekas di Anjung Tamu. 

Catatan Lima

Kau agak apa pemandu puejoet tu akan jawab kalau aku tanya soalan ni kat dia: " Kau ada lesen memandu tak? hehehehehehehehehe....:)) Tapi Zid tanya aku lesen kehidupan nak ambil kat mana?   

 

16 Jun 2002 | Ahad | 23.17 pm

Catatan Satu

Kau nak tahu???,

"Aku akan masukkan entry pasal catatan perjalanan ke zagzig esok!Tunggu

 

14 Jun 2002 | Jumaat | 14.08 pm

Catatan Satu

Sidang Jumaat sekalian,

"Aku mengingatkan kamu semua tentang kematian. Ia sesuatu yang telah ditentukan ke atas kamu dalam urusan Tuhanmu. Oleh itu hendaklah kamu sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian. Perbanyakkan amalanmu, jauhkan dari kemungkaran dan bertaqwalah kepada Tuhanmu. Kematian itu datang sewaktu kamu tidak menyedarinya. Tidak kira samada kamu seorang muda yang masih kuat, atau tua yang sudah lemah, kanak-kanak yang berlari suka ria, bayi yang baru dilahirkan, lelaki, wanita dan segalanya... yang bernama makhluk pasti akan merasai mati"

ucapan khatib yang membaca khutbah hari ini mengingatkan tentang kematian. Ya... Tentunya ia adalah terminal terakhir kita! Bersediakah kamu???

Catatan Dua

Esok aku cadang nak ziarah kawan aku. Yelah sekarang dah cuti. Maka bermulalah musim kunjung mengunjung. So firsly rasanya aku nak ke Zagzig. Aku dah ajak dua tiga member untuk jadi teman. Dah lama juga aku tak ke Zagzig.   

"Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan" 

12 Jun 2002 | Rabu | 15.07 pm

Catatan Satu

Puisi 

Terkasima 

Aku terkasima 
menanti sesuatu 
yang belum ketemu 
di suatu sudut 
yang masih kaku 
dan masih mengharap 
sebuah ilusi 
akan berubah 
menjadi realiti 
dan igauan itu 
kian sirna 


Nukilan
Akhi Masrawi 
Akhir Said

*** Beberapa entry aku sebelum ni membicarakan persoalan berat aku kira. Aku seolah menyeret kau supaya menjadi seorang pemikir moden. Memikirkan tentang persoalan lesen dan ia sebagai tasybih kepada agama dalam kehidupan. Tetapi kali ni aku masukkan sebuah puisi pula. Mengapa ya?

Catatan Dua

Aku dah selesaikan papper terakhir (Kertas Pengajian Hadis-Hadis Hukum) untuk exam aku daur musim panas ni. Alhamdulillah...! :) Ini bermakna aku sudah merdeka. Merdeka dalam istilah bebas dari belenggu peperiksaan. Tapi ia tidak bermakna merdeka untuk selama-lamanya. Tahun depan aku kena masuk lagi dewan periksa. "Isti'dat aku kena lebih baik banding tahun ni." Aku banyak lalai. Kekadang kekesalan menghantuk benak.

Kau doakan aku berjaya! Kau la... Jangan pandang orang lain. Aku minta dari kau... kau la... yang sedang baca JURNAL aku ni. 

8 Jun 2002 | Sabtu | 13.20 pm

Catatan Satu

Apa kau akan buat kalau kau sudah tahu yang kau akan gagal. Begini... Kau akan ke dewan peperiksaan esok sebagai contoh; untuk menghadapi peperiksaan. Hari ini dan hari sebelumnya kau sudah bersedia dengan ulangkaji pelajaran itu, tetapi sewaktu kau melangkah keluar dari rumah sebantar tadi kau terjumpa seorang lelaki. Dia berkata begini:

Lelaki: "Kau akan gagal dalam kertas peperiksaan esok! Walau sebaik mana kau jawab...aku pasti kau akan gagal."

Kau: ".........." Hanya terdiam dan senyum tawar.

Petang itu kau hilang tumpuan sewaktu membaca buku/nota. Ingatan kau hanya bermain seputar kata-kata lelaki itu. Malamnya tidur kau tidak senyenyak mana? Kau bimbang juga kalau-kalau dalam mimpi dia datang lagi. Kau berkira-kira samada nak atau tak nak hadiri peperiksaan itu. Kau semakin gementar. Dada berombak.

Kau melangkah jua ke dewan peperiksaan dalam keadaan hati diusik gementar itu. Kau terasa gemuruhmu semakin kencang. Peluh tiba-tiba menitis. Kau rimas memikirkan kata-kata lelaki itu. Sampai masanya kau melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Kau duduk di kerusi yang disediakan. Penjaga peperiksaan dengan mesra meletakkan kertas soalan dan kertas jawapan di hadapan kau. Tanpa buang masa kau pun membelek ghairah. Kau ingin mula menjawab...tetapi ilusi kau masih melekat pada kata-kata lelaki yang berpapasan dengan kau sewaktu keluar dari rumah semalam/kelmarin. Kau kembali gementar...

Akhirnya kau jawab juga kertas itu sedaya yang kau mampu berdaarkan persedian kau yang agak last minit juga. Kau semak semula kertas jawapan, dan nyata kau berpuas hati. Dan kini apa yang perlu kau buat hanyalah tawakkal. Perlukah kau fikirkan tentang kegagalan walaupun ia sebahagian dari apa yang perlu kau fikirkan juga?

Catatan Dua

Akhirnya kau disaman juga. Kau menerima itu sebagai takdir. Tapi dalam diam kau menyumpah juga. Hari itu... kau cedera, kenderaan kau rosak perlu dibaiki (Kalau ia kenderaan kau - kalau kenderaan tu bukan kau punya; mungkin bapa, abang, kawan kau atau sesiapa punya mungkin kau menambah episod kesedihan lagi... dan kau kena bayar saman. Kesian aku kat kau!

So... Nasihat aku ambillah lesen! Meski kau berkata begini: "Aku pemandu hebat!" kau belum mampu mengelak dari kemalangan. Kemalangan tu musibah. Ia ditakdirkan Allah... Tapi kau masih mampu untuk  berusaha mengelak.

Seperti yang aku katakan kau mesti ada lesen. Lesen yang aku maksudkan adalah lesen kehidupan... Lesen yang akan menentukan hala tuju kau. Lesen tu adalah Ad-Deen yakni Islam. Allah telah berfirman: "Sesungguhnya ad-Deen di sisi Allah adalah Islam..." So itulah lesen yang kau kena ada. Kau mesti tunaikan hak beragama, barulah kau mampu hidup sebagai seorang yang akan berjaya. 

 

 

4 Jun 2002 | Selasa | 21.45 pm

Catatan Satu

Mengapa ya kena ada lesen? Kau ada jawapan untuk persoalan ini? 

Ok! Andaian kedua...kau seorang pemandu. Bayangkan sekarang kau sedang memandu di jalan raya. Jalan yang aku katakan punya peraturan dan undang-undang yang tersendiri. Apabila kau melihat isyarat supaya membelok adakah kau akan membelok? Mengikut firasat aku pasti kau akan belok... Katakan kau tak belok, apa yang bakal terjadi? Kalau lah ia cuma tanah lapang, kau beruntung. Tapi kalaulah ia gaung, parit, sungai, longkang atau pokok kayu, kali ini naib kau malang!

Sebab kau degil, tak nak belok ikut peraturan tu kau terima habuan malang. Kau kemalangan apabila kenderaan yang kau pandu terbabas. Kau cedera. Lepas tu ada orang yang baik sikit dia buat report polis. Justeru...polis pun datang.

Polis minta lesen kau, tapi kau cuma geleng. Atau kau jawablah apa-apa 'ota' yang kau agak polis tu boleh lepaskan kau. Tapi malang kau disaman polis! Kau tentu akan menyumpah seranah polis tu. Tapi cuba kau fikirkan sendiri kalaulah kau ada lesen memandu adakah kau akan disaman?

Catatan Dua

Seorang bayi lahir. Dia keluar dari perut ibunya setelah lebih kurang 9 bulan (kebiasaannya) berada dalam dunia sempit yang gelap itu. Dia menangis. Walau dia dari bangsa apa sekalipun bahasa tangisannya adalah hampir sama. Adakah kau perasan? 

uwaaa..uwaaaa...uwaaaa!!!

Si ayah mengambil bayi itu lantas diazankan di sisi kanan dan diiqamatkan di sisi kiri. Moga-moga bayi itu akan kenal ruh Islam. 

Bayi lahir dalam keadaan fitrah (suci). Dia tidak memalit dosa daripada sesiapa. Doktrin yang mengatakan bayi lahir dalam keadaan dosa adalah pembohongan semata-mata. Aku menyandarkan fakta setiap bayi lahir dalam keadaan fitrah kepada hadis Nabi SAW. 

Suci putih bersih seperti kanvas putih untuk dilakarkan. Orang yang biasanya akan melakarkan acuan hidup untuk bayi itu adalah ibu-bapanya. Justeru merekalah samada akan 'meyahudikan, menasranikan atau memajusikan bayi/anak tersebut. Aku bersyukur lahir dalam keluarga Islam dan dicorakkan menjadi Islam. Kau?

Catatan Tiga 

Tanggal 16 Oktober 1980 mataku dipanah cahaya dunia. Subhana Allah cantik dunia ni. Tidak terbayang sebelumnya tika berada dalam perut ibu. Aku menangis seperti suara tangisan bayi-bayi lain. Disambut oleh seorang bidan kampung. Apa agaknya yang dirasai oleh ayah dan ibu sewaktu aku 'keluar'? 

 

 

1 Jun 2002 | Sabtu | 12.05 am

Catatan Satu 

Aku tak kenal apa itu Jurnal. Tapi bila aku tahu ada ramai yang menulis jurnal... aku cenderung untuk meniru. Aku pernah belajar menulis catatan hidup dalam buku alias diari tetapi gagal menulis secara istiqamah walaupun aku berjaya menulisnya sedikit. Aku tidak berbangga. Mungkin aku juga kena tulis jurnal macam jurnalis-jurnalis lain buat. Apa aku nak tulis??? Itu soalan pertama. Aku kira aku akan tulis apa yang aku terfikir nak tulis. Tapi nampaknya terlalu umum. So aku pilih untuk menulis tentang JALAN HIDUP. Mungkin ia juga akan merangkumi apa yang aku rasa aku terfikir nak tulis.

Aku ibaratkan hidup umpama sebuah perjalanan. Barangkali perjalanan itu tidaklah sejauh mana! Namun lazimnya perjalanan akrab dengan suasana sukar dan berliku-liku. Seperti itulah manusia. Tak kira Islam ataupun bukan-Islam kita melalui jalan hidup itu. Barangkali jalan hidup itu agak berlainan diukur pada individu. Tetapi selalunya, jalan hidup itu berliku-liku. Malah bukan itu sahaja. Liku-liku itu mempunyai wajah-wajah yang pelbagai. Sebab itu aku pilih untuk menulis JURNAL PUJANGGA Online ini tentang Jalan Hidup. Ia ibarat bermula dari menunggu di terminal pertama dan berakhirnya perjalanan itu apabila tiba di terminal terakhir. Bila akan tiba? 

Ok! Andaian pertama! Andaikan perjalanan hidup manusia itu umpama jalan raya; mempunyai belok, simpang, lampu isyarat, isyarat-isyarat dan sebagainya. Sudah tentu manusia perlu ada panduan untuk melalui jalan hidup yang seumpama itu seperti menunggang sebuah motosikal di jalan raya punya disiplin tersendiri. Penunggang perlu patuh dengan undang-undang jalan raya tersebut. Pelbagai isyarat akan kau temui di jalan raya. Terpenting untuk kau menjadi seorang penunggang di jalan raya tersebut kau mesti punya lesen. Selain polis tak saman kau sebab kesalahan tak memiliki lesen memandu, kau sebenarnya telah diiktiraf JPJ yang kau boleh memandu. Kalau kau tak punya lesen? Tetapi kau pemandu cekap metah? Bagaimana pula? Kau jawab sendiri!

Begitu juga kehidupan; perlu ada lesen. Aku bagai berjenaka??? Kau jangan ketawa. Aku tidak berjenaka. Ya... Lesen itu salah satu jaminan untuk kau tiba di terminal terakhir perjalanan kehidupan kau yang berliku-liku tadi. Andai kau kandas bagaimana? Seperti juga penunggang motosikal yang aku gambarkan, perjalanannya pasti tergendala. Oleh itu aku namakan lesen kehidupan tadi sebagai Ad-Deen (agama) yang perlu kau, aku dan sesiapa jua miliki.

Kau pernah tengok kemalangan? Kalau kau belum pernah tengok kemalangan pun, kau tentu pernah melihat kesannya atau sekurang-kurangnya kau menontonnya di kaca tivi. Agak-agak kau kenapa kemalangan itu berlaku? Kau tentu punya jawapan tersendiri bukan? Cuba kau bayangkan di jalan raya semua pemandu tidak mahu patuh dengan undang-undang jalan raya. Misalnya di simpang empat yang berlampu isyarat... semua pemandu tidak mahu berhenti untuk memberi laluan kepada yang sepatutnya. Apa akan terjadi? Kau punya jawapan? Aku fikir kau punya jawapan untuk persoalan ini.

Oleh sebab perjalanan hidup manusia secara ghalibnya berliku-liku, maka kerapkali digambarkan ianya sebagai penyebab manusia sampai ke peringkat kematangan. Apabila melalui liku-liku tadi dan dia berjaya melepasinya. Tak kira sama ada dia berjaya atau dia gagal dia sudah melepasinya. Kau tentu tertanya-tanya mengapa aku berkata begitu??? "Manusia selalunya menjadi matang akibat kegagalan bukan dengan kejayaan." Apa kau percaya? Satu persoalan... yang boleh menyebabkan kau berfikir sendiri.

Aku??? Aku punya jalan hidup tersendiri. Kau bagaimana? Tentu jalan hidup aku dan kau berbeza. Atau barangkali juga jalan hidup kita sama atau agak sama... tetapi ada unsur yang membezakan, walaupun unsur itu barangkali hanya berselisih sedetik cuma pada waktu...!

Catatan Dua

Mengapa kena ada lesen???

Catatan Tiga

Andaikan kau kata begini "Aku pemandu hebat!"

Catatan Empat

Kalau kau dah terbaca JURNAL aku ni maknanya aku dah berjaya menyelitkannya di ruang maya! Sebab usaha aku sebelum ini menemui jalan gagal. Aku masih perlu belajar banyak perkara...

Catatan Lima

Imtihan! Doakan aku berjaya.


Asal

Terminal Terakhir...

Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]

© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA  1980-2002

 

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws