:: Laman Utama ::             :: Biografi ::             :: Galeri ::             :: E-Mel Kami ::           :: Penghargaan :: 

 

 

 

PENYAKIT LAZIM DIALAMI KANAK-KANAK

a)            Apakah tanda-tanda lelah?
Secara klasiknya lelah menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas yang berbunyi dan semput. Biasanya batuk yang dialami oleh kanak-kanak itu adalah basah (wet cough) iaitu berkahak. Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda klasik lelah. Ini menyukarkan diagnosis lelah dibuat dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak baik walaupun sudah makan banyak ubat.


Tanda-tanda yang penting bagi ibu bapa untuk mengenalpasti kemungkinan anak mereka mengalami asma atau lelah:
1. Batuk berterusan terutama lebih kerap pada waktu malam atau awal pagi.
2. Batuk berterusan yang bermula dari batuk selesema biasa. Biasanya batuk selesema akan hilang dalam masa antara empat hingga enam hari tetapi kanak-kanak ini akan terus batuk untuk jangka masa yang lebih lama.
3. Batuk selepas bermain atau menjalankan aktiviti.
4. Batuk apabila suhu persekitaran yang sejuk seperti di dalam bilik berhawa dingin. Selepas meminum air sejuk atau makan ais krim. Batuk ini juga mungkin berlaku selepas memakan buah-buahan seperti oren
5. Semput


Jika terdapat juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ini lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah. Kanak-kanak yang mempunyai masalah lelah atau asma senang dijangkiti kuman pada paru-paru. Disebabkan lelah selalu dicetuskan selepas deman selesema biasa, ini menyebabkan kadar kemasukan hospital lebih tinggi di kalangan kanak-kanak menghidap lelah. Seperti apa yang diperkatakan oleh saudara Izam masalah lelah itu menyebabkan anaknya kerap mendapat jangkitan kuman dan dimasukkan di hospital.
                Ada beberapa faktor yang boleh mencetuskan simptom lelah antaranya ialah habuk atau hama habuk( house dust mites), asap rokok, buah-buahan citrus dan sebagainya. Walaupun perkara yang menyebabkan lelah itu berbeza dari seorang ke seorang tetapi secara umumnya apa yang dinyatakan di atas ialah punca utama.


b)            Apakah rawatan untuk lelah?
Tiada rawatan yang boleh menyembuhkan lelah. Ubat-ubatan yang dimakan kanak-kanak menghidap lelah hanyalah untuk mengawal simptom itu tetapi tidak menyembuhkan seseorang itu daripada masalah lelah. Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap lelah ini akan pulih dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja.


c)            Terdapat dua jenis kategori ubat ketika memberi rawatan
1. Ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada lelah.
2. Ubat-ubatan yang mengurangkan simptom lelah ketika kanak-kanak mengalami lelah.

                Apabila kanak-kanak sering mendapat simptom lelah, kanak-kanak itu perlu memakan ubat yang boleh mencegah simptom lelah itu berulang. Ubat ini memerlukan penggunaan setiap hari dan oleh itu ramai ibu bapa berasa takut kononnya kanak-kanak itu terpaksa bergantung kepada ubat. Ini tidak benar, apa yang berlaku ialah pada mulanya ubat itu perlu diberi setiap hari kepada kanak-kanak terbabit dan apabila kawalan lelah itu beransur baik, ubat-ubatan ini akan dikurangkan secara perlahan sehingga diberhentikan. Kebanyakan ubat pencegahan lelah mengandungi steroid. Ramai ibu bapa yang bimbang dengan bahan itu tetapi oleh kerana ubat berkenaan digunakan secara topikal ia adalah selamat dan tidak membawa kesan sampingan. Saya sendiri ketika zaman kanak-kanak berhadapan dengan masalah lelah. Pada masa itu disebabkan tiadanya ubat yang boleh mengawal lelah dengan baik banyak perkara yang tidak boleh dilakukan seperti aktiviti sukan, tidak boleh minum air sejuk dan lebih menyedihkan setiap kali hari raya saya akan semput disebabkan asap bunga api. Apa yang kita inginkan dalam rawatan lelah ialah kanak-kanak itu dapat melakukan aktiviti biasa dan tidak terasa ketinggalan disebabkan oleh lelah. Mengenai pemakanan dan lelah, tiada bukti kukuh yang menunjukkan vitamin mencegah lelah bagaimanapun, pemakanan yang baik akan meningkatkan lagi sistem imun badan dan ini akan mengurangkan jangkitan virus dan secara tidak langsung mungkin mengurangkan kekerapan lelah. Kesimpulannya, daripada apa yang diterangkan di atas, kemungkinan besar kawalan lelah anak saudara Izam masih kurang memuaskan dan ini menyebabkan anak saudara kerap mendapat lelah dan paru-parunya dijangkiti kuman. 

PENYAKIT KAKI TANGAN DAN MULUT


SECARA berseloroh seorang teman berkata, dia dan keluarganya tidak lagi minum susu segar atau makan daging kerana bimbang diserang penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) seperti yang berlaku di Sarawak sekarang.
Kenyataan beliau menyebabkan beberapa teman lain terdiam, tetapi ada yang tertawa kecil kerana hakikatnya kedua-dua penyakit itu sangat berbeza dan tiada kaitan langsung, walaupun mempunyai nama sama. Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 3,520 kes HFMD di kesan dengan lima kematian dan menyebabkan 488 tadika dan 10 sekolah rendah ditutup sementara untuk memutuskan rantaian jangkitan serta mengelak penyakit ini merebak.

Walaupun kebanyakan kes dicatatkan di Sarawak, ibu bapa dan pengurus pusat jagaan kanak-kanak serta tadika di Semenanjung juga perlu tetap berhati-hati kerana ia turut berlaku di sini. Menurut Perunding Paediatrik, Dr Syed Nazir MS Kadir, HFMD adalah penyakit biasa di kalangan bayi dan kanak-kanak kerana virus penyebabnya sentiasa ada di sekeliling kita. Jangkitan boleh berlaku apabila faktor kebersihan diabaikan. Jika di negara empat musim, catatan kes lebih tinggi pada musim bunga dan luruh, tetapi di negara kita ia boleh berlaku sepanjang tahun. Ada yang bertanya mengapa kes di Sarawak lebih banyak. Tiada siapa tahu jawapan sebenarnya, tetapi berdasarkan kajian cetusan HFMD berlaku setiap tiga tahun bermula pada 1997, 2000, 2003 dan tahun ini.


Apa yang menyebabkan HFMD?

HFMD berpunca daripada jangkitan virus. Kajian menunjukkan lebih 70 jenis virus boleh menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut, tetapi jenis paling biasa ialah virus coxsackie A16 (CxA16) dan enterovirus 71 (EV71). Kes dilaporkan di Sarawak disebabkan virus Cx A16.

HFMD juga boleh disebabkan enterovirus lain, tetapi ia jarang berlaku. Kumpulan enterovirus ini termasuk virus polio, coxsackie, echovirus dan enterovirus lain.
HFMD pada manusia tidak sama dengan HFMD pada lembu atau kambing kerana ia disebabkan jangkitan virus berbeza. Jadi tidak perlu takut untuk minum susu segar atau makan daging.

Dr Syed Nazir, berkata jangkitan HFMD biasanya lemah dan tidak berbahaya. Ia biasanya menyerang kanak-kanak di bawah 10 tahun, tetapi boleh berlaku pada orang dewasa.


a)            Adakah jangkitan ini serius?

Jangkitan disebabkan coxsackie A16 biasanya lemah dan hampir semua pesakit boleh sembuh tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari. Bagaimanapun, jangkitan enterovirus 71 lebih berbahaya, boleh menyebabkan meningitis, enchephalitis dan kadangkala membawa maut jika tidak diberikan rawatan segera.


b)            Siapa yang berisiko dijangkiti?

Sebenarnya semua orang berisiko mendapat HFMD. Bagaimanapun, lazimnya berlaku pada kanak-kanak di bawah 10 tahun, tetapi orang dewasa juga boleh mendapat HFMD.

Namun, jika ia berlaku pada orang dewasa, kesannya sangat lemah kerana orang dewasa mempunyai antibodi daripada pendedahan pada masa lalu terhadap virus ini.

Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian mempunyai risiko lebih tinggi. Ini sebabnya kerajaan mengarahkan supaya tadika dan sekolah ditutup bagi memutuskan rantaian jangkitan virus.

Jangkitan membolehkan badan seseorang membina antibodi terhadap virus berkenaan, tetapi orang yang pernah mendapat penyakit ini boleh mendapat HFMD kali kedua jika ia disebabkan jangkitan virus lain.


c)            Apakah gejala HFMD?
Sebaik dijangkiti, virus mengambil masa tiga hingga enam hari untuk membiak dalam badan dan ini dipanggil tempoh inkubasi. Selepas tempoh ini pesakit akan mula mengalami gejala penyakit seperti:

  Demam (38°C) selama dua atau tiga hari

  Sakit mulut

  Berhingus

  Ulser dalam mulut (pada lelangit lembut, bibir bahagian dalam atau lidah)

  Sakit tekak

  Hilang selera makan

  Keletihan

  Ruam dan melepuh pada tapak tangan, tapak kaki dan punggung tetapi ia tidak gatal atau menyebabkan rasa sakit

  Sakit perut

d)            Bagaimana virus merebak?
Walaupun tidak berbahaya, HFMD mudah berjangkit, terutama pada kanak-kanak. Ia merebak melalui sentuhan langsung kepada najis, air liur, hingus dan cecair daripada kulit melepuh orang yang dijangkiti. Jangkitan juga boleh berlaku melalui udara apabila orang dijangkiti bersin. Virus boleh hinggap di atas permainan, buku, pensil atau peralatan yang dipegang orang yang dijangkiti.

Virus ini juga boleh hidup lebih lama di luar badan manusia berbanding virus lain, oleh itu jika aspek kebersihan diabaikan ia akan merebak dengan cepat kepada orang lain. Jangkitan mudah berlaku dalam minggu pertama seseorang itu dijangkiti. Najis bekas pesakit masih mengandungi virus, walaupun ia sudah sembuh dan perkara ini boleh berlarutan sehingga lima minggu.

Justeru, Dr Syed Nazir menegaskan supaya setiap orang, terutama ibu bapa dan petugas pusat jagaan kanak-kanak, sentiasa menitikberatkan soal kebersihan. Tangan perlu dicuci dengan bersih setiap kali selepas menukar lampin, keluar dari tandas, mengelap hingus, air liur atau cecair dari kulit melepuh kanak-kanak yang dijangkiti. Jangkitan juga boleh berlaku pada anak dalam kandungan jika si ibu dijangkiti sebelum bersalin. Bayi boleh mengalami masalah jantung, meningitis (keradangan selaput otak) atau mati jika dijangkiti ketika dilahirkan.

e)            Adakah rawatan khas untuk HFMD?

Menurut Dr Syed Nazir, tiada rawatan khas bagi penyakit ini. Kebanyakan pesakit boleh sembuh dalam masa tujuh hingga 10 hari tanpa mengambil ubat. Ubat diberikan hanya untuk meredakan ketidakselesaan yang dialami pesakit seperti ubat demam, ulser atau lepuh.

f)             Bolehkah ia dicegah?

Kaedah pencegahan paling berkesan ialah melalui pemberian vaksin, tetapi sehingga kini tiada vaksin untuk HFMD kerana ia membabitkan jenis virus yang banyak. Bagaimanapun, cara pencegahan paling mudah ialah menjaga kebersihan. Pada musim cetusan penyakit seperti sekarang ini, elakkan membawa anak ke tempat sibuk dan sesak seperti pusat beli-belah dan kolam renang awam.


Tutup mulut ketika batuk atau bersin. Basuh tangan dengan sabun setiap kali selepas ke tandas. Jangan lupa untuk kerap membersihkan peralatan yang digunakan kanak-kanak. “Malah, pengusaha tadika yang diarahkan tutup kerana penyakit ini juga perlu membersihkan semua peralatan dalam premis mereka sebelum ia dibuka semula. Langkah ini penting untuk mengelakkan jangkitan berulang kerana virus Cx A16 boleh hidup lama di luar badan manusia,” katanya.

 TEKNIK MENCUCI TANGAN:

1 - Lumur tangan dengan sabun dan gosokkan kedua-dua tapak tangan.

2 - Masih pada kedudukan tapak tangan bertemu tapak tangan, gosok dicelah jari.

3 - Letakkan tangan kanan di belakang tangan kiri dan gosok.

4 - Bengkokkan jari (dengan menggenggam tangan) supaya kekotoran pada bahagian sendi dapat dibersihkan.

5 - Genggam ibu jari dan gosok dengan cara putaran.

6 - Beralih ke tapak semula dan gosok dengan cara putaran. Ulang semua langkah 3 hingga 6 untuk tangan kanan.

PENDARAHAN HIDUNG 

PENDARAHAN hidung mungkin dianggap masalah biasa, terutama di kalangan kanak-kanak, tetapi masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin memberi petanda seseorang itu menghidap penyakit lain yang lebih kronik.

Hidung berdarah boleh disebabkan pelbagai penyakit termasuk penyakit hidung, sinus, darah tinggi, demam denggi dan penyakit darah.

Namun, biasanya pendarahan hidung berlaku akibat luka pada lapisan dalam hidung.
Permukaan dalaman hidung dilapisi membran mukosa (lapisan lembap yang menggalas struktur berongga seperti saluran pernafasan) supaya kulit sentiasa lembap.

Membran mukosa ini mempunyai banyak salur darah yang sensitif dan mudah luka. Kedudukan hidung di tengah muka juga menyebabkan ia sentiasa terdedah kepada risiko trauma seperti hentakan apabila terjatuh, dipukul atau berlaku kemalangan jalan raya.

Pendarahan hidung boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu anterior (pendarahan bermula pada bahagian septum iaitu dinding yang memisahkan dua lubang pada hidung). Septum mempunyai banyak salur darah yang mudah luka apabila kita menghembuskan nafas terlalu kuat atau terkena objek tajam seperti hujung kuku. Darah akan mengalir keluar melalui satu daripada lubang hidung.

Pendarahan hidung anterior juga boleh disebabkan cuaca terlalu panas dan kering. Kekeringan membran hidung (lapisan luar dalam hidung) akan menyebabkan ia retak, menggelupas dan berdarah seperti yang biasa berlaku pada kanak-kanak.

Jenis kedua ialah pendarahan posterior (pendarahan boleh bermula di bahagian hidung paling dalam yang mengalir ke mulut dan tekak ketika pesakit berdiri atau duduk. Bagaimanapun jenis ini jarang berlaku).

Pakar Perunding Hidung, Telinga dan Tekak, Dr Mohamad Hamzah, berkata punca pendarahan hidung boleh dibahagikan kepada empat iaitu:

  Trauma

Trauma kecil berlaku apabila seseorang mengorek hidung dengan kuku tajam atau jari pada mukosa hidung yang radang. Ia juga terjadi apabila seseorang itu bersin dengan kuat.

Trauma membawa kepada luka pada lapisan membran hidung yang kaya dengan saluran darah.

Tahap pendarahan bergantung kepada saiz dan jenis pembuluh darah terbabit. Jika satu arteri besar seperti yang terbabit, maka pendarahan menjadi serius dan tidak terkawal.

  Penyakit hidung

Rinitis ialah penyakit dalam rongga hidung yang berlaku akibat radang pada membran mukosa yang diserang virus atau bakteria atau sebagai satu tindak balas kepada alahan. Hingus yang keras dan melekat pada membran mukosa akan menyebabkan luka bila hidung dikorek. Perkara ini kerap berlaku kepada kanak-kanak.

Pendarahan biasanya sedikit dan berhenti dengan sendiri, tetapi boleh berulang. Pendarahan boleh dicegah dengan mengubati penyakit rinitis.

Kadangkala penyakit resdung juga boleh menyebabkan pendarahan. Begitu juga lapisan mukosa hidung yang terlalu kering akibat udara terlalu panas atau terlalu sejuk.

  Sinus, kanser hidung dan nasofarinks

Kanser nasofarinks (pangkal hidung) kerap berlaku di Malaysia, terutama kepada masyarakat keturunan Cina. Simptom paling biasa ialah hidung berdarah, terutama kepada mereka yang menjangkau umur empat atau lima puluhan ke atas.

Kanser rongga hidung dan sinus yang juga boleh mengakibatkan pendarahan hidung ialah sejenis ketumbuhan di pangkal hidung yang boleh berlaku kepada kanak-kanak lelaki berumur belasan tahun yang boleh berdarah dengan banyak.

  Penyakit lain

Sesetengah pesakit berumur yang menghidap darah tinggi mengalami pendarahan hidung. Pendarahan juga berlaku kerana pembuluh darah tidak mengecut disebabkan penyakit darah. Ada pelbagai penyakit darah seperti myeloma, leukemia dan limfoma boleh menyebabkan pendarahan.

Kanak-kanak yang hidungnya sentiasa berhingus serta gatal mungkin berpunca daripada penyakit rinitis.

Namun, katanya, orang dewasa yang sering mengalami hidung berdarah mungkin disebabkan penyakit lebih serius seperti kanser nasofarinks atau kanser sinus.

  Kesan sampingan ubat-ubatan

Penggunaan ubat seperti aspirin, warfarin dan ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDs) boleh menyebabkan pendarahan. Rawatan kecemasan hidung berdarah perlu dilakukan segera untuk memberhentikan pendarahan dan mencari puncanya.

“Ini sebabnya pendarahan hidung tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin berkait dengan penyakit serius dan berbahaya. Sesiapa yang ada masalah hidung berdarah perlu segera berjumpa doktor untuk mengetahui sebab pendarahan.


“Antara maklumat diperlukan ialah kuantiti darah (sedikit atau banyak) setiap kali mengalami pendarahan, berdarah dari lubang hidung kiri, kanan atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, doktor perlu mengetahui sama ada pendarahan keluar melalui lubang hidung atau keluar melalui belakang hidung dan terus masuk ke mulut. Pendarahan akan berhenti dalam masa beberapa minit atau terus berdarah tanpa henti. Pendarahan berlaku buat pertama kali atau sudah sebaliknya.


Jika berdepan pesakit hidung berdarah, antara langkah rawatan kecemasan yang perlu diambil ialah:

  Arahkan pesakit bertenang, duduk (jangan baring), dongakkan kepala dan bernafas melalui mulut dengan perlahan-lahan.

  Picit bahagian lembut hidung di bawah tulang hidung selama 10 minit.

  Arah pesakit meludah atau mengeluarkan darah dari mulut. Lepaskan picitan selepas 10 minit dan tengok sama ada pendarahan sudah berhenti.

  Jika pendarahan belum berhenti, ulang picitan sekali lagi.

Dr Mohamad berkata, dalam kebanyakan kes pendarahan akan berhenti selepas tindakan di atas. Jika pendarahan masih berterusan, segera bawa pesakit ke hospital.

Katanya, langkah seterusnya dilakukan di hospital atau klinik ialah memberi resusitasi kepada pesakit dan melakukan pemeriksaan endoskopi hidung untuk mencari tempat dan saiz pendarahan serta puncanya.

Langkah ini mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut seperti pemeriksaan fizikal pesakit, tekanan darah, ujian darah dan pemeriksaan radiologi, jika perlu.

Larangan untuk pesakit hidung berdarah sehingga betul-betul pulih:

  Elakkan mengangkat benda berat.

  Jangan letak kepala bawah paras jantung untuk jangka masa lama.

  Jangan menghembus hidung dengan kuat.

  Usah biarkan hidung menjadi terlalu kering (anda mungkin perlukan ubat sapu antibiotik pada hidung atau sentiasa membasahkan hidung dengan air)

  Jangan memasukkan sesuatu ke dalam hidung seperti kertas tisu atau mengorek dengan jari.


Untuk mengelak pendarahan hidung berulang, pastikan anda tidak:

  Memicit atau menghembus nafas terlalu kuat.

  Menundukkan badan untuk mengangkat benda berat.

  Pastikan kedudukan kepala sentiasa tinggi daripada jantung, terutama ketika baring atau tidur.  

KANAK-KANAK OBES

MENYURUH kanak-kanak mengambil makanan seimbang dan menyihatkan bukan perkara mudah kerana kebanyakan daripada mereka lebih suka kepada makanan segera dan beraneka jenis snek yang dianggap menarik dan enak. Apatah lagi dengan tarikan pelbagai iklan makanan segera yang turut menawarkan hadiah berbentuk alat permainan atau anak patung comel. Bukan kanak-kanak saja, malah orang dewasa sanggup beratur panjang di restoran makanan segera bagi mengumpul hadiah ditawarkan.

Selain itu, penjualan makanan segera di kantin dan kehadiran penjual snek di luar pagar pintu pagar sekolah makin menyukarkan usaha membentuk tabiat pemakanan sihat di kalangan kanak-kanak. Bahkan, tindakan ibu bapa yang terlalu sibuk untuk menyiapkan sarapan atau bekal dan memberi kebebasan sepenuhnya untuk anak berbelanja membeli makanan kegemaran mereka juga akan memburukkan keadaan.

Semua faktor ini memberi sumbangan kepada masalah tidak cukup zat, walaupun pada zahirnya kebanyakan kanak-kanak dilihat cukup makan. Pengambilan makanan segera dan snek ini juga sebenarnya meningkatkan risiko anak mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Kajian menunjukkan kanak-kanak obes akan membesar menjadi individu obes kerana sel lemak yang terhasil ketika kecil akan kekal dalam badan. Walaupun kebanyakan orang mengalami masalah obesiti selepas masuk ke alam dewasa, obesiti ketika kanak-kanak biasanya akan berlanjutan sehingga dewasa.

Mungkin ramai antara kita tidak sedar bahawa cukup makan (atau banyak makan) bukan bermakna kita mendapat cukup zat, kecuali jika mengamalkan pemakanan seimbang dan mengambil pelbagai jenis makanan. Ini sebabnya ramai mengambil pil makanan tambahan seperti vitamin dan garam galian. Malah, ada yang turut mengambil beraneka jenis herba bagi melengkapkan keperluan harian.

Keadaan sama juga berlaku pada kanak-kanak. Seperti orang dewasa, mereka boleh mengalami masalah kurang zat kerana makanan pilihan mereka biasanya kurang berkhasiat. Apatah lagi, kebanyakan kanak-kanak sangat pantang apabila terlihat ada sayur (walau sehalus ikan bilis pun) dalam makanan mereka.

Cara terbaik untuk melengkapkan sajian mereka ialah melalui pengambilan pil makanan tambahan seperti vitamin dan mineral kerana ketika ini kanak-kanak sangat memerlukan semua zat supaya boleh membesar dengan baik. Persoalannya, sejauh mana keperluan zat ini kepada kanak-kanak? Tidak cukupkah dengan zat sedia ada dalam makanan? Ibu bapa yang sangat cerewet dalam soal makanan pun tidak dapat memastikan kandungan zat dalam sajian yang dihidangkan kepada anak.

Walaupun makanan itu disediakan di rumah, jika tidak berhati-hati, banyak vitamin akan hilang ketika makanan dimasak. Secara umumnya, vitamin yang larut lemak seperti A, D, E dan K boleh tahan dengan suhu masakan biasa, tetapi vitamin A dan E mudah hilang jika terdedah lama kepada udara. Manakala vitamin larut air seperti B1, B6 dan asid folik pula mudah musnah apabila makanan dimasak pada suhu tinggi. Vitamin B12 mudah hilang jika terkena suhu tinggi dan cahaya, sementara vitamin C akan musnah jika terdedah pada udara. Sikap kanak-kanak yang cerewet memilih makanan juga akan menambah kepada masalah tidak cukup zat.

Rasanya semua ibu tahu kepentingan vitamin untuk anak mereka, tetapi ramai tidak pasti mengenai mineral. Sebenarnya baik vitamin atau mineral, kedua-duanya memainkan fungsi sama penting. Bezanya mineral atau garam galian diperlukan dalam kuantiti kecil. Tanpa mineral, badan tidak dapat menggunakan vitamin yang ada.
Antara garam galian yang penting ialah kalsium, kromium, magnesium, iodin, besi, zink, kuprum, selenium, manganese dan molibdenum. Semua mineral ini diperlukan setiap hari.

Kajian ke atas 245 kanak-kanak sekolah di Amerika Syarikat berumur enam hingga 12 tahun selama tiga bulan mendapati, kanak-kanak yang diberikan multivitamin dan mineral lebih cerdas berbanding kanak-kanak yang mengambil pil ujian (tidak mengandungi vitamin dan mineral).

Bagaimanapun, tidak semua pil makanan tambahan boleh dikunyah. Pil makanan tambahan untuk mineral biasanya mempunyai rasa ‘kurang enak’ berbanding pil vitamin seperti vitamin C. Terpulang kepada kebijaksanaan ibu bapa memujuk anak untuk mengambilnya.Selain itu, gunakan kreativiti anda untuk menarik minat anak untuk mengamalkan pemakanan sihat.


Cara galak anak makan:

Antara cara yang boleh dilakukan bagi menggalakkan anak makan ialah:

> Menyediakan makanan sebaik waktu makan sampai (makan pada waktu tetap).

> Jadikan waktu makan sebagai waktu untuk berkumpul seisi keluarga.

> Galakkan anak menghabiskan makanannya. Berikan pujian setiap kali dia berjaya menghabiskan makanannya. Cara ini memberi rangsangan positif kepada minda anak.

> Elak memberi makanan ringan ketika menghampiri waktu makan kerana ia boleh menjejaskan selera anak.

> Jadikan masa makan sebagai waktu yang menggembirakan.

> Hiaskan makanan dengan cara kreatif untuk menarik minat anak untuk makan. Kebanyakan kanak-kanak suka makanan yang cantik dan menarik. Mereka akan lebih berselera untuk menikmati makanan yang cantik.

> Pelbagaikan jenis hidangan untuk anak. Beri anak peluang mencuba jenis makanan baru setiap hari bagi mengelakkan rasa jemu.

> Hidangkan buah-buahan yang dipotong kecil dan disusun menarik untuk menggalakkan anak makan buah.

> Gantikan air kordial dengan jus buah yang diproses sendiri. Melalui cara ini anda dapat mengawal kandungan gula dan menggalakkan pengambilan serat untuk si kecil.

Laman ini dibina untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan kursus SKPX 2083, Psikologi Perkembangan.

Pelajar Psikologi Perkembangan Sesi 2006/2007, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kecedaraan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang disediakan melalui laman web ini.

Hak Cipta © 2007 Laman Web oleh SKPX 2083, Psikologi Perkembangan. Paparan terbaik menggunakan IE 6.0 dengan resolusi 1024 X 768.

MENU
Kenali Kanak-Kanak
Aspek Perkembangan
Masalah & Pengurusan Kanak-Kanak
Penyakit Lazim
Unsur-unsur Rohani
Soalan Lazim [FAQ]
Soalan Kuiz
Interaktif
Arkib Isu Semasa

MASALAH-MASALAH LAZIM KANAK-KANAK. 

1.            LELAH 

Lelah atau asma adalah penyakit paru-paru yang kerap di kalangan kanak-kanak. Apakah yang dimaksudkan dengan lelah atau asma? Untuk memahami dengan lebih lanjut saya akan jelaskan serba sedikit mengenai paru-paru. Di dalam paru-paru terdapat salur paru-paru yang membawa udara yang kita sedut ke hujung paru-paru. Ia dipanggil alveolar. Di sini udara yang beroksigen akan menyerap ke dalam salur darah dan menyebabkan kandungan oksigen dalam darah adalah tinggi. Apa yang dimaksudkan lelah ialah keadaan di mana salur paru-paru kecil (bronchiol) menjadi radang sekali gus menyebabkan salur paru-paru itu sempit.

Hosted by www.Geocities.ws

1