62. Natijahnya, kita melihat hari terjadinya jurang kaya-miskin yang kian melebar di dalam masyarakat. Kalau dahulu kita melihat jurang kaya-miskin yang lebar di antara kaum-kaum, kini yang terjadi ialah semakin melebarnya jurang kaya-miskin di dalam kaum (intra-ethnic). Khabarnya, kekayaan melimpah ruah kroni ini kini akhirnya menimbulkan masalah dalam UMNO sendiri sehingga sikaya mula diketepikan. Saya tidak nampak macam mana UMNO mahu mengenepikan naga-naga yang telah mereka bina ini dari persada politik UMNO. Inilah dia hasil penswastaan yang mana rakyat telah membuka mata tentang ketidakadilannya. Ini terbukti daripada peningkatan penglibatan rakyat di dalam gerakan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman yang tercetus sejak peristiwa pemecatan Saudara Anwar Ibrahim daripada UMNO dan Timbalan Perdana Menteri dua tahun yang lalu.

63. Kita mengharapkan kerajaan mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti yang sebenar-benarnya di dalam pelaksanaan dasar penswastaan yang disebut oleh PM semalam akan terus menjadi enjin pertumbuhan dalam RMK8, seperti mengadakan sistem tender terbuka di dalam penganugerahan projek dan mengeluarkan senarai syarikat dan individu bumiputera yang telah mendapat habuan daripada dasar penswastaan ini. Peraturan yang dicadangkan di dalam RMK8 yang bertujuan untuk mengekalkan pemilikan bumiputera di dalam syarikat yang telah diswastakan hendaklah dikuatkuasakan dengan berkesan.

64. Banyak pula daripada syarikat yang diswastakan yang telah terjerumus ke dalam belenggu keberhutangan dan dana awam terpaksa digunakan untuk menyelamatkan pemiliknya. Ada di antara syarikat-syarikat berkenaan yang telah tidak diurus dengan baik lalu terjerumus ke dalam kerugian yang boleh membawa kepada kebankrapan. Kita lihat hari ini berbilion-bilion wang awam terpaksa digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat nazak seperti Renong, MAS, PUTRA, STAR. IWK, MISC dan senarainya adalah panjang untuk disebutkan semuanya. Ini bermakna wang awam yang dikatakan telah dijimatkan melalui penswastaan telah terhakis apabila kerajaan terpaksa mengambil semula syarikat yang dulunya diswastakan. Perangkaan menunjukkan pemilikan semula oleh kerajaan ke atas syarikat yang dulunya diswastakan telah meningkat dengan ketaranya. Dalam tempoh RMK7 agensi-agensi pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, Minister of Finance Incorporated dan Menteri Besar Incorporated memiliki 71% daripada syarikat-syarikat yang diswastakan. Inilah natijah daripada gerakan menyelamat yang dilaksanakan.

65. Kita mengharapkan kerajaan akan lebih berhemat di dalam melaksanakan dasar penswastaan di dalam tempoh RMK8 ini bagi menyelamatkan wang rakyat. Adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak yang telah menyalahgunakan dasar penswastaan dibiarkan lepas bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan dan hukuman yang setimpal.

Pembangunan Sektor Pertanian Tercicir

66. Walaupun pelbagai rancangan dan usaha dilaksanakan - termasuk penubuhan begitu banyak agensi pertanian seperti FELDA, FELCRA, SALCRA, RISDA, FAMA, DARA, DOA, FOA, JENGKA, KETENGAH dan pelbagai lagi - untuk membangun dan memodenkan sektor pertanian sumbangan dan kepentingan sektor ini di dalam ekonomi negara terus menguncup. Pada tahun 1995 ia menyumbang sebanyak 16% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar tetapi sumbangan ini telah merosot kepada sekitar 9% dalam tahun 2000 dan dijangka terus merosot kepada sekitar 7% di bawah RM8

67. Arahaliran (trend) ini dijangka berterusan di mana di akhir tempoh RRJP3 (2001-2010) nanti sumbangan sektor pertanian hanya tinggal sekitar 6%. Ini berlainan dengan negara-negara maju (seperti Amerika, Perancis, Holland dan lain-lain) di mana sektor pertanian tetap merupakan sektor yang penting walaupun negara-negara berkenaan telah mencapai status negara perindustrian.

68. Apa yang terjadi di Malaysia ialah dalam mengejar pembangunan perindustrian, pembangunan sektor pertanian - samada secara sedar atau tidak sedar - telah terabai. Ini memberi gambaran bahawa proses perindustrian tidak berjaya merangsangkan permintaan terhadap bahan mentah pertanian. Ini adalah kerana pola pembangunan industri lebih berorientasikan penggunaan bahan mentah bukan-pertanian dan import seperti elektronik dan keluaran elektrik. Industri berorientasikan bahan mentah pertanian kurang mendapat penekanan.

69. Penguncupan yang ketara ini membimbangkan memandangkan nilai strategik sektor ini khasnya dari segi menyediakan bekalan makanan yang mencukupi bagi penduduk yang kian meningkat, bekalan bahan mentah kepada sektor perindustrian dan sebagai sumber pendapatan pertukaran wang asing. Ini juga memandangkan bahawa sektor ini menyediakan di antara 1.5 - 2 juta guna tenaga. Keciciran pembangunan sektor pertanian telah menimbulkan gejala yang tidak baik bagi negara, antaranya peningkatan kebergantungan kepada makanan import. Bil import makanan telah bertambah dari tahun ke tahun dan kini berjumlah RM13 bilion. Ini dijangka mencecah RM22 bilion dalam tahun 2005. Malah, Malaysia belum lagi mencapai tahap "memenuhi keperluan sendiri" self-sufficiency) di dalam pengeluaran pelbagai bahan makanan termasuk makanan utama.

 

1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6

 

Hosted by www.Geocities.ws

1